TERKINI :

Thursday, January 5, 2017

POLIS BUAT ROADBLOCK ATAU TAHAN TEPI JALAN DAN MINTA SIGN SAMAN-SAMAN LAMA - APA NAK BUAT?

Aku dapat mesej daripada ramai kawan lama dah tapi aku tak komen apa-apa sebab sebenarnya dulu lagi aku dah selalu update kat page Kempen Anti Saman Ekor [KASE] tentang saman-saman ni. Tak apa la, mungkin ada yang terlupa atau tak faham lagi apa nak buat jadi aku nak ulas sikit isu ni.

Terbaru semalam aku dapat mesej begini di fb aku :

"Assalamualaikum.. ada sahabat minta khidmat nasihat, Sekarang ni Polis rajin buat operasi.. mereka akan tahan mana2 saja kereta walaupun takda sebarang kesalahan.. mereka akan ugut dgn rekod lama saman dari kamera dan AES.. mereka paksa suruh sign surat saman lama.. jadi dari segi undang2 patut sign ker tak? aduan mcm ni saya terima dari seluruh negara.. ramai dah mula mengeluh dgn cara jahat Polis dan JPJ terbaru.. aku nasihatkan kawan aku, supaya tak sign sebarang surat saman lama.. sebab bagi aku saman AES dan Kamera tak valid untuk sebarang pergantungan lesen dan senarai hitam.. minta tuan up kan isu ni.. boleh bagi sedikit nasihat dari sudut Undang-undang"

- ULASAN -

Adakah Polis & JPJ boleh buat roadblock menahan kenderaan?

1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (APJ 1987) memberi kuasa kepada pegawai polis dan pegawai JPJ untuk menjalankan apa saja kuasa yang diberikan oleh Akta di atas mana-mana jalan. Begitu juga dengan pegawai penguatkuasa Dewan Bandaraya dan Majlis Bandaran.

2) Pegawai Polis dan JPJ boleh meminta sesiapa yang menggunakan kenderaan di atas jalan untuk mengemukakan Lesen Kenderaan Motor (LKM - roadtax) dan juga Lesen Memandu.

3) APJ 1987 memberi kuasa kepada pegawai polis dan JPJ untuk menangkap, memberhentikan dan menahan sesiapa yang disyaki melakukan kesalahan di dalam Akta.

*** Kesimpulannya Polis dan JPJ boleh membuat operasi atau membuat penahanan kenderaan atau roadblock untuk memeriksa pemandu dan kenderaan***

Adakah Polis atau JPJ boleh kuatkuasakan saman-saman lama?

1) Saman lalu lintas tidak ada tarikh luput. Jika saman dikeluarkan tahun 1990 tetapi masih tidak dikuatkuasakan maka saman tersebut masih sah. Seperti yang selalu dijelaskan, SAMAN ialah notis memerintahkan kehadiran orang yang disaman supaya hadir ke mahkamah pada tarikh dan waktu yang ditetapkan. Jika orang yang disaman tidak hadir pada waktu dan tarikh yang ditetapkan, Mahkamah boleh mengeluarkan waran tangkap untuk memastikan orang yang disaman hadir ke mahkamah menjawap pertuduhan. Waran tangkap bukan kerana melakukan kesalahan tetapi kerana tidak hadir mahkamah.

2) Selalu berlaku Polis atau JPJ keluarkan saman tetapi tidak dibawa ke Mahkamah, maka tiada waran tangkap dikeluarkan. Jadi saman tersebut tergantung.

3) Jika sekarang Polis atau JPJ hendak kuatkuasakan semula saman-saman tersebut, ianya boleh dilakukan.

Adakah orang yang disaman perlu tandatangan saman-saman lama?

1) Saman kebiasaannya dikeluarkan di bawah Seksyen 53 APJ 1987 kecuali saman AES dikeluarkan mengikut Seksyen 53A APJ 1987.

2) Saman di bawah Seksyen 53 dipanggil "Pol 257". Setiap saman hendaklah diserahkan kepada orang yang disaman. Bukti serahan bagi "Pol 257" ialah tandatangan penerima saman.

3) Bagi kesalahan di bawah APJ 1987, jika orang yang disaman tidak menandatangan saman sekali pun saman tersebut akan dianggap telah diserahkan. Ini diperuntukkan oleh Seksyen 53 (1A) APJ 1987.

JADI dinasihatkan orang yang disaman supaya menandatangan dan mengambil saman-saman yang diserahkan. Kenapa perlu ambil? Perlu ambil kerana jika tidak ambil saman, kita tidak tahu apa kesalahan yang didakwa ke atas kita dan di mana mahkamah kita perlu hadir dan bila perlu hadir mahkamah. Dalam saman itu juga akan dinyatakan tawaran kompaun bagi kesalahan yang boleh kompaun. Jadi orang yang disaman boleh memilih hendak membayar kompaun atau hadir mahkamah. Jika tidak ambil saman, kita tak tahu bila kena hadir Mahkamah kemudian tiba-tiba kita dimaklumkan ada waran tangkap. Kan dah susah.

Apa yang takut sangat nak tandatangan dan ambil saman? Saman je pun bukan hukuman MATI.

Adakah tandatangan dan ambil saman itu menunjukkan kita telah lakukan kesalahan?

1) Saman hanya sebagai notis bahawa kita disyaki melakukan kesalahan. Jika kita rasa dan yakin kita tidak melakukan kesalahan, maka tak perlu takut dan tak perlu nak bayar kompaun yang ditawarkan.

2) Apa yang patut dilakukan ialah hadir mahkamah dan dengar apa pertuduhan yang dikenakan kepada kita. Jika rasa pertuduhan tidak betul atau polis/jpj tak boleh buktikan, tak perlu mengaku salah. Minta dibicarakan. Jika rasa susah untuk naik turun mahkamah jika tak mengaku salah, terpulang pada diri sendiri la. Kalau nak pertahankan hak sendiri pun rasa susah, jangan dok merungut la.

Bolehkah Polis atau JPJ senarai hitam atau sekat pembaharuan lesen memandu atau lesen kenderaan motor?

1) APJ 1987 hanya memberikan kuasa kepada JPJ untuk menyekat sebarang transaksi berkaitan lesen menadu dan lesen kenderaan motor. Polis atau Dewan Bandaraya atau Majlis Perbandaran hanya boleh meminta JPJ menyekat transaksi.

2) Mahkamah telah putuskan bahawa hanya apabila saman dibawa ke Mahkamah dan orang yang disaman tidak hadir Mahkamah dan dikeluarkan waran tangkap, baru transaksi boleh disekat. Selagi saman tidak dibawa ke Mahkamah, tidak boleh disekat. Selagi kes saman tidak selesai di Mahkamah selagi itu transaksi boleh disekat.

Aku harap penerangan ini memberi manfaat.

Jangan lupa undi aku supaya aku boleh jadi Menteri Pengangkutan nanti untuk selesaikan semua msalah-masalah saman ni.

Akulah Zulhazmi Shariff
Aku ahli biasa DAP
5 Januari 2017

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...