TERKINI :

Monday, January 16, 2017

PERLUKAH TERUS "MERINDUI" PAS"?

Shahbudin Husin

Walaupun disebut namanya dalam ucapan oleh Tun Mahathir Mohamad, Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man dan Naib Presiden Pas, Iskandar Samad sebenarnya tidak hadir dalam majlis pelancaran Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Sabtu lalu.

Difahamkan namanya disebut dalam teks ucapan Tun Mahathir kerana kedua-duanya sudah mengesahkan kehadiran mereka sebelum ini.

Tetapi, kenapa tiba-tiba tidak hadir?

Diberitakan kemudian bahawa ketidakhadiran mereka disebabkan adanya "arahan" pada hari yang sama yang tidak membenarkan mana-mana pemimpin Pas menghadiri majlis tersebut, meskipun persetujuan untuk hadir sudah diberikan sebelum itu.

Akhirnya, satu-satunya orang Pas yang hadir dalam majlis itu ialah Mahfuz Omar, Ahli Parlimen Pokok Sena, Kedah.

Namun, beliau tiada apa-apa jawatan dalam Pas, cuma masih Ahli Parlimen bagi parti tersebut. Beliau yang lebih dianggap Pas "harumanis", di luar hijau, di dalam oren, bagaimanapun memberitahu kehadirannya adalah atas kapasiti peribadi.

Dengan yang demikian, ketidakhadiran Pas dengan sendirinya menimbulkan banyak persoalan. 

Pas dilaporkan sedang dalam proses rundingan dengan Bersatu dan seperti yang pernah ditulis oleh A Kadir Jasin, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi parti itu, kata putus sama ada ia berhasil atau sebaliknya, mesti dimuktamadkan pada bulan ini juga.

Tugas mengetuai rundingan diserahkan kepada Muhyiddin Yassin untuk mengepalainya.

Sekiranya Pas mempunyai kecenderungan untuk bersama dengan parti-parti pembangkang dan sedar rundingan ke arah itu sedang berjalan, keputusan tidak menghantar wakil sedangkan kata setuju untuk hadir sudah diberikan, ia tentu merupakan tanda negatif.

Jika ingin bersama, Pas tentu memilih untuk hadir dan tidak mengeluarkan arahan sebaliknya.

Mahfuz sendiri mempersoalkan sikap Pas dengan mengatakan ia memberi isyarat seolah-olah parti itu enggan bekerjasama dengan parti-parti pembangkang bagi menumbangkan UMNO dan BN serta menyingkirkan Najib Razak sebagaimana yang diinginkan oleh majoriti rakyat sekarang ini.

Apakah boleh ditafsirkan ketidakhadiran Pas kerana parti itu enggan bekerjasama atau kerana adanya pemimpin-pemimpin DAP dan Amanah yang turut hadir dalam majlis pelancaran tersebut?

Masihkah Bersatu mahu menunggu kata setuju daripada Pas untuk bersama atau harus melupakannya begitu saja?

Mungkinkah  Pas hanya mahu bersama dengan Bersatu dan PKR saja, tetapi enggan ada sebarang ikatan dengan DAP dan Amanah?

Jika demikian, mungkinkah ada wujud dua pakatan pembangkang iaitu Pakatan Harapan dengan Bersatu sebagaimana yang sudah terjalin ketika ini dan satu lagi hanya melibatkan Bersatu, PKR dan Pas?

Atau mungkinkah Hadi Awang sudah melakukan ijtihad untuk terus kekal bersendirian, sebagaimana dilaporkan sebelum ini beliau juga barangkali telah berijtihad untuk hadir ke Iran di sebalik sedang berlaku serangan dan pembunuhan Syiah terhadap Sunni di Syria?

Dalam hal ini, bagi Bersatu khususnya,  perlukah Pas terus "dirindui" atau seharusnya dilepaskan begitu saja?

Apakah Bersatu bersama Pakatan Harapan semata-mata serta dibantu dengan sekian banyak isu yang kian melemahkan kedudukan Najib, masih belum cukup kuat untuk mengalahkan UMNO dan BN, jika pun akhirnya Pas menjadi "pengacau" di tengah-tengah? (SH 16/01/2017).

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...