TERKINI :

Monday, January 2, 2017

Pemimpin PKR persoal dakwaan Nik Amar, siapa tikam siapa dalam PRU13?


SHAH ALAM: Pemimpin PKR, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid secara sinis mengingatkan PAS agar tidak lupa kejadian pertindihan kerusi yang membabitkan dua parti itu pada pilihan raya umum yang lalu.

Tegasnya walaupun PKR-PAS bersahabat, terutama ketika menjalin hubungan dalam Pakatan Rakyat (PR) mereka perlu akur kepada kepentingan rakyat berbanding kepentingan politik parti.

“Siapa yang tikam belakang, siapa yang bersahabat?

“Tikam belakang, berlawan tiga penjuru, letak calon di Terengganu seramai tiga orang, Selangor seorang, Pulau Pinang seorang. Komen saya, untuk bersahabat, kita kena nilai kepentingan orang ramai.

“Jika ada kepentingan itulah satu-satunya payung untuk meletakkan persahabatan itu,” katanya kepada Antarapos.

Dalam PRU13 yang lalu, isu pertindihan enam kerusi membabitkan PKR-PAS menjadi barah dalam hubungan mereka sewaktu kewujudan Pakatan Rakyat (PR).

PAS-PKR sebelum ini bertelagah dalam meletakkan calonnya di tiga kerusi Dun di Terengganu iaitu Bukit Besi, Seberang Takir dan Kota Putera. Sementara di Pulau Pinang di Dun Sungai Acheh, Selangor di Dun Kota Damansara dan Johor pula di Dun Panti.

Reaksi Abdullah Sani itu diberikan selepas Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah menegaskan partinya tidak mengamalkan budaya tikam belakang, terutama dalam menjalinkan persahabatan bersama rakan sekutu politik.

Beliau mengingatkan PKR agar tidak ‘berperangai’ seperti parti serpihannya, AMANAH meskipun dua parti berkenaan bekerjasama dalam Pakatan Harapan (PH).

Bukan itu sahaja Mohd Amar turut mengingatkan PAS bukan ‘tangga’ untuk batu loncatan mana-mana pihak sehingga partinya dilupakan apabila ada pihak yang sudah sampai ke atas puncak.

Abdullah Sani, yang juga Ahli Parlimen Kuala Langat ketika mengulas lanjut bagaimanapun enggan ‘melayan’ peringatan berkenaan kerana apa yang penting adalah persiapan parti-parti pembangkang untuk mendepani PRU14 dalam menumbangkan BN.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...