TERKINI :

Tuesday, January 24, 2017

PAS, Umno ‘menderita’ dalam pertandingan 3 penjuru di Kedah, kata PKR

GEORGE TOWN: PKR Kedah tidak melihat masalah sekiranya belaku pertandingan 3 penjuru pada pilihan raya umum akan datang.

Sebaliknya, Pengerusi PKR Kedah, Dr Azman Ismail mendakwa Pakatan Harapan mempunyai kelebihan dan “PAS dan Umno yang akan menderita”, katanya kepada FMT.

Ini kerana, kata Azman, Umno Kedah berdepan masalah dalaman sejak Parti Bersatu Pribumi Malaysia (PPBM) ditubuhkan, sementara PAS Kedah tidak lagi sekuat dulu.

Azman berkata ramalannya berdasarkan keputusan simulasi dan kajian senario berbeza pilihan raya dan sentimen pengundi di Kedah.

Penganalisis politik berkata, lebih separuh daripada 36 kerusi DUN dan 15 kerusi Parlimen boleh menyaksikan pertandingan 3 penjuru pada pilihan raya umum akan datang.

Barisan Nasional (BN) Kedah baru-baru ini berkata ia tidak bimbang dengan PPBM dan akan menang di negeri itu dengan majoriti 2/3.

Umno kini memegang 18 kerusi negeri, dan MCA 2. PAS mempunyai 8, PKR 4, DAP 2, manakala PPBM dan Amanah masing-masing 1.

“Daripada kaji selidik kami, tidak mungkin ada kerusi selamat untuk PAS lagi, walaupun ia mungkin mempunyai kubu kuat di Tokai dan Sungai Limau.

“Politik PAS dan politik Umno masih berdasarkan agama dan bangsa. Mereka bersaing dalam kumpulan pengundi yang sama,” kata Azman.

Beliau berkata PAS sama ada harus sedar dan melihat risiko bertanding sendirian atau ia boleh terus berjuang seperti tidak tahu apa-apa.

“Terpulang kepada Hadi untuk membuat keputusan,” katanya, merujuk kepada Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“Dalam 2 bulan atau lebih, PPBM akan menjadi lebih kuat dan pertandingan 3 penjuru ini akan berpihak kepada Pakatan dan PPBM.”

Beliau berkata BN mungkin berharap PAS akan memecahkan undi pembangkang seperti yang berlaku pada pilihan raya kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar tahun lepas.

Bagaimanapun, Azman berkata ia harapan palsu, dan menambah BN perlu mengambil kira populariti PPBM dan pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Terdapat kemarahan orang Melayu semasa pilihan raya kecil, tetapi ia tidak terlalu jelas. Suara Dr Mahathir tidak begitu lantang ketika itu dan belum ada PPBM lagi.”

Pengerusi DAP Kedah, Tan Kok Yew bersetuju pertandingan 3 penjuru boleh menguntungkan pakatan pembangkang.

Adun Derga itu berkata Pakatan ditolak sebelum ini apabila mula berganding dengan PPBM.

“Kini kami boleh pergi ke mana-mana sahaja kubu kuat Umno,” katanya.

“Pertandingan 3 penjuru akan menguntungkan kami, dan itu penyebab Umno merasa terancam.

“BN bimbang. Jika tidak, ia tidak akan memberi tumpuan begitu banyak untuk menyerang Dr Mahathir dan DAP, sebaliknya menumpukan ekonomi dan pembangunan.”

Penyelaras PPBM negeri, Anuar Abdul Hamid berkata parti itu diterima baik rakyat Kedah semua peringkat umur kerana menghormati Dr Mahathir dan anaknya Datuk Seri Mukhriz Mahathir, bekas menteri besar.

Anuar mendakwa PPBM paling berjaya di Kedah dalam kempen menambah keahliannya.

Menurutnya, sentimen pengundi terjejas disebabkan pergolakan politik di Kedah yang mengakibatkan penyingkiran Mukhriz.

“Ramai yang kecewa. Terdapat penyokong Umno dan Perkasa mengalih sokongan terhadap Pakatan.”

Pengarah Pilihan Raya Amanah Kedah, Datuk Phahrolrazi Zawawi berkata rakyat Kedah, seperti kebanyakan rakyat Malaysia, terjejas akibat kos sara hidup yang meningkat dan kejatuhan nilai ringgit.

“Ramai rakyat Kedah pergi ke Thailand untuk membeli-belah,” katanya.

“Mereka terkesan akibat kesan penurunan ringgit. Banyak sayur-sayuran dari Thailand yang mahal.”

Azman dan Phahrolrazi berkata parti Pakatan Harapan mengenal pasti kerusi yang mereka mahu tetapi perbincangan dengan PPBM masih berjalan.

“Kami masih dalam perbincangan; jadi kami tidak boleh memberi butiran mengenai pengagihan kerusi,” katanya, sambil menambah Pakatan Harapan mengandaikan PAS tidak akan bekerjasama dengannya.

Pesuruhjaya PAS Kedah, Ahmad Fakhruddin Syeikh Fakhrurazi memberitahu FMT, parti itu tidak mempunyai hubungan politik dengan Umno dan tidak akan bekerjasama dengan BN.

“Umno adalah saingan PAS dalam pilihan raya,” katanya.

“Kami tidak mempunyai hubungan dengan Pakatan, kecuali jika PKR Kedah masih mahu mempunyai hubungan politik dengan PAS Kedah.”

Beliau berkata PAS tidak menolak kerjasama dengan PPBM di bawah gabungan Gagasan Sejahtera yang dianggotai sebuah parti kecil dipimpin bekas menteri Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir.

Beliau berkata, pihaknya mengakui Dr Mahathir mempunyai “aura sendiri dalam politik Kedah” dan PAS perlu menanganinya “dengan bijaksana”.

“PAS mempunyai pengalaman pergi ke pilihan raya secara sendirian dan dalam blok. Kami bersedia dan mampu menghadapi BN atau Pakatan. Jentera kami di semua peringkat sudah bersedia untuk menghadapi pilihan raya.”

Beliau berkata PAS Kedah merancang bertanding di 24 negeri dan 8 kawasan Parlimen, sambil menambah ianya tertakluk kepada persetujuan kepimpinan bahagian pusat.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...