TERKINI :

Tuesday, January 24, 2017

PAS kepada DAP: Cukuplah 2 kali

FMT Reporters


PETALING JAYA: PAS hari ini mempersoalkan kenyataan Lim Kit Siang yang menyatakan kesediaan DAP menjalinkan semula kerjasama melawan Barisan Nasional (BN), menyifatkan parti itu terbukti tidak jujur dan tidak sabar.

“Sikap tidak jujur dan tidak sabar DAP membuatkan 2 kali mereka meninggalkan PAS malah menikam dan menyerang PAS,” kata Ketua Penerangan PAS Nasrudin Hassan.

PAS pernah menyertai Barisan Alternatif pada 1999 bersama Parti Keadilan Nasional, Parti Rakyat Malaysia dan DAP. Gabungan itu bagaimanapun gagal selepas DAP bertindak keluar sebelum pilihan raya 2004 yang menyaksikan kemenangan besar BN.

Susulan kemenangan pembangkang pada 2008, PAS, PKR dan DAP sekali lagi menubuhkan gabungan di bawah Pakatan Rakyat. Ia bagaimanapun tamat selepas PAS dan DAP kembali bertikam lidah mengenai hala tuju pelaksanaan undang-undang Islam termasuk hudud.

“Kali ini, sekali lagi DAP mahu menghulurkan salam kerjasama? Kenapa? Apakah DAP benar-benar terdesak?” soal Nasrudin.

Nasrudin mengulas kenyataan Kit Siang Ahad lalu, di mana pemimpin veteran itu berkata DAP boleh bekerjasama sekali lagi dengan PAS sekiranya presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, memberi komitmen untuk “menyelamatkan Malaysia daripada menjadi kleptokrasi dunia”.

“Itu akan menjadi agenda negara bagi tempoh 5 hingga 10 tahun. Adakah Hadi sedia membuat komitmen itu,” kata Lim.

Nasrudin bagaimanapun berkata PAS punya maruah “yang tidak mungkin sesiapa lagi boleh memperdaya dan memperkotak-katikkannya”.

Beliau menyamakan pelawaan Kit Siang itu kepada “wayang opera bernilai murah” oleh DAP

“Cukuplah pengalaman 2 kali diperlakukan DAP sedemikian rupa,” katanya.

“Sampaikan salam perjuangan kami buat YB Lim Kit Siang bahawa prinsip dan dasar perjuangan PAS bukan kostum untuk diperagakan di pentas opera DAP.”

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...