TERKINI :

Wednesday, January 11, 2017

LEPAS IMAM ZA'ABA KITA BANTU MAZLAN ALIMAN

1. Empat kali Imam Za'aba menghubungi saya meluahkan perasaannya yang bimbang dibankrapkan setelah kalah sebagai plaintif petisyen PAS PRU-13 Parlimen Pulai.

2. Mulanya saya hubungi pimpinan PAS bagi menyatakan bahawa mereka perlu bertanggungjawab kerana petisyen itu adalah milik PAS. Keluarnya plaintif daripada PAS tidak boleh melepaskan ikatan tanggungjawab tersebut.

3. Malangnya PAS tidak mahu mengambil tanggungjawab. Imam Za'aba semakin gelisah. Keluarganya tertekan. Anak-anaknya sudah mulai bimbang. Ke mana sahaja beliau pergi orang ramai akan bertanya. Akhirnya Amanah Pulai membuat keputusan mengambil tanggungjawab PAS Pulai membantu Imam Za'aba.

4. Amanah Pulai mulakan rayuan di media sosial atas nama Solidariti Imam Za'aba. Perbahasan dalam media sosial sentiasa panas. Imam Za'aba dihina dan dicerca setiap hari. Tapi Alhamdulillah bantuan daripada masyarakat berterusan diterima termasuk daripada luar negara.

5. Thomas Fann seorang aktivis masyarakat bersimpati  terhadap Imam Za'aba. Beliau membuat rayuan peribadi kepada kenalannya. Setelah tersiar dalam beberapa media, bantuan datang mencurah-curah di seluruh negara. Tidak kira agama, bangsa ataupun fahaman politik. Mereka datang membantu Imam Za'aba. Pembantu saya Sdr Muhammad tidak cukup tangan melayan pertanyaan daripada para dermawan.

6. Sesuatu yang tidak saya sangka. Seorang hamba Allah yang tidak mahu namanya disebut, tidak mahu identitinya dikenali menghulurkan sumbangan RM10 ribu untuk Imam Za'aba. Saya panjatkan kesyukuran kepada Yang Maha Kuasa yang telah mengerakkan hati-hati dermawan membantu Imam Za'aba.

7. Sekarang Tabung Solidariti Imam Za'aba berjumlah RM54,431.76 telah mencapai sasarannya. Harapan saya agar kita sama-sama dapat meneruskan momentum ini untuk membantu Mazlan Aliman yang sedang dalam kesusahan.  Mazlan adalah pejuang yang mahu "dibunuh" secara undang-undang seperti Tok Janggut, Abdul Rahman Limbong, Dr Burhanuddin Helmi, Mahatma Ghandi, Lim Guan Eng, Mohamad Sabu, Anwar Ibrahim dan Rafizi Ramli. Mazlan perlu mengumpul RM500,000. Jika gagal maka rakyat marhain akan kehilangan hero mereka. Marilah kita sama-sama membantu beliau. Mazlan Aliman dan Imam Za'aba adalah mangsa kezaliman penguasa yang korup.

Terima kasih kepada semua.

SUHAIZAN KAYAT
SETIAUSAHA ORGANISASI
AMANAH NASIONAL

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...