TERKINI :

Wednesday, January 11, 2017

KN pertimbang 'hadiah' untuk Faiz apabila beliau pulang - KM

GEORGE TOWN - Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan mempertimbangkan 'hadiah' istimewa buat penyerang Pulau Pinang, Mohd. Faiz Subri yang memenangi Anugerah Puskas Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) 2016 di Zurich, Switzerland awal pagi ini.

Ketua Menteri. Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng dalam sidang media di Komtar tengah hari tadi, turut teruja dengan kejayaan yang diperoleh Mohd. Faiz.

"Bagi pihak Kerajaan Negeri, pastinya saya berasa bangga kerana (Mohd.) Faiz mencipta sejarah sebagai pemain Asia pertama menerima anugerah tersebut.

"Apatah lagi, (Mohd.) Faiz pemain Malaysia dan yang paling utama ialah dari Pulau Pinang.

"Saya percaya, kejayaan yang dicapai beliau boleh dicontohi dan diteladani khususnya oleh anak-anak muda. (Dan) untuk menempa kejayaan seperti (Mohd.) Faiz, tiada jalan pintas, beliau telah berusaha keras, rajin dan berdisiplin.

"Kejayaan (Mohd.) Faiz bukan sahaja mengharumkan nama Pulau Pinang, malah turut mengharumkan nama Malaysia...belum ada pemain Malaysia yang berada di pentas antarabangsa dan ditontoni serata dunia.

"Untuk itu, Kerajaan Negeri sedia mempertimbangkan 'hadiah' untuknya apabila beliau pulang ke tanah air nanti," ujarnya yang turut menzahirkan ucapan tahniah dan syabas kepada pemain berkaitan pada sidang media tadi di sini.

Sebelum ini, Mohd. Faiz pernah menerima insentif berjumlah RM10,000 daripada Kerajaan Negeri hasil jaringan luar biasa tersebut. (Gambar sebagaimana dilampirkan).

Gol ajaib sentuhan penyerang Pulau Pinang itu yang disifatkan 'melanggar hukum fizik' ketika perlawanan menentang Pahang dalam saingan Liga Super di Stadium Bandaraya Pulau Pinang pada 16 Februari tahun lalu menjadi viral di media sosial sekaligus membolehkan beliau tercalon dan seterusnya merangkul anugerah berprestij dunia dalam arena bola sepak.

Anugerah tersebut sekaligus menobatkan jaringan beliau sebagai 'Gol Paling Cantik' sepanjang tahun 2016, mengetepikan dua finalis lain iaitu Johnath Marlone Azevedo da Silva dari Brazil dan pemain wanita dari Venezuela, Daniuska Rodriguez.

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : SHUM JIAN-WEI
#gambar adalah situasi sebelom Faiz ke Zurich

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...