TERKINI :

Tuesday, January 24, 2017

Kit Siang tak perlu bermadah mahu selamatkan Malaysia dari BN, kata ulama Pas

23 Januari 2017 | MALAYSIA DATELINE


Khairuddin Aman Razali

Penasihat DAP Lim Kit Siang tidak perlu 'bermadah' mahu menyelamatkan Malaysia kerana pengkhianatan parti itu terhadap Pas ketika dalam Pakatan Rakyat adalah isyarat DAP bukan rakan politik baik bagi menggantikan BN.

Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, agenda anti-Islam DAP tidak mungkin dapat diterima Pas kerana akan merosakkan kerangka bernegara Malaysia.

Sebaliknya beliau menasihatkan DAP untuk mengajak parti lain yang boleh berkompromi dengan dasar sosialis dan pragmatik parti itu, khasnya Parti Amanah Negara (Amanah) yang setia kepada DAP.

"DAP boleh mengajak mana-mana parti yang boleh berkompromi dengan dasar sosialisdan pragmatik DAP khususnya PAN (Amanah) yang merupakan serpihan Pas yang setia kepada DAP," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas pendapat peribadi Lim semalam bahawa dirinya sedia bekerjasama dengan Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang jika beliau berkongsi komitmen sama dalam memerangi kleptokrasi.

Menurut Khairuddin yang juga ahli Parlimen Kuala Nerus, Pas akan terus bergerak dengan agenda Islam bagi menyelamatkan negara ini daripada kegagalan BN.

Mengulas kenyataan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad semalam bahawa masa untuk berunding dengan Pas sudah tamat, Khairuddin berkata, Pas tidak memerlukan bekas perdana menteri itu kerana dasar pemerintahannya yang diwarisi Umno kini adalah punca negara rosak.

“Dr Mahathir hanya nak menyelamatkan Umno daripada (Datuk Seri) Najib (Razak), tetapi Pas nak menyelamatkan negara daripada sistem diwarisi Umno yang merosakkan negara,” tegasnya.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...