TERKINI :

Saturday, January 21, 2017

KAPCAI MASUK KL - IA CERMINKAN POLISI UMNO TAK PEDULI RAKYAT BERPENDAPATAN RENDAH

LARANGAN "KAPCAI' MASUKI KUALA LUMPUR CERMINAN POLISI UMNO TAK PEDULI RAKYAT BERPENDAPATAN RENDAH

1. Cadangan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Tengku Adnan Mansor untuk melarang motorsikal berkapasiti enjin kecil, dikenali sebagai “kapcai” beroperasi atau memasuki Kuala Lumpur sangat tidak bijak, menyusahkan dan bukan pintu keluar kepada penyelesaian masalah yang sekian lama terhidang.

2. Ketika rakyat dihimpit dengan pelbagai bebanan ekonomi, yang asasnya seperti kenaikkan harga minyak bersekali dengan harga barangan keperluan lain, tamparan perit GST yang terus "merompak" poket rakyat setiap saat, dan lain-lain faktor yang menekan kehidupan warga Kuala Lumpur, maka cadangan larangan ini hanya akan menambahkan "penyakit" baharu, dan tidak sekali-kali mampu melunaskan masalah yang sudah tersaji.

3. Objektif kerajaan untuk mengurangkan kesesakan kotaraya dan kadar pelepasan karbon, selain “kapcai” yang sering digunakan dalam jenayah ragut, perlu kepada kajian teliti, konkrit dan mensejahterakan rakyat tanpa terlepas pandang membuang golongan kelas berpendapatan rendah yang rata-ratanya menggunakan "kapcai" sebagai pengangkutan utama untuk urusan kerja, keluarga dan perniagaan kecil dari turut terlibat dalam arus pembangunan kotaraya.

4. Walaupun larangan ini akan dipertimbangkan jika tambang pengangkutan awam pada tahap berpatutan seperti yang ditegaskan oleh Menteri Wilayah, namun masih terlalu jauh lagi warga Kuala Lumpur untuk menikmati jaringan pengangkutan awam yang sempurna dari pintu ke pintu dengan kadar tambang yang dikatakan "berpatutan" itu.

5. Sebaliknya, kesatuan pemandu teksi, pengusaha bas tidak pernah kontang dengan tuntutan menaikkan tambang pada setiap tahun, lebih-lebih lagi sebaik timbul pengumuman kenaikan harga minyak daripada pihak kerajaan.

6. Berbanding di negara-negara seperti Cambodia, Vietnam, China, Thailand malah di Indonesia sendiri, kenderaan motorsikal "kapcai" menjadi pengakutan utama di kota raya negara-negara tersebut bagi mengurangkan kesesakan dan menggalakkan pertumbuhan ekonomi.

7. Jadi kenapa Kuala Lumpur cuba bertindak membuang kenderaan "kapcai" ini? Apakah pihak kerajaan boleh mengemukakan kajian terperinci yang menunjukkan jenayah ragut akan terhapus, kesesakan berkurangan dan kadar pelepasan karbon pada tahap rendah jika "kapcai" dilarang berada di kotaraya?

8. Apa yang pasti, industri jualan motosikal dan perniagaan kecil yang bergantung kepada kenderaan ini bagi tujuan pengangkutan akan musnah, dan tidak mungkin mereka yang berpendapatan rendah mampu membeli kenderaan lain yang lebih mahal daripada "kapcai" untuk meneruskan perniagaan dan hidup seperti orang lain. Ini kerana "kapcai" menjadi keperluan mereka untuk bergerak dan menguruskan rutin kehidupan seharian.

9. Sikap tidak peduli kerajaan ini sekaligus cerminan wajah kepada polisi Umno yang menjadi tonggak BN, bukan sahaja tidak prihatin malah menekan golongan berpendapatan rendah yang sudah tentu rata-ratanya terdiri daripada orang-orang Melayu bandar.

10. Kementerian Wilayah Persekutuan dan DBKL digesa mengkaji semula cadangan larangan ini, sebaliknya membuat kajian terperinci yang telus terhadap sebab-sebab yang hendak dicapai seperti dinyatakan dan mendapatkan respons daripada orang awam yang menggunakan kenderaan berkenaan. 

Amanah. Progresif. Peduli.

TARMIZI MOHD JAM
Timbalan Pengerusi AMANAH merangkap
Pengarah Komunikasi AMANAH
Wilayah Persekutuan

17 Januari 2017

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...