TERKINI :

Saturday, January 14, 2017

Guan Eng diambil kenyataan oleh polis berkenaan isu hudud

Isu hudud: Polis rakam keterangan Guan Eng pagi tadi
SYAJARATULHUDA MOHAMAD ROSLI

Guan Eng ditemani Rayer ketika diambil keterangan dari dua anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Ampang di Pejabat Ketua Menteri.

GEORGETOWN - Polis mengambil keterangan Ketua Menteri, Lim Guan Eng berhubung kenyataannya mengenai isu hudud pagi tadi.

Guan Eng yang ditemani peguamnya, RSN Rayer diambil keterangan oleh dua pegawai polis berpakaian reman dari Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang, di Pejabat Ketua Menteri, tingkat 28, Komtar kira-kira jam 11 pagi tadi.

Guan Eng berkata, proses merakam keterangannya berhubung kenyataan yang dikeluarkan pada 23 November itu mengambil masa 50 minit.

Guan Eng disiasat mengikut Seksyen 4 (1) (c) Akta Hasutan dan Seksyen 3 (1) (a),Seksyen 3 (c) dan Seksyen 3(d) akta yang sama.

Dalam sidang medianya, Guan Eng berkata, kenyataannya hanya bersifat politik dan pendapat peribadinya.

Menurutnya, beliau merasakan tindakan itu tidak adil kerana banyak pihak lain yang membuat kenyataan tetapi tidak diambil keterangan polis.

"Kita tengok banyak pihak lain dibuat laporan polis tetapi tidak diambil tindakan. Jika setiap laporan polis dibuat ke atas saya perlu diambil keterangan, saya tidak buat kerja lain lah. Setiap hari rakam keterangan sahaja.

"Mengapa tindakan yang sama tidak diambil ke atas individu lain? Mungkin ini 'keistimewaan' yang diberikan kepada saya," katanya.

Guan Eng berkata, dalam kenyataannya itu, beliau hanya meminta MIC, MCA, Gerakan dan SUPP menarik diri dari BN sekiranya mereka memegang prinsip Perlembagaan Persekutuan.

"Jika dilihat kepada kenyataan saya, saya meminta mereka keluar dari BN jika benar dengan prinsip mereka. Ini kerana, DAP memegang kepada prinsip Perlembagaan Persekutuan. Kita menentang undang-undang hudud kerana ia bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

"Bagaimanapun, DAP tetap menghormati hak-hak orang Islam untuk menentukan hal ehwal agama mereka, namun ia harus dilakukan dengan betul dalam konteks Perlembagaan Persekutuan. Cadangan Akta 355 Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 perlu dilaksanakan melalui pindaan perlembagaan yang memerlukan majoriti dua pertiga dan tidak melalui undang-undang biasa," katanya.

Setiausaha Agung DAP itu berkata, sekiranya meminta kesemua parti komponen keluar dari BN dianggap sebagai menghasut, MCA juga harus disiasat kerana pernah meminta DAP keluar dari Pakatan Harapan.

"Jika MCA pun disiasat, baru adil. Tetapi apa yang berlaku kini, hanya saya yang disiasat. Mengapa mereka tidak disiasat? Jelas disini menunjukkan, mereka mahu selamatkan MCA, Gerakan, SUPP dan MIC.

"Ia juga jelas menunjukkan parti ini tidak buat kerja dan hanya menyokong BN dan Umno secara membabi buta. Saya tidak kecam Umno, saya hanya beri pandangan peribadi," katanya.
 

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...