TERKINI :

Saturday, January 28, 2017

EXCO AGAMA SANGGAH PRESIDEN PAS - Melayu & Islam terbela di Pulau Pinang

EXCO AGAMA PENANG SANGGAH PRESIDEN PAS

Melayu Dan Islam Terbela Di Pulau Pinang

Saya merujuk kenyataan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, dalam media yang menyatakan Kerajaan Negeri Pulau Pinang gagal menjaga kepentingan Melayu dan Islam di negeri ini.
.
Hakikatnya selepas kerajaan Pakatan Rakyat yang kini Pakatan Harapan mengambilalih pentadbiran daripada Barisan Nasional pada tahun Mac 2008, Syiar Islam terus berkembang subur jauh melebihi kerajaan terdahulu.
.
Bajet hal ehwal agama, misalnya pernah  mencecah sehingga 300 peratus melebihi bajet agama  sewaktu Pulau Pinang ditadbir oleh Gerakan iaitu  rakan politik Umno.  Sehinggakan pimpinan Gerakan pernah mengecam secara terbuka pentadbiran kerajaan negeri, khususnya DAP kerana menyalurkan bajet agama yang besar berbanding zaman BN.  Bajet agama ini, sehingga kini tidak berkurang daripada keperluan semasa.
.
Selaku Exco Agama, saya ingin memaklumkan perkembangan pendidikan Islam khususnya Sekolah Agama Rakyat, KAFA, Maahad Tahfiz, Pondok dan TADIS terus dibantu berdasarkan keupayaan kewangan negeri. 
.
Selain bajet tahunan untuk Hal Ehwal Agama,  disediakan bajet khusus untuk institusi pendidikan Islam itu. Sehingga kini, lebih RM14 juta telah disalurkan untuk tujuan itu. Bahkan guru-guru dan kakitangan institusi pendidikan Islam menerima bonus tahunan yang tidak pernah diterima sebelum ini.
.
Bajet dan sumbangan itu, tidak termasuk pembinaan masjid, surau dan sekolah agama yang dibiayai oleh kerajaan negeri yang ketara berbanding kerajaan terdahulu.
.
Program-program agama diperkenalkan. Ijtimak dan Anugerah Al-Hufaz, bulan-bulan Al-Quran, Konvensyen Al-Islam Rahmatun Lil Alamin, adalah antara beberapa program untuk mengangkat martabat Umat Islam. 
.
Program keagamaan dan majlis ilmu di masjid dan surau berkembang subur. Para pendakwah dan ustaz-ustaz tidak disekat hanya kerana berbeza fahaman politik dengan kerajaan negeri.  Amalan yang tidak pernah berlaku pada zaman BN, di mana para ustaz PAS dihalang mengajar dan berkuliah di masjid dan surau di Pulau Pinang.
.
Bahkan, bekas  Pesuruhjaya PAS, Dato’ Salleh Man yang kini sebagai Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang sendiri tidak dibenarkan menyampaikan kuliah di masjid pada zaman Barisan Nasional.
.
Pulau Pinang akan membina Hospital Islam setinggi 14 tingkat, yang pertama di negeri ini. Majlis pecah tanah telah disempurnakan oleh TYT Yang Dipertua Negeri  pada bulan Disember lalu. Projek pembinaan akan dimulakan pada Mac depan dijangka siap dalam tempoh 3 tahun.  Sementara, pembinaan Sekolah Islam Antarabangsa Pulau Pinang akan dimulakan pada pertengahan tahun ini.
.
Sebelum itu, kerajaan negeri telah menganugerahkan sebidang tanah bernilai lebih RM80 juta bagi pembinaan Ibu Pejabat Mahkamah Syariah setinggi 7 tingkat, yang tersergam indah dan megah di Jalan Scotland.  Ini adalah sebahagian usaha untuk memartabatkan Melayu dan Islam di negeri ini.
.
Sejak tahun 2008, kerajaan negeri di bawah pentadbiran Ketua Menteri, Lim Guan Eng ingin mempelajari  contoh pentadbiran Khalifah Umar Abdul Aziz, antaranya mengutarakan polisi ‘amar maaruf nahi mungkar’ dan  pembasmian kemiskinan.  Atas semangat itulah, kerajaan negeri melaksanakan ‘ Program Pembasmian Kemiskinan Tegar’ bagi menghapuskan miskin tegar di kalangan rakyatnya, tanpa mengira kaum dan agama. 
.
Kerajaan Negeri memperkenalkan program ‘Agenda Ekonomi Saksama.”  Keluarga yang berpendapatan di bawah RM750 sebulan, akan dibantu secara bulanan. Lebih 1000 keluarga yang dikenalpasti, 90 peratus adalah Melayu Islam.
.
Mana mungkin, Presiden PAS gagal melihat pencapaian dan pembaharuan ketara antara kerajaan Pakatan Harapan  Pulau Pinang dengan kerajaan Barisan Nasional sebelum ini.
.
Hakikatnya, syiar Islam terus subur di Pulau Pinang di bawah pentadbiran Pakatan Harapan yang diterajui oleh DAP dan PKR. Melayu dan Islam akan terus terbela di Pulau Pinang.

KENYATAAN MEDIA
YB DATO' ABDUL MALIK KASSIM
27 JANUARI 2017

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...