TERKINI :

Saturday, January 28, 2017

'Merusuh dengan menyerang banyak bezanya'


Pemandu lori, Nasrul Faiz Zul Fahmi diserang empat lelaki selepas terlanggar sebuah kereta Mercedes-Benz

Keputusan Mahkamah Majistret Ampang mensabitkan empat lelaki yang menyerang seorang pemandu lori, 14 Januari lalu atas tuduhan merusuh atau terlibat dalam rusuhan yang menyebabkan kecederaan dilihat mencetuskan pertikaian orang ramai.

Melalui media sosial, rata-rata netizen menganggap pertuduhan itu sebagai 'tidak kena' dengan nasib Nasrul Faiz Zul Fahmi, 25, yang cedera parah dibelasah di pos pengawal Kondominium Puncak Anthenaeum, Bukit Antarabangsa, Hulu Klang selepas lori dipandunya terlanggar Mercedes-Benz yang diparkir di situ.

Antaranya, pengguna Facebook Raja Zahar yang berkata, tidak timbul soal provokasi daripada pihak mangsa sebaliknya tindakan penyerang terbabit sudah jelas seperti dirakam kamera litar tertutup (CCTV) sebelum kemudiannya tular di media sosial.

"CCTV dah ada. Dah mula nampak macam ada yang tak kena. Peguam Negara, SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) tolong campur tangan," ujarnya.

Sementara itu, Low Kok Hua berpendapat sebarang pertuduhan perlu bersifat adil bukannya dipengaruhi status sosial individu.

"Mengapa bila hendak menuduh seseorang tu kena tengok pangkat dia? Mengapa tertuduh tidak didakwa menyerang? Kalau lori langgar kereta, sila buat laporan polis. Lepas tu 'claim' insurans, tidak payah pukul orang," katanya.

Nada simpati netizen terhadap mangsa yang mula memandu lori pada Mac tahun lalu bagi membantu ibu bapanya yang masih bekerja itu juga dikongsi bersama Borhan Din.

"Inilah nasib pemandu lori. Jika orang berada mungkin didakwa pelbagai, namun yang miskin pendakwaannya sekadar melepas batok di tangga sahaja. Inilah nasib rakyat Malaysia yang terus dihimpit," keluhnya.

Turut menarik perhatian netizen apabila salah seorang penyerang itu dilapor merupakan pegawai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) manakala tertuduh yang lain adalah ahli perniagaan dan individu bergelar Tengku.

"Pegawai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur? Biar betul Ku Nan, apa kau mau cakap sakarang?" kata Abaaz Ismail manakala Harun Abd Ghani menulis, "Merusuh dengan menyerang 'kan banyak bezanya".

Keempat-empat tertuduh didakwa mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan tetapi kesemua mereka mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan. Majistret Mohamad Izwan Mohamed Noh menetapkan ikat jamin RM4,000 setiap seorang.

Terdahulu, Nasrul dilapor telah dimaklumkan oleh majikannya bahawa penyerang berkenaan membuat ancaman jika perkara itu dibawa kepada pihak berkuasa.

"Bos beritahu saya diaorang ni macam gangster besar," katanya seperti dipetik yang turut mengakui bimbang dengan keselamatan keluarganya.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...