TERKINI :

Monday, January 2, 2017

Cabaran Trump buat rakyat Palestin

Oleh Zin Mahmud


Tahun 2017 ini bukanlah tempoh masa yang boleh dapat diharapkan sangat oleh rakyat Palestin. Malah bukan saja tahun 2017 tetapi juga sampai empat tahun lagi. Tetapi mungkin juga sampai tahun 2024 jika Donald Trump bertanding lagi dalam pilihan raya presiden, dan beliau menang pula.

Ini kerana pada 20 Januari ini Trump angkat sumpah sebagai Presiden Amerika Syarikat dan beliau boleh melakukan apa saja dalam kuasanya untuk membantu Israel. Trump telah memberitahu Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu supaya tunggulah 20 Januari kelak apabila beliau akan menangani isu di mana Majlis Keselamatan Bangsa-bangsa Bersatu (UNSC) telah mengundi mengecam tindakan Israel membina penempatan Yahudi di Tebing Barat.

Ketika Netanyahu marah-marah kerana Amerika di bawah pentadbiran Presiden Barack Obama mengambil sikap berkecuali yang membolehkan usul itu dikemukakan, Trump meminta Israel supaya kuatkan semangat atau “stay strong”.

Sikap mesra Israel oleh Trump ini tentunya akan menyaksikan polisi-polisi Amerika yang lebih menyokong dan menyebelahi negara Zionis itu. Sejak penubuhannya pada tahun 1948, Amerika mempunyai dasar pro-Israel, walaupun itu tidak bemakna kuasa besar itu anti-Palestin. Tetapi dasar luar Amerika di Timur Tengah berasaskan pada menjaga kepentingan mereka. Apa yang dimaksudkan dengan kepentingan Amerika pula adalah pertama, minyak. Kedua, mempertahankan Israel.

Kedua-dua parti utama Amerika, Demokratik dan Republikan mengambil kira lobi Yahudi yang tegas menuntut pembelaan Israel sebagai suatu keutamaan dalam dasar luar Amerika. Cumanya Parti Republikan dilihat lebih mesra Israel berbanding Demokratik. Parti Demokratik juga pro-Israel cuma hak kebangsaan Palestin turut diambil perhatian.

Pada penghujung tahun 2016, bekas presiden Amerika, Jimmy Carter yang merupakan dari kalangan negarawan Parti Demokratik meminta Obama mengiktiraf Palestin. Selain Carter, presiden Amerika dari Parti Demokratik yang terdahulu iaitu Bill Clinton turut mendokong penyelesaian dua negara.

Dalam hal ini, laluan yang diberikan oleh Presiden Obama supaya Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) mengecam pembinaan penempatan Yahudi di Tebing Barat adalah penegasannya terhadap penyelesaian politik dua negara, iaitu Palestin dan Israel. Pembinaan penempatan Yahudi di Tebing Barat akan menghalang penubuhan negara Palestin yang merdeka kerana Tebing Barat adalah salah satu wilayah yang akan dijadikan negara baharu itu.

Menurut Obama, Israel kena pilih sama ada hendak menjadi negara Yahudi atau demokratik. Jika Israel meneruskan pembinaan penempatan itu, maka akhirnya tidak akan dapat ditubuhkan negara Palestin. Maka apa yang wujud kelak ialah satu negara saja iaitu Israel. Tetapi Israel mesti demokratik dengan membenarkan semua rakyat Palestin menjadi warganegaranya, maknanya Israel tidak akan jadi negara Yahudi.

Pihak Israel berpendapat mereka berhak membuat penempatan di Tebing Barat kerana wilayah itu telah ditawannya dalam Perang Arab-Israel tahun 1967. Tetapi ia jelas melanggar Konvensyen Geneva. Israel tidak boleh menakluk wilayah orang lain begitu saja. Ini bukan zaman purba. Untuk itu di penghujung tahun 2016, Presiden Obama menyeru Israel supaya berundur dari semua wilayah yang diduduki sejak perang 1967.

Obama menjadi presiden pada tahun 2008, setahun selepas Netanyahu menjadi Perdana Menteri Israel. Kedua-duanya tidak dapat bersetuju dalam banyak perkara, bukan saja soal Palestin tetapi juga Iran. Usaha Obama untuk mulakan kembali rundingan Israel-Palestin dipandang sepi oleh Netanyahu.

Sebaik-baik saja Trump mengisytiharkan bertanding bagi jawatan presiden, Netanyahu sudah menunjukkan kemesraan padanya. Secara terang-terang beliau menyokong Trump dan menolak Obama, Hillary Clinton dan Parti Demokratik. Lobi Yahudi di Amerika juga lebih cenderung pada Trump dan Parti Republikan.

Maka dalam kempennya, Trump dengan jelas menyatakan beliau akan memindahkan kedutaan besar Amerika yang kini di Tel Aviv ke Baitulmaqdis. Perkara itu mungkin berlaku secepat mungkin selepas menjadi presiden kelak. Sebarang langkah itu akan dipandang sebagai pengiktirafan Amerika terhadap penguasaan Israel ke atas Baitulmaqdis, sesuatu yang ditolak oleh banyak negara di dunia. Pihak Palestin sememangnya menolak sebarang penguasaan ke atas Baitulmaqdis.

Sememangnya kini keseluruhan Baitulmaqdis dikuasai oleh Israel dan ia juga sudah dijadikan ibu negara mereka, yang disebut sebagai ibu negara abadi atau eternal capital. Seolah-olah Israel sudah wujud secara abadi. Sedangkan hakikatnya Israel ditubuhkan pada tahun 1948 dengan ibu negaranya di Tel Aviv. Sebelum itu wilayah yang wujud ialah Palestin dengan ibu kotanya di Baitulmaqdis.

Kota Baitulmaqdis secara tradisi terbahagi tiga iaitu sektor Yahudi, Kristian dan Islam. Sektor Yahudi terletak di Baitulmaqdis Barat. Sementara Baitulmaqdis Timur meliputi sektor Kristian dan Islam. Maka Baitulmaqdis Barat berada dalam Israel sementara Baitulmaqdis Timur terletak di bawah Jordan. Tentulah orang Arab dan Islam tidak berpuas hati dengan keadaan ini kerana negara Palestin hilang begitu saja.

Dalam Perang Arab-Israel pada tahun 1967, Israel menakluk Gaza dari Mesir, Tebing Barat dari Jordan dan Golan dari Syria. Tebing Barat itu meliputi Baitulmaqdis Timur. Israel kemudiannya menyatukan Baitulmaqdis Barat dan Baitulmaqdis Timur untuk dijadikan ibu negara baharu Israel.

Jordan melepaskan haknya ke atas Tebing Barat termasuk Baitulmaqdis Timur untuk dijadikan negara Palestin. Mesir pula melepaskan Gaza yang juga hendak dijadikan sebahagian daripada wilayah Palestin. Baitulmaqdis Timur akan dijadikan ibu negara baharu Palestin. Inilah penyelesaian dua negara yang diusahakan oleh Amerika.

Tetapi Israel terus membina penempatan di Tebing Barat dan mengisytiharkan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel yang bersatu. Sementara sentimen politik domestik Israel pula menolak sebarang penubuhan negara Palestin. Mereka terus mahu menduduki Tebing Barat dan Gaza. Negara Israel yang sekular dan demokratik ditubuhkan pada tahun 1948 sedang berubah untuk menjadi entiti Yahudi dan Zionis berdiri di atas wilayah hasil perang 1967.

Maka dalam keadaan ini, sebarang tindakan pemindahan kedutaan Amerika dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis bermakna pengiktirafan Washington terhadap satu negara iaitu Israel saja tanpa Palestin.

Jika Israel menetapkan kedaulatannya ke atas Tebing Barat dan Gaza, maka apakah kedudukan rakyat Palestin? Jika ikut jalan demokratik, maka rakyat Palestin itu patut menjadi warganegara Israel yang mempunyai hak dalam proses politik Israel.

Israel tidak dapat menghalau keluar semua rakyat Palestin. Ataupun Israel menjadi negara apartheid dengan menjadikan orang Palestin rakyat Israel tanpa hak. Adakah keadaan ini akan membuatkan Palestin, dunia Arab, umat Islam dan dunia mendiamkan diri saja?
- See more at: http://www.utusan.com.my/rencana/cabaran-trump-buat-rakyat-palestin-1.426418#sthash.C30DEqKb.dpuf

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...