TERKINI :

Monday, January 2, 2017

CABARAN MUKHRIZ YANG MESTI DISAMBUT OLEH PENGAMPU NAJIB YANG SEORANG INI

Shahbudin Husin,

Mukhriz Mahathir secara terbuka mencabar Tunku Aziz Tunku Ibrahim mendedahkan bukti dan sumber yang dimilikinya berhubung dakwaan beliau adalah calon Perdana Menteri sekiranya Pakatan Harapan berjaya memenangi PRU 14 akan datang.

Sekiranya Tunku Aziz gagal berbuat demikian, jelas Mukhriz, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan saman berhubung dakwaan mengenai dirinya yang dianggap fitnah dan palsu.

Tunku Aziz, bekas Naib Pengerusi DAP yang kini beralih menjadi penyokong dan pengampu Najib Razak, pada 30 Disember lalu membuat dakwaan bahawa Mukhriz adalah calon Perdana Menteri yang telah dipersetujui sekiranya Pakatan Harapan berjaya memenangi PRU 14.

Kata beliau, persetujuan memilih Mukhriz itu dicapai dalam satu pertemuan antara Tun Mahathir Mohamad dengan Lim Kit Siang pada 3 Disember lalu.

Sesiapa pun yang mengikuti perkembangan Pakatan Harapan yang sudah menjalin kerjasama dengan PPBM, sedar bahawa calon Perdana Menteri belum lagi diputuskan secara muktamad meskipun gabungan itu semakin menjadi pilihan rakyat serta kian hampir untuk menumbangkan UMNO dan BN.

Bagi Pakatan Harapan, persoalan siapa Perdana Menteri tidak perlu keputusan yang tergesa-gesa kerana keutamaan mereka  ialah mengukuhkan kerjasama untuk mengalahkan UMNO dan BN serta menyingkirkan Najib yang dianggap beban terbesar dalam sejarah negara.

Kenyataan pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan dan PPBM mengenainya boleh "digoogle" dengan mudah untuk membuktikan hakikat itu. Pokoknya, belum ada persetujuan yang muktamad.

Lantaran itu, adalah menghairankan bagaimana Tunku Aziz yang bibirnya beratib memuji Najib sepanjang masa lebih mengetahui siapa calon Perdana Menteri berbanding pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan sendiri.

Kini cabaran sudah dibuat oleh Mukhriz kepada Tunku Aziz agar mendedahkan bukti mengenai dakwaan yang dibuatnya itu atau berdepan tindakan saman kerana membuat tuduhan yang berupa fitnah dan palsu.

Sebagai seorang yang dikenali ramai, selalu keluar TV3 dan Utusan Malaysia, malah berjawatan sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah SPRM, Tunku Aziz tiada pilihan lain selain mesti berani tampil mendedahkan bukti-bukti yang ada mengenai dakwaan yang dibuatnya itu.

Oleh kerana Mukhriz sudah membuat cabaran terbuka, Tunku Aziz juga wajib membuat pendedahan secara terbuka mengenai bukti atau sumber dakwaannya. Jika tidak, tiada harga jawatan yang disandangnya itu.

Dalam kes seperti ini, jika Tunku Aziz mengatakan sedia disaman dan enggan mendedahkan bukti atau sumbernya kecuali di mahkamah, beliau sebenarnya hanya menunjukkan ketidakmampuan untuk membuktikan segala dakwaannya itu dengan cuba berlindung di sebalik proses undang-undang yang mungkin memakan masa dan boleh dilengah-lengahkan untuk menyelamatkannya daripada menunjukkan keberanian.

Hakikatnya, buat apa tunggu disaman jika bukti sudah ada dalam tangan?

Malah, jika dapat mendedahkan bukti dan sumbernya, Tunku Aziz berupaya memecah-belahkan Pakatan Harapan dan dengan sendirinya memberikan sumbangan besar dalam memastikan kedudukan Najib dapat diselamatkan.

Seperti WSJ yang membuat dakwaan bahawa Najib menerima RM2.6 bilion wang 1MDB, tetapi kemudian mendedahkan saatu persatu bukti dan slip bank mengenainya, ia akhirnya sehingga kini membuatkan ancaman saman hari Selasa tidak menjadi kenyataan.

Begitu juga dengan Tunku Aziz, jika berani membuat dakwaan, maka mestilah berani juga mendedahkan bukti-bukti yang dimilikinya.

Ayuh Tunku Aziz, tunjukkan kejantanan dan sahutlah cabaran Mukhriz itu!! (SH 01/01/2017).

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...