TERKINI :

Tuesday, January 24, 2017

Anina mahu polis siasat identiti Jho Low, RM2.6 bilion ke akaun PM


Anina (dua dari kanan) hadir bersama ahli Bersatu ke IPD Putrajaya hari ini.-Foto Malaysia Dateline Wan Zahari Wan Salleh.

Anina Saadudin mahu pihak polis menyiasat usahawan Jho Teak Low yang memiliki dua identiti dan pasport dengan nama berbeza dan dana RM2.6bilion yang dimasukkan ke akaun peribadi perdana menteri seperti didedahkan bekas pengurus Falcon Private Bank, Jens Sturzenegger.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu hadir ditemani beberapa ahli parti itu ke Ibupejabat Daerah Polis (IPD) Putrajaya jam 2.45 petang tadi.

"Saya mohon pihak polis supaya menyiasat bagaimana Jho Teak Low boleh memiliki dua identiti melalui dua pasport dengan dua nama berbeza dari negara yang sama iaitu Malaysia.

"Mengikut laporan itu mahkamah Singapura telah merekodkan dapatan bahawa Sturzennegger telah membuat akuan berkaitan lelaki yang mempunyai dua identiti bernama Eric Tan @Eric Tan Kim Loong dan Jho Low @Jho Taek Low.

"Saya juga mohon pihak polis menyiasat keputusan mahkamah Singapura baru-baru ini berhubungan sejumlah USD1.7bilion wang dari 1MDB telah disalurkan ke akaun Bank Tanore Finance di Falcon Private Bank Singapura yang mana ia merupakan sumber kepada dana RM2.6bilion yang dimasukkan ke akaun peribadi perdana menteri di Ambank," ujarnya dalam sidang media di hadapan perkarangan IPD Putrajaya petang tadi.

Pada 5 Januari lalu bekas pengurus cawangan Singapura Bank Falcon Private Bank, Jens Sturzenegger, menghadapi 16 pertuduhan berkaitan siasatan ke atas dana pelaburan Malaysia, 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Menurut Anina isi kandungan laporan yang dibuatnya itu juga akan diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Pejabat Peguam Negara esok.

Jelas Anina beliau membuat laporan polis hari ini setelah membaca laporan Malaysiakini pada 14 Januari lalu yang bertajuk 'Jho Lows Alias Revelation Brings New Twist to 1MDB'.

Beliau mengharapkan siasatan itu dapat dijalankan oleh pihak polis.

"Esok saya akan ke SPRM dan ke pejabat peguam negara untuk menyatakan atas perkara yang sama. Saya harap siasatan itu dapat dilakukan oleh pihak polis," ujarnya.

Menurut Anina lagi beliau terpanggil untuk membuat laporan di atas keputusan mahkamah di Singapura itu kerana isu membabitkan dana RM2.6bilion itu cukup dekat di hatinya.

"Derma politik daripada penderma Arab RM2.6bilion begitu dekat di hati saya kerana isu inilah saya saman Datuk Seri Najib pada 2015.

"Perjuangan saya tidak pernah mati. Isu ini saya akan terus bawa ke hadapan selagi termampu. Ia perlu diselesaikan kerana ia membabitkan kepentingan negara dengan penyelewengan kewangan 1MDB.

"Isu ini wajib saya perjuangkan bersama keseluruhan rakyat Malaysia," ujarnya.

Sturzenegger orang kelima tetapi warga asing pertama didakwa di Singapura di tengah-tengah siasatan global ke atas kegiatan pengubahan wang haram dan rasuah syarikat Malaysia itu. Bagaimanapun 1MDB secara konsisten menafikan sebarang salah laku.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...