TERKINI :

Tuesday, January 10, 2017

AMANAH tidak pernah tolak, tetapi RUU355 perlu dibahas di Parlimen terlebih dahulu

KUALA LUMPUR: Parti AMANAH tidak pernah menolak atau menentang usaha-usaha untuk memperkasakan Mahkamah Syariah di negara ini, malah untuk itu AMANAH telah memberikan pandangan dan cadangan pindaan yang konstruktif berkaitan usul persendirian RUU355 yang ingin dibawa oleh Ahli Parlimen Marang.

Demikian ditegaskan oleh Timbalan Presiden AMANAH, Salahuddin Ayub dalam satu kenyataan kepada Amanahdaily.com

Katanya, satu usul yang mengandungi cadangan-cadangan bagi mencapai maksud memperkasa peranan dan bidang kuasa Mahkamah Syariah telahpun dikemukakan oleh Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud pada sesi belanjawan tahun lepas.

“Kandungan dan maksud usul tersebut adalah jelas dan nyata,” ujar beliau.

Salahuddin berkata, pendirian serta cadangan AMANAH berhubung usul RUU355 akan diberikan di Parlimen apabila usul ini diterima untuk dibahaskan pada mana-mana sesi parlimen akan datang.

AMANAH tegasnya, berpandangan Parlimen adalah pentas yang paling sesuai untuk usul ini dibentang dan dibahaskan.

Terdahulu, Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man telah mengumumkan bahawa parti Islam itu bakal menganjurkan Himpunan 355 pada 18 Februari ini sebagai solidariti sokongan terhadap usaha pindaan tersebut.

Selain itu, Pas juga mengesahkan akan menghantar undangan khas kepada semua parti politik termasuk Amanah dan DAP bagi mengajak pihak berkenaan turut sama menyertai himpunan itu.

Bagaimanapun, ketika diminta mengulas mengenai jemputan khas berkenaan, Salahuddin berkata, pihaknya tidak dapat membuat sebarang keputusan sehingga menerima undangan tersebut secara rasmi.

“Kita (AMANAH) masih tunggu dulu hitam putih dari Pas dan lepas itu baru kita akan buat keputusan sama ada untuk hadir atau pun tidak,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Penerangan Pas, Nasrudin Hassan berkata, jemputan akan dihantar kepada semua pihak, termasuk kepada seterusnya AMANAH dan DAP.

“Kita jemput semua,” katanya ketika ditanya wartawan selepas sidang media.

Beliau berkata proses jemputan akan dibuat seminggu dari sekarang, namun terpulang kepada mereka sama ada untuk menyertainya atau tidak.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...