TERKINI :

Monday, January 16, 2017

AMANAH - Gerakan main isu agama mencari political milleage memenangi undi kaum Cina

KUALA LUMPUR: AMANAH Nasional kesal dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Timbalan Presiden Parti Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai untuk menilai semula kewujudan sekolah agama kerana disifatkan olehnya sebagai ancaman sebenar kepada perpaduan negara.

Naib Presidennya, Dr Hasan Baharom berkata, kenyataan seperti itulah yang sebenarnya boleh menyebabkan dasar perpaduan negara terancam sekaligus membawa kepada jurang integrasi antara kaum bertambah melebar.

Katanya, sekolah agama di negara ini tidak pernah menyekat mana-mana kaum untuk turut serta mengikuti sistem pendidikan yang ditawarkan sekiranya mereka sanggup mengikutinya.

“Masalah perpaduan kaum yang berlaku di negara ini bukanlah disebabkan nilai sistem persekolahan yang sedia ada, tetapi ia bertitik-tolak atas dasar tidak adanya kesungguhan politik yang tuntas di kalangan pihak tertentu,” katanya.

Selain daripada Umno, katanya, parti komponen BN sendiri sering memainkan isu-isu perkauman sebegini untuk survival politik masing-masing.

Kenyataan dari Gerakan ini sendiri sebagai satu contoh kerana ia sebenarnya bertujuan mencari political milleage bagi memenangi undi kaum Cina yang sudah beralih kepada pihak lain.

Sehubungan itu, beliau menegaskan, kenyataan seperti itu tidak wajar diungkapkan oleh seseorang pemimpin yang kesannya besar dalam membawa mesej mengelirukan dan kurang tepat.

“AMANAH menyeru Gerakan agar mencontohi Kerajaan DAP Pulau Pinang khususnya Ketua Menterinya, YAB Lim Guang Eng, yang bukan sahaja mempunyai pandangan lebih positif terhadap pendidikan agama, malahan menggalakkan umat Islam Pulau Pinang mempelajari al-Qur’an dengan sebaiknya,” kata Dr Hasan.

No comments:





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...