TERKINI :

Thursday, December 29, 2016

MUHYIDDIN, MUKHRIZ PERLU "LAJU" URUS PPBM, JANGAN HANYA BERHARAP AURA TUN M..

PPBM secara dasarnya ditubuhkan untuk menyaingi serta mengalahkan UMNO dan BN dalam pilihanraya akan datang. Ia adalah wadah baru bagi orang-orang Melayu setelah UMNO sekarang ini lebih dipergunakan kedudukannya untuk membela dan mempertahankan Najib Razak semata-mata.

PPBM amat beruntung kerana ada Tun Mahathir Mohamad di dalam parti itu selaku pengerusinya. Tun Mahathir harus diakui mempunyai aura besar kepada masyarakat kerana kepintaran, jasa dan sumbangannya selama 22 tahun mentadbir negara. Tanpa Tun Mahathir, PPBM tidak mungkin mampu ke mana-mana.

Di pihak pengurusan parti, PPBM ada Muhyiddin Yassin dan Mukhriz Mahathir selaku gandingan peneraju yang turut dibantu oleh Naib Presiden, Setiausaha Agung, Bendahari, Ketua Penerangan, Ketua-ketua sayap dan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi.

Untuk tujuan menyaingi dan mengalahkan UMNO serta menjadikan parti itu dan Najib akhirnya hilang kuasa melalui pilihanraya, pengaruh Tun Mahathir adalah senjata utamanya. Ditambah dengan Tun Mahathir sudah berbaik dengan Anwar Ibrahim dan diikuti dengan PPBM telah menjalin kerjasama secara rasmi dengan Pakatan Harapan, UMNO yang sudah di hujung tanduk kedudukannya sejak menanggung beban Najib, Rosmah dan keluarganya, sebenarnya semakin menghampiri tanah perkuburan situasinya.

Tidak saja rakyat biasa, mereka yang tidak berparti, orang bandar, separa bandar, profesional dan golongan muda yang semakin meluat dengan UMNO di bawah kepimpinan Najib, malah ramai ahli parti itu sendiri akan melakukan penderhakaan dengan sama ada tidak keluar mengundi atau memberi kemenangan kepada parti alternatif dalam pilihanraya akan datang.

Orang kampung dan orang Felda pun sudah ramai yang beralih angin dan enggan memberikan undi mereka kepada UMNO dan BN.

Rata-rata rakyat sudah sedar bahawa memberi lanjutan kuasa kepada UMNO dan BN tidak lagi bererti apa-apa kepada mereka, sebaliknya hanya bertujuan menyelamatkan kedudukan Najib semata-mata. Setelah menang, silap-silap lagi banyak subsidi akan ditarik dan GST pula dinaikkan lagi untuk membayar hutang yang semakin menimbun.

Tetapi untuk memastikan PPBM dapat memainkan peranan yang berkesan dalam mengalahkan UMNO bersama Pakatan Harapan, parti itu mestilah diurus dengan baik, cekap dan laju. PPBM tidak boleh bergerak terlalu perlahan macam kura-kura atau hanya bergantung kepada aura dan pengaruh Tun Mahathir.

Ia mesti pantas bergerak dan cepat menyelesaikan sama ada urusan pentadbiran, mahu pun masalah-masalah yang timbul.

Team pengurusan PPBM yang diketuai oleh Muhyiddin dan Mukhriz seharusnya tidak berlengah-lengah lagi memastikan parti itu berjalan lancar, sementara auta Tun Mahathir mesti ditumpukan semaksima mungkin peranannya untuk menarik sokongan rakyat.

Apa yang terlihat selama ini hanya peranan Tun Mahathir yang berjalan dengan baik dalam menarik sokongan rakyat. Beliau hampir sepanjang masa bergerak, berceramah, bertemu dengan pelbagai pihak, berfikir, meluahkan pandangan, menghadiri forum, menulis di blog dan macam-macam lagi.

Dalam usianya mencecah 91 tahun, kesungguhannya untuk memulihkan negara ini amat mengkagumkan dan amat menyentuh hati. Di sinilah kekuatan Tun Mahathir dalam menggenggam bara perjuangannya.

Namun, bagaimana dengan pengurusan parti yang sepatutnya digerakkan dengan cekap dan pantas oleh Muhyiddin, Mukhriz serta pasukannya?

Adakah ia telah dan sedang berjalan dengan baik? Apa yang rakyat dapat lihat mengenai PPBM setakat ini?

Selain hanya menubuhkan barisan kepimpinan di peringkat pusat, mengapa kepimpinan di peringkat negeri, bahagian dan cawangan di seluruh negara masih belum dibentuk lagi sehingga ke hari ini?

Bila lagi mahu diumumkan dan dibentuk? Sudahkah digerakkan pasukan untuk meninjau ke negeri, bahagian dan cawangan bagi tujuan itu?

Bukankah tarikh pilihanraya sudah semakin dekat? Bagaimana jika tiba-tiba Najib mengumumkan tarikh pilihanraya ialah pada Mac atau April nanti?

Sudahkah ditubuhkan jentera pilihanraya di pusat-pusat daerah mengundi?

Sempatkah digerakkan semuanya sekaligus menjelang pilihanraya nanti?

Sokongan rakyat kepada PPBM dan agenda perubahan, khususnya untuk menyingkirkan Najib memang tengah "cantik" ketika ini, tetapi aura dan pengaruh Tun Mahathir saja tidak mencukupi untuk tujuan itu.

Ia mesti dibantu oleh pengurusan dan pentadbiran PPBM yang cekap, berkesan dan tersusun.  Malah, aura dan pengaruh Tun Mahathir boleh tenggelam dan tewas disebabkan pengurusan parti yang perlahan dan tidak cekap.

Muhyiddin dan Mukhriz perlu bingkas segera. Jangan terlalu perlahan dan lambat. Gerakkanlah parti dengan segera dan sebaik-baiknya. Janganlah juga bercuti lama-lama ke luar negara. Menyelamatkan negara lebih penting daripada segala-galanya.

Lagi pula, semasa berkuasa dulu, bukankah sudah tiap-tiap tahun pergi bercuti dengan keluarga?

Dalam mengurus PPBM dan memastikan ia mampu berjaya mengalahkan UMNO serta menyingkirkan Najib yang bergelar bilionwan, jangankan pergi bercuti, Muhyiddin dan Mukhriz sepatutnya  juga "tidak boleh tidur pun" bermula daripada tertubuhnya parti itu sehinggalah tarikh PRU 14 akan datang. (SH 29/12/2016).

WOWW...SAMPAI KE LONDON MENTERI CARI TEH TARIK!!

Sebagaimana yang tersebar dalam grup whatsapp dan media sosial, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Jamil Khir Baharom dilaporkan hadir dalam satu program "sessi teh tarik Akta 355" di Malaysia Hall, London pada 27 Disember, baru-baru ini.

Turut  diajak "ngeteh"  bersama dingin salji di kota London itu ialah Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dr. Khairuddin Aman Razali yang juga merupakan Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas Pusat dan Ahli Jawatankuasa  Majlis Syura parti Islam itu.

Mengapa sampai ke London membawa perbincangan Akta 355? 

Apa kaitannya orang-orang Melayu di London dengan akta 355?

Malangnya, bersama gambar-gambar yang turut tersebar, khabarnya "sessi teh tarik" di kota London itu hanya mencatat jumlah kehadiran yang kecil saja.

Kenapa tidak pernah diadakan "sessi teh tarik" membincangkan akta yang sama di dalam negara atau di Jerai yang merupakan kawasan Parlimen Jamil Khir sendiri?

Adakah semua orang dalam negara sudah faham mengenai Akta 355, lalu tidak perlu diadakan sessi dialog atau kerana teh tarik mamak di sini tidak sesedap teh tarik di kota London?

Bila pula Jamil Khir mahu mengadakan "sessi teh tarik" dengan MCA, MIC, Gerakan dan parti-parti komponen di Sabah dan Sarawak yang masih menentang Akta 355 itu?

Apakah mungkin selepas London ini, "sessi teh tarik"  bersama Jamil Khir dan pemimpin Pas juga bakal diadakan di Paris, Amerika, Australia, New Zealand dan lain-lain kota percutian kerana di semua tempat itu juga terdapat orang-orang Melayu Malaysia yang ditakrif "sangat-sangat"  perlu diberikan penerangan berkaitan akta 355? (SH 29/12/2016).

AMANAH jawab isu dari Naib Presiden PAS & janji tak masuk kawasan PKR

Parti Amanah Negara (AMANAH) menegaskan serpihan PAS itu tidak akan bertanding di mana-mana kerusi sekutu politiknya pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Timbalan Presiden Salahuddin Ayub berkata perkara itu telah diputuskan AMANAH secara prinsip, namun ia tertakluk kepada perbincangan bersama parti pembangkang lain pada masa depan.

Bagaimanapun kenyataan Salahudin itu berbeza sama sekali dengan Ketua Penerangan AMANAH Khalid Samad semalam bahawa mereka mahu bertanding di kira-kira 40 kerusi parlimen, termasuk yang dimiliki PKR dan PAS.

"Setakat ini apa yang saya faham AMANAH berada dalam Pakatan Harapan maka saya boleh memberikan jaminan bahawa AMANAH tidak akan bertanding mana-mana kerusi PKR kerana PKR adalah rakan kita dalam HARAPAN dan BERSATU.

"Kemungkinan akan berlaku perundingan kerusi-kerusi yang boleh kita bincang, kerusi-kerusi baru yang mungkin kita boleh buat pertukaran, (misalnya) PKR boleh ambil kerusi parlimen manakala AMANAH tanding di kerusi DUN.

Salahudin berkata demikian ketika ditemui pemberita di perkarangan pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Putrajaya, hari ini.

PAS hari ini mendakwa AMANAH mula menunjukkan belangsebenar kenyataan Khalid itu dikatakan mahu mencuri kerusi.

PAS sasar 100 ribu ahli dalam tempoh 4 bulan

Faiz Zainudin/FMT


KUALA LUMPUR: PAS menyasarkan lebih 100,000 ahli baru sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Naib Presiden PAS, Datuk Iskandar Abdul Samad berkata bagi merealisasikan jumlah tersebut, ia melancarkan kempen “PAS Pilihanku” bermula 1 Januari hingga 15 April 2017.

“PAS akan melancarkan kempen ‘PAS Pilihanku’ bermula 1 Januari hingga 15 April 2017 bagi menggalakkan semua kawasan menambahkan keahlian dan ia akan dibuat dalam bentuk pertandingan.

“Kempen akan dilancarkan bermula 1 Januari di peringkat negeri sebelum dirasmikan presiden PAS pada 22 Januari di Shah Alam. Jumlah sasaran sepanjang tempoh kempen ialah 131,226 ahli baru, 15% daripada jumlah secara keseluruhan ahli parti,” katanya semasa sidang media di ibu pejabat parti itu, hari ini.

Menurut beliau, langkah ini diambil berdasarkan kecenderungan yang tinggi di kalangan masyarakat terhadap parti Islam itu.

Katanya, Kedah, Kelantan dan Selangor antara 3 negeri yang disasar untuk meningkatkan jumlah ahli tertinggi.

“Sasaran minima akan ditetapkan di setiap negeri iaitu 15% dan jumlah ahli yang kita sasarkan paling tinggi ialah Kedah (25,808), ke-2 Kelantan (18,255) dan ke-3 Selangor (15,659). Kami yakin akan capai sasaran itu,” katanya.

Beliau turut menafikan berasa terancam dengan penubuhan Amanah sehingga melancarkan kempen penambahan ahli.

“Bukan sebab ancaman tapi sebab permintaan. Kita tengok ada permintaan tinggi. Kalau ada ancaman atau berasa tidak selamat, kita tidak akan letak sasaran,” katanya.

Sehingga November lepas, PAS mempunyai jumlah 874,838 ahli selepas mengemaskini data mereka.





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...