TERKINI :

Wednesday, December 28, 2016

Adakah RUU355 Marang juga akan berakhir di Laut China Selatan pada MAC 2017 nanti..

BERAKHIR DI MARANG

Ramai hari ni upload gambar Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom bersama Ketua Penerangan Parti Islam dalam satu majlis di London. Majlis tersebut khabarnya membincangkan tentang hasrat meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidangkuasa Jenayah) 1965 (Akta 355).

Hasrat meminda Akta 355 ini menggila dengan tindakan Ahli Dewan Rakyat Marang memasukkan usul membawa Rang Undang-Undang Persendirian yang sudah tiga kali dipinda usulnya dan sudah 2 kali ditangguhkan pembentangannya oleh Marang sendiri.

Apa agaknya kesudahan polemik pindaan Akta 355 ini? Aku sendiri telah berulangkali malah sudah menyampah menulis isu ini tetapi kali ini aku hanya nak MAKLUMKAN lebih awal apa akan berlaku seterusnya.

Presiden Umno yang juga Malaysia Official 1 (MO1) yang terkenal seluruh dunia mengkelepet duit negara dalam Persidangan Agung Umno yang lepas sebutkan bahawa cadangan pindaan Akta 355 ini akan diambil alih oleh Kerajaan nanti. Itu suatu gambaran awal bahawa cadangan ini akan lepas daripada genggaman Marang tetapi ketika itu aku merasakan ianya prosedur biasa mengikut Peraturan Mesyuarat 49 Dewan Rakyat.

Perlu faham bahawa mengikut Peraturan Mesyuarat 49 selepas usul diluluskan, ianya hanya menjadi Bacaan Pertama. Bacaan Kedua akan diambil alih oleh Kerajaan yang mana Timbalan Perdana Menteri sebutkan dalam taklimatnya kepada semua Ahli Dewan Rakyat Melayu Muslim bahawa Kerajaan akan menubuhkan Jawatankuasa Pilihan Khas melibatkan Ahli Dewan Rakyat semua parti. Selepas penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas barulah Bacaan Kedua dibuat oleh Kerajaan. Ini prosedur biasa di bawah Peraturan Mesyuarat 49.

Tetapi baru-baru ini aku mendapat maklumat bahawa ianya tidak akan berlaku seperti itu. Pada sidang Dewan Rakyat Mac 2017 nanti, usul Marang akan lenyap dari muka bumi Malaysia. HILANG TERUS. Kenapa? Ini kerana maklumat yang aku perolehi maklumkan bahawa Kerajaan akan terus mengusulkan pindaan Akta 355 sebagai Bacaan Pertama. Pindaan Akta 355  bukan lagi melalui Private Bill Marang tetapi menjadi urusan Kerajaan.

Sebenarnya inilah juga yang dicadangkan oleh Jawatankuasa Teknikal suatu ketika dulu tetapi dicilok oleh Marang menyebabkan haru biru 1Malaysia.

Aku faham para walaunta dan walaunggas akan bertempiaran melolong gembira mengatakan bahawa ianya kemenangan mereka kerana jika tidak kerana istiqomah Marang membawa usul masakan Kerajaan akan mengambil perhatian. Alasan itu biasa saja.

Apa yang mereka lupa ialah Umno sengaja mempermainkan mereka selama 2 tahun sehingga mereka berpecah belah sesama mereka dan parti-parti lain. Mereka dilalaikan dengan pindaan ini sehingga lupa tugas mereka memperjuangkan hak rakyat terbanyak yang terus dilanyak Najib & Umno. Mereka dipicit halkum daripada membantah kejahatan Najib.

Dari dulu lagi kita juga secara konsisten (istiqomah) menyatakan bahawa pindaan Akta 355 ini urusan Kerajaan jika mereka benar-benar ikhlas. Sekarang apabila mereka sudah dilemahkan, dilonglaikan, dilalaikan akhirnya Umno hanya ambil air basuh kemaluan setelah puas lebai dikencing. Tinggallah lebai keharingan bersendirian.

TUNGGU SAJA MAC 2017 nanti dan saksikan sendiri. Aku jarang silap.

Zulhazmi Shariff.
28/12/2016

DI MANA LEBIH BANYAK PAHALA, BERIBADAH ATAU MELAWAN RASUAH?

Mufti Perak, Harussani Zakaria dilaporkan meminta Tun Mahathir Mohamad supaya berhenti daripada terus mencari jalan untuk menjatuhkan kerajaan pimpinan Najib Razak, sebaliknya menggunakan baki usia yang ada untuk memperbaiki serta meningkatkan amalan seharian.

Saya nasihatkan berhentilah mencari jalan yang bukan-bukan untuk menjatuhkan orang lain, lebih baik beramal di hujung usia yang masih ada, kata beliau.

Seperti biasa, inilah selalunya wajah sebenar para mufti, kecuali seorang dua iaitu diam atau tidak berani menegur segala kebejatan pemerintah, tetapi pantas membuka mulut kepada orang lain yang berani mengkritik kerajaan?

Apakah saranan agar memperbaiki amalan sendiri itu suatu perkara yang betul dan perlu diutamakan pada pandangan ulama dan agamawan apabila berdepan kekalutan yang kronik dalam negara?

Apakah Harussani faham mengenai skandal 1MDB, SRC International, pemecatan Peguam Negara, perlambakan kontrak-kontrak kerajaan pada harga tinggi kepada China, pembelian Eagle High oleh Felda yang lebih RM1.43 bilion berbanding harga pasaran serta  seribu satu kemungkaran yang lain yang berlaku silih berganti?

Bila Harussani mahu menegur Najib berkaitan semua perkara di atas, termasuk berkaitan pembaziran serta kemewahan melampau yang menjadi budaya keluarga Perdana Menteri  sejak menduduki Seri Perdana?

Tidakkah apabila Tun Mahathir bersuara, beliau sebenarnya telah melakukan amalan fardu kifayah yang turut mendatangkan pahala, bukan saja kepada dirinya tetapi juga kepada orang lain?

Selain itu, mana Harussani tahu Tun Mahathir tidak memperbaiki dan meningkatkan amalan peribadinya di hujung usia?

Apakah pahala dan bekalan ke akhirat hanya ada di atas sejadah sahaja?

Antara meningkat dan memperbaiki amalan peribadi dengan berjuang dalam konteks yang lebih besar untuk menyelamatkan negara, yang manakah memberi pahala lebih besar?

Apabila Harussani menegur Tun Mahathir, sebenarnya rakyat negara ini lebih banyak lagi pertanyaan untuk ditujukan kepadanya sehingga ada yang bertanya, sudah cukupkah amalan peribadi mufti itu sendiri untuk menampung dosa atas sikapnya yang lebih condong kepada kerajaan kleptokrasi sekarang ini?

Apakah menegur Tun Mahathir yang sedang berjuang menyelamatkan negara memberi pahala lebih besar bagi Harussani berbanding bersekongkol dan mengampu kerajaan dan pemimpinnya yang terang-terang kesalahannya diperkatakan di seluruh dunia? (SH 28/12/2016).

BR1M - ANTARA RASUAH DAN AUTA MURAH HATI

Tersentak dan tergelujat beberapa menteri UMNO apabila Tun Mahathir Mohamad tampil dengan serangan terbarunya bahawa pemberian BR1M adalah rasuah dan perbuatan yang salah.

Berlumba-lumba mereka tampil mempertahankannya kerana BR1M, selain pertandingan tiga penjuru, adalah dua senjata yang masih tinggal buat UMNO dan BN untuk memenangi pilihanraya akan datang.

Nak harapkan imej dan wibawa Najib....hancur.

Nak bergantung personaliti menteri-menteri....pun hancur.

Nak harapkan 1MDB....juga hancur.

Nak bergantung kepada Felda dan FGV...pun mula hancur.

Tiada apa yang tinggal untuk UMNO dan BN memenangi pilihanraya akan datang, selain mengharapkan perpecahan pembangkang akan berterusan dan berlakunya pertandingan tiga penjuru serta ditambah dengan gula-gula BR1M yang seolah-olah menggambarkan Najib seorang pemimpin yang pemurah lagi baik hati.

Jika pembangkang mula bersatu hati dan BR1M juga ditolak, makin dekatlah Najib, UMNO dan BN menemui titik penamatnya di hati rakyat.

Untuk menilai dakwaan Tun Mahathir bahawa BR1M adalah rasuah, mari kita teliti serta amati ulasan Mohamad Ezam Mohd Nor yang pernah bertugas sebagai Pengarah Komunikasi Strategik di Kementerian Kewangan:-

1. Dakwaan Tun M unsur rasuah dalam BR1M bukan tanpa asas. Hisbah berpandangan ianya  mempunyai asas dan perlu diteliti.

2. Kita maklum rencana asal BR1M datang dari Bank Negara dan pada hemat Hisbah ianya mempunyai merit dari sudut ekonomi dan juga sosial.

3. Semasa di Kementerian Kewangan saya sendiri pernah menyatakan dari sudut Islam pemberian cara ini amat dekat dengan prinsip pemberian zakat dalam islam kerana ada tumpuan kumpulan sasar seperti konsep asnaf.

4. Persoalan rasuah timbul apabila pemimpin politik yang desperado dan terdesak ambil kesempatan dari konsep dan rencana yang baik ini untuk tujuan dan kepentingan politik.

5. Buktinya didalam ucapan penggulungan perhimpunan UMNO baru2 ini Presiden UMNO  umum bahawa pemberian BR1M 3 fasa dan fasa akhir di berikan melalui UMNO bahagian.

6. Di sini wujud elemen rasuah kerana UMNO berkepentingan sbg parti yang mahu meraih undi. Memberi wang secara langsung kepada pengundi oleh sebuah parti yang akan sertai pilihanraya boleh menjadikan perbuatan memberi itu kepada perbuatan merasuah.

7. Kalau tiada niat mempengaruhi dan merasuah mengapa pemberian melalui UMNO? Dari sudut pentadbiran kewangan negara juga salah kerana UMNO adalah sebuah parti bukan sebahagian jentera kerajaan. Sumber dana BR1M adalah dari hasil cukai rakyat kepada kerajaan. Cukai dan hasil kerajaan bukan bersumber dari ahli umno sahaja. Mengapa UMNO mendapat hak eksklusif membuat pemberian? Mengapa parti lain tidak mendapat hak ini?

8. inilah satu lagi bukti bagaimana dasar baik disalahguna bila pemimpin sudah terdesak dan mahu terus bergayut pada kuasa dengan apa cara sekalipun (at all cost).

9. Kesimpulannya dakwaan Tun Mahathir ada unsur rasuah didalam BR1M bukan tidak berasas sama sekali. Dakwaan itu ada asasnya pada hemat Hisbah.

Mohamad Ezam Mohd Nor
Pengerusi Hisbah
27 Disember 2016

Dalam pada itu, BR1M juga adalah auta licik Najib, UMNO dan BN untuk melakukan silap mata kepada rakyat. BR1M menampakkan seolah-olah sikap pemurah dan memberi, tetapi sebenarnya wang rakyat diambil semula melalui GST dalam jumlah yang lebih daripada yang diberi.

Jika seseorang membelanjakan RM70 sehari atau RM2000 sebulan untuk perbelanjaan keluarga, bayaran bil dan lain-lainnya misalnya, bermakna GST 6 peratus yang perlu dibayar ialah RM120 setiap bulan.

Dalam setahun, ia menjadi RM2000 x 12 bulan  = RM24,000.

Bermakna GST 6 peratus yang dibayar bagi perbelanjaan RM24,000 setahun ialah RM1,440.00.

Jika perbelanjaan harian meningkat kepada RM100 sehari atau RM3000 sebulan, maka GST yang perlu dibayar ialah RM180 setiap bulan.

Jika setahun, ia menjadi RM3000 x 12 bulan = RM36,000. Daripada jumlah itu, cukai GST 6 peratus yang perlu dibayar ialah RM2,160.

Kiranya seseorang itu menerima BR1M sebanyak RM1200 setahun, tanpa sedar sebenarnya apa yang kerajaan beri itu amat kurang berbanding  cukai GST yang penerima BR1M bayar kepada kerajaan.

Lihat, nampak BR1M seperti memberi dan murah hati, namun sebenarnya wang kita diambil kemblai dengan jumlah yang lebih daripada itu melalui GST. Licik dan auta kan!!

Tanpa BR1M dan GST, rakyat Malaysia jauh lebih bahagia kehidupan mereka. (SH 27/12/2016).





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...