TERKINI :

Thursday, December 22, 2016

PRU 14 : Bukti nyata UMNO akan menang besar

Saya beberapa kali ditanya oleh teman-teman tentang potensi UMNO dalam PRU 14. Saya dengan penuh yakin memberitahu UMNO akan mencapai kemenangan besar sekaligus menyumbang kepada kelestarian BN sebagai parti kerajaan. Walaupun teman-teman di luar UMNO kurang gembira dengan jawapan itu, saya mempunyai beberapa hujah yang menyokong ramalan saya.

Pertama, UMNO terbukti sebuah parti yang tidak menghadapi masalah. Memang ada yang tidak setia kerana ingkar arahan ketua. Tetapi semua iti sudah keluar bukan lagi masalah UMNO.

Maknanya yang masih ada dalam UMNO tidak menimbulkan masalah dari segi kesetiaan. Kesetiaan yang ada dalam UMNO jangan diperkecilkan, ini terbukti luahan kesetiaan pada Perhimpunan Agung UMNO yang baru lalu.

Tidak ada satu pun pun pemimpin yang mempersoalkan kepimpinan tertinggi dalam isu integriti. Ini satu sikap mempertahan ketua yang sangat baik dalam UMNO.
Kedua, UMNO adalah satu-satunya parti yang melindungi orang Melayu. Siapa sahaja asalkan Melayu. UMNO juga menegakkan Islam di negara ini dengan membanteras perbuatan yang bertentangan dengan Islam dalam kalangan pemimpin UMNO.

UMNO juga mempunyai sekutu bukan Malayu dan bukan Islam, MCA, MIC dan Gerakan kuat menyokong UMNO dalam soal memartabatkan Islam di negara ini.
UMNO membanteras rasuah hingga ke akar umbi dan tidak seorang pun pemimpin UMNO yang terlepas, kecuali tidak didakwa di mahkamah. Pendakwaan adalah hak mutlak Peguam Negara yang arif tentang undang-undang. Ini tidak ada kena mengena dengan UMNO.

Ketiga, UMNO tidak seperti pembangkang yang mendapat dana politik daripada pihak asing. Setakat ini tidak ada bukti UMNO menerima dana asing. Atas nama UMNO tidak ada dana asing.

Keempat, semua penganalisis termasuk yang terdiri daripada kalangan ahli akademik memberikan analisis yang memuaskan tentang potensi UMNO menghadapi PRU 14. Tidak ada dalam kalangan penganalisis membayangkan UMNO dalam bahaya. Ini sesungguhnya membuktikan kekuatan UMNO.

UMNO adalah satu-satunya parti politik yang tidak berpolitik. UMNO semata-mata berkerja dan berkorban untuk rakyat. Ini ditegaskan oleh banyak pemimpin UMNO.

Kelima, pemimpin-pemimpin UMNO yang ada skandal seks bukan lagi bersama-sama UMNO. Yang tinggal dalam semuanya yang bersih sekaligus menjunjung ajaran Islam yang sebenarnya. UMNO sangat tegas dalam isu ini.

Keenam, semua parti pembangkang kecuali Pas berada dalam keadaan terdesak. Ini disahkan berulang kali oleh pemimpin-pemimpin tinggi UMNO dalam banyak ucapan mereka.

Ketujuh dan terakhir, UMNO mempunyai yang pembangkang tidak ada; Perdana Menteri, Menteri, Timbalan Menteri, penjawat awam, kementerian, agensi kerajaan, Pengerusi JKKK dan Makam Pahlawan di Masjid Negara.

Pejuang kemerdekaan, Pak Sako, A Samad Ismail, Said Zahari malah Mat Kilau tidak disemadikan di Makam Pahlawan kerana mereka bukan UMNO.

Disebabkan UMNO muncul sebagai parti yang kuat lagi dominan dari pelbagai aspek, UMNO tidak perlu berkerja keras untuk menang selesa dan cemerlang dalam PRU 14.
Maka UMNO tidak perlu membuang masa bercakap mengenai pembangkang. Biarlah apa pun nak jadi dengan pembangkang, ini bukan tanggungjawab UMNO. Tidak perlu memberi publisiti percuma kepada pembangkang dalam media kawalannya.

Posted by ku_seman

Menteri Kewangan Kedua puji Singapura hukum penjenayah 1MDB

 Johari Abdul Ghani
Menteri Kewangan Kedua, Datuk Johari Abdul Ghani memuji Pihak Berkuasa Kewangan Singapura berikutan tindakan pantasnya ke atas pengubahan wang haram berkaitan 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

"Sangat bagus. Mereka telah mengambil tindakan. Sangat bagus," katanya ketika diminta mengulas mengenai tiga individu setakat ini yang didapati bersalah menyeleweng dana daripada 1MDB.

Dilaporkan bekas kakitangan Bank BSI milik Switzerland, Yeo Jiawei menjadi individu ketiga yang didapati bersalah dalam siasatan 1MDB oleh Singapura. Dua lagi bekas pagawai bank BSI juga telah dipenjarakan kerana penipuan berkaitan kes itu.

Johari menggesa semua bank membantu siasatan berkaitan 1MDB.

"Mengenai Malaysia, kita sedang melalui proses (siasatan) itu," katanya pada majlis sambutan ulang tahun ke-20 Laluan LRT KL-Ampang oleh Prasarana Malaysia Bhd di Bukit Jalil hari ini.

Johari juga menegaskan tidak ada aktiviti perniagaan di 1MDB.

"Lari bermakna kita tidak akan menjalankan sebarang perniagaan di 1MDB. Ia menjadi syarikat tidak aktif," katanya ketika ditanya mengenai temubual beliau sebelum ini dengan sebuah agensi berita di mana beliau menyatakan kerajaan akan 'lari dengan 1MDB.'

Hotel Jamal diroboh, adakah Azmin berdendam atau resort beroperasi tanpa lesen

Hotel diroboh, Jamal dakwa Azmin berdendam

FMT Reporters

PETALING JAYA: Datuk Seri Jamal Md Yunos hari ini mendakwa Datuk Seri Azmin Ali mengarahkan hotel miliknya Sekin Fishermen Village Hotel & Resort dirobohkan serta-merta kerana dendam susulan kritikannya terhadap isu gangguan air.

Ketua Umno Bahagian Sungai Besar itu berkata Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) diarahkan merobohkan premis perniagaannya atas arahan Azmin yang juga menteri besar Selangor.

“Pagi tampal notis, petang ini roboh. Ini tindakan balas dendam kerajaan negeri terhadap kelantangan saya mengkritik kerajaan di bawah pimpinan Azmin.

“Apa yang saya lakukan ini adalah untuk kepentingan rakyat Selangor yang derita dengan masalah air,” katanya kepada FMT.

Berdasarkan notis yang diterima FMT, MDSB menghantar notis perintah menutup hotel milik Jamal yang berada di Jalan Pantai Redang, Sekinchan berkuat kuasa hari ini dan pemeriksaan semula premis itu akan dibuat pada 4 Januari depan.

Tetapi, MDSB sudah pun menjalankan kerja merobohkan premis itu pada hari ini.

Arahan itu menyebut Jamal sebagai pemilik premis menjalankan aktiviti perhotelan tanpa lesen sah daripada pihak berkuasa melesen mengikut UUK 3(1) Undang-undang Kecil Hotel MDSB 2013.

Mengulas mengenai notis itu, Jamal berkata pihaknya memohon permit sejak 5 tahun lalu tetapi tidak diluluskan MDSB walaupun pelbagai dokumen lengkap disediakan.

“Sudah 5 tahun berniaga, saya sudah mohon lesen sejak 5 tahun lalu dengan semua syarat dan bayaran dibuat kepada majlis,” katanya.

Semalam, Jamal datang ke Bangunan SUK Selangor dengan hanya bertuala bagi membantah gangguan bekalan air besar-besaran di sekitar Lembah Klang sejak Isnin lalu, bagi memberi laluan kerja penyelenggaraan pencawang Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Bukit Badong.

KUASA MELAYU HILANG APABILA UMNO KALAH?

Menjawab serangan UMNO & PasHA
https://goo.gl/xDuz6o
Oleh: Zainulfaqar Yaacob*

Sejak tahun 1969, DAP sertai pilihan raya di tanah air ini.

Sehingga kini, DAP bersama-sama parti-parti pembangkang lain masih belum berjaya mendapatkan mandat rakyat untuk menubuhkan Kerajaan Persekutuan.

Ertinya DAP sudah begitu banyak kali kalah dalam PRU13.

Namun, DAP masih mengambil bahagian dalam proses demokrasi dan pilihan raya.

Ini kerana, DAP adalah parti yang sah ditubuhkan di bawah Penfadtar Pertubuhan (ROS).

Jika UMNO kalah dalam PRU14 akan datang, parti perkauman itu hanya kalah dalam pilihan raya sahaja, dan masih boleh mengambil bahagian dalam proses pilihan raya negara secara demokratik, seperti DAP pada hari ini.

*Kalah di Pulau Pinang*

Kekalahan Barisan Nasional dalam PRU12 (8 Mac 2008) di Pulau Pinang sekaligus menunjukkan UMNO yang masih mempunyai 10 ADUN kini pun kalah, kerana mereka tidak lagi menguasai Kerajaan Negeri ini.

Adakah kuasa Melayu sehingga kini telah hilang, selepas UMNO kalah di Pulau Pinang sejak tahun 2008?

*Khianat Melayu Punca Umno Kalah*

Pada tahun 2010, 9.362 ekar tanah milik 31 Melayu Kampung Terang dekat Balik Pulau secara spekulatif.

Syarikat broker tanah terbabit mengaut keuntungan 'jual atas angin' sejumlah RM5  juta dalam tempoh tidak sampai empat bulan.

Dan, sehingga kini Setiausaha Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir dan Ketua UMNO Bahagian Bukit Gelugor Dato' Omar Faudzar yang dikaitkan dengan syarikat broker tanah itu diam seribu bahasa.

Yang mendedahkan skandal tersebut ketika itu adalah pemimpin Melayu, Dato' Abdul Halim Hussain.

Siapa beliau? Dato' Abdul Halim adalah Ketua PKR Cabang Balik Pulau. Dato' Abdul Halim juga Timbalan Yang di-Pertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP).

Apa yang wajib ditegaskan di sini, Melayu untung apabila UMNO kalah di Pulau Pinang.

Umumnya, Melayu Pulau Pinang tahu bahawa semua pengkhianatan atas tanah pusaka mereka di Balik Pulau ini kerana ada pemimpin Melayu seperti Dato' Abdul Halim yang lantang, selepas UMNO kalah di Pulau Pinang.

Adakah kuasa Melayu di Pulau Pinang sekarang ini telah hilang, selepas dua penggal Umno kalah di negeri ini?

Melayu Pulau Pinang hari ini yakin bahawa hanya Umno sahaja kalah di negeri ini.

Melayu wajib kuatkan keyakinan mereka bahawa Melayu tidak akan hilang kuasa jika Umno kalah di seluruh negara dalam PRU14.

*Nasib Melayu Desa*

Seorang lagi pemimpin Melayu Pulau Pinang, Dr. Afif Bahardin ada mengumumkan Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang hari ini melalui Bajet 2017 Negeri ada memperuntukkan RM3 juta untuk pembangunan desa, termasuk membantu ekonomi Melayu.

Dr. Afif adalah Timbalan Ketua Pemuda bagi Angkatan Muda KeADILan (AMK) di peringkat nasional PKR. Di Pulau Pinang, Dr. Afif adalah Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan.

Baru-baru ini, Dr. Afif lancar Program Jelajah Desa 2016 untuk masuk ke kampung, bela nasib rakyat, termasuk bantu ekonomi orang Melayu.

Apa yang Kerajaan Negeri dan Dr. Afif bantu perbaik nasib orang Islam dan umat Melayu di Pulau Pinang?

Kita ambil rekod di Seberang Perai dahulu kerana Forum "Kuasa Melayu Hilang Bila Umno Kalah" berlangsung di sini kini, 21 Disember.

Jamilah Zainol, umur 45 tahun, seorang ibu tunggal terima sebuah rumah baharu bernilai RM40,000 daripada Kerajaan Pulau Pinang melalui Program Bina Rumah Baru di Kampung Pasir Gebu dekat Penaga.

Pak Saad, 85 tahun di Kampung Pak Elong Penaga pun dapat rumah RM40,000 dalam Program Jelajah Desa 2016 baru-baru ini.

Di Kampung Tepi Laut Pasir Gebu dekat Penaga juga, Melayu bernama Othman Mohd. Isa diberi 10 ekar tanah pendudukan sementara (TOL) oleh Kerajaan Negeri, untuk peladangan nipah dan perusahaan air nira.

Khatijah Zainon, umur 39 tahun di Taman Penaga Permai terima mesin ketuhar bernilai RM2,100 untuk mengembangkan peniagaan kuih muih beliau.

Di bahagian Pulau juga, Melayu Desa dibantu di bawah Program Ekonomi Khas dan Projek Bina Rumah Baru.

Antaranya, Rabihah Abdul Manap dekat Jalan Persiaran Sungai Gelugor dapat rumah RM40,000 ini.

Bantuan peralatan niaga yang pelbagai bernilai RM2,968 untuk Lizarosnita Zakariah di Daerah Timur Laut; selain mesin pengadun kuih bernilai RM2,980 untuk Md. Amin Babjan dan isteri, Zarina Shaari.

Di Seberang Jaya, 21 Disember lepas, Dr. Afif sendiri baru menyampaikan RM100 insentif kepada 73 pelajar cemerlang UPSR.

Sebenarnya banyak lagi bantuan Kerajaan Negeri untuk rakyat, termasuk membela nasib Melayu di kampung dan desa.

Adakah Melayu hilang kuasa selepas Umno kalah di Pulau Pinang? Jawapannya, tidak!

*Di mana untung Melayu Pulau Pinang?*

Dulu, Ketua Menteri Datuk Seri Dr. Koh Tsu Koon. Sekarang, Sdr. Lim Guan Eng. Ertinya, Ketua Menteri dahulu dan sekarang adalah Cina.

Exco Agama Islam dahulu adalah Melayu dan Islam. Sekarang, pemimpin Melayu daripada PKR, Dato' Abdul Malik Abul Kassim yang menjaga hal ehwal agama Islam di Pulau Pinang.

Ertinya, kuasa Melayu yang memegang jawatan Exco berkaitan agama adalah sama, masih Melayu Islam.

Cuma, peruntukan Islam waktu Umno masih memerintah Pulau Pinang pada tahun 2008 (sehingga Mac) hanya RM25.49 juta, berbanding sekarang yang direkodkan RM35.78 juta (2009), RM37.85 juta (2010), RM63.21 juta (2011), RM64.03 juta (2012), RM54.55 juta (2013), RM51.17 juta (2014) dan sebagainya.

Ini, angka umum. Selepas ini, akan dibawa rekod rasmi di Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang baru-baru ini - berapakah sebenarnya yang telah pun pentadbiran Guan Eng ini belanja untuk orang Islam dan umat Melayu di negeri ini?

*Memartabat Islam*

Daripada aspek lain, walaupun Umno kalah di Pulau Pinang, tak ada lagi masjid yang menjadi tempat orang Islam dan umat Melayu amal ibadat diruntuhkan.

Bawah Dato' Abdul Malik, ada Masjid Umar Abdul Aziz bernilai RM4.01 juta siap didirikan di KADUN Batu Maung pada Jun lepas.

1 Disember lalu, bangunan baharu tiga tingkat Sekolah Rendah Islam Maahad At-Tarbiah (SRIMAT) dekat Guar Jering, Penanti yang bernilai RM1.3 juta baru dirasmikan.

Sdr. Anwar Ibrahim yang minta bangunan baharu itu pada tahun 2015.

Dan, pentadbiran Ketua Menteri Sdr. Lim Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP meluluskan semua permohonam peruntukan RM1.3 juta itu.

Ini berlaku sekarang, ketika Umno kalah di Pulau Pinang.

Adakah kuasa Melayu hilang sejak Umno kalah di Pulau Pinang?

*Memperkasa Mahkamah Syariah*

Selain itu, pentadbiran Guan Eng yang digambarkan anti Islam menyerahkan 3.49 ekar bernilai RM80 juta di Jalan Scotland untuk pembangunan Kompleks Mahkamah Syariah Pulau Pinang.

Kini, kompleks mahkamah syariah paling canggih di Malaysia itu hampir siap, dan ini selari dengan hasrat Kerajaan Negeri untuk memartabatkan agama serta umat Melayu-Islam Pulau Pinang, sebagaimana dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan.

Ini satu lagi bukti Melayu dan Islam tak hilang kuasa pun apabila Umno tewas di Pulau Pinang?

Bayangkan jika UMNO kalah di seluruh negara dalam PRU14, takkan Melayu akan hilang kuasa?

Atau, Umno sebenarnya hilang kuasa dalam Kerajaan Pusat, sebagaimana mereka hilang kuasa untuk menipu dan mengkhianati Melayu seperti didedahkan di Pulau Pinang sebelum ini?

*Belanja RM49.37 Juta Demi Islam?*

Sebagaimana dijanjikan, ini rekod rasmi yang dikeluarkan daripada Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang baru-baru ini.

Untuk rekod, sejumlah RM49,375,900 diperuntukan oleh Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang untuk pembangunan Hal Ehwal Agama Islam bagi tahun 2017, seperti berikut:

● RM1,750,000 untuk program bantuan pendidikan kepada Sekolah Agama Rakyat (SAR);

● RM930 000 untuk sumbangan Ex-Gracia guru-guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA);

● RM9,050,020 untuk projek-projek pembangunan Jabatan Hal Ehwal Agama dan Masjid Negeri;

● RM21,469,280 untuk peruntukan pengurusan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam;

● RM2,964,270 untuk peruntukan mengurus Jabatan Mufti;

● RM7,642,330 untuk peruntukan mengurus Jabatan Kehakiman Syariah;

● RM3,000,000 untuk bayaran saguhati pegawai-pegawai masjid; dan

● RM2,570,000 untuk bantuan khas wang/bonus kepada guru KAFA, guru agama, guru pondok, guru tahfiz, guru Tadika Islam (TADIS), sumbangan kepada Ijtimak Huffaz, sumbangan kepada masjid sempena bukan Ramadan, sambutan Maal Hijrah, Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri, Ujian Menghafaz Al-Quran, Pertandingan Nasyid, Sambutan Maulidur Rasul, peruntukan MMK Agama dan Tabung Perumahan Agama Islam.

"Tuduhan media massa BN (Barisan Nasional) bahawa kita (Kerajaan Negeri) hanya peruntukan RM8 juta sahaja, ini satu lagi dusta dan fitnah.

"Pecahan peruntukan Kerajaan Negeri 2017 untuk pembangunan Hal Ehwal Agama Islam, jumlah peruntukan terkumpul sebenarnya hampir RM50 juta (RM49,375,900)," ujar Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP.

Guan Eng yang  juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Penerangan, Kebudayaan & Kesenian, Warisan dan Hal Ehwal Bukan Islam pada sesi penggulungan ucapan Bajet 2017 Negeri di dalam DUN Pulau Pinang, 17 November lalu.

Sekali lagi, elok kita berbincang persoalan pokok di sini - Adakah kuasa Melayu akan hilang jika Umno kalah PRU14 nanti?

Bagi saya, Umno percaya mereka pasti hilang kuasa untuk merompak tanah milik Melayu, membazir wang rakyat, menyeleweng dan rasuah.

Berdasarkan rekod kejayaan pemimpin Melayu daripada KeADILan, DAP dan terbaru AMANAH dalam Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam mengangkat taraf hidup orang Islam dan umat Melayu sehingga kini, wajiblah kita semua menggembleng undi sokongan semua rakyat tanpa mengira kaum untuk memastikan Umno BN kalah di seluruh negara dalam PRU14 nanti.

Setuju?

Istiqamah bersama Sheikh Hadi

Al-Abror Mohd Yusuf
22 Dis 2016, tengahari 11:33 (Dikemaskini 22 Dis 2016, tengahari 12:40)

ULASAN l Suatu ketika dulu Tun Abdullah Ahmad Badawi kadang-kadang terlewat tiba di sesuatu majlis.

Suka atau tidak, wartawan yang ditugaskan membuat liputan terpaksalah menunggu sehingga beliau tiba. Dia bukan sembarangan. Abdullah ialah seorang perdana menteri.


Di pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia di Butterworth, ketika wartawan semakin gelisah menunggu ketibaan Abdullah, seorang wartawan berbisik: "Pak Lah bukan saja-saja lewat. Dia ada gerak hati."

Maksudnya - lebih kurang - kelewatan Abdullah tiba di sesuatu tempat untuk sebarang majlis bukanlah kelemahan ahli politik dari Pulau Pinang itu. Kira-kira beliau mempunyai ilham 'dari langit' yang disepadukan dengan naluri tersendiri - mengikut kata seseorang tadi.

Percaya atau tidak, ia adalah soal lain.

Itu Abdullah. Secara umum Abdullah bukanlah seorang ulama walaupun bapanya memang terkenal sebagai ilmuan disegani dan beliau belajar ilmu agama di universiti.

Jika Abdullah pun ada naluri dan ilham sendiri, tentulah Datuk Seri Abdul Hadi Awang memiliki kehebatan yang lebih tinggi. Abdul Hadi seorang ulama, tuan guru dan kini, sheikh.

Justeru kita sangat wajar berlapang dada dengan keputusan beliau pergi ke Tehran di saat Iran disebut-sebut sebagai penyumbang kepada krisis berpanjangan di Syria.

Seseorang itu ada haknya sendiri dan Abdul Hadi menggunakan hak berkenaan untuk membiarkan dirinya berada di tengah kerumunan ayatullah di Tehran.

Ia kira-kira samalah dengan hak Abdul Hadi untuk hadir atau tidak ke sidang Dewan Rakyat atau DUN Terengganu.

Dan beliau bukan saja-sana berjumpa dengan ilmuan Syiah di Tehran. Abdul Hadi membawa misi kemanusiaan dan perdamaian yang besar bertaraf global.

Tambahan pula persidangan yang dianjurkan kerajaan Iran itu adalah berkaitan persefahaman antara mazhab. Untuk yang belum benar-benar faham, sebahagian daripada konflik yang berlaku di atas dunia ini berpunca daripada kekejangan fahaman mazhab itulah.

Abdul Hadi ke sana dalam misi beliau untuk mengendurkan ketegangan itu. Jika tidak ada pilihan, beliau mungkin boleh memberi amaran keras kepada rejim Bashar al-Assad atau sesiapa yang terlibat, sama seperti beliau memberi amaran kepada Aung San Suu Kyi baru-baru ini.

Uslub dakwah dan siasah

Pemuda PAS sendiri bagaikan sudah menghantar isyarat lebih awal mengenai penglibatan Abdul Hadi dan ramuan bergeliganya bagi menyelesaikan konflik global.

Pada 15 Disember lalu Timbalan Ketua Pemuda PAS Muhammad Khalil Abdul Hadi, menyatakan parti itu menawarkan kepakaran serta wibawa presiden mereka untuk menjadi orang tengah merundingkan penyelesaian konflik di Syria.

Tokoh yang membuat kenyataan itu - tidak lain dan tidak bukan - adalah anak Abdul Hadi sendiri. Dia tentu arif benar kemampuan dan kehebatan bapanya.

Kesilapan - jika pun ada - atas pemergian itu adalah, ia dikaitkan dengan restu Kesatuan Ulama Islam Sedunia (KUIS).

Biasalah. Bukankah Abdul Hadi sendiri naib ketua kepada KUIS? Ia bukan kedudukan sembarangan. Sesuailah dengan status Abdul Hadi (yang digelar sheikh oleh sesetengah orang, termasuk sesetengah pemimpin PAS) yang juga bukan sembarangan.

Cuma kita terkilan benar apabila Ketua KUIS Sheikh Dr Yusuf al-Qaradhawi serta setiausaha badan itu Prof Dr Ali al-Qaradaghi membuat kecaman kepada seorang ulama Melayu.

Sebagai orang Arab kemungkinan besar tokoh seperti al-Qaradhawi dan al-Qaradaghi gagal memahami al-uslub dakwah wa as-siasahAbdul Hadi.

Kecaman itu nampaknya memang keras dan menyakitkan hati kita semua. Jika tidak, mana mungkin penyokong, ahli dan pimpinan PAS segera tangkas bangkit mempertahankan naib ketua KUIS berkenaan.

Lihat saja kenyataan-kenyataan mereka mengenai Abdul Hadi. Semuanya memberikan hujah tuntas dan jelas mengabsahkan kehadiran presiden parti itu ke Tehran.

Pedulilah al-Qaradhawi, al-Qaradaghi, atau sesiapa saja yang mempertikaikan Abdul Hadi. Jika perlu Abdul Hadi boleh saja melepaskan jawatannya di KUIS dan membentuk kesatuan baru.

Sebagai tokoh Melayu dan Islam di Nusantara, Abdul Hadi tentu tidak ada masalah untuk membentuk pertubuhan baru. Misalnya boleh saja digagaskan penubuhan Kesatuan Ulama Melayu Nusantara (KUMUR) bagi membawa suara ilmuan sehaluan Abdul Hadi dari rantau sini.

Untuk mendapat sokongan kebanyakan pimpinan PAS di pelbagai peringkat hari ini tentu boleh menjadi hujah atau dalil bagi menjuarai gagasan Abdul Hadi.

Ia kira-kira dapat mengatasi kelemahan guru-guru yang gagal bertepuk tangan ketika menghadiri majlis bersama menteri besar Terengganu suatu ketika dulu.

Sokongan segera dengan pelbagai hujah, dalil dan nas - dari satu segi - adalah tepukan gemuruh pengikut kepada seorang pemimpin.

Ingatlah peribahasa "ular yang menyusur akar tidak pernah hilang bisanya". Ulama yang tawaduk dan berpandangan amat jauh, matang dan sejahtera pula sudah tentu menitipkan pelbagai hikmah dan teladan dalam setiap langkahnya.

Lebih daripada itu Abdul Hadi adalah pembaca politik di lapangan antarabangsa berbanding kita seluruhnya yang hanya membaca kitab dan media sosial di atas meja dalam kamar yang sempit.

Bertabahlah wahai ummah.

Al-Abror Mohd Yusuf adalah anggota sidang redaksi Malaysiakini

PAKATAN HARAPAN memang kapal buruk menanti karam

Jangan salahkan orang lain - termasuk orang Umno dan PAS - kalau ada sesiapa menganggap Pakatan Harapan (HARAPAN) adalah kapal buruk yang bakal karam kerana berebut jawatan perdana menteri.

Semalam, Ketua Umno Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee, mengibaratkan pakatan pembangkang itu umpama kapal buruk kerana berebut jawatan utama kepimpinan negara.

Sebenarnya itu adalah salah HARAPAN sendiri kerana terpedaya dengan jerat Umno yang mendesak supaya mereka mendedahkan kabinet bayangan jika berjaya mengambil alih kuasa daripada BN.

Pemimpin pembangkang bagaikan gagal memahami strategi pemimpin BN yang berpengalaman berpolitik seperti Datuk Seri Nazri Aziz dan lain-lain. Mereka mahir untuk mengasak dan memporak-perandakan HARAPAN.

Akibat sibuk dengan siapa nak jadi perdana menteri ketika HARAPAN masih seperti "kapal belum siap" mengikut kata Syed Ali, pemimpin pembangkang membuat kenyataan gila-gila yang mencerminkan kelemahan dan perpecahan mereka sendiri.

Memang benar ramai daripada mereka yang sudah berdekad menyertai politik tetapi keadaannya tetap seperti tidur sebantal tapi berbeza mimpi.

Kenapa perlu berbahas di media mengenai siapa akan jadi perdana menteri atau isu kabinet bayangan yang akhirnya menyerlahkan lagi kelemahan pembangkang?

Amat jelas ada yang tidak tuntas dengan kemahuan menjadikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri walaupun mereka tahu laluan itu sukar.

Dengan mengemukakan formula yang akan menyebabkan timbulnya masalah, pastinya ia mendedahkan HARAPAN untuk dilihat berjuang demi kepentingan masing-masing.

Bukan sesuci, seputih kapas

Mengapa pembangkang - ketika mengkritik Datuk Seri Najib Razak sebagai perasuah, penyeleweng, tidak cekap dan gagal mentadbir negara dengan baik - masih mengharapkan individu yang dipersoalkan peribadinya?

Jika demikian apa beza Najib dan Anwar?

Kenapa HARAPAN tidak cuba mencari jalan – walau panjang sedikit – menyediakan seseorang yang lebih baik di kalangan yang terbaik untuk jawatan itu?

Bernostalgia dengan Anwar atau pemimpin tertentu sepatutnya tidak menjadi pilihan utama bagi pembangkang jika dari segi moral, keupayaan dan keyakinan rakyat - terutamanya orang muda - dibelakangkan.

Begitu juga dalam konteks anggota kabinet bayangan.

Jangan kerana hanya mahu menjawab soalan, pembangkang memberikan kenyataan yang gagal meyakinkan rakyat, apa lagi ia boleh dipermainkan oleh Umno dan sekutunya.

Penulis menyokong pendapat Syed Ali bukan kerana dia Umno atau kapasitinya sebagai ketua bahagian.

Pendapatnya perlu membuka mata pemimpin pembangkang. Kita tidaklah mendesak hingga perlu ada seorang pemimpin sesuci atau seputih kapas. Sebaliknya jika ada sedikit kelunturan pun, janganlah dibiar ada nila atau dakwat setitik dua pun.

Syed Ali turut mengatakan, pemimpin pembangkang terlalu optimis mampu menawan Putrajaya pada pilihan raya umum (PRU) akan datang sedangkan 'kapal buruk' pasti tenggelam ke dasar lautan sebelum sempat singgah di daratan.

Jangan cepat melenting, sebaliknya ambillah sindiran itu sebagai cabaran. Carilah jawapan sesuai untuk mengatasinya. 'Berperang' di media tidak akan mendatangkan apa-apa faedah.

Jika HARAPAN dan Parti Peribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) mahu bertemu tidak lama lagi untuk memuktamadkan mengenai calon mereka untuk jawatan perdana menteri, teruskan.

Ia langkah baik tetapi jangan hadkan hanya satu atau dua nama saja.

Banyak yang pakar di kalangan mereka dan elakkan daripada mencalonkan yang nama yang susdh tercemar walau atas sebab apa pun.

Elakkan memilih pemimpin yang sebelum ini sudah ditolak oleh rakyat kerana mengamalkan rasuah, salah laku, penyelewengan dan ‘sebab-sebab moral'.

Jangan letak syarat atau terus menamakan sesiapa, sebaliknya teruskan berbincang dan cari yang terbaik. Ia lebih meyakinkan rakyat.

Kenyataan Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang bahawa mereka mahukan Anwar atau melantik seorang perdana menteri sementara juga sangat meragukan.

Apakah sebuah negara boleh dibiarkan terumbang-ambing sekiranya tiada perdana menteri selepas sesuatu pilihan raya hanya kerana menunggu Anwar?

Cadangan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu supapa Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengambil peranan itu juga wajar diperdebatkan.

Kenapa segalaya berlegar di sekitar Anwar, isteri Anwar atau keluarga Anwar?

Ingatlah, HARAPAN sebenarnya bukan kapal buruk atau kapal lama. Ia baru dibina dan mahu dijadikan alternatif kepada BN.

Justeru tunjukan kesegaran dan kelebihannya, bukan mengulangi atau memutar kembali agenda lama menyebabkan kebosanan kepada rakyat pun kini kian cuak dan muak.

HAMBALI ABDUL LATIFF
bekas wartawan, pengarang akhbar dan kini perunding media bebas





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...