TERKINI :

Tuesday, December 20, 2016

Dr M: Mengapa saya tidak balik jaga cucu...

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad hari ini menjelaskan mengapa beliau tidak berkelakuan seperti apa yang dijangkakan daripada seorang lelaki yang berusia 91 tahun.

Ini susulan bidasan Menteri Pelancongan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz awal hari ini yang berkata zaman Mahathir, bersama-sama dengan Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang sudah berlalu dan menasihati mereka supaya supaya ‘balik jaga cucu’.

"Ada orang marah oarng tua berumur lebih 90 tahun tidak melakukan perkara yang sepatutnya seperti berehat, bermain dengan cucu dan menyediakan diri sebelum mati.

Apa erti kerjasama HARAPAN dan parti Mahathir?

"Ya, saya tidak melakukannya walaupun pada usia 90 tahun. Ini bukannya pilihan saya.

"Saya menyahut rayuan pelbagai kumpulan rakyat Malaysia bagi saya melakukan sesuatu," kata Mahathir dalam blognya hari ini.

Menurutnya, ketika Najib mula berkuasa, terdapat aduan daripada pelbagai pihak yang tidak berpuas hati dengan sama ada dasar ekonominya, slogan 1Malaysia, dasar luar atau tidak lagi meneruskan Dasar Ekonomi Baru.

Mahathir berkata, beliau menyampaikan aduan berkenaan kepada Najib tetapi tidak berhasil. Ini disusuli pula dengan skandal 1MDB.

"Pada masa itu, saya merasakan bahawa sesuatu perlu dilakukan untuk menghentikan Najib. Negara ini kehilangan banyak wang.

"Saya maklumkan kepada Najib saya tidak dapat menyokongnya lagi. Kemudian saya memutuskan untuk meletakkan jawatan daripada Umno.

"Sekarang ini bukan lagi tentang orang ramai mahu saya melakukan sesuatu. Sekarang saya merasa perlu untuk menghalang Najib daripada merosakkan terus negara ini," katanya.

Mahathir mendakwa Najib telah membelakangkan undang-undang dan institusi negara tidak berupaya mengekangnya.

Walaupun tuduhan rasuah skandal 1MDB Mahathir berkata Najib adalah tidak terjejas dan merancang untuk mengambil lebih multi-bilion pinjaman ringgit untuk Keretapi Pantai Timur, KL-Singapura Kereta Api Berkelajuan Tinggi dan Pan-Borneo Highway.

Mahathir mendakwa negara tidak mampu menanggung beban hutang ini dan bakal terjerumus menjadi bankrap atau terpaksa menjual lagi aset negara, yang katanya, sudah berlaku seperti penjualan Tun Razak Exchange, Bandar Malaysia dan Edra Energy.

"Dengan keadaan yang berlaku ini, adalah sukar untuk warganegara berusia 90 tahun ini untuk hanya duduk diam dan bermain dengan cucu.

"Ya, saya sedang membuat persediaan untuk akhirat tetapi Alhamdulillah, saya masih ada masa untuk melakukan perkara-perkara lain.

"Dan perkara-perkara lain yang saya boleh lakukan adalah untuk memberikan sedikit idea bagaimana untuk mencegah negara ini terus dimusnahkan oleh Najib," katanya.

Najib telah menafikan sebarang salah laku dan menuduh Mahathir mahu menjadikan anaknya, Datuk Seri Mukhriz sebagai perdana menteri.

Notis tuntutan PAS hanya gimik politik

FMT Reporters

PETALING JAYA : Keputusan PAS menghantar notis tuntutan kepada Editor Sarawak Report Clare Rewcastle Brown bagi menuntut penarikan balik artikel yang mendakwa parti itu menerima RM90 juta daripada Datuk Seri Najib Razak merupakan gimik politik.

Bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaid Ibrahim berkata Majlis Syura PAS perlu memikirkan semula tindakan berkenaan dan memberitahu ahli parti Islam itu mengenai implikasi terhadap ancaman untuk menyaman Clare.

Menerusi artikel terbaru di blognya hari ini, Zaid berkata saman fitnah yang dibuat PAS itu akan membuka semua jenis pendedahan yang memalukan.

Malah, katanya ramai ahli PAS yang tidak sedar saman difailkan di London itu akan membabitkan wang RM1.5 juta bagi kos guaman dan rakyat nanti akan bertanya dari mana wang sebanyak itu diperoleh.

Beliau berkata jika PAS meneruskan prosiding undang-undang, Clare akan sepina perdana menteri dan tindakan itu akan menjejaskan persahabatan PAS dan Umno yang “intim” kini.

“Mereka yang menasihati parti itu untuk menyaman Sarawak Report mengambil sikap yang mudah dan tidak cerdik.

“Walaupun ada wang, mereka sepatutnya tidak mahu memalukan perdana menteri dengan mengambil tindakan ini,” katanya.

Jumaat lalu, PAS menyenaraikan 3 tuntutan terhadap portal berita Sarawak Report dalam surat rasmi berhubung laporan yang mengaitkan parti itu menerima “imbuhan” RM90 juta daripada Umno.

Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan berkata surat tuntutan itu diserahkan pada 13 Disember lalu kepada Clare yang beralamat di London.

Notis tuntutan itu mendesak Sarawak Report membuang artikel berkenaan daripada laman webnya, menyiarkan permohonan maaf atau penarikan segala tuduhan mengikut terma yang akan dipersetujui PAS serta portal itu perlu berjanji tidak akan menyiarkan dakwaan palsu pada masa akan datang.

Zaid yang juga seorang peguam berkata apa yang lebih menarik ialah mengapa Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dinamakan sebagai plaintif sedangkan namanya tidak disebut dalam laporan Sarawak Report.

“Adakah ini satu percubaan untuk memalu dan meminggirkan Hadi menjelang pemilihan parti tahun depan,” katanya.

Katanya, sepanjang terlibat dalam dunia undang-undang, beliau tidak pernah melihat parti politik pernah berjaya dalam kes saman fitnah di England.

“Saya berharap PAS akan menerima nasihat percuma ini dan segera menggugurkan gimik politik itu serta menyimpan wang untuk Pilihan Raya Umum ke-14 akan datang,” katanya.

Hadi jawab isu Pas 'makan dedak'

MUHAMMAD SHAMSUL ABD GHANI


Abdul Hadi Awang

SHAH ALAM - Pas tidak melatah mengenai persepsi songsang dibina secara berterusan oleh lawan adalah kononnya parti itu telah tidak lagi berminat untuk menukar kerajaan BN termasuklah dituduh menerima 'dedak' tertentu.

Menegaskan perkara itu, Presidenya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, Pas tidak melatah di atas persepsi karut sedemikian, apatah lagi melayan provokasi pelampau media sosial dan parti lawan yang saban waktu memesongkan berita mengenai parti itu.

"Pas akan tetap terus memperjuangkan prinsip keadilan untuk semua kaum, menentang rasuah dan salah guna kuasa serta penyelewengan dalam kerajaan BN, dengan pendekatan politik matang dan sejahtera," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara mengulas mengenai pendekatan politik Pas kini, Hadi berkata, Pas bersikap terbuka, berhati-hati dan mengambil pengalaman lalu dalam menentukan sikap politiknya terutama isu tahaluf dan kerjasama kepartian, namun Pas akan sentiasa tegas dalam prinsip.

Jelasnya, matlamat Pas terlibat dalam politik adalah untuk membawa mesej menyelamatkan manusia dengan Islam sebagai cara hidup yang tidak memisahkan dunia dengan agama, di mana perkara dasar dan prinsip Pas adalah tetap manakala cara perubahan dilakukan pula boleh berbagai selagi mengikut panduan al-Quran dan as-Sunnah.

Katanya lagi, pada masa yang sama Pas juga menolak sebarang perkiraan dan percaturan politik yang merugikan masa depan Islam dan ummatnya.

"Pas sedang mengkaji dengan mendalam setiap satu persatu kerusi dalam seluruh senarai Dewan Undangan Negeri dan Parlimen di negara kita.

"Keputusan di kawasan mana Pas bertanding, sama ada dua penjuru, tiga penjuru atau lebih, siapa dan bagaimana akan bertanding adalah akan mengikut maklumat kajian dan analisanya, pertimbangan keperluan dan kekuatan jentera Pas di setiap kedudukan kawasan pilihanraya berkenaan," katanya.

Dalam masa yang sama katanya, Pas tidak tertakluk pada mana-mana pihak yang telah membuat sebarang perjanjian pilihanraya pada masa ini dan juga tidak dipengaruhi oleh tekanan mana-mana pihak dalam membuat keputusan politiknya.

Oleh itu ujarnya, Pas akan hanya membuat keputusan apabila tiba masanya yang sesuai.

"Pas akan tetap terus berpegang dengan keputusan yang telah dibuat oleh Majlis Syura Ulama Pas sebelum ini bahawa tiada sebarang kerjasama dalam apa jua bentuk dengan parti DAP dan Amanah, dan mana-mana pihak yang bersikap keras terhadap Islam.

"Di masa yang sama Pas sedia berbincang dengan mana-mana pihak yang menghormati dasar perjuangan Pas. Inilah penyelesaian kita," katanya.

PAS perlu kekal sendiri, gabung Umno lepas PRU14


PAS perlu kekal dengan kedudukannya sekarang iaitu tidak bekerjasama dengan Umno mahu pun Pakatan Harapan (HARAPAN) sehingga pilihan raya umum (PRU) ke 14 akan datang, kata Datuk Ibrahim Ali.

Sebaliknya, Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) itu berkata, PAS perlu bekerjasama dan membentuk kerajaan campuran dengan Umno.

Kata Ibrahim, ini kerana PAS mampu menjadi pengimbang kepada kerajaan untuk mentadbir negara dengan lebih baik.

"Saya lebih suka PAS tidak bergabung dengan PH (HARAPAN) mahu pun Umno. Saya lihat strategi PAS dia tak akan kerjasama dengan Umno...saya tahu, saya dah sembang dan jumpa dengan orang PAS, Mustafa Ali pun ada datang ke pejabat saya.

"Tapi, ini teori saya di mana pada pilihan raya akan datang PAS akan kata ya untuk kita (Umno-PAS) tubuh kerajaan campuran.

"Sebab itu saya kata PAS perlu berada di kedudukan sekarang kerana dia boleh jadi pengimbang di mana ada dua parti dalam kerajaan pemerintah nanti.

"Barulah ada semak dan seimbang (check and balance)," kata Ibrahim dalam wawancara bersama Malaysiakini dan sebuah portal berita tempatan di ibu pejabat PERKASA, Kuala Lumpur.

Ibrahim berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kemungkinan PAS mengadakan kerjasama dengan Umno.

Pada 15 Disember lalu, Malaysiakinimelaporkan pandangan bekas naib presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar, yang meramalkan parti berkenaan hanya ada dua pilihan untuk selamat menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Kata Mahfuz, PAS dan Umno perlu mengelak bertembung sesama sendiri sebagai strategi politik dan mengelak peralihan undi di kalangan penyokong mereka.

Kata anggota Parlimen Pokok Sena itu, PAS dan Umno merangka strategi yang betul untuk memanfaatkan keadaan semasa.

Kata Mahfuz pertembungan tiga penjuru yang melibatkan Umno, PAS dan pembangkang lain secara umumnya akan merugikan kedua-dua parti.

Mengulas lanjut, Ibrahim yang juga bekas anggota parlimen Pasir Mas itu berkata, dalam pembentukan kerajaan campuran itu nanti Umno boleh jadi perdana menteri manakala PAS sebagai timbalan perdana menteri.

"Bila PAS kata ya kita tubuh kerajaan campuran perdana menteri Umno, timbalan perdana menteri PAS. Itu boleh berlaku," kata Ibrahim.

Kata Ibrahim lagi, PAS perlu jadi pengimbang kepada kerajaan bagi mengelakkan Umno terus menjadi sombong.

"Saya suka kerajaan campuran (PAS-Umno) sebab ini melibatkan masa depan supaya jangan ada parti yang besar kepala lagi," kata Ibrahim.

Untuk makluman, krisis dalam PAS dan Umno menerbitkan dua parti baru, Parti Amanah Negara (AMANAH) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang berpotensi memberi kesan pada jumlah undian masing-masing pada pilihan raya.

Justeru, katanya, PAS mesti memilih untuk berpihak kepada pembangkang lain, atau memilih 'berbaik-baik' Umno.

Jika PAS menolak kerjasama dengan pembangkang, parti itu mungkin kehilangan undi daripada bekas penyokong mereka yang kini beralih ke AMANAH.

Umno pula, katanya, berdepan risiko kehilangan undi penyokong parti itu dengan munculnya BERSATU.

Ketika BERSATU sudah menandatangani persefahaman dengan Pakatan Harapan, PAS masih menjarakkan diri dengan pembangkang lain kecuali PKR dan Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN).

PAS juga menyatakan beberapa syarat untuk parti itu bekerjasama dengan pembangkang.

'BN tetap menang walau ramai tak sokong Najib'






Barisan Nasional (BN) tetap akan memenangi pilihan raya umum (PRU) ke 14 akan datang sekali gus mengekalkan kuasa sebagai pemerintah meskipun ada yang mendakwa negara kini berdepan dengan krisis keyakinan rakyat semakin kronik.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa (PERKASA), Datuk Ibrahim Ali berkata, ini kerana terlalu banyak faktor yang membantu kemenangan BN.

"Melalui kaji selidik yang dibuat 90 peratus rakyat tolak Najib, semua tolak Najib, budak sekolah pun tolak Najib.

"Tapi dia kata BN tak akan kalah. Pelik tak?

"Sebab pilihan raya ini saya nak bagi tahu bukan semata-mata isu, bila datang pilihan raya ia banyak sebab seperti jentera pilihan raya, cara kempen di mana untungnya BN dia menguasai media dan kerajaan, polis dan tentera ikut dia (BN) dan pengundi di Malaysia ini pula berterabur dengan macam-macam latar belakang geografi," kata Ibrahim dalam wawancara eksklusif bersama Malaysiakinidan sebuah lagi portal berita di ibu pejabat PERKASA, Kuala Lumpur.

Ibrahim berkata demikian mengulas apakah BN mampu bertahan dan terus kekal berkuasa pada PRU akan datang dengan krisis keyakinan rakyat yang semakin kronik hari ini.

Bekas menteri kewangan Tun Daim Zainuddin kelmarin dilapor sebagai berkata kerajaan perlu segera menangani ketidak yakinan rakyat kerana ia sudah berada pada tahap kronik.

Kata Tun Daim, krisis tersebut perlu diatasi segera kerana tanpa keyakinan dan sokongan rakyat, amat sukar bagi kerajaan menyelesaikan masalah lain terutama yang memberi kesan langsung kepada rakyat.

Mengulas lanjut, Ibrahim berkata apa yang dinyatakan itu benar tapi untuk rakyat tidak memilih BN dan mengundi pembangkang tidak akan berlaku.

"Memang ada krisis, krisis keyakinan rakyat yang Tun Daim cakap ini menyebabkan rakyat betul-betul menolak BN.

"Kalau orang tak sokong BN sebab harga barang naik, 1MDB atau krisislah, ia betul. Tetapi pada masa yang sama walaupun ada yang tak puas hati semua ini (krisis) dia tidak sanggup lagi undi pembangkang kerana mereka pun berkecamuk," kata Ibrahim.

Tambah, Ibrahim yang juga bekas anggota Parlimen Pasir Mas itu kemenangan BN juga turut dibantu pengundi luar bandar yang merupakan deposit tetap BN.

"Pengundi di Kelantan dan Johor lain, daripada 122 kerusi BN sekarang ini yang pasti BN menang 122 dan masih kerajaan lagi.

"Sebab macam kerusi-kerusi Felda, luar bandar yang ada kerusi Melayu yang masih berharap kepada kerajaan. Ini Najib pandai, RM200, RM300, RM500 untuk pekebun getah, untuk nelayan.

"Sebab itu pada pilihan raya undi boleh lari lagi 5 peratus," tambah Ibrahim.

Wanita dakwa temui 20 barangan milik mangsa MH370

PERTH - AUSTRALIA. Kasut, beg tangan, dompet, topi dan selipar bewarna coklat dan itu antara 20 barangan yang dipercayai datang dari pesawat MH370 yang hilang.

Kesemua barangan itu berada di kediaman Sheryl Keen di Perth, barat Australia.

Sheryl, 52, yang bekerja dengan penyiasat amatur MH370, Baline Gibson yang menyiasat sebarang petunjuk yang boleh membawa penemuan pesawat Malaysia Airlines yang hilang pada Mac 2014.

Penemuan penting barangan adalah selipar yang sama dengan apa yang dipakai salah seorang wanita yang dirakam melalui CCTV di Lapangan Terbang Kuala Lumpur.

Selipar yang disifatkan sebagai 'cinderella' itu menjadikan Sheryl yakin ia dalah datang dari bangkai pesawat malang itu.

"Dari mana lagi ia datang?

"Kami melihat sejumlah besar barangan peribadi yang ditemui adalah dalam keadaan yang sama dan semuanya ditemui di sepanjang pantai Riake di Madagascar.

"Dan kawasan tersebut menurut pakar yang merupakan lokasi berkemungkinan untuk mencari barangan pesawat itu," katanya dipetik Mail Online.

Sheryl berkata, daripada semua penemuan setakat ini, salah satu yang membuatkannya teruja adalah selipar coklat berkenaan.

"Wanita dalam gambar memakai selipar dengan stokin putih," katanya.

Setelah kehilangan suami iaitu seorang juruterbang pertanian yang maut dalam nahas kapal terbang pada tahun 2009, Sheryl mengasaskan Air Crash Support Group Australia (ASGA) dalam usaha untuk menyokong keluarga yang kehilangan orang tersayang dalam bencana.

"Ketika MH370 hilang banyak kumpulan dalam talian telah diwujudkan.

'Saya menyertai kumpulan bersama-sama dengan Blaine dan kami bercakap tentang apa yang kami berdua lakukan.

"Blaine datang ke Australia dan dia keluar untuk mencari barang dan ada yang diserahkan kepada pihak berkuasa Madagascar dengan harapan ada rakyat Malaysia datang dan mengambilnya, namun tiada siapa yang berbuat demikian," katanya lagi.

Mengambil semula barangan daripada pihak berkuasa Madagascar, kumpulan ASGA merancang untuk menyerahkan kepada Polis Persekutuan Australia.





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...