TERKINI :

Sunday, December 18, 2016

TIGA PENJURU PUN BOLEH MEMBUATKAN NAJIB KECUNDANG JUGA

Berdasarkan congakan di atas kertas dan sifir matematik yang mudah, sesiapa pun akan mengatakan pertandingan tiga penjuru dalam pilihanraya akan datang bakal menzahirkan kepada dua kemungkinan.

Pertama, UMNO dan BN akan mendapat kelebihan serta mampu terus mengekalkan kuasanya sebagai kerajaan.

Kedua, Pas bakal memenangi lebih banyak kerusi dan lebih terdedah kepada kemungkinan menjadi kuasa penentu kepada BN dan Pakatan Harapan jika masing-masing kekurangan kerusi untuk membentuk kerajaan.

Hampir tidak ada yang menaruh keyakinan bahawa pertandingan tiga penjuru akan turut sama memberi kelebihan kepada Pakatan Harapan yang kini telah bekerjasama secara rasmi dengan PPBM yang dipengerusikan oleh Tun Mahathir Mohamad.

Rata-ratanya mengatakan pertandingan tiga penjuru hanya memusnahkan harapan pembangkang untuk mengambil alih kerajaan dan menyingkirkan Najib Razak.

Atas sebab yang samalah maka PPBM masih berusaha untuk memujuk Pas agar sedia bekerjasama dan menjadikan formula satu lawan satu melawan BN menjadi kenyataan.

Atas sebab yang sama jugalah Najib dan UMNO begitu membelai dan menjaga hati Pas agar parti itu kekal dengan pendiriannya ingin bersendirian.

Sehingga ini, bekerjasama atas nama Islam seperti Akta 355 atau Rohingya adalah antara pendekatan Najib dan UMNO terhadap Pas untuk menjarakkannya daripada bersama pembangkang dan agar terus bertanding sebagai blok ketiga.

Melihat keadaan yang sama, Pas juga lebih ingin bersendirian kerana sepertimana yang pernah disebut oleh Tuan Ibrahim Tuan Man, jika BN dan parti-parti pembangkang masing-masing tidak cukup kerusi untuk menubuhkan kerajaan selepas pilihanraya nanti, kedudukan Pas akan menjadi rebutan dan harganya menjadi lebih mahal.

Benarkah semua congakan dan sifir matematik itu akan menjadi kenyataan?

Membuat pilihan dalam pilihanraya akan datang sepatutnya menjadi perkara yang paling mudah bagi rakyat Malaysia. Asas pilihan sebenarnya hanyalah antara baik dengan jahat, buruk dengan cantik dan hitam dengan putih.

Jika pun ada yang mengatakan kerajaan baru yang bakal mengambil alih nanti belum tentu lebih baik daripada BN yang sudah memerintah lebih 60 tahun, sekurang-kurangnya kejahatan dan amalan pencurian  mereka belum lagi terbukti.

Maka, apakah kita masih mahu mengekalkan kerajaan yang telah terbukti banyak menyusahkan rakyat dan pemimpinnya pula semerbak di seluruh dunia dikaitkan dengan amalan rasuah dan kleptokrasi berbanding dengan bakal kerajaan yang belum terbukti gelap mata terhadap kuasa?

Petunjuk bagaimana rakyat memilih pemimpin dan kerajaan baru yang dilihat tegas, berprinsip dan mempunyai aura pembaharuan terbukti dalam pemilihan Presiden di Filipina dan Amerika Syarikat baru-baru ini.

Rodrigo Duterte bukanlah sosok yang popular pada awalnya, tetapi ketegasannya untuk memerangi jenayah, malah sehingga membunuh mereka yang terlibat dengan rasuah dan pengedaran dadah membuatkan beliau akhirnya menjadi pilihan rakyat Filipina.

Begitu juga dengan Donald Trump, beliau sentiasa tidak popular dan di belakang berbanding Hillary Clinton, namun ketegasannya mahu mengembalikan kegemilangan Amerika melalui beberapa janji yang dianggap drastik telah menjadikannya pilihan rakyat negara itu.

Di Malaysia, perkara yang sama tidak mustahil akan berlaku. Sama ada dua penjuru atau tiga penjuru, jika Pakatan Harapan bersama PPBM sentiasa konsisten dalam perjuangan untuk memerangi rasuah, membawa semua pesalahnya ke mahkamah, mengembalikan negara gemilang semula, yakinlah rakyat pasti akan bersama dengannya.

Dengan kempen untuk menyelamatkan negara itu, bukan saja Najib, UMNO dan BN akan ditolak, malah Pas yang ghairah bertanding sendirian dengan harapan sama ada membantu kerajaan yang ada terus kekal berkuasa atau ingin menjadikan harga mereka mahal nilainya, kedua-duanya pasti akan ditolak sama.

Ini kerana rakyat hanya memilih satu antara dua dan tidak mungkin memilih dua antara tiga. Pas yang hanya bertanding 70 kerusi dan tidak mampu membentuk kerajaan secara sendirian, adalah lebih mungkin ditolak juga bersama pihak yang dianggap jahat, hitam dan tidak baik itu.

Rakyat juga sedar, kadangkala hanya dengan pertukaran kerajaan memungkinkan kekotoran dalam negara dapat dibersihkan dengan lebih baik lagi.  (SH 18/12/2016).

Kenyataan Jamil Khir bukti konspirasi dengan PAS, kata MCA

Robin Augustin / FMT

PETALING JAYA: Cara rang undang-undang Syariah kontroversi dibentangkan adalah bukti berlakunya konspirasi politik agar ia diluluskan, kata MCA.

Pengerusi Biro Keharmonian Agama MCA Ti Lian Ker merujuk kepada komen Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Jamil Khir Bahrom yang dipetik portal berita, kerajaan berhadapan kesukaran membentangkan rang undang-undang itu sendiri kerana memerlukan sokongaan 14 negeri.

Justeru, ia dibentangkan sebagai rang undang-undang persendirian oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“Anda tidak boleh membawanya ke Persidangan Raja-Raja jika tidak mempunyai kata sepakat daripada 14 negeri, tetapi rang undang-undang persendirian memerlukan hanya satu negeri atau seorang untuk membentangkannya,” Jamil dipetik berkata dalam Malaysiakini.

Susulan itu, Ti memberitahu FMT yang kenyataan Jamil adalah bukti konspirasi politik untuk memintas hak negeri dan Majlis Raja-Raja.

“Ini ‘konspirasi politik’ yang merupakan pengkhianatan semangat konsesus Barisan Nasional (BN) dan tidak menghormati 14 negeri dan Raja-Raja Melayu yang tidak diambil pandangan mereka,” kata Ti.

Ti juga menolak kenyataan seorang lagi Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Ahmad Maslan yang parti komponen BN tidak boleh membantah cadangan pindaan rang undang-undang persendirian apabila ia diambil alih kerajaan persekutuan.

Ahmad, dalam laporan berasingan Malaysiakini berkata parti komponen BN terpaksa menyokong rang undang-undang itu sebagai sebahagian keputusan pemerintah, yang sebelum ini ditolak parti komponen kerana ia dibentang pemimpin pembangkang.

Bagaimanapun, Ti berkata mana-mana rang undang-undang masih perlu dibincangkan dan dipersetujui BN, tidak kira sama ada ia rang undang-undang yang diambil alih atau dibentangkan kerajaan.

“BN masih parti, jadi kita tidak boleh meminggirkan semangat membuat keputusan berdasarkan kata sepakat.”

“Selain itu, perbezaan pendapat kami tentang rang undang-undang itu bukan kerana ia dibentangkan Hadi, tetapi kerana ia bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Rang undang-undang Hadi untuk meminda Akta Mahkamah Syariah menjadi isu kontroversi sejak kebelakangan ini. Usul meminda akta itu akan dibahaskan pada sesi Dewan Rakyat akan datang, Mac tahun depan.

Selepas bacaan pertama selesai, kerajaan akan mengambilnya sebagai rang undang-undang ke-2 dan Jamil, yang juga menteri bertanggungjawab bagi hal ehwal Islam akan membacanya sebagai rang undang-undang kerajaan.

Pemerhati ramal Najib pilih Oktober adakan PRU14

FMT Reporters

PETALING JAYA: Penganalisis percaya Datuk Seri Najib Razak akan mengadakan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada Oktober tahun depan, jika bukan pada April atau Mei nanti.

Ini adalah dapatan akhbar Singapura, The Straits Times hasil tinjauan ke atas beberapa pemerhati politik yang menjangkakan PRU14 akan diadakan pada Oktober nanti.

Alasan mereka ialah perdana menteri mahu menggunakan faktor “feel good” temasya Sukan SEA, Hari Kebangsaan pada 31 Ogos dan Bajet 2018 yang biasanya diumumkan pada Oktober.

Penganalisis dari Kumpulan KRA, Amir Fareed Rahim dipetik akhbar itu menjangkakan PRU14 akan diadakan pada akhir Oktober dan mungkin awal November.

“Kejayaan dalam Sukan SEA, sambutan besar-besaran dan gula-gula Bajet; naratifnya ialah jika anda mahu semua ini, undilah kami,” katanya.

Menurut akhbar itu, secara tradisionalnya, April atau Mei adalah masa sesuai untuk mengadakan PRU kerana PRU tidak pernah diadakan pada atau selepas bulan puasa, atau ketika musim tengkujuh pada akhir tahun.

Sehubungan itu, pemerhati politik berpendapat, April dan Mei adalah 2 “slot jelas” yang sesuai untuk mengadakan PRU14.

Felo Institute of Southeast Asian Studies, Dr Mustafa Izzudin berkata, Najib akan mengadakan PRU14 berdasarkan 2 faktor utama.

“Daripada segi sosial, Najib akan terus menekankan perpaduan dan ketuanan Melayu, di samping penguasaan Islam.

“Beliau akan mengadakan pilihan raya apabila beliau percaya 2 penekanan di atas itu berjaya membantu menguatkan sokongan akar umbi Melayu untuk memberi kemenangan kepadanya pada PRU.”

PRU14 perlu diadakan sebelum 24 Ogos 2018.

AMK Alor Setar pertahan Anwar


Anwar Ibrahim

ALOR SETAR – Angkatan Muda Keadilan (AMK) Alor Setar menempelak kenyataan Ketua Kluster Governas, Perundangan dan Pengurusan Awam, Majlis Profesor Negara (MPN), Profesor Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood yang mendakwa bekas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim semakin dilupakan.

Ketuanya, Mohd Aizuddin Ariffin berkata, pandangan itu seolah-olah cuba melenyapkan kehadiran Anwar dalam kancah politik tanah air.

“Saya melihat kenyataan Nik Ahmad ini dizahirkan selepas rayuan semakan kehakiman terhadap kes liwat Anwar ditolak Mahkamah Persekutuan pada 14 Disember lalu. Ini soal kezaliman terhadap Anwar, bermakna rakyat juga tidak terlepas daripada manipulasi ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: Perlu realistik, kembali fokus isu rakyat]

“Ini bukan soal Anwar sahaja, tapi prinsip keadilan yang telah gugur. Saya percaya isu ini bukan sahaja relevan pada mana-mana PRU tertentu, malahan akan terus relevan pada bila-bila masa,” katanya.

Menurutnya, bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu juga telah memberi satu impak yang besar dalam memperjuangkan hak-hak rakyat dan menyuburkan amalan demokrasi di Malaysia.

“Bagaimana rakyat akan melupakan seorang yang mengorbankan jiwa dan raga beliau untuk membebaskan rakyat dari kezaliman dan penindasan yang sedang berlaku.

“Rakyat juga sedia maklum, Anwar telah dicalonkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Keamanan 2016 (Global Peace Price). Beliau adalah pemangkin kebangkitan rakyat. Isu Anwar adalah isu rakyat,” katanya.

Berikutan itu, satu forum cerdas rakyat akan diadakan di Dewan Kar Har Tong, Kampung Berjaya, di sini, bermula jam 8.30 malam, pada 17 Disember bagi menjelaskan isu-isu semasa.

Antara pimpinan yang dijadualkan hadir ialah Ketua Setiausaha Pakatan Harapan, Datuk Saifuddin Abdullah; Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution, Timbalan Pengerusi PKR Kedah, Gooi Hsiao Leung serta barisan pimpinan Pakatan Harapan.

Terdahulu, Nik Ahmad menyatakan bahawa Pakatan Harapan perlu realistik dan tidak hanya bersandarkan kekuatan Anwar bagi mendapat sokongan rakyat pada PRU14.

Jelasnya, meskipun Anwar dilihat penting untuk Pakatan Harapan mendapat sokongan dan undi, tetapi faktor itu sahaja tidak menjamin kemenangan pembangkang.

Tambahnya lagi, isu Anwar juga mungkin relevan pada PRU11, 12 dan 13, tetapi ia semakin dilupakan.

Mahkamah Persekutuan pada sebelum ini menolak permohonan Anwar bagi mengetepikan sabitan dan hukuman penjara atas kesalahan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Sehubungan itu, Anwar perlu menyambung semula hukuman penjara berbaki 18 bulan di Penjara Sungai Buloh.

BN Kedah tidak gentar dengan Bersatu


Ahmad Bashah Md Hanipah

ALOR SETAR - BN Kedah tidak gentar dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang sedang mencari pengaruh dan menarik sokongan rakyat negeri ini untuk menyertai parti itu.

Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, rakyat kini sudah pandai menilai dan boleh melihat sejauh mana kemampuan pihak pembangkang untuk melakukan sesuatu bagi mereka.

"Bersatu sendiri tidak boleh menarik Pas atau DAP, jadi mereka akan cuba mencuri ahli Umno yang kecewa yang sebelum ini pernah kalah sebagai calon sama ada di peringkat cawangan atau negeri," katanya pada majlis penyerahan sumbangan kebajikan MBAS di Taman Wira Mergong di sini hari ini.

Sehubungan itu, beliau menegaskan BN Kedah sudah membuat persiapan awal dengan bertemu rakyat hingga ke peringkat akar umbi termasuk pengundi di kawasan masing-masing.

"Dalam masa yang sama, saya akan pastikan BN negeri terus memperkemaskan jentera dalam menghadapi Pilihan Raya Umum akan datang," katanya.

Pada majlis yang sama, Ahmad Bashah menerima 20 borang menyertai Umno daripada anggota Pas Taman Uda di sini. - Bernama

Amanah tidak dapat mengenal pasti keahlian pemuda yang dikatakan menghina Tuanku

Paparan skrin

SHAH ALAM  - Amanah memaklumkan pihaknya tidak dapat mengenal pasti individu yang mengeluarkan kenyataan di laman sosial mengkritik Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V.

Naib Ketua Pemuda Amanah, Shazni Munir Mohd Ithnin berkata, pihaknya tidak pernah melihat atau bertemu individu terbabit dan seluruh pimpinan pemuda di setiap kawasan dimaklumkan bagi mengenal pasti lelaki itu.

“Kita dah minta pimpinan pemuda di peringkat kawasan untuk semak siapa individu berkenaan kerana kita memang tak pernah lihat dia sebelum ini. Dan semakan status keahlian individu itu masih dilakukan,” katanya.

Kelmarin, seorang pengguna laman sosial yang dipercayai penyokong Amanah, Mohd Faiz mengeluarkan kenyataan mempertikaikan tindakan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V yang dilihat gemar beribadah dan menunaikan solat di beberapa masjid

Ketika ditanya, sama ada penyebaran kenyataan tersebut serangan musuh politik, Shazni berkata, pihaknya tidak mahu membuat sebarang spekulasi.

Sementara itu dalam posting terbaru di Facebook, Mohd Faiz memohon maaf kepada Agong dan seluruh rakyat Malaysia di atas keterlanjuran kenyataannya itu.

Beliau berkata, tujuannya hanya menyampaikan buah fikiran di dalam media sosial dengan semangat anak muda inginkan perubahan ke arah Malaysia yang lebih baik.

"Langsung tiada niat diri ini menghina YDPA dan institusi raja-raja, adapun cuma mahu melihat kuasa Majlis Raja-Raja diperkukuhkan dalam menjaga institusi Islam dan Melayu di Malaysia. Itu dimaksudkan dengan Kesalehan Sosial yang saya suarakan sebelum ini," katanya.

Pengangguran siswazah meruncing...kenapa??


- Gambar Hiasan

DUA tajuk berita minggu ini cukup menarik untuk dibincangkan dan didalami kesannya. Satu berlaku di Malaysia dan satu lagi di luar negara. Kedua-duanya mengenai isu yang sama, iaitu krisis guna tenaga.

Berita dalam negara yang disiarkan akhbar The Sun menyentuh kadar pengangguran yang semakin meningkat, khususnya dalam kalangan siswazah.

Saya telah banyak kali mengulas mengenai hal ini tetapi apa yang memeranjatkan ialah keadaan menjadi bertambah meruncing dengan begitu cepat.

Berita dari luar negara pula berupa kenyataan Pertubuhan bagi Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) mengenai beban pengangguran dunia yang dijangka berterusan buat satu jangka masa panjang.

Laporan dalam negara yang memetik butir-butir daripada Jabatan Perangkaan menunjukkan pengangguran dalam kalangan siswazah memuncak pada September lalu, kepada 34 peratus berbanding 30 peratus tiga tahun lalu.

Ini bermakna 34 orang daripada setiap 100 lulusan universiti atau seorang dalam tiga tidak mempunyai pekerjaan. Berdasarkan anggaran tenaga buruh seramai 14 juta orang, hampir setengah juta gagal mendapatkan pekerjaan. Daripada jumlah itu, 25 peratus berkelulusan universiti.

Apa yang sangat-sangat membimbangkan adalah tatkala pasaran buruh menguncup akibat kelembapan ekonomi, bilangan yang lulus universiti pula meningkat setiap tahun.

Perangkaan ini menunjukkan ekonomi negara menjadi semakin buruk sejak tiga tahun lalu akibat faktor dalam dan luar negara.

Kadar pengangguran siswazah hari ini mungkin lebih tinggi daripada mana-mana jangka masa ekonomi negara mengalami kelembapan misalnya pada pertengahan tahun 1980-an apabila kerajaan memperkenalkan skim latihan siswazah menganggur.

Di bawah skim itu, siswazah diambil bekerja oleh jabatan dan agensi kerajaan dengan elaun bulanan RM500 dan diberikan latihan. Banyak syarikat swasta turut membantu dengan mengadakan skim yang serupa walaupun upahan dan bentuk latihannya berbeza. Skim yang lebih kurang sama dilancarkan pada 2011 bertujuan membantu siswazah yang menganggur mendapat pekerjaan.

Bagaimanapun, memandangkan semakin ramai siswazah gagal mendapat pekerjaan, maka keberkesanan program itu tidaklah sebaik rancangan sebelum, di mana boleh dikatakan semua siswazah akhirnya mendapat pekerjaan.

Laporan itu mengatakan majikan menyalahkan kadar pengangguran siswazah yang semakin meningkat itu kepada ketidakseimbangan di antara bilangan jawatan baharu yang diwujudkan dengan bilangan siswazah yang memasuki pasaran buruh, selain sikap memilih kerja oleh sesetengah siswazah.

Banyak majikan kurang berminat mengambil graduan baharu kerana kecenderungan mereka melompat kerja semata-mata untuk mencari gaji lebih baik tanpa memikirkan soal latihan dan pengalaman.

Majikan yang ditemu ramah memberi amaran bahawa tanda-tanda menunjukkan pengangguran dalam kalangan siswazah akan meningkat lagi tahun depan berdasarkan unjuran pertumbuhan ekonomi.

Jabatan Perangkaan juga mendapati kenaikan gaji dalam kalangan pekerja berijazah sangat tidak memuaskan. Gaji bulanan purata mereka sepanjang tahun ini meningkat hanya RM100 daripada RM3,000 kepada RM3,100.

Sementara laporan OECD pula berkata, secara keseluruhannya bilangan penganggur dunia dijangka mencapai rekod di antara 219 juta hingga 234 juta orang tahun ini akibat kelembapan ekonomi global.

OECD adalah gabungan 34 buah negara dan wilayah yang paling maju ekonominya di dunia. Kita tidak termasuk dalam kumpulan itu. Dua laporan ini mengesahkan betapa buruknya situasi guna tenaga kebangsaan dan global.

Bagi kita di Malaysia, adalah menjadi harapan agar kerajaan dan majikan swasta lebih peka terhadap kebajikan pekerja tempatan, khususnya siswazah.

Jika siswazah gagal mendapat pekerjaan yang sesuai dan dengan pendapatan setimpal maka harapan kita untuk mencapai status negara maju dan kaya mustahil terlaksana.

Sejak Dasar Ekonomi Baru diperkenalkan pada 1971, golongan inilah yang menjadi pemangkin kepada mobiliti sosial dan ekonomi. Mereka inilah yang banyak menyumbang ke arah pembentukan kelas menengah yang menjadi antara penyumbang utama kepada pertumbuhan pesat ekonomi negara.

Justeru, adalah amat penting bagi kita mengutamakan pekerja tempatan, khususnya graduan dan ahli profesional, dalam mengisi kekosongan jawatan sektor awam dan swasta.





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...