TERKINI :

Wednesday, December 14, 2016

'Kami bukan maksum'


 PAS Idris Ahmad mengakui bahawa parti itu dan ahlinya tidak maksum dan tetap boleh dikritik sekiranya mereka melakukan kesilapan.

Beliau juga bersikap terbuka jika ada mana-mana pihak yang membenci parti berkenaan.

Bagaimanapun beliau mengingatkan, ia bukan bermakna parti serta anggotanya boleh difitnah dengan maklumat salah.

"Kalau kita ragu atau tidak pasti (sesuatu) maklumat, tidak perlu viral kepada orang lain.

"Kalau pun benci dengan PAS jangan pula fitnah PAS. Kritiklah PAS dan pimpinan kalau kami salah, kerana kami bukan maksum," kata Idris seperti dilaporkan Harakahdaily.

Idris berkata demikian merujuk mengenai dakwaan bahawa PAS ingin bergabung dengan Umno, serta isu parti itu menerima dana sebanyak RM90 juta.

Selain itu, katanya, PAS didakwa tidak bersuara mengkritik isu 'derma' RM2.6 bilion diterima Datuk Seri Najib Razak serta skandal 1MDB dan saman Jabatan Kehakiman AS melibatkan perdana menteri itu.

Mengulas lanjut, anggota parlimen Bukit Gantang itu turut menasihati orang ramai supaya bertanya terlebih dahulu kepada pimpinan PAS sebelum mempercayai sebarang tulisan di media sosial.

Ia kerana, katanya, berita tidak benar seperti itu mungkin juga ditulis oleh "orang muslim, kafir, munafik, penulis upahan, pendendam, batu api, dan (aktivis perang) saraf musuh".

"Dari mana awak dapat maklumat mengatakan PAS hendak bergabung dengan Umno? Dari mana awak dapat maklumat PAS dapat RM90 juta? Dari mana awak dapat maklumat PAS tidak bersuara mengenai 1MDB, RM2.6 bilion, DOJ?

"Jawapannya, daripada FB, WhatsApp, ceramah orang yang benci kepada PAS, portal, laman web.

"Saya tanya lagi, awak ada bertanya dengan pemimpin PAS? Awak baca Harakahdaily? Awak baca Harakah? Awak hadir usrah? Awak dengar kuliah di markas PAS? Awak dengar ceramah PAS? Jawapannya semuanya tidak," katanya.

Membetulkan salah faham terhadap parti Amanah

Oleh : Mohamed Hanipa Maidin

Saya melihat ada dua jenis kekeliruan terhadap Parti Amanah Negara iaitu kekeliruan yang disengajakan dan kekeliruan yang tidak disengajakan.

Bagi saya kekeliruan yang pertama itu adalah suatu kekeliruan yang tidak jujur ( dishonest ), manakala kekeliruan yang kedua lebih jujur sifatnya.

Saya tidak akan bicara panjang mengenai kekeliruan yang pertama kerana bagi saya kekeliruan ini datangnya dari pihak pihak yang amat tidak senang dengan kewujudan parti Amanah Negara sejak dari awal lagi. Maka antara lain digelar Parti Amanah Negara sebagai PAN. Di Facebook saya, golongan ini amat minat menggelar Parti Amanah sebagai PANDAP.

Menggelar Parti Amanah Negara sebagai PAN menunjukkan secara jelas yang mereka mungkin tidak pernah melihat Perlembagaan Parti Amanah Negara.

Perpatah Arab ada menyatakan " manusia menjadi musuh kepada perkara yang mereka tidak tahu". Memandangkan golongan pertama ini tidak tahu isi Perlembagaan Parti Amanah maka mereka menjadi musuh kepada parti Amanah lalu menggelar Parti Amanah Negara dengan istilah PAN.

Jika orang yang menggelar Parti Amanah Negara sebagai PAN mengambil masa sedikit melihat Perlembagaan Parti Amanah Negara sudah tentu tidak timbul digunakan istilah PAN.  Ini kerana di Bahagian 1 Perlembagaan Parti Amanah Nasional iaitu di dalam Artikel 1 dinyatakan jelas akronim ( nama pendek ) bagi Parti Amanah adalah Amanah DAN BUKANNYA PAN.

Ada juga pihak yang mendakwa kononnya Amanah bukan parti yang berlandaskan Islam. Mungkin kerana Amanah adalah parti yang mengambil alih parti pekerja maka golongan ini merasakan Islam tidak ada tempat di dalam Amanah.

Saya menjemput pihak yang mendakwa kononnya Islam tiada tempat dalam Amanah untuk melihat Bahagian 111 khususnys Artikel 6 Perlembagaan Amanah.

Artikel 6 secara jelas menyatakan "Amanah adalah parti politik yang mempunyai matlamat dan objektif yang menghormati dan mendokong ( to honour and uphold ) Islam sebagai asas perjuangannya.

Mungkin ada orang yang kata Pas secara jelas sebut dalam Perlembagaannya yang Islam adalah dasar perjuangannya dan sumber rujukan Pas adalah Al Quran, Al Sunnah, Ijma dan Qiyas .

Kenapa dalam Perlembagaan Amanah tiada dinyatakan sumber rujukan Amanah?

Jawapan saya yang pertama jika Amanah berbeza dengan Pas memang betul pun sebab Amanah bukan Pas dan tidak berniat untuk sama jauh sekali meniru Pas.

Yang keduanya, apabila Amanah menyatakan secara jelas Islam adalah asas perjuangannya , adakah masuk akal Islam yang dinyatakan itu terpisah sama sekali daripda sumber sumbernya seperti Al Quran, Al Sunnah, ijma atau Qiyas.Kalau ya, itu bukan Islam namanya.

Ya, sumber rujukan Pas adalah antaranya Al Quran dan Al Sunnah tapi saya ingin juga tahu bila kita menggunakan sistem chai dalam proses pemilihan kepimpinan utama , agaknya di mana kita letakkan Al Quran dan Al Sunnah?

Anwar gembira HARAPAN, BERSATU bekerjasama

Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menyambut baik pembabitan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dalam kerjasama secara rasmi dengan Pakatan Harapan (HARAPAN).

Menyifatkan ia sebagai "perkembangan positif" Anwar berkata parti yang terbabit kini harus berusaha mengenal pasti dasar bersama.

"Kita mengalu-alukan dan ia merupakan satu perkembangan positif… Kita perlu bekerjasama dalam mengenal pasti dasar (untuk bekerjasama),” katanya.

Semalam ketiga-tiga parti dalam HARAPAN - PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (AMANAH) - serta BERSATU menandatangani perjanjian bersama untuk memastikan BN ditentang melalui formula satu lawan satu pada pilihan raya umum akan datang.

Empat parti itu turut menandatangani tujuh perkara lain dalam kerangka kerjasama berkenaan.

Mereka juga setuju meneruskan perbincangan dengan parti yang masih belum menandatangani perjanjian tersebut bagi memastikan hanya satu calon mewakili pembangkang bagi menghadapi BN.

PKR diwakili oleh presidennya, Datuk Dr Wan Azizah Wan Ismail, manakala AMANAH diwakili Mohamad Sabu.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden BERSATU Tan Sri Muhyiddin Yassin menandatangani perjanjian itu bagi pihak parti masing-masing.

Keempat-empat parti itu akan menubuhkan sebuah jawatankuasa teknikal bersama untuk membincangkan pembahagian kerusi dan manifesto bersama.

Ia dianggap penting kerana membawa kepada pembentukan gabungan pembangkang yang lebih tersusun bagi berdepan BN walaupun kedudukan PAS masih menjadi persoalan.

Lebih daripada itu ia juga menjadi detik baru kepada pembangkang apabila Anwar menerima bekas seteru ketatnya, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Di Mahkamah Persekutuan hari ini, Anwar gagal dalam permohonannya supaya sabitan hukuman penjara ke atasnya disemak semula.

Antara KUDA & KHADAM mana yang sedang UMNO lakukan kepada PAS..?

1. Umno bertanding di 112 kerusi Parlimen. Jumlah yg sama minimum untuk Majoriti Mudah.

2. Sekarang, Umno mempunyai 89 kerusi Parlimen. Hanya melepas 23 kerusi.

3. Umno, secara tradisi bertanding di kawasan majoriti Melayu. Sama dengan Pas-Amanah. Sama dengan Bersatu dan sebahagian besar PKR.

Bererti, 5 parti dominan Melayu, UMNO-Bersatu, PKR, Pas-Amanah, secara logiknya bertanding di kawasan yg sama.

4. Dengan kedudukan yg selesa, 89 kerusi Parlimen dari 112 kerusi, MUSTAHIL bagi Umno untuk bergabung dgn Pas.

Mustahil Umno akan menyerah sebahagian kerusi yg dimenanginya kpd Pas.

Adakah Umno akan serah kpd Pas hanya 23 kerusi? Mustahil Pas akan terima hanya bertanding di 23 'kerusi kalah Umno'.

5. Pru13, Pas bertanding di 73 kerusi Parlimen, 39 kerusi kurang berbanding Umno (112).

Adakah Pas sanggup serah sebahagian kpd Umno? Mustahil.

6. Jadi apa matlamat Umno berbaik2 dgn Pas?

Matlamat nya, bukan untuk bergabung dgn Pas, tapi MENGGUNAKAN PAS memecahbelahkan Pakatan Rakyat (dulu) dan Pakatan Harapan (sekarang).

7. Dengan berjaya memecahbelahkan Pakatan Rakyat dan Pakatan Harapan, (dengan Pas menarik diri), memungkinkan 3 Penjuru dlm Pru14.

Iaitu, sekali lagi PAS DIPERGUNAKAN UmnoBn, agar berlaku 3 Penjuru, sekaligus memecahbelahkan undi Pembangkang kpd 2. Mudah bagi UmnoBn memenangi Pru14.

8. Itu saja matlamat 'taawun' Umno ke atas Pas. Ironinya, Pas menyangka Umno sudah berubah, sudah menerima dakwah Pas melaksanakan Hukum Islam.

9. Jelas, UMNO menipu, memperdaya, memanipulasi dan menggunakan Pas demi kelangsungan hegemoni kuasa mereka.

10. Kepada Timbalan Presiden Pas, UMNO lah menggunakan PAS sebagai BATU LONCATAN, KUDA TUNGGANGAN.

Bukannya Pakatan Harapan!

Pas kena berhenti bermimpi, buang ego dan kedegilan


KOTA BHARU - Pas perlu berhenti bermimpi dan sedar sokongan rakyat terhadap parti itu semakin terhakis.

Naib Pengerusi Amanah negeri, Che Ibrahim Mohamed berkata, sokongan yang semakin pudar itu berpunca dari keegoan dan kedegilan mereka.

Menurutnya, keengganan Pas untuk menerima hakikat tersebut akan membawa padah yang lebih buruk pada masa akan datang khususnya untuk berdepan PRU14.

“Pas perlu berhenti bermimpi di siang hari kerana igauan buruk akan menggantikan mimpi tersebut, perkembangan semasa menyebabkan parti itu selamanya tidak boleh mendakwa Kelantan dan Terengganu sebagai kubu mereka.

“Apabila Pas pecah dan lahirnya parti Amanah dan dalam masa yang sama Umno juga berpecah dengan lahirnya Parti Bersatu yang kesemuanya bakal berkabung dalam satu pakatan pembangkang atas nama Pakatan Harapan, maka Pas akan menjadi satu parti yang terpinggir kecuali mereka bersama BN atau kembali ke pakatan pembangkang,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Dewan Ulamak Pas, Datuk Dr Mahfodz Mohamed yang menyuruh parti Amanah mengukur baju di badan sendiri dan jangan bermimpi untuk menawan Kelantan dan Terengganu yang merupakan kubu kuat pada PRU14.

Tambahnya, rakyat dan pengundi masih belum  menerima wujudnya blok ketiga yang tidak jelas pendiriannya sama ada bersifat pembangkang atau penasihat kepada parti pemerintah.

Beliau berkata, Pas tidak boleh memperdagangkan kerusinya dengan hanya akan menyatakan sokongan sama ada kepada Pakatan Harapan atau BN hanya apabila dilihat ada keuntungan kepada Pas.

“Pas sebenarnya mengakui hakikat mereka tidak boleh bersendirian dalam berhadapan arus politik hari ini, sebab itu mereka cuba menonjolkan diri untuk menjuarai pembentukan blok ketiga atas nama Gagasan Sejahtera.

“Apabila mereka berjaya mengajak parti kecil seperti Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) dan Barisan Jemaah Islamiah Semalaysia (Berjasa), mereka sedang mengelirukan rakyat bahawa Gagasan ini akan diperbesarkan dengan penyertaan Bersatu dan PKR bersama mereka,” katanya.

Namun beliau yakin pemimpin-pemimpin parti tersebut (Bersatu dan Keadilan) matang serta amat memahami kehendak rakyat bahawa pembangkang tidak boleh berpecah jika benar mereka berhasrat menggantikan BN menguasai tampuk pemerintahan negara.

BERSATU akan runding dengan PAS hingga tahun depan, kata Muhyiddin

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) memberikan masa sehingga tahun depan untuk berunding dengan PAS yang sehingga kini masih belum bersetuju untuk membentuk pakatan pilihan raya dengan pembangkang, kata Presiden BERSATU Muhyiddin Yassin.

Tempoh itu diperlukan sebelum keputusan dibuat untuk menutup pintu terhadap parti Islam itu, kata Muhyiddin.

"Sentiasa mesti ada tempoh. Tapi, untuk berlaku adil kepada parti itu, kerana (kita baru) mengadakan mesyuarat pertama."

"Kita perlu membenarkan (sehingga) bulan depan ... tahun depan," katanya pada sidang akhbar selepas menandatangani perjanjian bersama kerangka kerjasama dengan Pakatan Harapan (HARAPAN).

Beliau memberitahu rakan-rakan HARAPAN semasa mesyuarat Majlis Presiden gabungan itu yang diadakan sebelum ini.

Muhyiddin mendedahkan bahawa beliau telah bertemu Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Timbalan Presidennya, Tuan Ibrahim Tuan Man minggu lalu.

Timbalan Presiden AMANAH, Salahuddin Ayub berkata sebelum itu mereka akan membincangkan tarikh akhir yang diberikan kepada PAS sebelum pembangkang menutup pintu kerjasama dengan parti itu.

Salahuddin berpendapat PAS harus dibenarkan sehingga akhir tahun ini untuk menentukan kerjasama dengan parti yang dikehendakinya.

Tuan Ibrahim berkata parti-parti pembangkang yang mahu bekerjasama dengan PAS, tidak boleh bertanding di 70 kerusi PAS.

"Itu syarat compulsory (wajib). Setiap kali kita tanding, PAS korbankan kerusi, ok, enough is enough (Cukup-cukuplah).

"No compromy (Tiada kompromi), kerusi PAS kena hormat, kamu boleh bincang dia boleh bincang, kerusi lain, PAS tak ambil semua kerusi, kita tanding pun 70 kerusi dulu," kata Tuan Ibrahim malam tadi.

Muhyiddin bagaimanapun menolak menjawab soalan yang dibangkitkan dalam sidang akhbar itu, dengan berkata ia bukan platform untuk menjawab kenyataan Tuan Ibrahim.

"Saya tidak fikir ini adalah forum (untuk membinacangkannya) kerana ini adalah kenyataan beliau yang dibuat di luar. Jadi, saya fikir demi kerahsiaan dan formaliti, adalah lebih baik kita berbincang apabila tiba masa yang sesuai bagi kami untuk berbuat demikian," katanya.

Walaupun Tuan Ibrahim menolak tawaran untuk membina hubungan antara PAS, DAP dan AMANAH, Muhyiddin berkata beliau masih bersikap positif.

Penganalisis: Boleh menang di Kedah, belum tentu di Sabah

Mohamad Fadli

awang-pawi-1

PETALING JAYA: Tidak mustahil Kedah, Terengganu dan Johor akan jatuh ke tangan pembangkang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), kata penganalisis politik Awang Azman Awang Pawi.

Ini kerana pembangkang dilihat mula menggunakan pengaruh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di kawasan pengundi Umno.

"Di Terengganu lebih bergantung kepada peranan bekas menteri besar, Datuk Seri Ahmad Said. Itupun kalau dia (Ahmad Said) mengadakan pakatan dengan PPBM.

"Manakala di Kedah, akan gunakan pengaruh bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir. Tumpuan juga dilihat melalui kawasan yang Umno menang tipis.

"Di Johor, parti Tan Sri Muhyiddin Yassin boleh menang di kawasan yang ditandingi, tetapi bukan kemenangan yang mudah. Perlawanan yang getir, majoriti bawah 3,000 undi, bergantung kepada real politik ketika PRU."

Beliau mengulas keyakinan Datuk Seri Shafie Apdal yang meramalkan Kedah, Terengganu dan Johor akan jatuh ke tangan pembangkang kerana BN kehilangan beberapa pemimpin berpengaruh.

"Sabah pula kita akan rampas. Ini kerana yang menentukan kerajaan di Sabah bukan Najib, tetapi rakyat di Sabah," kata presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) itu dalam sebuah program di Kampung Kukut, Beaufort, Sabtu lalu.

Awang Azman bagaimanapun belum menyakini peluang pembangkang di Sabah.

Katanya, pertambahan 13 kerusi baharu di Sabah, sekiranya diluluskan, akan memberi kelebihan kepada BN.

"Ini berdasarkan kerusi baru sebahagian besar akan dimenangi BN," katanya.

Sementara itu, pemimpin DAP Dr Abdul Aziz Bari berkata kemenangan di 4 negeri itu memungkinkan pembentukan kerajaan persekutuan baharu.

"Umpamanya ada beberapa orang pengkaji mengatakan pusingan 2% pun sudah cukup untuk menang Putrajaya. Kalau menang (4) negeri itu, Putrajaya jatuh.

"Jadi yang penting adalah sistem itu tidak dicemari dan dicabul oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...