TERKINI :

Thursday, December 8, 2016

Kementerian tarik lesen doktor, klinik terlibat jual bayi

KUCHING: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan mengambil tindakan menggantung dan menarik balik lesen pengamal perubatan doktor dan klinik yang didapati bersalah terlibat dalam kegiatan pemerdagangan bayi, kata menterinya Datuk Seri Dr S.Subramaniam.

Beliau berkata demikian sebagai merujuk kepada kes penahanan 3 inividu termasuk dalang utama, seorang wanita yang dikenali sebagai Bonda selain doktor yang mendalangi kegiatan penjualan bayi di negara ini baru-baru ini.

Menurut Dr Subramaniam, kementeriannya dan polis sedang menyiasat doktor dan pengusaha klinik terbabit.

"Apabila kita mempunyai bukti yang mencukupi barulah kita boleh mengambil tindakan terhadap doktor dan klinik yang terlibat, contohnya tindakan melalui Majlis Perubatan Malaysia," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari AIDS Sedunia peringkat Kebangsaan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.

Dr Subramaniam berkata, kementeriannya juga boleh mengambil tindakan dengan menggantung atau menarik balik lesen institusi (klinik) yang terlibat.

Polis akan mengambil tindakan mengikut prosedur jenayah kerana tindakan mereka adalah perlakuan jenayah, katanya.

"Kedua-dua proses ini sedang berjalan dan apabila kedua-dua pihak (KKM dan polis) sudah mempunyai bukti yang mencukupi kita akan ambil tindakan," kata Dr Subramaniam.

Menerusi "Ops Baby" yang dijalankan sepasukan pegawai dan anggota daripada Unit Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) Bukit Aman baru-baru ini, 3 klinik, iaitu 2 di Klang dan 1 di Puchong selain 4 premis kedai di Seremban, Klang, Sepang dan Tanjung Sepat, Selangor diserbu berikutan laporan stesen televisyen Al-Jazeera mengenai kegiatan penjualan bayi di negara ini.

Polis menahan 3 individu iaitu seorang wanita berumur 38 tahun, seorang doktor berumur 54 tahun dan seorang pekerja klinik, 24.

Pada 24 Nov lalu, Al-Jazeera memaparkan dokumentari berdurasi 25 minit yang mendedahkan aktiviti penjualan bayi bertajuk "Malaysia: Babies For Sale" dan ia disiarkan dalam program 101 East.

Kementerian Luar: Kadar baharu visa haji, umrah kekal tiada sebarang titah diraja dikeluarkan

Bernama

PUTRAJAYA: Kementerian Luar menafikan laporan mengenai pembatalan kadar baharu visa Arab Saudi yang tersebar di media tempatan dan antarabangsa baru-baru ini.

Kementerian itu dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan Kedutaan Besar Malaysia di Riyadh, Arab Saudi sudah menyemak perkara itu dengan Kementerian Luar Arab Saudi dan sehingga 6 Disember lalu, tiada sebarang dekri mahupun titah diraja yang dikeluarkan Penjaga Dua Masjid Suci, Raja Salman Bin Abdulaziz Al-Saud berhubung perkara tersebut.

Kedutaan Besar Arab Saudi di Kuala Lumpur juga memaklumkan tiada arahan terkini yang dikeluarkan kerajaan Arab Saudi merujuk kepada pembatalan kadar baharu visa negara itu yang berkuat kuasa 1 Muharram 1437H bersamaan 2 Oktober 2016.

Sehubungan itu, orang ramai diminta tidak mudah percaya kepada maklumat belum disahkan kebenarannya bagi mengelakkan kekeliruan.

Kementerian itu berkata, jika ada sebarang perubahan, ia akan diumumkan kerajaan Arab Saudi melalui kedutaan dan rangkaian media rasmi kerajaan negara itu.

Kenaikan kadar visa Arab Saudi yang diumumkan sebelum ini dikuatkuasakan ke atas semua negara tanpa pengecualian.

Antara perubahan utama di dalam struktur kadar visa baharu itu ialah kemasukan pertama bagi jemaah haji dan umrah adalah percuma, tetapi kemasukan kedua dan seterusnya akan dikenakan bayaran SAR2,000 (RM2,150).

PAS INGIN LIHAT UMNO MENANG, CUMA AGAK KESIPUAN UNTUK BERTERUS-TERANG

Pas semalam seolah-olah memberi kata dua kepada PPBM iaitu mereka tidak boleh menjalin hubungan dengan DAP dan Amanah jika mahu bekerjasama dengan parti itu.

Setiausaha Agung Pas, Takiyuddin Hassan berkata, syarat itu telah pun diberikan kepada PPBM dalam pertemuan sebelum ini.

Kita telah mengadakan pertemuan sebelum ini dan memberikan beberapa syarat, antaranya jika PBBM ingin mengadakan hubungan dengan Pas, mereka tidak seharusnya ada hubungan dengan DAP dan Amanah...itu pilihan untuk mereka, kaya Takiyuddin lagi.

Dalam erti kata lain, syarat Pas itu bermaksud kiranya PPBM memilih untuk menjalin hubungan dengan Pas, mereka mesti memutuskan hubungan DAP dan Amanah, sebaliknya jika bekerjasama dengan DAP dan Amanah,  parti itu kehilangan sama-sekali peluang untuk bekerjasama dengan Pas.

Walaupun syarat Pas itu agak pelik kerana mereka sebenarnya masih bersama dalam kerajaan negeri Selangor yang di dalamnya ada DAP dan Amanah, mari kita cuba fahami di sebalik kata dua Pas kepada PPBM itu.

Senario 1 - PPBM memilih untuk bekerjasama hanya dengan PAS, tapi tidak dengan DAP dan Amanah.

Dalam keadaan ini, PPBM atau Pas akan kalah di banyak kerusi campuran yang ditandinginya kerana tidak mendapat sokongan daripada DAP yang disokong antara 80 hingga 90 peratus oleh pengundi Cina.

Di kerusi-kerusi campuran yang terdapat pengundi bukan Melayu di mana PPBM atau Pas bertanding, sokongan kaum itu tidak mungkin diperolehi kerana DAP sudah tentu akan tidak tidak turun berkempen berikutan tiada kerjasama dengan parti itu.

Apabila DAP tidak berkempen dan hanya MCA serta Gerakan yang datang menyantuni pengundi bukan Melayu, mereka tiada pilihan lain selain mengundi calon BN. 

Dengan sokongan mutlak pengundi bukan Melayu, tetapi pengundi Melayu berpecah, akhirnya  yang paling berpotensi untuk menang ialah calon UMNO dan BN.

Di kerusi-kerusi majoriti Melayu pula, kedudukan antara UMNO dengan PPBM atau Pas yang bertanding boleh jadi seimbang keadaannya. 

Bagaimanapun, sebagai parti yang menguasai kerajaan, memiliki banyak wang dan PRU 14 merupakan pertarungan hidup dan mati, UMNO akan melakukan apa saja "do or die" untuk mencapai kemenangan.

Senario 2 - PPBM bekerjasama dengan DAP dan Amanah, tetapi tidak dengan Pas.

Dalam keadaan ini, PPBM akan mempunyai lebih peluang untuk menang di kerusi-kerusi campuran kerana mendapat sokongan yang penuh daripada DAP.

Peluang itu lebih terbuka jika yang berlaku hanya pertandingan satu lawan satu dengan BN. 

Tetapi kemungkinan lebih besar berlaku ialah pertandingan tiga penjuru kerana Pas tetap akan meletakkan calon atas nama blok ketiga sebagai sebahagian misi dakwah kepada bukan Islam. Bertanding sebagai blok ketiga inilah Pas berpegang kepada prinsip perjuangan kononnya.

Dalam konteks bertanding tiga penjuru antara PPBM, UMNO dan Pas di kawasan campuran, ia akan memberi kelebihan kepada PPBM untuk memenanginya.

Bagaimanapun, pertandingan tiga penjuru di kawasan majoriti Melayu akan memberi kesukaran kepada PPBM mahu pun Pas, sebaliknya kelebihan memihak kepada UMNO dan BN.

Di kerusi yang Amanah bertanding pula, disebabkan dendam kesumat yang terbuku dalam dada, meskipun Islam lebih menggalakkan menjadi pemaaf, Pas sudah barang tentu akan meletakkan calonnya bertanding juga.

Akhirnya, senang-lenang UMNO menang.

Kesimpulan mudahnya, berdasarkan telatah Pas dalam soal kerjasama ini mereka bukan sangat mahu menang pilihanraya atau ingin menjadi sebahagian kerajaan baru selepas PRU 14 nanti.

Sama ada parti-parti lain, khususnya PPBM bekerjasama dengan Pas atau sebaliknya, kecenderungan melalui syarat-syarat yang diberikan ialah untuk memberi kelebihan kepada UMNO dan BN.

Jika Pas benar-benar ikhlas ingin menumbangkan UMNO dan BN, mereka harus bersikap terbuka untuk saling bekerjasama dengan parti-parti yang mempunyai matlamat yang sama.

Dengan meletakkan syarat-syarat sukar, ternampak terselindung niat untuk memenangkan atau memberi kelebihan kepada UMNO dan BN, cuma barangkali Pas masih kesipuan untuk berterus-terang. (SH 08/12/2016).

Penganalisis : Pas ibarat ‘sesumpah’

SHAH ALAM - Parti Pas perlu menyatakan pendirian mereka dari segi sokongan dan pendekatan politik yang ingin dibawa kerana dalam situasi sekarang, parti Islam itu dilihat seolah-olah sebuah parti yang tidak konsisten pendiriannya.

Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Antarabangsa Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia, Prof Madya Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata demikian ketika mengulas kenyataan Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan kepada Bersatu bahawa mereka tidak boleh mengadakan hubungan dengan DAP dan Amanah jika mahu bekerjasama dengan Pas.

"Pas sebenarnya adalah parti yg tidak konsisten pendiriannya. Saya rasa daripada menyatakan kritikan kepada Bersatu, baik Pas nyatakan pendirian dari segi sokongan  dan pendekatan politik yang ingin dibawa. 

"Dalam keadaan sekarang Pas seperti 'sesumpah' yang boleh berubah rupa apabila tiba masanya," katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Kenyataan Takiyuddin juga sedikit sebanyak menimbulkan spekulasi tentang kedudukan dan masa depan Pas di peringkat kerajaan negeri Selangor apabila dilihat terdapat kemungkinan percanggahan pendirian antara Pas pusat dan negeri.

"Dari segi prinsipnya, Pas Selangor perlu mengundurkan diri. Adalah tidak teguh prinsip perjuangan menyokong Pakatan di Selangor tetapi tidak di peringkat Pusat. Rakyat akan berpersepsi tidak molek kepada Pas. "Bersatu pula memang sebelum ini menyatakan hasrat supaya Pas menyertai Pakatan, namun saya tidak pasti pendirian terkini Bersatu. 

"Mungkin Bersatu sudah putus asa dengan pendirian Pas yang tidak jelas. Jadi, dalam pengamatan saya, kemungkinan Pas untuk tidak menyertai Bersatu dan Pakatan adalah tinggi," katanya.

LHDN wajar siasat harta dimiliki Jho Low, ahli keluarganya


Lim Lip Eng

Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) sewajarnya menyiasat harta berbilion milik Jho Low dan anggota keluarganya serta Riza Aziz yang mereka perloleh daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) untuk membantu Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ).

 Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng berkata, sikap kerajaan yang enggan bertindak untuk membantu DOJ individu yang didakwa itu boleh terus menyimpan wang dan harta yang mereka perolehi daripada 1MDB.

"LHDN sewajarnya menyiasat harta berbilion milik Jho Low, anggota keluarganya dan Riza.

"Bila dan bagaimana mereka mengumpul kekayaan berbilion itu? Di negara mana mereka membayar cukai pendapatan kekayaan itu dan adakah mereka telah membayar cukai pendapatan secukupnya ke atas hasil kekayaan tersebut?

"Sangat aneh apabila LHDN terus membisu seribu bahasa selama bertahun-tahun terhadap kekayaan yang demikian besar oleh beberapa individu yang terlibat dengan dana 1MDB yang terpalit skandal," ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas empat daripada ahli keluarga Low Thaek Jho, atau Jho Low dilaporkan sedang merancang memfailkan tindakan mahkamah dalam usaha untuk melengah dan menghalang pihak berkuasa AS daripada merampas aset bernilai US$1 bilion daripada Jho Low yang didakwa telah diseleweng daripada dana 1MDB.

"Ini dana milik rakyat. Kenapa Peguam Negara dan duta kita di Amerika Syarikat tidak masuk campur dalam tindakan mahkamah oleh DOJ untuk membantu pihak berkuasa negara itu mendapatkan semula harta kita yang didakwa telah dicuri tersebut?

Dengan tidak berbuat apa-apa, kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Razak secara mudahnya memberitahu pihak berkuasa Amerika bahawa Jho Low bersama-sama anak tiri Najib, Riza Aziz boleh terus menyimpan apa sahaja wang dan harta yang mereka perolehi daripada 1MDB walaupun telah melanggar undang-undang.

"Dan jika demikian keadaannya, Putrajaya seharusnya mengemukakan protes diplomatik terhadap saman DOJ berkenaan 1MDB, atau memberi kedua-dua Jho Low dan Riza kekebalan diplomatik supaya mereka langsung tidak boleh disentuh pihak berkuasa mana-mana negara," ujarya.


Jho Low 1MDB

Menurut fail mahkamah Amerika Syarikat yang dilaporkan Reuters menyatakan empat saudara Jho Low merancang memfailkan tindakan mahkamah di New Zealand dan Kepulauan Cayman minggu ini bagi membolehkan hartanah dan aset lain dipindahkan kepada pemegang amanah yang baru, menurut usul Mahkamah Persekutuan di Los Angeles pada Isnin yang lalu yang dilaporkan media antarabangsa Reuters.

Menurut fail, langkah untuk mencuba mahkamah di tempat lain dibuat ekoran bantahan kerajaan AS terhadap usaha oleh saudara-mara Low untuk memindahkan aset kepada pemegang amanah yang baru.

Kerajaan AS mempersoalkan, antara lain, mahkamah di New Zealand dan Kepulauan Cayman adalah lokasi yang sesuai untuk membuat permintaan seperti itu.

Menurut Bloomberg, empat saudara-mara Low itu termasuk bapa dan abangnya.

Usul berkenaan bertujuan menangguhkan perbicaraan kes berkenaan kepada tarikh lain dengan penyataan bahawa terdapat usaha membawa kes itu ke mahkamah di New Zealand dan Kepulauan Cayman.

Syarat Pas kepada PPBM: Tidak boleh bersama Amanah dan DAP jika mahu kerjasama


Pas telah memberikan beberapa syarat, jika PPBM ingin mengadakan hubungan dengan Pas, mereka tidak seharusnya mengaitkan dengan hubungan Bersatu dengan Pas bersama DAP dan Amanah

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) tidak boleh mengadakan hubungan dengan DAP dan Amanah jika mahu bekerjasama dengan Pas.

Memetik laporan Sinar Harian, Setiausaha Agung Pas Datuk Takiyuddin Hassan berkata, syarat tersebut telah diberikan kepada PPBM dalam pertemuan sebelum ini.

"Buat masa ini kita tidak pernah mengadakan apa-apa hubungan atau kerjasama politik dengan Bersatu (PPBM). Cuma kita pernah bertemu kerana mereka menyatakan hasrat untuk bersama Pas.

"Bagaimanapun, kita telah memberikan beberapa syarat, jika mereka ingin mengadakan hubungan dengan Pas, mereka tidak seharusnya mengaitkan dengan hubungan Bersatu dengan Pas bersama DAP dan Amanah. Itu adalah pilihan untuk mereka," katanya kepada Sinar Harian.

Isnin lalu, Pengerusi PPBM Tun Dr Mahathir Mohamad berkata pihaknya tidak akan menunggu Pas lebih lama.

Menurutnya, jika ia mengambil masa terlalu lama, pembangkang akan bergerak dengan rancangan mengalahkan BN tanpa Pas.

Takiyuddin berkata, buat masa ini pihaknya bekerjasama dengan Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) dan pada masa sama beliau tidak menafikan masih memiliki hubungan baik dengan PKR.

"Kalau Bersatu mahu menyertai kita, itulah pilihan yang mereka ada.

"Tapi jika mereka masih mahu bersama Amanah, DAP dan PKR dalam Pakatan Harapan, itu maknanya mereka berada dalam keadaan yang kita tidak boleh terima. Bersatu sendiri perlu membuat keputusan dalam hal ini," katanya.

Sementara itu, Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas Pusat Datuk Dr Kharuddin Aman Razali kelmarin menegaskan, Pas tidak memerlukan PPBm sebagai pembangkang

Sebaliknya beliau berkata Pas akan menerajui Gagasan Sejahtera sebagai satu lagi blok politik pembangkang.

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja mesti jelaskan kenapa jemputan keatas YABHG Tun Mahathir dibatalkan.

SYED DANIAL SELAKU PENYIMPAN MOHOR BESAR RAJA-RAJA MESTI JELASKAN SECARA JELAS KEPADA RAKYAT KENAPA JEMPUTAN KEATAS YABHG TUN DR MAHATHIR MOHAMAD DIBATALKAN!!

32 juta rakyat Malaysia ingin tahu dan Syed Danial selaku penyimpan mohor besar raja-raja melayu kena maklumkan kepada keseluruhan warganegara Malaysia mengapa jemputan keatas YABhg Tun Dr Mahathir Mohamad dibatalkan untuk menghadiri upacara melafaz dan menandatangani surat sumpah Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agung xv?!

Kenapa jemputan keatas YABhg Tun Dr Mahathir Mohamad dibatalkan oleh pihak istana?! Siapa yang arahkan pembatalan tersebut?! Adakah arahan pembatalan dari kerajaan atau istana negara?!

YABhg Tun Dr Mahathir Mohamad adalah tokoh negarawan yang banyak berjasa pada bangsa, agama serta tanahair.

Dalam apa kapasiti, walaupun YABhg Tun Dr Mahathir Mohamad bukan lagi penyokong kerajaan tetapi beliau adalah warganegara Malaysia yang sah!!  YABhg Tun Dr Mahathir Mohamad juga adalah mantan Perdana Menteri paling lama di negara kita!! Menjawat jawatan Perdana Menteri selama 22 tahun!!

Pihak istana harus berkecuali dari politik!! Kita mengamalkan konsep raja berperlembagaan dan institusi raja-raja juga tidak terbabit dengan hal-ehwal politik.

Saya sebagai rakyat negara Malaysia yang sah ingin menanya Syed Danial kenapa perkara ini berlaku?! Sepatutnya semua tokoh-tokoh pemimpin tak kira yang pro kerajaan atau pun tidak tetapi sebagai rakyat Malaysia yang pernah menabur bakti kepada negara mesti dijemput hadir!! Baru nampak sikap berkecuali istana dari politik serta kelihatan amat professional!!

Syed Danial selaku orang yang bertanggungjawab menandatangani surat tersebut harus memberi pencerahan segera kepada rakyat jelata di negara ini.

Ikhlas dari:
KHAIRUDDIN ABU HASSAN
7 November 2016





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...