TERKINI :

Wednesday, December 7, 2016

DATO’ SERI NAJIB PERLU SAHKAN LAPORAN FINANCIAL TIMES DAN URA-URA GLC BESAR DISENARAIKAN DI BURSA SINGAPURA

Saya merujuk kepada satu laporan terkini bertarikh hari ini oleh Financial Times bertajuk"China to help 1MDB settle multibillion-dollar legal dispute" yang menyentuh perkara-perkara berikut:

1. 1MDB akan mula membayar hutang berjumlah USD6.5 bilion (bersamaan RM30 bilion) yang dituntut oleh syarikat pelaburan milik Abu Dhabi iaitu International Petroleum Investment Company (IPIC) dengan bantuan kewangan dari Kerajaan China;

2. Sumber yang dipetik oleh Financial Times juga menyebut bahawa bantuan kewangan dari Kerajaan China itu adalah sebagai pertukaran kepada aset ("asset swap") yang akan diurusniagakan oleh Kerajaan Malaysia.

Dalam sesi Parlimen yang lepas, saya secara khusus telah menanyakan Menteri Kewangan II, Dato' Johari Abdul Ghani bagaimanakah pentadbiran Dato' Seri Najib bercadang membayar kembali hutang yang dituntut oleh IPIC itu (walaupun saya hanya menyebut jumlah yang didakwa diselewengkan ke akaun Jho Low berjumlah RM3.5 bilion atau RM15 bilion).

Sehingga ke akhir ucapan penggulungan beliau, Dato' Johari Abdul Ghani tidak menjawab langsung.

Saya merasakan seolah-olah ia ulangan kepada amaran saya lebih setahun lalu supaya 1MDB tidak menggunakan dana Tabung Haji dan amaran saya itu (dalam bulan Mac 2015) telah dicerca dengan jeritan tidak bersopan di dalam Dewan Rakyat oleh Dato' Seri Azeez Abdul Rahim. Sebulan kemudian, berita bahawa Tabung Haji telah membeli tanah dari 1MDB pada harga yang berlipat kali ganda lebih tinggi bocor kepada orang ramai.

Dalam sidang yang lepas, perkara yang hampir sama berlaku. Saya telah bertanya soalan mengenai perancangan Dato' Seri Najib untuk membayar hutang itu dan telah disambut dengan cerca dan jeritan dari Ahli Parlimen Baling itu yang diketahui sangat rapat dengan Dato' Seri Najib dan Datin Seri Rosmah, sehingga soalan saya itu tidak dijawab langsung.

(Rakaman perbahasan itu boleh ditonton di https://www.youtube.com/watch?v=7P3VYrJjtcg )

Berita yang disiarkan oleh Financial Times hari ini benar-benar merunsingkan saya kerana ia seolah-olah mengesahkan satu maklumat yang telah saya perolehi beberapa bulan lepas mengenai kemungkinan salah satu konglomerat berkaitan kerajaan (GLC) akan disenaraikan di Singapura dalam tahun 2017 bagi memberi ruang kepada syarikat yang dikawal Kerajaan China (secara langsung atau tidak langsung) menguasai sebahagian besar dari sahamnya.

Sebelum ini, saya tidak menimbulkan perkara ini kerana menunggu lebih banyak bukti dan perkembangan yang boleh mengesahkan ada kebarangkalian dakwaan itu ada kebenaran. Berita pada hari ini yang turut menyebut mengenai urusniaga melibatkan aset milik Kerajaan Malaysia.

Soalan saya ialah GLC manakah yang mempunyai pengaruh yang sebegitu besar untuk dijadikan pertukaran bagi bantuan kewangan mengejut sebanyak RM30 bilion seperti yang dilaporkan Financial Times hari ini?

Pada pemahaman saya, hanya ada beberapa GLC yang mempunyai saiz aset sebesar itu iaitu PETRONAS (atau anak syarikat kumpulannya), Tenaga Nasional Berhad, Telekom Malaysia atau Sime Darby Berhad?

Saya mendesak Dato' Seri Najib memberi penjelasan sama ada bantuan kewangan dari Kerajaan China akan menyebabkan salah satu aset utama seperti GLC di atas dilibatkan di dalam urusniaga baru melibatkan Kerajaan China?

Jika beliau berdiam diri, desas desus ini tidak akan berhenti dan saya akan terus menyiasat sehingga butiran aset yang ingin diurusniagakan diketahui umum.

RAFIZI RAMLI
AHLI PARLIMEN PANDAN
NAIB PRESIDEN KEADILAN

Sudah seperti geng Mafia, Najib peras ugut tuntut ahli Umno wala kepadanya

Ahli Parlimen Pokok Sena, Dato' Mahfuz Omar mendakwa Presiden Umno, Dato' Seti Najib Razak terpaksa memeras ugut orang dan ahli-ahli Umno yang tidak berwala' kepadanya sebagai pengkhianat kerana pada anggapan beliau, beliau adalah khalifah.

Mahfuz berkata, dalam konteks parti, khalifah itu adalah Presiden dan dalam kontek negara pula khalifah itu adalah Perdana Menteri walaupun beliau seorang yang mengamalkan kleptokrasi.

Umno sebagai pertubuhan berdaftar katanya, kini sudah bertukar pendekatan menjadi seperti kumpulan kongsi gelap, gengster dan mafia yang menjalankan kegiatan haram dan memaksa ahli kumpulannya setia bersama ketua kumpulan.

"Seperti ahli kumpulan Mafia yang belot atau kianat (tak wala') kepada ketua dan kumpulan akan dihapus," ujar beliau dalam satu kenyataan media.

Dalam Umno sekarang ini, dakwa beliau, mereka yang bercakap benar menegak yang makruf dan menentang yang kemungkaran yang dilakukan oleh Najib dianggap tak wala' pada presiden dan mesti dihapuskan (pecat).

Menurut bekas Naib Presiden Pas itu, wala' adalah istilah agama yang kini disalahgunakan untuk melindungi jenayah curi rasuah sang pemimpin dan cuba dijadikan candu untuk orang bawahan dan pengikut memberikan kesetiaan dan kepatuhan membuta tuli walaupun kepada seorang pemimpin pencuri.

"Ketaatan dan kepatuhan itu hanyalah kepada perkara-perkara kebaikan dan kebajikan yang tidak melanggar syarak dan bukannya ketaatan yang membuta tuli tanpa pengetahuan dan usul periksa," tegas beliau.

Mahfuz mengulas perkara ini ekoran berakhirnya Perhimpunan Agung Umno (PAU) Sabtu lalu yang menyaksikan serangan bertalu-talu Najib dan pimpinan Umjo terhadap DAP dan Tun Mahathir selain rayuan Najib menuntut baiah dan wala ahli-ahli Umno terhadap beliau selaku presiden parti.

Mengulas lanjut, Najib katanya, sedang mengalami krisis wala (kesetiaan) dari kalangan ahli akar umbi Umno dan rakyat Malaysia khusus bangsa Melayu yang beragama Islam.

Menurut beliau, terkejut beruk rakyat Malaysia apabila Presiden Umno menjadi pengugut wala tegar dari perwakilan dan ahli Umno serta rakyat Malaysia.

"Wala tidak boleh melahirkan orang yang mengikut dan pemimpin tidak boleh memperbudak-budakkan ahli.

"Sebaliknya, wala semestinya melahirkan orang yang berfikir dan taat dalam keadaan ia faham dan jelas, bukan wala membuta tuli. Ini kerana setia membuta tuli hanya akan menghancurkan masa depan negara," tegas Mahfuz yang kini dilihat condong bersama Parti Bersatu.

AMANAH Kelantan desak Nik Abduh cadangkan kepada Najib haramkan DAP


Amanah Kelantan mendesak Ketua Pemuda Pas Pusat, Nik Abduh Nik Aziz mencadangkan kepada Perdana Menteri agar mengharamkan DAP sekiranya benar dakwaan beliau parti itu boleh mengancam keselamatan negara dan perpaduan kaum, atau boleh mengubah kedudukan Islam sebagai agama rasmi dalam negara ini, tegas Naib Pengerusi Amanah negeri, Ustaz Che Ibrahim Mohamed.

Katanya, kenyataan Nik Abduh itu sebenarnya cuba meniupkan api perkauman dalam kalangan orang-orang Melayu dan ia senada dengan kenyataan pemimpin-pemimpin Umno yang cuba menakut-nakutkan rakyat dengan DAP.


Naib Pengerusi Amanah Kelantan, Ustaz Che Ibrahim Mohamed (kanan)

Beliau berkata, Pas sebagai sebuah parti yang berada di luar komponen Pakatan Harapan (PH) tidak berhak dan tidak layak untuk menjadi jurucakap PH, apatah lagi campurtangan dalam menentukan calon Perdana Menteri yang hanya akan diputuskan diperingkat Majlis Presiden PH, jika ditakdirkan PH berjaya mengambilalih teraju pemerintahan negara daripada BN.

"Sokongan Umno ke atas RUU 355 yang di bawa oleh Presiden Pas tidak boleh dijadikan ukuran sebagai kejayaan bersama umat Islam kerana laluannya masih berliku.

"Tidak ada sesiapa pun boleh memberi jaminan RUU 355 akan diluluskan. Setakat ini RUU 355 telah tiga kali dipinda di peringkat usul, walaupun usul tersebut belum lagi dibahaskan," ujar beliau kepada Amanahdaily.

Jika di peringkat usul pun, Pas sudah berhempas pulas untuk memastikan usul Presidennya terus berada dalam agenda persidangan parlimen walaupun didakwa mendapat sokongan Umno, bagaimana pula nasib usul ini di peringkat undi belah bahagi dan seterusnya Bacaan Kedua yang hanya boleh dilakukan oleh Menteri, soal beliau.

Nik Abduh dalam satu kenyataan baru-baru ini, meminta umat Islam tidak terpedaya dengan kata-kata penyokong PH kononnya calon Perdana Menteri mereka, jika memerintah negara adalah daripada PKR bukan DAP.

Beliau yg juga Ahli Parlimen Pasir Mas juga meminta umat Islam negara ini bersyukur dengan sokongan Umno ke atas RUU 355 yang merupakan kejayaan bersama dan beliau yakin tiada jaminan untuk memperkasakan Islam di Malaysia jika Pas berkerjasama dengan PH sebagai sebuah kerajaan.

Menurut Che Ibrahim lagi, Pas boleh mendakwa partinya berada di atas landasan yang benar ke arah penyatuan umat Islam, tetapi realitinya masyarakat awam melihat Pas semakin berpecah dan semakin terpinggir dari arus politik perdana.

Syariah Islam dan tali Islam yang telah dibina kukuh oleh Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat di Kelantan, tegasnya, semakin terungkai dan hambar.

Rakyat sudah muak dan amat kecewa dengan gaya kepimpinan Kerajaan Pas Kelantan selepas era Tuan Guru Nik Aziz yang semakin menyimpang dari maqasid syariah dan maslahat umat, tegas beliau lagi.

Najib yang menyusukan China, yang jahanam bukan Melayu sahaja tapi Malaysia

Hasmi Hashim

ULASAN Tidak ada satu pun kaum di negara ini akan selamat, kalau Malaysia itu sendiri tidak diselamatkan!

Masalah hari ini bukan masalah orang Melayu yang kononnya terancam, tetapi masalah sebenar adalah Malaysia yang kini sedang terseret ke dalam pelbagai kemelut pentadbiran, politik dan ekonomi.

Tidak sampai sebulan sebelum perhimpunan agung Umno minggu lalu, Perdana Menteri Najib Razak mengadakan lawatan rasmi ke republik komunis China dan bertemu dengan presiden Xi Jinpin. Di sana, beberapa perjanjian persefahaman dimeterai yang dilaporkan melibatkan kira-kira RM143 bilion nilai pelaburan. Jumlah itu mungkin besar bagi Putrajaya, tetapi bukanlah terlalu besar untuk sebuah negara sebesar republik komunis China.

Di sebalik perjanjian dan hubungan akrab Najib-China, republik komunis berkenaan sejak beberapa tahun kebelakangan ini sedang galak mahu menguasai Laut China Selatan. Salah satunya apabila China secara senyap-senyap menambak laut dan membina pangkalan tentera di kepulauan Paracel.

Tuntutan China terhadap atas kepulauan Spratly juga masih berterusan. Kedua kepulauan tersebut terletak di kawasan strategik di tengah-tengah Laut China Selatan yang bukan sahaja menjadi sumber tangkapan laut, minyak dan gas, tetapi sudah tentu sebagai kawasan strategik mengawal hubungan laut dengan kuasa ketenteraan.

Nelayan sama ada dari Filipina, Vietnem, Malaysia atau mana-mana negara terdekat akan diberkas sekiranya menangkap ikan di kawasan kepulauan berkenaan tanpa kebenaran China. Begitulah kerasnya pemaksaan kuasa yang mula dilaksanakan China di kedua pulau berkenaan yang kedudukannya beribu batu daripada sempadan pantai China.

Sebelum pertemuan Najib dengan Xi Jinpin, keadaan agak sukar bagi China menerobos dan menuntut sepenuhnya hak ke atas dua kepulauan berkenaan. Sehingga sebelum lawatan Najib, tidak ada seorang pun pemimpin negara ASEAN yang nampaknya boleh 'dibeli' oleh republik komunis China.

Ikatan dan semangat negara-negara ASEAN sebelum ini sangat kuat. Walau tidak ada sebuah pun negara ASEAN sekuat China, namun kesatuan ASEAN jualah yang membuatkan suara ASEAN kekal terhormat. Banyak urusan dalaman ASEAN diselesaikan dengan semangat dan cara ASEAN sendiri seperti konflik di Selatan Thailand, isu pengganas di utara Sabah dan Mindanao serta konflik puak pemisah Aceh di Indonesia dalam tahun 1980 dan 90-an dahulu.

'Orang dalam'

Hanya dengan bantahan secara bersama atas nama ASEAN, maka suara negara-negara ASEAN lebih terdengar dan tidak mudah untuk diketepikan begitu sahaja oleh mana-mana kuasa luar, termasuklah China. Oleh itu sebagai strategi politik, China memang perlu mencari jalan memecah-belahkan perpaduan ASEAN yang wujud puluhan tahun.

Berusaha ke arah itu, China perlulah mencari-cari dan mempunyai "orang dalamnya" untuk melemahkan ASEAN dari dalam ASEAN. ASEAN tidak boleh dilemahkan dari luar.

Maka tidak hairan bagaimana China melihat bahawa lawatan dan keterdesakan Najib untuk mendapat wang dari China sebagai peluang terbaik. Ini strategi serampang dua mata apabila mereka sedar bahawa Najib dalam waktu sama sangat terdesak memperoleh pelabur luar terutama selepas Najib tercalit skandal besar 1MDB. Selain itu, Putrajaya juga semakin kekeringan dana yang boleh dilihat di dalam Bajet 2017 di samping kejatuhan harga minyak dan nilai ringgit.

Tidak sampai sebulan sejurus pulang daripada lawatan ke China, Najib segera pula menggunakan pentas perhimpunan Agung Umno untuk melancarkan serangan terhadap sebuah parti yang berasaskan kaum Cina dalam negara, iaitu DAP. Maknanya, Najib tahu yang dalam waktu sama beliau harus menghidupkan api dan sentimen perkauman menutup mata khususnya orang Melayu setelah beliau menjalin hubungan akrab dengan Republik Komunis China. Najib juga cuba menuding bahawa parti-parti oposisi menjadi alat George Soros sedangkan yang jelas nyata Putrajaya yang mendakap Beijing.

Menyerang kaum Cina di Malaysia yang merupakan rakyatnya sendiri bagaimana tidak dapat menutup fakta bagaimana sejumlah lebih RM55 bilion dipinjam dari China untuk menjalan projek landasan kereta api Pantai Timur (ECRL). Bentuk pinjaman dan projek inilah yang lebih bersifat menjual maruah negara berbanding menyerang kaum Cina di Malaysia yang merupakan warganegara Malaysia yang sah.

Langkah politik yang lebih kelam kabut oleh Najib menyusul sehari selepas perhimpunan agung Umno apabila beliau menggerakkan dan hadir pula satu perhimpunan yang dikatakan untuk membela nasib orang Rohingya. Di pentas ucapan yang turut dihadiri presiden PAS, Najib dengan nada keras melontarkan peringatan kepada pemerintah Myanmar berhubung layanan dan nasib etnik Rohingya di sana.

Ucapan Najib itu sangatlah bersifat tidak diplomatik. Sebagai ketua negara beliau boleh menggunakan saluran antara kedua kerajaan untuk menyelesaikan masalah kaum Rohingya. Najib tidak menggunakan saluran itu dan memilih jalan berhimpun untuk menunjukkan kekuatan.

Curiga ASEAN

Ketua cawangan parti apapun boleh membaca dan takkan mudah terperangkap dengan taktik politik Najib yang sebenarnya tidak lebih hanya untuk memainkan sentimen kalangan Melayu-Islam dan bukanlah serius mahu menuntaskan masalah penindasan terhadap kaum Rohingya di Myanmar.

Di ketika ASEAN diasak oleh kuasa besar seperti China, agak menghairankan apabila Najib memilih jalan untuk menimbulkan masalah di dalam negara ASEAN. Tindakan sebegitu tentu akan menimbulkan keraguan apakah beliau kini telah benar-benar diperbudakkan oleh China hanya semata-mata untuk membereskan beban yang melingkari dirinya, termasuklah hutang dan skandal 1MDB?

Pandangan sedemikian bukan sahaja boleh wujud dalam negara, tetapi juga di kalangan pemimpin negara-negara ASEAN kala mana isu etnik Rohingya tidak pula dibangkit secara serius oleh Najib ketika Malaysia menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN ke-27, November tahun lalu. Tindak-tanduk PM Najib sebagai pemimpin nombor satu Malaysia sesungguhnya semakin meletakkan Malaysia dalam keadaan dicurigai oleh semua jiran-jiran se-ASEAN kita sendiri.

Pada tingkat inilah, Najib nampaknya bukan sahaja tergamak menjual kedaulatan dan maruah Malaysia kepada kuasa luar seperti China, tetapi lebih jauh daripada itu dia tergamak pula memperjudikan kestabilan ASEAN, yakni sebuah kesatuan negara-negara Asia Tenggara yang diusahakan dan turut ditubuhkan oleh allahyarham bapanya sendiri.

Politik perkauman sempit ala-Najib yang ditunjukkan menjelang pilihan raya umum sesungguhnya takkan menyelesaikan semua masalah di atas. Jalan terakhir tidak lain tidak bukan adalah sekali lagi kembali kepada laungan perpaduan Melayu, sedangkan yang lebih penting untuk diselamatkan adalah Malaysia. Tanpa Malaysia yang dapat diselamatkan, Melayu juga tidak akan selamat. Titik.

Najib Main Wayang Kulit Di Himpunan Solidariti Ummah?

BANGI, 6 Rabiulawal 1438H, Selasa – Kehadiran Datuk Seri Najib Razak ke Himpunan Solidariti Rohingya Ahad lalu menjadi tanda tanya kepada seluruh rakyat Malaysia bilamana media melaporkan Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin berada di Myanmar untuk membaiki hubungan Yangon-Kuala Lumpur berikutan perbalahan diplomatik kedua-dua negara.

Menurut Myanmar Times, satu kenyataan telah dikeluarkan oleh Pejabat Ketua Turus Angkatan Tentera Myanmar mengesahkan pertemuan itu.

Presiden Myanmar, U Htin Kyaw juga dilaporkan bertemu dengan Zulkifeli untuk membincangkan operasi ketenteraan yang sedang berlangsung di Maungdaw dan Buthidaung negeri.

"Jeneral Kanan Min Aung Hlaing memberitahu rakan sejawatannya dari Malaysia bahawa tiada pelanggaran hak asasi manusia dilakukan ke atas masyarakat etnik Rohingya yang beragama Islam itu.

Susulan itu, timbul tanda tanya dari sesetengah pihak berhubung tujuan sebenar Perdana Menteri hadir ke himpunan tersebut.

Sebelum ini, pemerintah Myanmar mengecam keras kehadiran Najib dalam Himpunan Solidariti Rohingya di Kuala Lumpur yang dihadiri oleh ribuan orang itu.

Myanmar mengatakan kehadiran beliau melanggar prinsip ASEAN untuk tidak mencampuri urusan dalam negara anggota.

"Saya tidak peduli. Apakah saya, pemimpin lebih dari 30 juta rakyat, diharapkan untuk menutup mata? Berdiam diri? Saya tidak akan melakukan itu," tegas Najib.

Malah, beliau berkata, Malaysia akan terus memberi tekanan kepada negara-negara ASEAN untuk menyelesaikan krisis kemanusiaan.

Pakar mengenai hal ehwal ASEAN yang berpangkalan di Bangkok, Kavi Chongkittavorn berkata, tindakan Najib itu hanya merupakan usaha untuk mendapat sokongan daripada masyarakat Islam di Malaysia dan beliau menganggap keprihatinan beliau mampu memberi kesan melalui diplomasi bijaksana.

Malah, Penasihat kepada bekas Presiden, U Thein Sein, U Ko Ko Hlaing, menuduh Najib mengeksploitasi isu ini untuk mengalihkan perhatian awam dari dakwaan rasuah yang dilemparkan terhadapnya.

Umno bakal 'menang besar' PRU14


Ku Seman Ku Hussain

Saya beberapa kali ditanya oleh teman-teman tentang potensi Umno dalam pilihan raya umum (PRU) ke-14.

Saya dengan penuh yakin memberitahu Umno akan mencapai kemenangan besar sekali gus menyumbang kepada kelestarian BN sebagai parti kerajaan.

Walaupun teman-teman di luar Umno kurang gembira dengan jawapan itu, saya mempunyai beberapa hujah yang menyokong ramalan saya.

In case you've missed this...

Pertama, Umno terbukti sebuah parti yang tidak menghadapi masalah. Memang ada yang tidak setia kerana ingkar arahan ketua. Tetapi semua itu sudah keluar bukan lagi masalah Umno.

Maknanya yang masih ada dalam Umno tidak menimbulkan masalah dari segi kesetiaan. Kesetiaan yang ada dalam Umno jangan diperkecilkan. Ini terbukti daripada luahan kesetiaan pada Perhimpunan Agung Umno yang baru lalu.

Tidak ada satu pun pun pemimpin yang mempersoalkan kepimpinan tertinggi dalam isu integriti. Ini satu sikap mempertahan ketua yang sangat baik dalam Umno.

Kedua, Umno adalah satu-satunya parti yang melindungi orang Melayu. Siapa sahaja asalkan Melayu. Umno juga menegakkan Islam di negara ini dengan membanteras perbuatan yang bertentangan dengan Islam dalam kalangan pemimpin Umno.

Umno juga mempunyai sekutu bukan Malayu dan bukan Islam, MCA, MIC dan Gerakan, yang kuat menyokong Umno dalam soal memartabatkan Islam di negara ini.

Umno membanteras rasuah hingga ke akar umbi dan tidak seorang pun pemimpin parti itu yang terlepas, kecuali tidak didakwa di mahkamah.

Pendakwaan adalah hak mutlak peguam negara yang arif tentang undang-undang. Ini tidak ada kena mengena dengan Umno.

Ketiga, Umno tidak seperti pembangkang yang mendapat dana politik daripada pihak asing. Setakat ini tidak ada bukti Umno menerima dana asing. Atas nama Umno tidak ada dana asing.

Keempat, semua penganalisis termasuk yang terdiri daripada kalangan ahli akademik, memberikan analisis yang memuaskan tentang potensi Umno menghadapi PRU14.

Tidak ada penganalisis membayangkan Umno dalam bahaya. Ini sesungguhnya membuktikan kekuatan Umno.

Umno adalah satu-satunya parti politik yang tidak berpolitik. Umno semata-mata berkerja dan berkorban untuk rakyat. Ini ditegaskan oleh banyak pemimpin Umno.

Kelima, pemimpin-pemimpin Umno yang ada skandal seks bukan lagi bersama-sama Umno. Yang tinggal dalam Umno semuanya yang bersih sekali gus menjunjung ajaran Islam yang sebenarnya. Umno sangat tegas dalam isu ini.

Keenam, semua parti pembangkang - kecuali PAS - berada dalam keadaan terdesak. Ini disahkan berulang kali oleh pemimpin-pemimpin tinggi Umno dalam banyak ucapan mereka.

Ketujuh dan terakhir, Umno mempunyai sesuatu yang tidak ada pada pembangkang: perdana menteri, menteri, timbalan menteri, penjawat awam, kementerian, agensi kerajaan, Pengerusi JKKK dan Makam Pahlawan di Masjid Negara.

Pejuang kemerdekaan - Pak Sako, A Samad Ismail, Said Zahari malah Mat Kilau tidak disemadikan di Makam Pahlawan kerana mereka bukan Umno.

Disebabkan Umno muncul sebagai parti yang kuat lagi dominan dari pelbagai aspek, Umno tidak perlu berkerja keras untuk menang selesa dan cemerlang dalam PRU14.

Maka Umno tidak perlu membuang masa bercakap mengenai pembangkang. Biarlah apa pun nak jadi dengan pembangkang, itu bukan tanggungjawab Umno.

Tidak perlu memberi publisiti percuma kepada pembangkang dalam media kawalannya.

Disebalik 1.5 juta warga asing masuk ke Johor.. siapa untung sebenarnya?

Lihat apa jadi pada Singapura, kata Dr M

Berita mengenai petempatan baru sedang dibina untuk jutaan orang di wilayah Iskandar Malaysia mendorong bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad tertanya-tanya nasib apakah akan menimpa Johor.

Dalam posting terbaru di blognya Dr Mahathir berkata laporan Bloomberg menyatakan di sekitar Johor Bahru ada 60 projek perumahan sedang dibangunkan dan boleh menempatkan 1.5 juta orang.

Namun kata Dr Mahathir, tidak diketahui siapakah yang akan mengisi bangunan pencakar langit di kawasan Iskandar Malaysia itu.

"Masuk akalkah jika orang Johor, Melayu, Cina dan India seramai 1.5 juta berpindah untuk tinggal dalam projek-projek mewah ini? Tak masuk akal," katanya dalam entri berjudul Kerakyatan.

Kata beliau apa yang "masuk akal" ialah 1.5 juta orang asing bakal menetap di sekitar Johor Bahru.

Beliau turut membangkitkan dakwaan bahawa orang asing itu akan berada di kawasan petempatan berkenaan selama tiga bulan saja sempena musim sejuk di negara asal mereka.

"Sudah ada syarat dan perjanjiankah? Bolehkah kita gambarkan 700,000 orang terbang ke Johor untuk tinggal tiga bulan dan selepas itu 700,000 orang ini terbang balik dan tinggal bandar raya Iskandar kosong selama sembilan bulan.

"Fikirkan 1.5 juta juta manusia mengosongkan bandar, pangsapuri, kedai, kilang selama sembilan bulan. Sunyi senyap Johor Bahru. Masuk akal?

"Jika 1.5 juta juta orang asing ini pilih untuk tinggal, untuk bekerja untuk berniaga, untuk melahirkan anak sepanjang tahun dapatkah (Menteri Besar Johor, Datuk) Mohamed Khaled (Nordin) menghalau mereka keluar?" tanyanya lagi.

Dr Mahathir yang kini lantang mengkritik kerajaan selepas menjadi pembangkang turut mempertikaikan status orang asing terbabit dan kemungkinan mereka menuntut kerakyatan Malaysia.

"Apa kata kalau senyap-senyap mereka diberi IC (kad pengenalan) Malaysia sebelum PRU 14?" katanya.

'Tahniah' untuk MB

Baru-baru ini ketika berceramah di Krubung, Melaka Dr Mahathir berkata 700,000 orang dari China akan diberikan kad pengenalan Malaysia dan membolehkan mereka mengundi dalam PRU ke-14 nanti.

Dakwa beliau ia adalah sebahagian daripada perjanjian yang diusahakan Datuk Seri Najib Razak semasa melawat China baru-baru ini.

Kata Dr Mahathir warga China itu akan dibawa masuk ke Forest City yang menjadi sebahagian daripada Iskandar Malaysia.

Laporan Bloomberg turut menyatakan pemaju Forest City sedang aktif menarik pelabur dari China.

Turut didakwa ialah pertambahan jumlah penerbangan AirAsia antara Johor Bahru - Guangzhou pada April bagi memudahkan lebih ramai pelabur China ke Johor.

Ekoran itu Khaled menafikan dakwaan Dr Mahathir dan menganggapnya sebagai "tidak masuk akal".

Kata Khaled tuduhan bekas presiden Umno itu hanya untuk menakut-nakutkan rakyat Johor dan mahu melihat negeri itu gagal dalam mencapai cita-citanya.

Khaled juga menyatakan projek Forest City memakan masa kira-kira 30 tahun, dan antara perkara yang menjadi tarikan pelaburan ke Johor adalah kos perniagaan dan sara hidup yang rendah berbanding Singapura dan Kuala Lumpur.

Dr Mahathir kemudian secara sinis mengucapkan tahniah kepada Khaled kerana mempunyai 1.5 juta orang asing di sekelilingnya.

"Kepada Mohamed Khaled, Menteri Besar Johor, saya ucap tahniah. Awak akan dapat 1.5 juta orang asing di sekeliling awak. Mereka kononnya tidak akan menjadi rakyat. Tetapi mereka akan berada di sekeliling kamu.

"Hanya dengan adanya 1.5 juta orang asing di Johor, (ia) akan menjadi masalah kepada kamu.

"Lihat apa jadi kepada Singapura. Hanya kerana komposisi penduduknya tidak seperti di Malaysia, kita terpaksa keluarkan Singapura dari Malaysia.

"Apabila Johor Bahru dikelilingi 1.5 juta orang asing, apakah kita akan merdekakan wilayah Iskandar? Na'uzubillah," katanya.





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...