TERKINI :

Monday, December 5, 2016

KALAU UMNO KALAH, TIADA APA2 YANG BERUBAH, KECUALI NAJIB YANG GELABAH

Momokan Najib Razak tentang DAP akan menguasai kerajaan semakin disedari bahawa ia semata-mata untuk menakut-nakutkan pengundi Melayu agar terus mengekalkan kuasa UMNO yang selanjutnya memastikan beliau kekal lagi sebagai Perdana Menteri.

Hakikatnya, Najib sedar penolakan rakyat semakin membuak-buak dan mereka hanya menunggu masa saja untuk merealisasikannya di peti-peti undi.

Untuk itu, beliau terpaksa bermain dengan sentimen perkauman yang melampau dengan harapan pengundi Melayu akan takut tentang ancaman kepada masa depan mereka.

Bagi yang celik hati dan akalnya, mereka dengan mudah menolak momokan Najib itu kerana DAP hanya bertanding 51 kerusi Parlimen saja dan lawan mereka dalam pilihanraya pula adalah MCA, MIC atau Gerakan yang juga merupakan parti bukan Melayu.

Selain di mana logiknya 51 kerusi mampu menguasai 222 kerusi, tentulah lebih tidak masuk akal jika orang Melayu harus berasa bimbang tentang siapa kalah atau menang di kerusi-kerusi tersebut.

DAP tidak bertanding di kawasan Melayu seperti Pekan, Bagan Datoh, Pagoh dan sebagainya. Di kerusi-kerusi Melayu di mana UMNO bertanding, lawannya tetap Melayu juga sama ada daripada PPBM, PKR, Amanah atau Pas.

Jadi, tiada jalan untuk DAP mengambil hak orang-orang Melayu. Di mana calon Melayu UMNO yang kalah, pemenangnya tetap Melayu juga.

Maka, sesuai dengan kedudukan Melayu sebagai bangsa majoriti, bukan saja Melayu akan terus menguasai kerajaan jika UMNO dan BN dapat dikalahkan, malah calon Perdana Menteri juga tetap Melayu.

Presiden PPBM, Muhyiddin Yassin telah mendapatkan perakuan hasil pertemuannya dengan DAP bahawa parti itu bersetuju calon Perdana Menteri Pakatan Harapan kiranya memenangi pilihnaraya adalah Melayu dan bukan daripada DAP.

Justeru, tambah Muhyiddin, tiada sebab untuk orang Melayu berasa bimbang atau terancam jika UMNO kalah dalam pilihanraya akan datang.

Lim Guan Eng turut mengesahkan bahawa DAP tidak pernah meminta seorang Cina untuk menjadi Perdana Menteri dan tidak juga berhasrat untuk menguasai kerajaan.

Kami tidak akan menguasai kerajaan jika BN dapat dikalahkan, tetapi akan menjadi rakan kongsi yang adil dan bertanggungjawab, jelas Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang.

Pendirian DAP itu tentunya atas kesedaran sebenar tentang negara ini dan komposisi kaum yang meletakkan Melayu sebagai majoriti.

Yang tersingkir jika UMNO kalah hanyalah Najib dan barisan kabinetnya saja. Yang lain-lain semuanya akan kekal seperti biasa.

Islam sebagai agama Persekutuan, Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan hak istimewa orang-orang Melayu akan kekal sebagaimana yang telah termaktub dalam Perlembagaan.

Kedudukan Raja-Raja Melayu juga kekal di takhta yang sama dengan penggiliran Yang Dipertuan Agong setiap lima tahun tidak berubah seperti sedia ada.

Masjid Negara, Masjid Putrajaya dan seluruh masjid di negeri-negeri akan turut kekal dengan laungan azan sebagaimana biasa.

Jawatan Ketua Setiausaha Negara, Ketua Setiausaha kementerian dan Setiausaha Kerajaan Negeri dan lain-lain jawatan utama, semuanya akan kekal sama.

Malah, jika mahu dihitung satu persatu, semua yang ada sekarang bukan saja akan terus ada, ia mungkin juga ditambah baik lagi oleh kerajaan baru nanti.

Sekali lagi, yang ingin ditukar dan dibuang setelah UMNO dikalahkan hanyalah Najib sebagai Perdana Menteri yang sebab-sebabnya sudah pun difahami oleh kita semua serta barisan kabinet yang majoritinya jelas tidak berguna, jauh sekali untuk memberi kesejahteraan kepada rakyat dan negara.

Yang mahu diganti ialah Perdana Menteri yang tidak baik kepada Perdana Menteri Melayu lain yang lebih baik. Tidak mungkin penggantinya nanti begitu mudah mahu melakukan sesuatu yang tidak baik dan melampau kerana sedar kuasa rakyat lebih mudah menurunkannya selepas itu.

Maka, orang Melayu jangan takut apa-apa dengan kalahnya UMNO dalam pilihanraya, bahkan seharusnya menjadi lebih gembira.

Biarkan saja Najib dengan gelabahnya, lagi pun dalam akaun banknya sudah ada wang ribu-ribu juta banyaknya. (SH 05/12/2016).

Zunar jawab Khalid dengan lukisan Donald Duck dan Mickey Mause

MALAYSIA DATELINE


Karikatur terkinia Zunar bagi membalas cabaran Khalid yang disiarkan di facebook dan twitternya hari ini.

Tiga hari lalu Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar menasihatkan kartunis politik Zunar menghasilkan karya-karya yang baik jika mahu mempamerkannya.

Secara berseloroh, Khalid berkata Zunar atau nama sebenarnya Zulkiflee Anwar Ulhaque boleh melukis kartun-kartun seperti "Mc Donalds dan Donald Duck".

Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita sama ada Zunar dibenarkan mempamerkan kartun-kartun kepada awam.

Hari ini Zunar di facebooknya memaparkan ide Khalid itu menerusi karikatur Donald Duck dan Mickey Mause.

Kali ini Mickey Mouse itu disebut sebagai "Mickey Mah"

"Saya sedang duduk di meja lukisan saya Jumaat lalu, menggaru kepala saya untuk idea-idea, dan seseorang mencadangkan saya melukis Donald Duck," Zunar memberitahu Malaysiakini seperti dipetik, apabila ditany inspirasi di sebalik karya seni terbarunya itu.

Di FMT Zunar juga memberikan komennya menasihatkan Khalid jangan mengulas mengenai kartun politik, jika tidak tahu atau memahami seni itu.

Beliau berkata, Khalid sepatutnya belajar mengenai kartun sebelum layak menasihatkan kartunis dan beliau sedia mengadakan kelas kartun untuk mengajarnya.

"Saya harap IGP (ketua polis negara) belajarlah sikit, saya nasihatkan dia belajar sikit-sikit pasal kartun, barulah dia faham kartun, barulah dia boleh menasihatkan kartunis.

"Saya boleh ajar IGP lukis kartun, memahami kartun. Saya juga boleh buat kelas kartun kalau dia sedia," katanya kepada FMT hari ini.

Zunar berkata, tanggungjawab kartunis politik di dunia, termasuk Malaysia ialah mengkritik kerajaan yang memerintah secara zalim dan mengamalkan rasuah seperti dipetik.

Karikatur Zunar kali ini mengundang komentar di facebooknya ada yang menyokong dan ada yang menentang.

Kassim Muhammad berkata: Mereka masih fikir penjarakan roh, semangat dan kreativiti? Dasar otak tersumbat dedak!

Manakala Ann Shaah Ariffin pula berkata: Dah disuruh lukis Donald Duck... jangan pula nak tangkap2 lepas ni.

Tak kurang juga yang memuji mengatakan lukisan dan mesej Donald Duck Zunar itu sesuatu yang "Fantastic".

Pengawal Peribadi Berang Dipersoal Keluarkan Senjata Api

Oleh: THE STAR


Gambar hiasan.

GEORGE TOWN: Pengawal peribadi berusia 37 tahun yang menembak mati ahli perniagaan bergelar Datuk dan dua yang lain di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu dikatakan berang dengan majikannya yang mempersoalkan dia mengeluarkan senjata api di sebuah restoran, kira-kira dua jam sebelum insiden berlaku.

Datuk Ong Teik Kwong dan rakan niaganya selama sembilan tahun, Lim Boon Leng, kedua-duanya berusia 32 tahun sedang minum bersama seorang rakan di sebuah restoran pada Khamis lalu.

Pengawal peribadi yang memulakan tugas hari pertama untuk Teik Kwong pada hari kejadian, secara tiba-tiba mengeluarkan pistol semi-automatik Glock 19 dan meletakkannya di atas meja.

Sumber memberitahu Teik Kwong dan Boon Leng yang terkejut dengan tindakan pengawal itu, dengan segera menyembunyikan senjata api berkenaan.

Sewaktu ketiga-tiga mereka sedang berjalan ke kereta pada kira-kira pukul 6.30 petang, Teik Kwong yang tidak fasih berbahasa Melayu meminta rakannya untuk menanyakan pengawalnya kenapa pistol tersebut dibawa keluar.

Sumber menambah, pengawal peribadinya menjawab: "Itu tugas saya."

"Ong (Teik Kwong) kemudiannya memandu bersama Lim (Boon Leng) yang duduk di tempat duduk penumpang hadapan, manakala pengawal peribadinya duduk di belakang.

"Sebaik sahaja melalui lebuh raya, pengawal peribadi kedengaran membisikkan sesuatu seperti berdoa, sebelum melepaskan beberapa tembakan ke arah Ong," tambah sumber.

Menurut sumber, pengawal peribadi itu kemudiannya menghentakkan kepala Boon Leng menggunakan pistol beberapa kali selepas kereta BMW hitam yang dinaiki mereka melanggar beberapa kenderaan lain.

"Lim berjaya keluar dari kereta dan melarikan diri tetapi dikejar dan ditembak pengawal peribadi," katanya.

Beberapa tembakan yang dilepaskan mengenai pengguna lebuh raya, mengakibatkan dua lagi maut dan empat cedera.

Sumber memberitahu Boon Leng mendapat bantuan daripada seorang pemandu wanita yang kemudian menurunkannya di stesen minyak sebelum menghubungi rakan untuk dihantar ke Hospital Pulau Pinang.

Boon Leng menerima dua jahitan akibat kecederaan di bahagian kepala.

Dia kemudiannya ditahan polis bagi membantu siasatan.

Boon Leng dan pengawal peribadi direman sehingga 8 Disember.

Pemandu wanita, 42, turut membuat laporan polis selepas mendengar Boon Leng yang meminjam telefonnya bagi menghubungi dua rakannya dan memberitahu mengenai apa yang berlaku.

Wanita itu pada awalnya mengingatkan Boon Leng merupakan mangsa kemalangan.

Polis mengenal pasti Teik Kwong yang juga dikenali sebagai "Datuk M" atau Datuk Muda sebagai ketua Geng 24, yang dikatakan terlibat dengan aktiviti kongsi gelap.

Idris Ahmad: PAS dah lama jadi pembangkang, tak perlu nasihat Dr M


PETALING JAYA: PAS tidak memerlukan nasihat Tun Dr Mahathir Mohamad kerana mereka lebih lama menjadi pembangkang berbanding Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), kata Idris Ahmad.

"Kami dah lama jadi pembangkang, dia baru mula nak jadi pembangkang.

"Tak perlulah nak bagi tempoh kat kami, nak ajar kami..tak perlulah," katanya ketika dihubungi FMT hari ini.

Beliau mengulas kenyataan pengerusi PPBM itu yang tarikh akhir akan diberikan kepada PAS untuk memutuskan jika ia akan bersama Pakatan Harapan bagi menewaskan Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Idris menasihatkan Dr Mahathir belajar menjadi pembangkang terlebih dahulu, sebelum memberi nasihat kepada PAS yang sudah lama menjadi pembangkang.

"Kena ingat apa yang berlaku hari ini pun hampir semua daripada tangan dia," kata ahli Parlimen Bukit Gantang.

Ayah bezakan PAS dan Islam, kata anak Fadzil Noor

Abdar Rahman Koya


PETALING JAYA: Empat belas tahun selepas kematian Datuk Fadzil Noor, presiden PAS yang mengemudi parti itu ketika krisis politik terburuk negara pada lewat 1990-an, anaknya mengenang kembali ayahnya sebagai seorang bersikap terbuka baik di rumah mahu pun di pentas politik.

"Beliau terkenal dengan sikap terbuka dalam pendekatan politiknya dengan menggalakkan pelbagai profesional sertai parti, begitulah beliau sebagai bapa, berikan kami pilihan," kata Faiz Fadzil, seorang peguam, kepada FMT hari ini.

Di kalangan lapan adik-beradiknya, empat menceburi bidang undang-undang, dua dalam bidang perakaunan manakala dua lagi jurusan agama.

"Beliau tidak takfiri dan boleh berhujah dengan baik," kata Faiz, merujuk amalan suka melabel umat Islam lain sebagai sesat.

"Di rumah juga begitu, kami tidak dilarang berhujah atas apa-apa isu termasuk isu politik ketika itu."

Fadzil, yang menjawat presiden PAS selama tiga tahun, meninggal dunia pada 23 Jun, 2002, selepas menjalani pembedahan pintasan jantung di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Cheras.

Jenazah beliau disambut ratusan ribu orang yang membanjiri perkarangan HUKM, sehingga memaksa solat jenazah dilakukan berulang kali.

Jenazahnya kemudian diterbangkan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysa (TUDM) ke Kedah, disambut lebih 20,000 orang.

Lautan manusia sekali lagi dilihat ketika jenazah dibawa ke Pokok Sena, Kedah, kawasan Parlimen yang diwakili Fadzil sehingga akhir hayat beliau.

Perubahan dari 'parti lebai'

Fadzil kerap dikaitkan dengan kehadiran PAS di arena perdana politik, selepas parti itu sekian lama dikenali sebagai "parti lebai" yang hanya mempunyai sokongan di kawasan luar bandar.

Sejurus selepas pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1998, Fadzil merupakan antara orang pertama menziarahi bekas timbalan perdana menteri itu di kediamannya di Bukit Damansara.

Keterbukaan Fadzil dalam memimpin PAS menyaksikan keahlian PAS naik mendadak, ditambah pula dengan kemasukan profesional dan bekas ahli Umno yang kecewa layanan terhadap Anwar.

'PAS bukan agama'

Faiz berkata ayahnya tidak taksub dengan sesuatu pemikiran, dan dapat membezakan antara PAS dan Islam.

"Beliau mahu mendidik ahli PAS supaya dapat membawa PAS atas nama agama dan bukannya agama atas nama PAS," kata Faiz, yang kini memegang jawatan timbalan ketua Amanah, parti yang lahir selepas kemenangan puak konservatif pada Muktamar PAS tahun lalu.

Sejak perubahan kepimpinan itu, PAS dilihat lebih tegas dengan langkah memperkenalkan hukum hudud di samping mendekatkan diri dengan Umno atas kepentingan Melayu dan Islam.

Faiz berkata perkembangan mutakhir ini berlawanan daripada apa yang diimpikan ayahnya.

"Beliau tidak pernah tunjukkan sifat ultra-Melayu, malah sering ingatkan kami untuk hormati kaum lain," kata Faiz.

Beliau menganggap apa yang berlaku dalam PAS sekarang merupakan "putaran ke belakang" yang kembali ke era PAS sebelum Fadzil.

Putaran ke belakang

Menurut Faiz, ayahnya bijak mengambil peluang politik, dan berbaik dengan semua pihak termasuk Tengku Razaleigh Hamzah dan Tunku Abdul Rahman, perdana menteri pertama yang ketika itu menentang pentadbiran Barisan Nasional di bawah Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Beliau berbaik dengan mereka bukan atas nama political mileage, tetapi demi membina kekuatan lawan rejim Umno.

"Beliau bina PAS yang progresif dan apa yang berlaku kepada PAS sekarang adalah satu putaran ke belakang pra-kepimpinan beliau."

Faiz berkata legasi ayahnya yang paling besar ialah tahaluf siyasi, yang membolehkan PAS mengadakan kerjasama dengan DAP walaupun kedua-dua parti itu berlawanan ideologi.

"Ini yang harus pembangkang teruskan di bawah Pakatan Harapan," kata Faiz, merujuk gabungan pembangkang yang melibatkan PKR, DAP dan Amanah, tanpa PAS.

Mahathir mahu pembangkang bergerak tumbangkan BN sekalipun tanpa Pas

Tun Mahathir Mahathir hari ini memberi jaminan tidak akan menunggu Pas lebih lama lagi untuk bersetuju bergabung dalam pakatan pembangkang melawan dan menumbangkan UmnoBN.

Beliau yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) berkata, partinya benar-benar mahu mengumpulkan semua pihak yang menentang Dato’ Sri Najib Razak berkumpul dibawah satu payung.

Bagaimanapun, tegasnya, jika ia mengambil masa terlalu lama, pihak pembangkang juga mesti bergerak mengikut rancangan untuk mengalahkan BN sekalipun tanpa Pas.

Mahathir berkata demikian dalam sidang media pada Persidangan Kebangsaan DAP di Shah Alam hari ini. Beliau membuat kejutan pada persidangan ini dengan berkongsi pentas bersama Setiauaha Agung DAP, Lim Guan Eng; Presiden PKR, Dato’ Seri Wan Azizah Wan Ismail dan Presiden Amanah, Hj Mohamad Sabu.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya cuba mendapatkan semua orang yang mendakwa mereka menentang kerajaan Najib untuk menyertai pakatan pembangkang kerana jika semua bersatu, peluang untuk menang akan lebih baik.

Baaimanapun tegasnya, jika tidak boleh mencapai matlamat ini kerana terdapat mereka yang mempunyai agenda tersembunyi untuk membantu Najib kekal berkuasa, maka pembangkang akan bergerak tanpa mereka.

“Oleh kerana ini adalah politik dan dalam sebuah negara demokrasi, kita tidak boleh mengatur segala-galanya,” katanya lagi.

Mengenai tarikh akhir bagi PAS memberi keputusan sama ada ia akan bersama Pakatan Harapan ataupun tidak, Mahathir berkata ia belum diputuskan lagi.

Beliau bersama dengan pemimpin lain di PPBM dan PKR, menekankan kepentingan penyertaan PAS dengan berkata, tanpanya, pertembungan tiga penjuru pada PRU14 akan datang tidak dapat dielakkan, dan mungkin akan membantu BN.

Dalam keadaan ini, mereka menjelaskan, BN pasti akan menang kerana undi pembangkang akan berpecah.

PAS bagaimanapun, menegaskan ia tidak akan melakukan kesilapan sama dengan bekerjasama dengan DAP lagi. DAP adalah salah satu daripada parti utama dalam gabungan Pakatan Harapan, dua lagi ialah PKR dan Amanah.

Umno tidak perlu yakin Pas bersendirian

Abu Bakar Ghani

KUALA TERENGGANU - Umno tidak perlu terlalu yakin Pas akan bergerak bersendirian sebagai blok ketiga sehingga PRU14.

Penceramah Umno Terengganu, Abu Bakar Ghani berkata, pendirian Pas tidak boleh dijangka kerana parti itu didakwa bila-bila masa sahaja akan menukar 'fatwa' sesuai dengan suasana politik dalam partinya.

Menurutnya, suatu waktu dahulu Pas pernah mengkritik gabungan Umno dengan MCA dan MIC dalam BN tetapi kemudian membolehkan partinya sendiri bekerjasama dengan DAP sebelum ini, walaupun DAP jelas menolak perjuangan Islam dibawa Pas.

"Umno jangan harap Pas tidak ikut serta dalam Pakatan Harapan kerana Pas boleh menukar fatwa bila-bila masa. Dia (fatwanya) selalu bertukar dan dia tahu pengikutnya akan mengikutinya. Dulu mengata Umno kerana bergabung dengan MCA dan MIC tetapi dia boleh pula bergabung dengan DAP.

"Mula-mula kata boleh atas 'tahalluf siyasi' kemudian tidak boleh pula. Sekarang ini ada 'ta'awun' pula," katanya kepada Sinar Harian, di sini.

Beliau berkata, Umno perlu berwaspada kerana gambaran itu juga jelas melalui kenyataan positif pemimpin-pemimpin Pas berhubung perlawanan satu lawan satu pada PRU akan datang bagi menumbangkan Umno dan BN.

Mengulas lanjut katanya, Umno perlu memberi tumpuan khususnya penyatuan dalaman Umno sebagai kunci penting untuk pastikan kelangsungan parti itu dalam perkukuh kedudukannya pada PRU14 akan datang.

Abu Bakar yang juga Ahli Jawatankuasa Biro Penerangan Umno Kuala Nerus berkata, ia perlu dijadikan asas kekuatan di semua peringkat untuk pastikan semua pihak mampu memberi kerjasama padu dalam memperkuat parti.

Keadaan ini katanya, perlu diberi fokus lebih-lebih lagi Umno berdepan cabaran dengan tindakan segelintir pemimpinnya berpaling tadah dengan menyertai Bersatu.

Beliau juga berkata, kelemahan pihak lain tidak perlu diberi perhatian tetapi Umno boleh menganggapnya sebagai bonus, namun diingatkan tidak bergantung penuh terhadap perpecahan khususnya Pakatan Harapan.

Pas-Umno tak akan bergabung


Nasrudin.

SHAH ALAM - Pas sama sekali tidak akan bergabung dengan Umno, mahupun menyertai BN, namun bersedia bekerjasama demi kepentingan umat Islam.

Perkara itu ditegaskan Ketua Penerangan Pas, Nasrudin Hassan yang mengingatkan kembali keputusan dimuktamad Majlis Syura Ulamak sebelum ini.

"Isu paling popular musim ini ialah apakah Pas akan menyertai Umno? Sementelah Perhimpunan Agung Umno 2016 turut menggamit perha-tian rakyat mengenai isu ini.

"Apakah Pas akan bergabung dengan Umno? Apakah Pas mahu menyertai Umno? Adakah Pas boleh bekerjasama dengan Umno?," katanya dalam kenyataan media, semalam.

Tegas Nasrudin, perkataan bergabung, menyertai, kerjasama dan sebagainya mesti diperjelaskan kepada umum, menepati sikap politik semasa serta dakwah didukung  Pas.

"Jelas ada perbezaan perkataan bergabung dan menyertai, berbanding perkataan kerjasama yang diguna Pas.

"Tentu sahaja bergabung dan menyertai adalah dua perkataan yang memberi maksud Pas menjadi salah satu parti komponen BN.

"Pastinya keadaan sedemikian tidak boleh berlaku dan ia adalah polisi yang telah ditetapkan oleh Pas melalui penegasan Majlis Syura Ulamak bahawa parti tidak akan bergabung dengan Umno dan menyertai BN," katanya.

Katanya, kerjasama  dimaksudkan adalah keterbukaan Pas berbincang, duduk semeja, berunding dan menganjurkan aktiviti atau tindakan bersama dalam apa juga isu melibatkan kepentingan Islam, bangsa serta negara.

"Meskipun berbeza fahaman politik, namun atas nama kepentingan Islam, bangsa, rakyat dan negara, maka perbezaan itu boleh diketepikan sementara untuk menemukan titik persamaan yang memulangkan keuntungan kepada Islam dan masa depan negara," katanya.

Menurutnya, Pas dan Umno tidak perlu bergabung supaya politik Malaysia subur dengan check and balance (semak dan imbang).

"Pas akan terus beri kritikan dan teguran membina kepada kerajaan diterajui Umno agar tidak menyeleweng, rasuah dan menindas rakyat.

"Pas juga akan terus konsisten menentang kezaliman. Tiada kompromi. Inilah politik Pas," katanya.

Namun kata Nasrudin, tidak bermakna Pas dan Umno mesti terus bercakaran dalam semua perkara sehingga merugikan Islam dan umat.

"Sehingga timbul sifat benci membenci sesama umat Islam, berkelahi jiran tetangga kerana berlainan parti, bertelagah suami isteri kerana bendera berbeza. Situasi begini tidak menyuburkan dakwah Pas," katanya.

MPKK peruntuk RM500,000 atasi banjir di Kulim


Gambar hiasan

KULIM  - Majlis Perbandaran Kulim (MPKK) memperuntukkan sehingga RM500,000 bagi menaik taraf sistem perparitan di kawasan berisiko banjir sekitar daerah berkenaan.

Pengarah Jabatan Kejuruteraan MPKK, Ir Muhamad Tarmymy Che Ani berkata, tindakan lebih efisien perlu diambil dalam mengatasi masalah banjir yang semakin kerap berlaku terutama di Kilang Lama dan Padang Tembak di Kota Kenari.

"Kerja-kerja menaik taraf sistem perparitan di kawasan berisiko tersebut akan dilakukan segera pada tahun hadapan," katanya ketika ditemui Bernama di sini hari ini.

Muhamad Tarmymy berkata dengan mengguna pakai sistem Manual Saliran Mesra Alam (MSMA), semua sistem perparitan terutama di kawasan perumahan lama akan dipantau dan dinaik taraf sekiranya perlu.

Katanya antara faktor banjir semakin kerap berlaku adalah disebabkan parit di kawasan perumahan yang berusia lebih 15 tahun sangat kecil serta cetek.

"Apabila hujan lebat, parit di kawasan perumahan lama tidak dapat menampung jumlah air hujan dan seterusnya menyebabkan banjir," katanya.

Dalam pada itu, Muhamad Tarmymy menyelar sikap tidak bertanggungjawab penjaja dan peniaga yang gagal menjaga kebersihan sehingga menyebabkan longkang tersumbat.

"Sikap ambil mudah penjaja, tidak kira penjaja pasar tani atau pasar malam yang terbiasa membuang sampah ke dalam longkang memburukkan lagi keadaan apabila tiba musim hujan.

"Menerusi pemerhatian dilakukan, kawasan-kawasan berisiko banjir yang kami rekodkan memang berkait rapat dengan masalah parit tersumbat akibat sampah dibuang peniaga," katanya. - Bernama

Umno, PAS bawa lari isu Parlimen ke dalam stadium, kata Amanah

PETALING JAYA: Amanah hari ini mempersoalkan sikap Umno dan PAS yang membisu terhadap usul dibawa pembangkang di Dewan Rakyat baru-baru ini bagi membincangkan krisis terbaru melibatkan penduduk Rohingya di Myanmar, sambil mendakwa kedua-dua parti menganjurkan perhimpunan di sebuah stadium semalam demi kepentingan politik masing-masing.

Datuk Raja Bahrin Shah yang mengetuai Biro Antarabangsa Amanah berkata usul membincangkan isu itu ditolak dengan alasan ia mencampuri hal ehwal negara luar.

"Anehnya lebih kurang seminggu selepas itu, Umno-BN bersama PAS menyertai Himpunan Solidariti dengan Rakyat Rohingya di Stadium Titiwangsa. Tajuk isunya adalah sama, kekejaman atas Muslim Rohingya.

"Ini bermakna isu-isu yang sepatutnya dibahas secara serius di Parlimen telah dibawa lari ke sebuah stadium untuk dibahas oleh hanya Umno dan PAS," kata ahli Parlimen Kuala Terengganu itu dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, tindakan speaker Dewan Rakyat menolak usul membincangkan kekejaman ke atas etnik Rohingya pada 24 November lalu menunjukkan ahli Parlimen dinafikan hak untuk menyuarakan pandangan rakyat diwakili mereka.

Malah, katanya, Himpunan Solidariti Ummah untuk Rohingya yang diadakan semalam bertujuan mengambil kesempatan daripada penderitaan etnik Rohingya demi kepentingan politik dua PAS dan BN, bukannya untuk mencari penyelesaian bagi menamatkan isu itu.

"Kami ahli Parlimen pembangkang terutamanya, tidak redha isu sepenting ini di 'hijack' parti politik tertentu sahaja untuk kepentingan politik murahan mereka dan menafikan Parlimen Malaysia membuat ketetapan rasmi untuk negara dan rakyat Malaysia.

"Oleh itu, kami menuntut perdana menteri mengadakan satu sidang Parlimen khas untuk membahas isu kekejaman ke atas Muslim Rohingya."

Ribuan orang menghadiri Himpunan Solidariti Ummah anjuran bersama Yayasan Dakwah Islam Malaysia (Yadim) dan pelbagai NGO Islam di Stadium Titiwangsa, semalam.

Turut hadir ialah Datuk Seri Najib Razak, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri; Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang; timbalannya Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man; Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan dan Ketua Pemuda PAS Nik Abduh Nik Abdul Aziz.

Umno tidak tangani isu asas rakyat, kata penganalisis

PETALING JAYA: Umno sepatutnya memberi tumpuan lebih kepada isu yang dihadapi rakyat semasa perhimpunan agungnya baru-baru ini, kata penganalisis politik Universiti Malaya Prof Madya Dr Awang Azman Pawi.

“Ini termasuk usaha konkrit diambil untuk menangani kos sara hidup yang meningkat,” katanya kepada FMT ketika dihubungi mengenai Perhimpunan Agung Umno 2016 yang berakhir semalam.

Pada perhimpunan itu, presiden parti dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak juga membayangkan Pilihan Raya Umum ke-14 kemungkinan diadakan lebih awal.

Mengulas mengenai pengumuman semalam, Awang Azman berkata, Umno sepatutnya menggunakan peluang ini untuk mengiktiraf sumbangan rakan di Malaysia Timur ke arah mengukuhkan parti pemerintah Barisan Nasional (BN).

Katanya, parti seperti Parti Rakyat Sabah (PRS) dan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) memainkan peranan penting dalam memperkukuh bank undi BN.

“Tanpa faktor Sabah dan Sarawak, ia adalah mustahil bagi BN untuk menang dalam pilihan raya akan datang,” kata beliau.

Beliau juga menyatakan perwakilan perhimpunan menghantar mesej jelas yang mereka mesti bersatu sebagai sebuah gabungan untuk menghadapi pilihan raya akan datang.

“Mudah-mudahan, (perwakilan dalam) perhimpunan agung akan mempertahankan Umno dan memperoleh kemenangan (untuk parti) pada PRU14.”

Awang Azman juga berkata parti komponen BN sepatutnya mengambil pendekatan “berenang atau tenggelam bersama-sama” memandangkan pilihan raya akan menjelang tiba dan menambah, “Mereka (Umno) tidak sepatutnya membangkitkan kelemahan parti komponen dan pembangkang.”

Bagaimanapun, Awang Azman berkata perhimpunan agung itu mengesahkan kedudukan Najib sebagai presiden parti walaupun menerima kritikan pedas daripada lawan politiknya.

“Adalah jelas kedudukan Najib sebagai presiden Umno semakin kuat dalam parti meskipun berdepan pelbagai serangan dari luar.”

Perhimpunan Umno jadi medan Najib tagih simpati, kata Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Perhimpunan Agung Umno (PAU) yang sepatutnya menjadi medan membicarakan soal negara dan orang Melayu, digunakan sebagai platform presidennya menagih simpati, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu mengulas perhimpunan yang baru menutup tirainya semalam, dan menyifatkannya jauh berbeza daripada dulu.

“PAU sepatutnya menjadi tempat presiden membicarakan hal berkaitan kedudukan orang Melayu, agama Islam, masa depan negara dan kesejahteraan rakyat seluruhnya.

“PAU tahun ini lain sekali nadanya. Datuk Seri Najib Razak menuntut seluruh ahli berbai’ah dan wala’ kepadanya secara membuta-tuli, kononnya itulah tradisi Umno dan amalan orang Melayu dan Islam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada PAU 2016, Najib dalam ucapan dasar dan penggulungannya menyeru taat setia dan wala’ kepadanya selaku presiden, selain serangan terhadap bekas pemimpin Umno terutamanya Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ucapan perwakilan dan pemimpin tertinggi parti itu selama 5 hari persidangan juga dipenuhi dengan perkara sama.

Kata bekas timbalan presiden Umno itu lagi, ia membuktikan Najib sedang gelisah melihat kepimpinan Melayu dalam barisan pembangkang semakin kukuh selepas tertubuhnya PPBM.

“(Pengerusi PPBM) Dr Mahathir yang kental perjuangan Melayu sehingga digelar ‘ultra Melayu’ dan saya sendiri yang pernah dilabel ‘Malay First’ kini dalam barisan pembangkang.

“Kami bersama rakan lain sedang memperkukuhkan kepimpinan Melayu dalam barisan pembangkang untuk mengambilahlih pentadbiran negara daripada Umno dan BN (Barisan Nasional) yang rosak,” katanya lagi.

DAP setuju perdana menteri Melayu

Beliau juga mengecam serangan terhadap DAP sepanjang persidangan dan berkata ia hanya untuk menakut-nakutkan orang Melayu.

Dalam ucapan dasarnya, Najib berkata institusi masyarakat Melayu seperti Mara, Felda, Risda dan Felcra “akan pupus dan lenyap” jika DAP mentadbir negara.

Muhyiddin berkata, DAP tidak akan dapat mentadbir Malaysia tanpa parti pembangkang lain, justeru kerajaan yang akan dibentuk jika BN ditewaskan tetap dipimpin orang Melayu.

“Malah dalam pertemuan saya dengan pimpinan DAP, mereka setuju perdana menteri mestilah seorang Melayu dan bukan daripada parti DAP.

Muhyiddin berkata lagi, beliau dan Dr Mahathir tidak pernah mengkhianati perjuangan Melayu walaupun tidak lagi bersama Umno.

“Mustahil saya dan Dr Mahathir mengkhianati Melayu dan Islam. Saya percaya kepimpinan Melayu dalam barisan pembangkang semakin kuat dan mantap hari ini,” katanya lagi.





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...