TERKINI :

Saturday, December 3, 2016

Bolehkah DAP terajui M'sia jika menang 51 kerusi?

Timbalan Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH), Faiz Fadzil berkata, DAP yang hanya bertanding di 51 daripada 222 kerusi Parlimen tidak mampu menerajui kepimpinan negara jika pembangkang menang dalam pilihan raya umum ke14 (PRU14).

Justeru, ujar beliau, ucapan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak yang berkisar mengenaoi PRU14 adalah penentuan keindukan kerajaan pimpinan Umno atau kerajaan baharu yang diterajui DAP adalah menjengkelkan.

"Kenyataan Ketua Pergerakan Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin yang menyokong kenyataan Najib itu juga tidak mencerminkan sifat kepimpinan masa depan negara dan berbaur perkauman.

"Penduduk Cina di negara ini pula hanya sekitar 24 peratus dan DAP tidak bertanding menentang Umno, justeru, dalam keadaan ini, bagaimana DAP mampu untuk memerintah negara ini.

"Serangan terhadap DAP adalah satu bentuk intimidasi politik ke atas orang Melayu sedangkan penolakan orang Melayu terhadap UMNO itu tidak pun akan memenangkan DAP tetapi parti politik lain yang bakal menentang Umno seperti PKR, AMANAH dan BERSATU," kata beliau dalam kenyataan.

Baru-baru ini, Najib ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Umno 2016 berkata, rakyat Malaysia terutama orang Melayu dan Bumiputera berdepan persimpangan paling genting dalam sejarah politik negara untuk membuat keputusan antara dua pilihan tersebut.

"Persoalan pilihan keindukan kepimpinan ini bukanlah perkara yang boleh diambil mudah dan enteng-entengan, kerana saya khuatir, barangkali ada antara umat Melayu dan Bumiputera yang masih leka tentang hal ini," ujar beliau.

Perdana menteri memberi amaran keindukan kepimpinan tidak boleh dipandang ringan kerana banyak hak dan keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera akan lenyap serta pupus sekiranya DAP berkuasa.

Ini termasuk institusi-institusi Bumiputera antaranya Majlis Amanah Rakyat, Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan, Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah, Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan serta Unit Peneraju Agenda Bumiputera, katanya.

Selain itu, Najib berkata Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang menjadi kebanggaan orang Melayu dan Bumiputera selama 60 tahun juga tidak akan mampu mengekalkan falsafah penubuhannya.

"Kalaulah orang Melayu dan Bumiputera mengetahui mimpi ngeri yang bakal melanda hidup mereka, saya yakin mereka akan berpaut seteguh-teguhnya kepada Umno, parti yang mampu membela keturunan dan memperjuangkan masa depan mereka," kata Najib lagi.

Mengulas lanjut, Faiz berkata, ternyata, slogan 1Malaysia yang disorak kerajaan telah diabaikan oleh Khairy semata-mata bagi memastikan UMNO terus kekal ditampuk kekuasaannya.

"Hak dan kepentingan orang Melayu akan terus dipertahankan dan diuruskan dengan lebih baik jika orang Melayu memilih calon Pakatan Harapan yang berpegang kepada prinsip urus tadbir yang baik dan integriti sebagai asas perjuangan dan transformasi sistem pemerintahan.

"Hak keistimewaan orang Melayu di dalam Perlembagaan akan terus kekal dan tidak akan diganggu," tambah Faiz.

Khairat kematian dipotong oleh FELDA bagi bayar Saham FGV

SEORANG anak Peneroka FELDA Palong, Negeri Sembilan mengamuk selepas mendapati wang khairat kematian ayahnya telah dipotong sebanyak RM3,200 oleh FELDA bagi membayar Saham Felda Global Venture, FGV.

Beliau mendakwa baki wang khairat kematian ayahnya yang meninggal dunia lebih setahun lalu sepatutnya berjumlah RM7,000 hanya RM3,800 diterima, manakala RM3,200 lagi telah dipotong untuk pembayaran Saham FGV.

Apabila ditanya mengapa FELDA membuat pemotongan terhadap wang khairat  kematian itu walaupun pemotongan bayaran Saham FGV telah dibuat setiap bulan melalui pemotongan hasil ladang, pegawai yang berkaitan sekadar menjawab, ia adalah arahan dari ibu pejabat.

Lebih menyedihkan, ibunya baru bercita-cita mahu gunakan duit tersebut untuk perbelanjaan menunaikan Ibadah Umrah di Kota Suci Mekah, nampaknya niat itu terpaksa dibatalkan.

Nilai saham Felda (FGV) yang dibayar setiap bulan oleh peneroka sehingga kini semakin merudum, harganya semakin jatuh.

Harga terkini Saham FGV ketika artikel ini ditulis ialah RM1.50 seunit berbanding nilai asalnya ketika mula disenaraikan ialah RM4.45 seunit — Nilainya menyusut lebih 66 peratus.

Setiap peneroka diperuntukkan sebanyak 800 unit saham bernilai RM3,560 dan dijanjikan dengan keuntungan, namun kini nilainya hanya tinggal RM1,200.

Sudahlah utung tak dapat, kini peneroka pula yang terpaksa membayar setiap bulan bagi menanggung kerugian saham tersebut.

Read more: http://www.milosuam.net/2016/12/wang-khairat-kematian-ayah-kena-potong.html#ixzz4Rgm7zSAL

MASIH ADA MASA DEPANKAH MEREKA INI DALAM UMNO?

Walaupun Perhimpunan Agung UMNO lebih merupakan pesta tahunan untuk membodek, mengipas, mengampu dan perlakuan lain yang sedarjatnya dengannya, rupa-rupanya masih ada jurucakap yang lebih jujur, ikhlas dan tidak rela terus diperbodohkan.

Jurucakap Puteri UMNO, Norsafinaz Mohd Azman dari Terengganu mendesak pimpinan kerajaan agar berhenti menutup kebenaran berkaitan ekonomi negara.

Jangan tipu kami. Kalau ekonomi tak bagus, cakap tak bagus. Jangan cakap ekonomi masih okay, tetapi kami nampak kawan-kawan diberhentikan kerja dan harga barang rumah naik, katanya.

Ketika beliau menyampaikan kritikannya, Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi hadir mendengar ucapannya.

Jurucakap Pemuda UMNO, Rizuan Ahmad meluahkan mengenai kenaikan kos sara hidup yang menjadi beban kepada rakyat, terutama golongan marhaen dan orang-orang kampung.

Di satu ketika beliau meminta Najib beratur naik bas dan pergi ke pasar membeli minyak masak untuk merasai sendiri keluh kesah dan derita rakyat yang terus terbeban itu.

Ketika beliau berucap yang mendapat tepukan para perwakilan, Najib dan Rosmah turut hadir mendengarnya.

Wakil Pahang, Shahaniza Shamsuddin banyak membangkitkan kelemahan pengurusan Felda terhadap peneroka, meskipun mereka merupakan penyokong UMNO dan BN selama ini.

Beliau yang juga Exco Kerajaan Negeri Pahang, turut melahirkan kehairanan tentang kenaikan harga minyak masak di negara kita ini, di sebalik ladang kelapa sawit yang luas terbentang di depan mata.

Wakil Johor, Ayub Rahmat menyeru UMNO agar berhenti meminta orang Melayu memberi sumpah setia kepada parti itu serta mengenang-ngenang apa yang telah disumbangkannya.

Beliau yang juga Adun Kemelah berkata, orang Melayu tidak terhutang budi kepada UMNO, sebaliknya  parti itulah yang terhutang budi dan patut berterima kasih kepada orang Melayu.

Mereka ini adalah sebilangan kecil pemimpin yang tidak seperti Nazri Aziz, Salleh Said Keruak, Fuad Zarkashi, Ahmad Maslan, Abdul Rahman Dahlan dan ramai yang lain yang hanya tahu mengipas, membodek dan mengampu serta tidak tidak mahu kebenaran sebagai suatu kenyataan.

Tetapi, berada di dalam kelompok yang majoritinya adalah pengipas, pembodek dan pengampu, masih ada masa depankah mereka ini?

Mampukah mereka terus menjadi pemimpin yang bersuara atas kebenaran atau akan menerima tekanan supaya diam dan seterusnya perlahan-lahan akan tenggelam? (SH 03/12/2016).

Surat buat rakyat: Ego Umno yang terakhir

Mahdzir Ibrahim

ULASAN Dari lojik matematik, Umno/BN masih kekal memerintah adalah kerana hasil daripada sumbangan besar kerusi BN di Sabah dan Sarawak.

Ini jawapan matematik yang semua orang tahu. Formula matematik ini juga dikira hampir mustahil untuk dilakukan apatah lagi dengan mengambil kira senario politik pembangkang ketika ini.

Maka lojik matematik ini masih meletakkan pembangkang di tempat yang sama seperti sebelumnya.

Mungkin ada teori lain yang boleh menjadi faktor pembolehubah atas lojik matematik tersebut. Teorinya barangkali harus merujuk kepada naratif politik itu sendiri.

Kekuatan Umno pada ketika ini adalah terletak pada ego dan hegemoninya, bukan semata-mata pada kekuatan sumber dana dan sumbangan BN di kerusi Sabah dan Sarawak.

Ego ini mewujudkan hagemoni Umno, ia mencipta imaginasi dan metos hingga komponen BN di Sabah dan Sarawak cukup takut, begitu juga dengan MCA, MIC dan Gerakan juga takut dan tunduk atas kemahuan Umno. Begitu jugalah dengan rakyat, malahan segelintir pemimpin pembangkang.

Selama ini, ego dan hegemoni Umno inilah yang membina politik perkauman dan sentimen keagamaan. Tekanan kepada semua pihak bermula dari ego Umno ini. Ianya tampak tidak berkesudahan.

Dari mana ego dan hegemoni Umno ini muncul?

Seperti yang saya katakan tadi, kita harus kembali kepada naratif sejarah politik Umno itu sendiri.

Sejarah politik Umno bermula di Johor. Umno di Johor sebelum 2013 tidak pernah terjejas sedikit pun dengan pengaruh pembangkang.

Di sinilah sejarah ego Umno muncul dan bertapak, bukan di negeri-negeri pantai timur atau Malaysia Timur hatta Utara. Dalam kempen pilihan raya 2013 lagi, slogan Johor adalah 'Tiang Seri' Umno menjadi azimat kempennya, semua orang percaya.

Semalam, wakil Umno Johor, Datuk Ayub Rahmat yang juga exco kerajaan negeri telah berucap dalam sesi perhimpunan agung Umno (PAU16) dengan terang memberi isyarat dalam beberapa ungkapannya.

Beliau mengatakan bahawa parti itulah yang sepatutnya berterima kasih kepada orang Melayu. Bukan orang Melayu yang terhutang budi dengan Umno. Umno yang terhutang budi dengan orang Melayu.

Ayub mengingatkan kepimpinan parti itu agar jangan sesekali lupa siapa di sebalik kejayaan Umno hari ini.

Ini adalah isyarat penting Umno Johor kepada pemimpin elitnya. Ia membuktikan bahawa ego ini wujud dari naratif sejarah penubuhan dan kekuatan Umno di Johor.

Malah, jika dilihat dengan hati-hati, Umno Johor ini lebih licik dan kemas kerjanya berbanding Umno di negeri-negeri lain. Kekuatan ini bersandarkan sejarah dan tradisi yang kuat. Bukan sekadar slogan semata-mata.

Justeru, jika ego ini dapat digugat, pastinya Umno akan bergoncang kuat. Ia boleh menjadi sebab berakhirnya ego dan hegemoni Umno yang mencengkam rakyat dan komponen BN.

Dengan kata lain, pembangkang mesti menang besar di Johor, ini boleh menjadi ‘pembolehubah’ yang berkesan.

Kemenangan pembangkang di Johor akan menandakan berakhirnya legasi kubu kuat Umno. Kita harus sedar bahawa kemenangan ke atas ego Umno ini adalah kemenangan moral yang cukup besar dan ia akan memberi nilai yang cukup signifikan ke atas lanskap politik negara.

Dengan berkuburnya ego Umno di Johor, maka kita akan dapat lihat kesan teori domino. Kesan domino ini akan melenyapkan hagemoni dan mitos Umno ke atas rakyat, parti di Sabah dan Sarawak termasuk rakan komponennya.

Tanpa Selangor, Pulau Pinang dan Johor, Umno ibarat sudah tiada kaki dan tangan, hanya tinggal badan yang pastinya sukar untuk mereka bergerak lagi.

Ketika ini, parti-parti di Sabah dan Sarawak tidak lagi memerlukan Umno kerana tidak ada apa lagi yang ingin dibimbangkan kerana ego dan hgeemoni Umno sudah tiada lagi.

Pada fasa inilah rundingan antara pakatan pembangkang di Semenanjung dengan parti-parti di Sabah dan Sarawak dapat dijalankan untuk melicinkan peralihan kerajaan pusat.

Tanpa kemenangan pembangkang di Johor, ego dan hegemoni Umno akan terus hidup, ego dan hegemoni ini akan terus mencengkam rakyat dan parti-parti di Sabah dan Sarawak.

Dan kerajaan Umno di Johor ketika ini sedang tersepit dan gagal menawarkan pilihan yang lebih baik kepada rakyat.

Justeru, perlu dijalankan usaha menewaskan ego Umno yang terakhir. 

MAHDZIR IBRAHIM adalah pengarah biro pendidikan politik DAP Johor.

Umno berpesta di PWTC kerana tiada lagi ancaman PAS, kata penganalisis

Zulkifli Sulong | December 2, 2016

KUALA LUMPUR: Walaupun menerima ancaman paling besar dalam sejarah politiknya, namun pimpinan dan perwakilan Umno masih mampu berpestaria di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) kerana parti itu berjaya meneutralisasikan musuh tradisi yang mengancam mereka selama ini, PAS.

Menurut penganalisis politik, tanpa ancaman PAS, Umno yakin akan boleh terus mengekalkan kerusi Melayu yang bakal ditandingi mereka pada pilihan raya umum (PRU) akan datang supaya terus kekal di Putrajaya.

“Dengan isu kenaikan harga barang, 1MDB, perpecahan dalam Umno ekoran tindakan Tun Mahathir menubuhkan Bersatu dan lain-lain lagi, ia akan membebankan Umno. Jika isu ini turut digunakan oleh PAS untuk menyerang mereka, Umno akan teruk,” kata Hisomuddin Bakar, pengerusi eksekutif Ilham Centre, sebuah badan penyelidik politik dan pilihan raya bebas.
Sebaliknya, Hisomuddin berkata apa yang berlaku ialah pemimpin dan perwakilan Umno terus berpestaria di PWTC.

“Menuju PRU 14, Umno akan terus rasa selamat di kawasan Melayu tanpa ada tentangan daripada PAS,” katanya kepada FMT.

Bagi Hisomuddin, strategi paling ampuh Umno menjelang PRU ke 14 ini adalah “meneutralisasikan” musuh tegarnya PAS, dan usaha itu, menurutnya, berjaya setakat ini.

Namun beliau mempersoalkan apa sebenarnya sokongan atau bantuan yang diberikan kepada PAS sebagai balasannya, selain membenarkan rang undang-undang Pindaan Akta 355 dibacakan di Dewan Rakyat.

“Ini bantuan politik paling besar dan untungkan politik PAS,” kata Hisomuddin.

Sebagai balasan, PAS berkecuali dalam bajet, tidak turun Bersih 5 dan tidak bersama pembangkang yang lain dalam banyak hal, tambahnya.

“Saya yakin ahli PAS juga keliru ke mana hala tuju PAS dalam pilihan raya umum akan datang, sebab perhitungan utama sebuah parti politik adalah kemenangan dalam pilihan raya dan sebelum itu melalui pembahagian kerusi atau kerusi yang akan mereka tandingi.

“Sebab itu, ketika presiden PAS nampak bekerjasama dengan perdana menteri, timbalannya Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man pula secara konsisten menyerang dan berkata akan lawan Umno dalam dalam pilihan raya nanti,” katanya.

Hisomuddin berkata berdasarkan ucapan Datuk Seri Najib Razak dan timbalannya pada perhimpunan Umno yang berlangsung sekarang, Umno akan bekerjasama dengan PAS.

“Pada bacaan kami, sikap PAS kini dan ucapan Najib semalam sudah menunjukkan mereka sudah masuk fasa kerjasama. Namun bentuk kerjasama masih dalam perkiraan pemimpin mereka bagi menentukan implikasinya terhadap ahli.

“Sebab itu pimpinan kanannya masih dalam mood nafi, PAS tetap akan lawan Umno, tuduhan mahu bersama dengan Umno adalah fitnah dan sebagainya,” kata Hisom.

Sementara itu, tidak ada seorang pun pemimpin kanan PAS yang memberikan reaksi terhadap kata-kata pujian yang dibuat oleh pimpinan Umno khasnya Najib terhadap PAS.

Bagaimanapun, Pesuruhjaya PAS Kedah, Dr Ahmad Fakhruddin Syeikh Fakhrurazi menyifatkan kenyataan presiden Umno yang mengalu-alukan hubungan mesra Umno-PAS sebagai muslihat politik untuk cuba memerangkap PAS supaya mengikut rentak parti itu.

“Ia sebagai satu percubaan membina persepsi di kalangan rakyat bahawa PAS sudah lunak terhadap Umno dalam semua perkara,” katanya dalam satu kenyataan.
Sebelum ini, bekas naib presiden PAS, Datuk Husam Musa berkata, PAS menyifatkan Amanah musuhnya yang paling dibenci kerana ia menjadi batu penghalang kerjasama Umno-PAS.

“Pemimpin utama PAS tahu jika mereka membuat kerjasama dengan Umno, ahli bawahan mereka akan lari. Jika Amanah tiada, ke mana ahli mahu lari melainkan kekal dalam PAS atau berdiam diri sahaja?

“Sebab itu mereka sangat benci kepada Amanah,” kata Husam yang kini penasihat Amanah Kelantan

(ADMIN)

Najib bercakap seorang diri, memang seronok. Debatlah!

ULASAN Letih kita mendengar ucapan-ucapan di Perhimpunan Agung UMNO tahun ini. Letih, menyampah, rasa nak muntah: semua ada. Festival tahunan ini memang pun itu tujuan dia, untuk bercakap merepek tentang segala yang UMNO secara ad nauseam - sampai rasa nak muntah.

Sejak hari pertama persidangan bermula, kita melihat bagaimana media arus perdana menghurung PWTC dan memuntahkan berita-berita tentang ucapan pembesar-pembesar parti Melayu itu.

Keesokan harinya akhbar-akhbar milik UMNO memaparkan di muka depannya betapa gah dan hebatnya semangat yang ditiup antara empat dinding ibu pejabat UMNO.

Kemuncaknya esok, apabila Presiden United Malays National Organisation, atau lebih dikenali ramai sebagai suami kepada Datin Seri Rosmah Mansor, akan sekali lagi naik ke pentas untuk menyampaikan ucapan penggulungan dan memalu gong pelaung, menandakan bermulanya strategem UMNO menuju pilihanraya umum ke-14.

Tetapi kita janganlah terlalu berasa teruja dengan ucapan-ucapan UMNO ini. Bercakap seorang diri tanpa ada ruang yang terbuka untuk dicabar dan berdebat memang seronok.

Langit pun boleh runtuh kalau ikut hati bercakap sendirian begitu. Tambah pula dengan tepukan gemuruh perwakilan yang kenyang dijamu dedak.

Barang diingat. Datuk Seri Najib Razak adalah seorang yang akan melarikan diri daripada berdebat. Dia tidak berani. Bukan sekali dua kita telah menyaksikan ‘Malaysian Official 1’ ini melarikan diri dari gelanggang. Sudah baaaanyak kali.

Terbaru pastinya kita masih ingat bagaimana beliau menghilangkan diri apabila Tun Dr Mahathir datang ke PWTC untuk bersoal jawab dengannya.

Najib Razak memang seronok bercakap seorang diri. Cuba kalau kita letak Mahathir di depan dia. Tak cukup tanah dia melarikan diri.

Melayu hilang kuasa

Dalam setahun, UMNO akan mengulang ayat ini beberapa kali. Tak perlu tunggu bersidang pun UMNO akan tetap bermain sentimen perkauman, kerana UMNO memang parti perkauman. Tanpa modal perkauman, apa lagi lah UMNO ada? Barangkali modal agama, setelah di-hijack modal politik angin syurga itu daripada PAS.

Sebenarnya kita semua sedia tahu, kalau UMNO melingkup, UMNO lah yang hilang kuasa.

UMNO berkuasa pun Melayu merana. Lihat sahaja bagaimana kita sehari-hari dicukai dan dipaksa bayar tol, selain harga barang keperluan yang naik tak turun-turun. Ini siapa punya kerja? Kalau bukan UMNO, siapa? DAP kah yang luluskan GST?

Sasterawan Negara, Pak A. Samad Said (yang juga sudah masuk DAP) telah berkali-kali mengingatkan:

“Kata-kata bahawa orang Melayu dan Islam kini sedang terancam sukar masuk otak saya...

“Sejak merdeka, Perdana Menteri semuanya Melayu, Timbalan PM semuanya Melayu, Menteri Dalam Negeri semuanya Melayu, malah Menteri Besar kebanyakannya Melayu.

“Ini tidak termasuk Raja-raja Melayu, tentera dan polis yang majoritinya orang Melayu."

Otak yang boleh menerima dakwaan Melayu hilang kuasa jika UMNO melingkup adalah otak yang sarat disumbat dedak dan pembohongan sehingga tidak lagi mampu mempersoal, telan sahaja mentah-mentah. Kalau otak seluruh rakyat Malaysia demikian bengap, memang boleh lah UMNO kekal berkuasa sampai kiamat.

Sebab itu pentingnya perdebatan. Politik ialah seni memujuk keyakinan, dan ia tidak boleh sekadar ditelan seperti ular sawa menelan buaya. Akhirnya buaya koyak perut ular dan berlepas lari. Bodoh betul ular sawa itu.

Maka sekarang begini. Najib Razak dan konco-konco pemakan dedaknya boleh terus merepek sampai hari Sabtu. Tak apa, kita dengar habis-habis apa tawarannya untuk rakyat negara ini semuanya, bukan yang Melayu sahaja.

Hari Ahad, Parti Tindakan Demokratik pula bakal bersidang di Shah Alam. Kita tengok apa pula jawapan DAP terhadap tuduhan-tuduhan sehala dan syok sendiri oleh UMNO selama seminggu ini.

Kemudian rakyat boleh buat keputusan. Mahu memilih terus merana di bawah pemerintahan kleptokrat, atau memilih untuk membuka lembaran baru bersama para demokrat.

IZMIL AMRI seorang penulis dan pemerhati politik.

“ Membisu di dalam Parlimen namun beraksi aktif berdemonstrasi di luar ’’

1. Keputusan Kerajaan Malaysia dan pimpinan Barisan Nasional bersama  PAS untuk mengadakan himpunan besar-besaran pada 4 Disember 2016 tentang isu pembunuhan beramai-ramai Muslim Rohingya, walaupun pada prinsipnya baik, tetapi membingungkan. Adakah UMNO sebagai parti pemerintah hanya mampu sekadar berdemonstrasi? Adakah mereka lupa mereka kerajaan dan sebagai kerajaan mereka wajib melakukan lebih dari berdemonstrasi!

2. Isu pembunuhan kejam rakyat Islam Rohingya sudah lama berlaku dan Kerajaan Malaysia lesu dalam isu ini di atas berbagai alasan tidak munasabah.  Kenapa dan bagaimana mereka sekarang membuat keputusan untuk mengadakan himpunan ini agak menghairankan dan tidak konsisten dengan kenyataan dan juga pendirian kerajaan di Parlimen baru-baru ini. 

3. Pada 24hb November 2016, saya sebagai Ahli Parlimen Kuala Terengganu telah membawa usul di bawah 19 (a) untuk membahaskan isu pembunuhan orang Islam Rohingya di Myanmar.

Bagaimanapun, Speaker Dewan telah menolak usul tersebut atas alasan ia akan “mencampuri hal Negara lain”. Saya dan beberapa lagi ahli Parlimen pembangkang telah menggesa ia dibenarkan kerana pentingnya dan seriusnya isu pembunuhan beramai-ramai Islam Rohingya yang melibatkan tentera Myanmar.  Dewan Mulia Parlimen adalah forum terbaik untuk membahas dengan teratur demi mendengar pendirian dan tindakan yang ingin  dicadangkan untuk diambil kerajaan dari ahli-ahli Parlimen Malaysia baik dari Kerajaan atau pembangkang.

4. Tidak sampai seminggu setelah usul yang di bawa di Parlimen ditolak, Kerajaan dan Perdana Menteri sendiri pula mencadangkan himpunan besar-besaran untuk membantah apa yang berlaku di Myanmar. Adakah mereka ikhlas dalam bantahan mereka ini? Sedangkan membahas usul mengutuk kezaliman ini di Parlimen adalah jauh lebih bermakna dan peluang ini telah pun dinafikan apabila  usul ditolak di Parlimen pada 24 November.

5. Adakah hanya setelah melihat kemarahan rakyat pada demonstrasi selepas solat Jumaat pada 25 November,  kerajaan baru membuat keputusan untuk melakukan sesuatu dan itu pun sekadar mengadakan himpunan pada 4 Disember?

Sedangkan sebelum pada itu cadangan untuk menarik diri dari perlawanan bolasepak di antara Malaysia dan Myanmar pun ditolak oleh Kabinet Malaysia. Ini amat menyedihkan dan memalukan kerana sementara seperti disahkan pegawai Bangsa-bangsa Bersatu di Myanmar, umat Islam di Myanmar dibunuh secara berterusan oleh tentera Myanmar, kita sanggup terus bersukan di padang bola.  Kita pernah tarik diri dari Sukan Olimpik di Moscow kerana serangan Russia ke atas Afghanistan pada tahun 1980’an. Maka kenapa kita tidak melakukan tindakan sama dalam kes Rohingya ini? Adakah demonstrasi ini sekadar bertujuan menunjuk kebersamaan dengan rakyat demi menutup hakikat bahawa kerajaan tidak bertindak?

6. Bagaimana pula dengan pendirian Malaysia kononnya yang menerajui ‘Global Movements of Moderates”, kumpulan sederhana,  kalau kita tidak membuat pendirian dengan kerajaan yang menunjukkan sikap extremis ke Agamaan dan perkauman dengan pembunuhan "genocide" beramai-ramai orang Islam melalui program pembersihan ethnik? Tidakkah peranan kerajaan semestinya demi mengerakkan semua yang bersama GMM ini supaya bertindak ke atas kerajaan Myanmar?

7. Apabila usul Rohingya ditolak di Parlimen pada pagi 24 November 2016 oleh Speaker Parlimen, YB Dr. Siti Mariah dan Raja Bahrin dari Amanah, YB Tian Chua dari PKR dan YB Kula Segaran, YB Charles Santiago dan YB Chin Tong dari DAP berucap membantah penolakan usul ini. Tidak ada seorang pun Ahli Parlimen dari Barisan Nasional atau PAS berdiri untuk berucap menggesa usul ini di benarkan di dalam Dewan Parlimen yang mulia itu ! Tiba-tiba di luar Parlimen mereka ingin menjuarai isu ini? Sedangkan dalam Parlimen mereka diam.

Kenapa menyepi di dalam Dewan tetapi akan lantang bersuara di luar dewan? Adakah kerana himpunan di luar Dewan Parlimen akan di tonton oleh lebih ramai orang maka ia lebih penting dari perbahasan dalam Dewan parlimen? Sedangkan dalam Parlimen tindakan sebagai kerajaan boleh ditetapkan. Dan ini jauh lebih bermakna. Rakyat Malaysia ingin penjelasan.

8. Kami menuntut satu sessi Dewan Parlimen khas dengan segera untuk membahas isu pembunuhan Islam Rohingya. Kerajaan Malaysia perlu membuat pendirian yang tegas dan rasmi di Parlimen dan bukan di padang terbuka. 

Kalau permintaan ini tidak dihiraukan maka rakyat akan membuat kesimpulan bahawa demonstrasi ini sebenarnya bukan bertujuan membantu Rohingya tetapi sekadar membantu UMNO dan PAS mengaut sokongan politik masyarakat Melayu.

Raja Bahrin Shah
Pengerusi
Biro Antarabangsa Amanah
1/12/2016





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...