TERKINI :

Friday, December 2, 2016

Orang Asli duduki hutan simpan tanpa kebenaran

Bernama

KOTA BAHARU: Operasi Penguatkuasaan Bersepadu untuk merobohkan sekatan pembalakan di beberapa tempat di Hutan Simpan Kekal (HSK) Balah, Perias dan Gunung Stong adalah berlandaskan undang-undang.

Pengarah Jabatan Perhutanan Kelantan Zahari Ibrahim berkata tindakan Orang Asli membina pondok dan sekatan itu adalah kesalahan yang jelas di bawah Seksyen 32, Enakmen Perhutanan Negara (Pemakaian) Negeri Kelantan 1984 kerana menduduki dan memasuki kawasan hutan simpan tanpa kebenaran.

Beliau berkata selain itu, pegawai dan kakitangan Jabatan Perhutanan Kelantan dihalang memasuki kawasan yang terlibat dan seterusnya membantutkan tugas dan tanggungjawab agensi untuk melaksanakan program pemuliharaan, pengurusan, pemantauan dan penguatkuasaan hutan di kawasan berkenaan.

“(Sekatan juga telah) menghalang pengeluaran hasil hutan yang sah yang sepatutnya dikeluarkan dan beberapa kayu balak yang telah disimpan di Matau sebelum arahan pemberhentian operasi pembalakan bermula bulan Oktober.

“Keadaan sekatan ini menyebabkan kayu-kayu balak yang telah ditebang menghadapi pereputan nilai dan menyebabkan hasil yang sepatutnya telah berkurangan. (Mereka juga) menyalah guna kuasa dengan menghalang pekerja-pekerja lesen pengusaha hasilan yang mempunyai kebenaran sub-lesen memasuki kawasan terlibat,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Zahari berkata sebelum operasi tersebut dijalankan, Kerajaan Negeri mengambil beberapa pendekatan antaranya sesi penerangan dan penjelasan, mendengar segala tuntutan dan bantahan pihak Orang Asli yang terlibat dan mengadakan perbincangan bersama penghulu-penghulu mukim yang dilantik sejak sekatan pertama dilakukan komuniti itu pada 27 Mac lepas di Pos Gob.

Zahari berkata bagaimanapun keadaan menjadi lebih menyedihkan apabila sekatan diperluaskan ke beberapa pintu baharu iaitu di kawasan Matau di Kompartmen 260, HSK Perias dan Kompartmen 27, HSK Gunung Stong Selatan.

“Dalam proses perundingan tuntutan ini, kerajaan negeri telah mengambil langkah drastik menangguhkan operasi pengusaha hasilan di sekitar kawasan yang terlibat bagi membolehkan kajian dan semakan terperinci dijalankan serta penambahbaikan dilaksanakan.

“Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob juga menyatakan Pos Gob seluas 973 hektar telah diluluskan sebagai tanah rizab Orang Asli tetapi sedang dalam proses pewartaan dan kawasan berkenaan telah ditanda dalam rekod pelan Jabatan Perhutanan Kelantan,” katanya.

Zahari berkata kawasan HSK yang diklasifikasikan sebagai Hutan Perlindungan seluas 15,000 hektar juga dibenarkan untuk dijadikan Kawasan Rayau Orang Asli sebagai tempat mencari keperluan makanan seharian, dan rundingan lanjut antara Orang Asli dan Kerajaan Negeri perlulah melalui Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).

Dalam pada itu, beliau turut melahirkan rasa kesal terhadap badan bukan kerajaan (NGO) yang mendakwa berlatar belakang pengamal undang-undang turut menyokong usaha sekatan pembalakan yang dibuat oleh Orang Asli sedangkan ia jelas bertentangan dengan undang-undang sedia ada.

Selasa lepas, seramai 47 Orang Asli yang membuat sekatan di Simpang Petei dan jalan masuk ke Pos Bihai ditahan polis selepas enggan berganjak dan tidak beredar dari kawasan sekatan ketika operasi dijalankan oleh Jabatan Perhutanan Kelantan.

Operasi merobohkan sekatan laluan keluar balak itu terpaksa dilakukan selepas rundingan antara kerajaan negeri dan Orang Asli menemui jalan buntu, dipercayai disebabkan ada campur tangan pihak luar.

“Tang mana Guan Eng anti-Melayu?” soal Sharif Omar


SEBERANG PERAI, 2 DIS: Bekas menteri UMNO, Datuk Seri Sharif Omar mempersoalkan pihak yang gemar memfitnah Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng kononnya anti-Melayu.

“Saya nak tanya orang Pulau Pinang sekarang, tang mana dikatakan Lim Guan Eng ini anti-Melayu, kot-kot saya tak tau.

“Tak ada sebenarnya,” katanya di forum bertajuk “Biarlah aku berkorban untuk Malaysia” anjuran Parti Amanah Negara pertengahan bulan lalu.

Forum itu diadakan bagi mengingati kematian Mohd Shukri Saad yang terjun dari jambatan Pulau Pinang akibat tekanan hidup.

Menurut bekas Menteri Pertanian itu, sejak dari dahulu UMNO gemar memainkan sentimen kononnya orang Melayu tidak boleh menyokong DAP kerana parti itu anti-Melayu.

Hakikatnya kata beliau, tidak ada satu pun tindakan DAP yang menunjukkan parti tersebut anti-Melayu sepanjang Pakatan Harapan memimpin Pulau Pinang sejak tahun 2008.

Malah beliau berkata, Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP itu lebih banyak menjaga kebajikan rakyat Pulau Pinang, termasuk kaum Melayu di negeri itu berbanding pemimpin sebelum ini.

“Lim Guan Eng ini buat lebih baik dari dulu. Ini berasaskan fakta. Jadi isu rasis yang UMNO dok canang tu tak laku dah. Orang Pulau Pinang tak boleh terima dah isu tu.

“Yang depa tahu, hidup UMNO, hidup Melayu. Padahal dia sapu habis semua dah,” ujar bekas Ahli Parlimen Tasik Gelugor itu.

Menurutnya, slogan UMNO itu hanyalah retorik semata-mata kerana pemimpin UMNO lah yang telah merosakkan kaum Melayu sendiri.

“Kami dah bye-bye kepada UMNO. Kami dah tinggalkan UMNO. Kami tak kisah lagi dah mahu masuk parti mana – PKR, DAP, Amanah atau Parti Pribumi Bersatu Malaysia.

“Saya sertai PPBM dan akan bekerjasama dengan ketiga-tiga parti ini kerana kita hendakkan perubahan tanpa kira Melayu, Cina atau India,” tegasnya.

Sharif pernah menjawat sebagai Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang pada tahun 1995 sehingga 1999. Beliau kini adalah Penyelaras Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Pulau Pinang. 

Dr M: Melayu Umno, makanlah 'duit haram' ini


Dr M: Melayu Umno, makanlah 'duit haram' ini

Setelah mendapat serangan puitis 'Melayu mudah lupa' dua hari berturut-turut, Dr Mahathir Mohamad ini tampil mengulas isu sama.

Berbeza dengan nada sajak popularnya sebelum ini, beliau hari ini mengecilkan skop Melayu yang dirujuknya kepada “Melayu Umno”.

“Melayu Umno mudah lupa, seperti saya nyatakan dalam perhimpunan agung Umno dahulu.

“Kali ini mereka lupa sayang kepada bangsa, negara dan agama seperti perjuangan Umno di waktu ia ditubuh.

“Yang mereka ingat hanyalah duit itu raja. Dan mereka teruslah menyembah duit,” katanya.

Najib dalam ucapan dasarnya dalam perhimpunan agung Umno semalam menyifatkan tindakan Mahathir sebagai kemuncak penderhakaan, selain mempersoalkan siapa sebenarnya yang mudah lupa.

Najib berkata, Melayu Umno yang sejati adalah Melayu yang setia dan mengenang budi, dan tidak mengkhianati parti.

Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin pula sehari sebelum itu membacakan sajak “Melayu Mudah Lupa”, yang dipopularkan Mahathir, tetapi diubah suai untuk menempelak kembali perdana menteri keempat itu.

Menulis di blognya hari ini, Mahathir mendakwa pilihan raya kali ini akan memperlihat “duit-duit yang dicuri” dikongsi bersama oleh mereka yang terus menyokong Najib.

“Dengan perkataan lain ahli Umno yang terus sokong Najib bersubahat dengannya dalam melesapkan duit kerajaan (duit rakyat) berbilion-bilion ringgit.

“Makanlah duit haram ini, duit dari menjual bangsa, agama dan tanah air,” kata Mahathir yang terkenal dengan sindiran tajamnya itu.

Najib menafikan menggunakan wang wang RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun peribadinya untuk kepentingan peribadi.

Peguam Negara Tan Sri Apandi Ali pula telah membersihkan namanya daripada sebarang salah laku, walaupun langkah ini kemudian diselar pembangkang.

Antara Khutbah Jumaat & Khutbah Politik...

Monier Mat Din,

Khutbah jumaat siang tadi saya kira yg terbaik sejak saya duk bawa anak2 mai solat jumaat di masjid ini.

1. Sebelum2 ini kalau nak tulis jadi mcm mengumpatlah pula, tak larat duk dengar khutbah jumaat jadi mcm persidangan Agung Parti Politik, jadi tempat Tok Khatib luah perasaan.

Pernah sekali tu, sebelum2 tu Tok Khatib duk tembak parti lawan ja, tapi hari tu dia semboq bertalu2 parti baru yg asal dulunya kwn2 yg makan satu salam yg ber-ana anta satu usrah.
Terkedu gak saya dengar Tok Khatib menyeru sahabat2 dia yg lari keluar jemaah tu supaya kembali ke pangkuan parti asal, kalau tidak nanti azab yg teruk di Akhirat. Saya yg duk tengok jam bila la nak habis "ceramah politik" ini sebab ada meeting dgn Jepun kat tempat kerja pukul 3 pm tu, jadi rasa mcm tak ikhlaslah pula. Haru.

2. Hari ini best.

Tok Khatib jemputan rasanya, dia ulas bab Selawat bab Cintakan Rasul SAW dan bab persaudaraan sesama Islam dari mula ke sudah.

Antara yg saya ingat dia kata kalau kita nak cek sama ada kita nie cintakan rasul atau tidak cuba cek tengok adakah ada dlm hati kita rasa RINDU rasa rindu sangat2 nak tengok nak tatap wajah Baginda Junjungan, manusia istimewa yg namanya disebut2 sejak zaman Nabi Adam lagi lama sebelum baginda dilahirkan. Andai kita tiada rasa rindu itu, maka kita sendiri boleh tahu sama ada kita cinta rasul atau pun tidak.

Yg saya ingat juga dia kata, kita orang Islam ini tak kira di mana kita berada, di Rohingya ka di Mesir ka Syria ka mana ka, orang Islam ini semuanya adalah satu JASAD, satu ROH. Maknanya kalau jasad kita diperlakukan sewenang2nya kita semua akan terasa. Kata Tok Khatib, kita mungkin tak mampu nak bantu tapi kita boleh bantu melalui DOA.

Lepas tu waktu DOA dlm khutbah jumaat Tok Khatib berdoa utk org2 Islam yg tertindas di merata tempat khususnya di Rohingya. Antara ingat saya dengar Tok Khatib cakap:

"Ya Allah Ya Tuhan kami, Engkau tolonglah saudara2 kami di Rohingya, berilah ketabahan kpd mereka, bantulah mereka utk terus kekal dlm AKIDAH Mu Ya Allah"

Tu dia, minta doa bagi kekal dlm akidah, nak kena semelih nak kena semelih dah, nak kena kelar nak kena kelar dah, nak kena bakaq nak kena bakaq dah. Nak mati nak mati dah, alang2  mati biaqlah mereka mati dalam Akidah.

Hebat DOA Tok Khatib ini, menusuk di kalbu.

3. Last sekali yg saya ingat Tok Khatib ulas sikit pasal perbalahan antara Ummat Islam di Malaysia ini, dia tak kondem mana2 parti politik. Dia kata lebih kurangnya:

"Kita merasa hairan dgn perbalahan sesama kita ini kerana kita hanya ada SEORANG manusia sebagai pemimpin, dengan SABUAH Kitab sebagai panduan, dan SATU arah Kiblat tempat kita semua mengadap, tetapi kenapa kita semua masih berpecah belah?"

Kata2 beliau ini memang makan dalam, terlintas di pemikiran saya, rkn2 kita di seluruh Malaysia bila solat tak kira hang duk mana, Permatang Pauh ka, Kota Bharu ka, Shah Alam ka, Pagoh ka, Kubang Pasu ka, Pekan ka, Bagan Dato ka, Dataran Merdeka ka mana ka, kita semua bersolat ke satu arah yg sama tetapi seperti kata Tok Khatib, kenapa kita masih berpecah belah?

Tepuk dada tanya selera.

Saja nak kongsi.

Tkasih.

NAJIB sebenarnya gerun dengan warga emas 92 tahun itu.

_Kenyataan Media_

*TUN MAHATHIR ORANG TUA DARI PEKAN RABU BAGAIKAN SEBUAH INSTITUSI POLITIK YANG DIGERUNI NAJIB DAN UMNO*.

1. Semalam 1 Nov 2016  Najib telah mengejutkan seluruh rakyat Malaysia bahawa *_seorang warga emas berusia 92 tahun sangat digeruni Najib_*.Kegerunan Najib kerana warga emas ini mempunyai pengaruh besar dan boleh menyebabkan *_Najib dan Umno hilang kuasa pada PRU14 nanti_*.

2. Serangan demi serangan terhadap warga emas 92 tahun ini mengisi sebahagian dari ucapan dasar Najib *_'Kleptokrasi'_* (Pencuritokrasi) sebagai Presiden Parti Umno.Tiada dari ucapan Najib yang bolih dibawa pulan olih perwakilan atau diambil pedoman olih rakyat dalam menghadapi hidup yang mencabar dan menyesak akibat dari beban hidup yang berpunca dari penyelewengan, pembaziran dan salah guna kuasa kerajaan Umno Bn.

Apa yang dihidangkan ialah maki hamun terhadap Tun M,Dap dan serta gabungan Pakatan Harapan.Persidangan Agung Umno kali ini juga mencipta sejarah baru apabila *_buat julung kalinya PAS terlepas dari serangan Umno,sebaliknya PAS buat pertama kali menerima pujian dari Presiden Parti Umno_*.

"Kini musuh baru Najib dan Umno ialah Tun Mahathir dan Parti-parti Pembangkang yang lain kecuali PAS.Malah *_'orang tua' di kaki Gunung Jerai suatu ketika dahulu inilah yang mengecutkan 'telor' Najib dan Umno_*.

Kata Najib, *_warga emas ini adalah antara empat (4) cabaran utama Umno"_*.

Serangan Najib itu menjadikan *_Tun Mahathir umpama sebuah institusi politik yang menggugat kedudukan Najib dan UmnoBn_*.

*'Otai Masih Berbisa'*

3. Belum pernah kedengaran sang penguasa yang amat berkuasa menggeruni seorang orang warga emas dengan maki hamun akibat daripada *_keberanian orang tua dari Pekan Rabu Alor Setar_* itu yang menolak Najib dan Umno kerana *_kebusukan rasuah curi 1MDB_*. Malah Najib yang berkuasa ini beritahu seluruh dunia bahawa *_warga emas Pekan Rabu berusia 92 tahun ini ancaman pada parti Umno yang menjadi tulang belakang kerajaan yang berkuasa_*.

"Saya hanya mampu tersenyum kerana *_tulang belakang kerajaan yang berkuasa kini sedang mereput akibat kekurangan 'zat'_*.

Seperti apa yang pernah diucapkan Tun Mahathir iaitu *_pemimpin melantik orang yang bodoh dan orang bodoh ini pula melantik orang yang lebih bodoh untuk kekal berkuasa_*.

4. Ucapan Najib telah dengan sendiri memperakui *_Umno sedang mengalami kelumpuhan dan kereputan sebaliknya Parti Bersatu yang diasaskan oleh Tun Mahathir kini bersama komponen pembangkang yang lain adalah satu 'Grand Coalition' yang mampu mencabar UmnoBn dan mengambil alih kuasa pada pru14 nanti_*.

*_"Jika kita duduk di dalam rumah kaca jangan membaling batu ke arah rumah orang lain"_*.

*_#UmnoMereput_*
*_#SelamatTinggalUmno_*
*_#SelamatkanMalaysia_*
*_#TakNakUmnoBn_*
*_#PakatanHarapanRakyat_*

*DATO' HJ MAHFUZ HJ OMAR*
Ahli Parlimen Pokok Sena
02.50pm Taman AlWalid Alor Setar
2 Dis 2016/2 Rabiulawal 1438H

SELAGI UMNO BERKUASA, SELAGI ITU MELAYU DIBODOH-BODOHKAN....

PRU 14 adalah peluang untuk orang-orang Melayu menjadi cerdik dan membuktikan mereka tidak bodoh. Caranya ialah dengan menolak UMNO dan BN serta memastikan parti itu tidak lagi berkuasa di negara  ini.

Selagi UMNO dan BN berkuasa, khususnya selagi Najib Razak yang sudah dikenali dunia sebagai pemimpin kleptokrat menjadi Perdana Menteri buat negara ini, maka selagi itulah orang-orang Melayu terus diperbodohkan atau cuba dibodoh-bodohkan.

Seperti pengundi bukan Melayu dan mereka di bandar yang sudah menunjukkan perubahan, pengundi Melayu juga harus bergerak ke arah yang sama. Jika tidak, acara dan pesta membodoh-bodohkan Melayu itu akan berterusan dan diulang berkali-kali untuk menutup kelemahan dan rompakan terhadap khazanah Melayu itu sendiri.

Ucapan perasmian Najib dalam Perhimpunan Agung UMNO semalam yang mengatakan PRU 14 akan datang adalah pilihan antara kerajaan yang ditunjangi oleh UMNO dan Melayu dengan Pakatan Harapan yang diterajui oleh DAP, adalah jelas suatu tindakan cuba membodoh-bodohkan orang Melayu.

Lebih dahsyat lagi apabila Najib turut menakut-nakutkan orang Melayu bahawa sekiranya UMNO kalah dan hilang kuasa, semua institusi kerajaan seperti MARA, Felda, Felcra, Teraju dan lain-lainnya akan lenyap serta pupus, seterusnya menjadikan masa depan mereka tiada lagi pembelaan.

Bagi mereka yang waras, boleh berfikir dengan baik atau tidak mengalami strok otak, tentu saja dengan mudah tidak percaya menolak kata-kata Najib itu. Ini kerana mana mungkin DAP yang hanya bertanding 54 kerusi, mampu menjadi begitu berkuasa dalam negara ini, waima sekiranya mereka menang semua kerusi yang ditandingi sekali pun.

Dengan  Pakatan Harapan yang di dalamnya turut ada PKR, Amanah dan tidak lama lagi, PPBM juga akan turut serta, di mana logiknya kata-kata Najib bahawa DAP akan menerajui gabungan itu?

Lagi pula, tidak seperti BN yang hanya UMNO dianggotai oleh Melayu, sebaliknya PKR, DAP, Amanah dan PPBM, semuanya ada Melayu di dalamnya?

Tidakkah ia dengan sendirinya menjadikan kedudukan Melayu dalam Pakatan Harapan lebih meluas dan merata?

Lihat saja di Selangor, apakah DAP yang menerajui pentadbiran kerajaan negeri itu?

Juga tidak masuk akal dan jelas mahu membodoh-bodohkan Melayu apabila Najib mengatakan MARA, Felda, Felcra, Teraju dan lain-lain institusi akan turut lenyap serta pupus jika UMNO hilang kuasanya.

Di Selangor dan Pulau Pinang, sudah berapa banyak pejabat agensi kerajaan yang berkaitan Melayu dan Islam telah  ditutup atau diarahkan berpindah ke negeri lain?

Selama ini, siapa yang menjahanamkan MARA, Felda dan Felcra dengan pelbagai ciri-ciri rompakan dan amalan rasuah sehingga agensi-agensi itu lebih merupakan tempat pemimpin Melayu memperkayakan diri sendiri berbanding membantu rakyat yang dalam kesempitan?

Adakah MARA, Felda dan Felda benar-benar menjadikan Melayu kaya dan berharta atau hanya isteri, isteri muda dan anak-anak pemimpin Melayu yang bermaharalela menjadikan agensi-agensi itu sebagai lubuk mengaut kekayaan mereka?

Menjelang PRU 14 akan datang, orang-orang Melayu mesti fokus kepada isu yang sedang berlaku dalam negara dan jangan biarkan mereka terus diperbodohkan lagi oleh pemimpin sendiri. Isu di depan mata  kita ialah rasuah yang berleluasa dan penyonglapan wang negara yang berlaku tanpa hadnya.

Menakut-nakutkan kononnya Melayu terancam dan DAP menguasai kerajaan hanyalah pelindung untuk menutup kedurjanaan  dan bagi mengelakkan kesalahan mereka diadili oleh kerajaan yang baru nanti.

Bukan DAP atau bimbangnya institusi Melayu dan Islam yang menjadi ketakutan mereka. Mereka hanya ingin berkuasa dan terus merompak lagi, sambil mengharapkan kesalahan mereka tidak akan diadili sampai bila-bila.

Jika pemimpin yang sama terus berkuasa, mereka pasti akan merompak dan menyamun lagi. Menolong dan membantu rakyat hanyalah merupakan agenda yang ke 69 dalam hati dan perjuangan mereka.

Lima tahun lagi apabila tiba hampir pilihanraya dan kegiatan penyonglapan mereka diperkatakan di merata-rata, mereka akan kembali menakut-nakutkan lagi dengan perkara yang sama - Melayu terancam dan DAP akan menguasai negara ini sambil sudah mula pandai berdoa dan berjubah kononnya agar Tuhan menyelamatkan negara ini.

Akhirnya Melayu terus mundur dan ketinggalan dan hanya kelompok pemimpin yang kaya raya mengaut segala milik negara. Tiada apa-apa perubahan dan kemajuan untuk rakyat, malah di sebalik negara kita merupakan pengeluar utama kelapa sawit dunia, pemimpin yang ada hanya menutup mata daripada memastikan minyak masak pada kadar yang munasabah harganya.

Sebab itu, PRU 14 adalah peluang untuk Melayu menjadi cerdik dan tidak lagi membiarkan mereka terus diperbodoh-bodohkan. Sekarang adalah peluang terbaik untuk melakukan perubahan dan membodohkan pula pemimpin durjana yang membawa kerosakan kepada negara.

Jika orang Melayu mula menjadi cerdik dengan tidak takut mengalahkan UMNO dan BN, pemimpin seterusnya tidak mungkin berani lagi membawa retorik-retorik bodoh untuk mendapatkan undi.  Kita harus mulakannya dengan menunjukkan kecerdikan itu tanpa ragu-ragu lagi. (SH 02/12/2016).

Bank Pusat Singapura denda Standard Chartered terlibat transaksi 1MDB


SINGAPURA: Bank Pusat Singapura mengenakan penalti kepada Bank Standard Chartered dan Coutts kerana melanggar syarat pengubahan wang haram berkaitan dana 1MDB.

Penalti yang dikenakan terhadap 2 bank itu masing-masing S$5.2 juta dan S$2.4 juta.

Pihak Berkuasa Kewangan Singapura turut menyerahkan notis untuk mengeluarkan perintah larangan terhadap Tim Leissner, bekas pengarah dan wakil Goldman Sachs Singapura.

Di bawah perintah itu, Leissner dilarang menyertai secara langsung atau tidak langsung, serta tidak boleh melakukan sebarang aktiviti yang dikawal selia di bawah Akta Masa Depan Sekuriti selama 10 tahun, dalam pengurusan mana-mana firma perkhidmatan pasaran modal di Singapura.

Menurut bank pusat itu, siasatan berkaitan 1MDB sudah hampir selesai dan ia akan memberi kemas kini terakhir pada awal tahun depan.

Isu Rohingya menyerlah kulit sebenar, masa bawa usul dalam parlimen kamu tolak tapi keluar parlimen kamu ajak berdemo pula..!!

4 Disember 2016 khabarnya ada himpunan mini raksasa di Stadium Titiwangsa yang akan dihadiri oleh Najib Tun Razak & sekutunya bagi menyatakan rasa prihatin terhadap rohingya.

Aku nak cakap ini semua auta kelas bawahan saja.

Pada 24 November 2016, Ahli Parlimen Kuala Terengganu telah mengusulkan suatu usul di bawah Peraturan Mesyuarat 18(1) supaya Dewan Rakyat berbahas dan mengambil ketetapan mengutuk kezaliman terhadap etnik rohingya tetapi usul tersebut ditolak oleh Speaker.

Ahli2 Parlimen Pas langsung tidak komen pada hari tersebut kerana sebok dengan usul Marang yang ditangguhkan.

Ahli2 Parlimen Umno langsung tak endah.

Sepatutnya usul rohingya dibahaskan di Parlimen & Parlimen mengambil ketetapan mengutuk kezaliman tersebut bukan buat himpunan di stadium konon tunjuk suci!!

CnP@ZulHazmi

Berhenti buli kami, Orang Asli beritahu kerajaan PAS Kelantan

Faiz Zainudin

GUA MUSANG: Tidak ramai tahu apa sedang berlaku kepada masyarakat Orang Asli di sini, sehinggalah mereka mula bangkit menyuarakan bantahan terhadap pihak berkuasa susulan pembalakan di kawasan yang diduduki mereka sejak sekian lama.

Kerajaan negeri pimpinan PAS sebelum ini mendakwa protes di kalangan penduduk itu ialah kononnya mereka dihasut pihak tertentu supaya menentang pihak kerajaan.

Malah, semalam seorang pemimpin PAS membidas Siti Kassim, peguam mewakili Orang Asli yang lantang menyuarakan masalah mereka.

“Hal di Kelantan itu digerakkan oleh parti politik, berpakat dengan penentang kelulusan undang-undang Islam seperti Siti Kassim yang memusuhi Kerajaan Kelantan, bukan pencinta alam sekitar, jauh sekali pencinta Orang Asal,” kata Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Muhammad Sanusi Mohd Nor.

Bagaimanapun, tinjuan FMT ke kawasan itu mendapati kebanyakan penduduk Orang Asli membantah atas kesedaran sendiri dan kerana sudah serik “diperbodohkan” ahli politik.

Mereka kecewa pihak berkuasa yang membiarkan hutan yang menjadi punca pendapatan mereka seharian “dirogol” oleh tauke balak.

Pengerusi Kampung Pos Tohoi, Ahud Duga berkata tindakan Orang Asli menyekat aktiviti pembalakan adalah semata-mata mendesak kerajaan berhenti daripada terus menggondol tanah adat yang didiami mereka sejak sekian lama.

“Kita bukan penceroboh, ada pihak kata kita nak ceroboh tanah kerajaan, kami ini Orang Asli tinggal sudah lama, kenapa mereka kata kami penceroboh?” katanya kepada FMT.

“Kita bukan menumpang, kami tinggal di sini sudah lama.”

Ahud berkata sehingga kini hampir 80% hasil pencarian Orang Asli sudah musnah.

“Yang terjejas akibat pembalakan, sumber makanan kami, hasil buah-buahan, ikan, malah air yang kami minum sudah berkelodak,” katanya, dan menambah penduduk kini terpaksa berjalan jauh untuk mendapatkan air.

Ekoran kawasan hutan yang semakin lupus, mereka juga kini terpaksa berjalan lebih 30km mencari hasil hutan seperti rotan, yang menurut Ahud kini sukar didapati.

“Kenapa kami masih dipersalahkan? Yang patut disalahkan adalah syarikat balak, mereka kaya raya dan Orang Asli jadi papa kedana, sebab itulah kami menentang,” katanya.

Ayap Uda dari Kampung Pos Hau menyifatkan tindakan ke atas Orang Asli adalah jenayah.

“Kami minta kerajaan Kelantan beri hak kami, beri hak tanah kami, jangan ancam kami, kami bukan minta tanah satu Kelantan, kami bukan minta tanah satu Kuala Lumpur, jadi tolonglah kami, kami bukan nak lawan kerajaan.

“Berhenti buli Orang Asli,” kata Ayap.

“Kami minta satu sahaja, kerajaan iktiraflah kami. Kalau kerajaan iktiraf kami, kami akan hormat kerajaan, kalau tidak kami akan terus memberontak,” katanya.

Sehingga kini, pihak penguatkuasa Jabatan Perhutanan menangkap lebih 50 Orang Asli yang cuba menghalang jalan masuk ke kawasan hutan. Semalam, 47 orang yang ditahan selepas pergelutan dengan pihak berkuasa dibebaskan.

Dari Tun M : 30 jawapan dan persoalan untuk Najib selepas dibantai dalam PAU tahun ini.

Terbaru drp blog Tun M

TAKLIMAT NAJIB

1.Najib mendakwa bahawa sebabnya saya tidak sokongnya ialah kerana saya tidak dapat apa yang saya minta.

2.Bagi diri saya tidak ada apa pun yang saya minta. Tawaran Kerajaan untuk memberi percuma tanah di Putrajaya diwaktu saya letak jawatan, seperti kepada bekas Perdana Menteri yang lain, pun saya tolak. Saya minta untuk membeli tanah di Putrajaya dan saya bayar satu juta untuk sekeping. Duit ini dari tabung simpanan saya selama 29 tahun dalam Kerajaan. Tak hutang.

3.Hadiah yang diberi kepada saya semasa dalam Kerajaan saya pulangkan balik kepada Kerajaan. Semua boleh dilihat di Galeria Langkawi dan kediaman PM lama di Jalan Terengganu, off Jalan Damansara.

4.Yang saya minta dari Najib ialah untuk negara dan untuk rakyat. Semuanya ditolak tetapi dalam PRU13 saya masih sokong Najib. Walaupun saya menyatakan Najib harus berhenti jika pencapaiannya dalam PRU 13 lebih buruk dari Abdullah dalam PRU 12, setelah kemenangannya dalam PRU 13 lebih buruk dari Abdullah saya masih terus menyokongnya sebagai Perdana Menteri.

5.Hanya apabila rahsia hutang dan kerugian 1MDB terbongkar barulah saya tarik sokongan saya daripada Najib.

6.Kalau kerana jambatan tidak dibina, sudah lama saya berhenti dari menyokongnya. Kalau kerana landasan berkembar elektrik tidak dibina dari Johor Bahru ke Padang Besar, sudah lama saya hentikan sokongan saya kepada Najib. Bukan kerana tidak layan permintaan saya untuk negara pun yang saya tarik sokongan saya dari Najib.

7.Najib biasa datang jumpa saya untuk bertanya apa yang saya hendak. Saya fikir ia ikhlas dan saya pun sebut beberapa projek pembangunan untuk negara. Kemudian saya sedar ia sedang mencuba sogok saya dengan cara ini supaya saya tidak bangkit soal 1MDB.

8.Tetapi kehilangan wang Kerajaan terlalu besar. Hanya kerana melayan saya tidak boleh dijadikan alasan bagi saya pejam mata berkenaan kehilangan duit Kerajaan berbillion-billion. Oleh itu saya teruskan juga membangkitkan soal 1MDB. Apatah lagi apabila 2.6 billion Ringgit tiba-tiba didapati ada dalam akaun persendirian Najib.

9.Tidak pernah dalam sejarah Malaysia merdeka, Perdana Menteri Malaysia memiliki sebegitu banyak duit. Untuk apa tujuan pun Perdana Menteri Malaysia tidak harus memiliki 2.6 billion Ringgit.

10.Yang jelas ialah tanpa duit yang begitu banyak, BN dan UMNO telah menang dengan berkali lebih baik dari Najib dalam PRU 13. Bukan wang yang boleh beri kemenangan. Khidmat pada rakyat dan keikhlasan niat yang memberi kemenangan bagi parti.

11. Kononnya duit ini diderma oleh penderma-penderma yang tidak suka dikenali. Mereka pula tidak sanggup memberi terus kepada UMNO tetapi sebagai “pemimpin” mereka sanggup beri hanya kepada Najib sebagai pemimpin untuk disimpan olehnya dalam akaun peribadi. Ini tidak masuk akal sama sekali melainkan ada niat untuk tidak menjelas dari mana duit itu datang, menyembunyi perbelanjaan.

12.Tuduhan dibuat bahawa Bank Negara tahu. Apa buktinya Bank Negara tahu. Kenapa laporan dari Bank Negara ditolak oleh AG. Apakah AG tidak percaya kepada Bank Negara sedangkan kita dikehendaki percaya Bank Negara berkenaan sesuatu yang hanya disebut oleh Najib, tidak oleh Bank Negara.

13.Adakah lebih meyakinkan jika laporan Bank Negara didedah daripada hanya Najib berkata Bank Negara tahu. Wang 50 million dan lebih yang dimasuk dalam mana-mana bank mesti mendapat kelulusan Bank Negara. Tunjuk sahaja bukti kelulusan Bank Negara berkenaan RM2.6 billion dan Najib akan dipercayai.

14.Percubaan memburukkan nama saya dengan berkata saya juga menyebabkan wang Kerajaan hilang kerana tindakan dan pelaburan yang merugikan. Najib sendiri mengaku bahawa dalam perniagaan adakala untung adakala rugi. Yang utama ialah segala yang dilakukan ditulis dalam akaun yang telus dan terbuka. Dan segala urusan dibuat oleh pengawai Kerajaan yang bertanggungjawab. Saya tidak terlibat dengan pengurusan terutama pengurusan modal wang. Tugas saya tamat dengan melulus pelaburan. Saya tidak menjadi pengurus atau penasihat eksekutif.

15.Sebaliknya Najib menubuh 1MDB yang dibiayai sebanyak 1 juta sahaja oleh Kerajaan. Najib juga menjadi Penasihat kepada 1MDB.

16.1MDB hutang RM42 billion Ringgit iaitu 42,000 kali ganda lebih besar dari modal. Wang ini dipinjam dengan faedah yang amat tinggi dan komisyen kepada Golden Sachs berjumlah 10%.

17.Wang ini diguna untuk beli stesen janakuasa yang usang dan hampir tamat lesen dengan harga lebih tinggi dari harga pasaran. Hutang sebanyak RM 8 billion diambil alih menjadi jumlah hutang RM50 billion.

18.Stesyen digabung menjadi Edra. Tetapi pulangan begitu rendah sehingga tidak dapat bayar faedah dan terpaksa dijual. Ia tidak boleh disenarai kerana akaunnya tidak dapat disah oleh juruaudit. Ia terpaksa dijual kepada syarikat negara Cina kerana TNB tidak dapat bayar harga yang boleh selesaikan hutang sebanyak RM 18 billion.

19.Baki hutang diguna untuk beli tanah Kerajaan dengan harga yang amat murah iaitu RM 60 skp sedangkan tanah berdekatan dijual dengan harga RM7000 skp. Harga belian tanah lapangan terbang tidak disebut.

20.Tanah yang diduduki oleh setinggan di Pulau Pinang dibeli dengan harga yang amat tinggi. Sukar untuk dibangun.

21.Percubaan dibuat untuk jual tanah Jalan Tun Razak yang dibeli dengan harga RM60 skp dari Kerajaan, kepada Tabung Haji dengan harga RM3000 skp (50 kali ganda harga beli). Wajarkah Kerajaan rugi sebanyak RM2940 skp. Inikah perniagaan stategik 1MDB?

22.Apakah saya pernah buat perkara-perkara seperti ini? Buktikan. Jangan tuduh melulu.

23.Kononnya ekonomi negara tidak teruk.

24.Hakikatnya nilai Ringgit dan harga saham jatuh dengan teruk. Kos sara hidup meningkat dengan GST, subsidi minyak diturunkan, tol dan tambang dinaikkan dll.

25.Pendapatan dinaikkan tetapi daya beli turun kerana nilai Ringgit jatuh. Pengangguran bertambah, termasuk dikalangan lulusan universiti. Perniagaan dan industry menghadapi masalah yang tidak dapat diatasi.

26.Apakah saya yang merosakkan imej negara?

27.Akhbar dunia telah melaporkan berkenaan Jho Low dan persahabatannya dengan Najib, cara hidupnya dan pembelian rumah mewah, pembiayaan filem Wolf of Wall Street bersama anak tiri Najib jauh lebih awal dari sebutan 1MDB oleh saya. Semua ini yang memburukkan imej negara. Ia menjadi lebih buruk kerana laporan tentang pelaburan 1MDB, dan kemudian wang yang terdapat dalam akaun peribadi Najib sebanyak RM 2.6 billion.

28.Jika ada sesiapa yang merosakkan imej Negara, ia adalah Dato Sri Najib sendiri. Sebelum ini imej Negara amat baik.

29.Jika apa yang dituduh Najib lakukan fitnah, Najib harus membuktikan semuanya tidak benar. Bahkan Najib perlu saman malu akhbar-akhbar yang melapor. Walaupun kononnya tindakan akan diambil, tetapi tidak ada apa-apa tindakan selain dari menakutkan sesiapa yang membuat teguran atau melapor kepada polis dengan disoal siasat oleh polis, dimasuk dalam tahanan dan dihadapkan kepada mahkamah. Tidak pernah terjadi dimana-mana bahawa orang yang melapor jenayah kepada polis dituduh mensabotaj demokrasi atau menguling Kerajaan. Juga peguam pihak yang mengadu disoal oleh polis dan dimasuk dalam tahanan.

30.Orang kampung mungkin tidak kisah. Sebabnya mungkin kerana akhbar tidak dibenar melapor. Tetapi hanya kerana orang kampung tidak ambil kisah, maka perbuatannya curang dan jenayah masih tidak boleh dihalalkan

Semoga Perhimpunan Agong UMNO Berjaya – Nik Abduh

LAZIMNYA amat sukar untuk menemui pemimpin pembangkang mengambil berat mesyuarat tahunan sesebuah parti lawannya sendiri apatah lagi parti tunjang pemerintah sesebuah negara.

Fenomena ini bukan luar biasa di seluruh dunia waima di negara maju seperti Amerika Syarikat, jangan haraplah pemimpin Republikan bertanya khabar konvensyen tahunan musuh ketatnya, Demokrat dan begitulah sebaliknya.

Namun, sesuatu yang agak unik pada kali ini apabila pemimpin kanan PAS yang juga Ketua Dewan Pemuda parti Islam tersebut, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz mengambil pendirian agak istimewa terhadap UMNO.

Kicauan menerusi Twitter beliau terhadap Perhimpunan Agung UMNO 2016 mendapat perhatian luar biasa netizen selain pujian pelbagai pihak yang menyifatkan Ahli Majlis Syura Ulama PAS sebagai seorang yang berjiwa besar.

Tahun ini UMNO genap berusia 70 tahun dan di sebalik tiada sebarang pemilihan jawatan parti, perhimpunan parti tersebut sebenarnya turut mendapat perhatian banyak pihak termasuk pemimpin luar kerajaan sendiri.

Melalui mesej kicauan tersebut, Nik Mohamad Abduh menulis secara ringkas: “Semoga Perhimpunan Agung UMNO berjaya mencapai matlamat. Semoga kerjasama antara kita demi Melayu dan Islam.”

Tweet Ahli Parlimen Pasir Mas itu sekali gus menggambarkan hubungan erat antara dua parti berkenaan sebagai cukup harmoni meskipun dua organisasi siasah tersebut sering ‘dibadai’ dengan pelbagai cabaran semasa.

Untuk rekod, PAS menerima ‘tamparan’ apabila sekumpulan tokohnya membentuk serpihan disokong DAP iaitu Parti Amanah Negara (PAN) manakala UMNO menyaksikan kemunculan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Hakikatnya, kicauan Nik Mohamad Abduh itu membuka lembaran baharu dalam arena politik tanah air bahawa di sebalik perbezaan fahaman ideologi, kedua-dua parti tetap bersahabat dalam cara tersendiri.

Gurun - Pekerja pam ditangkap mengintai, rakam video


FOTO seorang pekerja stesen minyak yang didakwa merakam video dan mengintai seorang wanita di tandas stesen sebuah kawasan Rehat & Rawat (R&R) menjadi viral semalam.

Perkongsian viral mendakwa kejadian tersebut berlaku pada 22 November lepas apabila mangsa yang berusia 24 tahun menyedari telefon bimbit suspek dari tandas sebelah.

Mangsa kemudian bersemuka dengan pekerja warga asing berkenaan dan meminta untuk memeriksa telefonnya.

"Kami geledah sana sini. Tak jumpa telefon dia, tak mengaku. Sekali dah jumpa telefon dia, tau pula melutut merayu-rayu," kata mangsa.

Selain foto suspek, foto salinan laporan polis juga disertakan dalam perkongsian berkenaan.

Suspek didakwa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Sungai Petani - 50,000 pakaian bakal dilelong


SUNGAI PETANI - Lebih 50,000 pakaian baharu dan terpakai akan dilelong sempena program Econsave Sinar di Hati yang berlangsung di Econsave Bandar Puteri Jaya pada 3 Disember nanti.

Pengurus Econsave Wilayah Utara, Zamzuri Mansor berkata, pihaknya menyasarkan lebih 10,000 pengunjung dan sesi lelongan dijangka selesai dalam tempoh beberapa jam berikutan menerima sambutan memberangsangkan.

Menurutnya, hasil jualan akan disumbangkan kepada pembangunan Maahad Al Iman Li Ulumil Quran di Kampung Pantai Cicar, Kuala Ketil, yang memerlukan dana berjumlah RM950,000 untuk membina prasarana di sekolah berkenaan.

"Kita memulakan jualan amal pakaian terpakai dengan harga RM2 sehelai pada awal November lalu. Baki pakaian yang masih belum terjual termasuk hasil pemberian orang ramai akan dilelong melalui konsep bida pada 3 Disember ini.

"Lebih istimewa, kita akan lelong juga pakaian baru dengan harga terbaik," katanya.

Zamzuri berkata, pihaknya sudah mempunyai jumlah pakaian lebih daripada mencukupi, sehubungan itu orang ramai diminta mengehadkan penghantaran.

"Kita galakkan sumbangan barangan elektrik, keperluan harian dan perabot terpakai untuk dilelong. Hasil keuntungan 100 peratus akan dihantar ke maahad," katanya.

Tambah Zamzuri, program bertemakan membeli sambil menderma itu bermula jam 9 pagi hingga 5 petang, sementara lelongan pula akan bermula jam 10 pagi.

Katanya, antara yang terlibat ialah Persatuan Peniaga Kecil Melayu Daerah Kuala Muda, Hati Emas Daerah Kuala Muda, Skuad Muda 1JPJ, Jawatankuasa Perwakilan Penduduk, kelab permotoran dan Sinar Harian.

"Turut diadakan pameran Agensi Antidadah Kebangsaan, kempen derma darah, kaunter bergerak JPJ, jualan amal, pengenalan produk makanan dan minuman serta pertunjukan dan pertandingan kereta.

"Pengunjung juga boleh menikmati harga terbaik sempena Jualan Kembali Ke Sekolah Econsave," katanya.


Operasi Tol Elektronik - Hebahan kurang, pengguna keliru


ALOR SETAR - Sembilan plaza tol di Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) mula beroperasi 100 peratus elektronik menerusi kad Touch 'n Go, kad PLUSMiles dan SmartTAG, semalam.

Tinjauan Sinar Harian di Plaza Tol Alor Setar Utara pada jam 9.30 pagi mendapati laluan tunai masih dibuka seperti biasa.

Namun, kenderaan dilihat beratur panjang dan sebahagian berpatah balik apabila mengetahui mengenai pelaksanaan sistem baharu itu.

Bermula 12 tengah hari, kelihatan kakitangan Plus mula menjual kad PLUSMiles di tepi jalan dan juga di laluan tunai sebelum ini.

Sementara itu, seorang kakitangan kerajaan, Ainon Jariah Ahmad, 45 berkata, dia langsung tidak tahu mengenai pelaksanaan sistem pembayaran elektronik itu.

"Saya pun tak tahu dikuatkuasakan hari ini, nasib baik saya tumpang kawan. Bagi pemandu yang guna lebuh raya setiap hari mungkin memudahkan mereka," katanya, semalam.

Menurutnya, sepatutnya Plus mengekalkan satu lorong tunai untuk kemudahan pengguna yang tidak kerap menggunakan laluan lebuh raya.

Ronaidi Johari, 25, berkata, dia tidak mengetahui sistem berkenaan dilaksanakan semalam, dan pelaksanaan berkenaan ada baik dan buruknya.

"Sistem bayaran elektronik memang mempercepatkan urusan terutama pada waktu kemuncak, namun yang membimbangkan pengguna apabila berlaku masalah teknikal.

"Sebaiknya, kekalkan juga lorong bayaran tunai untuk kegunaan golongan warga emas yang sedia maklum kurang arif berkaitan teknologi," katanya.

Bagi Nur Fikhrie Mohd Suid, 26, berkata, dia mengetahui mengenai pelaksanaan sistem itu melalui hebahan di televisyen.

"Tetapi saya tidak pasti bila dilaksanakan, kerana selepas itu saya tidak mendapat hebahan dari saluran lain.

"Bagaimana pun, saya menyokong pelaksanaan ini kerana pemandu tidak lagi perlu beratur panjang untuk menunggu wang baki.

"Ia juga tidak menyusahkan kerana tambah nilai turut boleh dilakukan di lorong yang disediakan," katanya yang kerap menggunakan lebuh raya untuk mengelakkan kesibukan trafik.

Sistem kutipan tol elektronik dilaksanakan sepenuhnya di sembilan plaza tol Lebuhraya Utara Selatan kawasan Utara melibatkan Plaza Tol Hutan Kampung, Alor Setar Utara, Alor Setar Selatan, Pendang, Gurun, Sungai Petani Utara, Sungai Petani Selatan,  Bertam dan Sungai Dua bermula 12 tengah semalam.

Semua transaksi tol tersebut dikendalikan sepenuhnya secara elektronik sama ada menerusi kad Touch 'n Go, PLUSMiles atau SmartTAG.

Mahathir sudah lakukan kemuncak penderhakaan - Najib

Najib: Mahathir sudah melakukan kemuncak penderhakaan
Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak melaungkan kata-kata semangat semasa ucapan dasar pada majlis perasmian Perhimpunan Agung UMNO 2016 di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini. - Foto Bernama

KUALA  LUMPUR - Bekas Presiden Umno, Tun Dr Mahathir Mohamad telah melakukan kemuncak penderhakaan pada Umno, bangsa dan tanah airnya.

Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan ini kerana sikap dan perilaku Mahathir kini yang secara jelas telah memperlihatkan sikap buruk berkenaan.

"Dr. Mahathir yang dulunya seorang negarawan terbilang, tapi kini sudah berpaling tadah terhadap parti yang pernah diterajuinya selama puluhan tahun.

"Sehingga tidak keterlaluan jika dikatakan, beliau yang pernah kita sanjung sebagai seorang tokoh dulu, kini, telah tergamak dan terlibat dalam perbuatan keji dan bersubahat pula dengan pihak DAP, perhimpunan haram Bersih, Parti Amanah Negara, PKR dan lebih teruk dari itu bersekongkol dengan musuh-musuh luar negara seperti Soros yang pernah dibenci dan disuruh kita benci sebagai penyangak mata wang.

"Hakikatnya, inilah dia satu bentuk kemuncak penderhakaan," katanya ketika memberi ucapan dasar presiden pada Persidangan Umno 2016 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Dalam pada itu, mengulas mengenai kesetiaan kepada parti Najib berkata, beliau seorang yang setia terhadap Umno.

"Begitu juga harus barang diingat, yang berlaku di era pemerintahan Tun Abdullah Ahmad Badawi. Wala' dan Kesetiaan yang saya, Najib Razak berikan selaku Timbalan Presiden parti, kepada Pak Lah, bukan sahaja ke atas jasad atau tubuhnya, tetapi institusi yang dijunjung dan dipegang oleh beliau yakni sebagai Presiden parti Umno serta Perdana Menteri Malaysia," katanya.

Katanya, pastinya, wala' dan kesetiaan sepenuhnya juga wajib diterima oleh sesiapa pun kelak yang akan berada di puncak dan mengambil alih jawatan Presiden dan Perdana Menteri.

"Wala' dan kesetiaan dalam budaya serta alam Melayu serta agama kita adalah semangat se-pasukan dalam suatu saf yang kukuh lagi padu yang tidak terpisah daripada pemimpin dan ketuanya," katanya.





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...