TERKINI :

Tuesday, November 29, 2016

Konsortium Asia Petrohub bakal laksana projek lebih AS$20 bilion

C. SHEILA RANI
28 November 2016 12:30 AM

KUALA LUMPUR 27 Nov. – Konsortium Asia Petrohub bakal melaksanakan projek penambakan tanah dan pembinaan kemudahan penapisan minyak yang lebih mapan di Yan, Kedah bernilai lebih AS$20 bilion (RM89.41 bilion).


Raja Chik Jaafar Raja Mokhtar

Ketua Pegawai Ek­sekutif Konsorti­um Asia Petrohub, Raja Chik Jaafar Raja Mokhtar berkata, fasa pertama projek tersebut yang akan bermula dalam tempoh enam sehingga sembilan bulan bakal menyaksikan kerja-kerja penambakan me­rangkumi kawasan seluas 3,035.14 hektar bagi me­nempatkan kemudahan penapisan hidrokarbon baharu dikenali sebagai Kompleks Kilang Penapisan Minyak Sultan Abdul Halim.

Katanya, di samping mewujudkan pelbagai bandar baharu dalam lingkungan hab berke­naan, konsortium itu juga akan membina saluran paip merentasi sempadan dan laluan kereta api kargo yang paling cepat.

“Kilang yang dijangka bero­perasi dalam tempoh tiga tahun ini, mempunyai kapasiti untuk menapis 400,000 tan minyak mentah sehari untuk dijadikan pelbagai produk seperti petrol dan diesel.

“Kami mengimport minyak mentah dari negara Asia Barat, Afrika dan Venezuela yang dipro­ses di sini dan produk akhirnya akan dieksport ke negara-negara seperti Jepun, China, Korea dan Taiwan,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) di sini hari ini.

Konsortium itu ditubuhkan oleh IMC London, iaitu sekumpulan penaja dan bank yang berpangkalan di Bri­tain bersama dengan beberapa syarikat kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pelaksanaan (EPCC) antarabangsa dari Arab Saudi, Eropah, China, Japan, Korea dan Amerika Syarikat (AS).

Mengulas lanjut, Raja Chik Jaafar berkata, projek pembangunan holistik itu turut menjanjikan pertumbuhan ekonomi negara yang semakin berkembang bagi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) selain mewujudkan peluang luas dalam pelbagai bidang kepada rakyat Kedah dan ASEAN.

“Malaysia merupakan tempat terbaik untuk pemain industri terutama berkaitan sumber tenaga untuk berkembang atau melabur dalam perniagaan. Kita bukan sahaja mempunyai akses kepada sumber asli ASEAN malah mempunyai banyak modal insan berkemahiran di Asia.

“Rakyat Malaysia dan pelabur boleh mendapat manfaat daripada pelbagai inisiatif seperti dwi mata wang, pertumbuhan kuantum eko-hartanah, pertumbuhan pelbagai industri secara serentak, akses segera kepada tenaga kerja ASEAN dan rantai bekalan di Asia,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya bercadang untuk membina empat lagi kilang penapisan minyak di Kedah, Kelantan dan Thailand pada masa akan datang.

“Malah, kami juga bercadang untuk menapis dua juta tan metrik minyak mentah dalam sehari daripada semua lima kilang beroperasi, dengan jumlah nilai pembangunan sebanyak AS$180 bilion (RM804.69 bilion),” katanya.

SELEPAS PENJUALAN IPP KEPADA SYARIKAT ASING, HARTA NEGARA MANA LAGI AKAN DILELONG UNTUK MENUTUP LUBANG HUTANG 1MDB?

1MDB semalam mengumumkan penjualan aset penjana bebas (IPP) di bawah anak syarikatnya Edra Energy kepada konsortium China-Qatar yang akan memiliki 100% aset penjanaan. Ini adalah bertentangan dengan dasar negara selama ini bahawa aset-aset strategik seperti penjanaan dan pembekalan elektrik tidak boleh jatuh ke tangan syarikat asing dan tertakluk kepada had pegangan ekuiti asing sebanyak 49%.

Saya telah memfailkan dua usul di Parlimen untuk menghalang perkara ini dari berlaku.

Satu usul ialah untuk menghadkan bidaan Tenaga Nasional Berhad (TNB) kepada nilaian RM8 bilion bagi ekuiti Edra Energy untuk menghalang kerajaan dari menggunakan TNB untuk membayar hutang 1MDB. Saya berterima kasih kepada TNB yang bersetuju dengan pandangan saya itu bahawa nilaian bagi ekuiti aset-aset ini adalah sekitar RM8 bilion dan bidaan TNB sekitar nilaian itu akhirnya ditolak oleh kerajaan walaupun sepatutnya bidaan konsortium syarikat asing terbatal kerana melanggar had pegangan ekuiti.

Saya juga ada memfailkan satu usul tergempar untuk membincangkan keputusan menghapuskan had pegangan ekuiti kepada syarikat asing semata-mata bagi membolehkan Edra Energy dijual kepada konsortium China-Qatar tetapi ditolak oleh Speaker Dewan Rakyat.

Sepanjang perkara ini dibawa, saya kesal kerana tidak ada seorang pun wakil rakyat atau pimpinan Umno yang bangun mempertahankan hak TNB serta kepentingan strategik negara. Kegagalan mereka bersuara mengiyakan pandangan rakyat terbanyak bahawa Umno tidak lagi peduli dengan kebajikan rakyat dan kepentingan negara kerana penjualan aset Edra ini kepada syarikat asing membawa kesan besar seperti berikut:

1. Risiko kepada kelangsungan dan kestabilan pembekalan elektrik di negara ini

2. Risiko kenaikan tariff bila konsesi-konsesi penjualan tenaga dirundingkan kembali dengan syarikat asing ini dalam tahun 2016 dan 2022

3. Risiko pekerja asing dibawa masuk yang mengganggu peluang pekerjaan rakyat Malaysia

4. Risiko lebih banyak kontrak IPP masa hadapan diberikan kepada syarikat asing

5. Risiko kesan kepada TNB di masa hadapan apabila kedudukan strategiknya dilunturkan akibat kehadiran syarikat asing gergasi ini

Saya telah mengulangi berkali-kali bahawa keberhutangan 1MDB akhirnya akan mengheret institusi-institusi kerajaan dan GLC untuk menutup hutangnya yang besar itu. Sebelum ini kita tahu aset-aset penting negara seperti tanah-tanah yang mahal telah dipindahkan kepada 1MDB.

Kemudian kita terkejut bila dana dari institusi rakyat seperti Tabung Haji, Kumpulan Wang Amanah Pencen dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja juga terpalit dengan 1MDB. Terkini, kita terpaksa pasrah menerima keputusan songsang menggadaikan keselamatan dan kelangsungan perbekalan elektrik negara kepada syarikat asing demi menyelamatkan 1MDB.

Saya pasti selepas ini lebih banyak harta negara akan dijual dan dilelong kepada syarikat asing demi untuk menutup lubang hutang 1MDB.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

ECRL - PELABURAN ATAU HUTANG?

Dalam wawancara sempena Perhimpunan Agung UMNO di televisyen malam semalam, antara perkara yang disebut oleh Najib Razak ialah berkaitan pelaburan dari China.

Sambil merujuk kepada projek Landasan Keretapi Pantai Timur atau ECRL, Najib berkata, "kalau kita tak bawa masuk pelaburan, mereka kata kita gagal, bila kita bawa masuk, mereka kata kita gadai."

"Selama ini tak timbul...apa beza dengan pelaburan dari Jepun, Eropah dan China?" soalnya.

Projek ECRL ialah pembinaan landasan keretapi menghubungkan antara Tumpat di Kelantan sehingga ke Pelabuhan Kelang dengan jarak sejauh 688 kilometer dan menelan kos sebanyak RM55 bilion.

Apakah projek ECRL itu suatu pelaburan atau hutang?

Jika dilihat berdasarkan  fakta yang dibentangkan sebelum ini, projek ECRL itu diserahkan kepada syarikat China untuk melaksanakannya dengan pembiayaan penuh, juga oleh bank dari China yang diberikan kelulusan untuk membuka cawangannya di Malaysia.

Tempoh bayaran baliknya ialah selama 20 tahun.

Bagaimana Najib boleh mengatakan ECRL adalah suatu pelaburan, sedangkan kita kena membayar balik perbelanjaan yang dikeluarkan oleh syarikat China untuk tempoh selama 20 tahun?

Sejak bila terma pelaburan perlu dibuat bayaran balik?

Bukankah ia sebenarnya suatu bentuk hutang dengan China?

Apakah  tiada syarikat tempatan yang mampu melaksanakan projek ECRL itu?

Sudahlah begitu, diberikan pula lesen bank, pembelian kapal laut, keretapi laju ke Singapura dan pelbagai lagi, semuanya juga kepada syarikat dari China.

Dengan itu, salahkah jika ada yang mengatakan kita bukan saja gagal, malah juga sedang menggadai? (SH 29/11/2016).

Usul PINDAAN RUU355 Hadi bukan hudud, kata Najib


Umno akan mengadakan perbincangan dengan parti komponen Barisan Nasional (BN) mengenai Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian yang diusulkan PAS bagi memperkasa Mahkamah Syariah dalam melaksanakan hukuman jenayah, kata Datuk Seri Najib Razak.

Presiden Umno itu berkata ini bagi membolehkan parti komponen mendapat pemahaman yang jelas berhubung tujuan RUU berkenaan.


"Kita sebagai sebuah kerajaan Barisan Nasional, kita akan berundinglah... dengan komponen-komponen Barisan Nasional supaya mereka faham apa dia sebenarnya tujuan rang undang-undang pindaan tersebut," katanya pada Program Soal Jawab Khas bersempena Perhimpunan Agung Umno 2016, di Putrajaya, semalam.

Perdana menteri menegaskan bahawa RUU berkenaan bukannya hudud dan hanya melibatkan umat Islam.

"Ini menaikkan kuasa kepada Mahkamah Syariah dan ini tidak kena mengena dengan bukan Islam sama sekali," katanya.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang membawa usul Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah)(Pindaan) 2016 di Dewan Rakyat pada 24 Nov lepas.

Ia bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau dikenali Akta 355.

- Bernama

Kerajaan Kelantan roboh halangan, 9 Orang Asli pertahan hak ditangkap

29 November 2016 | ARIF ATAN


Operasi bersepadu antara kerajaan negeri Kelantan bersama polis, Jabatan Perhutanan menahan Orang Asli yang membuat sekatan terhadap pembalak di Gua Musang pagi ini.

Seramai sembilan Orang Asli di Gua Musang ditangkap pagi ini dalam operasi pihak kerajaan negeri Kelantan memusnahkan halangan (blocked) laluan lori balak.

Kesemua mereka yang ditahan oleh anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) di blocked Simpang Petei itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang.

Senarai mereka yang ditahan setakat pagi ini adalah seperti berikut:

Azmi bin BadulAyel bin AjibMajid bin AlongYusmab bin AndokAlang bin AlongArif bin PandakAngah bin TegauRadi bin UdaManglo bin tegau

Sumber juga memberitahu Malaysia Dateline, pihak Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan turut memusnahkan halangan di Simpang Petei yang dibina Orang Asli sebelum ini.

Halangan berkenaan sebagai protes komuniti tertindas itu selepas kerajaan negeri dilihat enggan mengambil kira bantahan mereka supaya aktiviti pembalakan tebang habis di hutan simpan kekal dihentikan.

Dalam perkembangan berkaitan, pihak NGO difahamkan akan mengadakan Solidariti Selamatkan Orang Asli mulai malam ini.

Perkembangan selanjutnya akan dimaklumkan Malaysia Dateline dari semasa ke semasa.





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...