TERKINI :

Monday, November 28, 2016

Membuat Racun menghalau ULAT dengan bahan2 didapur

Resipi Perosak Tanaman kaedah Natural Farming - menggunakan bahan-bahan yang ada di dapur rumah kita.

10 liter air tanpa klorin
1kg Cili Padi
1kg Bawang Putih dan
1 ketul sabun Cap Kapak.

Cara2 membuat...
1 - sediakan bekas yang boleh menampong 15 liter air.
2 - kisar bawang putih dan cili padi menggunakan air dari 10 liter.
kemudian tapis ambil pati sahaja.... masukkan kedalam bekas.
2 - potong sabun cap kapak kecil-kecil, campur air dari sumber 10 liter tadi... masak atas api sehingga sabun larut...
kemudian campurkan kedalam bekas yang mengandungi  pati bawang putih/cili padi tadi dan kacau sebati.
3 - tambah baki air yang tinggal kedalam bekas dan kacau.
4 - dibiarkan selama 24 jam... selepas 24 jam, bolehlah digunakan kepada tanaman dengan menyembur.

Cara mengguna - 400ml pati dicampur dengan 18 liter air tanpa klorin.

Masukkan kedalam penyembur dan sembur pada tanaman atau ulat yg berkeliaran... sesuai diwaktu tengah hari..

Moga bermanfaat.

#like n share jika anda nak dapatkan lebih banyak tips pertanian dari kami.

SUMBER | https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=226036021155896&id=125214467904719

Strategi 'satu lawan satu' pemimpin bahagian khuatir jejas sokongan BN


Datuk Ismail Kijo

Pemimpin Umno di peringkat bahagian melahirkan kekhuatiran sekiranya strategi parti pembangkang untuk menjadikan pertandingan 'satu lawan satu' berkemungkinan akan mengurangkan sokongan pengundi terhadap Umno dan Barisan Nasional (BN).

Ketua Umno Bahagian Ampang Datuk Ismail Kijo berkata,jika perkara ini berlaku Umno-BN akan berhadapaan dengan tentangan yang sangat kuat daripada parti pembangkang dalam menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 akan datang.

"Jika berlaku 'satu lawan satu' kita akan ditentang habis- habisan. Sekiranya berlaku tiga penjuru atau lebih ia memberi ruang kepada Umno-BN untuk kembali merampas kerusi yang pernah kita kalah dalam PRU13 lalu," ujarnya kepada Malaysia Dateline.

Walaupun beliau mengakui cabaran kuat Umno hari ini adalah tentangan terhadap kepimpinan Presiden Umno Datuk Seri Mohd Najib Razak dengan isu membabitkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan perpecahan ahlinya, namun ujarnya, ia tidak sesekali boleh menjejaskan parti.

"Najib dihentam kerana beliau seorang perdana menteri dan presiden Umno-BN. Kalaulah Najib itu `Ismail Kijo' tiada siapa yang nak hentam.

"Sedangkan disebalik isu 1MDB sebenarnya ia adalah satu institusi pelaburan yang perlu dibanggakan orang Melayu. Kita sudah ada PNB,Tabung Haji, Khazanah, Petronas misalnya, dengankewujudan 1MDB ini adalah satu lagi platform menjadikan konlomerat Melayu lebih meluas," ujarnya memberikan pandangan berkaitan 1MDB dan skandal kewangan yang dikaitkan dengan Najib.

Justeru ujarnya lagi, sekalipun Umno-Pas akan bekerjasama dalam beberapa perkara untuk kepentingan Melayu dan Islam, beliau masih mengharapkan prioriti seharusnya diberikan kepada Umno berbanding rakan sekutu dari parti pembangkang.

"Sebagai pemimpin diperingkat bahagian kita patuh kepada kehendak pucuk pimpinan parti. Namun dalam masa sama pemimpin dan ahli diperingkat bahagian dan cawangan perlu mempunyai semangat untuk mempertahankan parti dari pelbagai dakyah dan fitnah pakatan pembangkang dan parti yang menyokong mereka," ujarnya yang merujuk kepada parti serpihan seperti Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPB).

Beliau menafikan dakwaan PPBM  terdapat ramai ahli Umno kini keluar menyertai parti serpihan itu. Bahkan ujarnya lagi, ia hanya `wayang' yang dimainkan dikalangan pemimpin yang kecewa dalam perjuangan mereka yang gagal dalam Umno.

"Ahli Umno tidak berkurangan dengan wujudnya PPBM... itu wayang mereka. Masih ramai Melayu yang setia pada Umno kerana mereka tahu perjuangan Umno sejak memerintah negara ini.

"Walaupun ramai melihat perjuangan PPBM suci dan bersih kerana kini berbaik-baik dengan DAP tetapi orang Melayu majoriti elergi dengan DAP lebih-lebih lagi bekas ahli dan pemimpin Umno yang kini menyertai PPBM," sindirnya.

Datuk Ismail Kijo sebelum ini pernah menjadi Adun Lembah Jaya selama tiga penggal. Namun, beliau kalah pada PRU ke-12 di tangan calon Pas di Dun sama.

Ditanya sama ada beliau berhasrat untuk bertanding dalam PRU-14 akan datang,beliau berkata, sedia galas tanggungjawab itu sekiranya diberikan peluang oleh pucuk pimpinan parti.

Bagaimanapun katanya, pemilihan calon-calon kali ini begitu teliti dilakukan Umno-BN yang kini dikawal tiga agensi tambahan berbanding lima agensi sedia ada sebelum ini untuk memantau kelayakaan calon yang akan terpilih.

"Kita semua bercita-cita nak jadi wakil rakyat. Tetapi dalam Umno-BN ada prosedur untuk seseorang itu jadi calon.

"Dulu Umno-BN perlu dapatkan maklumat daripada SB (Special Branch), Jasa, Kemas,MIO dan Majlis Keselamatan Negara.

"Contoh yang terkini dalam PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar sudah ada tambahan tiga agensi lagi yang tak ada  sesiapa pun tahu agensi mana yang diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri untuk menilai calon.

"Jadi saya serah pada pucuk pimpinan asalkan mereka itu dari Umno.... kita akan sokong,"ujarnya.

Usaha UMNO & PAS untuk dapatkan undi melayu hancur bilamana lahirnya AMANAH & BERSATU

Usaha Umno perdaya Pas untuk dapat undi Melayu hancur, dakwa Khalid Samad


Khalid Abdul Samad

Perancangan Umno untuk mendapat sokongan penuh pengundi Melayu dengan cara memperdayakan Pas selepas Cina tidak bersama mereka lagi hancur berkecai, dakwa Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad.

 "Selepas Cina tak sokong BN lagi, Umno cuba mendapatkan undi Melayu sepenuhnya dengan memperdayakan Pas agar menyokong mereka menggunakan RUU Akta 355.

"Tetapi ia hancur berderai apabila Pas berpecah dua, dengan lahirnya Amanah dan Umno juga pecah dua dengan lahirnya Bersatu.

"Benarlah janji Allah, kamu merancang, Allah pun merancang dan Allah adalah sebaik-baik perancang," kata Khalid sambil membacakan sepotong ayat Al Quran.

Khalid berkata demikian ketika memberikan ucapan dalam majlis ceramah anjuran PKR Selayang di Bandar Tasik Puteri, Rawang malam tadi.

Khalid yang menjadi penceramah utama malam tadi berkata, dengan lahirnya Amanah dan Bersatu, beliau yakin pengundi Melayu tidak lagi bersama dengan Umno dan Barisan Nasional tetapi bersama dengan Pakatan Harapan apabila Bersatu bakal menyertainya tidak lama lagi.

"Apabila pengundi Melayu dan Cina bersatu, kita yakin akan dapat kalahkan Umno dan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum akan datang," kata Khalid yang mendapat tepukan dari hadirin dan juga pemimpin Pakatan Harapan yang berada di pentas.

Khalid tidak langsung menyerang Pas dalam ceramahnya melainkan berkata Umno telah berjaya menjinakkan Pas melalui RUU Akta 355 menyebabkan parti itu mesra Umno.

Turut berucap malam itu adalah William Leong,Ahli Parlimen Selayang dan juga L Mankadir Samsi atau lebih dikenali Pak Jabit serta Azman Mokhtar, Ketua Komunikasi PKR Selayang. Turut berucap adalah wakil DAP.

Sebelum berceramah, Khalid mengadakan dialog dengan ahli Amanah tempatan dan bersetuju untuk menubuhkan dua cawangan Amanah di situ tidak lama lagi.

‘Pas sekarang lebih kemas berbanding dulu’


Ustaz Hashim Jasin

Dilihat optimis dengan kedudukan partinya pada masa ini, Mursyidul Am Pas, Hashim Jasin mendakwa parti tersebut semakin mendapat sambutan termasuk daripada golongan profesional.

“Pas sekarang lebih kemas berbanding dulu. Banyak berlaku apa yang saya sendiri tidak sangka. Contohnya, dalam perjumpaan yang kita buat, penganjur pun hairan sebab terlalu ramai, melebihi jangkaan.

“Itu tanda-tanda bahawa kita semakin mendapat sambutan akar umbi. Golongan profesional pun semakin ramai mendekati Pas,” ujarnya dipetik daripada wawancara yang dimuatkan dalam akhbar Sinar Harian hari ini.

Mengulas tuntutan banyak pihak supaya Najib Razak meletakkan jawatan, beliau menganggap usaha itu tidak bermakna sebaliknya lebih baik ia dilakukan melalui pilihan raya.

“Saya nak tanya, katakanlah kempen mereka berjaya, selepas Najib jatuh, apa akan jadi? Bolehkah kita pastikan bahawa tidak akan ada masalah lagi jika Najib dijatuhkan?

“Pada pandangan saya, kalau sistem yang sama masih dipakai, samalah juga. Dengan itu, jatuhnya Najib tidak ada makna pun untuk kita. Lebih baik kita biar dan lawan dia dalam pilihan raya,” ujarnya yang dipilih sebagai Mursyidul Am Pas pada Oktober lalu bagi menggantikan Allahyarham Datuk Dr Haron Din.

Menurut Hashim yang juga bekas Pesuruhjaya Pas Perlis, keutamaan parti itu adalah menentang kezaliman sekalipun dilakukan oleh Presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“Kalau setakat Najib, nanti Najib jatuh, apa pula? Tetapi kalau kezaliman yang kita tentang, tidak kira siapa. Kalau Najib, Najiblah kita tentang, malah kalau Tok Guru Haji Hadi pun, katakanlah dia zalim, kita akan tentang juga.

“Dalam menentang kezaliman, tidak bolehlah kita benarkan setelah jatuhnya sesuatu kezaliman, nanti naik kezaliman yang lain pula. Itu yang kita tak mahu berlaku. Saya percaya dalam hal ini, tidak timbul masalah bercanggah dengan kehendak rakyat,” tegasnya lagi.

Hutang tinggi, pertumbuhan rendah

A KADIR JASIN
27 November 2016

A Kadir Jasin

BARU-baru ini dalam percubaan untuk terus mengabui mata rakyat jelata, sebuah akhbar milik sebuah parti politik kerajaan telah menyiarkan berita mengenai kejayaan eksport negara.

Saya perhatikan ada kalanya komen-komen ekonomi mereka sangat profesional dan bermutu tinggi walaupun berat sebelah. Ini menimbulkan syak wasangka bahawa rencana-rencana itu sebenarnya ditulis oleh penulis-penulis hantu. Mereka sekadar meminjamkan nama.

Mengguna pakai rajah eksport, mereka mengulas: “Negara hendak muflis? Tidak sampai setahun pun eksport Malaysia sudah hampir dengan hutang Malaysia.”

Menggunakan perangkaan eksport bagi melindungi jumlah hutang yang menggunung mendedahkan kedangkalan tukang cerita itu. Realitinya tidak wujud kaitan yang kukuh di antara eksport negara dengan hutang kerajaan.

Tukang cerita mengatakan eksport sebanyak RM568.4 bilion antara Januari dan September tahun ini adalah hampir serupa dengan hutang kerajaan. Jadi dalam perkiraan beliau, hutang negara tidaklah sebesar mana dan negara tidak akan muflis kerananya.

Bank Negara melaporkan, hutang Kerajaan Pusat pada 31 September lalu, berjumlah RM643.6 bilion atau bersamaan dengan kira-kira 55 peratus nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP). Daripada jumlah itu, RM411.4 bilion dari sumber dalam negara dan RM232.1 bilion dari luar.

Apa yang penulis itu tidak tahu atau sengaja memesongkan fakta ialah tidak ada kaitan yang kuat di antara jumlah eksport dengan kewangan kerajaan atau kemuflisan negara. Lagi pun beliau tidak mengatakan apa-apa mengenai kedudukan eksport negara yang sebenarnya tidak sekuat mana pada akhir-akhir ini.

Mengikut unjuran Belanjawan 2017 yang dibentangkan 21 Oktober lalu, eksport dijangka meningkat 1.1 peratus saja tahun ini dan 2.7 peratus tahun depan. Ini bukan saya yang kata tetapi Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Abdul Razak, Kementerian Kewangan dan Bank Negara yang kata.

Daripada jumlah eksport yang digambarkan sebagai hebat itu, bahagian yang dimiliki kerajaan tidaklah sebanyak mana. Selain eksport bahan-bahan petroleum yang sebahagiannya milik kerajaan, eksport yang lain bukan milik kerajaan. Hasil kerajaan hanyalah dalam bentuk cukai eksport. Kerajaan mengenakan cukai ke atas eksport dan import untuk mengutip hasil.

Hasil yang bakal diperoleh kerajaan dalam bentuk cukai daripada eksport sebanyak RM568.4 bilion itu pastinya amat kecil berbanding hutang kerajaan sebanyak RM643.6 bilion.

Untuk memudahkan kefahaman mengenai kedudukan hutang kerajaan dan kesan kepada ekonomi negara dan kebajikan rakyat jelata, izinkan saya memetik beberapa perangkaan rasmi dan membandingkannya dengan perbelanjaan kerajaan.

Belanjawan 2017. Hasil kerajaan dijangka naik 3.4 peratus kepada RM219.73 bilion. Cukai barang dan perkhidmatan saja dianggar akan menghasilkan RM40 bilion.

Tetapi perbelanjaan kerajaan tahun depan dianggarkan RM260.8 bilion atau RM41.07 bilion lebih tinggi daripada hasil. Untuk menampung kekurangan itu kerajaan terpaksa berhutang.

Sebenarnya hasil yang kerajaan pungut hanya cukup untuk perbelanjaan mengurus macam bayar gaji dan pencen kakitangan awam, menyelenggarakan harta kerajaan dan membayar balik hutang.

Tahun hadapan kerajaan akan membelanjakan RM214.8 bilion untuk pengurusan. Jadi baki yang ada untuk pembangunan hanyalah RM4.93 bilion sedangkan anggaran pembangunan adalah RM46 bilion. Daripada mana datang baki RM41.07 bilion itu kalau bukan hutang.

Kerajaan berhutang perkara biasa. Dulu pun kerajaan berhutang khususnya untuk membiayai pembangunan tetapi tidaklah sebanyak sejak tahun 2009.

Yang menjadi persoalan sekarang ialah hutang kerajaan melambung tetapi kesan positif terhadap ekonomi tidak sebanyak mana.

Jadi orang yang faham ekonomi dan kewangan bertanya apa jadi dengan duit hutang yang banyak itu? Jawapannya boleh diperoleh daripada laporan tahunan Ketua Juruaudit Negara dan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) iaitu ketirisan yang berpunca daripada rasuah, penyelewengan, salah guna kuasa dan ketidakcekapan.

Jadi adalah tidak tepat dan tidak bermakna cuba membandingkan eksport dengan kedudukan kewangan kerajaan dan sama ada negara akan muflis atau tidak. Ia adalah kerja orang yang tidak faham ekonomi atau orang yang sengaja hendak mengelirukan rakyat jelata.

Sebaliknya kalau kita benar-benar hendak menguar-uarkan kedudukan perdagangan negara, kita patut lebih bimbang mengenai imbangan perdagangan yang semakin sempit kerana eksport berkurangan tetapi import bertambah. Wallahuaklam.

PDRM menang tipis ke atas Kedah

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) menempah laluan berliku untuk mara ke perlawanan akhir Piala Emas Raja-Raja Ke-76 2016 sekalipun menewaskan Kedah 3-2 dalam separuh akhir pertama, petang semalam.

Dengan modal dua gol tempat lawan milik Kedah itu, PDRM juga ditentang sengit oleh pelawat di Padang Pusat Latihan Polis (Pulapol), Kuala Lumpur yang bangkit dua kali untuk menyamakan jaringan awal 1-1 dan merapatkan jurang ketinggalan 2-3.

Tuan rumah beroleh gol pendahuluan untuk menceriakan penyokongnya dengan jaringan sulung oleh pemain berpengalaman Liga Perdana, Khairul Izuan Abdullah pada minit kelima namun disamakan Nabil Latpi, 10 minit kemudian.

Ahmad Syazwan Kassim kembali meletakkan skuad bimbingan Eddy Gapil itu di depan dengan gol kedua pada minit ke-30 sebelum dilebarkan dengan yang ketiga menerusi Afzal Nazri, lima minit sebelum permainan berakhir.

Namun ketika babak kedua baru berusia tiga minit, Fitri Za'aim Amran melegakan sedikit skuad bimbingan Zulkifli Mahmud itu kerana menambah modal ke separuh akhir kedua di Alor Setar, minggu depan dengan gol kedua Kedah.

Hukuman kasari penguatkuasa MBSA terlampau ringan


KUALA LUMPUR - Jabatan Peguam Negara telah memfailkan rayuan terhadap hukuman mahkamah yang dijatuhkan ke atas suami isteri yang mengasari anggota penguatkuasa wanita Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali berkata ini kerana ia berpandangan hukuman ke atas Lor Ka Hoo dan Tan Sit Fun iaitu penjara 14 hari dan denda RM3,000, dan jika gagal membayar denda dipenjara tujuh hari, adalah terlampau ringan berbanding kesalahan yang dilakukan.

Rayuan terhadap hukuman itu difailkan pada hari sama hukuman dijatuhkan iaitu Jumaat lalu, katanya dalam kenyataan hari ini.

"Walaupun kedua-dua tertuduh telah mengaku bersalah, namun hukuman yang setimpal hendaklah dikenakan demi memberi pengajaran kepada mereka di samping menjadi teladan kepada yang lain agar tidak melakukan perbuatan sama," katanya.

[ARTIKEL BERKAITAN: MBSA nafi terima arahan tarik balik laporan polis]

Mohamed Apandi menegaskan Jabatan Peguam Negara amat memandang serius perbuatan menggunakan kekerasan jenayah bagi menakutkan penjawat awam daripada menjalankan kewajipan yang sah di sisi undang-undang.

Perbuatan sedemikian, katanya, merupakan kesalahan jenayah yang diperuntukkan di bawah Seksyen 353 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.

Lor, 35, dan Tan, 30, mengaku salah menggunakan kekerasan jenayah terhadap Nurul Ain Isa, 23, ketika pegawai itu mengeluarkan saman ke atas sebuah kenderaan di Bukit Rahman Putra, Sungai Buloh, Khamis lalu.

Bagaimanapun, tindakan itu mengundang kemarahan tertuduh dan pergaduhan antara kedua-dua pihak menjadi viral selepas video berdurasi dua minit 10 saat tersebar di laman sosial. - Bernama

Pulau Pinang lulus usul kutuk kezaliman Rohingya


GEORGETOWN - Persidangan Dun Pulau Pinang malam tadi sebulat suara meluluskan usul tergempar mengutuk kezaliman rejim tentera Myanmar terhadap golongan minorit Islam Rohingya di negara itu.

Usul yang dibawa oleh Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Rashid Hasnon itu telah mendapat sokongan Timbalan Ketua Menteri II, P. Ramasamy.

Dalam usul tersebut, Rashid berkata, masyarakat Rohingya dibunuh tanpa belas kasihan dan lebih 3,500 buah rumah penduduk itu dibakar di beberapa lokasi di wilayah negara itu.

Beliau turut menggesa kerajaan pusat supaya bertindak segera bagi menghentikan tragedi yang meragut banyak nyawa yang tidak berdosa.

"Wanita dan kanak-kanak dibunuh dan dirogol. Tindakan tidak berperikemanusiaan dan zalim ini, kami mengutuk atas nama kemanusiaan," katanya. - Bernama

EXCO - Isu air Kedah dijamin pulih pada 2020


ALOR SETAR – Kerajaan Kedah memberi jaminan masalah bekalan air yang melanda beberapa kawasan termasuk di Kuala Kedah, Pokok Sena dan Merbok akan selesai menjelang 2020.

Exco Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga, Datuk Badrol Hisham Hashim berkata, rancangan jangka panjang itu akan dilaksanakan menerusi peruntukan sebanyak RM188 juta yang diluluskan kerajaan persekutuan.

"Saya faham apabila rakyat merungut masalah air. Saya nak bagi tahu, ia bukan perkara baru sebab di zaman kerajaan dulu (PR) pun apa mereka tak buat. Sekarang baru nampak loji Pokok Sena, Kulim dan sebagainya dibuat semasa zaman BN.

"Saya tahu yang buat isu ini pun pembangkang, tetapi saya yakin rakyat pandai menilai. Untuk jangka pendek ini kita akan selesaikan dan jangka panjang Insya-ALLAH saya bagi jaminan 2020 selesai," katanya kepada media, semalam.

Menurutnya, peruntukan yang diluluskan sebanyak RM188 juta itu akan digunakan untuk menaiktaraf beberapa loji sedia ada bagi menambah kapasiti loji di Pelubang, Jenun Baru, Yan dan beberapa loji lain sekitar negeri ini.

"Kerajaan negeri akan melaksanakan tugas ini secara jangka pendek dan jangka panjang. Saya tak setuju pembangkang kata ini krisis air, ia bukan krisis air. Masalah sekarang kita nak salurkan air bersih sebab loji kita ini kapasitinya sudah penuh.

"Kalau krisis air bermakna kita perlu buat catuan. Mereka kena faham antara krisis dan masalah gangguan, ia berbeza. Janganlah mereka nak ambil isu ini bagi masyarakat panik. Saya faham ada rakyat marah, tetapi saya dah arah pihak Sada (Syarikat Air Darul Aman) supaya menggandakan penghantaran air ke taman-taman perumahan sekiranya terputus bekalan," katanya.

Badrol Hisham berkata, mesyuarat exco pada Rabu juga telah mengenalpasti punca masalah bekalan air di beberapa kawasan yang terjejas iaitu disebabkan kerja-kerja penyelenggaraan elektrik di loji air Bukit Pinang.

"Kita terpaksa tutup beberapa jam dan air di loji itu akan susut. Nak penuh balik ia akan ambil masa dan sekarang sudah semakin pulih. Tetapi kita nak minta juga pihak Sada kenalpasti taman-taman perumahan yang ada tangki air supaya digunakan semula sebab ia boleh menyelamatkan keadaan pada waktu tertentu.

"Saya akan lihat balik perkara ini dan beberapa keputusan dah dibuat terutamanya kita akan melantik Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sada yang baharu dan buat penyusunan semula kakitangan Sada," katanya.

Jelasnya, perkara itu bukan menggambarkan segala pelaksanaan Sada tidak bagus, tetapi penambahbaikan yang lebih serius untuk menangani isu-isu rakyat.

Mengulas peranan jawatankuasa bertindak yang ditubuhkan pada 12 Julai lalu untuk tangani masalah bekalan air di negeri ini, beliau mengesahkan ia berjaya mendapat kelulusan peruntukan RM188 juta oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Hasil daripada mesyuarat jawatankuasa itu, kita perlu ada beberapa lagi telaga tiub. Perkara ini akan dibincangkan lebih lanjut dalam mesyuarat Lembaga Pengarah Sada nanti.

"Kita akan minta pihak Sada tentukan juga kawasan-kawasan yang kritikal untuk dibina telaga tiub. Sudah dua kali jawatankuasa ini bermesyuarat dan kita akan bersidang lagi untuk menyelesaikan masalah rakyat," katanya.

Tegasnya, penubuhan jawatankuasa bertindak itu juga bukanlah hanya sekadar gimik untuk meredakan kemarahan rakyat yang mengalami masalah bekalan air.

"Kadang-kadang rakyat pun kena faham, kerajaan tidak melihat perkara ini sebagai benda yang mudah. Kita memandang serius," katanya.





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...