TERKINI :

Sunday, November 27, 2016

Saya mahu dikenali pendakwah bukan penghukum, kata Iskandar Samad

Selepas didakwa menikam presidennya dari belakang, Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Iskandar Samad berkata beliau mahu dikenali sebagai pendakwah bukan penghukum.

"Saya mahu dikenali sebagai seorang pendakwah yang berusaha untuk mengajak orang kepada kebaikan bukan seorang hakim yang menjatuhkan hukum.

"Jauh sekali seorang algojo yang melaksanakan hukuman," kata Iskandar dalam status di facebooknya dengan mendapat sokongan 'like' dari pelbagai pihak termasuk dari pemimpin Amanah.

Sebelum ini, sebuah laman yang kini menjadi pro Najib, Malaysia Today, menyiarkan berita kononnya Iskandar bertembung dengan pemimpin Pas.

Laman itu melaporkan sebuah blog, My Massa yang mendakwa Iskandar tidak akur dengan arahan Datuk Seri Abdul Hadi Awang, membelakangi dan ‘menikam dari belakang’ presiden parti Islam itu.

Menurut laporan itu, krisis dalaman itu semakin memuncak sehingga berlaku pertikaman lidah di antara Iskandar dan sesetengah Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas pusat dalam mesyuarat parti itu pada 14 Nov di ibu pejabat Pas, Kuala Lumpur.

Namun dakwaan ini dinafikan oleh ketua penerangan Pas Selangor, Mohd Prasad bin Hanif.

Beliau menafikan laporan yang mendakwa berlaku pertembungan antara pesuruhjaya mereka, Iskandar dengan pucuk pimpinan Pas Pusat lain.

Mereka memandang serius fitnah itu dan bersatu dibawah kepimpinan Iskandar Abdul Samad.

"Hala tuju Pas Selangor jelas dan seiring dengan Pas Pusat. Selain itu, seluruh ahli Pas yakin dengan integriti barisan pimpinan Pas Selangor," katanya.

Namun sehingga kini Iskandar sendiri tidak membuat sebarang ulasan ke atas kenyataan itu sehinggalah status mahu menjadi pendakwah bukan penghukum ini.

Sebelum Iskandar, Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man juga menerima tuduhan yang hampir sama sehingga mahu keluar dari Pas.

Tuan Ibrahim ketika menjawab tuduhan ini berkata, beliau tidak mahu melayan berita sebegitu.

Pas berpecah dua selepas Mei tahun 2015 lalu ekoran tindakan sesetengah pihak dalam Pas yang suka menghukum pimpinan lain dalam Pas.

Antaranya tuduhan dan hukuman itu adalah munafik haraki, liberal dan sebagainya.

Pimpinan yang dituduh ini kemudiannya terpinggir dari saf kepimpinan Pas dan keluar dari parti itu kemudiannya lalu membentuk Parti Amanah Negara (Amanah).

6 YB sertai Bersih 5: Pas dijangka tidak akan ambil sebarang tindakan


Pas dijangka tidak akan mengambil sebarang tindakan ke atas enam wakil rakyatnya yang menyertai Bersih 5 walau ia jelas bertentangan dengan arahan pucuk pimpinan parti itu.

Enam Ahli Parlimen dan Adun Pas terbabit adalah Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar; Ahli Parlimen Pasir Puteh, Dr Nik Mazian Nik Mohamad; Ahli Parlimen Kubang Kerian, Ahmad Baihaqi Atiqullah; Adun Batu Buruk, Dr Syed Azman Syed Nawawi; Adun Kubang Rotan, Mohd Nasir Mustafa dan Adun Anak Bukit, Datuk Ir Amiruddin Hamzah.

Ketua Amanah Kawasan Sik, Sulaiman Ibrahim percaya Pas tidak akan berani mengambil apa-apa tindakan terhadap ke enam-enam mereka.

“Beranikah Pas memecat mereka?” soalnya yang juga dikenali sebagai Leman Raja Lawan.

Pengguna laman sosial Facebook Zain Abdullah turut menganggap Pas tidak akan mengambil sebarang tindakan kerana parti itu bimbang kehilangan lebih banyak kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (Dun).

Ketika gambar mereka selamba memakai kemeja-T Bersih 5 dan berarak dengan peserta himpunan Bersih viral di media sosial, pihak jawatankuasa tatatertib Pas setakat 23 November lalu mendakwa masih belum menerima sebarang laporan berhubung penglibatan mereka terbabit.

Pengerusinya, Datuk Dr Daeng Sanusi Daeng Mariok berkata, pihaknya tidak ada menerima sebarang maklumat dari parti dan menunggu laporan sebelum membuat sebarang keputusan atau tindakan.

Walhal, dua hari sebelum itu, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, tindakan akan diambil untuk merujuk ahli partinya yang menyertai Bersih 5 kepada jawatankuasa disiplin jika menerima aduan dan terbukti.

Walau bagaimanapun, tiga hari selepas Bersih 5, Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan ketika ditemui di lobi Parlimen masih memberitahu keputusan berhubung hal tersebut masih belum lagi dibuat.

Sikap rasmi Pas yang enggan menyertai himpunan Bersih berlaku sejak Bersih 4.0 pada 29 dan 30 Ogos tahun lalu.

Sekali lagi, pada tahun ini, Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu menegaskan Pas tidak menyertai Bersih 5.0 yang dianggap mempunyai matlamat tidak selari dengan parti di luar Pakatan Harapan itu.

TANDA2 UMNO SEMAKIN PARAH DAN MENUJU KEAKHIR HAYAT

UMNO bukan tidak biasa menghadapi serangan dan hentaman musuh-musuhnya. Tetapi, pernahkah dahulu berlaku seperti apa yang seolah-olah menjadi kelaziman sekarang?

Siapa yang mengepalai serangan terhadap kartunis Zunar yang sedang mengadakan pameran kartunnya di Pulau Pinang?

Ketua Pemuda UMNO Pulau Pinang, Rafizal Abdul Rahim...

Siapa yang cuba dipertahankan dan dipercayai berada di belakang sekumpulan penyerang yang bagaikan "naik angin"  mahu menyerang Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad?

Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak merangkap Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani...

Siapa yang mengetuai Kumpulan Baju Merah yang bukan saja cuba melakukan gangguan kepada pihak lain yang mahu berhimpun secara aman, bahkan juga dilaporkan berkelakuan tidak senonoh di sebalik gerakan mereka langsung tidak mendapat sambutan?

Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Jamal Mohd Yunus...

Masihkah mahu dikata UMNO tidak terlibat dalam semua kejadian itu?

Kenapa perlakuan ahli dan pemimpin UMNO semakin pelik dan di luar kebiasaan sejak kebelakangan ini?

Adakah ini tanda-tanda mereka sedar bahawa mereka akan kalah pilihanraya? (SH 26/11/2016).





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...