TERKINI :

Friday, November 25, 2016

Polis tahan 11 penyokong Tajuddin merusuh di Parlimen

 
Sebelas individu, termasuk anak ahli parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yang dicari polis susulan kejadian merusuh di lobi bangunan Parlimen, semalam sudah ditangkap manakala seorang lagi wanita menyerah diri, hari ini.

Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh mereka yang ditahan terdiri daripada lapan lelaki dan tiga wanita berumur antara 28 dan 54 tahun dan semua tangkapan dibuat pada pukul 10.15 pagi tadi.

Menurutnya, semua tangkapan disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

"Kita minta orang ramai yang mempunyai bukti atau maklumat lain berkaitan kejadian itu untuk tampil menyalurkan maklumat.

"Mereka boleh berhubung dengan pegawai kita di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di talian 03-40482222," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada sidang akhbar yang diadakan sebelum ini di Bukit Aman, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata polis akan membuat keputusan jika mereka mahu bertindak ke atas ahli parlimen yang membawa kumpulan itu ke dalam kawasan Parlimen.


Ini, katanya bergantung kepada niat anggota parlimen itu.

Semalam, sekumpulan individu cuba menyerang Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad di kawasan Parlimen.

Khalid dan Tajuddin terbabit dalam pertikaman lidah di Dewan Rakyat, Isnin lalu apabila ahli parlimen Pasir Salak itu secara sinis menggelar ahli parlimen Seputeh, Teresa Kok sebagai satu-satunya perempuan yang ada “Kok”.

Pertengkaran kemudiannya tercetus dan Khalid turut bangkit dan menggelar Tajuddin dengan panggilan "sial" kerana tidak mahu menarik balik kata-katanya itu.

Tajuddin juga mengancam untuk menyaman ahli parlimen Shah Alam itu.

RUU 355: Akhirnya “Cek Kosong” Akan Terisi

23 NOVEMBER · PUBLIC

Semalam (22 November 2016), Datuk Seri Dr Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri bersama-sama dengan Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri iaitu menteri yang bertanggungjawab berkaitan hal ehwal Islam telah memanggil kesemua Ahli Parlimen Islam untuk menghadiri satu taklimat khas berkaitan pindaan terhadap Akta 355.

Sebelum itu, YB Ahli Parlimen Marang telah mengusulkan pindaan kepada Akta 355 yang lebih popular dengan istilah RUU 355 pada 26 Mei 2016. Usul YB Ahli Parlimen Marang itu telah menimbulkan polemik dan kontroversi yang besar kepada umat Islam di negara ini.

Sebaik sahaja usul tersebut dibaca, YB Ahli Parlimen Marang menyatakan akan menghuraikan usul tersebut pada sesi Parlimen yang akan datang yang bermula pada 17 Oktober 2016 sehingga 24 November 2016. Berduyun-duyun penyokong YB Ahli Parlimen Marang turun ke Parlimen pada tarikh tersebut untuk memberikan sokongan dan akhirnya kesemuanya balik dalam kehampaan kerana usul tersebut tidak dapat dibaca pada tarikh itu.

Penyokong YB Ahli Parlimen Marang menyatakan bahawa usul itu sengaja ditangguhkan pada 26 Mei 2016 tanpa huraian dan perbahasan bagi memberikan peluang kepada ahli-ahli Parlimen yang lain bersedia untuk perbahasan.

Tindakan penangguhan itu akhirnya tidak mencapai matlamat yang dihasratkan oleh penyokong YB Ahli Parlimen Marang, sebaliknya menjadi polemik yang besar sehingga ada pemimpin parti YB Ahli Parlimen Marang yang telah mengatakan kegagalan menyokong usul itu boleh membawa kepada isu akidah.

Tindakan itu juga telah menarik minat pelbagai ilmuan dan cendikiawan agama Islam untuk turut menulis dan berbahas berkaitan dengan RUU 355. Sahibus Samahah Datuk Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Al-Bakri misalnya telah mengeluarkan pendapat sepanjang 52 mukasurat mengenai hal itu.

Saya sendiri telah mengulas panjang mengenai usul itu dalam beberapa siri tulisan dan akhirnya tulisan itu telah dibukukan di dalam buku “Hududisme: Antara Realiti Dan Retorik” terbitan bersama ABIM dan Ilham Books.

Ahli Parlimen Marang dalam usul persendirian berkaitan RUU 355 ini, antara lain telah mengusulkan seperti berikut:

“2A. Dalam menjalankan undang-undang jenayah di bawah Seksyen 2 Mahkamah Syariah berhak menjatuhkan hukuman yang dibenarkan oleh undang-undang syariah berkaitan hal-hal kesalahan yang disenaraikan di bawah seksyen yang disebutkan diatas, selain dari hukuman mati.”

Semenjak dari awal saya menyatakan bahawa YB Ahli Parlimen Marang perlu meletakkan had hukuman supaya ianya tidak menimbulkan kekeliruan. Saranan itu bukan sahaja tidak diterima malah diejek dan dicemuh oleh penyokong beliau. Antara isu yang saya bangkitkan adalah bahawa usul YB Ahli Parlimen Marang itu adalah ibaratnya seperti memberikan “cek kosong” yang angkanya boleh ditulis sesuka hati. Ini akan membuka ruang kepada ketidakseragaman hukuman undang-undang jenayah Syariah di negeri-negeri. Ianya juga akan membuka ruang kepada pelbagai pentafsiran yang akan membawa masalah dalam perlaksanaannya di Mahkamah Syariah kelak. Begitu juga dengan perkataan “... hukuman yang dibenarkan oleh undang-undang syariah” juga akan membawa kepada pelbagai maksud yang luas dan infiniti.

Hari ini kebenaran muncul jua. Nampaknya apa yang ditulis sebelum ini benar dan akhirnya YB Ahli Parlimen Marang akur adalah tidak munasabah untuk memberikan “Cek Kosong” kepada Dewan Undangan Negeri dan Parlimen. Setelah mendapat “wahyu” daripada taklimat yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, dikhabarkan bahawa YB Ahli Parlimen Marang akan mengemukakan notis pindaan bagi menghadkan hukuman yang akan dinaikkan dalam RUU 355 kepada sebatan tidak lebih daripada 100 rotan, denda tidak lebih daripada RM100 ribu dan penjara tidak lebih daripada 30 tahun. Jika benar khabar ini, “Cek Kosong” yang dijaja beberapa bulan yang lalu akhirnya terisi. Ini juga menunjukkan bahawa YB Ahli Parlimen Marang mengakui bahawa sesuatu “Cek” tidak harus dibiarkan kosong. Saya berharap penyokong YB Ahli Parlimen Marang yang sebelum ini bermati-matian mempertahankan RUU 355 versi asal dapat memahami bahana dan malapetaka “Cek Kosong”.

Polemik yang dibuat oleh YB Ahli Parlimen Marang itu harus dijadikan teladan. Bukan sedikit wang yang habis dibelanjakan untuk berkempen bagi RUU 355 tajaan YB Ahli Parlimen Marang ini. Ada wang yang dibelanjakan itu adalah wang kerajaan. Misalnya, Jabatan Kehakiman Syariah di beberapa negeri telah membelanjakan wang untuk menganjurkan penjelasan mengenai RUU 355 ini. Ini tidak termasuk lagi wang parti yang dibelanjakan sedangkan wang tersebut lebih mustahak untuk dibelanjakan bagi tujuan yang lebih murni dan produktif.

Sebenarnya RUU 355 ini tidak wajar dipolemikkan langsung. Ianya adalah pindaan biasa bagi meningkatkan hukuman. Banyak undang-undang yang telah dipinda berkali-kali bagi menaikkan jumlah hukuman dan ianya langsung tidak menimbulkan kekecohan.

Meskipun begitu, saya masih berharap supaya suatu jawatankuasa khas dapat dibentuk sama ada di peringkat parlimen atau teknikal untuk mengkaji bentuk hukuman yang akan ditetapkan dalam RUU 355. Kini, hukuman 3 serangkai [sebat, penjara dan denda] sudah makin lapuk. Banyak negara sudah berubah kepada hukuman yang berbentuk mendidik seperti khidmat masyarakat. Begitu juga, hukuman penjara maksima 30 tahun itu apakah wajar bagi kesalahan berbentuk pentadbiran seperti bernikah atau berpoligami tanpa izin. Begitu juga hukuman mengajar agama Islam tanpa tauliah. Malah, hukuman bagi menyebarkan ajaran sesat pun perlu dikaji dengan lebih teliti kerana sekiranya orang itu sudah menjalani modul tertentu di penjara dan sudah insaf maka tiada sebab untuk orang itu dipenjarakannya sehingga 30 tahun.

Kesimpulannya, kita seharusnya tidak begitu taasub dengan satu-satu pandangan semata-mata kerana ianya dikemukakan oleh pemimpin kita. Kita harus rasional dalam mempertimbangkan idea pemimpin atas neraca baik dan buruk, bukan atas neraca taasub. Kita bertanggungjawab atas perbuatan kita sendiri. Pemimpin tidak akan menanggung dosa yang kita buat bahkan pemimpin akan berlepas diri daripada kesilapan kita itu. Kita dibekalkan dengan akal untuk berfikir dan agama sebagai panduan. Maka, gunakanlah kedua-duanya dengan sebaik mungkin. Kepada Allah SWT jua kita berharap dan semoga kita tidak terus dipolemikkan dengan perkara-perkara yang tidak produktif dan tidak mendatangkan faedah kepada umat.

Tulisan asal: http://peguam.blogspot.my/2016/11/r...

Dr Zulqarnain Lukman

23 November 2016 / 23 Safar 1438H

Antara 2 pilihan.. SERBAN atau HATI??

SERBAN atau HATI

PPBM, AMANAH, KEADILAN, dan DAP telah sepakat mengadakan persepakatan untuk melalui pilihanraya ke 14 ini nanti, dengan satu tujuan dan matlamat untuk merampas Putrajaya.

PAS (pucuk pimpinan tertinggi sebilangannya dan bukan ahli bawahan sebahagian besarnya) masih dengan polemik tidak akan menyertai blok PAKATAN HARAPAN kerana di dalam pakatan itu ada DAP.

PAS tidak akan bekerjasama dengan DAP kerana kononnya DAP menolak ISLAM.....itu adalah alasan utama PAS.

PAS akan bekerjasama dengan Barisan Nasional pada pilihanraya kali ini kerana ..... (ada yang kata sebab RM90 juta, ada yang kata selain RM90 juta itu akan dapat lagi selepas PRU nanti, apa pun itu adalah _hearsay_ di luar sana).

PAS agaknya "terlupa" bahawa di dalam Barisan Nasional ada sekutu yang bernama MCA, iaitu satu komponem Barisan Nasional yang dengan *JELAS dan TERANG* menolak *RUU355* tersebut.

Adakah *MCA* lebih mulia dari *DAP* di mata *PAS*, atau adakah *PAS* telah termakan budi sebanyak 90 juta kali dan ada jutaan lagi yang akan dapat selepas PRU nanti?.

*TETAPI* untuk menyalahkan organisasi parti yang berselindung di sebalik perkataan Islamik itu juga tidak adil, kerana yang membuat keputusan adalah YB Hadi Awang dan sebahagian yang telah merasa nikmat 90 juta itu.

YB Hadi Awang (maaf saya tidak akan sesekali memangil dia sebagai ULAMAK atau USTAZ atau Tuan Guru kerana sifat2 itu tidak ada pada YB Hadi Awang, seorang Ulamak atau USTAZ atau Tuan Guru tidak boleh *MENIPU dan BERBOHONG*), dari Amanat Haji Hadi, Bersih 3 dan terbaru persepakatan dengan BN telah berterusan mempermainkan ahli-ahli PAS yang sayangkan PAS atas alasan survival politik beliau dan bukan atas survival Islam.

YB Hadi Awang di masa Bersih 3 turun bersama rakyat di jalanan ( masa ni kemanisan 90 juta tu belum dapat ) untuk menuntut agar kerajaan sedia ada ini turun, tetapi di Bersih 4, 5 ( setelah mendapat 90 juta ) tidak turun dengan alasan haram menjatuhkan kerajaan yang ada.

Bukankah itu adalah satu pembohongan yang telah di lakukan oleh YB Hadi Awang kepada ahli-ahlinya demi survival politik beliau.

Jika Tuan Guru Nik Aziz masih hidup pasti allahyarham itu tidak bersetuju dengan tindakan YB Hadi Awang, kerana prinsip Tuan Guru Nik Aziz adalah *TIDAK AKAN SESEKALI* bekerjasama dengan Barisan Nasional sehingga bila-bila...apatah lagi bahawa MCA lebih teruk dari DAP.

Kepada ahli-ahli PAS yang sayangkan PAS dan masih menghormati Allahyarham Tuan Guru Nik Aziz, tinggalkanlah YB Hadi Awang yang telah melanggar wasiat Allahyarham Tuan Guru Nik Aziz (agar tidak sama sekali bekerjasama dengan Barisan Nasional).

Marilah bersama-sama dengan PAKATAN HARAPAN untuk masa hadapan anak cucu cicit kita yang akan mewarisi negara ini, tinggalkan lah YB Hadi Awang dan sekutunya demi keharmonian dan kestabilan negara ini.

SAJA NAK BAGITAU YB Hadi Awang merasa nikmat 90 juta itu, anda ahli bagaimana?.

*SHUKUR MOHAMAD*
(ahli *PPBM* seumur hidup)

“Akhirnya Pas akan terus dilihat berkawan dengan Umno”

PKR hari ini dalam respon segera Setiausaha Agung dan Naib Presidennya, Rafizi Ramli menyifatkan permintaan Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk menunda lagi pembentangan pindaan Akta 355 hanya akan memperlihatkan 'Pas terus berkawan dengan Umno'.

“Tetapi apabila berulang kembali perkara ini (penangguhan pembentangan pindaan Akta 355) pada hari ini, jelaslah permainan Umno dalam perkara ini dan saya khuatir Pas akan terus dimain-mainkan.

“Akhirnya Pas akan terus dilihat berkawan dengan Umno dan memanjangkan tempoh berkuasanya Najib Razak,” ujarnya dalam catatan ‘lintas langsung’ beliau dari Parlimen yang kemudiannya mendapat lebih 200 perkongsian selepas tiga jam dimuat naik di Facebook.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pandan berkata, dirinya tiada masalah untuk menyokong pindaan Akta 355 seperti yang pernah disebutkan dalam tulisannya lebih sebulan lalu.

“Saya bersedia mengundi dan menyokong usul asal. Saya nyatakan secara terbuka jika usul dibentangkan dan diundi, saya tidak ada masalah menyokong kerana memang kita mahu dengar pandangan Umno dalam perkara ini,” jelasnya.

Dalam catatan itu juga, Rafizi menjelaskan cadangan pindaan Abdul Hadi kepada usul asal bererti hukuman ditetapkan mengikut kaedah undang-undang biasa kecuali melibatkan sebatan iaitu jika lulus had dinaikkan kepada maksimum 100 sebatan.

“Jika diundi dan diluluskan, ia dikira sebagai bacaan pertama dan dipulangkan kepada kerajaan untuk dipertimbangkan.

“Perkara ini mati di situ sahaja sekiranya menteri tidak kembali ke Dewan Rakyat untuk membentangkan rang undang-undang ini bagi bacaan kali kedua,” ujarnya lagi menerangkan proses selanjutnya jika Abdul Hadi tidak menangguhkan pembentangannya hari ini.

Pendang - 200 masyarakat Siam sertai Bersatu


PENDANG - Seramai 200 masyarakat Siam di Padang Terap dan Sik menyerahkan borang keahlian bagi menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam Majlis Perjumpaan Pendaftar-Pendaftar Bersatu yang diadakan di Pejabat Bersatu, di sini, baru-baru ini.

Wakilnya, Anat mengetuai penyerahan borang keahlian kepada Timbalan Ketua Pendaftar Keahlian Bersatu Kedah, Abdul Razak Khamis.

Menurut Anat, ramai yang menyertai Bersatu itu terdiri daripada bekas ahli Umno dan juga yang belum lagi menjadi ahli mana-mana parti politik walaupun sudah beberapa kali mengundi pada pilihan raya lalu.

Katanya, ramai penduduk di kawasan berkenaan kecewa dengan perjuangan kepimpinan hari ini hingga menyebabkan penduduk mengalami tekanan hidup kerana ekonomi yang tidak stabil sejak akhir-akhir ini.

"Masyarakat Siam mahu ekonomi Malaysia maju seperti dahulu yang pernah dipimpin oleh Tun Mahathir hingga dipandang tinggi oleh negara luar. Bagaimanapun hari ini kerajaan gagal membawa Malaysia seperti yang diharapkan dalam wawasan 2020 ke arah negara maju.

"Oleh itu sudah sampai masanya seluruh rakyat di Malaysia ini memilih pemimpin yang bijak dalam mengembalikan semula maruah Malaysia seperti dahulu. Apa yang menyedihkan lagi rakyat dibebankan dengan hutang yang akan ditanggung oleh generasi akan datang," katanya.

Sementara itu, Abdul Razak berkata, sambutan masyarakat terhadap Bersatu sungguh menggalakkan dan bukan sahaja disahut oleh mereka yang berbangsa Melayu sahaja tetapi dari pelbagai bangsa.

"Penyerahan dari masyarakat Siam ini sudah membuktikan Bersatu sangat relevan kepada semua kaum di negara ini. Mereka sanggup datang dari jauh semata-mata untuk menyerahkan borang serta menunjukkan sokongan padu pada parti yang baru dilahirkan ini.

"Saya percaya sambutan masyarakat Siam di Pendang baru-baru ini telah menjadi momentum gerakkan bagi kaum yang sama untuk menyertai parti ini. Oleh itu, saya sangat mengalu-alukan supaya masyarakat Siam di seluruh Kedah supaya memberi sokongan kepada Bersatu supaya Kedah dapat ditawan oleh Bersatu pada pilihan raya nanti," katanya.

Katanya, melalui perjumpaan itu Bersatu kini mempergiatkan lagi gerak kerja bagi persediaan pilihan raya yang akan menjelang nanti serta menyasarkan golongan atas pagar supaya memilih Bersatu sebagai pilihan mereka nanti.

Kompom - Azmeer tinggalkanJuara Piala Malaysia Kedah demi keluarga


DESAS-desus mengenai perpindahan pertahanan Kedah, Azmeer Yusoff ke pasukan Liga Perdana Kuala Lumpur adalah benar apabila empunya diri mengesahkannya dan faktor utama dia berbuat demikian adalah kerana tidak sanggup lagi berjauhan dengan keluarga.

Jelasnya, berbulan berjauhan dengan keluarga bukan mudah untuknya atasi dan Ini faktor sebenar mengapa dia menolak tawaran dari Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) untuk terus bersama juara Piala Malaysia 2016 itu pada musim hadapan.

"Saya minta maaf kepada semua kerana tidak dapat menabur bakti lagi untuk Kedah. Keputusan saya ini betul-betul terpaksa. Bukan kerana wang ringgit dan juga bukan kerana nama. Jika kerana wang ringgit dan juga nama, saya akan pilih pasukan yang lebih besar.

Saya memilih Kuala Lumpur kerana saya tidak sanggup untuk bertemu dengan pasukan Kedah. Biarlah setahun saya tidak akan bertemu dengan pasukan kesayangan saya iaitu Kedah. Saya juga mendoakan agar tidak bertemu langsung dalam kejohanan Piala FA dan juga Piala Malaysia," katanya.

Azmeer turut mengucapkan jutaan terima kasih kepada Ketua Jurulatih, Tan Cheng Hoe kerana telah memberikan peluang untuk membarisi kesebelasan utama hampir semua perlawanan sepanjang musim ini.

Menurutnya, Cheng Hoe telah mengangkat dirinya dengan mengubah mentaliti dari seorang pemain ' kampung ' yang sebelum ini hanya tahu bermain ' long ball' sahaja.

"Jika semua jurulatih berperanan seperti Coach Tan, saya percaya dan tidak mustahil kancah bolasepak Malaysia akan lebih menarik untuk ditonton pada masa akan datang," katanya.

Dalam pada itu, Azmeer turut berharap kepada rakan-rakannya dalam pasukan Hijau Kuning terus istiqamah dalam menutup aurat.

"Kepada pemain-pemain yang sudah mula menutup aurat di dalam pasukan Kedah ketika bermain, saya doakan untuk diri saya dan anda terus istiqamah.

Jagalah solat, tutuplah aurat.

Percayalah, kita jaga perintah ALLAH, ALLAH akan jaga kita baik dalam padang mahupun di luar padang," katanya.

‘PAS tangguh bukan sebab BANTAHAN BUKAN ISLAM’

KUALA LUMPUR – Penangguhan huraian pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) atau RUU 355 ke sesi sidang Dewan Rakyat akan datang tiada kaitan dengan bantahan orang bukan Islam.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, sebaliknya ia bagi memberikan peluang terutama kepada ahli parlimen untuk lebih memahami pindaan itu.

"Kalau kita lihat dalam dewan, tiada ahli parlimen bukan Islam yang menentang. Saya terkejut walaupun digembar-gemburkan kepimpinan parti politik bukan Islam menentang pindaan RUU ini, tetapi hari ini (semalam) Presiden MCA, Presiden Gerakan ada.

"Saya tabik sebab mereka gunakan saluran demokrasi untuk benarkan bentang dulu. Kalau nak bantah, buat masa perbahasan," katanya kepada media di lobi Parlimen, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai permohonan Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang agar huraian pindaan RUU 355 dibuat sesi akan datang.

Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu berkata, Abdul Hadi akan memberi huraian lengkap dalam sidang Mac ini mengenai justifikasi dan asas pindaan tersebut.

"Kalau buat (bahas) hari ini, nanti kita dikatakan tidak beri peluang untuk kaji pula. Ini pindaan pertama dan kita baru masukkan (pindaan) hari ini. Kalau kita dah letakkan pindaan awal-awal mungkin tiada masalah (untuk faham)," katanya.

Ditanya mengenai cadangan agar jawatankuasa pemilihan ditubuhkan, Takiyuddin berkata, ia hanya dibolehkan selepas bacaan pertama.

"Jika kerajaan nak buat jawatankuasa, kita setuju. Tetapi buat masa ini tak boleh buat sebab tarafnya hanya usul persendirian. Jadi kita tunggulah lepas bacaan pertama, kita akan gesa kerajaan untuk buat jawatankuasa," katanya.

RUU 355: Masih banyak proses perlu dilalui, kata Zahid


KUCHING: Soal undi menyokong atau tidak Rang Undang-undang (RUU) persendirian bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (RUU 355) pada persidangan Dewan Rakyat ketika ini tidak timbul, kata Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan perdana menteri berkata semua pihak tidak seharusnya terburu-buru mengenainya kerana banyak proses perlu dilalui sebelum sampai ke peringkat itu.

Mengikut aturan mesyuarat Dewan Rakyat, Ahli Parlimen Marang Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan membentangkan usul mencadangkan RUU persendirian itu hari ini.

Zahid berkata selepas dibentang, jika diterima sekalipun usul itu, ia masih tidak akan dibahaskan, kerana sebarang pindaan perundangan adalah dalam bidang kuasa kerajaan.

Beliau berkata sebarang langkah ke arah penerimaannya, memerlukan beberapa langkah lagi diambil, dan sama sekali tidak dapat dilaksanakan pada persidangan yang berlangsung hari ini, katanya kepada pemberita dalam sidang media yang turut dihadiri Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem di bangunan Dewan Undangan Negeri Sarawak di sini.

Alhamdulillah KERAJAAN BN kaji permintaan naik harga gula pula


JOHOR BAHRU: Kerajaan sedang mengkaji permintaan pengeluar gula bagi menaikkan harga barang kawalan itu berikutan kos gula mentah yang semakin meningkat.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, perbincangan mengenai perkara itu dilakukan sejak sebulan lalu.

"Kerajaan akan meneliti trend harga pasaran gula dunia terlebih dahulu kerana ia boleh naik dan menurun, malah (kadang-kadang) stabil, (supaya) mudah kita hendak membuat kiraan," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Perunding Penjaja dan Peniaga Kecil Kebangsaan hari ini.

Beliau berkata, perubahan trend itu tidak menentu dan banyak dipengaruhi pelbagai faktor, termasuk iklim serta bekalan gula tidak mencukupi yang boleh menyebabkan harga gula meningkat dan kadang kala akan kembali normal serta stabil.

"Oleh itu, tidak adil jika kita membenarkan mereka naikkan harga (terutama apabila perubahan mendadak seperti ini berlaku)," katanya.

Hamzah diminta mengulas kenyataan MSM Malaysia Holdings Bhd yang meminta kerajaan menaikkan harga gula sebanyak 20% kerana kos gula mentah dikatakan meningkat 40% sejak awal tahun ini serta memberi kesan terhadap margin syarikat.

Beliau berkata, harga pasaran gula dunia kini mencecah AS$0.26 sen (AS$1=RM4.40) bagi 1 paun (1 paun = 0.5kg) berbanding AS$0.16 sen pada 2013.

"Permintaan pengeluar ada asasnya, tetapi saya hendak pastikan ia memberi keselesaan dari segi kadar harga yang mereka sendiri mampu untuk berusaha mengeluarkan gula supaya bekalan cukup di pasaran," katanya.

Pada masa sama, pihaknya juga tidak mahu pengguna terasa beban dengan harga gula yang mahal.

Bagaimanapun, beliau turut memberi jaminan pengguna tidak perlu bimbang, memandangkan tiada pengumuman mengenai sebarang kenaikan harga gula buat masa ini.

Kerajaan Negeri P.Pinang bina hospital patuh syariah pertama di Pulau Pinang

GEORGE TOWN: Kerajaan Negeri P.Pinang akan membina Hospital Islam Pulau Pinang berkonsepkan patuh syariah yang pertama di negeri ini.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Perdagangan Dalam Negeri dan Pengguna, Datuk Abdul Malik Abul Kassim berkata, hospital itu akan dibina di atas tanah kepunyaan Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) di Bayan Baru.

"Tapak cadangan pembangunan Hospital Islam Pulau Pinang terletak di persimpangan Jalan Mayang Pasir 1 dan Jalan Mayang Pasir 2, di Bayan Baru dengan keluasan 10,265 meter persegi," katanya ketika menggulung Bajet 2017 Pulau Pinang pada persidangan Dewan Undangan Negeri, pada Khamis.

Beliau berkata, hospital dengan kos RM280 juta itu terdiri daripada sebuah bangunan 14 tingkat, termasuk 7 tempat letak kereta dan dilengkapi 200 bilik pesakit dengan tumpuan kepada bidang perubatan pediatrik, ginekologi, endoskopi dan kardiologi serta kemudahan pembelajaran dan ruang perniagaan.

Beliau berkata, Yayasan Islam Pulau Pinang memilih Hospital Pakar An-Nur di Selangor, sebuah hospital patuh syariah, sebagai operator Hospital Islam Pulau Pinang.

Isu Maria Chin & CIA - Pemantau pilihan raya kecam Annuar, ajak ke Bangkok


Kumpulan pemantau pilihan raya mengutuk dakwaan pemimpin Umno yang mengaitkan Pengerusi BERSIH Maria Chin Abdullah dengan Agensi Risikan Pusat (CIA), Amerika Syarikat.

Annuar mendakwa kaitan itu ditemui melalui penglibatan Maria dalam Jaringan Asia untuk Pilihan Raya Bebas (Anfrel) dan Pergerakan Kebangsaan Filipina untuk pilihan raya bebas (Namfrel).

"Ini taktik paling biasa, paling lama dan kotor oleh kuasa pemerintah untuk menekan dan memfitnah penentang mereka...," katanya dalam e-mel kepada Malaysiakini.

Pengarah Anfrel Ichal Supriadi juga mempersoalkan dakwaan "tidak berasas" itu yang datang daripada seorang yang dihormati seperti Annuar.

Ichal juga mengundang Annuar untuk melawat Anfrel di Bangkok untuk meneliti sendiri bagaimana badan itu beroperasi secara bebas.

"Saya pasti beliau akan terkejut apabila tahu dakwaannya tidak berasas," katanya.

Annuar semalam mendakwa Maria bersama arwah suaminya Yunus Ali, ada kaitan dengan CIA melalui menerusi kerja-kerjanya dalam beberapa NGO pada 1980-an, sepertiInstitut Kebangsaan Integiriti Pilihan Raya (NIEI).

Menurut Annuar, NIEI ditaja oleh Asia Foundation, bawah Namfrel dan Anfrel.

Katanya, bekas pegawai CIA, Philip Agee sebelum itu mendedahkan bahawa Namfrel dan Anfrel adalah 'alat CIA'.

Pengerusi Anfrel Dammy Magbual pula berkata ramai anggota jawatankuasa badan itu, termasuk dirinya, berkhidmat tanpa menerima sebarang upah.

"Annuar patut buktikan kenyataannya. Jika kamu tahu keadaan kewangan Anfrel, kamu akan sedar betapa kejamnya dakwaan ini," katanya kepada Malaysiakini.

Maria sedang ditahan bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) atau Sosma selepas ditangkap bawah Seksyen 124C Kanun Keseksaan berhubung dakwaan terlibat dalam "aktiviti menjejaskan demokrasi berparlimen".

Ia berlaku selepas BERSIH didakwa menerima dana daripada Open Society Foundations yang ada kaitan dengan George Soros.

PAS mahu anjur himpunan 'raksasa' RUU355 - Hadi


Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini mengumumkan parti itu akan mengadakan perhimpunan besar-besaran berkaitan usul pindaan Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 atau RUU 355.

Bagaimanapun Hadi tidak memperincikan butiran mengenai perkara itu namun katanya, ia akan diadakan antara sekarang sehingga parlimen bersidang pada Mac tahun depan.

"Insya-Allah, PAS akan anjurkan himpunan aman raksasa mewakili umat Islam pelbagai parti politik dan NGO termasuk di kalangan bukan Islam yang sokong (RUU355) untuk buktikan sokongan mereka pada RUU ini.

"Kita tunggu dan lihat," katanya kepada pemberita di lobi parlimen.

Hadi sebentar tadi membentangkan usul pindaan RUU355 yang bertujuan untuk memperkasakan Mahkamah Syariah.

Walau bagaimanapun presiden PAS itu memohon supaya huraian mengenai usul itu dibahaskan pada sesi akan datang.

Hadi berkata dalam perhimpunan itu pihaknya mahu memberikan penerangan mengenai RUU355 kepada mereka yang bukan beragama Islam.


Pindaan rang undang-undang itu bertujuan untuk meningkatkan hukuman maksimum kepada 30 tahun penjara, denda sehingga RM100,000 dan 100 kali sebatan.

Hukuman semasa Mahkamah Syariah adalah maksimum penjara tiga tahun, denda RM5,000 dan enam kali sebatan.

Pemuda AMANAH desak usir duta Myanmar


Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) mendesak kerajaan membekukan hubungan diplomatik dengan Myanmar dan mengusir duta negara itu dari Malaysia.

Ketua Pemuda AMANAH, Sany Hamzan berkata apa yang dilakukan pemerintah Myanmar ke atas etnik Rohingya selama ini tidak mencerminkan negara itu beradab.

"Sebagai bantahan atas pembunuhan beramai-ramai orang Islam di Myanmar dan menolak sekeras-kerasnya keganasan tentera mereka, kami menggesa kerajaan Malaysia membekukan segera hubungan diplomatik dengan Myanmar dan menghalau duta Myanmar dari sini," katanya.

Selain itu, Sany juga mahu kerajaan memanggil pulang segera duta Malaysia ke Myanmar.

Satu lagi langkah yang wajar diambil, kata Sany, ialah mendesak supaya Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan menghantar tentera ke lokasi bergolak di timur Myanmar.

"Ketiga-tiga tindakan ini hendaklah dibuat secara berterusan sehingga Myanmar menghentikan serangan ke atas etnik minoriti Rohingya bertanggungjawab penuh atas jenayah yang telah mereka lakukan," kata Sany.

Sebelum itu Sany mewakilli Pemuda AMANAH menyerahkan memorandum kepada Ketua Penolong Setiausaha Kementerian Luar, Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi di Wisma Putra, Putrajaya.

Masyarakat Rohingya kini berdepan dengan keganasan yang digambarkan seperti penghapusan etnik oleh tentera Myanmar melalui pelbagai serangan dan penyeksaan.

Media melaporkan tentera Myanmar menggunakan helikopter menyerang perkampungan masyarakat Rohingya di Rakhine pada 12 November mengakibatkan lapan orang maut.

Ia adalah satu daripada keganasan dijalankan ke atas etnik Rohingya yang tidak diiktiraf oleh kerajaan Myanmar sebagai rakyat mereka.


Kezaliman itu berlaku ketika salah seorang pemimpin politik Myanmar, Aung San Suu Kyi, adalah penerima Anugerah Keamanan Nobel.

Menurut Sany, keadaan etnik itu kini jauh lebih parah berbanding 2012 kerana serangan ke atas kampung-kampung Rohingya kali ini dilancarkan bersama tentera yang lengkap bersenjata.

"Puluhan ribu askar Myanmar dikerah ke daerah Maungdaw dan merebak di seluruh Arakan menggambarkan seolah-olah Myanmar kini sedang berada dalam zon peperangan walaupun sebenarnya mereka memerangi kumpulan yang tidak berupaya dan bersenjata," kata Sany.




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...