TERKINI :

Wednesday, November 16, 2016

BERSIH: Jamal bukan musuh kita, tapi rasuah

Tiga hari sahaja lagi menuju perhimpunan BERSIH yang kelima dalam sejarah panjang perjuangan menuntut pilihan raya yang adil, penambahbaikan institusi dan usaha memperbaiki negara yang sudah lama rosak.

Masuk kali kelima rakyat Malaysia bakal berhimpun Sabtu ini untuk mendesak perubahan melalui jalan yang dibenarkan dalam undang-undang, dengan membangkitkan kesedaran orang ramai bahawa negara tidak boleh ditadbir pencuri, perompak dan penyamun.

Perhimpunan Sabtu ini bukanlah perhimpunan yang menjanjikan huru-hara dan boleh menggulingkan kerajaan dalam masa yang begitu singkat.

Ia bertujuan mendidik dan menyampaikan mesej perubahan kepada seluruh pelosok negara.

Itu sebabnya kenapa kita adakan konvoi menelusuri segenap ceruk kampung dan pekan, agar rakyat Malaysia tahu dan tidak terus tertipu.

Perhimpunan Sabtu ini bukanlah seperti sebuah perlawanan bola sepak antara pasukan merah melawan pasukan kuning.

Samseng-samseng Umno memang dijangka akan menimbulkan kekacauan dan mengganggu perjalanan perhimpunan BERSIH, namun sebenarnya mereka sendiri pun tidak tahu apa yang mereka perjuangkan.

Ketua mereka, Datuk Seri Jamal Yunos, tempoh hari telah terbukti tidaklah kebal pun sebenarnya.

Kita telah melihat bagaimana beliau meronta-ronta dan menjerit-jerit mahu melarikan diri dari kekecohan yang berlaku di Ampang. Seluruh negara telah ketawa melihat gelagat Jamal dan juak-juaknya.

Namun Jamal bukan musuh kita. Kita tidak turun ke jalan raya untuk melawan Jamal dan samseng-samseng Umno ini. Kita bukannya berhimpun untuk menunjukkan kekuatan atau bertanding siapa lebih ramai.

Kita turun ke jalan raya kerana berdiam diri berhadapan rasuah dan salah guna kuasa bukan lagi satu pilihan.

Kita berhimpun kerana kita punya hak untuk membantah rasuah dan salah guna kuasa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam skandal mega yang telah memberi gelaran ‘kleptokrasi’ kepada negara.

Jamal hanya menjadi galang ganti agar kita lupa dan tidak memberi tumpuan kepada musuh nombor satu rakyat Malaysia masa kini iaitu tidak lain perdana menteri sendiri.

Kita harus terus memberi fokus kepada skandal mega melibatkan Najib Razak, dan memberi fokus kepada tuntutan-tuntutan Bersih, yang tidak lain hanya mahukan sebuah Malaysia yang lebih baik untuk generasi anak cucu.

Kita berhimpun Sabtu ini untuk sebuah ‘Malaysia Baru’. Kita tidak perlu takut untuk menuntut perubahan, untuk memperbaiki negara yang kian rosak.

Kita tidak perlu takut dengan Jamal dan samseng-samsengnya. Kita pasti pihak polis akan memastikan keamanan dan keteraturan perhimpunan BERSIH buat kali kelima ini.

Tahun lalu kita telah menyaksikan bagaimana pihak polis begitu cekap sekali memastikan keamanan protes selama 34 jam, yang kumpulan samseng Baju Merah yang diberi makan oleh Umno ini hanya muncul pada saat-saat akhir.

Kita justeru berharap pihak polis akan bersiap sedia untuk berdepan provokasi jahat oleh juak-juak Jamal yang akan terus cuba mengalihkan fokus perhimpunan BERSIH daripada tujuan-tujuan yang telah kita nyatakan.

Sabtu ini saya harap rakyat Malaysia akan membuang jauh rasa takut dan resah mereka, dan turun beramai-ramai bagi menuntut sebuah Malaysia yang lebih baik.

Turun beramai-ramai. Satukan Tenaga. Malaysia Baru.

MARIA CHIN ABDULLAH
Pengerusi BERSIH 2.0.

‘Tutup universiti awam, buka Universiti Umno’

Semenjak semalam, 15 November 2016, seramai 3 orang cendekia telah dihukum melalui akta-akta drakonian yang menyekat hak asasi kebebasan bersuara rakyat kerana memberi pandangan dalam isu-isu melibatkan kepimpinan negara.

Pada 9 November yang lalu, seorang pensyarah daripada universiti swasta di Malaysia telah direman kerana mendedahkan salah laku kerajaan negeri Sabah di bawah kepimpinan Barisan Nasional.

Saudara Jufazli direman selama tujuh hari hanya kerana menulis pendedahan tersebut di status media sosial Facebooknya.

Intimidasi terhadap cendekia ini terus berlanjutan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di mana pada Jumaat yang lalu, saya telah ditahan dengan begitu kasar sehingga digari hanya kerana ingin mempromosi himpunan bersih yang telah dijanjikan hak untuk berhimpun di dalam Perlembagaan Malaysia.

Penahanan ini juga merupakan satu pencabulan hak untuk bersuara apabila saya ditahan sejurus selepas saya mengucapkan perkataan "Assalamualaikum".

Kes terbaru adalah semalam apabila saudara Asheeq Ali telah dihukum gantung satu semester dan denda RM200 oleh pihak pentadbiran Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) gara-gara menyertai himpunan Tangkap MO1 pada Ogos lalu.

Kes ini yang membuatkan mahasiswa bingung, apa sebenarnya fungsi cendekia di dalam negara sebenarnya?

Walaupun AUKU selepas pindaan 2012 memperuntukkan bahawa mahasiswa boleh berpolitik di luar kampus, namun hukuman tetap menanti mahasiswa yang kritikal dengan polisi-polisi pemerintah.

Kalau tidak dikenakan kes polis, cendekia ini akan tetap mendapat habuan AUKU di universiti masing-masing.

Saya ingin mempersoalkan di mana peranan cendekia ini di mata kerajaan BN?

Sekiranya peranan cendekia ini penting sebagai pelapis kepimpinan masa hadapan seperti yang sering digembar-gemburkan, apakah jaminan bahawa kerajaan tidak menghukum cendekia yang memberi idea kritikal terhadap polisi-polisi kepimpinan BN?

Saya juga mendesak, selepas tiga kes terbaru ini, agar AUKU itu dimansuhkan kerana dengan jelas telah menyekat peranan cendekia untuk memberikan pendapat yang bercanggah dengan visi pihak pemerintah walaupun mungkin ianya baik untuk keseluruhan rakyat Malaysia.

Sekiranya Kerajaan masih gagal memberikan jaminan kebebasan bersuara dan memansuhkan AUKU, saya menyarankan agar pentadbiran BN di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib Razak untuk menutup semua universiti yang ada di Malaysia dan menubuhkan hanya satu universiti iaitu Universiti Umno, agar peranan cendekia yang dilahirkan oleh universiti awam tidak dibazirkan.

Cendekia di bawah Universiti Umno hanya akan menyuarakan betapa bagusnya polisi dan dasar kerajaan serta akan menyeru rakyat bersangka baik walaupun skandal dan rasuah didedahkan kepada masyarakat umum.

Ashraff Nazrin,
Aktivis Mahasiswa,
Gabungan Tangkap MO1

Isu AES - Apabila Menteri Pengangkutan Buta Undang-Undang atau Media Salah Lapor?

MENTERI PENGANGKUTAN BUTA UNDANG-UNDANG ATAU MEDIA SALAH LAPOR?

Akhbar mStar Online pada 15 November 2016 melaporkan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liong Tiong Lai menyatakan bahawa Jemaah Menteri bersetuju untuk menetapkan kadar denda bagi kesalahan memandu melebihi had laju yang dikuatkuasakan di bawah Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) ialah RM150 berbanding RM300 sebelum ini. Beliau turut menyatakan saman-saman AES tidak akan dimansuhkan malah akan menyenarai hitam penerima saman yang tidak menjelaskan saman daripada memperbaharui lesen memandu.

Laporan ini amat memeranjatkan. Adakah Menteri Pengangkutan buta undang-undang yang di bawah seliaan kementeriannya sendiri atau media silap lapor?

Jika media melaporkan dengan benar, saya ingin mengambil sedikit masa Menteri untuk memberikan taklimat khas undang-undang kepada beliau kerana nampaknya Penasihat Undang-Undang Kementerian beliau gagal memberikan nasihat yang jelas.

Untuk makluman Menteri dan seluruh warga Malaysia, bagi kesalahan memandu melebihi had laju yang dikuatkuasakan melalui AES, peruntukkan yang digunakan untuk pertuduhan ialah Seksyen 79(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu gagal mematuhi tanda isyarat lalu lintas. Hukuman bagi kesalahan ini jika sabit kesalahan ialah denda tidak kurang RM300 dan tidak melebihi RM2000.

Seksyen 79(2) ini dipinda melalui Akta A1440 pada tahun 2012 untuk memasukkan hukuman denda tidak kurang RM300 adalah semata-mata memenuhi kehendak Model Kewangan Dengan Formula Tiga Langkah yang dipersetujui antara Kerajaan dengan pengendali AES iaitu Beta Tegap dan Ates Sdn Bhd ketika itu. Tujuan ditetapkan minima RM300 kerana melalui Model Kewangan tersebut, bagi setiap RM300 denda, syarikat Beta Tegap dan Ates Sdn Bhd akan mendapat RM16. Sebelum tahun 2012, kesalahan di bawah Seksyen 79(2) ini tiada denda minima jadi ini menyukarkan kerajaan membahagikan kutipan denda saman AES kepada syarikat pengendali. Justeru pindaan dibuat menetapkan denda minima RM300 tersebut.

Hari ini Menteri dilaporkan berkata Jemaah Menteri bersetuju denda bagi kesalahan tersebut ditetapkan kepada RM150. Adakah Seksyen 79(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 telah telah dipinda ? Saya yakin tidak! Justeru bagaimana Jemaah Menteri boleh menetapkan RM150? Jika penerima saman AES dibawa ke Mahkamah dan mengaku salah atau dibuktikan bersalah, adakah Mahkamah boleh menjatuhkan hukuman denda RM150 seperti yang ditetapkan oleh Jemaah Menteri sedangkan Akta menetapkan tidak kurang RM300? Jawapannya TIDAK!

Keputusan Jemaah Menteri tidak mengubah peruntukkan Akta melainkan Akta dipinda. Keputusan Jemaah Menteri tidak mengikat Mahkamah kerana Mahkamah tertakluk kepada Akta yang telah digubal.

Persoalannya ialah adakah Menteri buta undang-undang atau tidak dinasihatkan secara perundangan sehingga membentangkan kepada Jemaah Menteri perkara yang bercanggah dengan undang-undang? Adakah Jemaah Menteri mentadbir negara tanpa mengikut undang-undang yang mereka sendiri gubal? Adakah Kerajaan hanya mahu masyarakat mematuhi undang-undang sedangkan Kerajaan tidak mematuhinya?

Denda bagi kesalahan memandu melebihi had laju tidak boleh kurang daripada RM300 kerana ianya telah ditetapkan oleh Akta yang digubal oleh Kementerian. Tetapi kompaun bagi kesalahan ini boleh ditetapkan RM150 kerana had maksimum kompaun ialah RM300. Menteri buta atau media silap lapor?

Seperkara lagi ialah berkaitan kuasa JPJ menghalang penerima saman AES yang tidak menjelaskan saman dari memperbaharui lesen memandu.

Semua prosiding saman AES di mahkamah telah dibekukan oleh Jabatan Peguam Negara sejak 18 Disember 2012 sehingga sekarang. Ini bermaksud semua saman AES yang telah dikeluarkan dan ditetapkan tarikh kehadiran mahkamah, tidak dibawa ke mahkamah. Jadi, saman-sanan AES ini tidak dikuatkuasakan walau pun saman itu dikeluarkan secara sah di bawah Akta. Apabila saman tidak dikuatkuasakan, penerima saman yang tidak membayar saman tidak boleh dianggap mempunyai urusan yang belum selesai seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 29(1A) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Ini kerana saman tidak dibawa ke mahkamah dan penerima saman masih tidak dibuktikan bersalah. Menghalang seseorang memperbaharui lesen memandu hanya kerana tidak membayar saman yang tidak dibuktikan kesalahan ialah suatu bentuk hukuman. Bagaimana boleh penerima saman dihukum tanpa sebarang pertuduhan dan perbicaraan? Ini jelas bertentangan dengan prinsip keadilan sejagat dan ruh undang-undang.

Akhir sekali saya menggesa Menteri Pengangkutan untuk mendapatkan nasihat undang-undang daripada penasihat undang-undang kementerian atau Jabatan Peguam Negara. Jika mereka juga tidak faham undang-undang, lebih baik kosongkan jawatan atau belajar serta kaji semula undang-undang yang mereka gubal.

Kepada warga Malaysia, patuhi undang-undang. Jangan bayar saman AES selagi prosiding mahkamah dibekukan. Simpan wang anda untuk perbelanjaan keluarga daripada memberikan kepada mereka membuat keuntungan.

ZULHAZMI SHARIFF
Pengerusi
Sekretariat Protes AES (ProtAES)
16 November 2016

Kenapa Saya Turun Bersih 5..?

Dari FB Saiful Islam

KENAPA SAYA TURUN BERSIH 5 ?

1) Saya demonstran Bersih 1 (10 Nov 2007), Bersih 2 (09 Julai 2011), Bersih 3 (28 April 2012) dan Bersih 4 (29-30 Ogos 2015).

2) Bersih 1 saya masih mahasiswa tahun 3 di KIAS Nilam Puri, Kelantan. Bersama sekitar 10 teman mahasiswa, kami naiki bas dari Nilam Puri dan sampai ke Hentian Putra, KL, seterusnya berehat sebentar pagi itu di Pejabat Agung PAS, Jln Raja Laut. Kami bergerak bersama Pemuda PAS Pusat menuju Dataran Merdeka dan selamat dari sekatan FRU di situ, terus menuju Istana Negara melalui Masjid Negara dan membentuk gabungan yang cukup besar dengan pergerakan dari tempat-tempat lain.

3) Bersih 2 saya baru sahaja berkahwin sekitar 1 bulan. Saya bersama isteri, adik perempuan dan seorang sahabat Pemuda PAS Lembah Pantai, Sdr. Khalil Zawawi dan isterinya. Kami menaiki LRT. Saya bersama pergerakan dari Jln.Pudu-Pudu Sentral, antara lokasi tembakan gas pemedih mata yang cukup menyakitkan. Kali pertama saya dan isteri menyedut gas itu. Saya saksikan beberapa teman dibelasah teruk berdekatan sebuah hospital Cina di situ.

4) Bersih 3 saya bertugas bersama Jabatan Amal Malaysia (AMAL) dari Brickfield menuju Masjid Jamek. Kami ditembak dengan gas pemedih mata bertalu-talu diantara Masjid Jamek dan bank-bank di hadapannya. Himpunan paling dahsyat saya saksikan dan tangkapan paling besar, iaitu 512 tangkapan. Bukan sahaja 'darah tumpah' dari hidung seperti Jamal, tetapi puluhan yang cedera dibelasah polis di bawa ke hospital.

5) Bersih 4 saya beranikan diri untuk turun juga bersendirian ke Dataran Merdeka walaupun parti saya tidak turut serta. Hari kedua, saya bawa isteri dan anak-anak kerana melihat situasi himpunan yang sangat aman tanpa gangguan dan provokasi liar dari mana-mana pihak walaupun mendapat sedikit sindiran dari teman-teman yang taat tidak mahu sertai.

6) 19 Nov 2016 Sabtu ini, Bersih 5. Sekali lagi saya nekad akan sertai insya'Allah, walaupun pergi berseorangan tanpa ada kawan-kawan yang mahu turut serta kerana 'tiada arahan'. Kenapa saya akan sertai?

i) Ustaz-ustaz dan murabbi saya yang telah mentarbiyyah saya dan kawan-kawan bahawa kita menerima sistem demokrasi (termasuk pilihanraya) untuk mengambil alih kerajaan secara damai (muwajahah bis silmiyyah) demi membentuk sebuah negara yang baik dan dipimpin oleh orang yang baik. Maka, pilihanraya mesti bersih dan adil untuk memastikan kita mendapat kemenangan.

Saya diajar dengan kaedah Fiqh: [Tidak sempurna perkara wajib melainkan dengan adanya ia, maka perkara itu juga menjadi wajib]. Menegakkan negara yang baik itu wajib. Memasuki pilihanraya itu wajib. Menuntut pilihanraya bersih dan adil itu wajib. Turun beramai-ramai meluahkan tuntutan itu wajib.

Mereka ajar saya.

ii) Ustaz-ustaz dan murabbi saya tarbiyyah saya, diam dari menyatakan kebenaran adalah syaitan bisu (Mafhum Hadith). Saya dengar dan belajar dari mereka bahawa, Allah akan mengazab kaum yang melihat kezaliman, tetapi mereka diam. Bercakap yang benar dihadapan pemimpin zalim adalah jihad. Jika dibunuh, syahid. Lidi sebatang boleh dipatah, seberkas lidi agak susah. Seorang bersuara, kerajaan pekakkan telinga, ramai-ramai bersuara kerajaan boleh mengalah. Selemah-lemah iman cegah mungkar dengan hati dan lain-lain.

Saya tidak pasti apakah masih ada yang tidak merasakan kerajaan yang ada pada hari ini melakukan sekian banyak mungkar dan kezaliman atau tidak terasa betapa bebannya hidup di Malaysia saat ini. Saya merasai keperitan itu. Maka saya perlu sertai himpunan ini.

iii) Bersih dipimpin oleh Ambiga (Non Muslim) dan kelompok tidak berfikrah Islam (Maria Chin dll)?

Ustaz-ustaz dan murabbi saya tarbiyyah saya dengan kisah Nabi s.a.w turut serta dalam Hilful Fudhul di rumah Abdullah bin Jud'an sewaktu Nabi masih kecil dalam misi menyelamatkan satu puak yang dizalimi, walaupun perjanjian itu dimeterai bersama oleh pemimpin jahiliyyah. (Sila baca Sirah Nabi - jangan jadi aktivis dakwah pemalas ).

Saya diulang berkali-kali tentang sikap Nabi terima bantuan dari orang kafir dalam perkara kebaikan seperti Abu Talib, Abdullah bin Uraiqit (musyrik membantu hijrah) dan jiran Abu Bakar non Muslim yang banyak membelanya.

Dimana salah dan haramnya terlibat melawan kezaliman dan penindasan jika dipimpin oleh non-Muslim? Dan salahkan jika non Muslim yang ramai hadir mendominasi himpunan ini? Anda yang tidak mahu sertai, lalu anda mempersoalkan kenapa ramai non-Muslim (Cina dll). Apakah anda beranggapan Melayu, Muslim sahaja yang rasa terbeban dengan keadaan negara pada hari ini?

iv) Ustaz-ustaz dan murabbi saya tarbiyyah, Allah tidak tanya apa hasil perjuangan, tetapi berjuang atau tidak. Dibawakan kisah burung memadam api yang membakar Nabi Ibrahim ( ada yang menyebut ini kisah Israiliyat, tetapi boleh diambil pengajarannya). Lalu saya difahamkan, memang kerajaan atau SPR khasnya tidak peduli semua tuntutan kita, tetapi setidak-tidaknya mereka terima satu dan paling penting, kita sudah melakukan usaha yang terdaya.

Bahkan bagi yang memperlecehkan usaha berhimpun dari Bersih 1-4 tidak membawa perubahan langsung, ini dakwaan mereka yang buta politik dan sebenarnya tidak membaca pun hasil himpunan Bersih terhadap PRU 2008 dan PRU 2013. Dakwat kekal antara yang berjaya diperjuangkan walaupun masih tidak dijalankan secara baik.

v) Matlamat Bersih sudah lari, terima dana dari pihak asing, pijak gambar pimpinan, provokasi, kekasaran dan lain-lain.

Saya tidak tahu disudut apa matlamat Bersih sudah lari. Jika tuntutan-tuntutan Bersih ada perubahan, seperti dakwat kekal tidak dimasukkan lagi kerana ia sudah dilaksanakan. Maka dimasukkan tuntutan-tuntutan baru yang masih dalam lingkungan 'pilihanraya bersih'.

Terima dana dari asing saya tidak tahu dimana sumber maklumatnya. Yang pasti isu dana asing ini doktrin TV3, Utusan dan pemimpin Umno sejak Bersih 1 lagi.

Ustaz-ustaz dan murabbi saya selalu peringatkan agar hati-hati dengan provokasi untuk burukkan himpunan Bersih. Mungkin ada pihak yang diupah atau SB yang melakukan aksi-aksi radikal untuk burukkan himpunan termasuk memijak gambar mana-mana pimpinan negara atau parti-parti tertentu. Saya yakin pijak gambar pimpinan bukan restu penganjur Bersih dan jika benar itu peserta Bersih, penganjur sudah memberi kerjasama agar pihak keselamatan melakukan siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya.
------------------------------------------------
Cukuplah 5 alasan saya ini, saya akan sertai Bersih 5. Saya hormati anda yang memang ada strategi atau pendekatan lain yang diyakini lebih syar'ie bagi menuntut pilihanraya yang bersih dan adil. Dan anda jangan kecam saya yang mahu turun!

Saya tidak ada lagi alasan untuk tidak turun di usia 30 tahun yang muda dan masih ada kekuatan ini. Saya mempelawa semua kawan-kawan yang bersama saya pada Bersih 1, 2, 3 & 4 untuk turut serta pada 19 Nov! Jangan lupa saat indah sewaktu tangan kita pernah bersilang erat dulu demi negara yang lebih baik!

Saya turun sebagai rakyat Malaysia!

- Abi Sumayyah -
16 Nov 2016 : Kuala Lumpur





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...