TERKINI :

Sunday, November 13, 2016

Ingatkan kebal rupa-rupanya berdarah jugak hidung JAMAL SI BAJU MERAH

Darah Jamal 'tumpah' di Ampang

Pemimpin Baju Merah Datuk Seri Jamal Md Yunos berdarah pada hidungnya selepas dia didakwa diserang dan ditumbuk dalam kejadian di Ampang hari ini.

Kejadian berlaku ketika Jamal bersama pengikutnya mengekori Anggota Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin yang sedang mempromosikan perhimpunan BERSIH5 di pusat beli-belah Ampang Point.

Sejurus kemudian berlaku pergelutan dan ketika itulah muka Jamal didakwa ditumbuk pihak tidak diketahui.

Anggota kumpulan Baju Merah kemudian bergelut pula dengan beberapa anggota polis yang menyekat laluan keluar. Sekurang-kurangnya tiga daripada mereka ditahan.

Ditemui media selepas itu Jamal berkata seorang daripada "budak Zuraida" telah memukulnya.

Jamal yang juga ketua Umno Sungai Besar jelas tidak berpuas hati dengan insiden itu dan memberitahu beliau akan bertindak balas.

"Saya tak puas hati. Saya akan kejar mereka lebih dari apa saya umumkan (terhadap BERSIH sebelum ini).

"Saya akan cincang mereka," katanya.

Jamal dikenali sebagai pimpinan utama Baju Merah yang giat menyaingi kempen BERSIH menjelang perhimpunan di Kuala Lumpur pada Sabtu depan.

Selain memberi amaran untuk berkumpul beramai-ramai bersama BERSIH, sejak beberapa hari lalu kumpulan berkenaan mempamerkan kekuatan mereka dalam seni bela diri, termasuk ketika mengadakan protes berhampiran pejabat Malaysiakini  pada 5 November lalu.

Beberapa klip video yang tersebar di media sosial pula menunjukkan beberapa individu - termasuk Jamal sendiri - menunjukkan kemampuan mereka menahan pukulan serta serangan fizikal melalui seni bela diri.

Sementara itu Zuraida ketika dihubungi berkata beliau tidak tahu menahu mengenai mengenai serangan ke atas Jamal.

"Saya mengelak daripada dia, jadi saya tak tahu apa yang terjadi. Saya akan bercakap dengan orang saya dan bertanya kepada mereka," katanya kepada Malaysiakini.

PAS nafi guna himpunan Lasak lawan Bersih 5

PETALING JAYA: PAS menafikan himpunan Ledakan Suara Rakyat (Lasak) yang merupakan anjuran tetap parti itu digunakan untuk melawan Bersih 5.

Pengerusi majlis Roslan Shahir mengecam penyebaran poster anti-Bersih yang disebarkan dalam kalangan hadirin himpunan Lasak di Taman Medan hari ini.

Poster yang dilihat FMT tertulis “berjemaah di masjid lebih bersih berbanding himpunan dengan penentang undang-undang Islam”.

Poster itu berkata umat Islam “wajib” tolak Bersih 5 kerana mereka “menghina ulama”, “ditaja Yahudi”, “didalangi PAN dan DAP” dan “perhimpunan maksiat”.

Lebih 1,000 poster seperti itu diletakkan di kerusi-kerusi yang tersedia untuk dipungut oleh lebih 1,000 hadirin hari ini.

Poster itu menimbulkan kemarahan orang ramai.

“Jangan sebarkan poster yang macam ini. Kita parti sudah lebih 60 tahun dan ini bukan budaya kita,” kata Roslan.

Beliau berkata penyebaran poster itu memberi gambaran buruk kepada PAS.

“Kita tidak buat kerja-kerja macam ini, kita tahu bagaimana nak berpolitik.”

Bersih 5 bakal diadakan 19 November ini bagi mendesak reformasi institusi dan peletakan jawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

PAS memutuskan untuk tidak menyertai himpunan kali ini kerana tuntutan gabungan itu menyimpang daripada perjuangan asal Bersih.

Umno zalimi PAS lebih teruk berbanding DAP, kata naib presiden

Faiz Zainudin


PETALING JAYA: PAS dizalimi sewaktu berada dalam gabungan Barisan Nasional (BN) lebih teruk berbanding tekanan DAP semasa dalam Pakatan Rakyat, kata Datuk Iskandar Abdul Samad.

Naib Presiden PAS itu kemudian menyenaraikan beberapa pengalaman hitam pimpinan mereka antaranya ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan peristiwa Memali 1985.

Lantas, PAS tak mungkin bergabung dengan Umno lantaran serik dengan kekejaman dan penipuan BN.

“PAS banyak tertipu dengan Umno. Ahli kita mati dalam tragedi Memali. Apabila kita berurusan dengan Umno kita amat berhati-hati kerana sebelum ini banyak ahli PAS ditangkap…macam Datuk Burhanuddin al-Helmy yang mati kesan seksaan dalam tahanan ISA.”

Beliau berkata demikian dalam sidang media seusai himpunan Ledakan Suara Rakyat di Taman Medan, hari ini.

Iskandar mengulas tuduhan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tun Dr Mahathir Mohamad yang menggolongkan PAS dalam kumpulan penyokong Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kerana tidak mahu bersama pakatan pembangkang.

Beliau merujuk kepada cubaan menangkap tokoh agama Ibrahim Mahmud (Ibrahim Libya) di Memali, Kedah yang meragut 14 nyawa termasuk Ibrahim dan berpuluh lagi cedera.

Ketika itu, Dr Mahathir merupakan perdana menteri.

Sementara Burhanuddin al-Helmy pula merupakan bekas presiden PAS yang ditangkap dibawah ISA pada 1965. Dianggap nasionalis radikal dan pemikir Islam, beliau dituduh berkomplot untuk menggulingkan kerajaan.

“Kita lebih berhati-hati dengan Umno lebih daripada parti lain. DAP dan parti lain tidak terkesan banyak dengan kezaliman Umno. PAS paling teruk dizalimi Umno. Parti-parti lain tak kena macam PAS.

“Jadi tuduhan PAS masuk (gabung) Umno tak masuk akal,” katanya.

Lebih 1,000 orang hadir menyertai Lasak hari ini bagi menyatakan pandangan terhadap Bajet Persekutuan dan Bajet Selangor bagi tahun 2017.

Mengulas himpunan hari ini, Iskandar berkata isi kandungan ucapan-ucapan sepanjang acara menunjukkan banyak percanggahan antara PAS dan BN.

“Akar umbi kita bangkitkan banyak masalah, antaranya isu Uber dan Grab. Selain itu, isu ketakseragaman kontrak artis, cukai barangan dan perkhidmatan…ini semua dasar kerajaan BN,” katanya.

PAS – pokok besar yang tidak dapat diendahkan

Timmy Say

Jikalau Amanah betul dapat menggantikan PAS, Pakatan Harapan terutamanya PKR dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) tidak akan pening kepala seperti hari ini.

Tidak akan kita kedengaran suara seorang ahli politik PKR yang mempertikaikan kelayakan “Tok Haji yang rasuah” menjadi pemimpin, tapi memilih membutakan mata pada kelayakan seorang pemimpin yang dipenjara kerana kesalahan jenayah moral untuk diangkat sebagai perdana menteri.

Tidak akan kita terlihat cubaan seorang pemimpin tertinggi PPBM melonggokkan pihak yang tidak bersama Pakatan Harapan sebagai kumpulan penyokong perdana menteri, tanpa menyedari betapa terdesaknya kelakuan beliau di mata orang awam.

Hakikatnya, walaupun terlalu pahit ditelan sesetengah pihak di dalam Pakatan Harapan, ialah PAS dengan kekuatan akar umbi dan pengaruhnya tidak boleh diendahkan sekiranya pihak pembangkang ingin mencapai kemenangan.

Kenyataan Timbalan Presiden PKR Azmin Ali yang menggesa semua pihak agar tidak terlalu mendesak PAS adalah bukti jelas kepada perkara ini.

PAS terus hidup subur, walaupun cuba dicantas dengan pelbagai cara sejak 2015 menggunakan politik persepsi. Pokok baru yang cuba ditanam pihak yang cuba mencantasnya gagal bertumbuh, malah pokok baru itu tidak dapat berdiri jika tidak berpaut pada tuannya.

Kecenderungan pokok baru ini untuk mengacau kerusi PAS, yang akan menyebabkan parti Islam itu bertindak-balas mengacau semua kerusi yang lain, menjadi liabiliti kepada parti rakan. Kerusi PAS dan DAP boleh dikatakan saling esklusif, oleh itu impaknya akan kurang. Ini berlainan dengan kerusi-kerusi PKR, yang kebanyakkan dilepaskan PAS kepada PKR kerana tahaluf.

Inilah dilemma PKR.

Apakah pula dilemma PPBM?

PPBM mengharapkan sokongan ahli Umno yang bencikan perdana menteri. Apakah kumpulan ahli Umno ini lebih sudi bersama parti yang mendekati PAS, atau parti yang mendekati DAP? Para pemimpin PPBM yang majoritinya bekas Umno sudah pasti boleh menjawab soalan ini dengan tepat.

PPBM sedar mereka akan bertempur dengan Umno di kawasan majoriti Melayu melebihi 85%, lantas memerlukan bantuan PAS jauh melebihi DAP dan PKR. Lebih-lebih lagi PPBM tiada jentera pilihanraya kerana ia masih baru.

Inilah dilemma Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin. Oleh itu, tidak perlu hairanlah mengapa tandatangan PPBM untuk menyertai Pakatan Harapan ditangguhkan.

Hampir semua parti pembangkang, barangkali selain Amanah, sedar jika mereka tidak bekerjasama dengan PAS, semua bakal hancur bersama. Yang berbeza ialah nasib PAS, kerana ia akan terus hidup subur meskipun kemenangan tidak dikecapi kerana parti ini mempunyai akar tunjang yang mendalam dan menjalar jauh.

Jika mahu bekerjasama dengan PAS pula, semestinya Islam perlu diletakkan di depan dalam segala urusan – yang sudah tentu menimbulkan keresahan pihak tertentu di dalam Pakatan Harapan. Bukan itu sahaja, PAS juga akan mewajibkan syarat agar kerusi-kerusi tradisinya tidak dikacau seperti Sungai Besar dan Kuala Kangsar melainkan PAS memberi laluan.

Azmin barangkali mengetahui bahawa usaha mendesak PAS kembali bekerjasama dengan parti yang cuba sedaya upaya mencantasnya dan parti yang hidup dengan mencuri ahli-ahlinya adalah keterlaluan. Oleh kerana demikian, begitulah nada kenyataannya.

Apakah PAS memerlukan PPBM dan PKR? Tidak semestinya kerana PAS boleh bertahan sehingga bila-bila meskipun tewas.

Apakah PPBM dan PKR memerlukan PAS? Jawapannya hampir ya kerana PPBM hanya mempunyai 1 peluang untuk membuktikan diri di kawasan majoriti Melayu, manakala susah dibayangkan apa yang akan berlaku kepada PKR jika mereka kehilangan Selangor selepas 2 penggal menerajuinya.

Pas tak hadir konvensyen, biar rakyat menilai

ATIRAH HASLI
13 November 2016


Nurul Izzah Anwar

SHAH ALAM - "Biar rakyat sendiri menilai (kedudukan dan sikap Pas terhadap pakatan pembangkang)," itu respons Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar ketika ditanya mengenai ketidakhadiran Pas pada Konvensyen Pakatan Harapan, semalam.

Katanya, pihaknya sudah memberikan jemputan rasmi kepada Pas untuk menyertai konvensyen itu.

Bagaimanapun, kata Nurul Izzah memutuskan tidak mahu ambil pusing dengan perihal Pas.

"Saya tidak mahu fikir, jemputan sudah dihantar bagi pihak Pakatan Harapan. (Tentang Pas tidak hadir) Itu biar rakyat menilai," katanya ketika ditemui Sinar Online, di sini.

Sebelum ini, Ketua Sekretariat Pakatan Harapan, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, jemputan telah diedarkan kepada semua parti pembangkang yang mempunyai matlamat sama iaitu menjatuhkan kerajaan BN demi memenangi pilihan raya akan datang.

Jelasnya lagi, jemputan yang sama diberikan kepada parti pembangkang lain turut dihulur kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas.

Bagaimanapun ujarnya, hanya Bersatu yang memberikan maklum balas untuk hadir menyertai konvensyen itu.





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...