TERKINI :

Friday, November 4, 2016

Anwar ingatkan Najib tak terlalu bergantung kepada China


Bekas ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menyambut baik lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ke China, tetapi memberi amaran supaya tidak terlalu bergantung kepada negara itu.

Katanya, Najib sebaliknya perlu memberi tumpuan ekonomi negara yang gawat kini kian meruncing dan membebankan rakyat berikutan harga petrol dan minyak masak, dua minggu selepas Bajet 2017 dibentangkan.

“Bajet tidak telus dan menyembunyi muslihat kenaikan harga yang membebankan rakyat. Minyak masak adalah hasil keluaran negara.

“Mengapa tiada usaha menghubungi pengeluar besar dalam negara untuk memastikan sejumlah kecil pengeluaran diperuntukkan untuk pengguna dalam negara dengan harga terkawal? soalnya di luar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Atas sebab ini, beliau menggesa rakyat supaya keluar dan membantah semasa perhimpunan BERSIH pada 19 November ini.

Mengulas mengenai lawatan Najib ke China, Anwar, berkata ia adalah sesuatu yang positif

"Lawatan (ke China) adalah sesuatu yang positif tetapi saya juga memberi amaran kepada menjadi terlalu bergantung kepada negara ini.

"Perlu berhati-hati dan adalah lebih baik untuk negara ini memberi tumpuan kepada ekonomi dan lebih cepat dia (Najib) menyedari lebih baik," kata Anwar.

Rafidah: Sedih, marah, bimbang, takut masalah di Malaysia


Bekas menteri Umno, Tan Sri Rafidah Aziz berkata, beliau sedih, marah, bimbang dan takut terhadap masalah yang melanda negara sekarang.

Antara perkara yang menjadi "gila", katanya, adalah ketiadaan tadbir urus yang baik dan percambahan xenofobia atau perasaan benci terhadap orang asing yang disebarkan di negara ini.

Walaupun begitu, beliau berkata, sebahagian besar rakyat Malaysia masih cintakan negara dan menerima kepelbagaian.

"Mereka (majoriti) terpaksa berdepan dengan xenofobia, hipokrasi dan ketidak-siuman segolongan minoriti, yang menayangkan kuasa mereka, membuat ucapan gila dan mengancam masyarakat Malaysia," katanya dalam laman Facebook hari ini .

Bukan itu sahaja, negara ini juga mengalami hakisan budaya tadbir urus politik dan ekonomi yang baik, kata Rafidah yang terjalin sejak beberapa dekad lalu oleh pemimpin terdahulu.

Walaupun beliau mengakui pemimpin terdahulu mempunyai kelemahan, namun menurutnya, ini adalah kerana mereka hanya manusia.

Penang Institute tiada pernah terima dana OSF

Penang Institute tidak pernah menerima atau memohon dana Open Society Foundation yang dikaitkan dengan jutawan dari Amerika Syarikat, George Soros, kata Pengarah Eksekutifnya, Zairil Khir Johari.

Beliau yang juga ahli Parlimen Bukit Bendera berkata, tiada seorangpun di kalangan kakitangan Penang Institute mempunyai kaitan dengan felo Central European University.

"Dalam kata lain, Penang Institute tidak mempunyai apa-apa kaitan dengan organisasi di atas, seperti yang didakwa," katanya dalam kenyataan.

Dakwaan berkenaan berpunca dari 'kebocoran dokumen' yang diperolehi dari laman web yang dikenali sebagai DC Leaks.

Dalam dokumen berkenaan, Penang Institute disenaraikan sebagai benefisiari geran pengajian bagi program felo siswazah di Central European University untuk pengajian dasar awam di Hungary.

Mengulas lanjut, Zairil berkata, pihaknya terkejut membaca laporan oleh akhbar arus perdana yang mengaitkan Penang Institute dengan organisasi berkenaan.

Penang Institute adalah badan pemikir dasar awam kerajaan negeri Pulau Pinang dan tidak menerima bantuan kewangan daripada sumber asing tanpa kelulusan kerajaan negeri, jelasnya.

"Oleh itu, sebarang usaha untuk mencemarkan imej kami dengan tuduhan-tuduhan tidak berasas adalah berniat jahat.

"Justeru, kami berhak untuk mengambil tindakan undang-undang jika perlu," katanya.

Pada masa yang sama, pihaknya juga mempersoalkan motif di sebalik tuduhan-tuduhan ini terutamanya dengan menyasarkan pelbagai pertubuhan dan badan-badan bebas dan kritikal terhadap rejim pemerintah, tambahnya.

"Kami mengutuk kempen berniat jahat untuk memburuk-burukkan NGO dan institusi hanya kerana tidak sehaluan dengan kerajaan Persekutuan," katanya lagi.

Azmin: Raja-Raja tolak pelantikan ‘KSU Najib’ dalam SPR

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mendakwa BN mempergunakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dengan mendedahkan cadangan mereka untuk melantik ketua setiausaha Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebagai timbalan pengerusi, SPR.

Bagaimanapun, katanya, cadangan berkenaan tidak diterima oleh Majlis Raja-Raja.

“Tiga minggu lalu, diangkat satu nama untuk dilantik timbalan pengerusi SPR, sedangkan beliau merupakan ketua setiausaha perdana menteri,” katanya yang dipetik akhbar Sinar Harian.

“Syukur cadangan itu ditolak oleh Majlis Raja-Raja. Inilah bukti SPR dipergunakan BN," katanya ketika menjawab soalan Datuk Rosni Sohar (Hulu Bernam-BN).

Rosni telah meminta Azmin untuk membekalkan bukti campur tangan BN dalam urusan pilihan raya.

Pada sidang DUN itu, Azmin juga mempersoalkan pelantikan bekas Setiausaha Sulit Ketua Penerangan Umno Tan Sri Annuar Musa - Tan Sri Mohd Hashim Abdullah sebagai ketua SPR.

“Bagaimana SPR boleh bertindak bebas dan profesional jika pegawai kanan Umno dilantik sebagai pengerusi SPR?” soalnya.

Azmin yang juga timbalan presiden PKR berkata, sepatutnya,SPR tidak boleh dianggotai mana-mana parti politik dan berharap semua pihak mendukung bersih ke arah pilihan raya adil dan bebas.

Beliau mendakwa BN dengan jelas mempergunakan SPR, terutamanya dalam cadangan persempadanan semula yang dikemukakan pada 15 September lalu.

"SPR seolah-olah menerima arahan daripada mereka untuk mewujudkan kawasan selamat bagi BN,” katanya

Bagaimanpun, beliau yakin, pelantikan bekas Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman sebagai naib presiden BERSATU mampu membantu mendedahkan konspirasi BN dalam pilihan raya sebelum ini.

PARTI ISLAM BUKA PINTU KEPADA YANG TAHU ADAB, BERADAD SANGATKAH PARTI ISLAM ITU?

Ketua Penerangan Parti Islam SeMalaysia Pusat, YB Nasruddin Hassan menulis bahawa Parti itu tidak pernah menutup pintu buat tetamu yang tahu adab dan menghormati serta memelihara maruahnya. Kenyataan tersebut nampak begitu murni, suci, comel dan sweet sangat. Ia menggambarkan betapa besarnya jiwa Parti Islam itu untuk berbincang dengan sesiapa saja asalkan yang ingin berbincang itu tahu adab dan tidak ganggu rumahtangga Parti Islam itu. Syabas dan tahniah.

Syabas dan tahniah kerana kenyataan tersebut membuka ruang untuk aku menulis membuktikan bahawa sebenarnya Parti Islam tu hanya retorik, bermain dengan kata-kata, manis mulut tetapi hati busuk. Bak kata pepatah "Kata dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih".

Parti Islam hanya akan berunding dengan pihak yang tahu adab dan tidak kacau rumahtangga mereka.

Persoalannya :

a) adakah Parti Islam itu tahu adab?
b) Adakah Parti Islam itu tidak pernah ganggu rumahtangga orang?
c) Adakah Parti Islam itu tidak pernah mungkir janji?
d) Adakah Parti Islam itu tegas dengan prinsip?

Nah meh aku nak buktikan satu persatu.

a) Parti Islam tiada adab.

Parti tidak salah kerana parti hanya parti tetapi yang menggerakkan dan menentukan hala tuju parti ialah pemimpin. Apabila aku kata parti maknanya aku rujuk kepada pemimpin parti. Beradadkah Parti Islam?

Telah dipersetujui secara konsensus bahawa jawatan Menteri Besar Selangor adalah hak Parti Keadilan Rakyat (KeADILan). Walau pun Kerajaan Negeri Selangor dianggotai oleh tiga (3) parti semasa kewujudan Pakatan Rakyat, kerusi MB dipersetujui oleh KeADILan. Apabila KeADILan mengambil keputusan hendak menukar MB, sewajarnya atas persetujuan asal, Parti lain termasuk Parti Islam tiada hak membantah. Memberikan pandangan tiada masalah tetapi membantah itu TIDAK BERADAB kerana ianya bukan hak Parti Islam. Parti Islam itu bukan saja membantah malah menghantar nama wakil mereka kepada Istana untuk dipilih sebagai MB.

BERADAB la sangat.

b) Adakah Parti Islam itu tidak pernah ganggu rumahtangga orang?

Dalam krisis MB Selangor, apabila KeADILan mengambil keputusan menggantikan Tan Sri Khalid dengan calon lain, Parti Islam itu bukan saja membantah, mereka siap memberikan sokongan penuh kepada Tan Sri Khalid. Siap buat solat hajat perdana di Kediaman Rasmi MB. Menyokong ahli parti lain yang hendak ditukar oleh parti sendiri tu tidak ganggu rumahtangga orang lain ka?

Pernah juga suatu ketika Setiausaha Parti Islam Kawasan Titiwangsa mengutus surat terbuka meminta ditukar suka sama suka antara Tan Sri Khalid dengan Hj Khalid Samad. Wahhhhhh BERADAB la sangat.

c) Adakah Parti Islam tidak pernah mungkir janji?

Untuk menghadapi PRU13, semua parti di dalam Pakatan Rakyat bersetuju untuk tidak bertanding sesama sendiri. Maksudnya akan berlaku perlawan 1 lawan 1 antara PR dengan BN. YA ada persetujuan!!! Tetapi apa yang berlaku?? Parti Islam meletakkan juga calonnya di kawasan yang ditandingi oleh KeADILan di Kota Damansara dan Sg Acheh contohnya.

Parti Islam berjanji hanya akan pinda Enakmen Jenayah Syariah Kelantan tetapi digubal yang baru.

BERADAB la sangat.

d) Adakah Parti Islam itu tegas dengan prinsip?

Prinsip Islam ialah berkata benar walau pun pahit. Prinsip Islam ialah yang benar itu benar walau siapa pun yang melakukannya, yang salah itu tetap salah tak kira siapa pelakunya.

Dalam keadaan Umno/BN melakukan kerosakan yang amat sangat, apa prinsip Parti Islam? Prinsipnya tidak boleh ganggu kerana tiada bukti. Nak bukti apa lagi kalau yang menyonglap itu sendiri mengaku?

Prinsip Islam juga tidak akan memungkiri janji, prinsip Islam juga tidak akan memaki hamun mengkafirkan orang. Prinsip apa yang Parti Islam itu pakai?

Cermin diri dulu sebelum nak kata orang lain tidak beradab. Jika benar sekali pun pihak lain khususnya DAP tiada adab, mereka majoritinya bukan Islam. Tiada perkiraan dosa pahala tetapi Parti Islam yang konon dasarnya Islam, prinsipnya Islam, tidak beradab, mungkir janji lebih teruk daripada yang tidak Islam.

Malu la sikit. Islam apa tak senonoh macam tu. Islam bukan hanya dipakaian berserban berjubah.

Aku Ahli DAP.

ZULHAZMI SHARIFF
4 NOVEMBER 2016

Konspirasi BN dalam pilihan raya bakal terbongkar


Azmin Ali

SHAH ALAM - Pelantikan bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman sebagai Naib Presiden Bersatu dijangka dapat membantu mendedahkan konspirasi BN dalam pilihan raya sebelum ini.

Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, menerusi pelantikan itu, beliau percaya penipuan dilakukan BN dapat didedahkan kepada semua.

Katanya, jelas SPR dipergunakan parti itu, contohnya dalam isu persempadanan semula.

"SPR seolah-olah menerima arahan daripada mereka untuk mewujudkan kawasan selamat bagi BN,” katanya ketika sesi perbahasan di Sidang Dun Selangor, semalam.

Dalam perkembangan sama, Mohamed Azmin turut mempersoalkan pelantikan bekas Setiausaha Sulit kepada Tan Sri Annuar Musa, Tan Sri Mohd Hashim Abdullah sebagai Pengerusi SPR.

“Bagaimana SPR boleh bertindak bebas dan profesional jika pegawai kanan Umno dilantik sebagai pengerusi SPR?.

“Tiga minggu lalu, diangkat satu nama untuk dilantik timbalan pengerusi SPR, sedangkan beliau merupakan ketua setiausaha perdana menteri. Syukur cadangan itu ditolak oleh Majlis Raja-Raja. Inilah bukti SPR dipergunakan BN," katanya menjawab soalan Datuk Rosni Sohar (Hulu Bernam-BN) yang mahu bukti campur tangan BN dalam urusan pilihan raya.

Mohamed Azmin berkata, badan ini tak boleh dianggotai mana-mana parti politik dan berharap semua pihak mendukung bersih ke arah pilihan raya adil dan bebas.





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...