TERKINI :

Thursday, October 27, 2016

TMJ Persoal Keputusan FAM Selamatkan Pahang, PDRM


PETALING JAYA: Penaung kelab JDT, Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim mempersoalkan keputusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memotong tiga mata pasukannya yang dilihat sebagai cubaan membantu mengekalkan Pahang dan PDRM dalam saingan Liga Super pada musim depan.

Menerusi kenyataan yang disiarkan dalam laman Facebook, Johor Southern Tigers, Tunku Ismail mengulas tentang isu penggantungan Juan Martin Lucero yang dikatakan menerima tiga kad kuning, tetapi tiada pihak dari FAM atau Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) memaklumkan perkara itu kepada pihaknya.

Malah jelas beliau, tiada surat rasmi atau surat hitam putih yang diberikan oleh Jabatan Perundangan FAM berhubung penggantunggan Lucero.

"Soalan saya adalah berkaitan statut FAM yang jelas menyatakan 72 jam selepas perlawanan tidak boleh ada apa-apa protes, kenapa pula Jawatankuasa Tatatertib FAM memanggil sidang mesyuarat dan memutuskan keputusan iaitu Pahang mendapat tiga mata percuma selepas dua bulan?

"Dan juga pada masa ini cuba menyelamatkan PDRM yang diuruskan oleh menantu Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi," katanya.

Selain itu, Tunku Ismail mendakwa, pihak tertentu di dalam FAM, ahli jawatankuasa dan lain-lain tidak suka kepada pasukan Pulau Pinang yang diuruskan oleh Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang, Datuk Gary Nair.

Beliau mendakwa, Gary merupakan musuk FAM kerana beliau membantah berkenaan polisi Sultan Pahang sebagai Presiden FAM (sewaktu Sultan Pahang menjadi Presiden FAM).

"Disebabkan itu, FAM pada masa ini mahu menurunkan Pulau Pinang kerana hendak menyelamatkan pasukan yang penting bagi mereka dan FMLLP," katanya.

Tunku Ismail membangkitkan persoalan bahawa sepatutnya pasukan Pahang patut disingkirkan.

"(Ini) kerana sudah dua bulan. Dalam status tersebut jelas mengatakan selepas 72 jam, mana-mana pasukan tidak boleh membuat sebarang protes atau bantahan.

"Itu adalah undang-undang. Jadi selama ini apa yang telah ditunjukkan kepada saya adalah semua keputusan yang dilakukan sendiri oleh oleh Ahli Jawatankuasa Tatatertib tanpa merujuk kepada statut tersebut," katanya.

Dalam pada itu, Tunku Ismail yang kini berada di Madrid, Sepanyol untuk berucap pada Sidang Kemuncak Bola Sepak Dunia, turut memberi amaran bahawa beliau akan mendedahkan betapa korup pihak FAM.

"Saya ingin memberi ucapan tentang usaha kita membantu bola sepak tanahair Malaysia dan bola sepak di Asia Tenggara serta beritahu mereka mengenai pencapaian JDT.

"Dan buat masa ini jikalau macam inilah perangai orang FAM, saya akan tukar fikiran. Saya akan ceritakan di mata dunia, seluruh dunia yang berada di 'World Football Summit' betapa korupnya FAM," katanya.

Terdahulu, (FMLLP) menjelaskan badan itu tidak mempunyai kuasa mengenakan tindakan disiplin terhadap pasukan yang menurunkan pemain sepatutnya menjalani hukuman penggantungan perlawanan dalam Liga Malaysia.

Jurucakap FMLLP yang enggan namanya disiarkan ketika dihubungi Bernama, sebaliknya berkata hanya Jawatankuasa Tatatertib FAM mempunyai kuasa berbuat demikian terhadap pasukan yang melanggar peraturan tersebut.

"Tugas FMLLP hanya menguruskan bahagian media, komunikasi dan pemasaran Liga Malaysia, manakala FAM masih bertanggungjawab dalam hal tatatertib, pengadilan, undang-undang, perubatan, keselamatan dan integriti," jelas sumber itu.

Maaf KU LI...semuanya sudah terlewat...!!

PETALING JAYA: Sudah terlewat untuk ahli Umno mendisiplinkan pemimpin parti yang dilihat menyimpang daripada perjuangan parti itu, kata seorang bekas ketua cawangan Umno.

Naib Presiden Gerakan Ketua Cawangan Umno Malaysia (GKCM), Rushdan Mohamed mengulas kenyataan Tengku Razaleigh Hamzah semalam yang menggesa ahli Umno bertegas mengingatkan pemimpin parti kembali menggerakkan negara mengikut visi pengasas negara.

“Masa menegur sudah berlalu, sudah terlambat. Sekarang waktu untuk ahli meninggalkan Umno,” katanya ketika dihubungi FMT.

Beliau berkata kritikan yang disuarakan sejumlah pemimpin akar umbi kepada pimpinan tertinggi, terutama Presiden Datuk Seri Najib Razak, sebelum ini dibalas dengan tindakan disiplin.

“Jelas Umno sudah tidak dapat diselamatkan, sebarang teguran sudah tidak berguna. GKCM menggesa ahli menyertai mereka yang sudah meninggalkan Umno untuk menyertai Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM),” katanya

Memetik pepatah “busuk ikan bermula dari kepala”, Ku Li yang juga ahli Parlimen Gua Musang berkata hanya ahli Umno yang dapat menjamin masa depan parti itu yang kini dilihat menjaga kepentingan pemimpinnya.

Pada Disember lalu, Lembaga Disiplin Umno memutuskan untuk menggantung keahlian 8 ketua cawangan di Teluk Kemang selama 6 tahun kerana menggesa Najib meletakkan jawatan sebagai presiden.

Rushdan yang pernah mengetuai Umno Cawangan Rista Villa Perdana turut dipanggil Jawatankuasa Disiplin ekoran tindakannya membakar buku Perlembagaan Umno pada 26 Jun lalu, sebagai simbolik membantah pemecatan Timbalan Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin, Naib Presiden Datuk Seri Shafie Apdal dan bekas menteri besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Beliau yang kini ahli PPBM memaklumkan sebahagian besar ahli GKCM sudah menyertai parti yang dipengerusikan bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad itu.

Apa nasib pelajar, pensyarah lepas PM umum tutup 9 maktab guru?

Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (KPPK) mahu kepastian status dan nasib pensyarah serta pelajar yang bakal terjejas berikutan keputusan kerajaan untuk menutup sembilan daripada 27 institut latihan guru yang terdapat di negara ini.

Presidennya, Kamarozaman Abd Razak, mengulas kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ketika pembentangan Bajet 2017 minggu lalu yang berkata, sembilan institusi akan dijadikan politeknik dan kolej vokasional.

Kamarozaman mengakui bahawa kesatuan itu ada berjumpa dengan wakil daripada Kementerian Pendidikan sebelum Bajet 2017 dibentangkan dan telah dimaklumkan bahawa institusi berkenaan akan "dinaikkan taraf".

“Kita dah tau cerita tentang institut pendidikan guru (IPG) ini akan dinaiktaraf, cuma dia (kementerian) tak panggil berbincang secara terperinci," katanya kepada Malaysiakini.

Sehubungan itu, KPPK berharap mesyuarat akan datang dengan Kementerian Pelajaran akan membincangkan isu-isu berkaitan pelajar dan pensyarah yang terbabit.

Kamarozaman bagaimanapun berkata beliau tidak pasti bila mesyuarat itu akan diadakan, walaupun telah diberi kepastian ia akan diadakan.

“(Kita) nak tau adakah pensyarah diserapkan ataupun kekal ataupun pergi ke sekolah ataupun pergi ke politek-politek lain. Politek dulu pun guru.

“Kesatuan belum lagi dipanggil untuk berbincang (mengenai perkara ini),” katanya.

Selain nasib pensyarah, KPPK juga ingin bimbang dengan masa depan pelajar semasa di sembilan institusi berkenaan.

“Saya jangka (pelajar) akan dipindahkan ke IPG yang lain, mengikut pilihan masing-masing,” katanya.

Kamarozaman berpendapat bahawa 18 institut lain lebih daripada mencukupi bagi menampung pelajar-pelajar ini.

Ini adalah kerana sejak tempoh dua tahun yang lalu, kerajaan telah mengurangkan pengambilan guru pelatih daripada semua IPG.

“Pengambilan guru semakin berkurangan kalau ikutkan dari segi unjuran kita kalau kita tgengok dengan kementerian, IPG ada 27.

“Jadi tak efektif kalau berlaku kekosongan bangunan,” katanya.

Pengacara Bernama TV dakwa digantung kerana 'pendedak'


Pengacara popular Ruang BicaraBernama TV, Dahlan Maamor digantung daripada menjadi hos program itu selepas mendakwa mendapat 'protes hebat daripada media Umno'.

Tindakan itu dikatakan dibuat selepas Dahlan menulis di Facebook mengenai pandangan peguam Adnan Seman yang memohon Datuk Seri Najib Razak berfikir secara serius untuk berundur.

Difahamkan Adnan sebelum itu dijemput sebagai tetamu dalam program berkenaan.

Dahlan berkata, tindakannya menyiarkan pandangan Adnan di media sosial dibantah oleh Setiausaha Bahagian Media Umno Malaysia, Datuk Ahmad Kamal Zailani.

Sambil menyertakan paparan kiriman WhatsApp oleh Ahmad Kamal, Dahlan berkata Pengerusi Bernama, Datuk Seri Azman Ujang kemudian bertindak menggantungnya. 

"Protes hebat daripada media Umno oleh Dato Kamal Zailani membawa kepada tindakan DS Azman Ujang yang tak profesional dan pendedak dalam pembikinan tanpa memikirkan sumbangan saya kepada Bernama TV bertindak "menggantung saya" daripada mengacarakan program Ruang Bicara.

"Kepada Azman Ujang teruskan perangai anda dengan menghukum tanpa kaji selidik dan sikap anda membuatkan ramai yang turut terkilan dan bosan," katanya.

Hadi jangan jadi seperti bapa ketam, bidas Tamrin


Tamrin Ghafar

Menganggap Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang semakin tidak waras dalam kenyataannya mutakhir ini, pemerhati politik Mohd Tamrin Tun Ghafar menasihatkan agar Ahli Parlimen Marang itu segera bermuhasabah.

“Cukup-cukuplah Hadi. Kamu patut teropong diri sendiri. Usah asyik meletakkan kelemahan dan kesalahan sendiri pada orang lain. Jangan jadi bapa ketam yang masih mahu mengajar anaknya berjalan lurus,” katanya kepada Malaysia Dateline.

Reaksi bekas veteran Umno itu ekorankenyataan Hadi pada Selasa yang menjadikan keldai dan anjing gila sebagai perlambangan dalam menggesa semua ahli parti itu termasuk Ahli Parlimen dan Adun supaya beristiqamah dengan cara Islam.

"Jangan berlagak seperti keldai yang bertempik atau anjing gila yang menyalak dan menerkam mangsanya," tegas Abdul Hadi dipetik daripada tulisan pemimpin kontroversi itu di portal rasmi Pas, Harakahdaily.

Mengulas lanjut, Tamrin yang juga bekas ahli Pas, menyarankan ahli dan penyokong parti tersebut agar mengambil keputusan segera dengan meninggalkan parti bermasalah itu memandangkan sebahagian besar pemimpinnya tidak lagi rasional jauh sama sekali mengamalkan nilai Islam dalam berpolitik.

“Bukan sekali Abdul Hadi bermulut celupar begitu. Bahkan pelapisnya seperti Nasrudin Hassan (Ahli Parlimen Temerloh) pun pernah menyebut tentang siku dan lutut menggambarkan pendekatan politik samseng pemimpin parti yang kononnya Islam itu.

“Molek Hadi dan pemimpin Pas perbetulkan diri sendiri daripada terus menganggu fokus rakyat untuk menumbangkan Umno-BN yang dikepalai Najib.

"Pas perlu betulkan rumah tangga dulu, usah sibuk sangat menghukum orang lain dengan gelaran binatang seperti itu,” tambahnya lagi.

Pemimpin kuku besi hancurkan negara, kata Mujahid

 http://s3media.freemalaysiatoday.com/wp-content/uploads/2016/07/mujahid-rawa.jpg
Sesebuah negara akan menuju kehancuran apabila pemimpin bertindak secara kuku besi terhadap pihak yang membongkar penindasan dan rasuah, tegas Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa (Amanah-Parit Buntar).

"Suasana manusia yang mahukan sebuah negara yang dapat memberikan kepadanya rasa belas dan rahmat serta bebas adalah idaman seluruh warganegara.

"Namun ada juga pemimpin negara yang merasakan dirinya mula terancam apabila teguran kepada kefasadan (kerosakan) politik seperti rasuah dan penindasan disambut dengan tindakan ala kuku besi bertopengkan undang-undang dan kuasa yang ada. Saat itu sesebuah negara akan menuju kehancuran," ujarnya dalam perbahasan Bajet 2017 semalam.

Beliau berkata, skandal kewangan syarikat pelaburan negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang menanggung kadar hutang terlalu besar dan terkait dengan Perdana Menteri masih belum disiasat.

"Perkara asas menuntut jawapan seperti skandal 1MDB, jumlah besar wang RM 2.6 bilion dalam akaun Perdana Menteri dan lain-lain dibalas dengan pelbagai helah yang tidak menjawab hatta perkara asas seperti menyiasat dan membawa ke pihak pengadilan mereka yang terlibat.

"Malah, bertanyakan soalan ini satu kesalahan sehingga ada yang dipecat dari jawatannya kerana soalan yang menggamit kepentingan negara dan maruah negara," tegasnya.

Mengulas tentang kecenderungan langkah kerajaan memajukan apa yang didakwa bagi kepentingan ekonomi Melayu, beliau berkata, keberkesanan pelbagai polisi berkenaan perlu diteliti semula.

"Apakah dasar-dasar ini telah gagal sehingga ia terpaksa diteruskan dalam format affirmatif dan Melayu-centric?

"Apakah masalah hubungan antara kaum yang menjadi asas penstruktran semula masyarakat dapat diselesaikan?

"Adakah sasaran kepada orang Melayu tercapai dengan mereka mampu bersaing tanpa dasar affirmatif?" soalnya.

Hal ini memandangkan, jelasnya, lahir istilah ketuanan Melayu selepas Dasar Ekonomi Baru (DEB) serta masih berleluasanya kelompok rasis masih mempertikaikan kaum lain atas asas bukan asal di Malaysia.

"Amalan perlindungan politik, akses dan ugutan bahaya 'bangsa lain' masih lagi berlegar dalam kelompok Melayu, diwajarkan persempadanan semula atas kaum dan momokan DAP anti Melayu dan golongan tertentu liberal dan sebagainya," ujar beliau.

Sehubungan itu, beliau berkata, belanjawan yang dikemukakan harus melihat stuktur baharu masyarakat dan perkembangan semasa di luar kawalan yang melahirkan pemikiran baharu dalam rakyat menilai segala tindak-tanduk kepimpinan politik negara.

Menurut Dr Mujahid yang juga Naib Presiden Amanah, sistem ekonomi hari ini yang telah melahirkan keseluruhan bajet negara sejak merdeka tidak lagi relevan kerana jurang ketara ekonomi antara kaum dan sesama kaum masih gagal ditangani.

"Tidak ada satu penilaian dan 'assessment' rasmi kesan kepada dasar affirmatif yang telah berlangsung sekian lama khususnya dalam melahirkan jurang ketidaksamaan antara kaum dan intra kaum.

"Tanpa disedari di kalangan Melayu berlaku jurang ketaksamaan yang tinggi iaitu 9.2 kali ganda antara 20 peratus teratas dengan 20 peratus terbawah mengikut MAPEN II 2001," jelasnya.

Walau bagaimanapun, beliau berpendapat banyak pihak masih belum sedar masalah sebenar dihadapi Melayu terutama dalam konteks kemajuan dan penguasaan ekonomi negara.

"Malangnya isu Melayu tidak dibawa dalam nada keperluan semasa apabila ada yang masih mengekalkan retorik Melayu bernuansakan rasis, beredarnya doktrin Melayu-Islam yang dogmatik.

"Malah kerajaan di bawah Umno pada masa negara ini memerlukan satu loncatan besar ke hadapan masih dalam nada perpaduan Melayu dan Islam yang pada hakikatnya hanyalah retorik politik.

"Mereka tidak mendasari isu Melayu yang rasuah, kepimpinan politik Melayu yang dogmatik, menghukum orang berbeza pandangan dengannya serta mengheret negara daripada menumpukan keutamaan menyelamatkan negara kepada isu yang bukan keutamaan," tegasnya.

Sehubungan itu, Dr Mujahid menyifatkan Bajet 2017 perlu terbina atas Asas Ekonomi Era Baru melalui kefahaman Maqasid Syariah iaitu kembali menjadi manusiawi dalam perancangan dan cara berfikir.

"Asas ekonomi melihat kepada keperluan universal dan manusiawi sekaligus mengubah kerangka 'ethno-centric' yang selama ini menentukan dasar-dasar ekonomi negara," ujarnya.

Selanjutnya, beliau mencadangkan Bajet Pakatan Harapan yang menyentuh soal agihan gaji dan pembangunan antara wilayah yang lebih adil serta tadbir urus yang telus.

"Pekerjaan dan gaji melalui hak dan peluang sama rata, gaji minima RM1,500 dan kurang kebergantungan kepada pekerja asing melalui kaedah levi 10 peratus setiap tahun.

"Tadbir urus melalui ketelusan pentadbiran dan akaun negara serta mewujudkan sistem pengurusan rasuah piawaian BS 10500 dan ISO 37001," ujar Dr Mujahid lagi.

PAS tak pernah kafirkan siapa tak sokong RUU Hadi

 takiyuddin-pas-hudud
KUALA LUMPUR: PAS hari ini berkata parti itu tidak pernah mengkafirkan sesiapa yang membantah rang undang-undang (RUU) 355 Akta Mahkamah Syariah yang dibentangkan presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang ke Dewan Rakyat, Mei lalu.

Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan berkata RUU itu hanya sekadar usul dan ahli Parlimen berhak menyokong atau membantahnya.

“PAS tidak terlibat dalam label melabel. Kalau orang PAS yang melabel, itu kenyataan peribadi dan tidak mewakili PAS.

“PAS memang tidak pernah bersetuju dan tidak akan bersekongkol dengan pihak yang suka melabelkan macam-macam,” katanya sewaktu ditemui pemberita di Dewan Rakyat.

Takiyuddin berkata demikian sebagai mengulas mengenai pertemuan pimpinan parti itu bersama Pensyarah Jabatan Pengajian Islam Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Muhamad Rozaimi Ramle.

Pertemuan itu turut dihadiri peguam yang juga ahli DAP Pahang Zulhazmi Shariff, bekas mufti Perlis Datuk Dr Juanda Jaya dan penceramah PKR Wan Ji Wan Hussein.

Takiyuddin bagaimanapun enggan mendedahkan bila pertemuan itu berlangsung, sebaliknya hanya berkata ia diadakan di ibu kota.

Ahli Parlimen Kota Bharu itu berkata pertemuan itu dilakukan bagi mendapatkan penjelasan mengenai tuduhan terhadap PAS yang dilakukan netizen di laman sosial.

“Perjumpaan ini tidak tertutup, memang terbuka. Ia dilakukan pengguna Facebook, tetapi saya bukan seorang pengguna laman sosial itu, jadi saya tidak tahu apa berlaku.

“Kita tidak pernah kata, kalau tolak adalah kafir. Ini proses demokrasi, siapa yang nak sokong, sokong. Yang tidak mahu sokong, tidak perlu sokong,” katanya.

RUU 355 antara lain ingin memasukkan seksyen baharu iaitu Seksyen 2A yang menyebut:“Mahkamah Syariah berhak menjatuhkan hukuman yang dibenarkan undang-undang syariah berkaitan hal kesalahan disenaraikan di bawah seksyen disebutkan di atas selain hukuman mati”.

Nurul Izzah tempelak Najib 'bakul sampahkan' Wawasan 2020

http://mk-cdn.mkini.net/1025/7f535a787c507fc5bec3237b94b245b5.jpg
Wawasan 2020 yang diperkenalkan oleh bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini dipertahankan oleh Nurul Izzah Anwar, sesuatu yang agak mengejutkan banyak pihak.

Anggota Parlimen Lembah Pantai dari PKR itu mempertahankan dasar yang pernah diperkenalkan oleh bekas musuh ketat bapanya itu dengan membidas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kerana 'membakul sampahkan' wawasan tersebut.

"Saya tidak faham bagaimana Pekan (Najib) boleh menafikan wawasan yang telah dibina sekian lama," Nurul Izzah memberitahu Dewan.

Najib semasa pembentangan Bajet 2017 mengumumkan Transformasi Kebangsaan 2050 atau TN50 yang disifatkan oleh banyak pihak sebagai penolakan kepada Wawasan 2020.

Wawasan 2020 adalah agenda Mahathir untuk melihat Malaysia menjadi sebuah negara maju.

Nurul Izzah berkata, walaupun pembangkang mengkritik rejim autokratik yang lalu, mereka tidak pernah membenci aspek peribadi.

Oleh itu, ujar beliau, pembangkang tidak pernah menyerang Wawasan 2020.

"Kita mungkin tidak bersetuju dengan banyak perkara yang Mahathir lakukan, banyak kekejaman tetapi apabila melibatkan wawasan yang menggariskan masa depan bersama (kami tidak menyerangnya)," tambahnya.

Apa lagi yang melayu mahukan..?


Apa lagi yang Melayu mahukan?

Khalid Samad

ULASAN l Kepimpinan politik Melayu telah berada di tangan Umno sekian lama. Walaupun Umno telah dilanda berbagai skandal dan masalah, namun secara umumnya, masyarakat Melayu masih menerima kepimpinan Umno. Kedudukan Umno sebagai parti bangsa Melayu telah pada waktu tertentu tercabar, itu pun hasil dari perpecahan yang telah berlaku dalam Umno. Parti serpihan Umno, bermulanya dengan PAS, kemudian Semangat 46 dan PKR telah menghakis sokongan Melayu terhadap Umno, tetapi hanya untuk seketika. Kemudiannya sokongan tersebut telah kembali pada Umno walaupun Umno terus dikaitkan dengan corak kepimpinan yang korup dan rasuah.

PAS yang telah wujud sejak tahun 50an dilihat secara tradisinya sebagi saingan pada Umno. Namun, setelah 60 tahun telah tetap tidak berjaya mencabar kedudukan Umno sebagai parti politik utama orang Melayu. Kecuali hanya di daerah dan negeri tertentu. Secara umumnya dianggarkan tidak sampai 30 peratus masyarakat Melayu bersama PAS. Itu pun sokongan tersebut tercapai hanya sejak tahun 1998 sedangkan sebelum itu sokongan PAS hanya terdapat di negeri Kelantan, Terengganu serta Kedah dan Perlis.

PAS mengaku tak mampu?

Keadaan ini mungkin antara sebab mengapa PAS sudah berubah pendekatan, kecewa dengan kegagalan mendapatkan sokongan majoriti Melayu, maka mula bermesra dengan Umno. Sepertimana yang dikatakan Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang :“Nakkan undi Umno, perlu berbaik dengan Umno”. Kata-kata itu dengan sendirinya menzahirkan kesimpulan bahawa cara selama ini yang diikuti PAS tidak boleh diguna-pakai. Sokongan Melayu terhadap Umno begitu kental dan tidak boleh berubah dengan PAS melawan Umno. PAS mesti berkawan dengan Umno.

Malangnya tindakan sebegitu menyebabkan PAS berpecah. Ingin tambah undi melalui pendekatan baharu tetapi akhirnya hilang sokongan sebahagian ahli dan pimpinan sendiri! Sedangkan yang dengan Umno tetap dengan Umno. Dengan berpecahnya PAS sehingga tertubuhnya AMANAH, kemungkinan sokongan 30 peratus tersebut telah menjadi tidak lebih dari 20 peratus. Ini yang dikatakan pepatah Melayu, “yang dikendung tercicir, yang dikejar terlepas”.

Wujudnya PKR

Dengan wujudnya PKR (dahulunya dikenali sebagai Parti Keadilan Nasional) pada tahun 1998, maka sokongan Melayu terhadap Umno turut terhakis lagi. Pada awalnya, sebaik sahaja Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat dan muncul dengan mata lebamnya, hampir 30 peratus masyarakat Melayu bersama PKR. Ini menyebabkan pada tahun 1999, lebih 50 peratus undi Melayu telah bersama gabungan Barisan Alternatif (BA) apabila dicampurkan sokongan Melayu pada PAS dan PKR. Namun undi bukan Melayu pula tidak bersama BA pada ketika itu. Maka, undi bukan Melayu menyelamatkan Umno/BN dalam pilihan raya tersebut.

Dalam keadaan sekarang Melayu yang bersama PKR mungkin tidak lebih dari 20 peratus. Itulah sebabnya apabila dicampurkan sokongan Melayu terhadap PAS dan PKR, ianya sekadar lebih kurang 40-45 peratus sahaja sepertimana undi yang diperolehi pada pilihan raya 2008 dan 2013.

Melayu tetap bersama Umno?

Keadaan di mana sokongan majoriti Melayu tidak berganjak dari Umno terus menjadi sesuatu yang menghairankan ramai. Apa yang perlu dilakukan sehingga Melayu boleh dibawa berhijrah dari Umno?

Kalau ingin terlebih dahulu melihat pemimpin Umno melakukan rasuah dan penyelewengan, baru mahu tinggalkan Umno, ini sudah pun berlaku secara besar-besaran. Kalau ada rekod dunia untuk rasuah dan penyelewengan, saya yakin Malaysia akan mendapat emas.

Kerajaan tidak akan berjaya ditukarkan tanpa berlakunya anjakan sokongan Melayu dari Umno kepada pihak yang lain. Sedangkan Melayu tetap bersama Umno/BN!

Soal keyakinan?

Tetapi ada juga yang mengatakan ianya soal ‘keyakinan’. Keyakinan terhadap kemampuan pemimpin ‘Melayu pembangkang’ berbanding pemimpin Melayu Umno. Khususnya ketidakyakinan rakyat Melayu terhadap kemampuan kepimpinan Melayu pembangkang menangani kepimpinan bukan Melayu pembangkang! Mengikut pandangan mereka, teruk macam mana sekalipun Umno, Umno tetap menguasai BN. Melayu Umno mendominasi bukan Melayu dalam BN. Adakah Melayu pembangkang dapat mempertahankan kepentingan dan hak Melayu dalam gabungan pembangkang? Ini yang dikatakan sebagai kekhuatiran utama.

Ada yang memahami tindakan PAS keluar dari Pakatan Rakyat (PR) dari sudut ini. Ada yang melihatnya sebagai pengakuan ketidak-mampuan pimpinan utama PAS khususnya presidennya untuk berhadapan dengan pemimpin-pemimpin DAP. Dalam keadaan takut PR akan dikuasai yang bukan Islam dan bukan Melayu, maka PAS mencari alasan untuk keluar dari PR dan dimulakan penubuhan Blok ke-3 yang dapat dikuasai PAS. Pendekatan ini digabungkan pula dengan pendekatan mesra Umno.

Namun demikian, kurang keyakinan diri yang menghasilkan tindakan sebegini, tetap tidak mampu melepaskan Melayu dari genggaman kepimpinan Umno. Sebaliknya ianya mengukuhkan kedudukan Umno apabila imej Umno telah sedikit sebanyak ‘dibersihkan’ oleh pimpinan PAS. Sememangnya imej Umno amat sangat perlu dibersihkan. Dan apabila ianya sudah dibersihkan, maka genggaman Umno ke atas Melayu akan bertambah kukuh. Pada ketika itu Umno tidak perlu lagi kepada PAS dan apakah yang akan terjadi kepada PAS ketika itu?

Perubahan melanda politik Melayu

Tetapi yang lebih penting dari melihat kepada tindakan kecewa dan hilang keyakinan diri PAS adalah melihat pada apa yang telah berlaku dalam arena politik Melayu sejak itu. Tanpa diketahui atau dirancang, perubahan senario politik Melayu bergolak lagi. Selain penubuhan AMANAH, telah turut muncul juga BERSATU. Maka perjuangan untuk membebaskan Melayu dari genggaman Umno mampu diteruskan lagi walaupun PAS masih belum lagi bersama. Malahan tanpa PAS, mungkin ianya bergerak dengan lebih cergas lagi.

Kalau dilihat sekarang ini, kepimpinan Melayu pembangkang terdiri dari satu senarai nama yang mengkagumkan. Ianya mengandungi nama-nama seperti Anwar Ibrahim, bekas Timbalan Perdana Menteri (1993 - 1998), Tun Dr Mahathir Mohamad, bekas Perdana Menteri (1982 -2004) dan Tan Sri Muhyiddin Yassin, bekas Timbalan Perdana Menteri (2014- 2016). Begitu juga turut disenaraikan nama pemimpin-pemimpin yang tidak kurang hebatnya berbanding senarai pimpinan Umno. Orang-orang seperti Mohamad Sabu, seorang yang terbukti istiqamahnya memperjuangkan kepentingan rakyat, Datuk Seri Azmin Ali, Salahuddin Ayub, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, Nurul Izzah Anwar, Dr Siti Mariah, Dr Dzulkifli Ahmad, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa, Dr Hatta Ramli dan sebagainya turut tersenarai. Kesemuanya pemimpin Melayu yang berkaliber.

Turut juga bersama adalah dua bekas Presiden Persatuan Ulama Malaysia iaitu Ustaz Ahmad Awang dan Ustaz Abdul Ghani Shamsuddin. Begitu juga cendiakawan dan ilmuan Islam seperti Dr. Siddiq Fadhil dan Dr. Mohd Nor Manuti serta ramai lagi.

Kepimpinan sudah ada, mahu apa lagi?

Berdasarkan senarai nama yang sebegini rupa, apa lagi yang diinginkan Melayu sebelum sanggup memberanikan diri ke arah perubahan? Dalam bahasa mudah, “Apa lagi Melayu mahu?” sebelum berani bertukar?

Suasana kebobrokan begitu mendesak supaya perubahan berlaku. Apa alasan yang munasabah untuk Melayu terus ketakutan? Sedangkan keperluan untuk perubahan telah Allah Taala sediakan!

Kita semua tahu bahawa sekiranya sokongan Melayu terhadap Umno tidak berpindah, maka perubahan tidak akan berlaku. Umno/BN akan terus memerintah sambil pemimpin negara akan terus merompak harta rakyat. Keadaan akan menjadi semakin sukar dan Negara akan hanya bertambah dalam hutangnya. Pendapatan akan semakin mengecil serta akhirnya rakyat akan semakin terbeban dan kebanyakan rakyat yang terbeban itu adalah rakyat Melayu.

Oleh itu adalah amat sangat diharapkan bahawa bangsa utama negara kita ini iaitu bangsa Melayu akan berani berubah. Semoga mereka akan yakin dengan kemampuan bangsa sendiri dan kepimpinan Melayu pembangkang yang telah dikurniakan Allah Taala sekarang. Oleh itu, dengan apa yang telah Allah Taala sediakan maka tiada lagi sebarang alasan Melayu untuk terus mengekalkan Umno/BN.

KHALID SAMAD adalah ahli parlimen Shah Alam dan tulisan ini telah diterbitkan di dalam akhbar AMANAH Bil. 22 (23-29 Oktober) yang sedang berada di pasaran.





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...