TERKINI :

Tuesday, October 18, 2016

Rakyat dibebani GST sebab hutang negara

GST

KOTA BHARU – Rakyat tidak akan dibebani dengan GST jika pemimpin Umno dan BN memerintah dengan penuh adil dan tiada ketirisan berlaku dalam pentadbiran negara.

Exco Pemuda Pas Pusat, Nor Azariza Mohd Alawi berkata, memang GST menjadi penyelamat ekonomi kini dan kerajaan menggunakan GST sebagai medium untuk memastikan rakyat dapat membantu menyelesaikan hutang negara yang banyak.

"Memang GST penyelamat ekonomi yang telah lumpuh akibat daripada tangan ganas pemimpin BN itu sendiri. Kini kerajaan terpaksa ambil duit rakyat untuk bantu dengan cara memperkenalkan GST, naikkan harga minyak, harga tol. Dengan ini menunjukkan bahawa rakyatlah terpaksa menanggung hutang Negara yang dibuat oleh pihak yang tidak bertanggungjawab ini," katanya.

Beliau diminta mengulas mengenai jawapan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika menolak cadangan pengurangan cukai GST daripada enam kepada tiga peratus.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan oleh Liew Chin Tong (DAP-Kluang) di Parlimen, hari ini.

Menurutnya, negara tidak sepatutnya berhutang dan GST tidak wujud, sekali gus rakyat akan hidup dalam keadaan baik tanpa sebarang tekanan daripada kenaikan harga barang dan pelbagai lagi.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Pemuda Pas Negeri berkata, sebelum ini seorang menteri pernah berkata, GST tidak akan menyebabkan kenaikan harga barang, malah harga akan turun, jauh lebih murah daripada kini.

"Apakah barang yang akan turun harga itu, senaraikan kepada kami. Sampai sekarang kita tidak jumpa lagi barang turun harga, malah harga lebih meningkat lagi.  Kita tidak menentang cukai, cukai dikenakan pada barang tertentu dan pada tempat tertentu yang eksklusif. Restoran besar yang mana dikunjungi orang kaya, itu adil bagi mereka yang ada lebihan perbelanjaan.

"Tetapi GST yang diperkenalkan dikenakan kepada semua rakyat. Maka ini adalah cukup tidak adil. Jika mereka kata GST itu penyelamat, ia mesti dibaca dengan maksud bukan penyelamat sebenar, tetap penyelamat kepada ekonomi yang merudum," katanya.

SU Hadi jawab isu 'balik awal'‎

Abdul Hadi Awang

KUALA LUMPUR ‎- Setiausaha Politik kepada Ahli Parlimen Marang, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menjelaskan ‎Datuk Seri Abdul Hadi Awang keluar awal daripada Sidang Dewan Rakyat hari ini, kerana ada urusan lain.

"Tuan Guru (Abdul Hadi) keluar awal kerana ada urusan," katanya ringkas  kepada Sinar Online hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjelaskan isu kepulangan awal Hadi daripada Sidang Dewan Rakyat hari ini, selepas Usul Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian Akta 355 yang menjadi tumpuan banyak pihak sebelum ini untuk dibentangkan oleh Hadi tidak berjaya dibentangkan semalam.

[ARTIKEL BERKAITAN: Hari kedua: Usul RUU 355 jatuh ke bawah]

Sementara itu hari ini, menyaksikan  usul tersebut jatuh ke senarai ketujuh aturan mesyuarat selepas tersenarai pada kedudukan keempat pada hari pertama Parlimen bersidang semalam.

Sementara itu, Hadi hadir hari ini kira-kira sejam dan sempat berhujah mengenai isu Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sebelum bergegas keluar daripada Sidang Dewan Rakyat.

Sejurus keluar daripada Dewan Rakyat, Abdul Hadi diserbu oleh wartawan, namun sedikit hampa apabila beliau hanya berdiam diri dan tersenyum.‎

Tidak lama kemudian, Abdul Hadi mengangkat tangan beliau, sebelum berlepas pergi menaiki kereta untuk meninggalkan bangunan Parlimen.

‎Sementara itu, Ahmad Samsuri ketika ditanya lanjut mengenai RUU 355, beliau menyampaikan keyakinan bahawa usul itu akan dibentangkan nanti.

‎" Tentang pembentangan RUU 355, kami (Pas) optimis masa dan ketika akan tiba, insya-ALLAH," katanya.

Persidangan Parlimen kali ini akan berakhir pada 24 November ini.

‘Kesalahan mencuri mereka dilindungi OSA, hanya tangan kita dipotong’

Dalam ucapan yang disampaikan di Kota Bharu, kubu kuat PAS di Kelantan, Datuk Zaid Ibrahim membidas PAS dan Umno serta mempersoalkan ‘keislaman’ mereka.

Bekas menteri di jabatan perdana menteri yang bertanggung jawap terhadap hal ehwal undang-undang itu memuat naik petikan ucapannya dalam blog petang ini dan mendakwa pemimpin kedua-dua parti itu tidak layak untuk melaksanakan hudud.

“Mereka adalah pemimpin sombong yang tidak boleh diharap oleh rakyat.

“Jika kita membenarkan mereka untuk memotong tangan bagi kesalahan mencuri, hanya tangan orang orang kita yang akan dipotong, tetapi semua mereka akan terlepas. Kesalahan mencuri mereka akan mereka lindungi oleh Akta Rahsia Rasmi.

“Jika mereka diberi kuasa melaksanakan hukuman rejam untuk kesalahan zina pula, hanya pesalah yang dalam pakatan pembangkang yang akan dihukum, sementera puak mereka sendiri akan sentiasa dilindungi kesalahannya,” katanya.

Sambil mengakui beliau tidak mempunyai masalah dengan undang-undang Allah, Zaid bagaimanapun mempersoalkan bagaimana hukum Allah mesti dilaksanakan oleh manusia.

“Pertama, kerana mereka sombong. Apa-apa sahaja mengenai Islam seolah-olah hanya mereka yang tahu dan orang lain tidak berhak untuk mempersoalkan mereka.

“Orang lain hanya perlu menerima dan akur dengan segala kata-kata dan tingkah laku mereka. Mereka ini, sama ada pemimpin politik atau agama, adalah sama dengan Taliban.

“Mereka mahu kita semua untuk mengikut mereka tanpa soalan dan jika kita tidak bersikap demikian, maka kita dianggap sebagai umat Islam yang tidak baik,” katanya.

PJ PAS PERAK suruh tolak UMNO, PKR, AMANAH & DAP jika usul RUU355 tidak dibahas

Kalau usul ruu355 tidak dibahas yg paling gembira adalah PAN PKR dan DAP. Dengan itu maka pru14 orang melayu wajib tolak umnoBN PAN DAP PKR dan sesiapa shj yg nengatakan belum masa melaksanakan hukum Allah setelah H1438.

Pesuruhjaya PAS PERAK menyatakan dalam fb beliau sedemikian...

Dari apa yang diketahui AMANAH sudah menyatakan sokongan untuk memperkasakan mahkamah syariah ini.. manakala PKR mereka ingin menunggu Marang membentangkan dahulu apa yang ingin dipinda manakala DAP semua dah tahu mereka menolak disebabkan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Jika tidak dibahas yang bersalah tentulah orang diberi peluang sebab beliau sediri yang memohon tangguhnya... bukan speaker yang mahu tangguh dan yang ada kuasa beri baca ialah speaker tetapi kenapa harus di salahkan kepada AMANAH PKR & DAP...

ANAK JATI TUMPAT

PJ PAS PERAK katakan bahawa AMANAH PKR & DAP yang paling gembira jika uusl RUU355 tidak dibahas.

Kalau usul ruu355 tidak dibahas yg paling gembira adalah PAN PKR dan DAP. Dengan itu maka pru14 orang melayu wajib tolak umnoBN PAN DAP PKR dan sesiapa shj yg nengatakan belum masa melaksanakan hukum Allah setelah H1438.

Pesuruhjaya PAS PERAK menyatakan dalam fb beliau sedemikian...

Dari apa yang diketahui AMANAH sudah menyatakan sokongan untuk memperkasakan mahkamah syariah ini.. manakala PKR mereka ingin menunggu Marang membentangkan dahulu apa yang ingin dipinda manakala DAP semua dah tahu mereka menolak disebabkan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Jika tidak dibahas yang bersalah tentulah orang diberi peluang sebab beliau sediri yang memohon tangguhnya... bukan speaker yang mahu tangguh dan yang ada kuasa beri baca ialah speaker tetapi kenapa harus di salahkan kepada AMANAH PKR & DAP...

ANAK JATI TUMPAT

Xifu Naser - RUU 355 melalaikan umat Islam..!!

Xifu Naser, 

Suasana di dalam dewan semasa Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah berkenan bertitah pada istiadat pembukaan mesyuarat pertama penggal ketiga Parlimen ke-13 di Bangunan Parlimen di Kuala Lumpur hari ini. - Foto Bernama

BEBERAPA ustaz mewajibkan sokongan terhadap RUU 355. Haram tidak sokong seolah-olah menyamakan hasil usaha manusia RUU 355 dengan wahyu, seolah-olah RUU 355 adalah Islam. Saya risau pengkafiran akan dibudayakan nanti bila ‘fatwa’ sebegini diterima bulat-bulat. Ayat “umat Islam kita mudah keliru” selalu dijadikan alasan untuk menghalalkan sesuatu fatwa seperti isu penggunaan kalimah ALLAH oleh Kristian. Kalaulah umat Islam begitu mudah dikelirukan, fatwa mewajibkan sokongan terhadap RUU 355 pasti akan mengelirukan lagi umat Islam tentang konsep kafir.

Saya juga lihat wujud budaya agamawan untuk mengeluarkan hukum berdasarkan dua alternatif sahaja iaitu kalau tak wajib, jadilah haram. Kalau tak haram, jadilah wajib. Penggunaan perkataan ‘Islamik’ pun perangkap minda kita untuk hadkan alternatif kepada dua sahaja iaitu sama ada Islamik atau tidak Islamik.

Mengapa tidak harus atau mubah, makruh dan sunat? Bahkan ada mazhab yang bezakan antara fardu dan wajib. Makruh dan sunat sendiri pun ada beberapa tingkatan. Mengapa begitu mudah hukum sesuatu perkara sebagai haram terus atau sebaliknya? Umat Islam dilalaikan daripada berfikir panjang lebih dari dua alternatif.

Saya juga risau dengan agamawan sendiri yang semakin lalai dengan budaya viral. Apa-apa isu yang dapat viralkan usaha sesuatu parti politik atau jemaah agama, maka isu ini patut diketengahkan. Apa yang utama ialah apa yang viral. Yang tidak viral adalah tidak utama. Mengapa Pas utamakan RUU 355 sekarang ini dan tidak viralkan isu kebersihan di Kelantan sedangkan salah satu azab kubur sebelum ke padang mahsyar ialah kegagalan menjaga kebersihan tandas? Kebersihan begitu diutamakan dalam Islam sehingga seseorang akan diazab dulu di kubur sebelum dibicarakan di padang mahsyar jika tidak menjaga kencingnya.

Rasuah peringkat atasan sudah kronik, mengapa tidak viralkan isu bagaimana syariah menghapuskan rasuah? Adakah pindaan RUU 355 yang meluaskan kuasa mahkamah syariah cukup luas sehingga mampu menghapuskan rasuah peringkat atasan? Atau pindaan RUU 355 hanya akan menghukum rakyat biasa yang tidak mampu merasuah bila ditangkap khalwat di hotel murah?

Bagi saya, yang lebih utama ditonjolkan sekarang ialah isu rasuah dan isu konsistensi dalam wacana agamawan. Wacana agamawan semakin tidak konsisten dan bila ini berlaku atas nama Islam, maruah Islam tercemar. Maruah Islam tidak tercemar bila umat Islam pegang anjing, tetapi akan tercemar teruk bila agamawan peringkat atasan sendiri menggunakan nama Islam untuk menghasilkan wacana-wacana kononnya  ‘Islamik’ tapi tidak konsisten.

Contohnya, kita kata Islam itu rahmat tetapi kita utamakan RUU 355 kerana undang-undang syariah yang ada sekarang dikatakan “tidak menggerunkan”. Sekejap kita kata Islam itu penyayang dan pemaaf tapi sekejap lagi kita kata Islam itu patut menggerunkan. Kemudian kita salahkan mualaf bukan Muslim kerana Islamofobia dan sengaja buat Islam nampak gerun! Sebenarnya siapa yang merancang agar Islam itu nampak gerun?

Kita kata Islam itu agama kemanusiaan tetapi kita yang viralkan isu hudud dan RUU 355 seolah-olah Islam itu lebih cenderung untuk menghukum daripada membela hak-hak kemanusiaan seperti hak ibu tunggal, hak mendapat pendidikan tinggi yang percuma. Islam lebih diviralkan sebagai agama hukuman daripada agama kemanusiaan.

Sekejap kita kata RUU 355 tiada kaitan dengan hudud, dan sekejap lagi kita kata RUU 355 tiada kaitan dengan hudud “sepenuhnya” dan sekejap lagi kita kata siapa tak sokong RUU 355, maka dia menentang hukum syariah. Kalau RUU 355 tiada kaitan dengan hudud, mengapa wajib menyokongnya?

Ayah saya, Allahyarham Tun Rahman Ya’kub, adalah menteri yang pertama membawa dan membentangkan RUU 355 pada tahun 1965 dan diluluskan Parlimen. Ayah saya juga menteri pertama yang bersungguh-sungguh melaksanakan usaha-usaha dakwah di Sarawak secara sistematik dengan mengasaskan BINA, menaikkan taraf ijazah agama supaya setaraf dengan ijazah-ijazah Barat.

Kita perlu menilai kembali RUU 355 dalam konteks awlawiyat sekarang. Jangan sokong atau menolak buta tuli sehingga lalai membela maruah Islam.

Pilihanraya ke 14, cabaran Pakatan Harapan dan Pribumi Bersatu

DR SYED ISKANDAR SYED JAAFAR AL MAHDZAR

http://www.malaysiadateline.com/images/OKT_2016/Mungkinkah_pembangkang_bersatu.jpg
Rakyat Malaysia baru-baru ini di kejutkan dengan kehadiran Tun Dr Mahathir Mohamad (Tun Dr M) di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bertemu dan bersalam serta berbincang dengan Dato Seri Anwar Ibrahim (DSAI) mengenai pendirian Tun Dr M menyokong tindakan DSAI mencabar Akta Majlis Keselamatan Negara 2015 (Akta MKN).

Tun Dr M bercadang memfailkan Affidavit Sokongan untuk menyokong permohonan DSAI dengan secara tidak langsung telah memulihkan kembali pasukan dua negarawan yang pernah memimpin negara dengan cemerlang.

Sekalipun minggu lepas Mahkamah Tinggi telah menolak permohonan DSAI namun ianya perkara biasa untuk DSAI merayu ke Mahkamah Rayuan memandangkan tindakan mencabar keesahan Akta MKN sebagai bertentangan atau ultra vires patut di putuskan oleh Mahkamah Persekutuan sebagai Mahkamah tertinggi negara ini.

Gandingan kembali dua negarawan ulung negara patut di hormati oleh semua pihak termasuk pihak berkuasa yang menjaga keselamatan negara.

Pihak berkuasa keselamatan negara kini patut mula mengadakan siri mesyuarat dan Muhasabah tentang perkembangan semasa yang sedang berlaku.

Sekiranya mereka mendapati arahan yang diterima daripada pemimpin politik yang sedang memimpin kerajaan tidak patut diterima atas pelbagai sebab kukuh maka itulah yang sewajarnya mereka lakukan demi menghormati semangat pakaian seragam pasukan masing masing.

Kita patut berhenti menjadi seperti burung unta yang menyorokkan kepalanya ke dalam pasir tetapi seluruh badan yang begitu besar tetap jelas kelihatan pada semua.

Seluruh dunia tidak mungkin cemburu dengan kejayaan kita. Apakah agaknya yang sebenarnya negara kita berjaya sehingga seluruh dunia di kata kan cemburu terhadap negara kita?.

Kejayaan Malaysia tiada di zaman pimpinan sekarang. Adakah jumlah rakyat yang begitu ramai menerima BRIM itu sesuai dikatakan satu kejayaan Malaysia? ‘Akai ada ka’, meminjam kata kata Idris Hashim dalam filem Laksamana Do Re Me.

Belanjawan pimpinan sekarang yang asyik defisit dan hutang negara mencapai RM1 trillion serta pelbagai belanja seperti biasiswa , elaun pelajar samada di hentikan atau di lewatkan pembayarannya sekadar menyebut satu dua contoh ini boleh di anggap sebagai kejayaan negara untuk di cemburui oleh seluruh dunia sehingga menyebabkan mereka mula mengambil tindakan sivil dan jenayah terhadap syarikat hutang milik negara?

Rakyat mula beralih arah menyokong gabungan Pakatan Harapan dan Pribumi Bersatu.Peralihan beramai ramai daripada parti politik pemerintah dikatakan sebagai kecil dan tidak memberi kesan kepada mereka namun jika benar begitu, mengapakah media arus perdana yang setiap bulan perlu membayar akibat dari perintah Mahkamah kerana asyik mencanangkan berita fitnah.

Justru jangan terperanjat, jika satu hari nanti media media ini tidak lagi wujud dan akhirnya lokasi asal operasi mereka akan di jadikan pusat pemprosesan najis manusia sebagai kenang kenangan tentang apa yang mereka telah lakukan sebelum ini.

Masalah utama Pakatan Harapan ialah rakan kerjasama Pakatan Harapan iaitu Parti Pribumi Bersatu ialah pertamanya, segolongan ahli ahli ini sudah sebati membenci DSAI sehingga ada yang masih enggan menerima hakikat yang kedua dua negarawan sudah berbaik baik dan bertindak lebih sudu dari kuah daripada pemimpin mereka sendiri yang telah berbaik baik demi untuk memastikan angka menyebelahi mereka semasa Piliharaya Umum ke 14 nanti.

Golongan ini akan bermuka muka dengan pemimpin mereka sendiri namun tetap cuba mempengaruhi ahli lain supaya meneruskan kebencian tidak berasas terhadap DSAI melainkan asyik mengulangi skrip lama yang sememangnya sudah basi.

Masalah kedua segolongan ahli Pribumi Bersatu ialah ada yang masih menganggap parti DAP sebagai musuh walhal yang banyak menjahanamkan negara sebenarnya bukan DAP.

Ini sekali lagi kerana sudah sebati dalam benak mereka yang berkenaan untuk membenci DAP selama lamanya tanpa sebab munasabah kecuali asyik mengulangi segala jenis berita lapok yang di reka cipta semenjak mereka belum lahir lagi dan cuma menerima bulat bulat tanpa menyemak apa yang di canangkan pada mereka.

Perbuatan golongan ini sebenarnya tidak akan membantu dalam menambah jumlah undi dalam Pilihanraya ke 14 nanti memandangkan undi kaum cina kini menyebelahi DAP bukannya MCA.

Kemenangan BN dalam 2 Pilihanraya Kecil tidak memberi indikasi yang pengundi cina menyokong MCA memandangkan pengundi Cina mungkin tertarik kepada jumlah dana serta projek yang diperuntukkan di Kuala Kangsar dan Sungai Besar.

Kehadiran golongan yang membenci DAP tanpa sebab tanpa fakta tanpa bukti boleh mengakibatkan angka yang diperlukan untuk berkuasa selepas Pilihanraya ke 14 mungkin tidak dapat di capai.

Masalah ketiga ialah segolongan yang memasuki Parti Pribumi Bersatu memasuki kerana mungkin beranggapan peluang mereka mendapat kontrak perniagaan dengan mudah sekalipun baru menubuhkan syarikat tanpa sebarang kelayakan dan pengalaman selepas menguasai kerajaan nanti akan menyebabkan mereka berpaling tadah jika terdapat janji yang lebih manis daripada pihak lain.

Ini juga virus yang sukar di rawat kerana segolongan mereka ini di lihat tak ubah seperti broker angin yang cuma berpindah ke parti baru daripada parti asal mereka, umno.

Masalah keempat ialah kemungkinan ada usaha dari dalam oleh penyokong Presiden Parti Pribumi Bersatu dan penyokong Pengerusi Parti Pribumi Bersatu untuk berebut jawatan di setiap negeri negeri dalam negara kita dan ini akan mengakibatkan perpecahan di kalangan penyokong sekalipun kedua dua pimpinan utama iaitu Pengerusi dan Presiden Parti Pribumi Bersatu di lihat boleh bertolak ansur.
Masalah kelima datangnya daripada luar iaitu tekanan hebat daripada parti pemerintah untuk mungkin menamatkan sumber kewangan saf saf pimpinan Pakatan Harapan dan Parti Pribumi Bersatu bertujuan mungkin untuk melemahkan kemampuan kewangan sebelum Pilihanraya ke 14.

Masalah keenam datangnya daripada SPR yang memindah pengundi dengan cara yang tidak munasabah dengan menjadikan setiap kawasan berasaskan kaum mahupun pemindahan anggota pasokan keselamatan dengan begitu banyak kepada sesuatu kawasan.

Masalah ketujuh datangnya daripada parti Pas yang telah menjadi tidak lagi di hormati rakyat selepas ketiadaan 3 pimpinan utama iaitu Al Marhum Dato Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat, Al Marhum Dato Seri Uztaz Azizan Razak serta Al Marhum Dato Fadzil Noor.

Pimpinan Pas sekarang lebih dilihat ingin membantu melindungi parti Umno yang dari segi sejarahnya parti berkenaan pernah menyebabkan ada pemimpin mereka terbunuh termasuklah ketika musim pilihanraya.

Blok ketiga yang di wujudkan PAS bersama parti yang tiada kerusi amat kabur status sebenarnya.

Manakala saman hari selasa pimpinan umno telah lebih setahun tiada tindakan saman fitnah langsung terhadap WSJ kini di khuatiri seolah olah akan di ulangi oleh Pas kerana dilaporkan ingin menyaman pihak Sarawak Report di London.

Tindak tanduk pimpinan baru PAS yang mahu sambung bermusuhan dengan DAP seperti yang ditegaskan oleh Mursyidul Am PAS yang baru, cuma memberi faedah kepada umno, agaknya mereka sudah lupa pesanan Al Marhum Tok Guru Nik Aziz supaya jangan di patuk binatang berbisa dalam lubang yang sama dua kali.

Tindakan tindakan serta pelbagai kenyataan pimpinan Pas ada masanya memang mahukan PAS tewas samada semasa PRU 13 di Terengganu ataupun pilihanraya negeri Sarawak 2016 baru baru ini.

Benar , Iman tidak boleh di warisi justru ianya tidak memeranjatkan jika ada anak dari kalangan keturunan ulama terbilang membuat pelbagai kenyataan yang di percayai berbohong kepada rakyat jauh berbeza dengan pendirian asal Al Marhum ayahanda sendiri.

Seterusnya segolongan pimpinan Pas sekarang mungkin mengguna pakai apa apa Qawaid Fiqhiyyah atau Islamic Legal Maxims bagi menyokong apa apa tindakan mereka seolah olah ia dapat mengubah satu tindakan yang umum lihat salah serta merugikan sebagai betul.

Masalah kelapan ialah, segala kecurangan berbukti termasuk bukti video yang melibatkan SPR ketika PRU 13 masih belum ada penutup yang memuaskan sehingga kini sekalipun sudah ada perbicaraan umum di adakan oleh pihak Bersih menerusi Tribunal Rakyat bagi mengadili apa yang berlaku.

Masalah kesembilan ialah kewujudan kumpulan kumpulan samseng sharif kampong dusun yang cuma memainkan isu perkauman yang patut di ambil tindakan serta merta oleh pihak berkuasa. Mereka ini boleh membahayakan keselamatan negara dengan pelbagai tindakan kasar serta ugutan jenayah.

Masalah ke sepuluh ialah rakyat kita terlampau baik, tidak punyai kemahuan langsung untuk bertegas mempertahankan hak masing masing.Biarlah segala harta negara di rompak sehingga licin asalkan masih kerja masih dapat gaji masih dapat Brim, biarlah.

Masalah ke sebelas, mufti yang memilih memilih untuk mengeluarkan pandangan yang diterima rakyat sebagai Fatwa. Segala isu yang mungkin menjejaskan periuk nasi Mufti, mereka akan memilih untuk membisu seperti lembu kenyang.

Mereka cuma mahu bersuara bila ada isu remeh temeh seperti Pokemon. Mungkin Sultan Sultan negeri masing masing patut memikirkan tindakan drastik yang sesuai terhadap Mufti mufti yang begitu.

Masalah kedua belas, kegagalan khutbah jumaat menyedarkan umat Islam tentang isu isu penting yang memerlukan tindak balas segera rakyat melainkan cuma berterusan mengantukkan rakyat dengan bacaan Khutbah yang berbentuk siaran ulangan topik yang sedia di ketahui rakyat.

Akhir sekali rakyat masih meletakkan harapan kepada Majlis Raja Raja untuk membantu apa yang termampu untuk memperbetulkan keadaan negara memandangkan Majlis Raja Raja yang berkuasa memilih Yang Di Pertuan Agong dan Timbalan Yang Di Pertuan Agong.

Sembah takzim dan tahniah kepada Yang Di Pertuan Agong yang baru, Al Sultan Kelantan serta Timbalan Yang Di Pertuan Agong yang baru, Tuanku Sultan Perak.

Sesuai dengan ketinggian ilmu kedua dua baginda Sultan Kelantan dan Sultan Perak, InshaaAllah rakyat mengharapkan belas ikhsan baginda berdua untuk menyelamatkan negara dengan sekadar termampu, daripada segala kerosakan.

Perlembagaan Persekutuan telah dengan jelas meletakkan Yang Di Pertuan Agong sebagai pemerintah tertinggi angkatan tentera. Ini juga telah di sahkan dengan jelas berkali kali dalam pelbagai provisi dalam Akta Angkatan Tentera 1972.

Manakala pada tahun 1958, Yang Di Pertuan Agong ketika itu turut berkenan menganugerahkan gelaran Di Raja pada pasokan polis menjadi Polis Di Raja Malaysia (PDRM).

InshaaAllah di tahun 1438 Hijrah tahun baru dalam taqween Islam, rakyat mendoakan keadaan dapat di pulih dengan kerjasama semua pihak kecuali golongan penjenayah yang patut segera di siasat dan di dakwa tanpa mengira jawatan mereka yang masih berkuasa. Wallahualam.

Final Piala Malaysia : 30hb October dan Tiket RM50 sekeping

SHAH ALAM: Lokasi dan tarikh perlawanan akhir Piala Malaysia 2016 antara Selangor dan Kedah telah ditetapkan di Stadium Shah Alam pada 30 Oktober ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP), Kevin Ramalingam, keputusan untuk menentukan lokasi dan tarikh perlawanan akhir itu dibuat berdasarkan persetujuan oleh kedua-dua pasukan iaitu Kedah dan Selangor.

"Kedah akan bermain sebagai pasukan tuan rumah manakala Selangor pula sebagai pelawat.

"Tiket-tiket perlawanan akan mula dijual pada 26 Oktober secara serentak di Stadium Shah Alam untuk penyokong Selangor dan di Stadium Darul Aman bagi penyokong Kedah," jelas beliau kepada media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Pengelola Perlawanan Akhir TM Piala Malaysia pada Isnin.

Menurut Kevin, sebanyak 70,000 keping tiket disediakan bagi perlawanan akhir Piala Malaysia edisi ke-90 ini.

"Kedah dan Selangor masing-masing akan menerima 30,000 keping tiket berharga RM50 sekeping dan tambahan 750 tiket kanak-kanak beharga RM5 sekeping untuk setiap pasukan.

"Dan bagi pembelian secara atas talian (online), sebanyak 10,000 tiket disediakan bagi dewasa dan 500 keping untuk kanak-kanak," jelas Kevin.

Dalam pada itu, Ketua Polis Shah Alam, ASP Shafien Mamat memberi amaran kepada penyokong kedua-dua pasukan agar tidak membawa barang-barang yang terlarang ke dalam stadium.

"Pintu stadium akan dibuka seawal pukul 4 petang (pada 30 Oktober) dan saya berharap tidak ada barang-barang atau objek yang boleh mengganggu perlawanan.

"Manakala hanya tujuh peralatan dram dibenarkan dibawa masuk dan peralatan itu akan diperiksa terlebih dahulu.

"Kira-kira 2,000 anggota beruniform termasuk bomba, FRU dan lain-lain bertugas pada perlawanan akhir ini.

"Kami juga akan menyediakan pasukan keselamatan berkuda bagi melancarkan proses pemantauan di sekitar stadium," jelasnya.

Pengemis mampu raih RM11,000 sebulan

Mampu raih RM11,000 sebulan


ALOR SETAR - Siapa sangka, dalam masa sebulan seorang pengemis wanita mampu memperoleh pendapatan lumayan mencecah sehingga RM11,000.

Bermodalkan lakonan air mata, wanita berusia 50 tahun ini mengaku memperoleh hasil lebih RM150 dalam tempoh dua tiga jam dengan duduk menadah tangan kepada orang ramai.

Lebih mengejutkan, wanita berkenaan sanggup menyamar sebagai orang Islam dengan memakai tudung berwarna hitam demi meraih simpati umum.

"Kalau tak pakai tudung, susah orang nak bagi duit. Kalau pakai tudung, banyak dapat," katanya ketika diselamatkan di Pasar Karat Kampung Berjaya, di sini.

Ketika disoal, ada ketika wanita berkenaan dilihat mengunci mulut ataupun menjawab sepatah-sepatah, selain menganggukkan kepala tanda faham.

http://www.sinarharian.com.my/polopoly_fs/1.573451!/image/image.jpg_gen/derivatives/landscape_700/image.jpgDifahamkan, wanita itu berasal dari Kemboja dan tidak memiliki sebarang dokumen menyewa di sebuah kediaman bersama kenalan di Simpang Empat, di sini.

Bagaimanapun, aktiviti dilakukan terbongkar apabila diselamatkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam Operasi Bersepadu Membanteras Pengemisan Daerah Kota Setar kali ketiga sekitar Bandaraya Alor Setar, semalam.

Turut diselamatkan, seorang warga emas dikenali sebagai Mat mendakwa dia melakukan aktiviti mengemis disebabkan diminta anak lelakinya untuk mencari wang.

Menurutnya, dia berasa agak sedih dan terkilan kerana anak tunggalnya tidak menunaikan janji menjaga dia dengan baik apabila menyuruh dia mengutip wang sedemikian.

“Pak cik sememangnya ada terfikir berhenti mengemis dan masuk ke rumah orang-orang tua, namun masih menaruh harapan anak menunaikan janjinya,” katanya.

Tujuh pengemis diselamatkan

http://www.sinarharian.com.my/polopoly_fs/1.573452!/image/image.jpg_gen/derivatives/landscape_700/image.jpgSementara itu, Pegawai JKM Daerah Kota Setar, Syahrul Nasir Mat Rais berkata, tujuh pengemis termasuklah tiga warga asing diselamatkan dalam operasi di beberapa lokasi, termasuklah Pasar Karat Kampung Berjaya.

Menurutnya, pelbagai taktik digunakan bagi meraih simpati masyarakat yang sememangnya pemurah, misalnya memakai tudung meskipun bukan Muslim.

"Kami berdepan cabaran untuk menyelamatkan pengemis, apabila sebilangan orang awam tidak memahami tugas dilaksanakan malah menyalahkan JKM," katanya.

Syahrul berkata, operasi dijalankan bagi memberi kesedaran kepada orang awam mengenai kegiatan mengemis, sekali gus memastikan bilangan penagih berkurangan.

“Orang awam perlu bijak membantu elak tertipu, sekali gus tidak memberi wang kepada pengemis sewenang-wenangnya.

"Malah, pastikan individu atau pertubuhan meminta derma dengan kebenaran,” katanya.

Terdahulu, operasi bersepadu selama empat jam disertai kira-kira 30 orang termasuklah JKM, Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bermula jam 9 pagi hingga 1 petang.




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...