TERKINI :

Friday, October 14, 2016

Khutbah seluruh Selangor bidas Syiah ‘menyeleweng’


PETALING JAYA: Khutbah di masjid Selangor hari ini tampil membidas aliran Syiah dengan berkata ia bercanggah dan menyeleweng daripada ajaran Islam yang sebenar.

Teks khutbah Jumaat yang disediakan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) itu turut menolak dakwaan doktrin Syiah masih Islam.

“Kesalahan dan kesesatan ajaran Syiah adalah kerana mereka mempercayai bahawa Imam mereka adalah maksum,” kata khutbah bertajuk “Kebatilan Akidah Syiah” yang dibacakan di masjid Selangor hari ini.

Pendirian itu beberapa hari selepas Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyeru pengikut aliran Syiah dan Sunnah bersatu.

Ia disusuli dengan kenyataan Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Dr Mahfodz Mohamad semalam yang berkata pengikut Syiah sebahagian daripada Islam.

“Pandangan peribadi saya, dengan apa yang saya belajar di Universiti Al-Azhar dahulu, Syiah termasuk dalam Islam. Walaupun ada mazhab Syiah yang nampak lain, tetapi tak boleh nak kata mereka sesat dan sebagainya,” kata Mahfodz.

Sebelum ini, Mufti Pulau Pinang Datuk Dr Wan Salim Wan Mohd Noor juga berpendirian penganut aliran Syiah juga merupakan Islam.

Khutbah di Selangor hari ini susulan penangkapan beberapa pengikut Syiah oleh pihak berkuasa agama di Selangor dan Melaka kerana menyertai upacara perkabungan untuk cucu Nabi Muhammad, Hussain, sempena Hari Asyura Ahad lalu.

Dalam khutbah tersebut, Jais menyenaraikan beberapa amalan dan kepercayaan Syiah yang bercanggah dengan aliran Sunnah.

Antaranya, menurut khutbah, ialah hadis diriwayatkan tokoh Syiah yang mencerca sahabat nabi. FMT

Liridon Krasniqi Jawab Status Bersama Kedah Musim Depan

Oleh: BASHAH ZAINOL ABIDIN

bza_56@yahoo.com.my

Liridon Krasniqi

PELBAGAI khabar angin mengenai masa depan Liridon Krasniqi bersama pasukan Kedah tersebar sejak pertengahan musim lalu apabila sebuah pasukan gergasi dari selatan didakwa berminat untuk mendapatkan khidmatnya.

Walaupun tiada pengesahan, namun khabar angin itu terus menjadi 'buah mulut' khususnya penyokong Kedah kerana kontrak pemain berkenaan akan berakhir selepas tamat aksi Piala Malaysia musim ini.

Bagaimanapun, pemain import dari Kosovo yang banyak menabur bakti kepada skuad hijau kuning itu kelihatan tenang apabila ditanya mengenai statusnya bersama Kedah untuk musim depan.

"Jika ada tawaran saya akan kekal," jawabnya ringkas kepada mStar Online.

Tambah Krasniqi, dirinya dan Kedah tidak dapat dipisahkan sejak menyertai pasukan itu pada April tahun lalu kerana dapat menyesuaikan diri di negara ini.

"Kedah adalah pasukan profesional pertama yang saya dapat mengumpul pelbagai kejayaan dan pengalaman manis. Penyokongnya juga menakjubkan.

"Saya juga tidak lupakan keprihatinan pemain, barisan jurulatih dan pegawai KFA (Persatuan Bola Sepak Kedah) yang banyak membantu dan memberi peluang kepada saya untuk menjadi lebih baik.

"Saya juga terharu apabila ada penyokong yang sanggup menamakan anaknya sempena nama saya," jelasnya.

Menurutnya, dia juga selesa dengan kehidupan masyarakat tempatan dan kemudahan untuk beribadat di negara ini khususnya Kedah berbanding di Vietnam sebelum diterbangkan ke Alor Setar.

Sementara itu, mengulas mengenai perlawanan menentang Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada Sabtu ini, Krasniqi berkata, pemain Kedah mempunyai misi tersendiri untuk menjuarai Piala Malaysia musim ini selepas kecewa pada tahun lalu.

"Saya sendiri juga mahukan kemenangan untuk menebus kembali kekalahan kami pada final musim lalu. Inilah peluang yang perlu kami guna sebaik mungkin.

"Doa dan sokongan penyokong akan bersama kami dalam perlawanan ini," ujarnya.

Sultan Muhammad V Yang di-Pertuan Agong ke-15


Sultan Kelantan Sultan Muhammad V (tengah) ketika berangkat menghadiri Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-243 (Khas) di Istana Negara hari ini. - Foto BERNAMA

PUTRAJAYA: Majlis Raja-Raja dalam mesyuarat khasnya hari ini bersetuju mengisytiharkan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong yang baharu berkuatkuasa pada 13 Disember ini untuk tempoh lima tahun.

Baginda akan menggantikan Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah yang tamat tempoh lima tahun sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14.

Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dipilih menjadi Timbalan Yang di-Pertuan Agong untuk tempoh yang sama, menurut kenyataan Penyimpan Mohor Besar Raja-raja Datuk Seri Syed Danial Syed Ahmad hari ini.

Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja itu dihadiri semua Raja dan dipengerusikan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.

Sultan Kelantan Sultan Muhammad V merupakan seorang raja berjiwa rakyat dan sangat dekat di hati penduduk negeri Kelantan.

Raja berjiwa rakyat

Tengku Muhammad Faris Petra, 47, putera sulung Sultan Ismail Petra menggunakan gelaran Sultan Muhammad V setelah dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan ke-29 pada 13 September 2010.

Sejak ditabalkan sebagai Tengku Mahkota Kelantan pada 6 Oktober 1985, baginda lebih suka mengenakan jubah atau berbaju Melayu dengan berkain pelikat serta berkopiah putih ketika melawat rakyat.

Baginda tidak kekok duduk bersila bersama rakyat semasa mengadakan lawatan ke kampung-kampung, malah amat mengambil berat kebajikan mereka dan kerap kali dalam diam dan di luar pengetahuan media, menjengah kehidupan mereka yang memerlukan pembelaan.

Sultan Muhammad V yang diputerakan pada 6 Oktober 1969, mendapat pendidikan awal di Sekolah Sultan Ismail I, Kota Bharu sebelum melanjutkan pelajarannya ke sekolah antarabangsa Alice Smith di Kuala Lumpur.

Baginda kemudian ke Oakham School Rutland, England sehingga 1989 sebelum melanjutkan pengajian dalam bidang kajian diplomatik di St. Cross College, Oxford serta di Oxford Centre for Islamic Studies sehingga 1991.

Sultan Muhammad V yang merupakan Canselor Universiti Malaysia Kelantan (UMK) gemar membaca serta meminati sukan lasak seperti ekspedisi kenderaan pacuan empat roda dan kejohanan kuda lasak.

Baginda juga meminati sukan memanah, boling serta memelihara haiwan seperti kuda, kucing, ayam dan burung.

Baginda mempunyai tiga adinda iaitu Tengku Mahkota Kelantan Tengku Muhammad Faiz Petra, 37, Tengku Muhammad Fakhry Petra, 33, dan Tengku Amalin Aishah Putri, 27.

'Adakah kita nak jadi Taliban dengan robohkan KLCC?'

Memusnahkan legasi dan warisan masa lalu kerana seorang bekas pemimpin akan meletakkan Malaysia sama seperti Taliban, kata seorang bekas menteri.

'Dalam keadaan sukar dipercayai seseorang berkata kerajaan boleh meruntuhkan menara berkembar jika ia mahu memadamkan legas bekas pemimpin itu.

"Adakah betul apa yang saya dengar?," soal bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tan Sri Rafidah Aziz dalam Facebook.

Beliau merujuk tulisan blog oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak hari ini, yang membayangkan jika kerajaan benar-benar mahu memadamkan legasi bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, ia boleh meruntuhkan KLCC.

Beliau membidas bahawa langkah itu akan menjadikan Malaysia setaraf dengan Al-Qaeda dan Taliban.

"Adakah kita menerima pakai pendekatan Osama Bin Laden (pemimpin Al-Qaeda mendiang) dan Taliban?

"Adakah warisan bermakna kepada sesiapa yang berkuasa. Kolektif masa lalu, sejarah kita. Apa pendirian kita?" soalnya lagi.

Rafidah menjelaskan bahawa menara berkembar itu bukan legasi peribadi Mahathir, tetapi warisan kolektif kerajaan dan Malaysia pada masa itu, yang menunjukkan sejauh mana negara pesat membangun dan diakui di mata dunia.

Rafizi: Kenapa SSM serbu NGO saya, bukan 1MDB?

Walaupun akan memberikan kerjasama jika diberi notis bertulis, pengasas Pusat Pemantauan dan Pendedahan Maklumat (NOW) berkata beliau kesal dengan serbuan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) pagi ini.

“Saya kesal kerana organisasi yang membongkar penyelewengan wang rakyat seperti NOW terus menjadi sasaran pihak berkuasa,” kata Rafizi Ramli.

Katanya, beliau yang juga naib presiden PKR berdepan 12 tindakan undang-undang setakat ini, manakala pengasas bersama NOW Akmal Nasir juga pernah disaman oleh menteri.

Dalam kenyataannya hari ini, Rafizi juga menasihatkan SSM lebih menumpukan kepada pelbagai penemuan oleh Ketua Audit Negara mengenai dakwaan salah laku 1MDB dan rumusan Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC).

“Pelanggaran–pelanggaran oleh 1MDB mengikut peruntukan di bawah Akta Syarikat adalah banyak dan saya sendiri telah membuat laporan polis mengenai pelanggaran-pelanggaran di bawah Akta Syarikat ini.

“Kenapa sehingga sekarang SSM masih belum menyerbu 1MDB?” katanya.

1MDB sebelum ini mempertahankan dirinya daripada dakwaan-dakwaan dilontarkan padanya.

2 individu sedang ancam perpaduan negara, kata Najib

Bernama

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata sejak akhir-akhir ini perpaduan negara sering diancam oleh 2 individu.

Perdana menteri berkata ancaman ini dapat dilihat terjadi dalam 2 fasa, iaitu fasa pertama pada 2008, menyaksikan ketua pembangkang mula memainkan isu perkauman.

“Beliau mula mencabar perlembagaan mengenai kepentingan semua kaum di Malaysia ini dan menggunakan ia sebagai isu politik untuk meraih undi.

“Sebelum ini tidak timbul pertikaian pada Perlembagaan negara dan semua lapisan masyarakat hidup dengan harmoni. Kesannya, selepas Pilihan Raya Umum ke-12, politik negara mula ditentukan oleh faktor kaum,” katanya menerusi catatan terbaharu dalam blog rasminya www.najibrazak.com.

Najib berkata fasa kedua pula bermula pada tahun ini apabila seorang pemimpin lama mula memecahkan kaum Melayu dengan membentuk sebuah lagi parti politik Melayu mengakibatkan kuasa politik kaum Melayu berpecah 5.

Katanya, perpaduan bangsa yang longgar ditambah dengan desakan pembangkang melalui perhimpunannya yang berselindung di sebalik imej “bipartisan” dan “multiracial” memberi hentaman demi hentaman kepada parti pemerintah.

Malah, katanya parti yang mentadbir Pulau Pinang, yang sudah didakwa mengamalkan rasuah, tidak diendahkan pemimpin lama itu.

Najib berkata lebih menyedihkan lagi, pemimpin lama itu sanggup dipergunakan oleh perhimpunan untuk memecahbelahkan rakyat negara ini dan menuduh kerajaan perkara yang sama beliau dituduh dulu.

“Kedua-dua pemimpin perpecahan fasa satu dan dua kini dilihat sudah bersalaman. Kita sudah boleh anggap apa yang mereka akan lakukan kepada negara seterusnya untuk fasa ketiga.

“Kerana itulah, agenda 1Malaysia wajib diteruskan,” katanya.

Wakil rakyat dan Ketua Umno bahagian kini Jadi 'bisu' sebab dedak

Tun Dr Mahathir Mohamad

MELAKA TENGAH - Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa wakil rakyat dan Ketua Umno bahagian kini terus membisu dan menutup kegiatan salah pemimpin utama berikutan disogok 'dedak'.

Malah lebih membimbangkan, katanya, 'dedak' yang diterima untuk menutup mulut itu telah 'membutakan' mata pemimpin BN sehingga tidak mempedulikan derita ditanggung rakyat.

"Hari ini kita dapati wakil-wakil rakyat Umno dan BN dah bisu, tidak boleh bercakap kerana disuap dedak, mulut tak boleh dibuka sebab nanti tersembur keluar. Bisu, pekak dan buta tak nampak apa-apa dah.

"Bila tengok RM1 juta, RM2 juta..jadi kaku, dia (pemimpin akar umbi) tak boleh bercakap (tutup mulut). Itulah sikap yang ada dalam Umno sekarang. Wakil rakyat, ketua bahagian bahkan cawangan sudah disogok dengan dedak," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam siri Penjelajahan Penerangan 1MDB di Taman Paya Dalam di sini, kelmarin.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, situasi itu berlaku apabila pemimpin percaya boleh menjadi raja jika mempunyai banyak wang.

"Pada mulanya saya percaya jika Najib sahaja disingkir, Umno akan pulih semula tetapi saya dapati Umno sudah jadi busuk...buruk sehingga tak boleh dibaiki lagi.

"Bila dia hutang duit banyak, kerajaan tak dapat bayar hutang, apa dia buat? Suruh rakyat la bayar! Ini cara Najib, dia balas (beri) duit tapi kita kena bayar. Sebab itu ada GST, tol naik tinggi, tak ada subsidi minyak lagi," katanya.

Menurutnya, pemerintahan yang  seperti itu hendaklah ditukar malah parti berkenaan wajar dibuang namun penukaran kerajaan memerlukan usaha rakyat kerana negara demokratik boleh menggunakan undi rakyat untuk menukar pentadbiran.

"Dalam masa sama pembangkang perlu pakatan yang lebih besar dianggotai lebih banyak parti bagi menumbangkan BN yang terdiri daripada 14 parti komponen.

"Pakatan itu perlu bagi memastikan pembangkang dapat meletakkan calon satu lawan satu dengan BN pada PRU14 nanti," katanya.

'Dulu saya selalu main badminton dengan Siti Hasmah'

'Dulu saya selalu main badminton dengan Siti Hasmah'

DUA wanita yang lembut perwatakan mereka. Itu yang dapat digambarkan apabila melihat raut wajah isteri bekas Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali dan isteri bekas timbalannya,‎ Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Hari ini Sinar Harian berkesempatan mewawancara Wan Azizah yang mesra disapa Kak Wan dan nama Siti Hasmah diajukan kepadanya sementelah kedua-duanya saling mengenali sebelum ini 'terpisah' dek pendirian berbeza suami masing-masing.

‎Mengimbau nostalgia persahabatan mereka, Wan Azizah berkata, Siti Hasmah banyak memberi nasihat kepadanya ketika suami masing-masing masih dalam kerajaan.

Namun katanya, hubungan itu terputus selepas Anwar tidak lagi berada di dalam kabinet Mahathir.

"Terpisahlah...apabila Mahathir begitu, Anwar begini.

"Dulu Hasmah kata: 'tidak apa Azizah awak buatlah kerja awak dulu'.

"Dahulu saya kena bekerja sebagai doktor 10 tahun kerana mengikut perjanjian  biasiswa... beliau (Siti Hasmah) banyak membantu," kongsinya lagi.

Dalam pada itu katanya, mereka juga sering bermain badminton bersama.

"Kalau bermain dengan beliau (Siti Hasmah), saya penat sikitlah, sebab nak ke sana sini.

"Saya ni agak gementar sikit ketika bermain," katanya dalam nada berseloroh.

Sementara menyentuh mengenai hubungan mereka kini, Wan Azizah berkata, hubungan itu kembali terjalin dan ia masih seperti dahulu.

"Sekarang Alhamdulillah, tiada apa-apa yang menghalang sekiranya saya hendak berjumpa dengannya," katanya.


Kuala Ketil - Lima beradik sepakat bina maahad

Lima beradik sepakat bina maahad

KUALA KETIL - Lima beradik yang berhasrat membina Maahad Al Iman Li Ulumil Quran di Kampung Pantai Cicar, di sini memerlukan dana berjumlah RM950,000 bagi menyiapkan infrastruktur sekolah berkenaan.

Pengetua sekolah, Maahad Al Iman, Amri Mohd Nason berkata, jumlah itu merangkumi pembinaan bangunan kelas dua tingkat, pejabat, surau, dewan, rumah guru, padang permainan dan rumah tamu.

Menurutnya, pihaknya meletakkan sasaran selama setahun untuk menyiapkan infrastruktur tersebut.

"Sebenarnya angka diperlukan mencecah jutaan, tetapi dengan kegawatan ekonomi hari ini kita tidak mahu meletakkan jumlah besar, buat permulaan pihak sekolah memohon sebanyak RM 950,000 sahaja.

"Kami amat mengharapkan bantuan segera dalam menyiapkan binaan ini, untuk pengambilan pelajar kita akan mula ambil pada hujung tahun hadapan," katanya..

Hampir setahun buat keputusan

http://www.sinarharian.com.my/polopoly_fs/1.572587!/image/image.jpg_gen/derivatives/landscape_700/image.jpg

Amri berkata, idea membina sekolah berkenaan tercetus selepas pemilik yang mewakafkan tanah itu datang berjumpa dengannya hujung tahun lalu.

"Selepas selesai kuliah Subuh di sebuah masjid, pemilik tanah datang berjumpa dengan saya menyampaikan satu hasrat.

"Dia memaklumkan ingin mewakafkan sebidang tanah untuk dibangunkan sebagai sebuah sekolah agama dan menyerahkan amanah itu kepada saya ," katanya.

Menurutnya, sedar ia merupakan amanah dan tanggungjawab besar, keputusan menerima pelawaan itu dibuat selepas hampir setahun.

"Dalam tempoh setahun itu saya berbincang dengan adik beradik bersama ibu ayah sebelum bertekad bersetuju menerima amanah itu pada Ogos baru-baru ini," katanya yang merupakan anak ketiga daripada tujuh beradik.

Dedah pengajian Sains, al-Quran

http://www.sinarharian.com.my/polopoly_fs/1.572586!/image/image.jpg_gen/derivatives/landscape_700/image.jpg

Penasihat Maahad Al Iman, Amir Mohd Nason yang juga abang sulung berkata, maahad berkenaan menekankan pengajian Hafazan Al-Quran, Bahasa Arab, Ilmu Turath yang dipelajari secara bersanad serta akademik.

Menurutnya, para pelajar juga akan didedahkan dengan pengajian Sains dan al-Quran.

"Bagi menambah nilai dalam pengajian al-Quran, kita akan masukkan juga pengajian Sains dan al-Quran yang sesuai untuk pelajar tingkatan lima serta enam," katanya.

Adik keempat, Aswad Mohd Nason berkata, sekolah itu akan dibina di atas tapak yang dikelilingi tasik.

Menurutnya, idea menghasilkan suasana damai dan tenang itu bagi memberikan keselesaan kepada para pelajar.

"Sebuah jambatan akan dibina bagi menghubungkan laluan masuk ke dalam sekolah.

"Kita juga bercadang mendapatkan kayak untuk diletakkan di sekitar tasik," katanya.

Manakala, pemilik tanah asal, Abdul Rahman Kaames berkata, tujuannya mewakafkan tanah seluas 15 hektar itu bagi mencari bekalan di akhirat.

"Bab ilmu agama kita tak berapa pandai, jadi dengan cara ini mudah-mudahan ada bekalan untuk bertemu ALLAH di akhirat," katanya .

Adun, Evonsave lakukan kunjungan

Dalam pada itu, Adun Kuala Ketil, Md Zuki Yusof dan pihak Econsave Sungai Petani datang melakukan kunjungan ke tapak pembinaan pusat pengajian berkenaan.

Md Zuki berkata, hasrat mendirikan Maahad Al Iman adalah satu usaha yang perlu disokong.

Menurutnya, lokasi sekolah yang terletak di kawasan menarik sesuai dijadikan medan menimba ilmu kepada para pelajar.

"Saya percaya Maahad Al Iman mampu berdiri setanding dengan sekolah-sekolah lain," katanya.

Sementara itu, Pengurus Econsave Wilayah Utara, Zamzuri Mansor berkata, Econsave akan melakukan jualan amal barangan terpakai pada 3 Disember depan bagi membantu pembinaan sekolah tersebut.

Menurutnya, masyarakat yang mahu menyumbangkan barangan boleh menghubungi cawangan Evonsave Bandar Puteri Jaya, Sungai Petani.

"Untuk jualan amal kita mengalu-alukan orang ramai menyumbang sama ada pakaian atau barangan terpakai.

"Diharap sedikit sebanyak dapat membantu menampung kos pembinaan," katanya.

Untuk sumbangan boleh disalurkan ke akaun Maybank 5521 8951 5745 atas nama Maahad Al Iman Li Ulumil Quran atau hubungi Amir di talian 019-4587206, Amri 0134202206 dan Aswad, 0195137520..


Lapangan terbang Kulim akan dibina tapi bukan sekarang

Lapangan terbang Kulim akan dibina tapi bukan sekarang
Ahmad Bashah Md Hanipah ketika mesyuarat berkenaan.

KUALA LUMPUR - Kerajaan Kedah, masih menunggu keputusan muktamad daripada Kerajaan Persekutuan berhubung cadangan pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP).

Menteri Besarnya,Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, pembinaan lapangan terbang itu tetap akan dilaksanakan cuma bukan dalam masa terdekat.





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...