TERKINI :

Thursday, October 13, 2016

Syiah sebahagian Islam, kata Ulama PAS

Faiz Zainudin FMT

PETALING JAYA: Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Dr Mahfodz Mohamad hari ini berkata umat Islam beraliran Syiah merupakan sebahagian daripada Islam, susulan seruan presiden partinya supaya pengikut Sunni dan Syiah bersatu mengatasi perbalahan mereka.

“Memang banyak pandangan Syiah itu berbeza dan tidak semua perbuatan mereka itu terkeluar daripada Islam,” kata Mahfodz kepada FMT.

“Pandangan peribadi saya, dengan apa yang saya belajar di Universiti Al-Azhar dahulu, Syiah termasuk dalam Islam. Walaupun ada mazhab Syiah yang nampak lain, tetapi tak boleh nak kata mereka sesat dan sebagainya,” kata Mahfodz.

Sebelum ini, Mufti Pulau Pinang Datuk Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata aliran Syiah tetap sebahagian daripada Islam, di sebalik pendirian rasmi agamawan Malaysia yang menganggap mazhab kedua terbesar Islam itu “sesat”.

“Kita tidak boleh dengan mudah mengkafirkan sesama Islam. Itu hanya menguntungkan pihak yang memusuhi Islam. Mereka tidak mengira sama ada anda Sunni, Syiah atau Wahabi,” katanya merujuk salah satu aliran yang menjadi ikutan rasmi di Arab Saudi.

Pandangan sedemikian berbeza daripada pendirian pihak berkuasa agama di Malaysia yang menganggap Syiah menyimpang daripada Islam. Majlis Fatwa Kebangsaan pada 1996 menyatakan Syiah sebagai ajaran “sesat” dan tidak boleh diamalkan.

Baru-baru ini, pihak berkuasa agama di Selangor dan Melaka dilaporkan menangkap pengikut aliran Syiah yang menyambut Hari Asyura, yang memperingati peristiwa pembunuhan Husain, tokoh yang menjadi tunggak aliran Syiah itu.

Semalam, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang melahirkan rasa kecewa pengikut Sunni dan Syiah kini amat bermusuhan, dan menyeru umat Islam kedua-dua mazhab itu bersatu menentang kezaliman.

“Ulama Sunni dan Syiah sepakat bersedih dan mengutuk pembunuhan Husain, cucu kesayangan Rasulullah yang disebut sebagai Penghulu Pemuda di Syurga yang dibunuh syahid di Karbala,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Sementara itu, Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Datuk Dr Khairuddin Aman Razali berkata keperluan untuk bersatu mengatasi perbezaan fahaman dan amalan.

“Musuh yang mencemburui Islam sentiasa mengapi-apikan antara sesama orang Islam, lalu sesuatu perbezaan faham fiqh dan akidah dibesarkan menjadi pertembungan,” katanya.

Mahfodz bagaimanapun berkata, walaupun Syiah sebahagian Islam, ia tidak bermakna PAS membenarkan Syiah disebarkan di Malaysia.

“Orang Syiah di Malaysia tak boleh sebarkan fahaman Syiah tetapi sebagai amalan peribadi tidak ada masalah. Ini kerana kerajaan dan ulama di Malaysia sepakat untuk amalkan aliran Sunnah Wal Jamaah bermazhabkan Shafi’i,” katanya.

PAS ‘berpatah arang’ dengan DAP, kata mursyidul am PAS yang baru

Bernama

KANGAR: Mursyidul am PAS baharu, Hashim Jasin menegaskan parti itu tidak akan sama sekali bekerjasama dengan DAP lagi dan sanggup menghadapi pertandingan 3 penjuru pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Beliau menyifatkan hubungan PAS dengan DAP ibarat “berpatah arang” kerana DAP mungkir janji dan enggan bekerjasama dengan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Katanya kerjasama dengan DAP pada PRU ke-13 lepas berdasarkan “tahaluf siyasi” (pendekatan politik) bersyarat manakala kerjasama dengan Umno atas dasar perpaduan umat Islam demi mendapat keredaan Allah.

“Kita tidak mahu ulangi kesilapan dipatuk 2 kali di tempat sama kerana menjalin semula kerjasama dengan DAP,” kata Harun pada sidang media di sini, hari ini.

Bekas Pesuruhjaya PAS Perlis lebih 20 tahun itu dilantik baru-baru ini bagi menggantikan tempat Datuk Dr Harun Din yang meninggal dunia di California, Amerika Syarikat, bulan lepas.

Menurut Harun, PAS tidak kisah jika berlaku pertandingan 3 penjuru membabitkannya, Barisan Nasional dan parti-parti pakatan lain pada PRU akan datang.

Pendekatan berbaik-baik dengan Umno bukan kerana PAS dilihat lemah menjelang PRU14 berikutan perpecahan dalaman sehingga wujud PAN (Parti Amanah Negara), katanya.

“Dulu (zaman Allahyarham Datuk Nik Aziz) berbeza namun dasar perjuangan PAS untuk menegakkan syiar Islam tidak berubah, bukan mengikut kepala orang yang dilantik menjadi mursyidul am),” tambah beliau.

Hashim berkata kerjasama dengan PKR dan PAN akan ditentukan pada mesyuarat jawatankuasa PAS Pusat pada 22 dan 23 Oktober ini di markasnya di ibu negara yang akan membentangkan kajian kerjasama politik dengan parti-parti lawan.

Katanya PAS kini mengamalkan politik matang dan bukan politik “cari makan” atau semata-mata untuk memenangi PRU.

Mengenai pujukan PKR dan PAN untuk PAS menyertai mereka dengan mendakwa peluang memenangi PRU akan lebih cerah, Hashim berkata PAS dapat melihat matlamat itu.

Pakar undang-undang tegur ahli Parlimen BN jahil syarat bentuk kerajaan

V Anbalagan FMT

PETALING JAYA: Pakar undang-undang menegur ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang menggesa parti pemerintah menggugurkan tumpuan tradisionalnya dalam memperoleh majoriti dua pertiga bagi membentuk kerajaan di peringkat persekutuan dan negeri.

Prof Dr Abdul Aziz Bari berkata, Ahli Parlimen Kepala Batas dan Timbalan Menteri Luar Datuk Seri Reezal Merican ternyata keliru dengan cara kerja sistem demokrasi berparlimen seperti di Malaysia.

“Ia adalah memalukan baginya agar mencadangkan BN menumpukan perhatian kepada mendapatkan majoriti mudah bagi membentuk kerajaan. Ia menunjukkan kejahilan beberapa ahli Parlimen,” kata Aziz.

Beliau berkata majoriti dua pertiga adalah situasi mana-mana pihak politik atau gabungan inginkan bagi mentadbir kerajaan.

“Di Malaysia, BN taksub dengan dua pertiga kerana ia boleh meminda Perlembagaan Persekutuan dan negeri tanpa bantuan daripada pembangkang,” katanya.

Aziz berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Reezal minggu lalu berikutan pembelotan seorang wakil rakyat BN di Johor, yang menyebabkan gabungan itu kehilangan majoriti dua pertiga di Dewan Undangan Negeri.

Ia adalah kali pertama sejak merdeka parti pemerintah tidak memegang apa-apa majoriti di sesebuah negeri.

Minggu lalu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jorak, Shahruddin Salleh meninggalkan Umno untuk menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Beliau kemudiannya dilantik sebagai setiausaha agung PPBM oleh presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Aziz berkata, di United Kingdom kerajaan stabil dibentuk walaupun pihak yang menang tidak mendapat majoriti lebih.

“Malah, terdapat beberapa kes 2 pihak bekerjasama untuk membentuk sebuah persekutuan bagi menghormati mandat yang diberikan rakyat,” kata beliau merujuk kepada kerjasama Parti Konservatif dan Liberal Demokrat pada 2010.

Bekas profesor undang-undang itu berkata, terdapat keadaan yang jarang berlaku terhadap kerajaan minoriti dengan tanpa majoriti mudah dibenarkan untuk mentadbir juga.

Bagaimanapun, beliau berkata kerajaan minoriti terpaksa mendapatkan sokongan daripada parti-parti pembangkang untuk meluluskan undang-undang dan bajet tahunan dengan undian majoriti mudah.

Aziz berkata landskap politik berubah selepas PRU 2008, apabila BN kehilangan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat dan beberapa badan perundangan negeri.

“Pada masa lalu, mereka mendapat dua pertiga hanya kerana Suruhanjaya Pilihan Raya melakukan helah untuk mengekalkan BN berkuasa dengan selesa,” katanya.

Aziz berkata, Parti Perikatan dan BN juga dapat meminda Perlembagaan kira-kira 60 kali sejak merdeka selepas memperoleh majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat.

Parti Perikatan adalah gabungan pemerintah sebelum ia menjadi BN pada 1973.

“Bandingkan ini dengan Amerika Syarikat di mana piagam kebangsaan mereka hanya dipinda 27 kali dalam tempoh 250 tahun,” katanya.

Ezam akui serah borang, sertai BERSATU

Bekas senator, Datuk Mohamad Ezam Mohd Nor telah menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dengan menyerahkan borang keahlian kepada Presiden parti serpihan Umno itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Ya benar, saya serah borang ahli parti kepada (Tan Sri) Muhyiddin pagi semalam.

“Sehari sebelum itu saya telah berjumpa Tun Dr Mahathir (Mohamad). Beliau telah menyakinkan saya perjuangan melawan rasuah lebih berkesan melalui platform politik,” ujar beliau menerusi whatsapp, memetik laporan portalBNBBC.

Sebelum ini, Mohamad Ezam meninggalkan Umno setelah mendakwa parti tersebut dicemari kelompok pemimpin yang teruja membangkitkan soal jawatan, habuan dan kebendaan untuk kepentingan peribadi.

Kata beliau, ini mendorongnya untuk meninggalkan parti itu kerana “nilai kepimpinan Umno sudah rosak”.

"Alhamdulillah, respons amat positif (keputusan keluar Umno). Keadaan semasa dalam Umno memperkukuhkan keyakinan saya bahawa memang benarlah saya meninggalkan sebuah parti yang sudah rosak nilai kepimpinannya.

"Lihatlah reaksi awal mereka, di benak pemikiran mereka hanya soal ganjaran dan habuan peribadi. Isu pokoknya adalah OSA (Akta Rahsia Rasmi) dan rasuah, tapi mereka tidak bincangkan soal itu.

“Jadi, tidak hairanlah Presiden Umno paling lama dalam sejarah parti itu, Mahathir sendiri tinggalkan Umno," katanya lagi.

Portal itu menambah, pimpinan BERSATU akan bermesyuarat hari ini bagi membincangkan permohonan Mohamad Ezam itu dan akan membuat keputusan sama ada menerima atau menolak.

Mohamad Ezam pernah menentang pentadbiran Mahathir sejak era reformasi pada tahun 1998 selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat daripada jawatan timbalan perdana menteri dan kemudiaannya berakhir disumbat dalam penjara oleh bekas perdana menteri itu.

Mohamad Ezam juga pernah dilantik sebagai anggota Dewan Negara pada Mei 2010 dan beliau diberikan jawatan Pengarah Komunikasi Kementerian Kewangan pada 2014 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

"Saya Pernah Kecewa Pada Separuh Akhir Piala Malaysia Musim Lalu" - Thiago Augusto

Diterbitkan: Khamis, 13 Oktober 2016 2:18 PM

Oleh: BASHAH ZAINOL ABIDIN

bza_56@yahoo.com.my

"SAYA pernah merasai kegagalan pada separuh akhir Piala Malaysia musim lalu. Musim ini saya mahukan kejayaan melangkah ke final."

Itu azam penyerang Kedah, Thiago Augusto yang akan turun menyelesaikan tugas dalam perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia bertemu Polis Diraja malaysia (PDRM) di Melaka Sabtu ini.

Augusto yang merupakan pemain pinjaman dari Felda United gagal membawa bekas pasukannya ke final musim lalu selepas skuad berkenaan tewas kepada Kedah.

Augusto ketika mewakili Felda United dan menentang Kedah dalam perlawanan separuh akhir Piala Malaysia musim lalu.

Berikutan itu, pemain berusia 26 tahun dari Brazil berkenaan mahu memastikan dirinya beraksi di final Piala Malaysia kali ini.

Mengimbau kembali kekalahan kepada skuad hijau kuning musim lalu, menurutnya, dia merupakan pemain paling kecewa kerana terpaksa melupakan final walaupun berjaya menjaringkan gol.

"Sebab itu bila dapat kembali di separuh akhir musim ini saya ingin pastikan pasukan yang saya wakili dapat ke perlawanan akhir kerana saya juga akan merasai pengalaman final Piala Malaysia.

"Saya tidak pernah dan tidak akan kesal memilih pasukan Kedah musim ini walaupun hanya dapat bersama mereka sejak Jun lalu. Saya yakin ini adalah pasukan terbaik untuk saya mencipta kejayaan.

"Saya memang kagum dengan aksi barisan pemain Kedah kerana mereka tidak nampak mentah ataupun kurang keyakinan, inilah bezanya pasukan ini.

"Ketua Jurulatih, Tan Cheng Hoe berjaya membimbing barisan pemain muda dengan baik selain mencipta keserasian antara import dan tempatan," katanya kepada mStar Online.

Tambahnya, dia turut kagum dengan semangat dan kesungguhan penyokong Kedah yang sentiasa mengiringi pasukan berkenaan di setiap stadium.

Jelasnya, semangat penyokong itu bukan sahaja membuat moral pemain tempatan meningkat tetapi turut dirasai pemain import sepertinya dan rakan-rakan lain.

"Saya percaya kami akan sekali lagi mendapat sokongan daripada penyokong di Melaka kerana apa yang saya tahu mereka telah merancang untuk memenuhi stadium demi pasukan Kedah," ujarnya bersemangat.

Bagaimanakah sifat ULAMA PEWARIS NABI yang sebenar...

Pada zaman Nabi, ada seorang pengemis tua yang buta berbangsa Yahudi di sudut pasar Madinah Al-Munawarah, Setiap hari apabila ada orang yang menghampirinya, dia sering berkata, “Wahai saudaraku jangan dekati Muhammad, dia itu orang gila, pembohong, tukang sihir, apabila kamu mendekatinya kamu akan dipengaruhinya.”

Walaupun begitu, Rasulullah S.A.W mendatanginya setiap hari dengan membawa makanan dan tanpa berkata sepatah perkataan pun, Baginda Rasulullah S.A.W menyuapkan makanan yang dibawanya kepada pengemis itu. Perkara ini Baginda ulangi sehinggalah menjelang kewafatan baginda. Setelah kewafatan Nabi Muhammad S.A.W, tidak ada lagi orang yang membawakan makanan setiap pagi kepada pengemis Yahudi buta itu.

Suatu hari Abu Bakar, Radi-Allahu anhu as-Siddiq berkunjung ke rumah anaknya Aisyah Radi-Allahu anha. Beliau bertanya kepada anaknya, “Wahai anakku, adakah sunnah kekasihku yang belum aku kerjakan?”

Aisyah Radi-Allahu anha menjawab pertanyaan ayahandanya, “Wahai ayah, engkau adalah seorang ahli sunnah, hampir tidak ada satu sunnah pun yang belum ayah lakukan kecuali satu sunnah saja.”

“Apakah itu wahai anakku?”Tanya Abu Bakar Radi-Allahu anhu.
“Setiap pagi Rasulullah Sallallahu’alaihi wasallam selalu pergi ke hujung pasar dengan membawakan makanan untuk seorang pengemis Yahudi yang buta yang berada di sana.” Jawab Aisyah Radi-Allahu anha.

Keesokan harinya, Abu Bakar Radi-Allahu anhu membawakan makanan dan menemui pengemis Yahudi buta tersebut.

Sampai sahaja di hadapan pengemis itu, Abu Bakar Radi-Allahu anhu terus memberikan makanan. Ketika Abu Bakar Radi-Allahu anhu mulai menyuapinya, pengemis itu mengherdik sambil berteriak, “Siapakah engkau?”

Abu Bakar Radi-Allahu anhu menjawab, “Aku adalah orang yang setiap hari datang dan memberi kamu makan..” Abu Bakar Radi-Allahu anhu meyakinkan bahawa beliau adalah orang yang setiap hari memberikan ia makanan. Akan tetapi pengemis Yahudi buta itu tidak percaya kerana orang yang selalu memberinya makanan jauh lebih lembut dan lebih sabar dalam menyuapinya.

“Bukan! Engkau bukan orang yang biasa setiap hari memberiku makan..!” Kata si pengemis buta itu. Apabila dia datang ke sini, aku tidak pernah kesusahan memegang makananku dan tidak susah mulut ini mengunyah. Orang yang biasa mendatangiku itu selalu menyuapiku, tapi terlebih dahulu dihaluskannya makanan tersebut dengan mulutnya setelah itu dia berikan padaku dengan mulutnya sendiri,” tambah pengemis itu menyambung kata.

Abu Bakar r.a. tidak dapat menahan air matanya, ia menangis sambil berkata kepada pengemis itu, "aku memang bukan orang yang biasa datang pada mu, aku adalah salah seorang dari sahabatnya, orang yang mulia itu telah tiada lagi."

"Ia adalah Muhammad Rasulullah SAW."

Setelah pengemis itu mendengar cerita Abu Bakar r.a. ia pun menangis dan kemudian berkata, "benarkah demikian?, selama ini aku selalu menghinanya, memfitnahnya, ia tidak pernah memarahiku sedikitpun, ia mendatangiku dengan membawa makanan setiap pagi, ia begitu mulia." Pengemis Yahudi buta tersebut akhirnya bersyahadat dihadapan Abu Bakar r.a.

*********************************************************************************

DAKWAH BIL HIKMAH

Untuk mendakwa seseorang itu sebagai Ulama' Pewaris Nabi dan penyambung rantai-rantai perjuangan Islam, beliau seharusnya mempunyai kualiti dan memegang erat sunnah dan akhlak nabi yang kita sayangi. Hebatnya dakwah Nabi Muhammad Sallallahu’alaihi wasallam sehingga berjaya membuat orang tertarik dengan Islam dengan hanya melakukan perbuatan sahaja.

Kualiti ini dapat dilihat pada Allayarham Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat. Ketika Pakatan Rakyat sedang bergolak dengan isu 'Kalimah Allah' dan kenyataan-kenyataan panas mendiang Karpal Singh, Tok Guru Nik Abd Aziz Nik Mat muncul di rumah Karpal Singh untuk menyambut hari lahir Karpal Singh yang ke-82.

Siapa yang tidak kenal Karpal Singh? Penentang hudud dan Islam, amat keras dalam kenyataan-kenyataan beliau terhadap perlaksanaan Islam di negara ini. Orang menggelarkan beliau 'The Tiger of Jelutong'. Pasti kita tidak lupa kata-kata beliau "Mahu bentuk negara Islam? Langkah mayat saya dulu."

Kerasnya Karpal Singh tiada siapa yang sangkal, namun Tok Guru Nik Abd Aziz Nik Mat tokoh yang kita cintai hadir dengan senyuman meraikan hari lahir si penentang Islam. Persis seperti akhlaknya nabi Muhammad S.A.W yang membalas cacian, hinaan dan makian dengan suapan lembut dan layanan mesra pada Yahudi tua yang buta seperti dalam kisah di atas.

Masihkah kita ingat ketika Tok Guru Nik Abd Aziz Nik Mat meniggalkan kita? Orang bukan Islam turut bersedih dan melahirkan rasa rindu mereka kepada Tok Guru. Sunnah dan akhlak baginda jika diamalkan oleh seorang pemimpin, maka pemimpin itu akan menzahirkan rasa cinta dan minat kepada orang bukan Islam kepada agama ini. Kerana Islam itu sememangnya indah.

Itulah contoh kualiti dan sifat Ulama' yang layak kita gelar sebagai 'Ulama' pewaris nabi'. Adapun Ulama' yang berkata-kata kesat, melabel, menuduh tanpa sebarang asas, merendah-rendahkan orang lain sama sekali jauh dari kategori Ulama' Pewaris Nabi. Malah Ulama' seperti ini hanya menjadi fitnah terhadap Islam kerana menggambarkan Islam jauh dari keindahan Islam yang sebenar.

Dengan kualiti yang ada pada Tok Guru Nik Abd Aziz Nik Mat, Pakatan Rakyat mampu bertahan dan menggoncangkan UMNO/BN. Tapi sayang, semuanya lebur sekelip mata selepas beliau meninggalkan kita. Ada yang kata, DAP dulu tidak sama dan tidak sebiadap sekarang. Kalau begitu berikan aku satu nama pemimpin DAP yang lebih biadap dari Karpal Singh.

#UlamaPewarisNabi
#NilailahGunaAkal
#JanganNilaiDenganNafsuDanTaksub

SUMBER : FB Rizal Belon

Tawaran RM2 juta sebulan untuk abaikan jenayah, kata bekas IGP


Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan mendakwa bahawa beliau ditawarkan RM2 juta sebulan untuk mengabaikan aktiviti jenayah.

"Ketika berkuasa, sindiket tawarkan saya RM2 juta setiap bulan untuk membenarkan mereka menjalankan aktiviti perjudian, pelacuran, dadah dan pinjaman wang haram tanpa pemeriksaan,” katanya yang dipetik The Star hari ini pada sebuah seminar mengenai integriti untuk penjawat awam semalam.

Tetapi, katanya, beliau bukan sahaja menolak tawaran itu tetapi bertindak lebih tegas dan menutup aktiviti haram berkenaan.

Hasilnya, beberapa ketua samseng dan kongsi gelap berprofil tinggi berjaya ditangkap semasa khidmat Musa sebagai polis.

Ditanya sama ada ketua polis lain juga menerima tawaran sama, Musa berkata beliau tidak tahu.

"Saya juga enggan menerima hamper semasa saya adalah IGP. Kami, pegawai-pegawai kanan, perlu memimpin melalui teladan."

Musa juga mengimbas kembali bahawa beliau pernah dituduh mengambil rasuah ketika dirinya adalah pegawai penyiasat di Melaka.

"Pegawai dari Badan Pencegah Rasuah memberitahu, saya disiasat kerana beberapa orang bawahan menggunakan nama saya untuk meminta rasuah.

"Saya beritahu pegawai itu, tangkap mereka. Orang seperti ini tidak perlu diberi sebarang kelonggaran," katanya.

Sebagai IGP, Musa berkata beliau tidak bertolak ansur dengan sebarang kegiatan jenayah.

Antara pencapaian utamanya, apabila berjaya menahan tujuh suspek ketua kumpulan haram Malaysia, termasuk seorang yang mempunyai kaitan dengan kumpulan Singapura, pada bulan Julai 2007.

Surat terbuka kepada Yang Berhormat

http://roketkini.com/wp-content/uploads/2013/06/1st-day-parliment-2013-_MG_5596-12.jpg
Apakah kenyataan politik yang bertalu-talu di media arus perdana (akhbar dan televisyen) oleh para pemimpin politik dapat meredakan resah dan gundah gulana kami rakyat jelata tentang masa depan ekonomi dan kesejahteraan hidup?

Setahu kami Tuan Yang Berhormat tidak kira Menteri atau Timbalan Menteri dilantik selepas mendapat mandat daripada rakyat melalui kerusi Parlimen. Kamilah rakyat yang memilih Tuan-Tuan semua. Kalau kami tidak memilih, Tuan Yang Berhormat tidak berada di situ.

Rakyat memilih Ahli Parlimen di kawasan masing-masing dengan harapan kalau bernasib baik Tuan Yang Berhormat dapat menganggotai Kabinet. Tidak kiralah Menteri atau Timbalan Menteri. Kalau tidak terpilih dalam Kabinet pun kami mengharapkan Ahli Parlimen yang dipilih bercakap hal-hal rakyat.

Tetapi sejak akhir-akhir ini Tuan-Tuan Yang Berhormat pemimpin politik kerajaan lebih banyak berhujah, membelasah dan mempersenda parti saingan di media arus perdana. Maaflah Tuan Yang Berhormat, kami tidak mahu menjadi penonton aksi pemain politik.

Tuan Yang Berhormat patut sedar tanggungjawab sebagai anggota Kabinet. Tua Yang Berhormat perlu banyak bercakap perihal porfolio masing-masing yang berkaitan dengan hal ehwal kami sebagai rakyat, bukannya bercakap perihal politik.

Memang semua maklum bahawa Tuan Yang Berhormat adalah pemain politik. Makan Tuan Yang Berhormat adalah makan politik. Mimpi Tuan Yang Berhormat juga mimpi politik. Tetapi berpada-padalah berpolitik kerana dalam manifesto parti, yang tercatat adalah khidmat kepada rakyat. Tidak tercatat kerja serang menyerang parti lawan hingga lupa tugas yang hakiki.

Cuma beberapa orang sahaja yang selepas memegang jawatan Menteri atau Timbalan Menteri lebih banyak berkerja daripada berpolitik. Lebih banyak mengeluarkan kenyataan tentang keadaan ekonomi semasa daripada berbalas hujah dangkal di kandang politik.

Tentu sukar untuk kami menafikan Menteri Kewangan 11, Johari Abdul Ghani misalnya lebih banyak berkerja daripada berpolitik. Bila kali terakhir Johari meberikan kenyataan politik yang menyerang dan mempersenda lawan? Tentu tergagau juga untuk mengingati kerana Johari bukan seperti Menteri Komunikasi dan Multimedia, Salleh Said Keruak yang lebih banyak menyerang parti lawan, malah sudah setaraf panglima.

Begitu juga bekas Menteri Kewangan 11, Ahmad Husni Hanadzlah yang lebih banyak berkerja dalam ruang tugas berbanding berpolitik di media arus perdana. Tetapi pemimpin yang begini tidak banyak dalam kerajaan. Barangkali disebabkan Tuan Yang Berhormat tidak boleh memisahkan kedudukan sebagai pemain politik dan pemimpin kerajaan yang berkhidmat kepada rakyat.

Sebagai rakyat yang sebulan gaji hanya sama dengan sepasang kasut Menteri, kami merasa telah diabaikan oleh pemimpin-pemimpin politik dalam kerajaan. Kami berdepan dengan kenaikan harga barang yang tidak masuk akal, kami juga terpaksa menanggung Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Anak-anak kami berdepan dengan peluang pekerjaan yang menirus malah yang punyai pekerjaan pun tidak terlepas risiko diberhentikan kerja kerana masalah ekonomi.

Anak-anak kami yang mendapat peluang melanjutkan pengajian ke luar negara juga terpaksa melupakan peluang itu apabila agensi seperti Mara mengecilkan jumlah pelajar yang diberikan pinjaman. Kami sedar ini bukan salah Mara tetapi kami hendak tahu apakah langkah kerajaan untuk mengatasi masalah ini.

Kenyataan-kenyataan dangkal Tuan Yang Berhormat menyerang dan mempersenda bekas Perdana Menteri, Dr. Mahathir Mohamad misalnya tidak memberikan pencerahan kepada kami rakyat jelata yang terumbang ambing dalam bahtera yang "membuka layar tetapi sauhnya dilabuhkan." Tidak ke mana-mana.

Kami tidak mahu tahu samada parti Tuan Yang Berhormat tergugat atau tidak dengan pembangkang. Kami juga tidak mahu tahu pembangkang terdesak atau tidak. Itu bukan urusan yang akan mengubah masa depan kami. Itu urusan Tuan Yang Berhormat dan jangan khabarkan kepada kami di media arus perdana. Kami sudah muak mendengar dan membacanya.

Tuan Yang Berhormat jeritkanlah di pentas-pentas politik kerana yang pergi ke situ adalah mereka yang berminat dan ada kepentingan dengan hidup mereka.

Lagi pula apa perlunya Tuan Yang Berhormat berpolitik hingga lupa "siang dan malam" dan lupa tanggungjawab kepada rakyat kerana Tuan Yang Berhormat juga yang sangat yakin parti Tuan Yang Berhormat tidak tergugat sedikit pun dengan serangan pembangkang.

Nah, Tuan Yang Berhormat dengan mudah boleh mempertahankan status quo menjadi parti kerajaan di negara ini. Kami mengharapkan Tuan Yang Berhormat mengendahkan kami sebagai rakyat jelata. Kami tidak mahu tahu atau ambil tahu perihal parti Tuan Yang Berhormat. Itu bukan kepentingan kami.

PENDAKWAAN DI SWITZERLAND SEHARUSNYA LEBIH MENAKUTKAN NAJIB

Shahbudin Husin,

http://www.arabianknightonline.com/source/news/2015/3/17/Falcon-Private-Bank.jpg
Pejabat Peguam Negara Switzerland (OAG) kini dilapor sedang mempertimbangkan untuk memulakan prosiding jenayah terhadap Falcon Private Bank Ltd, susulan tindakan penyekatan oleh agensi kawal selia, Finma atau Pihak Berkuasa Penyeliaan Pasaran Kewangan Switzerland terhadap bank tersebut.

Falcon Bank telah diarahkan oleh Finma untuk menyerahkan kepada agensi kawal selia itu wang sejumlah RM10.55 juta  yang disifatkan sebagai keuntungan haram hasil daripada dana 1MDB.

Bagi tujuan kemungkinan pendakwaan itu, OAG telah meminta Finma untuk menyediakan sesalinan keputusan yang menguatkuasakan sekatan terhadap Falcon Bank itu bagi mereka membuat analisis mengenainya.

Jika OAG turut memulakan prosiding jenayahnya, bermakna sudah tiga negara iaitu Singapura, Amerika Syarikat dan Switzerland telah bertindak berkaitan dana yang berasal daripada 1MDB.

Di Singapura, dua buah bank iaitu Falcon dan BSI AG telah diarah tutup kerana kesalahan berkaitan aktiviti penggubahan wang haram tentang dana 1MDB, manakala di Amerika pula tindakan pembekuan aset dan hartanah yang dipercayai daripada wang syarikat pelaburan itu, turut sudah dimulakan.

Berbanding tindakan pendakwaan yang telah diambil oleh Amerika Syarikat dan  Singapura sebelum ini di mana Najib Razak masih boleh "bersilat"  dan mengatakan ia tidak membabitkan atau tiada kena-mengena dengan dirinya, prosiding jenayah oleh OAG terhadap Falcon Bank ini seharusnya lebih membimbangkan beliau.
 
Ini kerana dalam penyiasatan yang dijalankan oleh Finma terhadap Falcon Bank selama ini, ia bukan saja berkaitan dana daripada 1MDB sebanyak RM15,200 juta yang disalurkan melalui bank itu, tetapi juga berkaitan wang sebanyak RM2,600 juta yang dimasukkan ke akaun peribadi Najib serta RM2,030 juta yang kemudian dikembalikan.

Semua urusniaga itu dilakukan melalui Falcon Bank yang merupakan milik IPIC. Sebagaimana yang diketahui umum, IPIC turut mempunyai urusniaga dengan 1MDB berkaitan pengeluaran bon.

Najib berkali-kali mengatakan wang yang diterimanya adalah derma daripada anak Raja Arab dan ia juga dipulangkan kepada orang yang sama kerana tidak habis digunakan.

Dalam kertas pendakwaan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat pula, jelas disebut wang berkenaan yang dimasukkan ke akaun peribadi Malaysian Official 1 adalah berpunca daripada 1MDB. Tidak disebut sama sekali wang tersebut berpunca daripada anak Raja Arab atau Timur Tengah.

Menteri UMNO, Abdul Rahman Dahlan kemudian mengesahkan MO1 adalah Najib serta menempelak dengan mengatakan hanya orang bodoh saja yang tidak mengenali siapa MO1 yang sebenar sebagaimana yang disebut oleh Jabatan Kehakiman Amerika itu.

Sehingga ini, Finma tidak memberikan butiran lengkap mengenai pemindahan wang melalui Falcon Bank ke dalam akaun Najib itu.

Namun, segala-galanya mungkin terbongkar apabila OAG memulakan prosiding jenayah terhadap Falcon Bank, terutama tentang penderma sebenar yang begitu murah hati kepada Najib itu.

Apakah benar wang tersebut berpunca daripada anak Raja Arab dan kemudian dikembalikan semula sebahagian besarnya kepada anak Raja Arab yang sama juga?

Bagaimana jika butiran yang ada di Switzerland  nanti menunjukkan wang itu tiada kaitan langsung dengan mana-mana Pak Arab, sebaliknya daripada individu yang ada kaitan dengan 1MDB?

Atau bagaimana jika bukti yang ada menunjukkan wang itu diterima daripada orang lain dan  dikembalikan kepada penama yang lain, bukan penderma yang asal?

Mungkinkah dalam prosiding jenayah terhadap Falcon Bank itu nanti, Najib turut dipanggil untuk memberi keterangan?

Bolehkah beliau "bersilat"  lagi?

Maka, khabar prosiding jenayah oleh OAG itu mahu tidak mahu, adalah satu lagi berita yang menakutkan buat Najib. (SH 12/10/2016).

Anwar dan Mahathir - Fokus isu rakyat, tiada lagi sengketa


OLEH ERMIZI MUHAMAD

PUTRAJAYA, 12 OKT: Tiada lagi sengketa atau dendam tersimpan di sebalik ‘salam damai’ Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Demikian kata Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berhubung kenyataan Tun Mahathir agar sengketa yang wujud antara dua pemimpin itu tidak berpanjangan.

“Kita tidak lagi menganggap itu sebagai dendam atau perasaan negatif. Perasaan itu hanya akan memakan diri sahaja.

“Kita teruskan hidup dan ambillah pengajarannya daripada apa yang berlaku itu,” katanya kepada SelangorKini ketika ditemui di perkarangan Istana Kehakiman, di sini, hari ini.

Beliau berkata, ahli keluarga lebih mengambil pendirian terbuka tanpa perlu memanjangkan seteru persengketaan antara Tun Mahathir dan Anwar.

Sebelum ini, anak Anwar, Nurul Nuha senada untuk tidak menyimpan sebarang dendam selepas memahami situasi politik semasa susulan pertemuan antara Tun Mahathir dan Anwar sebelum ini.

Tun Mahathir sebelum ini secara terbuka tampil di mahkamah sebagai sokongan terhadap Anwar yang juga bekas Ketua Pembangkang.

Dalam pertemuan itu, Mahathir dan Anwar dilihat berjabat mesra selepas 30 tahun Reformasi 1998 berlaku.

Terdahulu, Anwar dipecat Mahathir daripada kedudukannya sebagai Timbalan Perdana Menteri dan dipenjarakan, sekali gus mencetuskan gelombang Reformasi 1998.

-NFN-

Tidak ada kepentingan rebut jawatan PM, kata Anwar

NINA FARZUIN MD SHARON

Anwar Ibrahim

PUTRAJAYA - Kepentingan rakyat dan negara buat masa ini akan mengubah sistem kerajaan sedia ada, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyampaikan kenyataan itu melalui isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Wan Azizah berkata, tidak ada kepentingan buat Anwar bertanding atau merebut jawatan perdana menteri.

“Ada satu soalan yang diajukan kepadanya iaitu adakah beliau (Anwar) masih mahu bertanding.

“Beliau kata ia tak penting tapi yang lebih penting perlu tukar kerajaan yang menindas kita,” katanya selepas selesai menghadiri prosiding yang membabitkan suaminya di Mahkamah Persekutuan, hari ini.

Mengulas lanjut mengenai prosiding yang berjalan di mahkamah, Wan Azizah memuji hujah pasukan peguam yang mewakili Anwar.

“Hujah mereka memang terbaik sepanjang prosiding tadi.

“Anggap sahajalah semua ini ujian untuk kita dan Malaysia,” katanya.

Pada masa sama, Wan Azizah juga sempat berkongsi keadaan semasa suaminya itu kepada penyokong-penyokong Himpunan Bebaskan Anwar bersebelahan perkarangan Mahkamah Persekutuan.

“Terima kasih kepada semua yang bersusah payah datang. Beliau sampaikan salam dan doa untuk kita semua supaya kita dapat menukar dan ubah sistem kerajaan sekarang ini.

“Beliau sihat tapi keadaan tangannya tidak berapa baik. Pada hari jadinya yang lepas beliau ada berkata, kalau tak boleh angkat tangan kanan.

"Angkatlah tangan kiri kalau tidak boleh sikit pun kita boleh berdoa, asalkan ada sumbangan sikit pun jadilah,” katanya lagi sebelum meminta kumpulan penyokong himpunan bersurai.

Dr M: Tukang masak saya pun Najib nak tukar

Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak terdesak untuk melemahkan semangat beliau.

Mahathir mendakwa, untuk itu, Najib terus melakukan pelbagai tindakan, termasuk melibatkan pihak sekelilingnya.

“Sesungguhnya Najib amat terdesak untuk melemahkan semangat saya juga.

“Bukan sahaja escort (pengiring) motosikal polis ditarik balik tetapi pegawai saya dan tukang masak saya pun hendak ditukar,” kata bekas perdana menteri itu dalam tulisan terbaru di blognya.

Selain itu beliau turut mendakwa disekat daripada berhubung dengan kakitangan syarikat Perusahaan Otomobil Nasional Sendirian Berhad (Proton).

Katanya, orang-orang Proton juga tidak dibenarkan bercakap dengan beliau peniaga di kalangan kenalanya tidak dibenarkan pengadakan 'business' dengan Proton.

"Tujuan Najib ialah supaya Proton bankrap dan boleh dijual dengan murah.

"Nama saya tidak boleh dikait dengan Proton. Proton hendaklah dijual kepada orang asing 100 peratus supaya industri kereta nasional dihapuskan.

"Hanya kereta import sahaja yang boleh dijual di Malaysia. Jangan ada apa-apa yang dimula oleh saya. Biar hancur industri tempatan asalkan Najib puas hati," kata pengerusi Parti Pribumi Bersatu itu.

Tambah beliau, ramai rakyat yang takut didera oleh kerajaan Najib.

"Saya tidak putus asa dan saya percaya rakyat Malaysia akan terus memiliki semangat juang untuk jatuhkan kerajaan kuku besi Najib.

"Mereka tidak takut. Lebih kuat tekanan lebih bencilah mereka terhadap Najib dan Kerajaannya. Semua mereka malu dan tidak ingin melihat negara tercinta ini memiliki seorang PM yang dituduh dan dipercayai oleh seluruh dunia telah lesap (curi) berbilion duit rakyat.

"Saya sedar dan rakyat juga sedar akan tujuan undang-undang baru berkenaan sekuriti. Ia bukan untuk pengganas asing kerana undang-undang sedia ada sudah mencukupi. Ia bertujuan mematah semangat dan memberhentikan sebarang protes terhadap Najib," katanya.





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...