TERKINI :

Sunday, October 9, 2016

Hashim Jasin mursyidul am baru PAS

Bekas pesuruhjaya PAS Perlis Hashim Jasin dilantik sebagai mursyidul am parti itu menggantikan Allahyarham Datuk Dr Haron Din.

Keputusan itu dibuat melalui mesyuarat di Kuala Lumpur hari ini.

BILA PENYOKONG MACAM SAMSENG, APAKAH JENIS PEMIMPIN YANG KITA ADA?

Shahbudin Husin,


Melihat kepada beberapa kejadian ganas dan ala samseng oleh Gerakan Baju Merah untuk menghalang perjalanan atau konvoi Bersih 5 di beberapa tempat hari ini  sebagaimana yang tersebar dengan meluas di media-media sosial, ia pasti membuatkan kita geleng kepala dengannya.

Apa sudah jadi sebenarnya dengan keghairahan berpolitik di negara kita?

Kenapa perlu sampai dihalang perjalanan atau konvoi program jelajah Bersih 5 dengan tindakan ganas dan ala samseng seperti itu sedangkan tujuan mereka semata-mata untuk memberi kesedaran kepada rakyat mengenai pilihanraya yang adil dan bersih?

Mengapa tidak diserahkan sepenuhnya soal keselamatan dan ketenteraman awam kepada pihak polis untuk menanganinya?

Pernahkah kita menonton filem Barat, Tamil atau Hindustan berkaitan tindakan ganas dan ala samseng seperti yang ditunjukkan oleh Gerakan Baju Merah itu?

Jika kita pernah menontonnya, kita tentu menyedari bahawa dalam semua kejadian ganas dan ala samseng yang dipertontonkan itu, ia hanya dilakukan oleh penyokong-penyokong kepada pemimpin atau  ketua yang korup dan makan duit rakyat saja.
Mereka terpaksa melakukannya untuk menghalang rakyat bersuara dan bangkit menyatakan kebenaran. Mereka tidak melakukannya untuk menyelamatkan negara atau bertujuan memberi kesejahteraan kepada rakyat, tetapi semata-mata kerana diupah agar pemimpin atau ketua yang korup itu terus kekal berkuasa.

Tidak seperti di negara-negara maju, demonstrasi atau perhimpunan aman adalah perkara biasa dan dibenarkan mengikut undang-undang. Tidak pernah kumpulan masyarakat yang mengadakan perhimpunan di tempat awam menerima gangguan secara ganas, ala samseng, disepak dan diterajang oleh penyokong kepada pemimpin yang sedang berkuasa.

Pemimpin yang menghormati hak rakyat serta tidak korup, tidak ada sebab untuk membenarkan para penyokongnya bertindak ganas, ala samseng, menyepak dan menerajang orang lain dengan sesuka hati.

Akhirnya, tindakan ganas dan ala samseng oleh Gerakan Baju Merah itu, yang berlaku di sebuah negara yang mahu mencapai status negara maju pada tahun 2020, sebenarnya hanya menyerlahkan lagi jenis pemimpin yang kita ada. Tidak pernah kita ada jenis pemimpin sebegini sebelum ini.

Seiring menjelangnya 60 tahun merdeka, sudah sampai masanya bagi pengarah filem Barat, Tamil dan Hindustan dijemput datang beramai-ramai ke negara kita dan menjadikan apa yang berlaku ini sebagai hasil karya untuk tontonan kepada seluruh dunia pula. (SH 08/10/2016).

IGP: Baik kuning, baik merah, kita akan siasat


Kedua-dua BERSIH dan gerakan ‘baju merah’ akan disiasat kerana melanggar undang-undang apabila gagal memaklumkan kepada polis mengenai perhimpunan masing-masing, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.

“Kedua-dua pihak telah melanggar undang-undang, baik kuning, baik merah. Adakah mana-mana pihak beri notis utk membuat perhimpuan sebelum mereka jalankan aktiviti itu?

“Dan bila pihak ini tak memberi notis, dia nak perlindungan polis pulak, bila dia buat salah, lepas itu bila orang marahkan dia, dia minta perlindungan polis pulak,” katanya pada sidang akhbar di Bukit Aman, hari ini.

Sementara itu, Khalid berkata polis juga akan menyiasat laporan yang dibuat oleh pemimpin baju merah, Datuk Jamal Md Yunos yang mendakwa BERSIH diresapi kumpulan pengganas IS.

“Bukan sahaja mengenai IS, tetapi segala-galanya. Saya kata sebarang perlakuan jenayah kita akan siasat, itu standard prosedur operasi kita,” katanya.

BERSIH sebelum ini menafikan dakwaan hubungannya dengan IS dan pengerusinya Maria Chin Abdullah hari ini memfailkan saman fitnah terhadap Jamal.

Terima kasih teruna sunti berbaju merah

Dzulfikri beria-ia benar mahu memasukkan topeng gas ke beg galasnya untuk ke Kuala Lumpur tetapi rakannya - Amir - menghalang.

Selain menganggap ia reaksi agak keterlaluan, membawa topeng gas dalam beg galas menaiki bas ekspres dari Perak ke Kuala Lumpur akan mudah menarik perhatian pihak yang tidak diperlukan.

Mereka kakitangan awam yang bertugas di utara semenanjung tapi selalu 'dekat' dengan pergolakan semasa di Kuala Lumpur.

Dari media massa Dzulfikri dan Amir - sama seperti jutaan lagi rakyat Malaysia - mendapat tahu bahawa Polis Diraja Malaysia sudah menggerakkan anggotanya ke tempat-tempat strategik.

Di persimpangan Jalan Kuang - Jalan Kuala Selangor, misalnya, ada sekatan jalan raya. Di Plaza Tol Jalan Duta ada pemeriksaan kenderaan.

Hal sama berlaku di beberapa jalan masuk utama ke Kuala Lumpur.

PDRM merancang, para penunjuk perasaan juga merancang. Perancangan terbaiklah yang akan 'menang'.

Justeru Amir dan Dzulfikri berasa perlu untuk mereka turun bersama-sama orang ramai menghantar mesej kepada pihak yang berkenaan bahawa proses pilihan raya negara ini perlukan reformasi.

Mahu bantah arahan

Mereka mengatur strategi. Mula berkira-kira mencari bilik penginapan sementara di Brickfields dan menghubungi rakan-rakan lain di Kuala Lumpur untuk menyelaraskan tindakan.

Masa dan tempat pertemuan untuk bergerak bersama-sama ke Stadium Merdeka disepakati. Mereka mahu ke stadium bersejarah itu ketika mengetahui ada ia tidak dibenarkan.

Ia adalah satu bentuk penentangan ke atas penguasaan pihak berkuasa.

Seperti orang lain, mereka mahu menegaskan keadaan semasa politik negara mesti diubah ke arah lebih baik. Dan salah satu caranya ialah dengan membantah arahan yang dibuat kerajaan itulah.

Dalam keadaan begitulah BERSIH 2.0 berlangsung dengan tegang dan panas. Entah berapa banyak kanister pemedih mata dilepaskan pada 9 Julai 2011 itu.

Ia melakar sejarah tersendiri. Selain kesakitan dan kepenatan, BERSIH 2.0 itu juga memaksa kerajaan mengambil langkah sewajarnya bagi memenuhi desakan rakyat.

Memanglah tidak semua desakan itu diterima. Malah ada beberapa tuntutan itu dipenuhi tetapi kemudian menjadi lelucon yang epik. Penggunaan dakwat kekal semasa mengundi, misalnya.

Demonstrasi selepas BERSIH 2.0 adalah demonstrasi yang - secara relatif - hambar. PDRM memang bersikap keras terhadap tunjuk perasaan namun kekerasan itu tidak sama lagi seperti 2011.

Ia adalah sikap yang sepatutnya diambil oleh polis sejak awal lagi. Bersikeras dengan sentimen popular semasa rakyat biasanya akan membawa kesan yang songsang. Ia adalah persoalan psikologi.

Tak nampak bayang lagi

Kemudian PDRM lebih lunak. Lalu ada pula Akta Perhimpunan Aman 2011 yang diluluskan Dewan Rakyat pada 24 November tahun berkenaan.

Selepas itu demonstrasi di tengah Kuala Lumpur adalah "membosankan" bagi kebanyakan orang.

Tiada lagi gas pemedih mata, aksi berlarian di lorong-lorong belakang bangunan di Jalan Tuanku Abdul Rahman kerana dikejar polis menjadi nostalgia yang mahal.


Amir dan Dzulfikri tidak lagi nampak bayang mereka di hari demonstrasi diadakan.

Dalam mood begitulah BERSIH 5 dirancang dan dipromosi. Dan dalam suasana begitu juga kumpulan baju merah tampil dengan bermacam provokasi melampau.

Soal mereka mendapat upah, menutup muka kerana enggan dikenali (malu, mungkin?) dan melarikan diri selepas membuat tendangan terbang adalah isu yang lain.

Isu utama sekarang ialah kerajinan kumpulan baju merah membuat kemunculan dengan pelbagai aksi yang menarik perhatian.

Menggunakan telur sebagai 'senjata' - misalnya - mungkin adalah simbolik kepada kegigihan untuk mempertahankan ideologi politik mereka di negara ini.

Ia ditambah lagi dengan aksi Datuk Seri Jamal Md Yunos mengepam notis saman Maria Chin Abdullah ke lubang tandas baru-baru ini.

Ia cuma dua daripada contoh yang diperlukan pertubuhan BERSIH untuk mengajak orang turun beramai-ramai ke Kuala Lumpur pada 19 November nanti.

Senjata ampuh gagalkan BERSIH

Ketika polis semakin berhemah dan menunjukkan tahap profesionalisme lebih tinggi, baju merah adalah apa yang sangat diperlukan BERSIH.

Kini adalah zaman yang sama sekali berbeza. Hari ini dan esok saja sudah dibezakan dengan jurang besar oleh pelbagai perkembangan maklumat dan teknologi semasa.

Namun kumpulan baju merah nampaknya masih belum memahami realiti itu dari segi perang saraf dan psikologi. Sifir mereka adalah tepat jika ia digunakan pada zaman Tun Hussein Onn.

Hari ini kita semua boleh melihat bagaimana - misalnya - suatu penipuan dapat dibongkar dengan mudah melalui kemudahan atas talian. Dan suatu penipuan itu dibongkar kepalsuannya bukan sekali, malah setiap hari.

Kumpulan baju merah masih menganggap perbuatan mengugut dan menakut-nakutkan lawan adalah senjata ampuh untuk menggagalkan BERSIH 5.

Justeru mereka kita lihat seolah-olah teruna sunti yang baru keluar dari kampung masing-masing dengan semangat membara di dada untuk berperang menentang skandal kewangan atas talian menggunakan keris dan lembing.

Rakyat - yang kini dilengkapi pelbagai maklumat dan pemikiran semasa - melihat serta menilai sendiri apa yang berlaku itu dengan sewajarnya.

Tiada siapa dapat menyanggah bahawa "pengetahuan adalah kuasa". Baju merah mungkin tidak menyedari "kuasa" itu sudah tersebar merata-rata secara pantas.

BERSIH tidak perlu bersusah-payah memberi penjelasan mengapa BERSIH 5 perlu dihadiri ramai kerana baju merah sudah melakukan kempen berkenaan dengan jayanya.

BERSIH boleh terus menumpukan gerak kerja dengan menggerakkan konvoi mingguan seperti dijadualkan lebih awal. Bahkan pada 9 November nanti BERSIH wajib berterima kasih kepada baju merah atas segala bantuan dan sokongan yang mereka berikan untuk menyempurnakan perhimpunan di tengah Kuala Lumpur.

Pada hari itu mungkin kita akan melihat ramai susuk Amir dan Dzulfikri di ibu negara. Bukan satu atau dua, malah mungkin ribuan Amir dan Dzulfikri yang datang dari segenap penjuru negara.

Al-Abror Mohd Yusuf
malaysiakini

ELAUN SARA HIDUP PELAJAR MATRIKULASI masih tertangguh oleh kerajaan NAJIB

BENARLAH ELAUN SARA HIDUP PELAJAR MATRIKULASI DI BAWAH KEMENTERIAN PENDIDIKAN TERTANGGUH.

Bernama pada 8 Oktober 2016 melaporkan bahawa Pengarah Kolej Matrikulasi Labuan (KML) menafikan kira-kira 150 pelajarnya menghadapi masalah untuk makan setiap hari akibat penggantungan elaun pelajar sejak Ogos tahun ini.

Pengarah KML, Sawang@Rizal Amit berkata para pelajar KML yang datang dari keluarga berpendapatan rendah dan sederhana menerima bantuan makanan setiap hari dari pengurusan untuk sarapan pagi hingga makan malam.

Sawang dilaporkan berkata "Penggantungan elaun oleh Kementerian Pendidikan hanya sementara dan kami telah membuat rayuan kepada kementerian untuk mempercepatkan pembayaran elaun,".

Kenyataan Sawang mengesahkan pendedahan saya dan Saudara Muhammad Faiz Fadzil, Timbalan Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) pada 28 September 2016 dan pada 4 Oktober 2016 yang lepas bahawa para pelajar Program Matrikulasi seluruh negara mengalami masalah elaun sara hidup daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Program Matrikulasi merupakan program persediaan bagi pelajar Bumiputera lulusan Sijil Pelajaran Malaysia untuk melayakkan mereka mengikuti kursus peringkat ijazah dalam bidang Sains, Teknologi dan Sastera Ikhtisas di universiti awam dan swasta. Program ini dibiaya terus oleh KPM.

Program Matrikulasi kini mempunyai lebih kurang 25,000 pelajar dari pelbagai negeri di negara ini dan setiap seorang daripada mereka menerima elaun sara hidup sebanyak RM1,250 bagi setiap semester pembelajaran. Bagi sesi 2016/17 yang sedang berjalan, pihak KPM hanya menjelaskan sejumlah RM500 bagi setiap pelajar yang mana masih tertunggak RM750 bagi setiap pelajar.

Walau pun kami telah mengeluarkan kenyataan mempersoalkan kelewatan pembayaran, tetapi sehingga hari ini elaun sara hidup sebanyak RM750 tersebut masih tertunggak. Malah tiada sebarang respon daripada KPM. Kenapa perkara sebegini masih berlaku dan dibiarkan berlaku.?

Hari ini Pengarah KML mengakui bahawa para pelajarnya tertangguh pembayaran elaun sara hidup dan pengurusan sedang merayu kepada KPM menyelesaikan masalah tersebut yang mana ianya mengesahkan pendedahan kami sebelum ini tetapi KPM masih berdiam diri.

Sawang hanya menafikan pelajarnya kelaparan tetapi masalah elaun tidak juga selesai. Adakah hendak menunggu ada pelajar mati kelaparan baru KPM hendak bertindak?

Ke mana perginya dana yang telah disediakan untuk pembiayaan para pelajar matrikulasi? Apa yang menyebabkan pembiayaan mereka tertangguh? Bila pembiayaan mereka akan dilangsaikan? Mana Menteri? Mana Perdana Menteri?

Kita perlu ingat dan faham bahawa program matrikulasi ini adalah hasil pembentangan Dato' Sri Najib Tun Razak kepada Jemaah Menteri semasa beliau menjawat Menteri Pelajaran dahulu. Sekarang beliau adalah Perdana Menteri. Adakah beliau suka melihat usahanya suatu ketika dulu menjadi sia-sia dan rosak.

Perdana Menteri perlu beri lebih perhatian kepada Program Matrikulasi selain Program Permata di bawah isterinya Datin Sri Rosmah. Jangan hanya utamakan Permata sedang Matrikulasi terbiar.

Jangan sampai ada pelajar mati kelaparan baru mahu bertindak.

ZULHAZMI SAHRIFF
Ahli Parti Tindakan Demokratik (DAP)
Cawangan Taman Tun Dr Ismail Kuala Lumpur.
9 Oktober 2016
8 Muharram 1438

PH Kedah serah surat membantah persempadanan semula oleh SPR

Pakatan Harapan Kedah menyerah surat cadangan kepada Pihak Berkuasa Tempatan (Majlis Bandaraya Alor Setar) untuk membantah cadangan persempadanan kawasan pilihanraya yang dicadangkan oleh SPR.

Surat cadangan telah diserahkan oleh Pengerusi Pengerusi Amanah, keADILan dan DAP Kedah dan diterima oleh Tuan Setiausaha Majlis Bandaraya Alor Setar.

Turut hadir Ketua Setiausaha PH Kedah, Setiausaha DAP Kedah, Pengarah Komunikasi Amanah Kedah dan Timbalan Pengarah Kanun (Undang Undang) AMANAH kedah.

Saifuddin Nasution katakan ada 4 sebab yg buat BN yakin akan menang lagi PRU14 nanti

Saifuddin Nasution kata ada 4 sebab yg buat BN menang dan BN yakin akan menang lagi iaitu:-

1. Tanah Rancangan Felda ada dalam 55 kawasan parlimen.

2. Undi awal 400,000 orang oleh anggota tentera, polis dan petugas SPR.

3. Kawasan parlimen Sabah sebanyak 26 dan Sarawak 31, yang berjumlah 57 kerusi.

4. Persempadanan semula yang terbaharu.

Jika dikira 55 kerusi parlimen yang ada Felda dan kerusi di Sabah & Sarawak, semuanya berjumlah 112 kerusi.

112 kerusi itu cukup untuk membentuk kerajaan untuk BN terus berkuasa.

Kepada PAS.. terma "tegakkan islam" itu, apa maksudnya?

Zolkharnain Abidin Al-Abyadhi,

Pas kata, parti itu hanya akan bekerjasama dgn parti yg mahu tegakkan Islam saja. Penegasan itu betul. Cuma terma 'tegakkan Islam' itu, apa maksudnya?

Adakah maksud tegakkan Islam ialah pinda Akta 355, atau lawan DAP, atau menolak Bersih 5, atau berbaik sangka dgn rasuah pemimpin BN, atau menerima jawatan berbau agama yg ditawarkan oleh kerajaan BN?

Atau, Pas berasa hanya Pas saja yg berjuang utk tegakkan Islam dan parti-parti lain tidak? Lawan Pas dianggap lawan Islam? Tidak bersama Pas tidak dianggap berjuang Islam?

Saya fikir, terma 'tegakkan Islam' itu patut dicerakin dgn jujur supaya tidak menjadi candu utk menyuburkan fanatik.

Pengguna dilarang beli produk Aman Liquid


Dr Noor Hisyam

PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan menggesa orang ramai tidak membeli atau menggunakan produk tradisional 'Aman Liquid' kerana dikesan mengandungi 'yohimbine', iaitu sejenis bahan racun berjadual.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pendaftaran produk itu telah dibatalkan pihak berkuasa Kawalan Dadah pada 27 Sept lalu berikutan pengesanan bahan racun berjadual di dalam produk berkenaan.

Beliau menerangkan 'yohimbine' adalah sejenis alkaloid yang kebiasaannya diperoleh daripada tumbuhan Puasinystalia yohimbe dan digunakan dalam rawatan kegagalan erektil.

Dr Noor Hisham dalam kenyataannya berkata, yohimbine tidak dibenarkan dalam ubat yang dikelaskan sebagai ubat tradisional.

"Penggunaan yohimbine secara tidak terkawal boleh menyebabkan kesan buruk yang serius seperti peningkatan tekanan darah dan kadar denyutan jantung, keresahan, insomnia, halusinasi dan mania," katanya.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, yohimbine boleh memberi kesan mudarat kepada golongan tertentu seperti perempuan mengandung, pesakit darah tinggi, jantung, buah pinggang atau hati.

Dalam pada itu, beliau turut memberi amaran kepada penjual dan pengedar produk berkenaan untuk menghentikan penjualan dan pengedarannya dengan serta-merta.

"Penjual adalah diingatkan pemilikan produk ini untuk jualan melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

"Mereka yang melakukan kesalahan itu boleh dikenakan hukuman tidak lebih RM25,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih 5 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.

"Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya," terang beliau.

Sehubungan itu, Dr Noor Hisham menasihati orang ramai yang sedang menggunakan produk tersebut untuk segera menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat doktor jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan buruk.

Individu juga boleh menghubungi Agensi Regulatori Farmasi Negara di talian 03-78835400 untuk pertanyaan atau maklumat lanjut dan menyemak status pendaftaran sesuatu produk dengan melayari laman sesawang http://npra.moh.gov.my/ - Bernama

PKMD tekad selamatkan dua beranak yang tidur di kaki lima bangunan di Seberang Perak

8 Oktober 2016

Nasir (kanan) berbual dengan wanita berkenaan.

ALOR SETAR - Usaha Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) Alor Setar menyelamatkan dua beranak yang didakwa tinggal di kaki lima sebuah bangunan di Seberang Perak, di sini tidak berhasil apabila mereka menghilangkan diri.

Difahamkan, wanita berusia lingkungan 30-an terbabit bersama anaknya menjadikan kepingan pintu disusun empat segi sebagai tempat menumpang teduh.

Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Kota Setar, Syahrul Nasir Mat Rais berkata, pihaknya  segera mencari wanita berkenaan selepas menerima maklumat Adun Kubang Rotan.

“Bagaimanapun, wanita itu didapati menghilangkan diri apabila kakitangan kami cuba menjejaki mereka anak beranak sejak petang Rabu.

“Malah, keadaan tempat didapati disusun kemas seolah-olah tiada orang tinggal, berbanding ketika wanita itu tinggal sebelum ini,” katanya.

Menurutnya, siasatan lanjut mendapati wanita dikenali sebagai Siti (bukan nama sebenar) memiliki tempat tinggal dan keluarga.

"Wanita itu seolah-olah gemar menjalani hidup sedemikian dengan menumpang di merata-rata biarpun memiliki keluarga yang baik.

"Kami pernah menasihati dan memberi amaran kepadanya agar berubah, bagaimanapun dia sering melakukan perbuatan sama," katanya.

Syahrul berkata, berdasarkan rekod dimiliki, mereka pernah menyelamatkan anak sulung wanita berkenaan dan menempatkan dia di rumah perlindungan kanak-kanak.

"Kami akan cuba menyelamatkan anak beranak berkenaan sekiranya berjaya mengesan kedudukan baru tempat tinggal wanita itu.

"Kami memberi perhatian serius kes sedemikian kerana bimbang wanita berkenaan menyalahgunakan anaknya untuk mengemis," katanya.

Katanya, wanita berkenaan akan ditahan di bawah Akta Orang Papa 1977, manakala anak akan diberi perlindungan mengikut Akta Kanak-kanak 2001 jikalau dikesan berlaku pengabaian.

Terdahulu, Adun Kubang Rotan, Mohd Nasir Mustafa yang menerima aduan orang awam turun melawat wanita berkenaan bagi menyelami masalah dihadapi.

Menurutnya, difahamkan wanita berkenaan terpaksa tinggal bersama anaknya di kaki lima bangunan berkenaan disebabkan masalah keluarga.





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...