TERKINI :

Thursday, September 29, 2016

Jangan kafirkan sesama Islam kerana RUU355

Saya amat sedih mendapati segelintir agamawan di negara ini yang dengan sewenang-wenang mengkafirkan orang Islam hanya kerana mengambil pendirian tidak bersetuju dengan rang undang-undang yang bertujuan memperkasa serta memertabatkan kedudukan Mahkamah Syariah.

Saya tidak menafikan tentang peri pentingnya gagasan  sedemikian dilaksanakan dan justru sepatutnya ia mendapat sokongan semua pihak. Tetapi yang perlu difahami RUU 355 belum lagi dimuktamadkan dan hanya akan dibentangkan oleh Ahli Yang Berhormat Marang di Parlimen yang akan mulai bersidang pada pertengahan bulan Oktober ini.

Biarlah ia dibincang terlebih dahulu dengan teliti dari pelbagai aspek oleh pihak legislatif dengan tujuan penambahbaikan.  Moga-moga dengan perbahasan yang bebas akan menghasilkan satu undang-undang  yg adil untuk dilaksanakan ke atas seluruh warganegara.

Kita tidak wajar memaksa mana-mana ahli Parlimen menerima RUU 355 dengan apa jua cara termasuk mengugut kononnya sesiapa tidak menyokong akan menjejaskan akidah!

Memang seorang Muslim wajib menerima hukum yang ditetapkan oleh Allah SWT. yang sakral. *Tetapi RUU 355 bukan hukum Allah SWT* . Ini hanya merupakan satu langkah ke arah memperkasa dan memertabatkan Mahkamah Syariah di Malaysia yang akan dibentangkan nanti. Kemungkinan wujud kekurangan dan kelemahan tertentu di dalam RUU teresbut yang perlu diperbaiki sebelum dijadikan undang-undang.

Sebaiknya pihak kerajaan sendiri mengambil daya usaha membentangkannya seperti sebelum ini supaya kelihatan lebih serius dan tidak dilihat sebagai gimik politik semata-mata.

DATO' DR WAN SALIM WAN MOHD NOOR
MUFTI PULAU PINANG

Kenapa penculikan masih berlalu di Sabah w/pun berbuih mulut sudah bercakapnya

BERBUIH MULUT SUDAH

" BERBUIH mulutku sudah bercakap di parlimen tapi kes culik tetap juga berlaku tidak henti2 dan asyik minta wang tebusan saja. Sampai bila Sabahan terutama yang tinggal di Pantai Timur hidup tidak aman dan  tidak ketakutan?" Katanya DS Shafie Apdal ketika menghubungi saya sebentar.

Perkara yang dinyatakan sudah berulang kali diperkatakan di sana sini tetapi yang berkenaan seolah tidak peduli dan kelihatan masuk telinga kanan dan keluar telinga kiria atau barangkali sang menterinya tuli atau buta mata.

" Di Kota Kinabalu ada kem tentera sedang di Kota Kinabalu tidaklah seteruk di Pantai Timur dan sepatut tempatkan sedikit tentera di Sandakan, Lahad Datu atau Tawau yang fungsinya menjaga perairan di sana " Katanya lagi.

Soal di Labuan juga disentuh dan di Labuan tiada musuh2 dan tidak ada kes penculikan dan sepatut lagi diutamakan kawasan pantai timur dan hantarlah sebanyak mungkin helikopter menjaga keamanan di sekitar perairan pantai timur.

Musa Aman selaku pengerusi keselamatan Sabah jelas gagal menjalankan tugasnya dan perlu diadakan satu cara lain agar rakyat Sabah di Pantai Timur tidaklah hidup dalam ketakutan.

" nelayan2 di Lahad Datu, Sandakan dan Tawau serta Semporna dalam keadaan ketakutan untuk turun ke laut menangkap ikan buat rezeki mereka dan sampai bila ketakutan semacam ini terus berlarutan?" Tanya DS Shafie lagi.

Yang kita tahu bila saja ada penculikan, maka jawatankuasa khas di Sabah terus bermesyuarat dan menteri yang bertanggungjawab mengeluarkan kenyataan konon Sabah terkawal dan aman.

" Siapa saja yang aman? tentunya Datuk Musa Aman lagi tahu hal ini dan sejauh mana tindakan itu semuanya kuasa Sabah dan Ketua menteri secara tak langsung bertanggungjawabnya " Kata DS Shafie lagi.

DS Shafie menjelaskan kasus yang dimaksudkan menyebabkan mulutnya berbuih2 mengatakan di kabinet dulu termasuk di parlimen tetapi hingga sekarang tidak ada penyelesaian yang boleh meyakinan orang Sabah.

Rakyat Sabah fikirlah!
Sabah Ubah
Sabahans for Sabah

ISMAILY BUNGSU
28 September, 2016
3:00pm

Ustaz Pas kembali UTURN dalam hukum nak tanam Wan Azizah di jirat..

Dakwaan tolak RUU Pindaan Akta 355 boleh gugur iman, akhirnya ustaz Pas kembali membuat pusingan kebelakang (UTURN) dan segera memohon maaf. Itulah Pas ketika bercakap sering kali sembero berhujah tanpa berfikir. Selepas membuat hukum segera pula menarik balik hukum seolah pemimpin Pas bebas mengeluarkan hukum sesedap rasa.

Inilah yang di namakan cakap mengikut hawa nafsu tanpa merujuk nas, dalil dan siasatan yang terperinci. Untuk makluman, Ustaz yang sama juga pernah mengeluarkan kenyataan tiada Azan di Pulau Pinang di bawah pentadbiran DAP yang akhirnya segera menarik balik fitnah tersebut setelah mendapati ianya hanyalah ucapan fitnah.

Inikah yang di namakan dengan _*ISTIQAMAH?*_ Tidak pernah berpegang dengan apa yang di ucapkan. Cakap-cakap hanyalah untuk menakut-nakutkan ahli Pas agar dapat membendung ahli daripada keluar meninggalkan parti. Ahli-ahli di takutkan dengan menggunakan hukuman gugur akidah, murtad, munafik, kafir dan sebagainya supaya mengekalkan sokongan kepada parti.

Tidak hairanlah ahli Pas di lihat sentiasa terkesima dengan sebarang kenyataan pemimpin mereka. Hendak di tolak mendatangkan kebimbangan kalau-kalau gugur akidah. Sejarah Pas zaman berzaman membuktikan ahli tegar telah di doktrinkan mesti wala'(patuh) serta tsiqah (percaya) dengan kepimpinan. Setiap ahli di kehendaki baik sangka dengan pemimpin parti.

Oleh kerana itulah pemimpin Pas boleh sewenang-wenangnya mengeluarkan hukum. Kebolehan mereka memutar belitkan hukum terus menjadi tanda soal terutamanya ustaz-ustaz jadian yang hanya di celup setahun atau 2 tahun pengajian pondok. Ada juga yang berkelulusan guru sejarah tetapi mendapat title(gelaran) ustaz hanya kerana kebolehan mereka mengupas persoalan ugama.

Banyak lagi ustaz-ustaz jadian keluaran Pas telah di endorse(mendapat sokongan) daripada berlatar belakangkan pendidikan sekular kepada gelaran ustaz supaya dapat menjadikan parti sebagai jalan pintas untuk mendapat sokongan. Cuba perhatikan dan selidiki!

Banyak lagi persoalan yang boleh di pertikaikan. Inilah pentas-pentas mudah untuk mendapatkan envelope. Ada kalangan mereka yang menjadikan ini sebagai jalan mudah dengan menjual ugama dengan harga yang sedikit. Hukum ke hulu amal ke hilir.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنْ جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا أَنْ تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَىٰ مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ

Wahai orang- orang yang beriman, jika ada seorang fasiq datang kepada kalian dengan membawa suatu berita, maka tabayyunlah (teliti/selidikilah dulu), agar jangan sampai kalian menimpakan suatu bahaya pada suatu kaum atas dasar kebodohan, kemudian akhirnya kalian menjadi menyesal atas perlakuan kalian.

[al-Hujurât/49:6].

Kepada rakan-rakan yang masih berada di dalam Pas selidiklah terlebih dahulu daripada terus menelan bulat-bulat sebarang hukum yang di lemparkan agar tidak mendatangkan fitnah kepada orang lain.

~Bekas Ahli Pas

Bahaya buang puntung rokok di tengah jalan raya

Puntung rokok

SIKAP segelintir pemandu jalan raya yang suka membuang sampah di tengah jalan raya ternyata suatu perkara yang amat mendukacitakan, bahkan membahayakan pengguna jalan raya yang lain.

Perkara tersebut menjadi lebih membahayakan apabila sampah yang dibuang itu adalah puntung rokok kerana risiko bahaya kepada pengguna jalan raya yang lain menjadi lebih tinggi.

Bayangkan, sekiranya terdapat satu keadaan di mana pengguna jalan raya lain menghadapi masalah kebocoran minyak di mana-mana bahagian kenderaannya dan dalam masa sama ada pengguna jalan raya yang tidak bertanggungjawab membuang puntung rokok menghampiri kenderaan yang dipandu olehnya.

Maka kebarangkalian tinggi kebakaran besar boleh berlaku di tengah jalan raya.

Sekiranya dirujuk kepada negara jiran seperti Singapura, pelaksanaan undang-undang terhadap mana-mana individu yang membuang sampah secara sesuka hati ternyata suatu hal yang amat baik telah dilaksanakan oleh negara tersebut (seperti membuang sampah keluar dari tingkap kereta di tengah jalan).

Penggunaan sistem pemantauan di tengah jalan raya ternyata suatu hal yang "menggerunkan" di negara tersebut kerana sekiranya berlaku "jenayah" pembuangan sampah di tengah jalan raya oleh mana-mana pengguna jalan raya, maka mereka boleh dikenakan hukuman seperti denda dan perlu melaksanakan aktiviti kemasyarakatan.

Senario ini membawa satu cadangan yang boleh dilontarkan kepada pihak kerajaan Malaysia iaitu menguatkuasakan undang-undang khas terhadap kesalahan membuang puntung rokok di tengah jalan raya seperti mengenakan saman, denda ataupun hukuman-hukuman lebih berat akibat sikap tidak bertanggungjawab segelintir pengguna ini yang boleh membahayakan pengguna jalan raya.

Sekiranya perkara ini dilaksanakan, maka kebarangkalian tinggi isu pembuangan puntung rokok di tengah jalan raya oleh segelintir pengguna yang tidak bertanggungjawab ini dapat dikurangkan dari semasa ke semasa.

Malah, pihak kerajaan menerusi Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia juga sebenarnya boleh melaksanakan kempen media dalam memberikan kesedaran tentang bahaya isu pembuangan puntung rokok di tengah jalan raya ini.

Dalam hal ini, perkara tersebut dirujuk sebagai salah satu intervensi berkesan dalam mendidik pengguna jalan raya supaya tidak melakukan perkara tidak bertanggungjawab tersebut sekali gus mengurangkan risiko bahaya perkara-perkara tidak diingini di jalan raya.

MOHAMAD HAFIFI JAMRI
Universiti Sains Malaysia

‘Pendakwah tak cari aib orang’

Syeikh Dr Khaleel

MASIH terngiang-ngiang lagi nama tokoh ulama di negara Iraq seperti Imam Syafie, Imam Ahmad, Syeikh Abdul Qoder Al-Jailani, Syeikh Ahmad Rifa'ie, Imam Al Ghazali, Sibawaih, Khalel dan lain-lain.

Kita mungkin menyangka mereka yang pergi meninggalkan kita tanpa pewaris ilmu  dan akhlak mereka. Sangkaan kita sebenarnya salah. Dari dahulu hingga sekarang masih wujud ulama yang muncul dari Iraq yang mewarisi ilmu daripada mereka yang terdahulu.

Antara pewaris berasal dari Iraq ialah Al- Syeikh Dr Khaleel Ismael Iliyas Hafizhohullah yang berketurunan Arab. Dengan bantuan penterjemah, Ketua Wartawan Sinar Harian Edisi Utara, Mohd Idros Mohd Ali berkesempatan berbual dan menyelami perasaan tokoh yang yang dilahirkan di Nenawi, Iraq pada 26 Disember  1967 kerana sanggup mencurahkan keringat menyebarkan dakwah di utara tanah air, terutama Kedah

Boleh cerita latar belakang tuan?  

Saya membesar dalam keluarga yang sangat berpegang kuat dengan agama. Ayah dan ibu terkenal dengan orang yang sangat kuat beribadah. Datuk pula seorang ulama besar dan terkenal dengan kewaliannya. Dari kecil saya terdidik dengan ilmu agama dan akhlak yang mahmudah. 
 
Saya berkahwin dengan Ustazah Intisar Sabri Abduljabar dan dikurniakan tiga cahaya mata. Mereka menetap di bandar Mosul yang terkenal dengan gelaran Bandar Para Anbiya' dan Auliyak. Di bandar itu juga muncul Nabi Yunus yang terkenal dengan kisahnya ditelan ikan Nun.
 
Ceritakan sedikit mengenai pencapaian akademik tuan. 
 
Saya memperolehi Ijazah Sarjana Muda Usuluddin di Universiti Baghdad pada tahun 1990, Sarjana dalam bidang Tafsir di Universiti Baghdad (1995), Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Tafsir di Universiti Baghdad (1990) dan mendapat Ijazah Ilmiah dalam bidang Ilmu Naqli dan 'Aqli bersanad yang diiktiraf oleh seluruh ulama Iraq. 
 
Sedikit pengalaman tuan dalam bidang pendidikan? 
 
Saya pernah menjadi pensyarah Kuliah Ulum Islamiah, Universiti Baghdad (1995-2000), Kuliah Bahasa Arab dan Ulum Quran, Kuliah Fiqh dan Usul di Universiti Islamiah Baghdad (2000-2002),  Kuliah Tarbiah Universiti Hadaramaut, Yaman (2005-2010), Kuliah Banat Universiti Hadaramaut, Yaman (2009-2011), Kuliah Mujtama' Seeiun, Hadaramaut, Yaman (2006-2007) dan Kolej Universiti Insaniah (Kuin), Kedah, Malaysia. 
Saya juga menjadi tenaga pengajar di beberapa universiti, pusat pengajian agama di negara Iraq, Yaman dan Malaysia.
 
Jelaskan sedikit mengenai penglibatan tuan dalam bidang ilmiah. 
 
Saya pernah menjadi panel hakim antarabangsa bagi kajian ilmiah dalam pelbagai majalah ilmiah mahkamah, terlibat dalam pelbagai muktamar antarabangsa, seminar, pembentangan kertas kerja peringkat universiti serta mendapat pelbagai sijil dan pengiktirafan antarabangsa.
 
Saya menjadi ahli lajnah merangka strategi dan program pendidikan di Kuliah tarbiyah Seeiun, Universiti Hadaramaut,  Yaman, penyelia beberapa kajian dan pentahqiq manuskrip lama serta panel perbincangan risalah Sarjana dan PhD, penyelia lajnah Ihya Turath Islami di Kuliah Tarbiyah, Universiti Hadaramaut, penulis artikel majalah dan akhbar serta menerbitkan pelbagai kajian dan risalah ilmiah.
 
Kenapa tuan pilih Malaysia sebagai destinasi untuk berdakwah?
 
Kedatangan saya ke Malaysia kali pertama pada asalnya ialah untuk beramal dengan sunah Nabi Muhamad SAW iaitu menghubungkan silaturahim sesama mukmin. Saya datang untuk menziarahi rakan yang pernah belajar di Iraq satu ketika dahulu iaitu Dr Mustafa seorang pensyarah di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis). 
 
Mungkin dengan berkat mahabbah sesama mukmin dan keilmuan, saya ditawarkan berkhidmat di Kolej Universiti Insaniah (Kuin) sebagai pensyarah kanan. Setelah dua tahun berkhidmat saya memilih untuk sepenuh masa berkecimpung dalam bidang dakwah dan pertarbiahan. 
 
Apa yang tuan lakukan selepas itu?
 
Syukur dengan kemahiran dalam 12 bidang ilmu membuatkan dakwah dan tarbiah saya mampu menarik hati masyarakat khususnya anak muda di negara ini. 
 
Umat Islam di Malaysia memiliki hati yang baik dan lemah lembut. Sifat-sifat seperti ini dapat menjadikan umat Islam di sini sebagai contoh bagi umat Islam lain di seluruh dunia tetapi dengan syarat mereka diberi pentarbiahan yang tepat oleh ulama yang memiliki
keahliannya. 
 
Untuk itu, saya dengan bantuan beberapa pembantu bertungkus-lumus siang dan malam berdakwah dan mentarbiah masyarakat agar umat Islam di Kedah khususnya dan Malaysia amnya memahami dan mengamalkan Islam yang sebenar berlandaskan manhaj Ahlul Sunnah Wal Jemaah. 
 
Saya tidak menolak sebarang permintaan program dakwah dan tarbiah walaupun dalam keadaan tidak sihat. Bagi saya agama itu terlebih diutamakan daripada diri sendiri, keluarga dan semuanya. Saya anggap diri ini sebagai seorang khadam kepada agama Islam.
 
Apa pendirian tuan dalam aspek berdakwah? 
 
Saya tidak mencampuri urusan politik kerana saya bukan ahli politik tetapi adalah ulama dan pendakwah ke jalan ALLAH.
 
Pengajian semata-mata tidak memadai untuk mendidik umat Islam tetapi amat berhajat kepada pentarbiahan. Pentarbiah yang utama ialah takut kepada ALLAH, dosa dan maksiat.
 
Perkara utama dalam dakwah saya ialah tarbiah. Mereka yang berada di atas manhaj ini tidak ada masa untuk mencari kesalahan orang lain. Ramai pendakwah tersalah kerana mereka cuba untuk membaiki dan mencari aib orang lain sedangkan mereka tidak mampu membaiki diri sendiri.
 
Saya mengadakan ceramah siang dan malam di setiap tempat tanpa rehat kerana ingin berkhidmat kepada agama termasuk daurah kitab di tempat penting seperti Jabatan Mufti Kedah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, Maktab Pengajian Islam Kedah milik Mufti Kedah, Datuk Baderuddin Ahmad, Masjid Negeri Pulau Pinang, Masjid Sultan Salahudin di Shah Alam dan seluruh masjid di Kedah, Perak, Perlis, Kelantan serta Selangor.
 
Apakah jenis kitab yang tuan guna?
 
Saya mengadakan kuliah tafaqquh kitab-kitab turath seperti Kitab Al Maqosid Al Nawawiah, Syarah Jauharah Al Tauhid, Syarah Matan Isaqhuji, Matan Al Bina, Matan Al 'Izzi, Matan Al Baiquniah, Al Arba'ein Al Nawawi, Al Arba'ien Fi Zikr ALLAH Rabb Al 'Alamin, Matan Al Ajrumiah, Syarah Al Waraqot, Syarah Manzumah Al zam zami, Tuhfatul Ikhwan , Al Syifa Bi Takrif huququ Al Mustofa dan Tafsir Al Jalalain.
 
Apa matlamat tuan berbuat demikian?
 
Saya mahu menghabiskan seluruh hidup saya untuk berkhidmat kepada orang Islam, dakwah, ilmu dan agama Islam. Saya mahu mengajar umat Islam menyayangi negara dan rakyatnya seperti saya menyayangi negara ini dan rakyatnya. 
 
Pendekatan yang tuan guna untuk berdakwah? 
 
Pergerakan mengajar dan mentarbiah saya diatur oleh murid-murid bawah Pusat Pengajian Islam Darul Hikmah. Mereka bukan dalam kalangan orang awam bahkan yang menggerakkan program pengajaran dan pentarbiahan terdiri daripada ulama, ustaz, pendakwah dan penuntut ilmu agama. 
 
Selain menyampaikan dakwah Islam secara berterusan kepada masyarakat, saya menumpukan kepada dunia maya sebagai tempat suburnya dakwah seperti menggunakan laman sosial Facebook Pusat Pengajian Darul Hikmah.
 
Nasihat kepada pemburu ilmu agama?
 
Jangan jemu mencari ilmu agama kerana ia akan menjadi bekalan kita di akhirat kelak. Tidak rugi menuntut ilmu kerana ia meningkatkan kefahaman kita mengenainya dan memantapkan amalan dalam ibadat.
 
Saya berharap masyarakat bersegera mencari ulama yang murabbi mursyid supaya dapat mentarbiah diri mereka menuju kepada ALLAH Taala berlandaskan akidah dan syariat  Islam yg sebenar. Ilmu semata-mata belum dapat menyelamat seseorang dari api neraka seandainya hati  mereka tidak ditarbiah murabbi mursyid sehingga bersih daripada segala sifat mazmumah yang menghalangnya untuk masuk ke syurga ALLAH Taala.

Setuju wujud Barisan Rakyat untuk hadapi BN

Setuju wujud Barisan Rakyat

SHAH ALAM – Cadangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bagi mewujudkan satu gabungan besar parti pembangkang mendapat reaksi positif.

Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Salahuddin Ayub berkata, pihaknya menyambut baik idea tersebut dan berharap ia mampu direalisasikan.

Menurutnya, cadangan menggabungkan parti-parti pembangkang dengan menggunakan satu nama dan logo merupakan usaha pembangkang sejak sekian lama.

"Sewaktu dalam PR dulu pun, kita pernah kemukakan permohonan kepada pendaftar Pertubuhan (ROS) untuk gunakan satu logo parti sahaja, namun tidak berjaya," katanya.

Sebelum ini, Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dalam satu sesi dialog mengesyorkan semua parti pembangkang membentuk satu barisan baharu yang bernaung di bawah satu logo untuk mengalahkan BN pada PRU14.

Salahuddin memberitahu, cadangan tersebut bakal berjaya sekiranya ROS meluluskan permohonan menggunakan satu logo pada PRU akan datang.

"Sekarang ini halangan terbesar adalah mendapat kelulusan ROS. Kita harap ROS lebih terbuka meluluskannya kali ini.

"Di pihak Amanah, kita sedang menggembleng tenaga memastikan perkara ini berjaya.

"Dengan kehadiran Bersatu, saya yakin kita makin kuat untuk menumbangkan BN," katanya.

Sementara itu, Naib Presiden PKR, Tian Chua ketika dihubungi memaklumkan parti itu turut menyambut baik syor daripada Mukhriz.

"Itu memang yang kita cadangkan sekian lama. Saya berterima kasih kepada Bersatu kerana mengambil sikap yang sama.

"Dari awal lagi kita nak lihat parti-parit pembangkang bersatu dan ini yang diimpikan.

""Diharapkan ia membawa kejayaan," katanya.

Beliau turut menyarankan agar parti-parti pembangkang yang lain untuk turut serta dalam gabungan terbesar itu.

"Prinsip satu lawan satu boleh dikatakan telah dipersetujui semua parti pembangkang, mungkin kita boleh bersetuju dengan gabungan ini pula," katanya.


Bersatu perlu kerja keras jika mahu Muhyiddin jadi PM

Wong Chen

SHAH ALAM - Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) perlu bekerja keras dan memenangi lebih banyak kerusi pada PRU 14 akan datang sekiranya menginginkan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri selepas ini.

Ahli Parlimen Kelana Jaya, Wong Chen berkata, pemilihan Perdana Menteri bukannya ditentukan oleh Pakatan Harapan mahupun Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad, namun ia dipilih melalui konvensyen Parlimen.

"Calon yang akan dipilih adalah dari parti atau gabungan parti yang menang majoriti kerusi dalam PRU akan datang.

"Pendek kata, orang yang dapat sokongan paling banyak daripada ahli Parlimen akan menjadi Perdana Menteri," katanya menerusi kemas kini status di laman Facebooknya hari ini.

Bercakap di London minggu lalu, Mahathir memberi bayangan bahawa kemungkinan Muhyiddin akan dilantik sebagai Perdana Menteri sekiranya menang dalam PRU akan datang.

Dalam pada itu, Wong Chen berkata, kedudukan semasa Pakatan Harapan pada masa ini adalah jelas bagi menjadikan bekas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri sekiranya berjaya menawan Putrajaya.

"Bolehkan Anwar menjadi Perdana Menteri?

"Sudah tentu akan ada Perdana Menteri interim atau sementara semasa peralihan bagi membolehkan Anwar menjadi Perdana Menteri," katanya.

Selain itu, Wong Chen yang juga merupakan Pengerusi Biro Perdagangan dan Pelaburan PKR berkata, beliau telah beberapa kali memaklumkan supaya Bersatu dapat mengeluarkan dasar mereka secepat mungkin.

Beliau berkata, Bersatu boleh mendapatkan pandangan daripada NGO yang menyokong parti itu bagi mengeluarkan dasar mereka sendiri selepas ini.

"Jika tidak, usaha mereka untuk menaikkan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri tidak akan memberi inspirasi kepada orang ramai," katanya.


Melampau bekalan air pun kena GST

Rafizi Ramli

SHAH ALAM – Tindakan kutipan cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang dikenakan ke atas bekalan air terawat dan perkhidmatan pembekalan air perlu dihentikan bagi mengurangkan beban ditanggung oleh rakyat.

Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, beliau mendesak supaya satu arahan dikeluarkan segera bagi membatalkan perintah kutipan GST untuk bekalan air ke kediaman dan kemudahan rakyat miskin.

"Bukan sahaja tindakan ini melampaui batas kerana mensasarkan kutipan GST dari golongan miskin dan kurang bernasib baik, malah pelaksanaan kutipan cukai itu ke atas bekalan air ini dibuat secara senyap-senyap tanpa dihebahkan lebih awal kepada rakyat," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Rafizi berkata demikian merujuk kepada surat dari Jabatan Air Negeri Sabah bertarikh 13 September lalu kepada semua jurutera air bahagian mengenai pelaksanaan kutipan GST ke atas bekalan air terawat dan perkhidmatan membekalkan air.

Selain itu, Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan turut menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menghentikan segera sebarang perjalanan menggunakan jet peribadi, helikopter atau apa-apa kemudahan perjalanan udara khusus untuk beliau, isteri dan menteri-menteri.

"Sekiranya kedua-dua ini tidak menerima apa-apa maklum balas dalam masa terdekat, saya akan mengatur supaya tunjuk perasaan mendesak membatalkan GST ke atas bekalan air di rumah pangsa, masjid, rumah kebajikan dan lain-lain diadakan bermula dengan kawasan saya di Pandan yang mempunyai banyak rumah pangsa," katanya.

Dalam pada itu, Rafizi memaklumkan bahawa kerajaan tidak mengutip cukai dari urus niaga bernilai berbilion ringgit yang melibatkan orang kaya iaitu keuntungan dari jual beli saham berikutan negara ini tidak mempunyai Cukai Keuntungan Modal (Capital Gains Tax).

Oleh sebab itu, beliau berkata tindakan mengutip cukai dari bekalan air ke rumah pangsa, masjid, rumah kebajikan dan perkhidmatan bekalan dan penyambungan air adalah satu perbuatan yang tidak boleh diterima.

"Saya ingin ingatkan Datuk Seri Najib bahawa saya dan sahabat dari Pakatan Harapan telah memberi amaran sejak tahun 2010 lagi bahawa memperkenalkan GST akan membantutkan perbelanjaan rakyat dan seterusnya membawa kesan kepada pertumbuhan ekonomi serta keupayaan kerajaan mengutip cukai bagi menampung perbelanjaan negara,"katanya.


MH17 ditembak guna peluru BUK-9838 dari Rusia

MH17

NIEUWEGEIN - BELANDA. Laporan Siasatan MH17 mengatakan pesawat Malaysia Airlines MH17 pada 17 Julai, 2014 telah ditembak oleh peluru BUK9838-Series yang dibawa dari Rusia.

Menurut laporan Astro Awani, Kumpulan Penyiasat Bersama (Joint Investigation Team) yang diketuai oleh Belanda mendedahkan maklumat tersebut hari ini.

"Berdasarkan siasatan jenayah, kami membuat kesimpulan bahawa Penerbangan

MH17 ditembak jatuh menggunakan peluru berpandu BUK 9M38-Series, dari wilayah Persekutuan Rusia," kata beliau pada sidang media di Nieuwegein, Belanda.

Pesawat MH17 ditembak semasa berada pada ketinggian 30,000 kaki dan terhempas di kawasan Ukraine yang bergolak dekat sempadan Rusia.

Pesawat Boeing B777 itu, dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur dan membawa 298 penumpang termasuk anak kapal, apabila ditembak jatuh di ruang udara di timur Ukraine pada 17 Julai, 2014.  

Terdapat 193 penumpang warga Belanda dan 44 warga Malaysia dalam pesawat malang itu. Identiti kesemua mangsa warga Malaysia telah dikenal pasti.

Tahun lepas, pengerusi Lembaga Keselamatan Belanda Tjibbe Joustra mengesahkan bahawa MH17 ditembak jatuh dengan pelancar peluru berpandu Buk darat ke udara di ruang udara timur Ukraine.

Pada Ogos lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau menjangka laporan hasil siasatan pasukan penyiasat antarabangsa diumumkan sebelum akhir tahun.

Najib berkata, Pasukan Penyiasat Bersama (JIT) terdiri daripada lima negara - Australia, Belgium, Belanda, Malaysia dan Ukraine – akan mengadakan mesyuarat untuk memutuskan pelan tindakan untuk membawa pelaku jenayah itu ke muka pengadilan selepas laporan itu disiarkan.


Penguatkuasaan agama perlu guna pendekatan dakwah

Penguatkuasaan agama perlu guna pendekatan dakwah

IPOH – Modus operandi kakitangan penguatkuasaan Jabatan Agama Islam hendaklah berpandukan pendekatan preventif dan bukannya punitif.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, ketika memenuhi tugas dan melaksanakan operasi, gunakan pendekatan berdakwah menyeru ke jalan kebaikan, memanggil pihak melakukan kesilapan untuk diberikan nasihat secara tertutup, mengaturkan sesi bimbingan dan kaunseling.

Menurut baginda, tindakan secara kasar dan keras yang merendah-rendah dan memperkecilkan sama ada secara lisan atau perbuatan tidak harus dilakukan mana-mana pegawai penguatkuasaan agama kerana boleh mendatangkan rasa hina dan aib orang lain.

"Pegawai-pegawai penguatkuasaan agama berada di barisan hadapan dan terdedah kepada penilaian umum, keindahan Islam itu wajib dicerminkan dengan sifat-sifat berhemah ketika memenuhi tugas dan melaksanakan operasi.

"Perbuatan pegawai penguatkuasaan, memperlihatkan kuasa sehingga meminggirkan adab, tertib dan sopan, bukanlah budaya yang dianjurkan Islam," titah baginda selepas menyempurnakan pelancaran logo dan pelan strategik Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (Maipk), hari ini.

Logo berkenaan dilakar untuk memberi satu identiti kepada Maipk dan komponen pelan strategik yang digariskan mengandungi rangka kerja tindakan dalam usaha mencapai misi dan objektif Maipk.

Sultan Nazrin bertitah, intipati penting adalah peranan Maipk mengurus dan membina persepsi positif dalam kalangan masyarakat Islam dan bukan Islam.

Justeru baginda mahu, pengendalian dan pengurusan media diurus secara profesional, supaya media dapat membantu membina imej dan reputasi Maipk.

"Amatlah silap, jika organisasi bersikap pasif dan berandaian bahawa masyarakat akan dapat memahami niat baik yang mahu mereka laksanakan.

 "Amalan yang kurang bersifat antisipasi, tidak proaktif atau lebih cenderung bersifat defensif, selepas berlakunya sesuatu ketidakfahaman, sudah tidak sesuai lagi.

"Era ini adalah era yang menuntut pengurusan mengamalkan budaya ketelusan dan keterbukaan maklumat," titah baginda.


Satu dari tiga rakyat alami masalah mental

http://www.usahawan.kom.my/wp-content/uploads/2013/04/f32e0__ketahanan-mental-fizikal.jpg

PUTRAJAYA - Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2015 mendapati satu dalam tiga rakyat Malaysia mengalami isu berkaitan dengan masalah mental, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam.

"Kajian yang sama menunjukkan bahawa prevalen masalah kesihatan mental paling tinggi dalam kalangan mereka yang berumur 16 hingga 19 tahun dan mereka yang  berpendapatan rendah," katanya dalam sidang media di kementeriannya di sini hari ini.

Katanya faktor yang mungkin menyumbang kepada kenaikan dua kali ganda prevalen masalah kesihatan mental sepanjang 10 tahun lepas adalah masalah atau krisis kewangan, tiada pekerjaan, stres pekerjaan, isu dan permasalahan keluarga, penyalahgunaan substans dan faktor persekitaran.

Dr Subramaniam berkata, satu pelan tindakan strategik kesihatan mental kebangsaan sedang dibentuk untuk tempoh lima tahun akan datang (2016-2020) bagi mengawal peningkatan permasalahan mental dalam masyarakat Malaysia.

Antara tindakan yang digariskan dalam pelan tindakan tersebut adalah perkhidmatan kesihatan mental yang lengkap dan menyeluruh, kerjasama dalam kalangan pelbagai agensi dan bantuan asas psikologi dalam krisis, katanya.

Turut digariskan dalam pelan tindakan berkenaan ialah promosi kesihatan mental dalam kalangan komuniti, warga sekolah dan warga bekerja untuk memastikan kesejahteraan mental dan  meningkatkan literasi kesihatan mental serta pembangunan sumber manusia dalam kesihatan  mental, katanya.

Dr Subramaniam berkata, terdapat 48 buah hospital dan empat institusi mental di bawah Kementerian Kesihatan yang memberikan rawatan psikiatri.

Sementara 671 buah klinik kesihatan dan 20 Pusat Kesihatan Mental Masyarakat turut memberi perkhidmatan saringan dan intervensi bagi membantu mereka yang mengalami masalah berkaitan mental, katanya.

Mengulas mengenai jumlah pegawai psikiatri di Malaysia, beliau berkata terdapat 190 pegawai psikiatri di bawah Kementerian Kesihatan dan 170 pegawai psikiatri dalam perkhidmatan swasta.

Bagi jumlah pakar psikologi klinikal pula, terdapat hanya 13 orang manakala jumlah kaunselor adalah 188, tambah beliau.

Dr Subramaniam berkata, purata pegawai psikologi berbanding penduduk ialah satu bagi setiap 100,000  penduduk.

"Jumlah mereka yang mendapatkan khidmat psikiatri di hospital kerajaan adalah jauh lebih tinggi berbanding mereka yang mendapatkan khidmat psikiatri di sektor swasta," katanya. - Bernama


Kakitangan SADA Tak jadi potong air, lihat penghuni lumpuh

Tak jadi potong air, lihat penghuni lumpuh

SUNGAI PETANI - Hasrat kakitangan Syarikat Air Darul Aman (Sada) untuk membuat pemotongan bekalan air di sebuah rumah di Bandar Amanjaya, di sini, tidak diteruskan  setelah melihat penghuni rumah adalah wanita lumpuh separuh badan dan anak OKU kudung kedua-dua belah tangan.

Kakitangan syarikat air berkenaan sebaliknya memaklumkan perkara berkenaan kepada beberapa pihak berwajib untuk membolehkan bantuan disalurkan.

Penghuni rumah berkenaan,  Hasnah Ibrahim, 58, yang lumpuh sejak Aidiladha baru-baru ini, berkata, dia mempunyai tujuh orang anak termasuk Hasnor Hafidy, 25, yang kudung kedua tangan sejak lahir.

Hasnah berkata, dia bersyukur kerana ada anak yang boleh membantu menguruskan segala urusan sejak dia lumpuh.

"Sejak sakit, anak keenam, Hasnor Affandee, 23, terpaksa berhenti kerja dan balik ke rumah menjaga kami berdua.

"Dia juga menguruskan segala urusan rumah tangga termasuk memberi makan, minum dan mandikan makcik," katanya.

Kata Hasnah, beberapa tahun sebelum ini, dia juga pernah diserang strok sebelah kiri tetapi boleh lagi bergerak.

"Lepas sembuh, kena pula lagi sekali. Kali ini, hanya mampu mengharapkan bantuan Affandee angkat dan mandikan makcik. Masak pun dia siapkan untuk kami," luahnya.

Katanya, sebelum ini Affandee bekerja dengan kontraktor Telekom Malaysia Bhd (TM), namun terpaksa melupakan hasrat untuk membantu keluarga kerana dia jatuh sakit.

Jelasnya, seorang lagi anaknya, Hasnor Hafizy, 26, bekerja dekat kilang berdekatan dan merupakan tulang belakang keluarga sejak suaminya meninggal tujuh tahun lalu.

Bil air cecah RM200 sebulan

Sementara itu, Affandee berkata, sebelum ini mereka membayar bil bulanan air Sada yang mencecah hingga RM200 sebulan sejak lebih setahun lalu tanpa mengetahui ada kebocoran paip.

"Bil tertunggak sejak tiga bulan sejak ibu jatuh sakit.

"Saya agak terkejut dimaklumkan oleh pihak Sada terdapat kebocoran paip menyebabkan bil air meningkat setiap bulan," katanya.

Akhirnya, masalah mereka mendapat perhatian meluas selepas ada beberapa pihak menghulurkan sumbangan termasuk kumpulan yang menjalankan kerja-kerja pemeriksaan dan menukar paip bocor secara sukarela.

Bayaran tunggakan bil lebih RM600 pula diselesaikan Timbalan Ketua Umno Bahagian Sungai Petani, Senator Shahanim Mohd Yusoff yang menghantar kakitangannya ke rumah keluarga itu semalam.

Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pula sahkan Bantuan Penjagaan Pesakit Kronik dan Terlantar sebanyak RM300 akan dinaikkan menjadi RM600 bermula Oktober ini melihat kepada syarat kelayakan yang dipenuhi.

Tambah Affandee, ayahnya yang bekerja sebagai pengawal keselamatan juga pernah diserang strok selepas jatuh dari tingkat tinggi.

"Ayah terlantar selama tiga tahun sebelum meninggal dunia," katanya yang kini terpaksa menguruskan hal abang dan ibunya yang terlantar.

Menurutnya, setiap pagi dia akan memastikan keperluan kedua-duanya mencukupi termasuk makan dan minum mereka.

Buat kerja guna kaki

Sementara itu, Hafidy, yang menggunakan kedua-dua belah kakinya untuk melakukan tugasan harian banyak menghabiskan masa menonton televisyen dan bermain bersama kucing peliharaan.

Hobinya pula bermain dengan koleksi kereta mainan selain melayan ibu dan Affandee.

Dia dilihat gembira dengan kehadiran orang ramai dan tidak berhenti bercerita mengenai perihal dirinya apabila ditanya.

"Saya boleh buat semua kerja sendiri, saya makan, minum dan mandi sendiri. Saya suka mandi lewat tak suka mandi awal-awal," katanya sambil tersenyum.


Ada sebuah Tugu Jepun tersembunyi di Alor Setar

Tugu Jepun tersembunyi

ALOR SETAR - Sebuah tugu Jepun terletak berhampiran Jambatan Sultan Abdul Halim, diibaratkan ikon pelancongan tersembunyi apabila kurang diketahui penduduk tempatan.

Tinjauan mendapati kedudukan tugu di sebelah utara jambatan tersembunyi hingga tidak disedari umum, biarpun ia memiliki kisah sejarah tersendiri.

Pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah (PSMCK), Datuk Dr Wan Shamsudin Mohd Yusuf berkata, tugu berkenaan merupakan tanda penghargaan kepada tiga wira Jepun.

Menurutnya, pihaknya mencadangkan tugu Jepun yang memiliki potensi tinggi itu perlu dipelihara dan pulihara semula bagi menarik perhatian pengunjung.

"Cadangan sedemikian bukanlah tanda kita menyanjung tindakan tentera Jepun menawan Bandar Alor Setar ketika itu, sebaliknya ia perlu dinilai dari sudut lain," katanya.






Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...