TERKINI :

Wednesday, September 28, 2016

YDP PAS PDG. SERAI perlu mohon maaf pada Presiden PKR, Jauhi fahaman takfiri..

KENYATAAN MEDIA
YB DATO’ ABDUL MALIK KASSIM
EXCO HAL EHWAL AGAMA P.PINANG
28 SEPTEMBER 2016 

JANGAN MELAMPAU DALAM BERAGAMA – JAUHI FAHAMAN TAKFIRI

Pelampau agama bukan sahaja bermaksud pengganas bersenjata yang menyalahgunakan  nama Islam, tetapi juga boleh terdiri daripada mereka yang mengtakfiri sesama Muslim. Fahaman serong itu cukup bahaya, sebab ia  jauh menyimpang daripada ajaran Islam yang sebenar. Padahal, Islam adalah Rahmat Seluruh Alam. Islam adalah agama dakwah yang menasihati secara hikmah. 

Kenyataan  biadap, buat kesekian kali oleh YDP PAS Padang Serai, Shaharuddin Ibrahim yang sebelum ini menfitnah kerajaan negeri Pulau Pinang,  kali ini ditujukan pula kepada Ahli Parlimen Permatang Pauh, Datin Seri Dr Wan Azizah dalam isu RUU 355, sepertimana sedang diviralkan dalam media sosial, jelas mempunyai ciri-ciri takfiri. 

Saya petik sedutan ucapan beliau tersebut : [ https://www.youtube.com/watch?v=0_VRozj8iM0 ]

Kak Wan, Kak Wan kena angkat tangan. Kalau Kak Wan tak angat tangan boleh menyebabkan jatuh iman. Kalau ditakdirkan lepas tak angkat tangan itu mati … kami tanam (di)  jirat ( tanah perkuburan bukan Islam).

Beliau seolah-olah menjatuhkan hukum kafir kepada Presiden Keadilan itu, sekiranya  Dr Wan Azizah tidak menyokong RUU 355.

Siapa beliau, yang layak menjatuhkan hukum sedemikian rupa ? 

Para agamawan Islam, khususnya pemimpin tertinggi PAS perlu menasihati pemimpin tersebut, agar  tidak sewenang-wenangnya menghukum sesama muslim. 

Fahaman takfiri itu, seperti mengulangi fahaman kafir mengkafir, solat dua imam dan seumpamanya yang pernah berlaku sekitar tahun 70-an dan 80-an dulu.

Sepertimana kita sedia maklum, draf pindaan RUU 355, belum lagi dibentangkan secara jelas di  Parlimen dan pastinya memerlukan penelitian dan pertimbangan setiap Ahli Parlimen sebelum menyatakan sebarang pendirian.  Sepertimana dimaklumkan RUU 355 bukannya hukum hudud, dan ia  belum lagi dibahaskan.

Sebagai rekod,  pada Jun lalu, individu ini jugalah yang telah menfitnah kerajaan negeri, kononnya azan tidak boleh dilaungkan di Pulau Pinang sepertimana yang diucapkannya dalam tazkirah Ramadan di Padang Serai. Padahal, beliau selalu mendengar laungan azan di masjid, ketika mengadakan kuliah agama di negeri ini.

Dalam Al-Quran  jelas  menerangkan bahawa fitnah itu lebih besar bahayanya dari membunuh. Malah, Imam Ath-Thabari menjelaskan fitnah adalah perbuatan syirik, sehingga dikatakan syirik lebih besar dosanya dari membunuh.

Bagaimanapun,  pada    23 Jun lalu, beliau telah memohon maaf secara terbuka dan permohonan maaf itu telah diterima oleh kerajaan negeri.  

Bayangkan, selepas menfitnah kerajaan negeri, Allah mencabut nyawanya sebelum beliau sempat memohon maaf…. !

Justeru, Shaharudin perlu memohon maaf secara terbuka kepada Dato’ Seri Dr Wan Azizah di atas ketelanjuran beliau itu.   Bersederhanalah, jangan melampau dalam beragama!

Semua salahkan PKR dan DAP sebab kejatuhan PR.. PAS tidak ada salahkah duhai Pak Subky Latif


Tulisan Pak Subky Latif pada 26 september 2016 bertajuk "Semua pecahkan pembangkang" yang diterbitkan Harakah amatlah bias dan hanya menulis berdasarkan lapisan pertama sesuatu isu dan gagal untuk menghuraikan masalah sebenar yang menyebabkan isu itu timbul.

Benar, demi menumbangkan BN dalam PRU14, semua parti pembangkang mengajak Pas untuk bersetuju dengan formula satu lawan satu menentang BN, namun hari ini tidak semua meletakkan harapan sama apabila Pas konsisten menentang DAP dan Amanah berbanding mengutamakan musuh yang lebih utama,iaitu BN, lebih menarik lagi apabila Pas telah dilihat lebih cenderung untuk bersama Umno berbanding bekas sekutunya, DAP.

Pas sesungguhnya tidak tahu untung dan ruginya, Pas hanya tahu DAP kafir dan Amanah pengkhianat, kerana itu boleh keluar kenyataan dari pemimpin Pas bahawa Pas lebih kuat sendirian walaupun sejarah membuktikan sebaliknya.

Pak Subky mendakwa parti yang mengajak pembangkang bersatu sebenarnya menyuruh mereka berpecah, dakwanya tindakan membentuk parti lain menjadikan pembangkang pecah dua dan kerana itu wujud tiga penjuru.

Benar kata Pak Subky, umumnya jika dilihat pada asas tersebut tentulah kewujudan parti baru akan menyebabkan tiga penjuru, namun adakah Pak Subky meneliti dengan baik, mengapa wujud parti baru, adakah kerana keegoan seorang tokoh atau pun ada alasan yang lebih besar di situ?

Apabila Anwar Ibrahim menubuhkan Parti Keadilan Rakyat (PKR), adakah Pak Subky hanya melihat ia tindakan gopoh yang tidak berpandangan jauh? Ataupun sebenarnya Pak Subky lah yang berpandangan sempit?

Pak Subky menulis, jika Anwar berpandangan jauh,dia masuk Pas atau DAP sahaja,namun kerana hendak parti sendiri maka dirangkum PRM dan PKR menjadikan pembangkang tiga parti, namun adakah Pak Subky mampu berfikir lebih rasional di tempat Anwar ketika itu, bahawa jika beliau memilih DAP, bukankah itu akan menjadi senjata ampuh buat BN untuk membunuh karekter Anwar memandangkan waktu itu DAP masih dipandang serong orang melayu kerana momokan Umno BN. Kalau sahaja Anwar memilih langkah "pandang jauh" Pak Subky, boleh jadi beliau sudah tidak releven dalam politik hari ini.

Mengapa pula bukan Pas? Disini sebenarnya menyerlahkan kematangan politik dan membuktikan Anwar lebih berpandangan jauh, jika beliau menyertai Pas, masakan dia mampu memujuk pembangkang lain terutama DAP dalam satu gerakan menentang BN, apatah lagi rekod pertentangan Pas-DAP bukanlah hanya bermula semalam sebaliknya sedari awal Pas membawa agenda negara Islamnya lagi.

Kewujudan lebih dari dua parti senior telah membuktikan tiada masalah jika setiap parti sanggup berunding dan duduk semeja membincangkan maslahah yang lebih utama, yang menjadi masalah bila mana Pas memulakan langkah khianat terhadap rakan pembangkang. Bolehkah sesiapa menafikan bahawa pernah wujud usaha kerjasama Pas-Umno seawal tahun 2008 lagi, kita tidak lupa pendedahan Ustaz Ahmad Awang bila mana seorang pemimpin atasan Pas menghubungi beliau untuk membubarkan kerajaan Pakatan Rakyat Perak untuk menubuhkan kerajaan perpaduan Pas-Umno? Atau pun bolehkah sesiapa menafikan wujud pertemuan sulit pemimpin Pas bersama Tun Abdullah Ahmad Badawi sewaktu beliau menjadi perdana menteri? Adakah Pak Subky tidak melihat ini sebenarnya ancaman awal perpecahan Pakatan yang nyata telah berlaku hari ini.

Pak Subky menulis, " Terbaik buat Pas ialah menarik diri daripada tahaluf dengan DAP. Ia cabaran buat DAP dan PKR. Jika sedia bersabar, fikirkan apa cara Pas dapat diajak balik bertahaluf.", apakah malang wahai Bapak, mahu parti yang muda usianya memujuk parti yang sudah separuh abad, adakah dalam Pas tiada pemimpin yang waras dan mampu memikirkan baik buruk tindakan yang dilakukan sehinggakan perlu parti yang lebih muda untuk bersabar.

Mengapa tanggungjawab mengusahakan supaya pembangkang kekal tiga diletak pada bahu PKR dan DAP sedangkan yang membuat "tahi" dalam gabungan adalah Pas sendiri?

Mengapa disalahkan PKR dan DAP yang meraikan kelahiran parti Amanah sedangkan kelahiran itu berpunca dari kegagalan Pas menyelesaikan masalah dalaman parti mereka? Apakah PKR dan DAP harus menghalang pemimpin yang dizalimi dan dikhianati dalam Pas dari keluar dan dan menubuhkan parti baru?

Adakah tiada dalam Pas pemimpin yang berpandangan jauh yang boleh meramalkan ketika itu jika terus menerus pimpinan progresif dalam Pas difitnah,dilabel bermacam macam, bahkan dicederakan secara fizikal boleh mengundang kepada protes mereka lalu lahirlah parti baru Amanah? Jangan nampak kesalahan PKR dan DAP yang tidak menghalang penubuhan parti baru, salahkan individu dan kumpulan yang menekan dan menghinakan pemimpin parti sendiri yang tidak sealiran yang menjadi punca sehingga akhirnya mereka keluar parti dan menubuhkan parti baharu.

Pak Subky, pembangkang yang empat,lima,atau enam tidak menjadi masalah jika setiap pimpinan parti mampu waras berfikir dan tidak haloba, pembahagian kerusi boleh dirunding berdasar potensi setiap parti berdasarkan kawasan tertentu, bukan dengan hanya tahu mengaku itu kerusi tradisi namun menang tidak pernah sekali.

Dr.Mahathir dan Muhyidin, jika mengikut cadangan Pak Subky, tentu sekali tamatlah riwayat politik mereka setelah tidak lama masa berlalu, masakan bekas pemimpin Umno ini boleh menarik ahli dari penyokong Umno jika mereka masuk DAP dan PKR sedangkan itu musuh abadi mereka,sedangkan fungsi mereka untuk menarik seramai mungkin orang melayu Umno keluar dari parti keramat melayu itu. Mengapa bukan Pas?

Pak Subky tahu mereka keluar dan dipecat Umno kerana lawan 1MDB, maka tepuk dada tanya akal, adakah Pas parti yang sesuai untuk tujuan itu? atau mungkin Mahathir dan Muhyidin akan ditunggang demi agenda politik sempit Pas sahaja?

Namun, katakanlah Mungkin ada benar juga kata kata Pak Subki. Bayangkan berlaku sebagaimana idea bernas Pak Subky, tanpa Amanah, tanpa Bersatu. Formula 1-1, cantik dan licin.

Bayangkan keputusan pru14 seperti berikut; PR 117 BN 105.

Atas kertas, BN telah kalah dan kerajaan baru mengambil Putrajaya. Tetapi bayangkan bagaimana mahu berunding dengan Pas untuk membentuk kerajaan. Apa jadi kalau Pas minta untuk menjadi Perdana Menteri secara bergilir, atau jawatan kekal TPM nombor 1.

Sesuatu yang tidak munasabah. Jika ditolak, tidak mustahil Pas bersama 10 kerusi terjun dari Pakatan membawa rundingan kepada BN untuk ghanimah yang lebih besar. Adakah itu mustahil?

Pendedahan Ustaz Ahmad Awang tentang apa yang berlaku di Perak dahulu mampu memberi "analisis situasi" ini asas yang kuat.

Adakah Pak Subky mampu menidakkannya? Ini adalah risiko, orang berpandangan jauh perlu memikirkannya.

ADUN PAS Kedah yang perlu ditanam di Jirat terlebih dahulu sebab mereka awal lagi tolak pindaan akta 355 pada tahun 2013

 

TIDAK MENYOKONG PINDAAN AKTA 355 JATUH IMAN – ADUN PAS KEDAH DAN PAS KEDAH TERLEBIH DAHULU JATUH IMAN.

Seorang Yang Di-Pertua PAS Kawasan dalam kuliahnya yang tersebar luas di alam maya seperti facebook dan applikasi whatsapp mengutarakan suatu senario di Dewan Rakyat. Mengambil contoh Datuk Sri Dr Wan Azizah yang tidak menyokong pindaan Akta 355 yang dibawa oleh Yang Berhormat Marang sebagai jatuh iman dan jika ditakdirkan mati selepas itu hanya layak ditanam di jirat cina yang secara tidak langsung difahami bahawa Datuk Seri Dr Wan Azizah menjadi kafir.

Semalam aku dah tulis beserta rekod Penyata Rasmi Dewan Rakyat sejak tahun 1965 apabila Akta 355 digubal kemudiannya dipinda pada tahun 1984 di mana Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat juga tidak bersetuju dengan pindaan Akta 355 waktu itu.

Tulisan aku semalam tidak dibaca keseluruhan sedangkan aku menasihati agar jangan mudah mengkafirkan orang hanya semata-mata berbeza pendapat dalam isu fiqh bukannya aqidah, tetapi yang dipandang ialah aku ahli DAP.

Baik, hari ni aku nak tunjukkan sedikit, jika membantah pindaan Akta 355 jatuh iman dan menjadi kafir sehingga layak ditanam di jirat, apa pula kedudukan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS Kedah seramai 7 orang yang membantah pindaan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Kedah Darul Aman).

PINDAAN ENAKMEN KESALAHAN JENAYAH SYARIAH (KEDAH DARUL AMAN) 1988

Pada Ogos 2013, Kerajaan Kedah yang diketuai oleh Datuk Sri Mukhriz Mahathir ketika itu mencadangkan suatu pindaan kepada Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Kedah Darul Aman) melalui suatu rang undang-undang bernama Rang Undang-Undang Kesalahan Jenayah Syariah (Kedah Darul Aman) 2013. Tujuan RUU tersebut diusulkan ialah bagi meminda dan memasukkan peruntukkan bagi kesalahan pemujaan salah, doktrin palsu, pendapat yang bertentangan dengan fatwa, penerbitan agama yang bertentangan dengan hukum syarak dan lain-lain.

Mengikut Penasihat Undang-Undang Kerajaan Negeri Kedah, apabila suatu Enakmen hendak dipinda, keseluruhan Enakmen akan ditarikbalik dan kemudiannya dimasukkan suatu RUU baru bersama peruntukkan-peruntukkan asal dan selepas diluluskan oleh Dewan maka ianya akan menjadi Enakmen. Jadi apa yang berlaku pada waktu itu ialah Enakmen yang lama telah ditarikbalik dan kemudiannya suatu RUU dimasukkan untuk meminda dan menambahkan peruntukkan yang baru bersama-sama semua peruntukkan sedia ada.

Semua Adun PAS ketika itu berjumlah 9 orang bersesama menolak RUU tersebut atas alasan RUU tersebut tidak menepati syarak. Yang Berhormat Alor Mengkudu yang ketika itu merupakan Ketua Pemuda PAS Negeri berkata “Kami menolak kerana rang undang-undang ini kerana ianya bertentangan dengan syariah Islam di beberapa fasal.”

Beliau mengambil contoh Fasal 17 berkenaan minum arak yang apabila disabitkan kesalahan boleh dihukum denda tidak melebihi RM3000 atau penjara tidak melebihi 2 tahun atau kedua-duanya. Tiada langsung hukuman sebat sedangkan dalam Islam hukuman bagi kesalahan minum arak ialah sebat.

Ahmad Yahya juga mempersoalkan Fasal 21 berkaitan persetubuhan luar nikah (zina), jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM5000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau sebat tidak melebihi enam kali, atau mana-mana kombinasi hukuman tersebut. Mengikut undang-undang Islam sebenar penzina belum berkahwin disebat manakala penzina sudah berkahwin direjam hingga mati.

Untuk makluman semua yang membaca, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Kedah Darul Aman) telah wujud sejak tahun 1988 yang dikenali sebagai Enakmen Kanun Jenayah Syariah 1988. Hukuman-hukuman bagi kesalahan arak, zina, qazaf telah ada sejak penggubalannya yang mana hukumannya adalah sama seperti yang dicadangkan semasa RUU pindaan Enakmen dimasukkan pada tahun 2013 yang dibantah oleh PAS.

Selama PAS memerintah Kedah sejak 2008 sehingga 2013, Enakmen yang sama digunapakai oleh Kerajaan Kedah tanpa sebarang pindaan atau cubaan meminda. Alasan tiada pindaan kerana PAS tidak mempunyai cukup kerusi bagi mendapatkan majoriti meluluskan pindaan sedangkan PAS tidak pernah berusaha untuk membuat pindaan, mendapatkan sokongan untuk meminda dan sebagainya. Alasan mudah ialah kami tiada kerusi yang cukup.

Apabila BN di bawah pentadbiran Mukhriz hendak meminda, PAS membantah sedangkan hukumannya tetap sama dengan hukuman yang ada ketika PAS memerintah. Semasa PAS memerintah, ianya mengikut syariah tetapi apabila BN memerintah, ianya bertentangan dengan syariah.

Menolak keseluruhan Enakmen hanya kerana tidak bersetuju di beberapa fasal sedangkan Enakmen yang sama digunakan selama PAS mentadbir Kedah.

Sekarang, PAS melalui YB Marang hendak mencadangkan pindaan Akta 355 yang hanya membolehkan kesalahan syariah dihukum dengan penjara tidak melebihi 3 tahun atau denda tidak melebihi RM5,000 atau sebatan tidak melebihi 6 kali kepada menghukum seperti yang dibenarkan oleh undang-undang syariah kecuali hukuman mati.

Cadangan pindaan ini mengikut PAS dan ahli-ahlinya serta penyokong-penyokongnya HENDAKLAH disokong, jika tidak, anda jatuh iman dan seterusnya kafir.

Adakah memberikan kuasa kepada Mahkamah Syariah menghukum mengikut undang-undang syariah kecuali hukuman mati itu menepati syarak?

Jawapannya sudah semestinya TIDAK kerana jika hendak menepati syarak, tidak boleh dikecualikan hukuman mati kerana di bawah undang-undang syariah, hukuman bagi kesalahan qisas bunuh ialah hukuman bunuh (mati), begitu juga hukuman bagi kesalahan murtad dan zina boleh dihukum mati. Jika hukuman mati tidak boleh dijatuhkan oleh Mahkamah Syariah mengikut cadangan Haji Hadi, maksudnya cadangan pindaan Hj Hadi tersebut tidak patuh syariah sama seperti cadangan pindaan Enakmen oleh Mukhriz di DUN Kedah pada tahun 2013 dahulu.

Jika semasa memerintah Kedah tidak boleh meminda kerana tidak cukup kerusi, adakah sekarang boleh pinda Akta 355 kerana PAS cukup kerusi di Dewan Rakyat?

Jika sekarang PAS boleh ke hulu ke hilir mengadakan roadshow meminta sokongan untuk meminda Akta 355, kenapa semasa mentadbir Kedah, tiada cubaan untuk meminda dan mengadakan roadshow meminta sokongan untuk meminda Enakmen menjadikannya patuh syariah?

Jika di Kedah, Adun PAS berjumlah 9 orang membantah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah kerana tidak menepati syarak dan tidak jatuh iman, maka tidak menyokong pindaan Akta 355 yang dibawa Hj Hadi yang jelas tidak menepati syarak juga tidak jatuh iman dan menjadi kafir.

Jika tidak menyokong pindaan Akta 355 itu jatuh iman dan kafir, Adun PAS Kedah dan seluruh PAS Kedah lebih dulu jatuh iman dan kafir.

Sebelum nak kafirkan orang, jaga diri dulu supaya kita tidak kafir.

Aku Ahli DAP.

DAP tidak anti Islam.

BERANI BERUBAH - TERUS BERUBAH.

ZULHAZMI SHARIFF.
Ahli Biasa DAP
Cawangan Taman Tun Dr Ismail
Kuala Lumpur
28 September 2016

Malaysia jatuh 7 anak tangga senarai daya saing global


mustapa-malaysia
KUALA LUMPUR: Malaysia berada di kedudukan ke-25 daripada 138 ekonomi, turun daripada tangga ke-18 tahun lepas tetapi kekal sebagai ekonomi paling kompetitif dalam kalangan negara membangun Asia.

Menurut Laporan Daya Saing Global (GCR) 2016-2017, yang diumumkan Forum Ekonomi Dunia (WEF) hari ini, dari segi skor, prestasi negara turun daripada 5.23 kepada 5.16 daripada maksimum 7.

Bagaimanapun, Malaysia kekal berada di hadapan ekonomi seperti Republic of Korea, Iceland dan China dalam ranking terbaharu ini tetapi diatasi oleh Belgium, Austria, Luxembourg, Perancis, Australia, Ireland dan Israel, menurut laporan itu.

Sementara itu, negara dan wilayah yang turut turun daripada ranking mereka termasuklah Jerman, Jepun, Hong Kong SAR, Finland, Kanada, Perancis, Thailand, Indonesia dan Filipina.

Dalam kenyataan hari ini, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata penting untuk diambil perhatian semua negara yang berada di kedudukan di atas Malaysia adalah negara maju dan berpendapatan tinggi.

GCR ialah laporan tahunan yang dikeluarkan oleh WEF berdasarkan kepada Indeks Daya Saing Global (GCI) menggabungkan 114 petunjuk yang menyepadukan kedua-dua aspek daya saing ekonomi makro dan mikro.

Petunjuk ini dikumpulkan menjadi 12 tonggak terdiri daripada Institusi, Prasarana, Persekitaran Makroekonomi, Kesihatan dan Pendidikan Utama, Pendidikan Tinggi dan Latihan, Kecekapan Pasaran Barangan, Kecekapan Pasaran Buruh, Pembangunan Pasaran Kewangan, Kesediaan Teknologi, Saiz Pasaran, Kecanggihan Perniagaan dan Inovasi.

GCI itu berdasarkan kepada data perangkaan daripada organisasi dikitiraf antarabangsa bagi 30 peratus atau 34 petunjuk.

Bagi 80 petunjuk selebihnya, penilaian kualitatif itu dibuat berdasarkan Kaji Selidik Pendapat Eksekutif Forum Ekonomi Dunia.

Menurut GCR, laporan itu secara keseluruhannya, menyenaraikan Switzerland sebagai ekonomi paling kompetitif di dunia untuk tahun kelapan berturut-turut, mengatasi Singapura dan Amerika Syarikat dan diikuti Belanda serta Jerman.

Mustapa berkata, Malaysia disenarai pada kedudukan 50 teratas bagi setiap daripada keseluruhan 12 teras biarpun mencatat penurunan dalam 8 teras berkenaan.

Malaysia mencatat prestasi paling kukuh dalam teras Kecekapan Pasaran Barangan (tempat ke-12) dan Pembangunan Pasaran Kewangan (ke-13) manakala teras Kesediaan Teknologi, Malaysia melonjak empat tempat ke tempat 43 dan teras Saiz Pasaran pula naik dua kedudukan ke tempat 24, katanya.

Mustapa menyifatkan sebahagian besar punca penurunan kedudukan Malaysia adalah disebabkan faktor luaran di luar kawalan penggubal dasar.

“Ketidaktentuan ekonomi global, pengukuhan dolar Amerika Syarikat, kejatuhan harga komoditi serta kelembapan ekonomi China adalah di luar jangkauan kita.

“Isu persepsi juga timbul berikutan tindakan tidak bertanggungjawab segelintir pihak yang terus menyebarkan tuduhan tidak berasas mengenai perkembangan politik dalam negara serta keadaan ekonomi kita,” katanya.

Hakikatnya, tegas Mustapa, Malaysia kekal stabil baik dari segi politik manakala asas ekonominya juga kukuh.

Sehubungan itu, katanya, isu persepsi berkenaan perlu dipandang serius dan kerajaan akan terus bekerjasama dengan pelbagai pihak berkepentingan bagi menangani perkara itu.

Beliau berkata biarpun kedudukan terbaharu itu mengecewakan, ia sebaliknya mengukuhkan lagi pendirian kerajaan untuk mengambil pendekatan sewajarnya pada kadar lebih pantas dalam usaha mempertingkat daya saing Malaysia.

Malah, sebagaimana ditegaskan pihak WEF bagi negara-negara pesat membangun, aspek seperti penambahbaikan amalan perniagaan dan pelaburan dalam inovasi kini sama pentingnya dengan infrastruktur, kemahiran dan kecekapan pasaran.

Kerajaan akan menangani kekurangan yang ditekankan dalam laporan tersebut, dan menyatukan usaha semua kementerian ke arah mengekalkan status Malaysia sebagai destinasi pelaburan pilihan, katanya.

Malaysia juga akan terus berusaha untuk menanda aras negara dengan negara yang mencatat prestasi lebih baik dalam laporan itu.

Beliau berkatah Malaysia telahpun menangani perkara seperti mempertingkatkan produktiviti, memudahkan inovasi terutamanya dalam perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Ia juga merevolusikan perkhidmatan pembuatan, mempertingkatkan automasi dan pendigitalan bagi mempertingkatkan kecekapan, pengoptimuman logistik dan menjadikan harga lebih telus dan berdaya saing, katanya.

Menurutnya, kerajaan juga mempersiapkan PKS bagi menghadapi persekitaran yang lebih terbuka dan pelbagai Perjanjian Perdagangan Bebas yang turut melibatkan negara ini, dan juga penyepaduan dagangan ekonomi yang lebih mendalam di rantau Asean.

Beliau berkata, kerajaan sedang bekerjasama dengan pakar dan penggiat industri untuk memuktamadkan Pelan Tindakan Produktiviti Malaysia bagi menangani isu dan cabaran tentang produktiviti dengan cara yang lebih komprehensif.

Beliau menggesa syarikat membuat inovasi dengan sepantas kerana sektor swasta yang akan menentukan tahap daya saing Malaysia.

Laporan itu turut menekankan kepentingan mengelak perangkap pendapatan pertengahan dengan lebih memberi perhatian kepada kecanggihan dan inovasi perniagaan.

Justeru itu, Mustapa berkata Malaysia akan terus giat memajukan inovasi.

“Beberapa strategi sedang dilaksanakan untuk menggalakkan inovasi di peringkat perusahaan dan masyarakat di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 yang dijangka meningkatkan ekosistem inovasi negara.

“Kita amat berharap ini akan menyokong Malaysia memperbaiki ranking dalam laporan akan datang,” katanya.

Dalam melangkah maju, beliau mengingatkan persaingan akan menjadi lebih sengit dalam tahun-tahun akan datang memandangkan semua negara giat berusaha untuk melonjakkan daya saing masing-masing.

Platform berkeupayaan teknologi yang memudahkan aspek perkongsian dan ekonomi yang menjadi pilihan, ternyata menjejaskan model perniagaan dan memaksa negara memikirkan semula pendekatan untuk menggubal dasar ekonomi masing-masing, katanya.

Pihak kerajaan dan sektor swasta perlu lebih bekerjasama antara satu sama lain untuk mewujudkan persekitaran yang lebih berdaya saing, kata Mustapa.

Tanpa isu 1MDB pun BN akan gagal tawan Selangor, kata Ibrahim Ali

 ibrahim-ali
PETALING JAYA: Penyokong Barisan Nasional (BN) berbangsa Melayu akan beralih arah sekiranya isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berlanjutan sehingga Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), kata Presiden Perkasa.

Datuk Ibrahim Ali berkata percaya BN akan terus gagal menawan Selangor sekiranya isu 1MDB dicanangkan pada waktu kempen, namun ia bukanlah prasyarat kemenangan pakatan parti pemerintah negeri.

Ini kerana status quo tidak akan berubah sekiranya corak pengundian orang Melayu pada PRU13 berulang dalam pilihan raya akan datang.

“Melayu yang tolak BN pada PRU13, saya tidak fikir mereka akan kembali undi BN sebab PRU13 mereka sudah tolak. Sewaktu PRU13, mereka tolak BN dan pada masa itu belum ada isu 1MDB dan GST. Itu pun BN kalah teruk.

“Kalau setakat penyokong Melayu BN yang undi BN pada PRU13 menyokong dan undi BN pada PRU14, maka BN akan gagal tawan Selangor,” katanya kepada FMT.

Semalam, tinjauan Institut Darul Ehsan (IDE) mendapati pengundi BN akan terus menyokong BN walaupun Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, yang merupakan pengerusi BN, terpalit kontroversi 1MDB.

Tinjauan melibatkan 1,761 pengundi di 56 kawasan pilihan raya di Selangor. Tinjauan juga mendapati penyokong BN berbangsa Melayu percaya isu 1MDB tidak akan menjejaskan negara.

Namun begitu, sebanyak 40% penyokong BN di Selangor mahu tindakan undang-undang diambil terhadap individu misteri Malaysian Official One (MO1) yang disebut dalam saman Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ).

Ibrahim berkata, perkara yang perlu diperhatikan sama ada pengundi Melayu akan menerima penjelasan BN berhubung isu 1MDB pada pilihan raya nanti.

“Adakah penjelasan yang dibuat oleh pemimpin Umno dan BN mengenai isu 1MDB diterima rakyat Selangor termasuk pengundi Melayu hingga boleh menyakinkan mereka semula untuk mengundi BN,” katanya.

Pada PRU13 lalu, BN hanya memenangi 12 kerusi DUN manakala Pakatan Rakyat melalui gabungan DAP, PAS dan PKR memperolehi 44 kerusi DUN sekaligus berjaya membentu kerajaan negeri dengan bilangan kerusi majoriti.

Dalam tinjauan lain melibatkan 711 pengundi muda Melayu, Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli berkata sampal menunjukkan kecenderungan yang mirip kepada pengundi Melayu atas pagar yang menolak BN, DAP dan tidak berminat dengan PAS.

Susah nak jumpa pengundi Cina sokong BN

Jangan membuang undi 



SHAH ALAM - Rata-rata pengundi Cina yang ditemui sebagai responden dalam kajian Institut Darul Ehsan (IDE) pada 26 Ogos hingga 30 Ogos lalu meliputi 1,761 orang pengundi menyokong parti pembangkang.

Timbalan Pengerusinya, Prof Datuk Dr Mohamad Redzuan Othman berkata, perkara itu dapat dilihat susulan rata-rata pengundi Cina hari ini agak mudah untuk didekati berbanding sebelum tahun 2008.

“Selepas 2008, membuat kajian itu tidak susah sangat sebab masyarakat agak lebih terbuka. Sebelum ini agak sukar untuk mendekati pengundi Cina tetapi sekarang tidak begitu sukar terutama dalam kalangan yang berpendidikan.

“Kita tanya, mereka jawab terus terang siapa mereka undi. Kalau DAP, mereka cakap mereka sokong DAP. Tapi payah nak cari pengundi Cina yang menyokong BN. Memang kebanyakannya menyokong pembangkang,” katanya ketika sesi pembentangan penyelidikan survei IDE: Isu dan Persepsi Pengundi Selangor, semalam.

Katanya, sikap masyarakat yang lebih terbuka bukan sahaja kaum Cina memudahkan lagi pihaknya menjalankan kajian.

“Maknanya mereka terus terang. Tidak lagi sembunyi-sembunyi mereka sokong parti mana. Mereka secara terbuka menyatakan pendirian mereka.

“Sebelum ini kita tak boleh tanya parti apa mereka sokong tapi sekarang mereka boleh beritahu kita. Kalau sokong DAP, cakap DAP. Kalau sokong Pas cakap Pas. Kalau tidak sokong mana-mana parti, dia beritahu. Tak pasti dia cakap tak pasti,” katanya.

Dalam kajian tersebut, seramai 78 peratus pengundi menyatakan keterujaan menanti tarikh pilihan raya diumumkan sekali gus menepis dakwaan sebelum ini di mana rakyat dikatakan sudah tidak berminat dengan politik.

Aduhai Pemuda UMNO.. memang dah "NAMPAK BODOH" pun..!!!!

MEMANG DAH "NAMPAK BODOH" PUN!!


Pemuda UMNO akhirnya membuat keputusan membatalkan hasrat untuk membuat laporan polis terhadap dua "tauke Cina" yang didakwa terlibat membiayai gerakan mahu menyingkirkan Perdana Menteri, Najib Razak yang ditunjangi oleh Tun Mahathir Mohamad.

Pembatalan dibuat dikatakan untuk mengelakkan Pemuda UMNO nampak "bodoh" berikutan maklumat mengenai perkara itu didapati tidak sahih.

Pemuda UMNO juga mengesahkan maklumat yang diterima sebelum ini adalah berdasarkan "dokumen palsu".

Kehkehkeh...kesian Pemuda UMNO!!

Semalam lagi blog telah menulis selitan cerita "dua tauke" berkenaan yang terangkum dalam kisah kononnya Tun Mahathir mahu berdamai dengan Najib, adalah semata-mata dongeng murahan yang berpunca daripada dedak berkualiti rendah.

Malangnya, hanya setelah hampir 24 jam, Pemuda UMNO yang semalam gegak gempita mahu membuat laporan polis, baru sedar maklumat yang diterima adalah tidak sahih dan palsu.

Kenapa lambat sangat untuk kenal beza antara kaca dengan permata?

Kalau terjumpa antara kaca dengan permata di tengah-tengah jalan, apakah Pemuda UMNO memerlukan masa hampir 24 jam juga untuk mengesahkan kesahihannya?

Jika hari ini Pemuda UMNO mengatakan mereka membatalkan laporan polis itu untuk mengelak kelihatan "bodoh", sejak semalam lagi apabila ada pemimpinnya "begitu cepat melompat dan berlari-lari ke kedai emas" semata-mara kerana terlihat benda berkilau di tengah-tengah jalan, Pemuda UMNO sebenarnya sudah pun "nampak bodoh" di mata umum.

Asal ternampak bersinar dan berkilau saja, terus ingat ianya adalah permata. Seharusnya pemimpin Pemuda UMNO sedar, kalau pun ingin mempertahan dan mengampu Najib, bukanlah semua perkara yang didengar mesti dibuat laporan polis dengan sesegera yang boleh.

Berfikir dan dan bertindaklah dengan waras. Fikir dan selidik terlebih dahulu. Sekurang-kurangnya untuk tempoh hampir 24 jam pada hari semalam, "kebodohan" telah melekat pada Pemuda UMNO kerana ada pemimpinnya terlalu ghairah sehingga gagal menilai antara kebenaran dengan kepalsuan, antara kaca dengan permata.

Kesian KJ ada barisan Exco seperti ini!! (SH 27/09/2016).

Rakyat Selangor tak kenal Amanah?

Rakyat Selangor tak kenal Amanah?

SHAH ALAM - Kajian Institut Darul Ehsan (IDE) mendedahkan, sebanyak 35 peratus responden di negeri ini daripada 1,761 pengundi yang ditemui bagi kajian Isu dan Persepsi Pengundi Selangor mengakui kenal dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Timbalan Pengerusinya, Prof Datuk Dr Mohamad Redzuan Othman berkata, data itu berbeza dengan Parti Amanah Negara (Amanah).

"Bila kita buat kaji selidik, kita tanya mereka pernah dengar Bersatu atau tidak? Hampir 35 peratus responden kita pernah dengar.

"Berbeza dengan Amanah. Data Amanah ini saya tidak mahu sebut. Tapi peratusannya lebih rendah daripada Bersatu. Angkanya ada tapi saya tidak sebut," katanya pada sidang media selepas sesi pembentangan di sini, semalam.

Menurutnya, parti baharu yang dipimpin bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin itu menerima bantuan promosi melalui media arus perdana.

"Berita tentang Bersatu, TV3, RTM keluar sebab ada Tun Mahathir. Berbeza dengan Amanah. Mahu tak mahu kita kena akui masyarakat kita dipengaruhi media.

"Ditambah pula mahu atau tidak, kita mesti terima hakikat Tun Mahathir merupakan orang yang dikenali dan pernah menyumbang kepada negara," katanya.

Katanya, generasi muda hari ini melihat Bapa Pemodenan itu sebagai ikon.

"Kalau tuan-tuan lihat buku sekolah, ada bahagian yang menjelaskan tentang sumbangan Tun M dalam pembangunan negara. Maknanya generasi hari ini diberitahu Tun M itu memberi sumbangan besar kepada negara.

"Generasi muda melihat Tun Mahathir ini sebagai ikon. Walaupun beliau di pihak pembangkang tapi auranya masih ada," katanya.




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...