TERKINI :

Tuesday, September 27, 2016

Nik Aziz dahulu pun tak setuju pindaan akta 355 pertama dahulu kini mai pula yang kedua dok paksa kita

PINDAAN AKTA MAHKAMAH SYARIAH (BIDANGKUASA JENAYAH) 1965

Aku sebenarnya dah buat keputusan untuk tidak komen isu ini malah aku juga dah bagitau kawan-kawan supaya tak perlu nak komen isu ini kerana isu ini bukan suatu isu yang tersangat penting. Aku sudah banyak kali menulis dan menjelaskan berkaitan isu ini malah aku turut mengajak parti aku DAP supaya tidak membantah hasrat YB Marang untuk membawa usul untuk membolehkan beliau membawa pindaan Akta ini sebaliknya mendesak YB Marang supaya membentangkan sahaja di Dewan Rakyat untuk dibahaskan.

Tidak perlu riuh rendah di luar Dewan mengajak masyarakat menyokong sedangkan usul belum dibahaskan. Bawa ke Dewan untuk dibahaskan dan kita bahas di Dewan. Hanya Ahli-ahli Dewan yang terlibat bukan masyarakat awam kerana ini hanya melibatkan prosedur Dewan.

Tapi aku terpaksa komen juga akhirnya kerana isu pindaan Akta ini telah terpesong jauh. Bermula dengan cakap-cakap bahawa pindaan ini untuk melaksanakan hudud di Kelantan, kemudian beralih kepada hanya hendak memperkasakan Mahkamah Syariah dan akhirnya menjadi senjata mengkafirkan orang awam dan golongan tertentu yang berbeza pendapat dalam isu ini.

Apabila isu ini sudah sampai ke tahap kafir mengkafir di dalam masyarakat, maka perlu untuk dijelaskan adakah pindaan ini melibatkan aqidah atau sekadar fiqh.

AKTA MAHKAMAH SYARIAH (BIDANGKUASA JENAYAH) 1965 - AKTA 355.

Akta ini digubal pada tahun 1965. Mula dibentangkan di Dewan Rakyat oleh Encik Abdul Rahman bin Ya'kub Menteri Tanah dan Galian pada 3 Mac 1965. Tujuan penggubalan Akta 355 adalah untuk menyelaraskan dan menyeragamkan hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah-Mahkamah Syariah di seluruh Tanah Melayu semasa itu kerana disebabkan kuasa agama di bawah negeri maka hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Syariah berbeza antara negeri-negeri. Itulah tujuan asal penggubalan Akta 355 iaitu menyelaras dan menyeragamkan bidangkuasa menghukum.

Pada peringkat awal, Akta 355 ini hanya memberikan kuasa kepada Mahkamah Syariah untuk membicarakan kesalahan yang hanya boleh dihukum dengan denda tidak lebih $1,000 atau penjara tidak lebih 6 bulan atau kedua-duanya.

Dato' Mohamed Asri Haji Muda Ahli Parlimen PAS mewakili Parlimen Pasir Puteh ketika itu semasa membahaskan Rang Undang-Undang tersebut menyokong penggubalan sebagai permulaan memperkasakan Mahkamah Syariah tetapi meminta jaminan Menteri bahawa Akta 355 tidak mutlak iaitu boleh dipinda mengikut keperluan.

PINDAAN PERTAMA AKTA MAHKAMAH SYARIAH (BIDANGKUASA JENAYAH) 1965

Setelah 18 tahun Akta 355 digubal, pada tahun 1984, Akta ini dipinda untuk menaikkan bidangkuasanya daripada hanya boleh menghukum denda tidak lebih $1,000 atau penjara tidak lebih 6 bulan atau kedua-duanya kepada menghukum penjara selama tempoh tidak melebihi 3 tahun atau denda tidak melebihi $5,000 atau sebatan tidak melebihi 6 kali atau apa-apa gabungan hukuman-hukuman tersebut.

Pindaan ini dibawa oleh Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Dato' Dr Mohamad Yusof Mohamad Nor pada 10 Oktober 1984. Dalam ucapan pembukaannya beliau menyatakan :

"Tuan Yang di-Pertua, pindaan yang dicadangkan ini adalah bertujuan untuk memperluaskan lagi bidang kuasa jenayah bagi membolehkan Mahkamah-mahkamah Syariah membicarakan kesalahan-kesalahan yang boleh dihukum penjara selama tempoh tidak melebihi 3 tahun atau apa-apa denda tidak melebihi $5 ,000 atau sebat tidak melebihi 6 kali atau apa-apa cantumannya berbanding dengan kuasa sekarang yang menghadkan kepada penjara 6 bulan atau dengan denda $1,000 atau kedua-duanya sekali. Undang-undang Mahkamah Syariah yang berkuatkuasa sekarang adalah tertakluk kepada Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 dari segi had maksima hukuman yang boleh dikenakan. Akta ini telah digubal lebih kurang dalam 18 tahun yang lalu dan ia memperuntukkan hanya denda maksima $1,000 atau penjara 6 bulan atau kedua-duanya sekali sahaja ."

Antara yang membahaskan pindaan Rang Undang-Undang ini ialah Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat. Semasa perbahasan, almarhum menyatakan tidak bersetuju dengan cadangan pindaan kerana ianya tidak mencapai maksud hukuman yang diperuntukkan oleh Islam. Almarhum menyatakan di halaman 4617 - 4618 Penyata Rasmi Dewan Rakyat bertarikh 11 Oktober 1984  :

"Tuan Yang di-Pertua, saya katakan mukadimah ini sebagai mukadimah penting sebagai melahirkan tidak setuju saya yang amat sangat terhadap ucapan yang dikemukakan oleh Yang Berhormat Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri sewaktu membentangkan Rang ini. Beliau menyebut di halaman 68, walaupun Kerajaan sentiasa mengambil langkah-langkah untuk menyekat kejadian jenayah di kalangan orang-orang Islam melalui usaha-usaha agama seperti dakwah, ceramah-ceramah agama dan penerangan-penerangan berhubung dengan Agama Islam, namun kes-kes kesalahan jenayah terus berlaku. Dari kata-kata itu bolehlah difahamkan bahawa kerja mendenda dan menjatuhkan hukuman ke atas pesalah itu bukan usaha agama bahkan yang disebut sebagai usaha agama itu hanya berkisar di atas dakwah, ceramah dan penerangan- penerangan berhubung dengan agama. Sedangkan menjatuhkan denda dan hukuman juga adalah agama sepertimana yang disebut sekejap tadi.

Tuan Yang di-Pertua, Rang pindaan yang kita bahaskan ini walaupun tidak disenaraikan butir-butir jenayah dan kesalahan yang akan dipergunakan Rang ini untuknya tetapi pada hemat saya tentunya terdiri dari hanya denda-denda kesalahan-kesalahan yang termasuk dalam lingkaran altakzir sahaja, bukan al-hudud yang tidak boleh dipinda-pinda itu sekalipun negara kita masih meminda- mindanya."

Akhirnya menggulungkan perbahasannya, Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz menyatakan seperti berikut :

"Tuan Yang di-Pertua, akhir kata saya minta dengan pindaan-pindaan seperti ini tidaklah hanya setakat atau sekadar membawa taraf mahkamah-mahkamah Syariah yang ada sekarang akan setanding dengan mahkamah-mahkamah Megistret sepertimana kenyataan yang dibuat oleh pembentang Rang ini tetapi sepatutnya Yang Berhormat itu membuat kenyataan bahawa pindaan ini boleh menyatukan dua jenis kehakiman yang sedang berjalan sekarang, sivil dan syariah supaya menjadi satu corak kehakiman sahaja iaitu syariatullah sahaja. Sekian terima kasih."

Dapat difahami bahawa Almarhum Tuan Guru bukan sahaja mahu bidangkuasa menghukum Mahkamah Syariah dinaikkan tetapi sepatutnya lebih dari itu.

CADANGAN PINDAAN AHLI PARLIMEN MARANG.

Ahli Parlimen Marang, Dato' Seri Hj Abdul Hadi Awang memohon di Dewan Rakyat untuk meminda Akta 355 melalui Rang Undang-Undang Persendirian yang dibawa beliau untuk meminda hukuman sedia ada iaitu tidaklah boleh dihukum penjara selama tempoh melebihi 3 tahun atau denda melebihi $5,000 atau sebatan melebihi 6 kali atau apa-apa gabungan hukuman-hukuman tersebut kepada menjatuhkan hukuman yang dibenarkan oleh undang-undang syariah berkaitan hal-hal kesalahan yang disenaraikan di bawah seksyen yang disebutkan diatas, selain dari hukuman mati.

Polemik menjadi-jadi apabila Ahli Parlimen Marang dan ahli-ahli partinya serta pengikut-pengikutnya dibutakan dan dikelirukan tentang tujuan cadangan pindaan tersebut.

Mulanya dikatakan pindaan bagi membolehkan perlaksanaan hudud di Kelantan selaras dengan penggubalan dan kelulusan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) (1993) 2015 di DUN Kelantan.

Apabila heboh dikatakan Kelantan hendak melaksanakan hudud, Parti Haji Abdul Hadi mengubah nada mengatakan bahawa cadangan pindaan hanya untuk memperkasakan Mahkamah Syariah kerana kedudukan Mahkamah Syariah dilihat rendah daripada Mahkamah Majistret Sivil.

Jika kita dapat perhatikan cadangan pindaan yang dikemukakan oleh Haji Abdul Hadi dan alasan pindaan untuk memperkasakan Mahkamah Syariah, kita dapat katakan bahawa jika Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz masih ada, cadangan ini akan ditolak. Rujuk perbahasan Almarhum Tuan Guru pada 11 Oktober 1984 di mana beliau berkata "Tuan Yang di-Pertua, akhir kata saya minta dengan pindaan-pindaan seperti ini tidaklah hanya setakat atau sekadar membawa taraf mahkamah-mahkamah Syariah yang ada sekarang akan setanding dengan mahkamah-mahkamah Megistret sepertimana kenyataan yang dibuat oleh pembentang Rang ini tetapi sepatutnya Yang Berhormat itu membuat kenyataan bahawa pindaan ini boleh menyatukan dua jenis kehakiman yang sedang berjalan sekarang, sivil dan syariah supaya menjadi satu corak kehakiman sahaja iaitu syariatullah sahaja. Sekian terima kasih"

Jika alasannya hanya untuk memperkasakan Mahkamah Syariah, Tuan Guru sudah menolak dulunya, dan sekarang juga akan ditolak.

ADAKAH JATUH IMAN, ROSAK AQIDAH DAN KAFIR?

Rujuk perbahasan pada 1984 semasa pindaan menaikkan hukuman, ketika itu juga Almarhum Tuan Guru menolak pindaan Akta 355 malah meminta hukuman mengikut yang ditetapkan oleh Allah dan Rasul.

Cadangan pindaan Dato' Seri Haji Hadi jika dilihat juga tidak mengikut yang ditetapkan oleh Allah dan Al-Quran kerana hukuman yang dicadangkan kecuali hukuman mati sedangkan hukuman mati ditetapkan Allah dalam Al-Quran bagi kesalahan qisas.

Jika pada tahun 1984 Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz menolak cadangan pindaan dan meminta lebih, adakah sekarang menolak cadangan pindaan Haji Hadi jatuh iman, rosak aqidah dan kafir?

Di situlah letak duduknya Akta 355. Ianya bukan melibatkan aqidah kerana yang ditolak adalah undang-undang manusia yang digubal bukan Undang-Undang yang ditetapkan Allah dan Rasul dalam Al-quran dan Hadith.

Cukup-cukuplah mengkafirkan orang. Takutlah kafir itu kembali kepada orang yang mengkafirkan. Suka kita mengkafirkan orang tetapi tidak sedar kita sudah kafir kerana mengkafirkan orang secara sembrono.

Aku ahli DAP.

ZULHAZMI SHARIFF
27 SEPTEMBER 2016

Husam jawab balik isu DURIAN KUNYIT & KERAJAAN NEGERI KELANTAN

Durian Kunyit: Saya berniat jahat atau jawapan balas niat berbohong, soal Husam

Datuk Husam Musa

Selepas dituduh berniat jahat kerana mendedahkan projek penanaman Durian Kunyit di hutan simpan kekal, Adun Amanah Salor, Datuk Husam Musa membuat penjelasan balas dengan mengemukakan bukti-bukti berdokumen untuk menpertahankan dakwaannya.

"Saya mengajak Menteri Besar dan Setiausaha Politiknya merujuk kepada kembaran yang saya sertakan iaitu surat dari Pengarah Perhutanan Negeri Kelantan mengenai kelulusan penanaman DURIAN KUNYIT dan menguruskan tanaman kelapa sawit dalam HSK Ulu Galas dan Batu Papan, bertarikh 20 April 2016," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ali Omar,pemilik Syarikat Gunong Basor EnterpriseKepala surat Pengarah Perhutanan kepada Syarikat AA Pavilion Mining itu katanya, berbunyi: ‘PERMOHONAN CADANGAN PEMBANGUNAN TANAMAN POKOK DURIAN KUNYIT DALAM KAWASAN PEMBANGUNAN LADANG HUTAN DAN MENGEKALKAN POKOK SAWIT YANG TELAH DITANAM DALAM KAWASAN TEROKA HARAM DI HSK ULU GALAS DAN HSK BATU PAPAN’.

"Jumlah keluasan kawasan yang diluluskan bagi kedua-dua maksud itu adalah 1,697 ha atau bersamaan 4,192 ekar!

"Mungkin SUP terlupa ilmu campur dalam matematik, sehingga kelulusan lain selain 100 ha kepada Gunung Basor tidak diambil kira.

"Angka ini membuktikan saya tidak berbohong, bahkan saya telah meletakkan angka keluasan yang lebih rendah dari yang sebenar.

"Juga membuktikan bukan hanya ada satu kelulusan penanaman durian kunyit dalam Hutan Simpan Kekal Negeri Kelantan!

"Kenapa SUP tidak memasukkan kelulusan ini dalam penjelasan beliau? Niat berbohong?" soal Datuk Husam.

Memang benar katanya, durian disenaraikan sebagai spesis hutan dalam Enakmen Perhutanan.

"Namun, seingat saya, durian tidak disenaraikan sebagai spesis untuk tanaman Ladang Hutan walaupun ia adalah spesis hutan.

"Ini adalah dua perkara yang berbeza.

"Apa lagi Durian Kunyit," katanya.

Sebab itu kata beliau, sekali pun getah disenaraikan sebagai tanaman Ladang Hutan, tetapi getah untuk susu semata-mata tidak termasuk dalam senarai.

"Getah yang disenaraikan adalah Timber Latex Clon.

"Perkataan "timber" itu sendiri membezakannya dari getah biasa," katanya.

Menurutnya, Durian Kunyit adalah spesis klon yang mempunyai batang yang kecil.

"Penanamannya bertujuan mendapatkan buahnya dan bukan batangnya sebagai kayu.

"Sedangkan jika Ladang Hutan adalah tujuan, keutamaannya adalah untuk penghasilan kayu dan bukan buahnya," katanya.

Ladang durian kunyit katanya, sudah bermakna ladang komersial buah-buahan dalam Hutan Simpan Kekal.

"Bagi tujuan perladangan, sudah pasti semua pokok hutan yang ada akan ditebang.

"Kawasan ini yang asalnya adalah Hutan Simpan Kekal, akan berubah menjadi ladang komersial dalam Hutan Simpan Kekal," katanya.

Berikut adalah kenyataan penuh beliau:

Durian Kunyit dan hutan simpan kekal negeri Kelantan

Saya merujuk kepada penjelasan oleh SUP YAB MB bertarikh 19 September 2016 meliputi isu:

- Kawasan yang diluluskan untuk Durian Kunyit di HSK adalah HANYA 100 ha dan bukan 1,000 ha. Perbezaan 900 ha dari apa yang saya sebutkan dalam ucapan saya pada 16 September lalu di Wisma Tok Guru.

Maka dengan itu saya menyimpang dan berniat jahat.

Durian Kunyit

Saya petik semula penjelasan SUP MB:

“3. ……… semenjak YAB Ustaz Dato’ Haji Ahmad Bin Yakob mengambil alih jawatan sebagai Menteri Besar Kelantan, tidak terdapat kelulusan bagi projek ladang TLC atau ladang-ladang yang lain dalam hutan simpan kekal dan hanya meneruskan aktiviti pembalakan biasa sepertimana yang telah diluluskan pada pentadbiran yang lepas.

4. Tuduhan YB Dato’ Haji Husam Musa dengan mengatakan kawasan hutan simpan ditebang dan ditanam dengan tanaman Durian Kunyit sebanyak 1000 hektar juga merupakan satu kenyataan yang menyimpang dan berniat jahat. Kerajaan Negeri Kelantan hanya meluluskan sebanyak 100 hektar sahaja bagi tujuan tersebut dengan dikenakan syarat-syarat yang sangat ketat oleh Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan. Jika dilihat kepada angka ini, ia jelas berbeza dengan dakwaan YB Dato’ Haji Husam Musa iaitu sebanyak 1000 hektar. Perlu dimaklumi bahawa dibawah Enakmen Perhutanan Negeri Kelantan, durian diklasifikasikan sebagai tumbuhan hutan dan digalakkan untuk dijadikan sebagai spesis pokok bagi tujuan penanaman semula bagi kawasan hutan yang terjejas”.

Jawapan saya:

a. Dalam kenyataan SUP MB, tidak disebut syarikat mana telah diluluskan HANYA 100 ha HSK untuk ditanam dengan Ladang Tanaman Durian Kunyit.

Andaian yang boleh saya buat adalah, ada kemungkinan kelulusan seluas 100 ha yang disebut oleh SUP MB seperti di atas merujuk kepada permohonan Syarikat Gunong Basor Enterprise, berdasarkan surat arahan untuk permohonan syarikat ini untuk diangkat ke mesyuarat JKuasa Kecil Perhutanan dan ‘langkahan selanjutnya pihak tuan’, dari pejabat MB kepada Pengarah Perhutanan bertarikh 31 Mac 2016.

Surat sokongan Pejabat MB itu bermakna hanya LAPAN hari selepas syarikat ini didaftarkan dengan SSM. (Salinan surat Pejabat MB kepada Pengarah Hutan dikembarkan).

Permohonan asal syarikat ini, mengikut surat Pejabat MB itu adalah 404 ha/ 998 ekar, tetapi ada kemungkinan ia hanya diluluskan sebanyak 100 ha/400 ekar sahaja.

Mesyuarat Jawatankuasa Kecil Perhutanan Negeri selepas surat pejabat MB ini ialah pada 6 April 2016.

Jika syarikat ini mendapat kelulusan berkenaan menerusi mesyuarat pada 6 April itu, bermakna dalam tempoh EMPAT BELAS HARI SAHAJA dari tarikh syarikat ditubuhkan, ia sudah mendapat DURIAN RUNTUH dengan permohonan DURIAN KUNYITNYA!

Hebat!

Syarikat Gunong Basor Enterprise, mengikut carian Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), dimiliki oleh Tuan Ali Omar.

Tuan Ali Omar telah memuat satu posting dalam FBnya bertarikh 20hb September 2016 mendakwa kelulusan yang beliau perolehi untuk penanaman durian kunyit dalam hutan simpan tidak melibatkan tebangan balak kerana kawasan ini telah diteroka oleh peneroka haram. Beliau menulis : ‘permohonan yang melibatkan syarikat saya’.

Salinan posting ini dikembarkan.

Ini mengukuhkan andaian bahawa syarikat yang mendapat kelulusan 100 ha atau 400 ekar hutan simpan itu adalah Syarikat Gunong Basor yang telah disokong permohonannya oleh Pejabat Menteri Besar.

Apa kelayakan syarikat ini sehingga permohonannya boleh diluluskan secepat kilat?

b. Soalnya, adakah satu ini sahaja kelulusan berkait dengan penanaman durian kunyit dalam HSK?

Saya mengajak MB dan SUPnya merujuk kepada kembaran yang saya sertakan iaitu surat dari Pengarah Perhutanan Negeri Kelantan mengenai kelulusan penanaman DURIAN KUNYIT dan menguruskan tanaman kelapa sawit dalam HSK Ulu Galas dan Batu Papan, bertarikh 20 April 2016.

Kepala surat Pengarah Perhutanan kepada Syarikat AA Pavilion Mining berbunyi: ‘PERMOHONAN CADANGAN PEMBANGUNAN TANAMAN POKOK DURIAN KUNYIT DALAM KAWASAN PEMBANGUNAN LADANG HUTAN DAN MENGEKALKAN POKOK SAWIT YANG TELAH DITANAM DALAM KAWASAN TEROKA HARAM DI HSK ULU GALAS DAN HSK BATU PAPAN’.

Jumlah keluasan kawasan yang diluluskan bagi kedua-dua maksud itu adalah 1,697 ha atau bersamaan 4,192 ekar!

Mungkin SUP terlupa ilmu campur dalam matematik, sehingga kelulusan lain selain 100 ha kepada Gunung Basor tidak diambil kira.

Angka ini membuktikan saya tidak berbohong, bah kan saya telah meletakkan angka keluasan yang lebih rendah dari yang sebenar.

Juga membuktikan bukan hanya ada satu kelulusan penanaman durian kunyit dalam Hutan Simpan Kekal Negeri Kelantan!

Kenapa SUP tidak memasukkan kelulusan ini dalam penjelasan beliau? Niat berbohong?

c. Memang benar durian disenaraikan sebagai spesis hutan dalam Enakmen Perhutanan.

Namun, seingat saya, durian TIDAK disenaraikan sebagai spesis untuk tanaman Ladang Hutan walau pun ia adalah spesis hutan.

Ini adalah dua perkara yang berbeza.

Apa lagi DURIAN KUNYIT.

Sebab itu, sekali pun getah disenaraikan sebagai tanaman Ladang Hutan, tetapi getah untuk susu semata-mata tidak termasuk dalam senarai. Getah yang disenaraikan adalah TIMBER LATEX CLON. Perkataan TIMBER itu membezakannya dari getah biasa.

Durian kunyit adalah spesis klon yang mempunyai batang yang kecil. Penanamannya bertujuan mendapatkan buahnya dan bukan batangnya sebagai kayu. Sedangkan jika Ladang Hutan adalah tujuan, keutamaannya adalah untuk penghasilan kayu dan bukan buahnya.

Ladang durian kunyit sudah bermakna ladang komersial buah-buahan dalam Hutan Simpan Kekal.

Bagi tujuan perladangan, sudah pasti semua pokok hutan yang ada akan ditebang.

Kawasan ini yang asalnya adalah Hutan Simpan Kekal, akan berubah menjadi ladang komersial dalam Hutan Simpan Kekal.

Inilah yang berlaku di negeri ini pada hari ini.

Status di atas kertas adalah hutan simpán kekal tetapi hutannya sudah tidak ada lagi.

Saya sangat berbesar hati jika SUP MB Kelantan dapat menunjukkan saya bahagian Enakmen Perhutanan Kelantan yang menyatakan DURIAN KUNYIT adalah sangat digalakkan untuk tanaman dalam Ladang Hutan dan tarikh kemasukan DURIAN/DURIAN KUNYIT dalam gazet Enakmen berkenaan.

d. Kawasan yang dipohon oleh Syarikat Gunung Basor adalah dalam HSK Sg Brok.

Semakan kami ke tapak berkenaan menunjukkan masih terdapat 7 hingga 8 tan hasil kayu se ekar. Hanya 20% sahaja dari kawasan ini yang telah diteroka secara haram meninggalkan kawasan tidak berkayu.

Saya yakin, laporan renjer Pejabat Hutan yang baru disiapkan Rabu lalu, selari dengan jumlah yang saya sebutkan. Menunggu laporan renjer disiapkan terlebih dahulu adalah antara sebab saya sedikit lambat memberikan respon kepada kenyataan SUP MB.

Bermakna terdapat sejumlah 2,240 tan kayu berbaki atas kawasan seluas 100 ha ini, berdasarkan 20% dari kawasan adalah diteroka haram seperti didakwa.

Dakwaan sesetengah pihak bahawa kawasan ini langsung tidak berkayu adalah bohong dan berniat melindungi kedudukan yang sebenar atas tujuan mengaut keuntungan darinya.

Ini bermakna, Syarikat Gunung Basor akan menikmati DURIAN RUNTUH sebelum DURIAN KUNYIT.

Beranikah YAB MB melawat kawasan ini bersama saya, media dan mana-mana pihak yang berkaitan untuk membuktikan ianya tidak berkayu?

e. Alasan terokaan haram telah digunakan untuk meluluskan permohonan AA Pavilion, termasuk menguruskan apa yang dikatakan tanaman kelapa sawit oleh peneroka haram untuk selama dua puluh lima tahun, seperti surat kelulusan yang dikembarkan.

Soalnya, kenapa kawasan ini bersama tanaman kelapa sawitnya tidak ditender?

Mengapa peneroka asal tidak diberi peluang dengan terma yang sama?

Benarkah alasan ini?

Beranikah kerajaan melantik satu pihak bebas memeriksa kesahihan maklumat dan alasan ini?

f. Adakah kebetulan, semua syarikat ini - AA Pavilion dengan kelulusan 1,697 ha, Syarikat Gunong Basor dengan kelulusan 100 ha (berdasarkan kenyataan SUP yang tidak menamakan secara jelas syarikat yang mendapat kelulusan tetapi Tuan Ali Omar mengaku beliau mendapat kelulusan tanaman durian kunyit) dan satu lagi, Taman Astakona Timber Solutions dengan kelulusan pengeluaran saki baki kayu kayan atas kawasan seluas 250 ha - semuanya berkait dengan pemilik yang sama. Juga surat kelulusan dari Jabatan Perhutanan kesemuanya bertarikh April 2016.

Saya sertakan cetakan dari Suruhajaya Syarikat (SSM) berkait pemilik berkenaan bagi ketiga-tiga syarikat itu.

Saya pohon YAB MB memberikan penjelasan.

g. Saya difahamkan, orang yang sama telah diluluskan LAPAN BELAS kelulusan semuanya, dari 44 buah syarikat beliau yang berdaftar di SSM pada mesyuarat terakhir Jkuasa Kecil Perhutanan, iaitu pada 6 April yang lalu.

Saya pohon YAB MB mencari satu kaedah untuk membolehkan dokumen mesyuarat berkenaan disemak oleh pihak-pihak yang berwibawa untuk mengesahkan kedudukan ini.

ADUN Kerajaan dan Pembangkang termasuk saya, boleh menjadi pihak menyemak dokumen mesyuarat berkenaan.

Saya difahamkan, dokumen-dokumen kelulusan bagi 18 syarikat itu telah beredar di pasaran untuk tujuan mencari pembeli.

PAC Kelantan boleh diminta menyemak dokumen mesyuarat pada 6 April itu untuk mengetahui kedudukan yang sebenar dan saya diizinkan untuk sama menyemaknya.

YAB MB sepatutnya tidak keberatan berbuat demikian jika prinsip ketelusan menjadi prinsip pentadbiran beliau.

Ini juga yang diajar oleh Islam.

h. Surat kelulusan kepada Taman Astakona ini juga menunjukkan orang yang sama telah mendapat kelulusan perlombongan, sehingga membolehkan beliau memohon kelulusan pengeluaran saki baki kayu atas kawasan perlombongan yang diluluskan itu.

Rujuk dokumen kelulusan kepada Taman Astakona itu, di mana kepala surat dari Pengarah Perhutanan kepada Taman Astakona berbunyi: ‘PERMOHONAN MENGELUARKAN SAKI BAKI KAYU DALAM KAWASAN YANG DILULUSKAN PAJAKAN MELOMBONG DI HUTAN SIMPAN NENGGIRI SELUAS 250 HEKTAR’

i. Saya tidak tahu ini semua satu skandal atau tidak.

Nampaknya, paling kurang, ia menuju kepada amalan kronisma yang kronik yang menghanguskan kekayaan bumi Kelantan.

j. Ketelusan YAB MB sangat diperlukan.

Hanya dengan ketelusan yang diyakini, kejujuran dapat dibuktikan. Khazanah negeri dapat dilindungi.

k. SUP MB perlu menyemak fakta-fakta dengan lebih teliti sebelum menggunakan kata-kata tuduhan menyimpang dan berniat jahat.

Amalan demokrasi dan juga berkerajaan secara Islam memerlukan tegur menegur dan ketelusan, bukan kata-kata kesat dengan sewenang-wenang.

l. Demi ketelusan, YAB MB mesti tampil menjelaskan ini semua.

Rakyat Kelantan berhak mengetahui kedudukan sebenar secara keseluruhan. Termasuk asas-asas yang digunakan untuk mempertimbangkan kelulusan kepada mana-mana pihak dan had kelulusan kepada pihak yang sama secara berulang-ulang.

Lebih penting lagi adalah isi kayu yang ada dalam kawasan-kawasan berkenaan didedahkan kepada umum dan jumlah kerugian dari pendapatan isi kayu berikutan ketiadaan sistem tender dalam penganugerahan-penganugerahan berkenaan.

Ia belum lagi mengambil kira kesan ekologi yang berpanjangan yang diakibatkan oleh kelulusan-kelulusan ini termasuk kesan kepada tadahan hujan dan lain-lain.

Juga apa jaminan kemampuan syarikat dari orang yang sama ini melaksanakan semua kelulusan yang diberikan kepadanya.

m. Saya menunggu kelulusan YAB MB untuk saya menyemak dokumen-dokumen mesyuarat berkenaan bersama PAC Kelantan.

n. Saya berterima kasih kepada team penyelidik Pusat Aduan Rakyat Kelantan yang telah berjaya mengumpulkan maklumat berkaitan.

Husam Musa
26 September 2016/24 Zulhijjah 1437

Alor Setar - Jejantas jadi port remaja melepak

ALOR SETAR - Tindakan remaja yang tidak bertanggungjawab membaling batu dari jejantas di KM40.6 Lebuhraya Utara-Selatan, Khamis lalu mendapat perhatian dari penduduk di sekitar kawasan itu.

Wan Azlan Wan Nik, 42, dari Kampung Hutan Kandeh berkata, kawasan itu kini sudah menjadi port remaja melepak dan melakukan aksi lumba motosikal.

Menurutnya, setiap bulan penduduk akan terdengar kereta terbabas dan cermin pecah pada waktu malam kerana tindakan tidak bertanggungjawab remaja berkenaan yang sanggup membaling batu pada kenderaan yang melalui bawah jejantas itu.

"Saya difahamkan remaja yang melakukan aktiviti itu bukannya berasal dari kampung ini dan penduduk pun tidak mengenali mereka.

"Malah saya percaya tindakan pihak berkenaan membawa batu yang besar itu adalah dari kuari berdekatan kerana sekitar kawasan ini adalah tanah sawah,” katanya.

Menurut Wan Azlan, walaupun terdapat papan amaran melarang untuk berkumpul di atas jejantas itu, golongan remaja berkenaan tidak menghiraukannya, malah semakin ramai remaja melepak di situ.

“Memang kadang-kalanya ada pihak berkuasa membuat rondaan di kawasan itu tetapi mereka akan lari dan sepi untuk beberapa malam.

"Bagaimanapun beberapa hari kemudian mereka akan berkumpul lagi untuk melakukan aktiviti itu semula,” katanya.

Pada malam Khamis lalu sebanyak tiga kenderaan yang melalui jejantas di KM 40.6 telah rosak kerana dibaling batu oleh pihak tidak berkenaan.

Kenderaan itu dikatakan dari arah Jitra ke selatan dan melalui jejantas di antara Hutan Kampung dan Kampung Hutan Kandeh.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin berkata, ketiga-tiga kenderaan itu  mengalami kerosakan teruk di bahagian hadapan hingga cermin pecah dan bonet kemik.

Katanya, kes itu akan disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan pihaknya sedang menjalankan siasatan untuk mengesan suspek yang terlibat.

"Sekiranya orang ramai mempunyai maklumat mengenai kejadian itu, mereka diminta tampil menghubungi pihak polis di balai berdekatan,” katanya.

Sementara itu, tinjauan Sinar Harian di jejantas itu mendapati kerja mendirikan pengadang sudah mula dilakukan oleh pihak Plus Malaysia Berhad (Plus).

Difahamkan kerja mendirikan pengadang akan dilakukan itu sepanjang 90 meter dan setinggi 2.5 meter di kedua belah jejantas itu.

Kerja pembinaan berkenaan akan mengambil masa selama 20 hari.





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...