TERKINI :

Thursday, September 22, 2016

MANA SATU YANG BETUL ATAUKAH NAJIB CUBA DIMALUKAN PMO?

Shahbudin Husin,

http://www.thestar.com.my/~/media/online/2015/06/11/21/22/main_ni_1206_p2_nurilyanna_1.ashx/?w=620&h=413&crop=1&hash=72B2F8221D77FBD90EBAA4230E0A3FDBEA3FCA05
Sejak lewat petang semalam telah tersiar berita di media dan portal dalam talian mengenai kenyataan Najib Razak berhubung pertemuan Tun Mahathir Mohamad dengan Yang Dipertuan Agong berkaitan Deklarasi Rakyat.

Dalam kenyataan media itu, Najib memberitahu bahawa Yang Dipertuan Agong hanya mengambil maklum perkara-perkara yang dibangkitkan oleh Tun Mahathir, tetapi tidak boleh mencampurinya.

Ini kerana, menurut Najib, deklarasi yang diusahakan itu tidak mengikut Perlembagaan dan sebarang tindakan sepatutnya dilakukan menurut amalan lazim iaitu sama ada melalui Parlimen atau sistem pilihanraya yang melibatkan rakyat.

Membaca berita yang tersiar itu, ramai yang tertanya-tanya, mengapa Najib sendiri yang mengeluarkan kenyataan yang berkaitan usaha untuk menyingkirkannya?

Sudah tentu jika kenyataan seperti itu mahu dikeluarkan, ia lebih sesuai dilakukan oleh pihak Istana Negara sendiri. Namun, jika pihak Istana Negara tidak berbuat demikian dan oleh kerana  pemakluman mengenai pertemuan dengan Tun Mahathir itu dilakukan oleh Yang Dipertuan Agong kepada Najib sendiri, ia lebih berupa pernyataan mengenai pendirian baginda kepada Perdana Menteri semata-mata.

Apakah ia perlu dijadikan kenyataan umum dengan Najib seolah-olah membela dan mempertahankan dirinya sendiri?

Tidakkah dengan Najib sendiri mengeluarkan kenyataan tersebut menunjukkan beliau begitu terdesak dan agak terganggu dengan pertemuan Tun Mahathir dengan Yang Dipertuan Agong itu?

Dalam masa yang sama, di media-media sosial pula tersebar kenyataan media penuh empat perenggan yang dikeluarkan oleh Najib itu.
 
Meneliti kenyataan itu, ramai yang  perasan mengenai wujudnya beberapa kesilapan fakta dalam kenyataan media itu, antaranya:- 

- dalam perenggan pertama, PPBM disebut sebagai Parti Pribumi Perkasa Malaysia sedangkan namanya yang betul ialah Parti Pribumi Bersatu Malaysia. Pribumi Perkasa adalah NGO milik Ibrahim Ali.

- pertemuan Tun Mahathir dengan Yang Dipertuan Agong dikatakan berlangsung di  Istana Bukit Malut, Langkawi walhal yang diberitakan sebelum ini ia berlaku di Istana Anak Bukit, Alor Setar.

- jawatan sebenar Tun Mahathir ialah Pengerusi dan bukan Penasihat PPBM.

- dalam perenggan ketiga PPBM bertukar menjadi PBBM.

Benarkah ia surat asli yang dikeluarkan oleh Najib? 

Jika ia benar, mengapa berlaku kesilapan-kesilapan fakta yang besar seperti itu?

Bukankah ia sesuatu yang memalukan Najib dan Pejabat Perdana Menteri atau PMO?

Bagaimanapun, beberapa portal masih memuatkan fakta pertemuan Tun Mahathir dengan Yang Dipertuan Agong itu berlangsung di Istana Bukit Malut Langkawi, manakala yang lain-lain sudah melakukan pembetulan atau menulisnya berdasarkan pemahaman sendiri bahawa majlis mengadap itu berlaku di Istana Anak Bukit, Alor Setar.

Agar mengejutkan juga, di laman facebook dan twitter milik Najib langsung tidak ditemui berita dan hebahan surat mengenai perkara itu. Mengikut kebiasaan dan amalam lazim, Najib sudah tentu suka memuatkan kenyataan media seperti itu kerana ia adalah kenyataannya sendiri, lebih-lebih lagi juga merupakan kesempatan untuk merendah-rendahkan perjuangan Tun Mahathir dan PPBM.
 
Hanya di laman facebook dan twitter PMO Malaysia, terdapat kenyataan media Najib itu. Ia nampak berbeza dengan kenyataan media yang tersebar sebelum itu dengan semua kesilapan fakta sudah diperbetulkan.

Tetapi kenyataan itu menunjukkan ia dimuatkan pada jam 10.34 malam sedangkan di portal-portal berita, ia sudah boleh dibaca sebelum itu lagi.

Apakah kenyataan media asal itu sudah dipadamkan dan digantikan dengan kenyataan baru yang fakta-faktanya sudah diperbetulkan?

Kiranya ia benar, amatlah malang kerana baru beberapa hari lalu Rosmah Mansor dimalukan dengan berita penarikan gelaran "Lead by Example" oleh Unesco, sekarang Najib pula diaibkan oleh kenyataan yang disediakan oleh PMO sendiri. (SH 22/09/2016).

Mahfuz - Najib memalukan dan menghina Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agung.

Kenyataan Media

*NAJIB MEMALUKAN DAN MENGHINA SERI PADUKA BAGINDA YANG DI PERTUAN AGONG*

1. *Najib sudah tidak layak jadi Perdana Menteri Malaysia apabila membuat kenyataan yang menunjukkan fakta yang salah*.Bagaimana fakta tempat boleh jadi tidak betul dalam kenyataan PM Najib.Fakta berkaitan dengan sesuatu kejadian atau peristiwa yang berlaku tidak seharus salah, kerana ianya dilaporkan oleh media. *Peristiwa tidak pernah berbohong di mana tempat berlakunya peristiwa*.

2.Saya agak hairan *kenapa PM Najib begitu ghairah untuk mengeluarkan kenyataan berkaitan peristiwa pertemuan empat mata antara Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong dengan Tun Dr Mahathir yang di terima mengadap pada 15 Sept 2016*.Kalau pun tujuan kenyataan PM Najib untuk memperlekehkan Tun M tetapi tidak seharusnya menunjukan fakta yang salah.

3.Peristiwa pertemuan 4 mata tersebut berlaku di Istana Anak Bukit.Yang peliknya PM Najib dalam kenyataannya menyebut pertemuan tersebut berlaku di Istana Bukit Malut. *Kan berbeza antara Bukit Malut dengan Anak Bukit. Bukit Malut di Langkawi.Anak Bukit dalam kawasan Majlis Bandaraya Alor Setar.Bukit Malut dan Anak Bukit dipisahkan oleh laut.Nampak PM Najib pening dan melalut dengan Bukit Malut.Pasti Najib tidak layak sertai pertandingan kuiz*.

*NAJIB TAK LAYAK JADI PM DAN PESERTA KUIZ BETUL KE BOHONG?*

4.Begitu juga dengan fakta Deklarasi Rakyat yang dis ebut oleh Najib dalam kenyataannya sebagai Deklarasi PBBM. *Satu dunia tahu Deklarasi tersebut diusahakan oleh Gerakan Selamatkan Malaysia (GSM) yang diketuai oleh Tun M dan disertai oleh individu induvidu rakyat Malaysia dari pelbagai latar belakang*.Waktu itu PBBM pun belum tubuh lagi.Tan Sri Muhyidin,Datuk Seri.Mukhriz dan Datuk Shafie masih lagi Ahli Umno pada waktu pelancaran Deklarasi Rakyat.

5.Kenyataan PM Najib satu penghinaan pada TUANKU YDPA dengan menyatakan Tuanku Yang Di-Pertuan Agong tidak boleh mencampuri usaha yang lakukan olih PBBM dalam Deklarasi PBBM. *Kenyataan PM Najib seolah olah YDPA tak faham fakta sebenar antara Deklarasi Rakyat dengan Deklarasi PBBM.Najib meletakkan YDPA sama taraf dengan Ahli Parlimen Langkawi yang mentafsirkan MO1 adalah YDPA*.Pertemuan dan perbualan Saya dengan  *YDPA semasa berangkat ke majlis perkahwinan anak saya pada 17 Sept 2016 Komplek Inspin Alor Setar menunjukkan YDPA mempunyai pengetahuan sejarah dan ketajaman fikiran lebih tinggi dari PM Najib*.

6. *Najib perlu mohon maaf pada Tuanku YDPA atas penghinaannya dan Najib perlu sedari yang beliau sudah tidak layak menduduki kerusi Perdana Menteri malah nak jadi peserta Kuiz Betul ke Bohong? pun awal awal dah tersingkir*.Saya harap Najib tahu cara untuk mengundur diri sebagai PM sepertimana yang di lakukan oleh Tun Abdullah Badawi dan  Tun Mahathir.

#NajibLemahSejarah
#JanganHinaTuankuAgong
#SelamatkanMalaysia

*DATO'HJ MAHFUZ HJ OMAR*
Ahli Parlimen Pokok Sena
10.00am Taman AlWalid Alor Setar
22 Sept 2016/ 20 Zulhijah 1437H

Silap jika ada sesiapa persenda Mahathir

 
Saya tidak pasti sama ada Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz bersungguh-sungguh atau berjenaka apabila berkata, Tun Dr Mahathir Mohamad akan diberikan apa saja yang diperlukannya untuk menjatuhkan perdana menteri.

Kalau sebaliknya Menteri Pelancongan dan Kebudayaan itu mempersendakan Dr Mahathir sebagai percubaan menyeronokkan bosnya, Datuk Seri Najib Razak, saya rasa dia tersilap besar.

Dr Mahathir pastinya tidak berjenaka apabila berkata beliau sedang berusaha menjatuhkan BN pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Beliau terpaksa berusaha menjatuhkan BN kerana parti gabungan itu enggan menyingkirkan Najib. Pada asalnya beliau tidak berhasrat menumbangkan BN. Beliau hanya mahu Najib berundur.

Tetapi apabila BN, khususnya Umno, terus taat kepada Najib sebagai ketua parti dan perdana menteri, beliau mengubah matlamat kepada mengalahkan BN pada PRU akan datang.

Bagi Nazri - kecualilah dia bebal kelas dedak - dia tentu tahu Dr Mahathir jarang berjenaka dalam hal-hal yang serius seperti kesejahteraan negara.

Berkenaan menghiburkan Najib pula, saya rasa amat sukar menyeronokkan beliau sekarang. Bayangkan, macam mana nak gembira kalau hendak ke Perhimpunan Agung Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) pun tak selesa - takut ditanya bukan-bukan oleh kor media PBB atau kena ejek penunjuk perasaan di seberang jalan di hadapan bangunan PBB.

Lagi menggerunkan adalah kemungkinan dikunjungi agensi penyiasatan jenayah AS yang ingin berbual-bual dengan “Malaysian Official 1”.

Tak cukup dengan itu, anugerah Unesco kepada isterinya, Rosmah Mansor, berkaitan projek PERMATA Negara biayaan kerajaan dibatalkan pula oleh penganjur bersamanya "kerana laporan Wall Street Journal (WSJ) dan New York Times (NYT)".

Satu dunia sudah tahu pendedahan sensasi dua akhbar itu mengenai skandal berbilion ringgit membabitkan duit 1MDB.

Ramai orang tahu betapa besarnya pengorbanan Najib demi isterinya. Kita pun tahu juga pasangan Najib - Rosmah amat menggemari pertemuan global berprofil tinggi serta peluang beristirahat serta membeli-belah di butik-butik berjenama tinggi.

Tapi tahun ini mereka sudah ketinggalan dua persidangan besar dalam diari antarabangsa iaitu UNGA di New York dan Forum Ekonomi Dunia (WEF) di Davos, Switzerland Januari lalu.

Secara kebetulan kedua-dua negara yang menjadi tuan rumah persidangan yang disebutkan itu - AS dan Swirzerland - adalah juga antara negara yang sedang menyiasat dan bertindak ke atas skandal 1MDB.

Seperti diakui oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri merangkap Pengarah Komunikasi Strategik BN Datuk Abdul Rahman Dahlan, Najib adalah “Malaysian Official 1” (MO1) 1MDB.

Dr Mahathir tak lawak

Berkenaan Dr Mahathir, saya berasa saya boleh bercakap mengenai betapa sayang dan komitednya beliau kepada Umno.

Saya sangat yakin beliau pasti tidak meninggalkan Umno apatah lagi menentangnya kalau Najib mengundurkan diri atau disingkir.

Malangnya, seperti kita semua lihat, setiap hari yang berlalu Najib menjadi lebih kuat kerana dia serta konco-konconya bersedia menggunakan apa saja instrumen dan institusi negara untuk bergayut pada kuasa.

Harapan kita hanyalah PRU. Itu pun kalau tidak disabotaj, dikhianati dan diselewengkan oleh instrumen dan institusi negara, khususnya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan para penghasut pro-Umno/BN.

Sejak 1946 - ketika masih belasan tahun - Dr Mahathir komited dan sayangkan Umno. Tetapi hari ini komitmen beliau adalah mengalahkan Umno.

Seperti sering beliau ungkapkan, latihan perubatan mengajar beliau tidak terlalu emosi dan lebih praktikal. Kalau beliau perlu memotong kaki pesakit demi menyelamatkan nyawanya, itulah yang akan beliau lakukan.

Jadi kalau orang seperti Nazri berasa bahawa dengan mempersendakan Dr Mahathir mereka boleh melemahkan semangat beliau, mereka silap besar.

Meminjam ungkapan yang dipakai oleh Datuk Seri Tengku Adnan Mansor baru-baru ini, saya yakin ramai orang, termasuk pemandu teksi tahu punca dendam kesumat Nazri terhadap Dr Mahathir dan mengapa dia teramat sayang kepada Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Najib.

Nazri dan Najib sepatutnya sedar bahawa setiap cabaran dan sindiran yang mereka tujukan kepada Dr Mahathir mengukuhkan lagi iltizam beliau untuk berjuang. Perjuangan adalah sinonim dengan Dr Mahathir.

Macai, balaci dan 'kamjat' mereka mungkin tidak tahu kerana usia mereka baru setahun jagung dan kail mereka panjang sejengkal.

Maaflah kalau saya kata, saya boleh bercakap sedikit sebanyak mengenai Dr Mahathir kerana saya mengenali beliau agak lama – 52 tahun.

Dalam tempoh itu, ada ketika kita bersetuju untuk tidak bersetuju. Kita berbeza pendapat dan, dari sudut pandangan sesetengah orang, kita bergaduh. Satu ketika Tan Sri Sanusi Junid sewaktu menjadi menteri besar Kedah beranggapan Dr Mahathir dan saya “bergaduh besar” sehingga dia membawa Dr Mahathir ke rumah ayah saya di Pendang, Kedah dan memberikan seekor lembu untuk dikorbankan.

Bersetuju atau tidak, kita tetap berkawan. Itulah ikrar saya kepada beliau apabila saya meletakkan jawatan ketua pengarang Kumpulan NSTP pada 2000.

Kami berpisah jalan, tetapi kami tetap bersama dalam perjuangan.

Beberapa hari sebelum melancarkan kempen Selamatkan Malaysia/Deklarasi Rakyat pada 4 Mac lalu, beliau memanggil saya ke rumahnya di Seri Kembangan bersama bekas Peguam Negara, Tan Sri Abu Talib Othman, untuk berbincang mengenai legality perisytiharan itu.

Selesai berbincang, Dr Mahathir membisikkan kepada saya bahawa beliau terpaksa meninggalkan Umno sebelum melancarkan deklarasi itu.

Saya memberitahu beliau yang saya tidak terperanjat kerana saya sendiri telah meninggalkan Umno lebih setahun. Saya keluar Umno secara rasmi pada 29 Jun 2015.

Beliau nampak terkejut tetapi mungkin berasa lega kerana orang lain yang beliau kenal lama pun telah meninggalkan Umno secara rasmi.

Bahaya cabar Dr Mahathir

Saya mengenali Dr Mahathir pada 1964 apabila beliau datang ke kampung saya untuk bertanding kali pertama mewakili PERIKATAN pada pilihan raya umum tahun itu.

Waktu itu saya berusia 16 tahun dan rumah saya adalah antara tempat persinggahan beliau kerana ayah saya cergas dalam Umno.

Kesilapan besar sesiapa pun yang berdepan dengan Dr Mahathir adalah mencabar kegigihan beliau dan mempersendakan rancangannya.

Buat masa ini, rancangan nombor satu beliau adalah menjatuhkan BN dalam PRU akan datang melalui kerjasama di kalangan parti-parti pembangkang.

Kalau bukan seorang yang gigih, beliau sudah lama menyerah kalah, khususnya setelah bersara daripada jawatan perdana menteri pada 2003.

Pelbagai halangan, tembok dan ranjau didirikan untuk menghalang beliau daripada terus memainkan peranan sebagai mentor demi negara yang beliau cintai.

Ahad lalu beliau menceritakan bagaimana beliau terpaksa menyewa pesawat eksekutif untuk terbang ke Alor Setar bagi menghadap Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong kerana kesuntukan masa.

Beberapa jam sebelum menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Anak Bukit, Kedah, beliau merasmikan mesyuarat agung Perkim (Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia) di Kuala Lumpur.

Kata beliau, kawan-kawan pernah berlumba-lumba meminjamkan pesawat peribadi mereka ketika beliau menjadi perdana menteri kini menghilangkan diri. Mereka takut dilihat bersama beliau.

Pada sebelah malamnya, Dr Mahathir bertolak ke London. Oleh kerana tidak ada pesawat peribadi untuk digunakan, beliau terbang dengan pesawat perdagangan.

Menurut kakitangan beliau, mereka mencadangkan beberapa syarikat penerbangan, tetapi Dr Mahathir bertegas mahu terbang dengan MAS.

Cintanya kepada negara mengatasi keselesaan diri. Bukanlah mudah bagi seorang yang berusia 92 tahun berkongsi pesawat raksasa (Airbus A380) dengan 500 penumpang lain untuk penerbangan 13 jam.

Jadi kalau ada orang - tidak kira bangsa atau kedudukan menteri, raja sebuah “negara”, temenggung, bendahara, syahbandar, bloger pelarian atau pemakan dedak - yang berasa mempersendakan beliau sebagai orang tua nyanyuk boleh mematahkan semangat beliau mereka silap besar.

Cacian dan jenaka murahan mereka mungkin membuatkan sesetengah orang ketawa berdekah-dekah, tetapi bagi Dr Mahathir ia umpama kuman yang menguatkan lagi daya tahan badannya. Azam dan iltizam beliau menjadi bertambah kukuh.

Itulah Dr Mahathir yang saya kenali dan dampingi sejak 52 tahun lalu. Beliau bukan insan yang gilakan sanjungan dan patah hati semata-mata kerana makian dan cacian. Hidup matinya berakar-umbikan perjuangan.

DATUK A KADIR JASIN adalah Tokoh Wartawan Negara dan bekas Ketua Pengarang Kumpulan NSTP. Artikel ini pertama kali disiarkan di blognya - The Scribe A Kadir Jasin.

TAHNIAH BADDROL BAKHTIAR diatas anugerah PFAM Asiana.my of the Month August.

Tahniah Baddrol Bakhtiar, beliau menerima plak anugerah PFAM Asiana.my Player of the Month August, Poster tajaan Asiana.my dan wang tunai RM1,500.

Menurut beliau kejayaan beliau dipilih adalah hasil dari kerjasama berpasukan dan sokongan dari semua pihak iaitu pengurusan, rakan sepasukan dan juga penyokong. Tambahan beliau faktor utama adalah pasukan bersatu hati dan harmoni dalam mengharungi aksi liga dan kejohanan lain musim ini.

Tahniah Baddrol!

Media KFA

Tahniah SYAZWAN, RIZAL & BAD atas panggilan untuk skuad Harimau Melaysia

PEMAIN lincah Kedah, Mohd Syazwan Zainon adalah antara lima muka baharu yang dipanggil pengendali skuad Harimau Malaysia, Datuk Ong Kim Swee untuk dua perlawanan persahabatan antarabangsa bulan depan.

Selain Mohd Syazwan, turut dipanggil menyertai kem yang bermula 27 September ini bagi perlawanan menentang Singapura dan Afghanistan ialah seorang lagi pemain Kedah, Mohd Rizal Mohd Ghazali, Mohd Fazrul Hazli Mohd Kadri (Perak), Muhammad Hadin Azman (Felda United) dan Ahmad Khuzaimi Pee (Melaka).

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam kenyataan hari ini berkata kehadiran lima muka baharu itu adalah bagi menggantikan empat pemain yang digugurkan iaitu Brendan Gan dan Wan Zack Haikal Wan Nor (Kelantan), Mohammad Amer Saidin (JDT II) serta Khair Muhammad Jefri Jones (Melaka).

Selain itu, Kim Swee memutuskan untuk mengekalkan 20 pemain yang menyertai kem latihan ketika menentang Indonesia pada 6 Sept lepas, termasuk pemain Perak Nazirul Naim Che Hasim yang mengalami kecederaan ketika sesi latihan berkenaan.

"Saya menyenaraikan 25 pemain kali ini kerana kita bakal menghadapi dua perlawanan. Pemain baharu seperti Fazrul Hazli, Hadin, Khuzaimi, Rizal dan Syazwan mempunyai peluang membuktikan kemampuan mereka dalam dua perlawanan ini untuk tersenarai ke Piala AFF 2016.   





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...