TERKINI :

Friday, September 16, 2016

Pemuda Amanah seru rakyat bantah persempadanan semula kawasan pilihan raya

Seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang agama dan kaum diseru menolak persempadanan semula kawasan pilihan raya yang bakal memberi kelebihan kepada BN, kata Ketua Pemuda Amanah Nasional, Mohd Sany Hamzan.

Beliau berkata, rakyat perlu menyatakan bantahan mereka terhadap persempadanan kawasan mengundi di Dun dan Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-14 kelak.

"Sejujurnya kita tidak mampu untuk membiarkan tangan-tangan khianat ini sekali lagi memegang amanah kepimpinan, sekaligus menghancurkan negara.

"Bertindaklah sebagai pemilih (pengundi) di peringkat Dun dan Parlimen, minimum 100 bantahan sudah memadai untuk Suruhanjaya Pilihanraya menyusun semula persempadanan kawasan dengan mengambil kira suara pemilih.

"Jangan biarkan masa depan kita terus dibidakcatur oleh gerombolan 'Malaysian Official 1'," ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian dalam perutusan Hari Malaysia yang jatuh pada 16 September setiap tahun.

Sany juga berkata, tindakan itu wajar dilakukan bagi memakmurkan kembali ekonomi negara dalam sambutan Hari Malaysia di tahun hadapan.

"Semoga kita mampu menghirup kembali udara kemakmuran ekonomi untuk sambutan Hari Malaysia tahun hadapan. Pastikan Najib Razak menjadi sejarah terakhir kebobrokan urustadbir negara. Pilihan di tangan kita.

"Tahun ini kita menyambut Hari Malaysia di celah-celah kemelut politik dan skandal penyelewengan dana paling besar dalam sejarah negara. Malangnya kehilangan puluhan billion wang negara itu masih belum mampu menganjak Najib Razak daripada posisi tertinggi yang disandang ketika ini," ujarnya.

Justeru katanya dengan usaha dilakukan oleh Bersih 2 untuk mengadakan himpunan rakyat menolak persempadanan semula kawasan pilihan raya pada 19 November depan adalah amat ditunggu rakyat, dakwanya.

"Saat yang paling ditunggu-tunggu rakyat, Himpunan BERSIH 5 atau ringkasnya dieja 'BER5IH', muncul ketika usaha persempadanan semula disusun secara ragu, diyakini dengan tujuan mengekalkan Najib Razak sebagai Perdana Menteri untuk pilihanraya umum akan datang.

"Di sinilah titik perjuangan kita bersempena tanggal keramat 16 September 2016. Setelah 53 tahun terbentuknya negara bangsa bergelar 'Malaysia', tragedi kepimpinan kleptokrasi bakal menjadi sebab untuk kita semua berjuang," tegasnya.

DI SEBALIK UMNO SEMAKIN MENGECIL, SPR MUNCUL UMPAMA TALIAN HAYAT

Di kalangan pemimpin-pemimpin UMNO, tidak ramai di antara mereka yang betul-betul mahu mengaku kewujudan PPBM adalah cabaran sebenar kepada kedudukan parti itu dalam pilihanraya akan datang.

Lebih ramai yang terus sombong bongkak dengan mengatakan PPBM bukan saingan yang sebenar, UMNO sudah biasa dengan cabaran, PPBM bakal senasib Semangat 46 dan macam-macam lagi.

Realitinya, dengan bermulanya PPBM mendaftarkan ahli-ahli baru sejak semalam, kedudukan UMNO dengan sendirinya makin mengecil. Pada hari pertama di Kuala Lumpur saja, sebanyak lebih 9000 borang telah diambil. 

Hari ini mungkin ribuan lagi yang telah mendaftar dan oleh kerana permintaan bertambah, walaupun esok merupakan cuti umum sempena Hari Malaysia, pendaftaran terpaksa dibuka untuk kemudahan orangramai.

Serentak dengan itu, penyeleras negeri-negeri turut dilantik untuk memudahkan lagi proses pendaftaran ahli. Beberapa negeri kemudiannya melantik penyelaras di peringkat bahagian-bahagian pula.

Dengan itu, ahli PPBM akan terus bertambah hari demi hari. Sebahagian besar ahli PPBM adalah ahli UMNO. Secara automatiknya, UMNO makin kekurangan ahlinya.

Apabila ahli UMNO berpindah kepada PPBM, bermakna juga mereka tidak lagi mahu mengundi BN dalam pilihanraya akan datang. Jadinya, UMNO  akan berkurangan ahli, BN berkurangan undi.

Proses menjauhi UMNO dan BN ini akan berterusan selagi Najib terkepung dengan isu 1MDB dan Rosmah pula kekal dengan kegemaran suka membeli-belahnya. Dari masa ke semasa, mungkin lebih banyak lagi yang akan didedahkan kepada kita semua.

Semua itu menjadikan UMNO dan BN secara realitinya tidak selamat lagi untuk menggenggam kuasa yang ada. Kuasa yang mereka ada hanya menunggu masa saja untuk ditanggalkan oleh pengundi-pengundi yang semakin bijak dan tidak mudah lagi ditipu dengan bayangan permata, tetapi sebenarnya ia hanyalah kaca.

PPBM bersama Pakatan Harapan lebih diharap dan dipercayai untuk menjadi kerajaan baru menggantikan BN.

Dalam keadaan cemas itu, satu-satunya talian hayat yang tinggal bagi UMNO dan BN untuk mengekalkan kuasanya ialah SPR. Sebab itu, serentak dengan terttubuhnya PPBM, secara tiba-tiba juga SPR mengumumkan syor kajian semula persempadanan bahagian-bahagian pilihanraya untuk dilaksanakan dalam pilihanraya umum akan datang.

Syor tersebut tidak melibatkan pertambahan bilangan kerusi, tetapi cuma perubahan nama dan sempadan kawasan pilihanraya semata-mata. Dengan yang demikian, ia tidak memerlukan kelulusan majoriti dua pertiga di Parlimen, sebaliknya memadai dengan majoriti mudah saja.

Di setiap negeri, beberapa kawasan akan terlibat dengan perubahan persempadanan itu dengan Kuala Lumpur dan Terengganu menyaksikan semua kawasan akan diubah sempadannya.

Di Selangor, ia melibatkan 18 daripada 22 kawasan Parlimen, di Perak, perubahan melibatkan  17 daripada 24 kawasan Parlimen manakala di Johor,  21 daripada 26 kawasan akan terlibat.

Ahli Parlimen DAP, Tony Pua menggambarkan tindakan SPR itu lebih bertujuan menambah jumlah majoriti di kawasan yang BN tidak boleh menang dan mengurangkan majoriti di kawasan yang mungkin BN boleh menang.

Mengambil contoh kawasan Parlimennya Petaling Jaya Utara yang akan ditukar kepada Damansara, perubahan persempadanan itu, katanya akan menyaksikan pertambahan sebanyak 76.2 peratus daripada 85,401 pengundi kepada 150,430 jumlah pengundi.

Sebaliknya kata Tony, di kawasan Parlimen Kapar, jumlah pengundi dikurangkan daripada 144,159 kepada 100,456 pengundi iaitu penurunan sebanyak 30.3 peratus.

Perubahan persempadanan yang dilakukan SPR itu dan manfaatnya kepada BN juga mungkin lebih difahami melalui gambarajah seperti yang turut disiarkan dalam blog ini.

Lantaran itu, rakyat bukan saja seharusnya mengemukakan bantahan secara besar-besaran terhadap cadangan SPR itu, malah mesti juga turun beramai-ramai dalam Bersih 5 pada 19 November depan. 

Ini kerana, cadangan SPR nyata bertujuan memberi kelebihan kepada UMNO dan BN.  (SH 15/09/2016).

Presiden Amanah - Dr Haron Din: Kehilangan besar dalam gerakan dakwah

16 September 2016 | ARIF ATAN

Presiden Amanah, Mohamad Sabu menyifatkan pemergian Datuk Dr  Haron Din ke rahmatullah sebagai satu kehilangan besar dalam gerakan dakwah di negara ini.

"Allahyarham menemui Pencipta pada Penghulu Segala Hari. Bagi Amanah, pemergian Allahyarham satu kehilangan besar pada gerakan dakwah di negara ini malah pada seluruh rakyat Malaysia umumnya.

"Sepanjang hayatnya, Allahyarham banyak berjasa kepada masyarakat khususnya dalam aspek dakwah," ujarnya kepada Malaysia Dateline.

Menurut beliau yang juga dikenali sebagai Mat Sabu, pemergian Pengerusi Majlis Syura Ulamak Pas itu turut dirasai oleh kalangan ahli Amanah.

"Walaupun berbeza pandangan politik, saya percaya seluruh ahli Amanah merasai kehilangan Allahyarham atas dasar insaniah dan persaudaraan Islam.

"Apatah lagi kami pernah bersama dalam satu wadah sebelum ini," ujar Mat Sabu lagi.

Allahyarham Haron Din yang merupakan pengasas Persatuan Kebajikan dan Pengubatan Malaysia (Darussyifa') meninggal dunia pada usia 76 tahun di San Fransisco, Amerika Syarikat pagi tadi.

Amanat Mursyidul Am PAS - Kebumikan beliau di Amerika

Oleh Muhammad Mustakim Ramli
📧 m.mustakim@bh.com.my

KANGAR : Mursyidul Am PAS, Allahyarham Datuk Dr Haron Din mengamanatkan kepada ahli keluarga dan rakan seperjuangannya di negeri ini mahu dikebumikan di Amerika Syarikat (AS) jika ditakdirkan beliau meninggal dunia di sana.

Pesuruhjaya PAS Perlis, Mohd Shukri Ramli, berkata pesanan itu disampaikan Allahyarham sebelum berlepas ke AS, 10 September lalu, di Pusat Rawatan  Darussyifa, di Santan, di sini.

"Amanat itu disampaikan beliau sebagai persediaan sekiranya berlaku kejadian tidak diingini, ini berikutan kali keenam Allahyarham menjalani pembedahan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Shukri berkata, pihaknya akan mengadakan solat jenazah ghaib di Kompleks Pas Perlis di Jalan Stadium Utama , Kangar malam ini.

Tun M habiskan sejam lima belas minit mengadap YDP AGUNG dengan menyerahkan memorandum "Selamatkan Malaysia"

Akhirnya BERJAYA dilaksanakan

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Tun Dr Mahathir Mohamad mengadap Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah semalam untuk menyerahkan memorandum 'Selamatkan Malaysia'.

Salah seorang orang kanannya, Datuk Khairuddin Abu Hassan memberitahu Malaysiakini bahawa pertemuan itu berlangsung di Istana Anak Bukit, Kedah petang semalam.

"Ia adalah satu pertemuan empat mata antara kedua-duanya. Mahathir tiba kira-kira pukul 4.30 petang dan mesyuarat itu berlangsung kira-kira satu jam lima belas minit," kata Khairuddin.

Bekas Naib Ketua Umno Batu Kawan itu berkata Mahathir membawa Deklarasi Selamatkan Malaysia dan juga dokumen yang didakwa ditandatangani 1.3 juta rakyat Malaysia.

Al Fatihah : TG Dato Dr.Harun Din telah kembali ke rahmatillah

Salam Perjuangan buat semua.

Jam 10.10 pagi ini, berita kami terima bahawa Tuan Guru Dato' Dr Harun Din telah kembali ke rahmatillah di Hospital Stanford University US. Semoga Allah swt mencucuri rahmatNya dan mengampuni al Marhum Tuan Guru serta menggolongkan beliau dari kalangan hambaNya yang soleh. Aameen Ya Rabbal A'lamin

Maklumat lanjut akan menyusul kemudian dari pihak keluarga al Marhum Tuan Guru.

Nasrudin bin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat

Inalillah

Ayuh Rakyat Malaysia.. Pilihan ditangan anda - Muhyiddin

SHAH ALAM – Rakyat berhak untuk menentukan tampuk pemerintahan negara dan pilihan itu mestilah dibuat bersandarkan kepada keupayaan pentadbiran yang beramanah dan berintegriti.

Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, oleh itu rakyat berkuasa untuk menukar kerajaan yang tidak melaksanakan tanggungjawab dengan sebaiknya.

“Sebaliknya, jika kerajaan tidak melaksanakan kewajipan dan tanggungjawabnya terhadap rakyat, maka rakyat mempunyai pilihan untuk tidak lagi memberikan mandat kepada kerajaan yang sama untuk mentadbir negara.

"Tiada gunanya kita menyerahkan amanah kepimpinan kepada mereka yang pecah amanah,” katanya dalam satu kenyataan sempena sambutan Hari Malaysia ke-53 esok.

Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, kerajaan baharu yang bakal dibentuk itu nanti mestilah meletakkan kepentingan rakyat mengatasi segalanya.

“Keutamaan hendaklah diberikan kepada usaha untuk memulihkan ekonomi negara, menyediakan peluang-peluang pekerjaan, meningkatkan pendapatan rakyat, meringankan beban kos sara hidup, melaksanakan reformasi institusi dan mengurus negara secara beramanah dengan berpandukan prinsip tadbir urus yang baik.

“Pilihan ini berada di tangan rakyat. Kuasa rakyatlah yang akan menentukan masa depan negara kita. Sama ada kita mahu Malaysia menjadi sebuah negara yang berjaya dan sejahtera atau sebuah negara yang gagal dan kacau bilau, segalanya terserah kepada kuasa rakyat,” katanya.

Menurutnya, dalam tempoh lebih lima dekad pembentukan Malaysia, negara ini mencapai keamanan dan keharmonian berkat komitmen serta usaha gigih rakyat negara ini yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama dalam menyumbang tenaga serta kepakaran untuk memajukan negara.

“Tetapi kini, Malaysia berhadapan dengan suatu krisis yang parah. Kos sara hidup rakyat kian meningkat, harga barangan keperluan harian semakin mahal, nilai ringgit rendah dan pendapatan rakyat terjejas dengan suasana ekonomi yang suram.

“Dalam keadaan ini, rakyat amat berharap kerajaan tampil membantu meringankan beban ditanggung. Mereka mahukan pekerjaan dengan pendapatan setimpal, harga barangan keperluan harian berpatutan, pendidikan berkualiti, biasiswa dan bantuan pendidikan untuk anak-anak, rumah yang mampu dimiliki, pertumbuhan ekonomi yang rancak dan paling penting kehidupan yang selesa.

“Namun, sepertimana yang diketahui ramai, kerajaan hari ini sedang bergelumang suatu krisis kepimpinan yang parah sehinggakan tidak berupaya untuk membantu menyelesaikan permasalahan rakyat” katanya.





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...