TERKINI :

Wednesday, September 14, 2016

Apa gunanya buat HAJI ?

Apabila berbicara mengenai Hari Raya Haji, kita tidak akan dapat lari daripada memikirkan mengenai ibadah haji yang sedang dijalankan oleh umat Islam terutamanya jika terdapat kaum kerabat kita yang sedang berada di Medah untuk menyempurnakan rukun Islam ke lima ini.

Pada ketika ini, jutaan umat Islam sedang berada di Tanah Suci Mekah bagi mengerjakan ibadah haji. Tidak terkecuali rakyat Malaysia juga terlibat dalam jutaan umat Islam di sana. Dan orang Malaysia yang berada di Mekah pula boleh jadi terdiri daripada orang Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan dan lain-lain lagi. Ini kerana di Malaysia selain daripada majoriti orang Melayu beragama Islam, kita juga mempunyai orang-orang dari kaum Cina, India, Iban, Kadazan dan lain-lain lagi yang turut menganut agama Islam.

Berjuta ringgit telah dibelanjakan dan akan terus dibelanjakan bagi umat Islam di Malaysia bagi menunaikan ibadah haji. Telah ramai juga rakyat Malaysia yang bergelar Haji dan Hajah. Ramai juga rakyat Malaysia yang telah menunaikan ibadah haji lebih daripada sekali malahan ada yang telah mencapai berpuluh-puluh kali.

Akan tetapi, apakah yang kita pelajari daripada ibadah haji ini ? Apakah hanya menunjuk-nunjuk ? Apakah menunaikan ibadah haji telah dianggap sebagai satu simbol kekayaan ?

Saya timbulkan permasalahan ini sebab walaupun telah ramai rakyat Malaysia berbilang bangsa telah menunaikan ibadah haji, malasah perkauman di dalam negara masih belum selesai dan terus menjadi senjata pihak-pihak tertentu untuk kemeneruskan legasi politik depa.

Mengapakah saya kaitkan isu perkauman dengan ibadah haji ? Apakah kaitannya dengan Malaysia yang mempunyai rakyat yang berbilang kaum dan agama ?

Apabila seseorang itu menunaikan ibadah haji, sejak dari permulaan ibadah tersebut lagi kita telah diajar bahawa semua manusia adalah sama tidak kira dari mana asal keturunan kita dan pangkat atau jawatan apa yang kita pegang. Seseorang yang menunaikan ibadah haji, tidak kira apa bangsa sekali pun akan memakai pakaian yang sama tidak kira Raja, Sultan, Menteri, rakyat marhaen mahupun Najib.

Dalam ibadah haji, perbezaan di antara manusia dari segi bangsa, negara, kelas, kumpulan dan keluarga telah hilang sebaik sahaja ibadah haji bermula apabila kita mula memakai ihram. Semua yang mengerjakan ibadah haji, tidak kira lelaki dan perempuan, hitam dan putih terpaksa meninggalkan pakaian mereka di Miqat dan memakai ihram sepertimana yang lain. Selepas berihram, semua menjadi sama tidak kira apa bangsa, pangkat atau status ekonomi kita.

Lihatlah bagaimana ibadah haji ini telah mengajar umat Islam bahawa Allah tidak membeza-bezakan umat-Nya mengikut bangsa. Tetapi mengapakah masih ramai orang Malaysia yang berkali-kali menunaikan ibadah haji, yang bergelar ustaz dan ulamak masih lagi gagal untuk memahami konsep yang paling asas dalam menunaikan ibadah haji iaitu Islam tidak membeza-bezakan penganut-Nya mengikut bangsa ?

Apakah gunanya ke Mekah setiap tahun untuk menunaikan haji jika kita masih lagi mengira bangsa dan warna kulit kita dalam mewujudkan Malaysia yang adil untuk semua ?

MOHD AZIM,
seorang marhaen yang memerhati.

Selepas TV3, Nizar bakal terima RM200,000 lagi dari Utusan 

Genap 2 bulan selepas berjaya menerima ganti rugi RM200,000 dari TV3, Mahkamah Persekutuan hari ini sebulat suara menolak permohonan Utusan Malaysia menangguhkan pembayaran ganti rugi RM250,000 kepada bekas menteri besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yang menyaman akhbar itu pada 2012

Mahkamah dipengerusikan Tan Sri Richard Malanjum menolak permohonan itu tanpa mengarahkan peguam Nizar, Asmuni Awi dan Mohd Fitri Asmuni menjawab persoalan perundangan peguam Utusan Melayu (M) Berhad, Mohd Hafarizam Harun. 

Pada Disember 2013, Mahkamah Rayuan memerintahkan ganti rugi RM250,000 dibayar kepada Nizar selepas menolak permohonan Utusan membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang mendapati laporannya berbaur fitnah. 

Hakim Mahkamah Rayuan, Tan Sri Zaharah Ibrahim berkata hujah Utusan yang laporan itu merupakan komen adil dan hak kewartawanan tidak boleh diterima. 

Nizar memfailkan saman fitnah berjumlah RM100 juta terhadap Utusan dan TV3 atas laporan berunsur fitnah memetik komen di Twitter berhubung pembelian nombor plat kenderaan “WWW 1” yang dibida pada harga RM520,000 dan dianugerahkan kepada Sultan Johor. 

Bekas pemimpin PAS yang kini menganggotai Amanah mendakwa laporan kedua-dua media yang dikaitkan dengan Umno itu antara lain membawa maksud beliau seorang penderhaka kepada sultan, anti-sultan dan seorang ahli politik yang cuba menghasut rakyat membenci Sultan Johor. 

Nizar dalam komen Twitter pada 28 Mei, 2012 berkata jumlah RM520,000 boleh digunakan membina 20 buah rumah untuk rakyat miskin. -FMT 

Menteri patut malu guna PIBG kutip derma selenggara sekolah


Aminolhuda Hassan

Tindakan Kementerian Pendidikan menyokong cadangan menteri kesejahteraan bandar, perumahan dan kerajaan tempatan, Datuk Seri Noh Omar agar persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) mewajibkan kutipan derma bagi penyelenggaraan bangunan sekolah adalah memalukan di saat negara sudah 59 tahun mencapai kemerdekaan.

Pengerusi Biro Pendidikan AMANAH Nasional Aminolhuda Hassan berkata, di saat rakyat dibebankan dengan kenaikan kos sara hidup akibat harga barangan dan perkhidmatan meningkat angkara cukai barangan dan perkhidmatan (GST), cadangan menteri berkenaan untuk mewajibkan kutipan derma dan sokongan Kementerian Pendidikan adalah amat dikesali.

"Mesti ramai ibu bapa gembira dengan berita ini, sama macam betapa gembiranya mereka sebab kena derma kertas A4 kepada sekolah sebelum ini.

"Di samping menderma setiap hari kepada kerajaan melalui cukai GST, ibu bapa boleh juga menderma untuk penyelenggaraan bangunan sekolah anak-anak anda," ujarnya sinis.

Pengerusi AMANAH Johor itu juga mempersoalkan sikap kerajaan BN yang secara berterusan membebankan rakyat sedangkan kutipan hasil cukai GST berjumlah berbilion ringgit.

"Ke mana hasil GST yang ditimpakan kepada seluruh rakyat nak digunakan oleh kerajaan Umno-BN?

"Ke mana hasil Petronas dan lain-lain hasil cukai negara seperti permit import (AP) kereta dan lain-lain digunakan oleh kerajaan Umno/BN?" soal beliau.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Parit Yaani itu juga mempersoalkan sama ada hasil negara masih digunakan untuk membiayai perbelanjaan dan projek mewah perdana menteri seperti membeli dan menyelenggara jet peribadi atau membayar hutang dan faedah yang ditanggung syarikat berkaitan kerajaan, 1MDB yang sarat hutang.


"Akhirnya pembangunan infrastruktur sekolah anak-anak kita terabai dan yang menanggungnya ibu bapa?

"Cukup-cukuplah wahai rakyat Malaysia! Sedarlah anda bahawa perubahan kepimpinan untuk mengurus negara bukan sekadar turunkan PM tetapi menurunkan keseluruhan mereka yang telah membawa negara Malaysia tercinta ini ke lembah kemiskinan intergriti, kemiskinan amanah pemimpin dan kemiskinan rakyat yang dipaksakan ekoran salah urus takbir pemimpin Umno-BN," tegas beliau.

Dalam perkembangan berkaitan Noh yang juga bekas timbalan menteri pelajaran tetap mempertahankan cadangannya mahu mewajibkan PIBG di semua sekolah di Selangor mengutip derma disebabkan dana kerajaan persekutuan tidak mencukupi.

PIBG katanya boleh menganjurkan aktiviti seperti sambutan hari keluarga atau jualan jumbo bagi mendapatkan dana.

Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P Kamalanathan 4 September lalu mengumumkan kesediaan kementeriannya untuk melancarkan kempen kutip derma bagi menyelenggara bangunan sekolah kerajaan.

"PIBG sudah sedia maklum dengan kekangan yang dihadapi oleh pengurusan sekolah dan kementerian terutama dalam menyalurkan dana bagi penyelenggaraan sekolah," kenyataan beliau dipetik.

'Beg Rosmah bukan dari Jalan Petaling, LHDN mesti siasat'

Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDB) perlu menyiasat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor kerana kemungkinan mengelak cukai.

Ahli Parlimen DAP, Lim Lip Eng berkata ini kerana Rosmah dilapor membeli-belah dengan nilai melibatkan berjuta-juta ringgit.

The Wall Street Journal semalam melaporkan Rosmah membeli pakaian, kasut dan barang kemas berjumlah kira-kira AS$ 6 juta pada 2008 hingga 2015.

Lim berkata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak mengutuk WSJ kerana cuba "campur tangan dalam politik negara" tanpa menafikan laporan berkenaan.

"Bagaimana laporan mengenai Rosmah membeli belah adalah campur tangan politik? Rosmah tidak membeli beg tangannya dari Petaling Street," katanya merujuk kepada pasar di Kuala Lumpur  yang menjual barang-barang tiruan.

Ahli Parlimen Segambut itu berkata Rosmah menghabiskan AS $2,055 sehari - cukup untuk membayar lapan orang dengan gaji minimum selama sebulan.

Namun, katanya Najib hanya memperoleh RM284,194.89 setahun.

"Jadi bagaimana Rosmah boleh menghabiskan begitu banyak dalam tempoh lapan tahun? Walaupun segunung emas pun akan rata," katanya.

Oleh itu, LHDN perlu bertindak pantas dan menyemak rekod cukai Rosmah dan Najib tanpa mengira sama ada terdapat penafian daripada pasangan itu, katanya.

"Melainkan LHDN juga memutuskan untuk tidak menyiasat dan menuduh WSJ berbohong," katanya.

WSJ memetik "pendedahan dokumen-dokumen baru" menunjukkan Rosmah membelanjakan AS $ 6 juta dalam caj kredit pada tahun-tahun kebelakangan ini.

Ia termasuk perbelanjaan di gedung membeli-belah Harrods di London sehingga Saks Fifth Avenue di New York.

Dalam biografi beliau, Rosmah berkata, dia membeli pakaian dan barang kemas menggunakan wang sendiri.

Malaysiakini menghubungi pembantu Rosmah, Datuk Rizal Mansor berhubung laporan WSJ tetapi masih belum menerima jawapan.





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...