TERKINI :

Monday, September 12, 2016

'Kenyataan Najib tentang Bersatu aneh'

Muhyiddin Yassin

SHAH ALAM - Presiden Penaja Parti Pribumi Bersatu (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mempersoalkan keupayaan parti itu membela nasib orang Melayu kerana mempunyai hubungan dengan DAP adalah sesuatu yang aneh.

Menurut beliau, selepas mengemukakan permohonan kepada pejabat Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS), serangan terhadap Bersatu yang belum lagi ditubuhkan datang secara bertalu-talu daripada pemimpin Umno.

"Aneh juga sebuah parti yang belum lahir ini mendapat perhatian dari Najib malah parti ini belum ada ahli dan cawangan. Ia hanyalah parti serpihan umpama parti nyamuk.

"Bagaimana Najib boleh bercakap mengenai kerjasama antara sebuah parti yang belum ditubuhkan dengan DAP?

"Malah beliau mengandaikan bahawa kerjasama ini tidak akan menguntungkan orang Melayu dan ini satu kenyataan tidak bertanggungjawab serta pra-matang,"katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Najib menyelar parti Bersatu berikutan cadangan untuk bekerjasama dengan DAP, yang sama sekali tidak pernah menyokong perjuangan atas nama pribumi dan hak Bumiputera.

Dalam pada itu, Muhyiddin memaklumkan bahawa kenyataan berkenaan merupakan taktik kotor yang digunakan bagi menakut-nakutkan orang Melayu di negara ini.

"DAP bakal dijadikan 'hantu' paling menggerunkan orang Melayu untuk mengalihkan perhatian daripada segala kesalahan dan kemungkaran Najib.

"Mereka akan terus berkata bahawa DAP adalah musuh utama orang Melayu," katanya.

Selain daripada itu, Muhyiddin menyarankan Najib untuk berhubung dengan ROS bagi mendapatkan naskhah Perlembagaan Bersatu yang diserahkan semasa proses pendaftaran parti sekiranya beliau meragui perjuangan parti itu.

Beliau berkata, daripada 13 matlamat dan tujuan Bersatu, tiga daripadanya ialah menegakkan Islam sebagai agama bagi Persekutuan dan menghormati hak orang bukan Islam untuk menganut serta mengamalkan agama masing-masing secara aman harmoni.

"Selain itu, matlamat Bersatu adalah bagi menjunjung kemuliaan dan kedaulatan institusi Raja-Raja Melayu di samping mempertahankan kedudukan istimewa orang Melayu, anak negeri Sabah serta Sarawak dan hak-hak sah untuk semua kaum,"katanya.

Tambah beliau, sekiranya Najib seorang pemimpin yang berani dan ingin membersihkan namanya, beliau seharusnya menyahut cabaran bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir untuk berdebat.

"Tidak perlulah Najib cuba mengalih perhatian rakyat dengan menyalahkan pihak lain. Usah berselindung dan berdolak-dalik lagi," katanya.

Tanda Umno Johor sudah mula goyah

Tanda Umno Johor sudah mula goyah

JOHOR BAHRU - Tindakan dua veteran Umno Johor keluar parti adalah satu tamparan besar kepada Umno negeri ini.

Ia jelas menunjukkan ramai di antara ahli Umno sekarang sebenarnya tidak yakin lagi dengan parti itu di bawah pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Timbalan Pengerusi Keadilan Johor, Jimmy Puah Wee Tse berkata, beliau menyambut baik berita berkenaan.

"Saya percaya dua kes ini, bukan kes bersendirian dan dijangka lebih ramai pemimpin Umno keluar parti serta berhijrah ke parti lain, untuk meneruskan perjuangan politik mereka pada masa terdekat," katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Terdahulu, dua ahli veteran Umno Johor yang merupakan bekas wakil rakyat negeri ini, iaitu Datuk Baharom Abdul Ghani dan Tosrin Jarvanthi mengambil keputusan keluar parti.

Baharom adalah pengasas Umno Bahagian Gelang Patah, manakala Tosrin pula adalah bekas Ketua Umno Bahagian Senai.

Jimmy berkata, beliau percaya, terdapat juga segolongan besar ahli Umno yang mungkin tidak keluar parti tetapi akan menolak parti itu dalam pilihan raya akan datang.

"Silent majority ini akan menjadi penentu dalam PRU14. Umno Johor yang sekian lama dikatakan kubu Umno kini nampaknya sudah mula goyang.

"Dengan krisis kepimpinan dan kemunculan skandal kewangan yang tidak dapat dijelaskan oleh pimpinan Umno sendiri, ramai ahli dalam Umno sudah mula sedar bahawa masa hadapan negara dan generasi muda hanya dapat diselamatkan sekiranya Umno tumbang," katanya.

Tambahnya, pada PRU13, pembangkang telah berjaya memenangi lima kerusi Parlimen serta 18 kerusi di Dewan Undangan Negeri Johor dan ia satu prestasi yang tidak pernah berlaku di arena politik Johor.

"Dengan berita terkejut hari ini, kemungkinan besar landskap politik Johor bakal berubah sekali lagi," katanya.


Darah naik 5 jam! Husni kongsi cerita

Ahmad Husni

PENGUNDURAN bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah daripada Kabinet dan Umno menimbulkan tanda tanya banyak pihak.

Sebelum ini, Ahmad Husni pernah berkata hanya mahu tumpu tugasnya sebagai ahli parlimen tanpa mengulas lanjut tentang tindakan diambilnya. Sinar Harian berpeluang bertemu Ahli Parlimen Tambun itu mengenai perkembangan terbarunya dan sudi menceritakan detik-detik yang membawa beliau mengambil keputusan berundur.

Bila Datuk Seri lepaskan semua jawatan kerajaan dan parti, kecuali sebagai wakil rakyat, masih ramai yang tidak puas hati dengan kenyataan ringkas Datuk Seri. Boleh ulas sedikit apa yang mendorong kepada tindakan itu?

Saya ada terfikir untuk letakkan jawatan tahun lalu. Saya tetapkan pada Januari 2016 sebagai tarikh akhir dalam Kabinet. Saya telah bincang dengan setiausaha politik menyatakan rasa tidak serasi dengan pembawaan pimpinan. Bila tiba Januari, saya rasa tidak tergamak pula untuk meletakkan jawatan, saya terus berkhidmat. Kemudian, pada April lalu niat hendak meletak jawatan kembali dan semakin kuat. Pada awal April itu, saya membeli alat bacaan tekanan darah untuk isteri bila pulang dari pejabat. Tiba di rumah jam 7 malam, saya pasang pada tangan saya untuk tunjuk pada isteri cara hendak menggunakan alat tersebut. Tetapi, saya pula yang terkejut apabila bacaan tekanan darah saya begitu tinggi.

Saya pergi ke Damansara Specialist Hospital. Doktor memeriksa kesihatan saya dengan rapi. Pada jam 12 tengah malam, tekanan darah mula turun. Saya merasa pelik mengapa tekanan darah saya tinggi selama 5 jam (7 petang hingga 12 malam). Tak pernah berlaku dalam sejarah hidup saya. Doktor membenarkan saya pulang pada jam 2.30 pagi, memberi cuti 3 hari dan minta saya datang semula untuk rawatan lanjut pada hari Jumaat.

Pada hari Jumaat, alhamdulillah, pemeriksaan menunjukkan jantung, darah dan air kencing tiada masalah. Saya juga tiada penyakit darah tinggi. Kesihatan saya baik. Kata doktor tekanan darah tinggi berpunca dari stres, kurang tidur dan kurang rehat.

Apa yang Datuk Seri fikir selepas doktor beritahu tekanan darah tinggi itu berpunca daripada stres?

Sudah beberapa bulan saya stres sebab 1MDB. Saya anggap tekanan darah tinggi selama lima  jam datang dari petunjuk Ilahi bagi saya menilai di mana saya harus berada. Ada kala saya terasa, bekerja secara lurus tidak ada tempat di dunia ini. Saya bertanya, adakah patut saya terus berada dalam Kabinet atau tidak? Saya membuat penilaian satu persatu dari sudut tubuh, minda, hati dan kerohanian, sejauh mana tertekan dengan permasalahan 1MDB?

Pada hari Sabtu, saya terbang ke Laos bagi menghadiri Mesyuarat Menteri-menteri Kewangan Asean. Tengah hari, saya tidak berapa sihat. Saya beritahu pegawai-pegawai, saya tidak mampu untuk hadir mesyuarat pada sebelah petang. Seorang pegawai kanan Bank Negara berkata, "Semua orang tahu Datuk Seri tidak terlibat dengan urusan 1MDB. Mengapa Datuk Seri tertekan dengan isu 1MDB?" Kata-kata itu membuka mata hati saya...harus pisahkan antara kerja, perkara yang tidak melibatkan saya dan keadaan diri. Fikiran saya terasa lega. 1MDB tidak lagi mengganggu minda dan hati saya.

Setahu kami Datuk Seri seorang banker, kenapa Datuk Seri terlibat politik?

Setelah beberapa tahun bekerja di bank, saya bertukar kerjaya dan bekerja di anak syarikat sebuah agensi milik Kerajaan Negeri Perak pada tahun 1980-an. Di situ saya terdedah dengan tingkah laku sesetengah pemimpin yang menggunakan syarikat tersebut untuk mengumpul kekayaan. Atas penentangan ke atas amalan tersebut, saya laporkan kepada pucuk pimpinan. Tiada tindakan diambil, malah suatu hari seorang pegawai kanan agensi menelefon dan berkata kepada saya, "Awak duduk dalam kapal lanun. Ingat awak boleh jadi imam? Mampus awak!" Mungkin beliau berseloroh, tetapi saya ambil kenyataan itu serius, lalu saya kembali semula bekerja di sektor perbankan.

Beberapa bulan kemudian isteri saya bersalin anak sulung. Saya berada di sisi isteri dan baru saya sedar betapa seksa melahirkan seorang anak. Tiba-tiba saya terbayang apa masa depan anak saya di bawah pimpinan seperti tadi? Selepas membaca azan dan iqamat, saya berjanji pada anak, "Bapak akan jaga kamu."  Sejak itu, saya menyertai politik.

Saya dididik oleh bapa yang bekerja di Jabatan Agama Islam. Beliau juga seorang imam dan mengajar al-Quran. Ibu membantu bapa mengajar anak-anak muridnya membaca al-Quran. Saya terdedah kepada pengajian ilmu Tauhid, Usuluddin, Fiqah dan Tasawuf. Pemahaman saya, seorang pemimpin mestilah bersikap lurus dan tegas. Keutamaan pemimpin adalah kebajikan rakyat. Berteraskan kejujuran, keikhlasan dan integriti, maka setiap sen mestilah dibelanjakan untuk rakyat.

Dalam ucapan saya di Parlimen pada 15 Februari 2000, saya menekankan, "Kita hendaklah melahirkan individu yang mempunyai sistem nilai dan etika serta akhlak yang baik, bertanggungjawab, patuh kepada Tuhan serta berkemampuan untuk membangunkan negara dan masyarakat pelbagai kaum."

Kontroversi 1MDB sedikit sebanyak terpalit kepada Datuk Seri yang ketika itu memegang jawatan Menteri Kewangan ke II. Apa komen Datuk Seri?

Sebenarnya saya tidak tahu tentang penubuhan 1MDB. 1MDB ditubuhkan pada tahun 2009. Saya tidak dirujuk walaupun saya Menteri Kewangan II. Bila saya dapat tahu tentang penubuhannya, saya mempersoalkan mengapa perlu tubuh 1MDB? Pada faham saya, penubuhan sesebuah syarikat pelaburan memerlukan kajian mendalam melibatkan Kajian Fisibiliti, Risiko Perniagaan, Risiko Kewangan, Unjuran Aliran Tunai, Unjuran Untung Rugi dan Unjuran Imbangan Kewangan.

Saya tidak dilibatkan dalam urusan 1MDB sehinggalah pada tahun 2015. Pada awal tahun 2015 saya diminta untuk merangka jalan penyelesaian kepada masalah hutang 1MDB yang begitu tinggi dengan aliran tunainya yang negatif. Dengan izin ALLAH SWT, dengan bantuan SUSK, kami berjaya menyediakan Pelan Rasionalisasi 1MDB, namun saya tidak terlibat dalam perlaksanaan Pelan Rasionalisasi tersebut.

Saya berharap masalah 1MDB akan selesai. Saya berdoa agar setiap discrepancies dalam 1MDB dapat diatasi. Kita semua faham sebarang perkembangan negatif boleh menjejaskan rating negara yang akan membawa kepada kesan sistemik kepada keseluruhan ekonomi negara yang akhirnya akan merugikan negara dan rakyat.  Begitu juga dengan SRC, saya berharap akan diselesaikan segera. Dalam konteks kewangan kerajaan, uruslah secara berhemah. Pemberian tender hendaklah secara telus. Projek PPP mestilah dikaji mendalam dari konteks value for money. Kerajaan hendaklah menyediakan unjuran kewangan jangka panjang melihat akan kemampuan kerajaan membayar hutang dari projek PPP. Kita mesti ingat Hasil Pendapatan Negara pada masa depan tidak semewah seperti pada masa lalu.

Mengapa tiba-tiba Datuk Seri mengambil keputusan meletakkan semua jawatan?

Seminggu sebelum saya berundur dari Kabinet iaitu pada 21 Jun 2016, saya ke Jeddah bagi menghadiri mesyuarat bilateral dengan Presiden Islamic Development Bank (IDB). Sesampai saya ke hotel di Jeddah pada Isnin, jam 8.30 malam, seorang hamba ALLAH menemui saya untuk membawa saya mengerjakan umrah. Kami sampai di Makkah pada jam 2 pagi. Saya diperkenalkan kepada polis Masjidil Haram. Dengan bantuan polis Masjidil Haram saya selesai tawaf dalam waktu yang singkat. Selama setengah jam, walaupun di tengah-tengah ribuan orang yang melaksanakan tawaf semacam musim Haji. Ini kelaziman dalam bulan Ramadan.

di situ saya menunaikan solat sunat. Kemudian dibawa ke Hajar Aswad, saya menciumnya. Keseluruhan umrah selesai dalam 1 jam 10 minit. Setiba di bilik Hotel di Jeddah, saya duduk berfikir. Mengalir air mata mengenangkan diri saya seorang yang kerdil dalam kalangan 1.8 bilion umat Islam di seluruh dunia, bagaimana saya boleh menjadi tetamu yang istimewa di Makkah? Kekuatan kerohanian saya bertambah kukuh. Tiba-tiba terfikir apakah saya masih patut duduk dalam Kabinet?

Niat untuk berundur telah bermain dalam fikiran sejak beberapa bulan. Akhirnya, saya memutuskan untuk terus berkhidmat sehingga PRU ke-14 dan Kementerian Kewangan sebagai kementerian terakhir sebelum saya berundur dari Kabinet. Saya berfikir saya harus membantu YAB Perdana Menteri, saya harus hadapi semua risiko yang berkait dengan 1MDB dan SRC. Saya sedar bukan mudah duduk di Kementerian Kewangan. Kadangkala, ada individu-individu yang menghentam saya kerana tidak meluluskan permohonan tender secara rundingan terus dan tender terhad. Saya berpendirian tugas yang saya pikul adalah suatu amanah dari kerajaan dan Ilahi. Amanah ini harus saya pikul

berprinsipkan good governance. Saya berpegang kepada pendirian bahawa tanggungjawab kerajaan adalah untuk menjaga negara dan kepentingan rakyat.Selepas balik dari Jeddah, saya hadir satu mesyuarat. Mesyuarat ini diadakan 4 hari sebelum saya berundur dari Kabinet.Dalam mesyuarat itu, saya membangkitkan kebimbangan atas kejatuhan ranking negara dalam laporan rasuah Transparency International. Saya menyatakan sistem tender kita mestilah lebih telus. Saya dihentam. Peristiwa ini menyedarkan saya betapa di dunia ini terdapat elemen hipokrit. Saya menjangkakan konklusi mesyuarat tentulah saya diminta untuk menyediakan laporan dan cadangan yang lebih lengkap.

Yang akhirnya, pada pagi Isnin, 27 Jun lalu, semasa di pejabat, saya terkejut membaca sebuah akhbar bahawa saya akan dipindahkan ke kementerian lain dalam rombakan Kabinet yang akan dilakukan pada hari itu. Saya tidak dimaklumka lebih awal?

Nasib baik pada jam 11.30 pagi ada mesyuarat Majlis Ekonomi. Selepas mesyuarat pada jam 1.15 tengah hari, saya bertanya PM adakah benar beliau akan menukar saya ke kementerian lain seperti dilaporkan akhbar berkenaan?

PM menyatakan saya akan ditukar ke kementerian lain. Perbincangan itu mengambil masa dalam 2 minit. Saya mohon untuk berundur dari Kabinet.

Mengapa? Pertama, saya telah tanamkan dalam hati sejak umrah seminggu lalu, Kementerian Kewangan adalah kementerian terakhir sebelum saya bersara dari Kabinet. Kedua, saya tidak mampu menjadi pemimpin efektif berkhidmat di kementerian lain dalam tempoh 1 1/2 tahun sehingga PRU14. Selaras dengan itu, saya mengundurkan diri dari Kabinet dan oleh kerana saya merasakan tidak sesuai lagi memegang jawatan dalam parti, saya meletakkan semua jawatan dalam parti.

Bagaimanapun, saya masih Ahli Parlimen Tambun. Bagi jawatan ahli parlimen, saya dipilih rakyat, saya harus memegang amanah itu dan sanggup berkorban untuknya.

Setelah semuanya berlalu, apa harapan Datuk Seri?

Kita mesti melihat ke hadapan. Akhirnya masa hadapan kita ditentukan oleh ALLAH SWT. Sebagai ahli parlimen,

saya akan tingkatkan perkhidmatan kepada rakyat. Atas kedudukan sebagai Ahli Perundangan (Legislator), saya sedang membuat persiapan, apakah soalan-soalan dan ucapan-ucapan untuk menghadapi persidangan parlimen pada Oktober ini.

Saya masih memegang jawatan Presiden Asian Forum For Parliamentarian On Population And Development (AFPPD), Malaysia dan Timbalan Presiden Inter- Parliamentary Union, Malaysia. Saya telah bincang dengan pegawai-pegawai Parlimen untuk mengaktifkan peranan AFPPD.

Sekarang saya kerap memberi ucapan kepada pelbagai golongan, termasuk golongan muda, intelektual dan profesional.

Pada 26 Ogos yang lalu, saya diundang dan menyampaikan ucaptama pada persidangan tahunan Australian National University di Canberra, Australia. Saya

berucap di bawah tajuk 'Malaysia...A Political Journey'. Saya dapati di Australia juga, isu 1MDB begitu panas dibincangkan. Semasa naik teksi pun, pemandu teksi turut bertanya isu 1MDB.

Di Parlimen nanti, saya akan menyuarakan prinsip good governance yang harus menjadi asas kepada pemerintah untuk membawa kesejahteraan kepada masa depan negara dan rakyat. Kerajaan hendaklah bersih, cekap dan amanah berpegang kepada prinsip digniti dan integriti supaya rakyat boleh berpaut demi masa depan mereka. Alangkah indahnya

dunia jika semua ini terjadi? Saya petik semula ucapan saya di Parlimen pada tahun 2000, pemimpin mestilah mempunyai 'sistem nilai dan etika serta akhlak yang

baik, bertanggungjawab, patuh kepada Tuhan serta berkemampuan untuk membangunkan negara dan masyarakat pelbagai kaum.' Setiap sen dibelanjakan mestilah ke arah membina kesejahteraan serta kematangan negara dan rakyat. Jauhi kepentingan diri demi cintakan agama, negara dan rakyat.


Rahman Dahlan kecam Dr M sudah tidak waras


JOHOR BAHRU: Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Abdul Rahman Dahlan menyifatkan tindakan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ketika ini sudah sampai ke tahap tiada kewarasannya.

Beliau berkata apa sahaja tindakan yang dilakukan bekas perdana menteri itu, termasuk tidak menolak untuk bekerjasama dengan bekas Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, sudah menjadi sesuatu yang bukan luar biasa lagi.

"Tun Mahathir sudah kelirukan satu negara dan saya rasa, apa yang beliau buat sekarang ini tidak lagi menjadi satu perkara yang luar biasa apabila sudah sampai di satu tahap di mana tindakan-tindakan beliau ini pada saya, tiada kewarasannya," katanya.

Abdul Rahman yang juga menteri di jabatan perdana menteri berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Gelang Patah, di sini hari ini. Turut hadir Ketua Umno bahagian tersebut, Mohammad Khairi A Malik.

Beliau mengulas kenyataan Dr Mahathir yang menegaskan tiada masalah bagi beliau untuk bekerjasama dengan Anwar, sama seperti yang dilakukan oleh Penasihat DAP Lim Kit Siang.

Dr Mahathir muncul di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Isnin lepas untuk menghadiri pendengaran kes permohonan yang difailkan Anwar bagi mencabar Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) 2016.

Pertemuan antara kedua-dua pemimpin itu yang sebelum ini merupakan seteru politik adalah yang pertama sejak 18 tahun.

Terdahulu, dalam ucapannya pada majlis itu, Abdul Rahman menggesa seluruh anggota Umno supaya sentiasa bersatu padu, menyemai sikap ikhlas dalam perjuangan parti serta menunjukkan taat setia yang tidak berbelah-bahagi kepada pemimpin.

Pengarah Komunikasi Strategik BN itu berkata semua itu bukan sahaja menjamin kelangsungan Umno malah dapat memenangi pilihan raya umum ke-14 nanti.

"Umno merupakan parti yang sentiasa konsisten kerana Umno mempunyai tujuan.

Perjuangan kita rapat kepada bangsa dan agama, namun kaum-kaum lain tidak dianaktirikan," katanya.


Pemenang emas Paralimpik Rio berhenti kolej untuk jadi atlet nombor 1 dunia

PARALYMPICS-RIO-Ziyad-Zolkefli-Muhammad-reuters (1)
KUALA LUMPUR: Cita-cita Muhammad Ziyad Zolkefli mahu menjadi atlet nombor satu dunia akhirnya tercapai, biarpun terpaksa melupakan pengajian di kolej.

Atlet paralimpik negara itu nekad berhenti belajar di sebuah kolej swasta, selepas menerima tawaran Majlis Sukan Negara sebagai atlet sepenuh masa.

Ziyad menyumbang emas kedua negara di Sukan Paralimpik Rio dengan rekod dunia baharu dalam acara lontar peluru F20 (masalah pembelajaran) dengan jarak 16.84 meter pada Sabtu, selepas Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi meraih pingat emas pertama negara dalam acara 100m T36 lelaki (cerebral palsy).

Ibunya, Siti Arfah Abdul Rashid berkata, anak sulungnya itu meminati sukan olahraga sejak di bangku sekolah rendah dan sering meraih keputusan cemerlang di kejohanan peringkat sekolah mahupun daerah.

Walaupun pada mulanya tidak bersetuju dengan keputusan Ziyad menjadi atlet sepenuh masa, Siti Arfah tetap mendoakan kejayaan dan sentiasa menyokong setiap keputusan anaknya yang kini berusia 26 tahun.

"Makcik pernah beritahunya sukan ini susah untuk masa depannya, Ziyad perlu ada sijil untuk mendapatkan kerja tetap, tetapi anak saya berdegil dan mahu menjadi atlet.

"Walaupun Ziyad tidak seperti anak orang lain, dia mempunyai perancangan baik tentang masa depan. Makcik bangga dengan beliau. Ziyad juga seorang anak yang rajin dan tidak menyusahkan orang," katanya ketika ditemui di kediaman mereka di Gombak.

Siti Arfah berkata, kejayaan meraih pingat emas itu juga bermakna buat Ziyad yang akan melangsungkan perkahwinan bersama Zafirah Nasir pada November ini.

Sementara itu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, kerajaan negeri akan memberi ganjaran kepada anak jati Selangor itu yang berjaya mengharumkan nama negara di persada antarabangsa.

"Saya merakamkan rasa gembira rakyat Selangor apabila salah seorang atlet kita dapat meraih pingat emas dan kebetulan dia datang dari Gombak. Insya-Allah selepas Aidiladha ini kita akan membincangkan satu pengiktirafan pada atlet kita yang beraya meraih pingat emas," kata Azmin.


Agong, Permaisuri solat sunat Aidil Adha di Langkawi

agong

LANGKAWI: Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah berangkat menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Aishah, Kampung Sungai Menghulu.

Keberangkatan tiba baginda berdua kira-kira jam 8.30 pagi tadi disambut Pegawai Daerah dan Tanah Langkawi, Isahak Murat; Adun Kuah, Nor Saidi Nanyan; pegawai kanan kerajaan dan masyarakat setempat di Langkawi.


Korban bererti kebersamaan lawan kleptokrasi, kata Anwar

Bekas Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini meringkuk di penjara menggesa rakyat untuk menghayati pengertian nilai-nilai pengorbanan dalam melawan kemungkaran, penganiayaan dan amalan rasuah yang berleluasa dalam negara.

Dalam perutusan Aidil Adha, hari ini, Ketua Umum PKR mahu setiap rakyat mengambil iktibar kesabaran Nabi Ibrahim dan Ismail, bahawa keikhlasan, ketaatan dan kecintaan kepada Allah lebih utama dari diri sendiri dan anak pinak.

“Erti pengorbanan dalam konteks yang lebih luas adalah kebersamaan kita untuk bangkit menentang kebobrokan, amalan nepotisme serta kronisme dan sekarang telah ada istilah terkini kleptokrasi.

“Inilah yang diperjuangkan sekian lama,” kata Anwar dalam perutusan Aidiladha bersama dengan isterinya yang juga adalah presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Buktinya, kata mereka, parti Umno hari ini berpecah dengan semua yang meninggalkan parti Melayu itu berkata, Umno sudah lari dari asas perjuangan untuk agama, bangsa dan negara.

Menurut mereka, Umno hanya memenuhkan tembolok penguasa dengan melahap harta milik rakyat dan negara.

“Kita mesti melawan kemungkaran, penganiayaan dan amalan rasuah yang berleluasa dalam negara.

“Penguasa yang menzalimi rakyat, menindas rakyat dengan pelbagai cukai yang tidak munasabah seperti GST, menjarah harta negara menerusi skandal 1MDB yang memalukan negara di mata dunia, tidak harus kita diamkan.

“Allah menyuruh kita memperbetulkan kemungkaran dengan tangan, mulut atau sekurang-kurangnya membenci di dalam hati, yang merupakan selemah-lemah iman,” kata mereka.

Justeru, bersempena dengan Aidiladha ini, Anwar bersama Wan Azizah mengajak rakyat untuk bersama memperjuangkan keadilan.

“Kita mengajak rakyat Malaysia untuk bersama dengan kita, memperjuangkan keadilan dalam erti kata sebenar.

“Kembalikan tampuk politik, perancangan ekonomi dan sistem sosial kita di landasan yang betul, untuk kesejahteraan seluruh rakyat Malaysia, dari kalangan berbilang kaum dan agama,” kata mereka.





Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...