TERKINI :

Saturday, September 10, 2016

PAS akui keahlian merosot teruk, 20 peratus keluar parti, mati

Keahlian PAS merosot 20 peratus sejak tahun lalu, sewaktu parti itu bergolak susulan krisis kepemimpin sehingga melahirkan serpihan, Parti Amanah Negara (Amanah).

Setiausaha agungnya Datuk Takiyuddin Hassan mengakui di muktamar PAS bahawa ia kini mempunyai kira-kira 800,000 anggota berbanding sejuta orang pada Mac 2015.

“Kita pernah umumkan satu ketika dulu, keahlian sudah mencecah sejuta. Saya ingat menteri besar Kelantan pernah membuat upacara terima ahli kesejuta,” katanya ketika ucapan penggulungan hari ini. 

“Tetapi sekarang ini kita membuat pemutihan. [Proses] ini disebabkan ada yang meninggalkan parti, ada yang meninggal dunia. Jadi sekarang keahlian kita sebanyak 800,000.”

- See more at: http://m.themalaymailonline.com/projekmmo/berita/article/pas-akui-keahlian-merosot-teruk-20-peratus-keluar-parti-mati#sthash.QGasWISt.dpuf

Umno bergegas adakan PRU14 elak pembangkang bersatu?

Bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sentiasa menekankan kepentingan pembangkang untuk bersatu bagi mengalahkan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang.

Mungkin ini sebab-musabab tindakan mengejutkan Mahathir yang merungkai permusuhan selama 18 tahun dengan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menjurus kepada perdamaian.

Banyak pihak melihat perkembangan ini sebagai petanda sesuatu yang mendatang sebagai sebahagian daripada usaha untuk menyatukan pembangkang.

Tetapi Umno tentunya tidak akan hanya duduk dan tidak berbuat apa-apa. Baru-baru ini, khabar angin bertiup kencang mengenai pilihan raya umum ke-14 bakal diadakan seawal Mac tahun depan.

Perkembangan tersebut diakui oleh pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang yang melihat potensi pilihan raya umum diadakan lebih awal agar Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) tidak mempunyai masa untuk mengatur pergerakan.

"Itu mungkin salah satu faktor," kata Lim kepada Malaysiakini ketika ditanya sama ada pilihan raya umum awal akan memihak kepada pembangkang.

Ditanya sama ada DAP bersedia menghadapi pilihan raya umum lebih awal , anggota parlimen Gelang Patah itu menambah, pihaknya tidak mampunyai pilihan tetapi menghadapinya.

Bagaimanapun, jika pilihan raya umum diadakan pada bulan Mac 2017, Lim percaya bahawa ia akan mengejutkan semua orang, termasuk parti pemerintah sendiri di luar kawalan.

"Beberapa pemimpin Umno mengatakan mereka sentiasa bersedia tetapi saya fikir semua orang akan terkejut," tambahnya.

Namun, Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli mengatakan beliau telah mendengar mengenai pilihan raya umum lebih awal sejak sekian lama.

"Cakap-cakap selalu berbunyi (Perdana Menteri, Datuk Seri) Najib (Razak) mahu mengadakan pilihan raya selepas sambutan raya tahun depan.

"Bagaimanapun, jika beliau berasa peluang lebih baik jika pilihan raya diadakan sebelum itu, beliau akan mengadakannya seawal bulan Mac," tambahnya.

Anggota parlimen Pandan itu turut mengakui beliau pada mulanya meragui tarikh pilihan raya lebih awal itu kerana parti pemerintah akan memerlukan sejumlah dana yang banyak untuk menghadapi pilihan raya umum.

Namun, pengumuman Putrajaya baru-baru mengenai projek Taman Tugu bernilai RM650 juta membuktikan menimbulkan persoalan yang cukup besar, ujar Rafizi.

Jadi apakah pembangkang bersedia untuk menghadapi pilihan raya?

Rafizi berkata, orang ramai marah dengan Najib disebabkan oleh isu-isu yang melingkari Perdana Menteri. Ini membawa makna separuh daripada tugas pembangkang telah selesai.

"Hampir tiada apa-apa yang pembangkang perlu sediakan dengan tugasan berdepan dengannya tidak lagi menjadi seperti dahulu.

"Kalau kebiasaannya, pembangkang berdepan kesukaran dalam bilangan program dan ceramah untuk mengenengahkan isu-isu kerana menanggung kos dan masa - dan semua itu telah selesai," ujarnya.

Bagaimanapun, Rafizi melahirkan kebimbangan mengenai sepantas mana parti-parti pembangkang dapat menyelesaikan perbezaan terutama rundingan kerusi.

Cabaran dalam merundingkan kerusi

"Dalam usaha untuk mendapatkan tahap kesediaan kepada kira-kira 70 peratus pada Februari akan datang, rundingan kerusi perlu dimuktamadkan pada Disember.

"Jika ia melepasi bulan Disember, orang ramai akan bosan dan pastinya isu seperti ini tidak akan memberi kelebihan kepada kami," jelas beliau.

PROJEK TAMAN TUGU:APAKAH NAJIB DAN ROSMAH SEBAGAI MAHARAJA MAHARANI LOUIS XVI MALAYSIA?

Kenyataan Media.

1.Tan Sri Azman Mokhtar boleh cakap la seolah-olah RM650 juta untuk projek taman Tugu tu macam kacang putih. Bukan duit dia atau duit bapa dia!. *Saya nak tanya Tan Sri Azman kalau dia ada duit dia nak belanja banyak tu ka buat taman Tugu?*.

2. *Apa yg lebih baik ,buat taman Tugu atau bina 7 ke 8 buah MRSM atau 7 ke 8 buah sekolah asrama penuh macam MCKK ,tempat dia belajar dulu!*.Anggaran bajet Taman Tugu  berjumlah RM650 juta.RM500 juta adalah daripada Khazanah Bhd.Ini hanya nak memperindahkan persekitaran Tugu Negara yang *tidak pun memberikan manfaat kepada tentera atau waris pahlawan negara yang masih hidup*.Yang mati telah berjasa pada negara. *Persoalannya bagaimana waris mereka yang masih hidup yang memerlukan perbelanjaan untuk teruskan kehidupan.Makan,pendidikan,perumahan,perubatan dan sebagainya*.

3.Saya terfikir bagaimana kalau RM650 juta digunakan sebagai *biasiswa untuk anak anak pahlawan negara?. Kalau buat MRSM boleh dpt dlm 7 atau 8 buah MRSM . Atau 1 politeknik . ATAU hospital di Lahad Datu atau Sarikei atau Menggatal atau Bau*.Yang mana lebih memberi manfaat kepada rakyat dan negara?.

4.Adakah PM sudah hilang rasionalnya?. Adakah ini kandungan didalam ETP PEMANDU atau RMK10 atau RMK11?. *Atau adakah ini jelmaan ilham Maharaja dan Maharani Louis XVI M'sia?*.Adakah ini taman Versailles Malaysia untuk *Najib dan Rosmah sebagai Maharaja dan Maharani Louis XVI Malaysia bersantai sebelum di guilotinekan rakyat melalui proses dan didalam PRU14?*.

5.Bersatulah semua membela rakyat dan menyelamatkan negara. *JOM  Bersatu Tolak LOUIS XVI Malaysia dan Maharaninya!*.

#BersatuTentangMusuhNegara
#BersatuSelamatkanMalaysia

*DATO'HJ MAHFUZ HJ OMAR*
Ahli Parlimen Pokok Sena
3.30pm Taman Al-Walid Alor Setar
10 Sept 2016/8 Zulhijah 1437H

Gabungan Tun M, Anwar bakal hasilkan tsunami besar, kata penganalisis

Gabungan antara Tun Dr Mahathir Mohamad dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka akan menghasilkan gelombang besar

Gabungan antara Tun Dr Mahathir Mohamad dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka akan menghasilkan gelombang besar perubahan ke atas negara ini khasnya dalam pilihan raya umum ke 14 nanti.

Pengarah Strategi Amanah, Dr Dzulkefly Ahmad berkata, kali terakhir negara menyaksikan 'tsunami Melayu' adalah ketika Tun Mahathir selaku perdana menteri bertindak ke atas timbalannya Datuk Seri Anwar.

"Nah, adalah menasabah dan tidak mustahil untuk kali ini, ketika kedua mantan PM dan TPM bergabung pula dan kali ini demi 'Selamat Rakyat dan Negara' maka bukan sahaja segmen 'pengundi Melayu pro-perubahan' bahkan rakyat patriotik yang merentasi semua kaum, agama dan budaya bahkan afiliasi politik, akan mencetuskan satu gelombang besar perubahan," katanya kepada Malaysia Dateline.

Beliau mengulas pertemuan dan berjabat tangan erat antara Tun Mahathir dengan Anwar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur 5 September lalu.

Ia diikuti dengan gabungan antara peguam kedua-dua pihak menentang Akta Majlis Keselamatan Negara yang dilaksanakan tanpa mendapat kelulusan dari Majlis Raja-raja Melayu itu.

Bagi beliau, pertemuan 5 September itu satu peristiwa ajaib yang tentunya menjanjikan satu permulaan baru buat naratif politik Malaysia.

Ia satu titik mula kembali bagi meneruskan gandingan kepemimpinan dua tokoh besar ini, katanya.

"Saya yakin rakyat teramai mahu menyaksikan pertautan dua tokoh negarawan ini, yang saling menunjukkan jiwa-besar mereka, demi mengangkat agenda memakmurkan rakyat dan menyelamatkan negara," kata Dr Dzulkefly.

Oleh itu, katanya, mereka tidak mempunyai waktu lagi untuk berlengah bagi membicara perihal 'titik-bengit kesilapan silam'

"Ya, sememang tidak mudah dipadamkan sejarah hitam yang juga satu tragedi buat kelangsungan kepimpinan negara.

"Pun begitu, apakah akan kita saksikan erti dan makna kata-kata hikmah orang-orang tua kita, 'Bidok Berlalu, Kiambang Bertaut?" soalnya.

Bagi beliau, yang terlebih penting dari kesemua peristiwa bersejarah ini adalah menterjemahkannya kepada satu perubahan.

"Ia yang amat dinanti-nantikan sebahagian besar rakyat Malaysia amnya dan segmen pengundi Melayu pro-perubahan khasnya, yang sangat mendambakan penanambahbaikan serta penamatan kepada segala kebobrokan kepimpinan yang tempang mutakhir ini," katanya.

Katanya, peristiwa ini berlaku ketika penguasa politik eksekutif sudah sampai kekemuncak keangkuhannya sehingga sanggup memperkosa dan menjerut segala cabang kuasa Judisiari dan Kehakiman, bahkan membelakangi Majlis Raja-Raja.

"Maka tersimpan di dalam benak hati-nurani segenap rakyat teramai, adalah keinginan dan impian menyaksikan natijah ajaib dalam pilihanraya ke-14 akan datang," kata bekas ahli parlimen Kuala Selangor itu.

Beliau yakin penyatuan aura kedua-dua tokoh ini "memastikan segala kebobrokan yang telah merendahkan negara-bangsa dan membebankan rakyat ini ditamatkan segera."

Dengan itu, katanya, maruah, martabat dan kedaulatan negara serta institusi-institusinya akan kembali diperteguhkan dan diberdayakan dengan izin AlLah jua.

"Saya yakin bahawa saya mewakili suara rakyat teramai yang mendambakan kepemimpinan dua peribadi hebat ini ketika usia masih berbaki ini dan sebelum mereka kembali dipanggil llahi.

"Ayuh..kami sedia membantu kalian dengan segala-galanya!" janji Dr Dzulkefly kepada kedua-dua tokoh ini.

Pas perlu bersedia dikenang sebagai parti pengkhianat rakyat, tegas Mejar Zaidi

Pas perlu bersedia dikenang sebagai parti pengkhianat rakyat  kerana  bersekongkol dengan kezaliman dan jenayah rompakan terbesar dalam sejarah negara oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan konco-konconya."

Itu kritikan bekas juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Mejar Zaidi Ahmad terhadap Pas sekiranya parti diterajui Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu masih terus memakan ‘umpan’ yang ditaburkan Umno-BN.

Kecaman pegawai penerangan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng itu berlaku selepas bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim memanggil Pas sebagai parti politik Melayu yang tidak berguna.

Zaidi menyifatkan isu Rang Undang-Undang (RUU) persendirian mengenai pindaan Akta 355 yang dimainkan adalah ‘senjata’ agama selepas isu hudud bagi memusnahkan perpaduan pembangkang yang paling ditakuti Umno seperti pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

“Haji Hadi tak ikut saranan Dr Yusuf Qardawi; perundangan Islam bukan keutamaan. Tarbiyah dan penerangan adalah lebih utama. Bagaimana nak jalankan tarbiah dan penerangan jika belum jadi pemerintah?

“Sebab itu keutamaan sekarang ialah bersatu tak kira bangsa dan agama untuk jatuhkan kerajaan Umno-BN yang zalim dan merompak berbilion-bilion wang rakyat,” ujarnya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau berpendapat perpaduan pembangkang berantakan apabila Pas menyambar ‘umpan’ yang dihulurkan Umno-BN iaitu pembentangkan pindaan RUU 355 itu.

“Logiknya jika Umno-BN mahu meminda sebarang undang-undang maka mereka boleh terus melakukannya dengan mengarahkan menteri mereka membentangkannya di Parlimen.

“Pakatan Rakyat pecah dan Pas sendiri juga berpecah. Ini satu kejayaan yang amat besar buat BN. Itu sebelum isu 1MDB terbongkar, kini apabila isu 1MDB terbongkar maka Pas amat wajar menyemak balik pendiriannya,” tegasnya.

Mengulas lanjut Zaidi berkata, usaha menumbangkan Najib dan BN perlu digiatkan kerana Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) boleh dikatakan sebagai satu pertarungan "hidup mati" bagi negara ini.

“Jika Najib menang lagi maka sudah pasti beliau akan terlepas dengan jenayahnya dan paling dibimbangi akan terus merosakkan negara ini.

“Oleh itu, jika Pas benar-benar sayangkan negara ini, mereka perlu ketepikan ego mereka dan kembali bersatu bersama parti pembangkang lain,” tambahnya lagi.

Pengerusi Tetap Umno Bahagian Gelang Patah mengumumkan keluar parti.

JOHOR BAHRU – Pengerusi Tetap Umno Bahagian Gelang Patah, Datuk Baharom Abdul Ghani hari ini mengumumkan secara rasmi keluar daripada parti.

Pengumuman itu dibuat ketika beliau mula menjalankan tanggungjawabnya sebagai Pengerusi Tetap Umno Bahagian Gelang Patah pada mesyuarat berkenaan, hari ini.

Ketua Umno Bahagian Gelang Patah, Mohammad Khairi A Malik ketika mengulas tindakan tersebut berkata, parti di peringkat bahagian menerima keputusan itu.

"Kita terima dan akur dengan pilihan yang dibuat olehnya. Kita mengucapkan terima kasih di atas sumbangan beliau," katanya ketika ditemui pada Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Gelang Patah di sini hari ini.

Bagaimanapun, Mohammad Khairi berkata, tindakan veteran Umno itu keluar dari parti, tidak menjejaskan Umno Bahagian Gelang Patah.

“Bila dia umum, perwakilan kekal dan terus bersama dalam persidangan. Kami tidak jangka (umum keluar parti) kerana sebelum ini, dia memberitahu mahu berjuang dari dalam parti," katanya.

Difahamkan, pengumuman berkenaan dibuat kerana tidak mempunyai kepercayaan terhadap pucuk pimpinan atasan Umno.

Mahathir, Anwar berdamai!

MUHAMAD MAT YAKIM
10 September 2016

SAYANG sekali, saya hanya mampu menilai dari gambar. Lama saya renung dan cuba suluh dengan hati. Anwar tersenyum manakala Mahathir, wajahnya terlindung.

Melihat tangan kanan mereka saling berjabat manakala tangan kiri Anwar pula memekup tangan kiri Mahathir – seperti kanak-kanak bermain tom tom bak - saya yakin hati mereka masing-masing riuh berbicara tanpa suara, jauh melebihi apa yang mampu diungkap dengan kata-kata.

Itu adalah detik dan peristiwa yang cukup bermakna bagi seluruh rakyat Malaysia. Dahulu mereka pernah saling mesra – seperti anak dengan bapa.

Setelah mengenepikan dua timbalan dan pesaingnya dalam Umno, Mahathir menyediakan karpet merah untuk Anwar memasuki istana kuasa. Dia ditatang persis putera mahkota.

Namun disebabkan suatu isu yang semua orang pun tahu, Anwar hilang segala-galanya dalam sekelip mata. Mahathir sendiri juga begitu kecewa. Mereka kemudian mengubah status saling menjadi musuh nombor satu. Itu lebih menyakitkan sebenarnya berbanding hubungan dua insan yang sudah sedia bermusuhan.

 Anwar adalah Anwar. Dia tidak berlengah untuk mengubah diri daripada seorang Timbalan Perdana Menteri kepada pejuang jalanan. Memanfaatkan pengalaman sebagai pemimpin pelajar ketika zaman mudanya, dia turun mencetuskan gelombang di seluruh negara.

Seperti kata anaknya, Nurul Izzah, dalam tempoh 18 hari sahaja selepas dipecat, Anwar telah menjelajah seluruh negara dan berjaya mencetuskan momentum sekali gus mengubah landskap politik tanah air hingga hari ini.

Dalam hubungannya dengan Mahathir, sepanjang masa lalu, ia seperti mustahil untuk melihat kemungkinan mereka bertemu semula, apatah lagi berjabat tangan dalam keadaan begitu mesra seperti apa yang berlaku pada 5 September. Namun itulah yang telah terjadi.

Jahil

Bagaimanapun Mahathir ketika menjawab soalan pemberita selepas itu berkata, bertemu dan menjabat tangan Anwar tidaklah membawa erti dia akan berdamai dengan bekas timbalannya itu.

"Saya berminat dengan kes ini kerana ia membabitkan keselamatan negara. Perkara ini ada ditulis dalam blog saya dan itulah juga yang dia sendiri lakukan. Kami mempunyai pendirian yang sama. Jadi saya datang jumpa beliau dan kami berbual panjang berkaitan apa yang sedang beliau lakukan," katanya ketika hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada hari itu untuk mengikuti perkembangan kes permohonan Anwar mendapatkan perintah injunksi menghalang pelaksanaan Akta Majlis Keselamatan Negara 2016.

Apabila ditanya sama ada mereka bersahabat, setidak-tidaknya menjadi rakan dalam pembangkang, sambil ketawa Mahathir berkata: "Saya tidak tahu tentang kawan tetapi saya bercakap dengan beliau."

Ditanya lagi adakah dia (Mahathir) akan merestui untuk Anwar jadi Perdana Menteri jika pakatan pembangkang menang pilihan raya akan datang, kata Mahathir: "Saya restui tindakan beliau terhadap MKN dan juga kes lainnya."

Sekali lagi ditanya mengenai jawatan Perdana Menteri, Mahathir tidak boleh mengelak lagi. Sambil tertawa dia berkata: "Itu terlalu awal untuk saya putuskan!"

Itu kata-katanya.

Kedua-dua Mahathir, juga Anwar adalah individu yang kaya dengan pengalaman politik. Sejak muda mereka bergelumang malah berperang kerana politik. Lalu selepas perseteruan yang begitu panjang, tiba-tiba mereka bertemu, adakah itu boleh diterima sebagai pertemuan biasa, yang tidak ada apa-apa melainkan sekadar berkongsi pendirian yang sama menentang satu akta?

Mahathir, juga Anwar bukanlah orang jahil untuk menjangka hujanan spekulasi dan persepsi atas tindakan mereka. Mereka pasti tahu apa yang akan berlaku. Apabila mereka tetap melakukannya, ini sudah tentu sesuatu yang disengajakan oleh mereka berdua. Kedua-duanya telah bersedia untuk meraih manfaat dan kepentingan daripada satu peristiwa!

Sebantal

Maka tidak hairanlah apabila Azmin Ali, orang kepercayaan Anwar yang pada satu ketika pernah juga bekerja dan menjadi orang kepercayaan Mahathir akhirnya buka mulut menceritakan apa yang sebenarnya berlaku di dalam bilik tertutup pada hari itu.

Menurut Azmin,  apa yang diperlihatkan kepada dunia bukanlah pertemuan dua individu yang semata-mata berjabat tangan tetapi dua negarawan yang bersedia untuk mengenepikan apa yang pernah berlaku antara mereka pada masa lalu, juga mengenepikan perbezaan yang sedia ada dalam hubungan mereka demi masa depan negara dan rakyat Malaysia.

Azmin kemudian mengakui bahawa memang ada pertemuan lapan mata melibatkan Mahathir, Anwar, Wan Azizah dan dia sendiri selama kira-kira 30 minit pada hari itu.

"Dan ini adalah permulaan pada satu penyatuan," tegasnya.

Bukan itu sahaja. Apa yang disebut oleh Azmin, juga diceritakan oleh Nurul Izzah dari perspektif mengenai ayahnya.

“Hakikat bahawa Datuk Seri Anwar bersalaman dan tersenyum mesra ketika bertemu Dr. Mahathir adalah simbol pentingnya bergerak ke depan untuk memperkuatkan demokrasi berbanding memfokuskan kesengsaraan peribadi."

Menurut Nurul Izzah, sememangnya tidak mudah untuk Anwar bertemu dan berjabat tangan dengan seseorang yang dianggap menjadi punca kesengsaraan hidupnya dan keluarga sejak sekian lama.

"Ini menunjukkan beliau adalah seorang yang sanggup mengenepikan perasaan peribadi demi kepentingan rakyat dan negara," katanya.

Meneliti apa yang berlaku, jelaslah bahawa Mahathir dan Anwar, kedua-duanya adalah 'political animal' yang disebut oleh Aristotle sebagai zoa politika. Tindak tanduk mereka juga membenarkan pandangan Machiavelli mengenai konsep the ends justify means atau matlamat membenarkan cara.

Sememangnya tingkah laku manusia dalam berpolitik menetapkan hukum bahawa tidak ada kawan yang kekal dan tidak ada musuh yang kekal. Yang kekal hanyalah kepentingan seperti yang diungkapkan Lord Palmerstone, bekas Perdana Menteri Britain: "Dalam politik, tidak ada kawan atau musuh, yang ada hanya kepentingan."

Apabila perbezaan bertembung dalam satu lingkaran yang dinamakan kepentingan (dan bermatlamatkan kuasa), orang politik dengan karakter 'political animal' boleh mengenepikan apa sahaja perbezaan demi kepentingan itu. Mereka boleh mengenepikan percanggahan – untuk sementara ataupun dalam tempoh yang lama – tatkala berhadapan dengan lawan yang sama.

Memerhati tingkah laku political animal, kita harus mempercayai bahawa pegangan mereka adalah the enemy of my enemy is my friend. Mereka (yang bermusuhan) boleh berubah menjadi kawan untuk menghadapi satu pihak yang mereka sama-sama lawan.

Dalam hal ini, lawan mereka sudah tentu Najib!

Menjatuhkan Najib jadi matlamat bersama Mahathir dan Anwar. Namun itu bukan semestinya bermakna bahawa kedua-dua ikon politik itu telah bersatu ataupun akan bersatu. Mereka bagaimanapun boleh berdamai, setidak-tidaknya untuk menjayakan misi yang sedang diterokai.

Akan hakikat boleh berdamai tetapi tidak bersatu itu sudah jadi pengalaman bagi Pas dan DAP ketika bersama dalam Pakatan Rakyat dahulu. Tidur sebantal, mimpi berbeza bukanlah penyatuan yang hakiki.

Atas sebab itulah, Anwar ketika memberi reaksi terhadap penyertaan Azmin dan sebilangan pemimpin PKR di peringkat awal kempen Deklarasi Rakyat yang diusahakan oleh Mahathir, jelas ketidaksetujuan dan kewaspadaannya. Dan sudah tentu, antara dua episod itu – penentangan awal kerjasama sesetengah pemimpin PKR dengan kempen Mahathir – dengan apa yang berlaku pada 5 September lalu, jalan telah dirintis (oleh Azmin) untuk kedua-duanya bertemu.

Apabila Anwar senyum, berjabat tangan dengan sebelah lagi tangannya memekup tangan Mahathir pada hari itu, bolehlah dianggap bahawa hal hubungan mereka telah diangkat ke aras paradigma yang berbeza.

Mungkin itu yang boleh ditafsirkan sebagai berdamai walaupun Mahathir cuba menafikannya.

Apa pun, pasti ada yang sukar tidur lena kerana berdamainya mereka!

Alor Setar - Ibu buntu 4 anak tak layak dapat sijil tahfiz

Anak-anak Ummu Hamzah belajar menghafal al-Quran di rumah dan

ALOR SETAR 9 Sept. - Seorang ibu buntu kerana tidak menemui cara untuk membolehkan empat anaknya yang berjaya menghafaz 30 juzuk al-Quran mendapatkan Sijil Tahfiz Malaysia (STM) daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Menurut Ummu Hamzah, 39, keempat-empat anaknya tidak layak untuk mendapat sijil pengiktirafan tersebut kerana syarat yang ditetapkan oleh Jakim adalah pemohon mesti berumur 15 tahun dan ke atas.

"Empat anak saya yang sudah hafaz 30 juzuk al-Quran baru berusia 12, 11, sembilan dan lapan tahun. Aisyah, Hamzah dan Sumayyah hafaz al-Quran sejak setahun lalu manakala Bilal (hafaz al-Quran) kira-kira dua bulan lalu.

"Saya dan suami sepakat untuk memilih homeschooling de­ngan menjadikan pengajian al-Quran sebagai keutamaan. Anak sulung saya yang mula hafaz al-Quran ketika berusia lima tahun. Sementara enam adiknya didi­dik menghafaz al-Quran ketika berumur tiga tahun.

"Kini anak kelima saya, Bara­kah yang berusia enam tahun sudah pun berjaya menghafaz 15 juzuk al-Quran. Dua adiknya, Zainab (lima tahun) dan Hawwak (tiga tahun) pula sedang belajar menghafaz surah pendek," kata ibu kepada lapan anak itu ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Kata Ummu, dia cuba menda­patkan pandangan daripada beberapa sekolah tahfiz namun tiada pihak yang dapat membantunya untuk memperoleh sijil itu bagi membolehkan anak-anaknya itu mendalami ilmu agama di Arab Saudi atau Mesir.

"Ada sekolah tahfiz di sini yang mencadangkan anak menduduki peperiksaan dengan bayaran RM500 seorang. Jumlah itu agak membebankan kami kerana saya dan suami tidak mempunyai pendapatan tetap selepas pulang dari Australia kira-kira lima tahun lalu.

"Pada masa ini, saya ada mengambil upah menjahit namun pendapatan tidak menentu. Saya mempunyai kelulusan dalam bidang farmasi dari University of New South Wales, Australia manakala suami mempunyai ijazah sarjana dalam jurusan kejuruteraan dari universiti yang sama," katanya.

Menurut Ummu, dia mengorbankan gaji lu­mayan mencecah RM13,000 sebulan ketika beker­ja di Australia manakala suaminya melepaskan peluang me­nyam­bung pengajian di pe­ringkat ijazah doktor falsafah untuk me­mastikan anak-anak mempunyai pengetahuan tinggi dalam ilmu berkaitan Islam.

Tambah Ummu, dia juga sedang mencari dana bagi membolehkan anak-anaknya menda­lami ilmu agama di negara Asia Barat dan memantapkan penguasaan bahasa Arab.

Mereka yang berminat untuk membantu mendapatkan STM bolehlah menghubungi Ummu di talian, 010–2904665.


Alor Setar - Bekas penjaga gol Harimau Malaya meninggal dunia

‎Bekas penjaga gol Harimau Malaya meninggal dunia

Yusoff ketika menerima kunjungan Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin, Naib Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Datuk Jeffery Low Hang Chow dan Setiausaha Kehormat KFA, Datuk Aminuddin Omar di kediamannya pada Mac lalu. - Foto Sinar Harian

BEKAS penjaga gol bola sepak kebangsaan, Datuk Yusoff Bakar, 81 menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Sultanah Bahiyah akibat masalah buah pinggang kira-kira jam 6.20 petang semalam.

Menantunya, Badri Mohd Saaid berkata, urusan pengkebumian akan dilakukan di rumahnya di Taman Rakyat, dekat sini dan disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Al Bukahry Alor Setar.

Yusoff Lebih dikenali dengan gelaran 'Iron Gate' pada zaman kegemilangannya sekitar tahun hujung 50-an dan awal 60-an.

Yusof merupakan bekas Pengarah Penjara Alor Setar bersara pada tahun 1990 mewakili negara di Sukan SEAP 1959 di Bangkok, 1961 (Rangoon) dan terpilih sebagai Pemain Terbaik di Kejohanan Hari Kemerdekaan Vietnam 1961 bagi anugerah pemain terbaik di Asia Tenggara.

Bekas pemain seangkatan dengan Allahyarham Tan Sri Ghani Minhat ini berjaya memenangi 10 cap perlawanan antarabangsa bersama Malaysia antaranya menentang Indonesia, Myanmar, Thailand, Hong Kong dan Jepun.

SADA & EXCO negeri Kedah - Masalah air tak ada tak berulang raya ini

Masalah air tak berulang raya ini

GUAR CHEMPEDAK - Kerajaan negeri membuat persediaan awal bagi memastikan masalah bekalan air serius yang sering dihadapi penduduk setiap kali musim perayaan, tidak akan berulang pada Aidiladha ini.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga negeri, Datuk Badrol Hisham Hashim berkata, kerajaan negeri dan Syarikat Air Darul Aman (Sada) sudah mengadakan perbincangan untuk mengambil langkah bersesuaian bagi mengatasi masalah itu.

Beliau berkata, Sada kini bersedia dalam pelbagai aspek untuk memastikan semua penduduk mendapat bekalan mencukupi menjelang Aidiladha.

"Antara langkah akan diambil termasuklah membekukan cuti kakitangan Sada hingga Aidiladha bagi memastikan tiada masalah kekurangan kakitangan untuk menghantar air ke kawasan yang dikenal pasti berisiko terjejas.

"Kita fokus kepada keperluan air penduduk menjelang Aidiladha dan akan melipatgandakan penghantaran lori air ke kawasan dikenal pasti mempunyai masalah tekanan air rendah dan sering terputus bekalan, selain menyediakan juga tangki air statik di kampung terbabit," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Kunci Rumah, Projek Pembinaan Semula Rumah Terbakar di bawah Program Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS7) Peringkat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, di Kampung Guar Stesen Jalan Jenun, di sini, semalam.

Hadir sama, Adun Gurun, Datuk Dr Leong Yong Kong dan Penolong Ketua Pengarah Bahagian Perancangan dan Penyelidikan JBPM Malaysia, Ahmad Izram Osman.

Dalam pada itu, beliau berkata, setakat ini, terdapat dua kawasan di negeri ini yang masih kritikal dalam masalah air iaitu di Merbok dan Kuala Nerang.

"Saya yakin kerajaan negeri akan mengambil langkah lebih dalam masa terdekat untuk memastikan penduduk di kawasan terbabit tidak terjejas dengan isu air ini.

"Saya juga akan mempengerusikan mesyuarat khas bersama Sada sebelum Aidiladha bagi memastikan semua perancangan dibuat berjalan lancar.

"Buat masa ini, saya berpuas hati dengan semua persediaan awal yang dibuat pihak Sada," katanya.






Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...