TERKINI :

Friday, September 9, 2016

Rafizi sifatkan cadangan Noh Omar sebagai keputusan paling gila

Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli menyifatkan cadangan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar untuk memberikan lesen pemberi pinjaman wang kepada pemaju perumahan merupakan keputusan paling gila mengenai perumahan dan kewangan negara.

Beliau yang juga naib presiden dan setiausaha agung PKR berkata, melesenkan 'along' dan meluaskan riba dengan kadar faedah 12 hingga 18 peratus adalah satu bentuk penghambaan kewangan.

"Mana-mana peminjam yang mengambil pembiayaan rumah pada kadar ini samalah seperti menjadi hamba kepada pemberi pinjaman sehingga ke akhir hayat kerana jumlah bayar balik adalah di antara empat hingga enam kali ganda dari jumlah yang dipinjam.

"Oleh itu, saya akan mengikuti dengan dekat isu ini dan akan mula menghuraikan dengan terperinci mengenai masalah perumahan rakyat bermula minggu depan.

"Saya juga akan berusaha agar risiko-risiko akibat dari keputusan memberi lesen pembiayaan kepada pemaju besar ini difahami rakyat secepat mungkin dan mula menyiarkan video ringkas menerangkan perkara ini kepada orang ramai petang ini," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, Noh berkata, kerajaan mempertimbangkan cadangan itu untuk membantu pembeli rumah yang menghadapi kesukaran mendapat pinjaman bank dan menangani masalah bayaran pendahuluan.

"Justeru itu saya mencadangkan supaya pemaju perumahan berkelayakan terutama syarikat mempunyai sumber kewangan yang banyak, seperti Sunway Group, EcoWorld, Mah Sing dan Glomac, diberi lesen pemberi pinjam wang.

"Ia akan hanya terhad kepada penyediaan pembiayaan akhir untuk pembeli rumah berkelayakan, yang mengalami kesukaran memperoleh pinjaman dari bank," tambah Noh lagi.

Presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda), Datuk Seri Fateh Iskandar Mohamed Mansor pula menyambut baik cadangan itu bagi membantu usaha pemilikan aset.

Fateh Iskandar berkata, cadangan itu harus dilihat dari sudut positif bagi membantu pemaju yang membangkitkan kesukaran bakal pembeli mendapatkan kemudahan pinjaman berkenaan.

Mengulas lanjut, Rafizi menambah, pihaknya semakin cenderong untuk mengesyaki cadangan tersebut bukanlah keputusan pertimbangan dasar tetapi satu skim untuk mendapatkan dana pilihan raya umum ke-14 (PRU14) untuk Barisan Nasional (BN).

"Satu-satunya faktor mengekang Datuk Seri Najib Razak mengadakan PRU14 lebih awal ialah kekurangan dana memandangkan apa-apa dana yang diselewengkan dari 1MDB kini dibekukan di negara-negara lain.

"Dengan belanja PRU14 yang mencecah beberapa billion ringgit, Najib dan kepimpinan Umno mesti mencari sumber baru," tambah beliau.

Justeru, beliau khuatir sekiranya cadangan kerajaan pusat ini adalah jalan belakang ke arah itu dan sebagai balasan, kumpulan pemaju besar yang diberikan lesen perlu 'menderma' sejumlah yang besar kepada BN.

"Jika satu lesen menarik derma sebanyak RM100 juta (iaitu jumlah yang kecil bagi satu lesen institusi kewangan), lima lesen mampu menarik 'derma' politik sehingga RM500 juta," jelasnya lagi.

Selain itu, jika cadangan itu dilaksanakan, negara berdepan dengan risiko-risiko lain yang akan membunuh rakyat dan membunuh ekonomi ekoran potensi wujudnya risiko kewangan 'sub-prima' dan lebih ramai rakyat yang tidak mampu memiliki rumah.

Pakar ekonomi: Secara teori negara boleh bankrap jika hutang melebihi 55%

PETALING JAYA: Secara teori Malaysia boleh muflis sekiranya nisbah hutang semasa negara berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) melebihi 55%, namun hakikatnya ia bukan semudah itu, kata pakar ekonomi Prof Dr Barjoyai Bardai. Beliau menjelaskan kadar 53%, yang diuar-uarkan melalui media sosial dan laporan media, sebenarnya titik potong (cut-off point) mengikut kebiasaan.

“Kalau naik terlampau tinggi melebihi 55% itu merupakan tanda-tanda awal negara akan mengalami masalah kewangan yang besar yang boleh menjadikan ia bankrap. “Walaupun hutang negara semakin tinggi tetapi kita mempunyai sumber pendapatan yang agak kukuh dan agak tetap…maknanya tidak bergantung kepada satu-satu sektor.

“Kita pasti pertumbuhan 4% mampu dicapai seperti yang disasarkan iaitu KDNK negara akan melebih 1.2 trilion. Ini akan memberi kesan berganda untuk kita terus kukuh,” kata pensyarah Universiti Tun Abdul Razak (Unitar) itu ketika dihubungi FMT. Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan menyatakan nisbah semasa 53.4% bagi hutang berbanding KDNK masih terkawal walaupun lebih tinggi berbanding 2007 (40.1%).

Menurut Rahman, kadar ini adalah rendah jika dibandingkan dengan kadar antara 1980 hingga 1985 apabila nisbah hutang berbanding KDNK melonjak daripada 44.0% kepada 103.4% dan kekal di tahap melebihi 55% sehingga tahun 1994. “Jika kita tidak muflis ketika kadar 103.4% pada tahun 1985, bagaimana mungkin kita boleh menjadi bankrap pada kadar 55%?” kata menteri, menjawab beberapa mesej berkaitan ekonomi negara yang tersebar luas menerusi aplikasi sosial WhatsApp.

Sementara itu, Barjoyai berpesan tidak sesuai membandingkan keadaan Malaysia dan Greece kerana ekonomi negara yang lebih kukuh. Barjoyai menjelaskan situasi ketika ini adalah kesan daripada kitaran setiap sepuluh tahun, yang mana ekonomi sejagat, termasuk Malaysia, menuju kemelesetan. “Kemelesetan terakhir adalah pada tahun 2007-2008, jadi kita memang tengah dijangka untuk menghadapi kemelesetan.

“Biasanya apabila kemelesetan berlaku akan wujud beberapa gejala dalam ekonomi yang menyebabkan kemelesetan ini berlaku lebih besar dan di Malaysia ia dipacu oleh penurunan harga minyak mentah,” jelasnya. Barjoyai menjangkakan kegawatan ekonomi seterusnya akan berlaku pada awal tahun 2017 ataupun pada akhir tahun 2017 dan berharap ekonomi negara akan pulih dalam masa singkat.

Khairuddin failkan afidavit baru, sertakan klip 'AG menari'

Bekas naib ketua Umno bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan memfailkan afidavit baru berhubung permohonan semakan kehakiman terhadap Peguam Negara (AG), Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

Menurut peguam Khairuddin, Mohd Haniff Khatri Abdulla, afidavit tersebut mengandungi klip video yang memaparkan kononnya AG menari dengan beberapa menteri semasa perarakan Hari Merdeka.

Ekoran itu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada pagi tadi telah menetapkan 19 September ini untuk pengurusan kes antara plaintif dan Jabatan Peguam Negara berkenaan bukti baru tersebut.

Klip video tersebut telah didedahkan oleh Haniff yang mengatakan adalah tidak wajar bagi AG untuk menari dengan para menteri terutamanya ketika kerajaan terpalit dalam skandal 1MDB.

Peguam tersebut, yang turut mewakili bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad meminta Apandi menjelaskan pelakuannya dalam video itu atau harus meletak jawatan.

Dalam video itu, seorang lelaki menyerupai Apandi dilihat menari-nari dengan lima menteri kabinet iaitu Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Datuk Seri Salleh Said Keruak, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, Datuk Seri Azalina Othman Said dan Nancy Shukri.

Wan Junaidi kemudian berkata, tiada apa yang salah dalam tindakan Apandi menari bersama para menteri di khalayak ramai.

Menteri sumber asli dan alam sekitar itu turut mendakwa ia berlaku kerana mereka 'terpesona' dengan muzik yang dimainkan pada masa ini.

Apandi pula, mengambil sikap mendiamkan diri dalam perkara itu.

Apakah PH & BERSATU akan menang jika 3 penjuru berhadapan dengan BN & PAS????

CONTOH :

PRU 13 : BN menang majoriti 2000 undi keatas PR

Katakan pengundi disini 10k maka..
BN = 6000 / PR = 4000

PRU 14 : BN sudah berpecah jadi BERSATU manakala PAS keluar PR dan PR menubuh PH dengan disertai AMANAH.

Berdasarkan PRU13 dan pepecahan berlaku maka sokongan pada BN dah turun jadi 60% manakala PH dan PAS sudah terbahagi 2 undi mereka

Dari Undi BN PRU13 = 6000
-------++++-----------+-------------
BN 60% = 3600
BERSATU 40% = 2400

Dari Undi PR PRU13 = 4000
------------------------------------+++------
PAS 50% = 2000
PH 50% = 2000

Kesimpulan...PRU14
BN = 3600 / PAS = 2000 / PH + BERSATU = 4400

Jadi siapakah yg menang ???? 😂😂😂

'Kalau Kit Siang boleh, mengapa tidak Anwar?' - Tun M

"Kalau saya boleh bekerjasama dengan (Lim) Kit Siang, kenapa saya tak boleh kerjasama dengan Anwar?" kata Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini.

Bekas perdana menteri selama 22 tahun itu menjawab pertanyaan wartawan yang menemuinya di Putrajaya hari ini.

Terdahulu Dr Mahathir ditanya sama ada beliau ada bincang untuk mengadakan kerjasama antara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dengan PKR ketikabersemuka dengan Anwar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Isnin lalu.

Bagaimanapun katanya, beliau tidak berbincang isu itu dengan Anwar.

"Saya tidak berbincang, tetapi kalau saya boleh bekerjasama dengan Kit Siang, kenapa saya tak boleh kerjasama dengan Anwar?" katanya.

Kedua-dua mereka bukanlah presiden bagi mana-mana parti namun Dr Mahathir bertindak sebagai Pengerusi BERSATU manakala Anwar sejak sekian lama dianggap pemimpin sebenar PKR.

PRK kini diketuai isteri Anwar Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Pilihan raya umum seawal Mac tahun depan?

FMT Reporters

PETALING JAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mungkin mengadakan pilihan raya umum (PRU) lebih awal daripada 2018, menurut Bloomberg memetik beberapa sumber rapat dalam Umno.

Malah, Parlimen mungkin dibubarkan seawal Mac, menurut sekurang-kurangnya 2 sumber parti. “Mengapa tidak. Pembangkang tidak sehaluan. Kami bersedia sepenuhnya menghadapi pilihan raya,” laporan itu memetik seorang pemimpin Umno bahagian.

Najib dan beberapa pemimpin kanan Umno juga menjelajah di seluruh negara menghadiri mesyuarat parti dan menggesa ahli melipatganda usaha menarik sokongan generasi muda, menurut laporan Bloomberg, yang menganggap kemenangan PRU untuk Najib boleh mematahkan segala spekulasi beliau akan gagal mengharungi dakwaan skandal yang membuatkan pelabur asing tertanya-tanya mengenai masa depan politiknya.

Penganalisis bagaimanapun tidak pasti sama ada rancangan Najib mengadakan PRU seawal tahun depan sesuatu yang baik untuknya, di sebalik masalah berkait 1MDB dan ekonomi merudum.

“Sebaik-baiknya, mereka mahu mengadakan pilihan raya apabila rakyat mula merasakan mereka lebih selesa dari segi kewangan,” kata Sholto Byrnes dari Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa.

Menurutnya, mengadakan PRU ketika harga minyak dan bahan mentah lain pada paras rendah di samping nilai ringgit yang turun naik merupakan tindakan yang amat berisiko. PRU yang terakhir diadakan ketika hampir tamat mandat Barisan Nasional (BN) pada Mei 2013. Ia menyaksikan BN memenangi 133 kerusi dan Pakatan Rakyat 89.

Sejak itu, pelbagai perubahan berlaku di kedua-dua pihak kerajaan dan pembangkang, termasuk perpecahan di dalam Pakatan Rakyat dan kemunculan beberapa parti baharu. Kontroversi 1MDB juga menyebabkan perpecahan dalam Umno, selepas Najib menyingkirkan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin dari kabinet dan parti.

Muhyiddin kini menubuhkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia yang turut dinaungi bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan beberapa bekas pemimpin kanan Umno lain. Timbalan Pengarah Institut Yusof Ishak di Singapura Ooi Kee Beng berkata Najib kini menghadapi tekanan mengorak strategi daripada hanya menunggu keadaan bertambah reda.

“Tidak perlu terkejut sekiranya pilihan raya diumumkan tahun depan,” katanya dipetik Bloomberg. 

Umno tersedak lihat pertemuan Dr M-Anwar, kata Mahfuz

Pertemuan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan seteru politiknya Datuk Seri Anwar Ibrahim menimbulkan reaksi menggerunkan pemimpin Umno, kata ahli parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar.

Menurut Mahfuz, tiga kali Umno mengalami 'serangan histeria' iaitu sebelum dan selepas Parti Pribumi Bersatu (BERSATU) mengemukakan permohonan kepada pendaftar pertubuhan (ROS) serta pertemuan kedua-dua pemimpin politik itu.

"Nampaknya dalam tempoh sebulan setengah ini sudah tiga kali Umno diserang histeria.

"Reaksi pemimpin Umno terhadap pertemuan dua insan dan tokoh hebat ini menjadikan pemimpin Umno tak mampu berkata apa-apa selain lemparan tuduhan Tun M terdesak.

"Hakikatnya pemimpin dan Umno mengalami keadaan tersedak daripada pertemuan tersebut," katanya dalam satu kenyataan.

Pemimpin Umno baru-baru ini menyifatkan tindakan Mahathir menemui seteru politik yang juga bekas anak didiknya itu sebagai tindakan politik terdesak.

Antaranya oleh timbalan presiden parti itu, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang turut mendakwa tujuan Mahathir mempunyai maksud tersirat.

Pengerusi Perhubungan Umno Selangor Tan Sri Noh Omar juga mempersoalkan kewajaran Mahathir menemui Anwar selepas mengeluarkan pelbagai cercaan terhadapnya..

Terdahulu, Mahathir hadir ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 5 September lalu bagi menyatakan sokongan terhadap permohonan Anwar mencabar Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) 2016.

Kedua-dua seteru politik itu kemudian dilihat bersalaman selepas 18 tahun bermusuhan.

Menurut Mahfuz, Mahathir terdesak untuk menyokong permohonan Anwar bagi menyelamatkan negara daripada akta MKN yang memberikan banyak kuasa kepada perdana menteri Datuk Seri Najib Razak. Sebaliknya, pemimpin Umno pula tersedak melihat pertemuan kedua-dua tokoh itu.

"Dua insan ini sedang menyokong dan mendokong antara satu sama lain dalam menyekat penguatkuasaan akta MKN yang merampas kuasa Yang di Pertuan Agong melindungi rakyat dan negara.

"Pertemuan dua tokoh ini menjadikan Umno tersedak dan membawa kepada saluran pernafasan Umno tersumbat. Ini menunjukan jangka hayat Umno tak lama," katanya.

RUU 355: Perincian pindaan selepas usul Hadi lulus, kata PAS

Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965
KUALA LUMPUR: Tak timbul isu Rang Undang-Undang (RUU) untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 tidak jelas diperincikan kerana usul itu belum dibahas.

Ketua Penerangan PAS Nasrudin Hassan menjelaskan pindaan ke atas Akta 355 hanya akan diperincikan dalam sesi perbahasan selepas usul Ahli Parlimen Marang Datuk Seri Abdul Hadi Awang dilulus dan diangkat sebagai RUU kerajaan.

Malah, tujuan usul Hadi itu sebenarnya untuk mendapat kesepakatan ahli Parlimen meminda Akta 355, jelasnya.

"RUU persendirian (Abdul Hadi) bukan untuk meminda, tetapi mencadangkan agar pindaan dibuat terhadap Akta 355," kata Nasrudin kepada FMT.

"Yang inilah kita minta sokongan daripada ahli Parlimen, terutama yang beragama Islam," tambahnya.

Pada masa ini, bidang kuasa Akta 355 menetapkan denda tidak lebih RM5,000, penjara tidak lebih 3 tahun dan 6 sebatan.

Dalam usulnya, Hadi yang juga Presiden PAS antara lain ingin memasukkan seksyen baru iaitu Seksyen 2A, yang menyebut: Mahkamah Syariah berhak menjatuhkan hukuman yang dibenarkan oleh undang-undang syariah berkaitan hal-hal kesalahan yang disenaraikan di bawah seksyen yang disebutkan selain dari hukuman mati.

"Jika diluluskan, RUU akan dipulangkan semula kepada pihak kerajaan untuk diangkat sebagai RUU kerajaan.

"Ketika bacaan kedua itulah akan dimasukkan pindaan secara terperinci, mengikut terma undang-undang dan berdasarkan pandangan Peguam Negara, Majlis Raja-raja dan pihak lain," kata Nasrudin, menambah dalam perbahasan itu wakil rakyat berpeluang untuk mengkritik atau melakukan penambahbaikan.

Isu perincian usul Hadi berbangkit selepas ahli politik pembangkang menyatakan sukar untuk mereka menyahut seruan menyokong RUU itu kerana ia tidak dijelaskan dengan baik.

Ia menyusuli gesaan Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri kepada wakil rakyat beragama Islam supaya menyokong usul itu.

Ahli Parlimen Parit Buntar Datuk Dr Mujahid Yusuf Rawa berkata gesaan itu memberi tekanan yang tidak wajar kepada wakil-wakil rakyat beragama Islam yang masih belum jelas akan RUU yang ditangani.


Pengundi veteran lebih terkesan isu Mahathir-Anwar

Mahathir Anwar

SHAH ALAM - Pertemuan antara bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak akan memberikan kesan yang cukup mendalam kepada pengundi muda.

Penganalisis politik, Prof Madya Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani Berkata, ini kerana pengundi muda tidak melihat pergolakan reformasi yang berlaku pada tahun 1990-an terdahulu.

Katanya,pertemuan itu sebaliknya lebih memberi kesan kepada pengundi berumur 40 tahun ke atas yang menyaksikan sendiri drama politik di antara Mahathir dan Anwar.

"Pertemuan tersebut tidak akan beri kesan kepada orang muda. Mereka tidak nampak kepentingan mereka menerusi pertemuan tersebut.

"Sebaliknya orang muda akan lebih berminat dengan apa yang Mahathir dan Anwar akan tawarkan (sekiranya ada) kepada mereka," katanya kepada Sinar Online.

Sebelum ini, kehadiran Mahathir ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dikatakan sebagai tanda sokongan terhadap permohonan Anwar bagi mencabar Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) 2016 menarik perhatian banyak pihak apatah lagi kedua-duanya bersalaman selepas 18 tahun bermusuhan.

Ketika diminta mengulas soal kehadirannya ke persidangan itu, Mahathir menafikan soal berbaik-baik namun mengulang beberapa kali kehadirannya ada kaitan dengan akta tersebut.

Azizuddin ketika mengulas perkara sama berkata, BN sepatutnya risau dengan pertemuan yang diadakan antara Mahathir dan Anwar memandang mereka mempunyai pengaruh mereka tersendiri.

"Saya tak rasa mereka akan tergugat tetapi mereka perlu risau kerana keduanya bawa dasar perjuangan yang mahu jatuhkan BN.

"BN perlu ambil perhatian dan rangka strategi untuk menawan kerajaan menjelang PRU yang akan datang," katanya lagi.


Bersatu diluluskan dengan singkatan PPBM

Muhyiddin serah borang pendaftaran Parti Bersatu

SHAH ALAM -  Pendaftaran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang diketuai bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan (RoS) hari ini dengan nama singkatan PPBM.

Ahli Jawatankuasa Penaja Bersatu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata pihaknya dimaklumkan tentang perkara itu sebentar tadi.

"Kami baru dapat berita. Insya-ALLAH esok kami akan ke RoS untuk ambil borang pendaftaran," katanya kepada Sinar Online.

Pada 9 Ogos lalu, Muhyiddin menyerahkan dokumen permohonan pendaftaran Bersatu dengan harapan ia bakal diluluskan RoS selewat-lewatnya esok.

Syed Saddiq melihat keputusan RoS itu sebagai langkah untuk pihaknya merancakkan gerakan parti itu.

"Saya amat gembira mendengar berita pendaftaran parti Bersatu. Sebelum ini gerakan kami terbatas kerana takut ia akan menjejaskan pendaftaran di RoS.

"Mulai sekarang kami akan rancakkan gerakan kami. Saya berterima kasih ke atas Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kerana menunaikan janjinya untuk tidak menyekat pendaftaran kami," katanya.

Ahmad Zahid sebelum ini dilaporkan memberi jaminan tidak mempunyai sebarang masalah untuk meluluskan sebarang pendaftaran parti-parti politik yang baru di negara ini sekiranya ia memenuhi syarat yang ditetapkan.

Pemerhati politik sebelum ini mengingatkan pemimpin Umno-BN agar tidak memandang enteng penubuhan parti baharu ini yang mensasarkan ahli-ahli Umno.


Tun M, Anwar bertemu, Umno tak perlu panik

Azmin Ali

SHAH ALAM - Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pertemuan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim itu cukup baik khusus untuk menyatupadukan umat dan rakyat Malaysia.

Menurutnya, pertemuan itu juga dilihat untuk memperkukuhkan parti-parti pembangkang menjelang PRU akan datang.

"Kenapa kamu semua takut pertemuan ini. Umno tak perlu panik kerana saya kira ini satu permulaan baik sebagai persiapan kita menghadapi PRU.

"Kita ada satu matlamat iaitu menyelamat negara dan memulihkan ekonomi," katanya di sini, semalam.

Selasa lalu, kehadiran Mahathir ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dikatakan sebagai tanda sokongan terhadap permohonan Anwar bagi mencabar Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) 2016, menarik perhatian banyak pihak apatah lagi kedua-duanya bersalaman selepas 18 tahun bermusuhan.

Dalam pada itu, Azmin berkata, segala perancangan ini dilakukan secara kolektif.

Ketika diminta mengulas adakah Anwar sedia memaafkan dan melupakan sengketa dengan Mahathir, Azmin berkata, semua pihak kini pandang ke depan dan lebih berminat berbincang mengenai negara Malaysia.

"Beliau (Anwar) sudah cakap benda ini banyak kali pada masa lalu dan kami berbincang masa depan negara ini," katanya.


PRU14 : Rakyat tidak akan berpeluk tubuh

Pilihanraya

SHAH ALAM – Penganalisis politik yakin rakyat tidak akan berpeluk tubuh atau mengendahkan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) sebaliknya mereka akan memilih pemimpin dan parti yang memberi harapan baharu kepada Malaysia.

Pensyarah Universiti Malaysia Sarawak, Prof Madya Dr Jeniri Amir menjangkakan PRU14 nanti bakal menjadi lebih sengit berbanding dua pilihan raya umum yang lalu.

"Kerana untuk kali ini, isunya jauh lebih besar,apabila rakyat mempertikaikan soal kepimpinan negara dan sebagainya.

"Jadi, mereka nak memastikan mereka mempunyai suara dalam menentukan kepimpinan negara dan masa depan politik Malaysia. Jadi, mereka tidak boleh berdiam diri," katanya kepada Sinar Online.

Dalam pada itu, beliau melihat barisan kepimpinan sedia ada hari ini perlu menyampaikan mesej yang jelas kepada rakyat.

"Tetapi sebelum itu, pemimpin perlu terlebih dahulu membuktikan bahawa mereka merupakan kepimpinan dan parti yang boleh digantung harap oleh rakyat.

"Kerana akhirnya menjadi perkiraan terakhir saya fikir ialah kepimpinan yang boleh mengeluarkan negara ini daripada belenggu yang mencengkam sekarang. Jadi, kepimpinan itu harus memberi harapan baharu kepada rakyat Malaysia," katanya.

Pemimpin akan datang bakal dinilai kemampuannya dalam meletakkan Malaysia ini di atas landasan betul berteraskan prinsip-prinsip demokrasi, ketelusan dan tadbir urus yang baik.

"Kerana selagi kita dibelenggu pelbagai masalah, kita akan diheret ke bawah. Jadi, kita perlu keluar daripada dilema dan cengkaman yang membelit kita sekian lama. Kalau tidak, sampai bila kita akan ada dalam lingkaran yang akan meruntuhkan masa depan kita sendiri.

"Kita memerlukan pemimpin politik yang jelas wawasannya. Mesej sedemikian perlu dihantar kepada rakyat bahawa kepimpinan di peringkat atasan itu perlu menunjukkan teladan yang baik terlebih dahulu," katanya.


FAM perlu dedah pendrive bukan siasat individu


SPRM teliti 'pendrive' diserah menteri

MENTERI Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin hari ini menegaskan keutamaan yang perlu diambil Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam isu 'pendrive' yang diserahkan beliau untuk siasatan.

Katanya, yang perlu diutamakan ialah pendedahan isi kandungan pendrive atau pemacu pena itu berbanding mencari individu yang membocorkannya.

"Sudah pastinya yang penting adalah isi kandungannya, dari segi keutamaan saya percaya peminat bola sepak tidak mahu dengar siapa yang membocorkan maklumat dan sebagainya," katanya kepada pemberita selepas ditemui pada majlis Forum Kyoto-Asean 2016 di sini.

Pada 1 Sept lalu, Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin menjelaskan bahawa badan induk bola sepak itu sedang menyiasat individu yang menyerahkan pemacu pena kepada Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang memberikannya pula kepada Khairy.

Sebelum ini, Khairy berkata isi kandungan dalam pemacu pena yang diserahkan Tunku Ismail tidak menemui bukti penyelewengan ataupun ketirisan dalam FAM.

Menurutnya kandungan pemacu pena itu adalah dokumen teknikal mengenai bola sepak Malaysia.

Pada Isnin lepas, Pengarah Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Azam Baki mengesahkan bahawa kandungan pemacu pena itu tidak mengandungi sebarang unsur rasuah mengikut Akta SPRM 2009. –Bernama

Kariah Masjid Bantah buka kedai judi ala kasino di Sg. Petani

Bantah buka kedai judi ala kasino

SUNGAI PETANI – Anak kariah Surau Bandar Seri Astana dan Bandar Perdana membantah pembukaan sebuah kedai judi ala kasino yang dikatakan bakal beroperasi di kawasan itu.

Wakil kariah yang enggan dikenali berkata, pihaknya bimbang sekiranya kedai itu beroperasi, ia bukan sahaja membuka ruang kepada golongan dewasa mendapatkan hiburan dengan cara tidak sihat malah remaja juga mungkin terpengaruh.

"Kami dapat tahu kedai itu akan dibuka tidak lama lagi dan difahamkan mesin sudah pun sampai dan disusun dalam premis berkenaan," katanya.

Menurutnya, perniagaan perjudian tidak sesuai dijalankan di kawasan perumahan lebih-lebih lagi apabila kebanyakan penduduk Melayu tinggal di kawasan itu.

"Lokasinya juga menjadi tumpuan ramai kerana berdekatan dengan pasar mini, sudah pasti ia mudah dikunjungi sesiapa sahaja," katanya.

Beliau berkata, sebagai ibu bapa, dia khuatir aktiviti itu boleh memberi kesan buruk dan mempengaruhi keruntuhan moral anak-anak serta orang dewasa.

"Tambahan pula, dalam Islam, aktiviti perjudian adalah sesuatu yang haram," katanya.

Difahamkan, seorang pengusaha yang berpengalaman menjalankan perniagaan itu dipercayai datang dari Kuala Lumpur bertanggungjawab terhadap pembukaan kedai tersebut.

Berikutan itu, rata-rata penduduk yang mula menghuni di perumahan terbabit sejak kira-kira 10 tahun lalu menyuarakan bantahan masing-masing.

Penduduk juga mendakwa, berdasarkan pemerhatian mereka mendapati, beberapa peralatan juga dimasukkan dan bekalan elektrik juga sedang dalam proses penyambungan.

Bagi menyuarakan bantahan secara rasmi, satu memorandum juga dihantar dikatakan mewakili seluruh anak kariah Bandar Seri Astana dan Bandar Perdana berhubung perkara itu.

Memorandum bantahan diserahkan wakil anak kariah ke Pejabat Daerah Kuala Muda lebih kurang jam 9 pagi dan diterima oleh Penolong Pegawai Daerah Kuala Muda, Mohd Amin Jaafar.

Kira-kira 30 penduduk mewakili anak kariah hadir menyerahkan memorandum bantahan itu dalam usaha memelihara keselamatan, ketenteraman dan kesejahteraan kawasan perumahan terbabit.






Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...