TERKINI :

Thursday, September 8, 2016

Darihal derma RM90 juta Umno pada PAS?

SUBKY LATIF | 07 September 2016.

DUIT RM2.6 bilion yang pernah didepositkan dalam akaun bank PM Najib adalah derma untuk Umno tetapi tidak diketahui Umno sempat rasa derma itu atau tidak kerana ia dikatakan sudah dipulangkan Najib kepada pendermanya.
     
Kisah itu terus jadi cerita dongeng seperti Haji Bakhil yang pacak papan tanda beritahu dia tidak tanam hartanya ditempat papan tanda itu dipacak. Dan si fulan yang larikan harta itu pacak pula papan tanda baru bagitahu Si fulan tidak ambil harta itu. Jika dunia tidak kiamat 200 tahun lagi derma RM2.6 bilion itu akan jadi dongeng seperti Haji Bakhil juga.
     
Maka sekarang selepas Umno terima derma RM2.6 bilion, maka didongengkan pula PAS diberi RM90 juta oleh Najib. Bahasa baik yang saya suka gunakan tentang duit RM90 juta itu ialah derma Umno atau Najib kepada PAS.
     
Itulah yang dirasakan dongeng yang Sarawak Report laporkan dan PAS sifatkan sebagai fitnah yang PAS umumkan akan failkan saman kepada Sarawak Report melalui mahkamah England.
     
Ketika komen ini dibuat, reaksi Sarawak Report belum tarik balik laporan itu tetapi tidak pula beri ia ada bukti kukuh tentang  dongeng itu.
     
Sementara kes ini belum lagi jadi kes mahkamah, komen saya ialah satu sekatan politik yang mahu meruntuhkan wibawa politik PAS yang terkenal sejak dari mula sebagai parti yang berdikari atas duit yang ada dalam poket baju/seluar ahl-ahli dan penyokongnya.
    
Jika dikatakan dana PAS adalah atas derma para dermawan, maka dermawan itu adalah ahli dan penyokongnya.
    
Ketika saya ditanya oleh pelajar Malaysia di Mesir lebih 30 tahun lalu, dari mana PAS dapat dana bagi membiayai perjuangannya, saya jawab ia tersimpan dalam saku baju dan seluar ahlinya. Apabila PAS perlukan duit itu ia sebutkan kepada ahli-alinya dan mereka pun keluarkan dari saku masing-masing.
     
Almarhum Ustaz Fadzil Noor sebut dalam ceramah tentang duit PAS yang saya sebut di Mesir itu, semuanya disimpan dalam saku baju ahli-ahlinya.
     
Jika ada yang hendak menderma RM90 juta, PAS tidak akan berani terima jika ada yang hendak menyampaikan baik secara terang atau secara sulit. Bukanlah manusia PAS tidak ada nafsu keinginan kepada duit yang banyak, tetapi hingga setakat ini mereka dapat mengawal hawa nafsu.
    
Jika ia gagal mengekang hawa nafsunya, maka nescaya hanyut perjuangannya yang suci dan mulia itu. Mulianya PAS bukan kerana lambakan duit yang banyak, tetapi adalah atas perjuangannya yang suci yang berpaksi atas sokongan ahli-ahli yang mustadafin. Ia mengausai Kelantan dan pernah menguasai Kedah dan Terengganu, bukan kerana hujan dan salji duit dari langit, bahkan ia merebut kuasa itu dari Umno yang memiliki duit berguni-guni.
    
Itulah memalukan parti dan pemimpin yang siang malam berselimut duit.
     
Jika ada orang yang hendak menderma RM90 juta, mungkin limpahan daripada derma RM2.6 bilion yang tidak tahu macam mana ia hendak dibelanja, maka jangan beri terus kepada mana-mana pemimpin atau jangan masukkan ke dalam mana-mana akaun bank secara sulit dan secara terang tetapi ambil peluang semasa PAS melancarkan pungutan derma kilat dalam ceramah-cemahnya.
     
Masukkan senyap-senyap duit tunai yang ada di tangan petugas pungutan derma itu. Derma yang berpahala dan besar pula wajar dibuat secara senyap, biar tangan kanan yang memberi tidak diketahui oleh tangan kiri.
     
Keterlanjuran report dari Sarawak itu tanda ia dungu dengan maruah PAS dan untuk kemahuan siapa ia buat dongeng itu? – HARAKAHDAILY 7/9/2016

Nik Abduh - Menjawab Fitnah Terhadap TGNA

Oleh: Nik Mohamad Abduh bin Nik Abdul Aziz
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia

Saya diminta untuk menjawab, sekurang-kurangnya bagi pihak keluarga, atau sebaik-baiknya atas nama Ketua Pemuda PAS Malaysia, perihal dakwaan oleh seorang bekas pemimpin PAS yang dipecat bahawa jika al marhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz bin Nik Mat masih ada, maka dia akan memilih untuk masuk PAN, parti baru serpihan PAS. Alasan yang diberi, PAS sudah keluar dari landasan asal perjuangan. Kelantan kini tidak lagi Kelantan yang dulu.

Saya kata, saya sudah menjawabnya di laman sosial saya di FB. Pendek dan sinis sahaja. Pada saya ia mencukupi. Sekuntum dua bunga seroja mencukupi untuk dipadankan dengan wajah yang memang sedia ayu dan menawan. Kuntuman segar bunga istiqamah dan amanah yang kembang pada tubuh Tuan Guru Nik Abdul Aziz adalah mencukupi bagi mereka yang mahukan qudwah dan contoh dalam kehidupan beranjau dan berduri ini.

Tetapi sebahagian mahukan yang lebih panjang dan lebih menjelaskan. Setiap fitnah walaupun terlalu teruk untuk dipercayai, akan tetap ada telinga yang sedia menadah dengar sebagai terapi bagi jiwa yang sudah lama sakit dan tidak sedia diubati lagi. Ia akhirnya hanya boleh hidup melalui ubat pelalian dengan dos yang tinggi. Fitnah dosnya memang tinggi. Akhirnya fitnah jika dibiar berkembang, ia akan membaham mangsa baru yang tidak berdosa.

Hidup seseorang muslim itu nilainya pada hujung hayatnya. Sampaikah dia ke destinasi yang ditujunya. Jika dia menuju Allah, sehebat mana perjalanan hidupnya menuju Allah itu, hebat itu hanya kekal terpakai apabila dia memang sampai kepada Allah di hujung hayatnya. Awalnya, tengahnya sehinggalah hujungnya adalah tauhid. Jika tidak, ia sama sahaja, apa erti hebat memandu dalam perjalanan yang jauh menuju destinasi, tetapi hujungnya berakhir di hospital atau terjun longkang?

Allahyarham Tuan Guru Nik Abdul Aziz, kita meyakini pada zahir yang kita lihat bahawa dia telah mengakhiri hidupnya dalam istiqamah menuju Allah. Hidupnya untuk Allah. Dia berjuang demi Allah.

Demi menjaga kekuatan dirinya dalam perjalanan, dia memilih sedari mudanya untuk mengenderai parti PAS sehinggalah akhir hayatnya. Tak pernah bertukar atau tersentak atau terhenti.

Itu haknya yang nyata. Haknya ke atas semua adalah menyebut istiqamahnya itu. Menyatakan sebaliknya adalah memperlekehkan nilai istiqamahnya dalam hidupnya itu.

Ertinya, jika saya masuk PAN (semoga dijauhi Allah), demi menjaga hak istiqamah ayahanda, saya mesti berkata bahawa saya telah memilih untuk berbeza pandangan daripada ayahanda. Saya sama sekali tidak boleh berkata, jika ayahanda masih ada, dia pun akan pilih jalan saya yang baru ini. Itu perlecehan yang nyata ke atas hak orang yang telah pergi kepada tuhannya dengan penuh kemuliaan.

Itu pertama. Yang kedua, dalam PAS ayahanda Tuan Guru adalah sejarah hidup dan jatuh bangun PAS. PAS membinanya dan dia jugalah yang begitu membina PAS. Dia pernah mentaati dan dia pernah ditaati. Dia memandu dan dia dipandu juga. Puluhan tahun lamanya. Yang tua, yang muda, yang lama dan baru semua pejam celik dengan wajah ayahanda menjadi wajah PAS.

Berapa kali PAS berkrisis dan berpolemik. Terserpih dan pecah. Tewas dan jatuh. Ditertawa dan diperlekeh. Tenggelam dan hilang. Akhirnya saat PAS bangkit, ayahandalah yang di depan menangkis dan menjulang. Dia adalah tanpa was-was dan tanpa ragu-ragu sedikitpun bahawa Islam adalah perjuangannya dan PAS adalah kenderaan dan jamaahnya.

Jika hanya dengan krisis terbaru yang sempat dicium oleh ayahanda sendiri sebelum dia pergi itu dijadikan alasan untuk menukar sinar sejarah perjuangan sucinya dengan PAS yang penuh istiqamah, maka itu adalah perlecehan yang nyata. Mempercayainya adalah penghinaan terhadap diri sendiri bagai melahap bangkai fitnah yang busuk dan menjengkelkan.

Ketiga, saksi-saksi adalah nyata bahawa ayahanda menolak PASMA dan serangan-serangan dalaman oleh beberapa pimpinan PAS pada masa itu terhadap PAS. Saya, keluarga, ahli jamaah masjid Pulau Melaka, apatah rakan-rakan pimpinan PAS di Kelantan dan di luarnya yang lama bersama ayahanda, semua mengecam dan melihat kemarahan dan ketidakpuasan hatinya terhadap tindakan-tindakan mengkritik Majlis Syura Ulama dan presiden PAS sendiri oleh pimpinan PAS yang hari ini berkumpul di dalam PAN dan membedil PAS dengan bantuan DAP sesudah kalah membedil PAS daripada dalam.

Dato Husam Musa jangan menipu diri sendiri bahawa hari-hari akhir ayahanda adalah hari-hari akhir yang tidak indah buat hubungan dirinya dengan ayahanda. Jangan kaitkan dengan alasan sekatan-sekatan oleh keluarga atau sesiapa. Lebih setahun ayahanda berehat dari kerusi Menter Besar sebelum perginya adalah masa yang mencukupi untuk dia memerhatikan seluruh tindak tanduk anak-anak buahnya yang kini bersama bekerja bersama Menteri Besar baru yang menjadi pilihannya.

Kerana tindak tanduk sesetengah pimpinan termasuk Dato Husam yang bersifat 'memberontak' itulah yang mendorong ayahanda secara berterus terang menuntut ahli PAS memberi wala' dan ketaatan yang tidak berbelah bagi kepada Presiden PAS dan Majlis Syura Ulama PAS. Sila rujuk siaran-siaran di akhbar-akhbar pada masa itu.

Adakah anda ingin memperlecehkan persaksian nyata itu dengan senjata fitnah yang membunuh kebenaran dan hakikat?

Keempat, Benarkah Kelantan hari ini sudah tidak lagi seperti dulu?

Ya, Kelantan dulu ada aura Tuan Guru. Kelantan dulu ada style dan cara Tuan Guru. Kelantan dulu ada sentuhan Tuan Guru. Ya, itulah bezanya.

Jadi, adakah itu ukurannya perjuangan PAS di Kelantan berubah? Jika anda berkata ya, saya berkata, padanlah anda masuk PAN pun..

Anda sering menggambarkan yang manis-manis dari zaman Tuan Guru untuk anda bandingkan dengan yang pahit-pahit dari zaman YAB Dato Ahmad Yaakob.

Mengapa kejayaan-kejayaan oleh Dato Ahmad Yaakob yang tak berlaku di zaman Tuan Guru tidak diangkat dan dipuji?

Saya akan menulis mengenainya nanti insya Allah. Kelantan boleh jatuh bila-bila masa pun. Tapi janganlah kerana fitnah dalaman yang memusnahkan sejuta kebaikan sedia berkembang mekar.

Kelantan pernah boleh jatuh bila-bila masa pun pada PRU11 2004 dulu. PAS Kelantan bergayut pada majoriti satu kerusi yang menang dengan kelebihan 2 undi.

Tetapi kerana api fitnah dalaman tiada, PAS mara dan kembali mengukuh sehingga kini.

Pesan saya, siapa pun boleh membakar dengan bahan bakar fitnah. Tetapi ingat, anda tidak akan memuliakan hidup sendiri dengan pekerjaan sebagai pencetus fitnah, bukan pencetus ummah.

Sumber: https://www.pas.org.my/kenyataan-ketua-dppm/9399-menjawab-fitnah-terhadap-tgna

Mahathir Salam Anwar, Noh Omar Pulak Yang Sakit Hati.. Kenapa?


Pengerusi Perhubungan Umno Selangor Tan Sri Noh Omar melahirkan rasa lucu dengan 'lakonan Hindustan' oleh bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang bertemu dengan bekas timbalannya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Malah, Noh turut mempersoalkan kewajaran Mahathir berbuat demikian memandangkan negarawan itu sebelum ini pernah mengeluarkan pelbagai kenyataan mencerca Anwar dan memecatnya daripada jawatan timbalan perdana menteri serta timbalan presiden Umno.

"Saya ketawa tengok lakonan. Kita nak tanya Tun (Dr) Mahathir, yang mana betul kenyataan dia pasal Anwar? Adakah waktu dia jadi perdana menteri dulu sehingga Anwar dipecat atau sekarang?

"Mana satu yang betul? Dulu dia (Mahathir) kata Anwar tak betul sampai dia dipecat. Ini dia nak jadi partner pula.

"Saya ketawa tengok lakonan ni. Ini lakonan Hindustan," kata Noh sambil ketawa.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan forum perumahan dan hartanah di Petaling Jaya hari ini.

Pada sidang medianya itu, Noh menafikan kenyataan Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Azmin Ali yang mendakwa Umno kini gelisah selepas pertemuan kedua-dua bekas pemimpin tersebut.

Sebaliknya, kata beliau, pembangkang sebenarnya yang sedang gelisah selepas pelbagai percubaan untuk menjatuhkan Datuk Seri Najib Razak sebagai perdana menteri tidak berjaya.

"Pembangkang yang gelisah kerana dia buat macam-macam cara nak jatuhkan perdana menteri dan semuanya gagal.

"Deklarasi Rakyat dah terbukti rakyat tolak kerana pilihan raya di Sarawak, Sungai Besar, Kuala Kangsar - BN menang besar. Isu DOJ perdana menteri dah jawab, dia nak ambil proses mahkamah dan kita tunggu.

"Tak puas hati, tubuh parti baru. Sekarang nak berbaik dengan Anwar.

"Jadi pembangkang yang gelisah. Kita tak gelisah. Perdana menteri masih lagi meneruskan kerja untuk membela rakyat," katanya.

Selasa lalu, Mahathir yang juga bekas perdana menteri selama 22 tahun hadir ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi menyatakan sokongan terhadap permohonan Anwar bagi mencabar Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) 2016.

Langkah itu dilihat sebagai sokongan moral terhadap Anwar kerana kedua-dua pemimpin itu kini menentang akta itu dan menolak kepimpinan Najib.

Mahathir memecat Anwar pada September 1998 atas dakwaan penglibatan dalam kes liwat, yang kemudian membawa kepada kes mahkamah lapor Malaysiakini

Dr Mujahid kunjungi pejabat Mufti jelaskan teguran

 Dr Mujahid menyerahkan tulisannya kepada Khairol yang mewakili Mufti Wilayah Persekutuan
Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Dr Mujahid Yusuf Rawa menyerahkan artikel setebal sebelas muka surat ke pejabat Mufti Wilayah Persekutuan hari ini.

Artikel itu merupakan penjelasan beliau mengenai tegurannya ke atas tulisan Mufti Wilayah, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berhubung Rang Undang-undang (RUU) 355.

Ia sekaligus menafikan dakwaan bahawa beliau menyanggah pendapat Dr Zulkifli agar semua ahli Parlimen khususnya yang beragama Islam menyokong RUU 355 yang dijadual dibentangkan di Dewan Rakyat, Oktober ini.

Seruan itu dipetik dari tulisan terbaharu Dr Zulkifli dalam Bayan Linnas bertajuk ‘Isu Cadangan Pindaan Akta 355: Satu Pendapat’ di portal rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Dr Mujahid menjelaskan tegurannya mengenai tulisan Mufti Wilayah Persekutuan kepada Umar Mokhtar.Artikel tersebut diserahkan kepada pegawai hal ehwal Islam MAIWP, Umar Mokhtar Mohd Noor dalam pertemuan dan sesi dialog pagi tadi.

Pertemuan turut disertai naib ketua pemuda Amanah Nasional Shazni Munir Mohd Ithnin, pengarah komunikasi Khairol Najib Hashim dan ketua Wanita Muda Amanah Nasional Anis Afida Mohd Azli.

"Saya katakan tadi saya tak dapat memenuhi saranan mufti kerana RUU itu belum dibahas.

"Pertemuan hari ini berjaya, mesra dan penuh kasih sayang serta Amanah dapat memberikan penerangan kepada pihak mufti," katanya yang sebelum ini dikecam sesetengah pihak kerana teguran itu.

Mujahid yang juga ahli Parlimen Parit Buntar mengambil inisiatif untuk membuat teguran atas semangat demokrasi dan kebebasan bersuara dan terpulang kepada pihak mufti untuk tindakan lanjut.

"Kami sekadar menegur dan terpulang kepada pihak mufti sebagai institusi agama untuk menerima atau tidak.

"Saya perlu menjelaskan persepsi dan saya harap kita dapat membudayakan lagi perbincangan," katanya kepada pemberita selepas pertemuan.

Dr Zulkifli bagaimanapun tidak dapat hadir dalam pertemuan itu kerana bertolak ke Tanah Suci untuk mengerjakan haji malam tadi.

Sementara itu Shazni berkata, beliau berasa gembira jika Pas khususnya presiden parti itu Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang juga ahli Parlimen Marang memberikan perincian mengenai RUU untuk memperkasa mahkamah syariah.

"Kami berbesar hati jika Marang boleh tampil untuk berdepan dengan anak muda tentang usul yang dibentangkan," katanya.

K'jaan luluskan pendaftaran BERSATU dengan syarat...



Pendaftar Pertubuhan (ROS) sudah meluluskan permohonan Parti Pribumi Bersatu Malaysia untuk menjad parti politik sah di negara ini.

Bernama melaporkan keputusan penerimaan secara prinsip itu diumumkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Akronim bagi parti itu pula ditetapkan sebagai PPBM dan bukan BERSATU.

Kata Ahmad Zahid kelulusan rasmi diberikan selepas parti berkenaan membuat penjelasan kepada ROS mengenai peranan dan fungsi presiden serta pengerusinya.

Parti berkenaan ditubuhkan selepas beberapa tokoh pemimpin Umno dan ahli parti itu tidak sependapat dengan Datuk Seri Najib Razak menangani pelbagai isu semasa dalam negara, termasuk 1MDB.

Bercakap dalam sidang media selepas menghadiri perhimpunan bulanan Kementerian Dalam Negeri di Putrajaya, Ahmad Zahid berkata penggunaan akronim PPBM bukan atas arahan ROS, sebaliknya atas permintaan parti itu sendiri semasa mendaftarkan permohonan sebelum ini.

"Dalam permohonan awal, mereka mahu menggunakan nama panggilan parti sebagai BERSATU tetapi selepas pihak ROS membuat semakan nama itu telah banyak digunakan oleh parti dan pertubuhan lain.

"Selepas rundingan semula dibuat, pihak parti memohon meletakkan akronim PPBM dan ROS meluluskannya seperti yang dipohon," katanya, sambil menambah nama BERSATU telah digunakan oleh enam parti dan pertubuhan setakat ini.

Kelulusan itu juga membabitkan sedikit perubahan pada logo berbanding logo asal semasa permohonan dibuat, katanya.

Ahmad Zahid berkata beliau tidak campur tangan dalam kelulusan permohonan tersebut serta menegaskan permohonan mana-mana parti atau organisasi akan diluluskan jika mematuhi syarat-sayarat dalam Akta Pertubuhan 1966.

Ditanya risiko PPBM sekiranya menggunakan nama BERSATU bagi mempromosikan parti itu, Ahmad Zahid berkata mereka secara rasmi telah melanggar perlembagaan parti tersebut.

"Sekiranya mereka masih menggunakan nama BERSATU tindakan pembatalan pertubuhan itu boleh diambil ROS berdasarkan Akta Pertubuhan," katanya.

Bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bulan lalu menyerahkan permohonan bagi mendaftar sebuah parti baharu dikenali sebagai Parti Pribumi Bersatu Malaysia atau BERSATU di ROS.

Hadir sama dalam sidang media itu Ketua Setiausaha KDN Datuk Seri Alwi Ibrahim dan Ketua Pengarah ROS Datuk Mohammad Razin Abdullah.

Permohonan pendaftaran parti itu diserahkan sendiri presiden penajanya Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada ROS pada 9 Ogos lalu.

Walaupun sesetengah pihak menjangkakan parti itu tidak memberi kesan besar kepada Umno ahli politik veteran pula berpendapat sebaliknya.

Bekas menteri kewangan Tengku Razaleigh Hamzah adalah antaranya.

Pada 24 Ogos lalu Malaysiakini melaporkan beliau mengingatkan pemimpin Umno supaya tidak mengambil mudah serta memperlekehkan BERSATU.

Katanya, semua pihak, khususnya Umno perlu memandang serius penubuhan parti baru itu kerana ia dianggotai mereka yang berpengaruh serta pernah berada dalam Umno.

Antara tokoh yang disebut ahli parlimen Gua Musang itu ialah bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang menjadi pengerusi parti berkenaan.

Siapa Malaysian Official 1


Adalah menarik pengakuan yang dibuat oleh menteri Umno, Datuk Abdul Rahman Dahlan bahawa 'Malaysian Official 1' (MO1) yang disebut dalam tuntutan mahkamah oleh Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat, jelas adalah Datuk Seri Najib Razak, Perdana Menteri Malaysia.

Sekarang, apa kata DOJ tentang MO1, iaitu Najib, perdana menteri Malaysia.

Pada halaman 13 perenggan 39 laporan itu berkata, "Setelah ditubuhkan, MO1 iaitu Najib mengambil alih kedudukan kuasa dalam 1MDB. MO1 (Najib) mempunyai kuasa untuk meluluskan semua pelantikan, dan penyingkiran, lembaga pengarah 1MDB pengarah dan pengurusan kanan 1MDB.

Di samping itu, sebarang komitmen kewangan 1MDB, termasuk pelaburan, yang berkemungkinan menjejaskan jaminan yang diberikan oleh kerajaan Malaysia untuk manfaat 1MDB atau mana-mana dasar kerajaan Malaysia memerlukan kelulusan MO1 iaitu Najib."

Halaman 17 perenggan 50. "Satu mesyuarat khas lembaga pengarah 1MDB telah diadakan pada 26 September, 2009. Low (bukan ahli lembaga) turut menghadiri mesyuarat ini."

Halaman 11 perenggan 29. "Aziz mempunyai pertalian kekeluargaan dengan MO1 (Najib) dan rakan Low."

Halaman 55 perenggan 178. "Sebaik dana telah dipindahkan dari Aabar-BVI kepada Blackstone, ia digunakan untuk membuat pembayaran kepada Qubaisi dan Husseiny, yang berkhidmat sebagai pegawai untuk kedua-dua Aabar dan Aabar-BVI kepada MO1 (Najib) dan kepada 1MDB Officer 3. "

Halaman 59 perenggan 192. "Akaun perunding MB menerima satu lagi pemindahan $1,500,000 dari akaun Blackstone pada atau sekitar 22 Januari 2013.

"Blackstone memindahkan sekurang-kurangnya $30 juta kepada akaun milik MO1 (Najib)."

Halaman 59 perenggan 193. "Blackstone juga memindahkan sekurang-kurangnya $ 30,000,000 kepada akaun milik MO1 (Najib) tidak lama selepas menerima dana daripada Aabar-BVI."

Halaman 59 perenggan 194. "Pada atau sekitar 30 Oktober 2012 - kira-kira tujuh hari selepas Blackstone menerima $ 75,000,000 secara langsung dari Aabar-BVI dan kira-kira enam hari selepas ia menerima $ 360,000,000 secara tidak langsung daripada Aabar-BVI melalui Enterprise dan Cistenique - Blackstone memindahkan $5,000,000 ke dalam akaun Ambank di Malaysia yang dipegang atas nama 'AmPrivate Banking MR'."

Halaman 59 perenggan 195. "Akaun bank 'AmPrivate Banking MR' milik MO1 (Najib) dan adalah akaun sama yang menerima $20,000,000 dari pengasas bersama, Petrosaudi pada tahun 2011, dalam masa beberapa hari penerimaan dana daripada pengasas bersama Petrosaudi daripada Good Star, seperti dinyatakan dalam Seksyen II.G."

Maaf Pengkritik... Tiada Tempat untuk mu dalam Pas

Sesiapa sahaja yang mengkritik pimpinan Pas akan dicop sebagai pengkhianat, munafiq, barua, broker dan sebagainya dalam Pas. Pimpinan atasan dikira sebagai sempurna. Keputusan dibuat oleh pimpinan tidak layak dipertikaikan oleh sesiapa walaupun ianya langsung tidak boleh diterima oleh logik akal.

Pandangan Presiden dikira keputusan syura Pas walaupun tidak dibawa kedalam mana-mana mesyuarat. Pembentangan RUU 355 oleh TG Presiden adalah contoh bagaimana keputusan individu Presiden yang menghantar usul RUU 355 terlebih dahulu tanpa mendapat mandat keputusan mesyuarat parti.

Akibatnya seluruh jentera parti terpaksa digerakkan untuk membetulkan tindakan seorang pemimpin yang tidak ikut kaedah dan amalan syura jemaah. Pengkritik dilabel dengan gelaran yang amat tidak pernah difikirkan sanggup dilontar oleh sebuah gerakan Islam. Kafir, munafiq, pengkhianat adalah panggilan biasa yang diratib dalam setiap ceramah kepada pengkritik Presiden atau parti.

Ketiadaan alMarhum TGNA menjadikan pimpinan Pas bermaharaja lela untuk mengadakan pertemuan demi pertemuan dengan pimpinan Umno-BN.

Pimpinan atasan tidak lagi memperdulikan sensitiviti pimpinan bawahan yang setiap masa bertarung dengan Umno. Imej mesra Umno-Bn lebih menonjol apabila tiada serangan Pas dalam isu 1mdb yang riuh rendah dibincangkan oleh rakyat marhaian dan media massa.

Suasana 'manggok' dan ego ini berjangkit kepada kepimpinan kerajaan Kelantan. MB dan Exco pun tidak boleh ditegur walaupun jawatan mereka adalah wakil rakyat yang dipilih untuk mentadbir dan mengurus kepentingan rakyat keseluruhannya.

Apa sahaja isu berbangkit dianggap hendak menjatuhkan kerajaan Islam yang diasaskan TGNA. Sedangkan pentadbiran sekarang jauh sangat berbeza.

MB telah tersasar jauh dari garis panduan pemerintahan yang ditinggalkan oleh alMarhum TGNA. Pembangunan Kampung Laut Satu sebagai contohnya bukti jelas kelemahan perancangan dan pentadbiran Dato Mad.

Sesuatu yang tidak boleh diterima, pengambilan tanah asal penduduk yang akan dirobohkan bagi tujuan dibangunkan Masjid Kampung  Laut yang asal yang juga terpaksa diroboh di lokasinya di Nilam Puri sekarang. Menyedihkan pandangan ketua cawangan Pas setempat yang veteren tidak diambil kira bahkan dicop pula sebagai penyokong parti Amanah.

Tidak hairanlah apa yang telah terjadi kepada Dato Husam Musa yang menjadi mangsa kepada sikap ego pimpinan Pas sekarang yang telah dipecat kerana kelantangannya mengkritik kepimpinan dan kelemahan pentadbiran kerajaan negeri sekarang termasuk sikap bermewah-mewahan pimpinan kerajaan negeri sekarang.

Apa lagi yang hendak diharapkan kepada pimpinan parti dan  kerajaan negeri sekarang. Kalau pimpinan dan ahli parti sendiri tidak dibenarkan mengkritik, akan tiba masanya rakyat sendiri yang akan buat teguran dalam kertas undi. Pada masa tersebut tiada guna penyesalan...nasi sudah jadi bubur.

Hj Wan Azlan
Kota Bharu

Skandal 1MDB: Putrajaya khianati amanah pesara tentera

OLEH ERMIZI MUHAMAD

WANGSA KERAMAT, 8 SEPT : Amanah wang pesaraan pesara tentera dikhianati pentadbiran Umno Barisan Nasional, kata Ketua Angkatan Muda KEADILAN, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Beliau berkata, akta yang diwujudkan bagi menjaga kepentingan kebajikan pesara dinafikan, ekoran skandal kewangan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Wang pesaraan tentera ini amanah sangat besar dipertanggungjawabkan untuk menjaga kebajikan pesara tentera.

“Atas kepentingan itulah pada 1973 dibentuk Akta Tabung Angkatan Tentera untuk menjaga ruang ekonomi pesara tenteta dan kebajikan mereka.

“Namun amanah itu dikhianati pemimpin negara kerana kerakusan mereka membabitkan skandal kewangan 1MDB,” katanya pada Majlis Dialog Prajurit, Wangsa Keramat di sini, malam tadi.

Sebelum ini, satu dokumen rahsia didedahkan KEADILAN berhubung dana RM288 juta diseleweng bagi tujuan pemindahan wang kepada syarikat 1MDB untuk membayar faedah hutang pinjaman syarikat cetusan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak itu.

Bagaimanapun, pemindahan wang tersebut didapati tidak melalui proses tepat atas dasar kegagalan 1MDB mendapat kelulusan Lembaga Pengarah untuk memindahkan wang tersebut.

1MDB juga kononnya telah membuat penafian atas dakwaan tersebut dan meminta senarai nama dikeluarkan terhadap individu yang didakwa menerima kelewatan pembayaran wang pesaraan.

Sehingga kini, seramai 110 penama disenaraikan KEADILAN, susulan kelewatan bayaran kenaikan pencen perkhidmatan yang dilaporkan sejak 2013 lalu.

Dalam perkembangan itu, Perdana Menteri masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung dakwaan kelewatan itu.

EZY

Pendidikan, kesihatan mangsa ‘rakus’ skandal 1MDB Najib

OLEH ERMIZI MUHAMAD

WANGSA KERAMAT, 8 SEPT: Kemajuan sistem pendidikan dan kesihatan negara terhalang susulan skandal kewangan dan tanggungan liabiliti membabitkan syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ketua Angkatan Muda KEADILAN, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata peruntukan pembangunan pendidikan dan kesihatan dipotong, hanya untuk membayar hutang 1MDB.

“Dalam keadaan ekonomi menyedihkan hari ini, bagaimana peruntukan bidang pendidikan dan kesihatan yang cukup penting untuk rakyat dimangsakan.

“Ini membuktikan skandal 1MDB memberi kesan kepada seluruh rakyat Malaysia, tanpa kecuali tetapi yang ‘enjoy’ berbilion cuma Najib dan Rosmah.

“Sementara rakyat Malaysia pula yang terpaksa menanggung dan membayar hutang-hutang itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Dialog Prajurit, Wangsa Keramat di sini, malam tadi yang turut dihadiri Laksamana (B) Imran Abd Hamid, dan Naib Presiden KEADILAN, Rafizi Ramli.

Sebelum ini, wujudnya pendedahan berkaitan tanggungan hutang 1MDB mencecah RM50 bilion hasil daripada pelaburan meragukan, syarikat cetusan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Terdesak untuk membayar faedah hutang 1MDB, pentadbiran Putrajaya dikatakan memotong pelbagai peruntukan dan pengambilalihan kewangan agensi kerajaan seluruh negara.

Antara terkesan, Lembaga Tabung Haji (LTH), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP), Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan Perbadanan Perwira Harta Malaysia (PPHM).

Bercakap lanjut, Nik Nazmi yang juga Exco Pendidikan Selangor berkata, Putrajaya disifatkan gagal memacu pertumbuhan ekonomi negara susulan pelbagai dakwaan integriti Perdana Menteri.

“Kepimpinan Najib gagal apabila kepentingan pendidikan dan kesihatan rakyat digadai pentadbiran Umno-Barisan Nasional,” katanya.

EZY

Pendaftaran Parti BERSATU diluluskan

Pendaftaran Parti Pribumi diluluskan

KHAMIS, 8 SEPTEMBER 2016 - 10:29AM PUTRAJAYA: Pendaftaran Parti Pribumi Bersatu Malaysia diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS) hari ini dengan nama singkatan PPBM.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/190815?m=1

Mufti Perlis - Hati-hati sokong sesuatu atas nama Islam

 Dr Mohd Asri Zainul Abidin
SHAH ALAM – Orang ramai perlu berhati-hati sebelum menyokong mana-mana perkara atas nama Islam kerana bimbang ia menjurus ke arah yang salah.

Mufti Perlis, Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, sebelum menyokong apa-apa perkara, penelitian perlu dilakukan untuk pemahaman sepenuhnya.

“Jika semua yang diberikan nama Islam ataupun kononnya ke arah perlaksanaan Islam itu kita disuruh sokong tanpa meneliti kesannya secara mendalam, maka dibimbangi nanti ramai yang menyokong Daesh.

“Berhati-hati dalam menyokong sesuatu atas nama Islam. Asalkan nama Islam dan mahu melaksanakan Islam lantas kita sokong, maka dibimbangi musnahlah kemanusiaan dan agama.

“Sebelum menyokong kita wajib bertanya, apakah versi Islam yang hendak dilaksanakan itu? Di tangan siapakah perlaksanaan itu akan diberikan?,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu pendapatnya itu susulan pada zaman ini ada pelbagai versi jenama Islam.

“Jenama Islam yang telah dimanipulasi jauh lebih banyak dibandingkan hakikat Islam yang merupakan rahmatan lil 'alamin (rahmat untuk semua pihak tanpa dibatasi latar kaum, kedudukan, tempat dan agama).

“Daesh juga kononnya sedang melaksanakan Islam versi mereka. Apa yang terjadi akhirnya? Apakah Islam bertambah mulia ataupun Islam dibenci dan dihina? Musnah nama agama dan rosak kemanusiaan serta hak asasi atas nama perlaksanaan Islam Daesh,” katanya.

Sebelum ini, kenyataan mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang mewajibkan semua ahli Parlimen beragama Islam menyokong pindaan itu di Parlimen menerima pelbagai reaksi daripada pemimpin dan orang awam.

Hospital Pendang: Jangan permainkan rakyat Kedah


Pusat Kesihatan Pendang
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya mengesahkan bahawa pembinaan Hospital Pendang yang diluluskan menerusi Bajet 2016 mengalami sedikit kelewatan akibat kekangan kewangan. Kementerian Kesihatan juga akan melakukan pemotongan kos terhadap projek yang bernilai RM200 juta tersebut.

Ini bukanlah kali pertama penangguhan terhadap rancangan pembinaan Hospital Pendang ini dibuat. Projek yang telah diumumkan dalam Bajet 2006 oleh Perdana Menteri ketika itu Tun Abdullah Ahmad Badawi telah dibatalkan dalam kajian projek Rancangan Malaysia Ke Sembilan (RMK-9). Projek tersebut diumumkan semula sebagai 'gula-gula politik' pada Pilihan raya Kecil Pendang 2002. Namun ia tidak menjadi kenyataan sehingga ditegur oleh Tuanku Sultan Kedah dalam titah perasmian Sidang Dun Kedah pada November 2011, kerana lambat dilaksanakan.

Apabila rancangan pembinaan Hospital Pendang ditangguhkan lagi kali ini, maka ia benar-benar satu tindakan mempermain-mainkan rakyat Kedah, khususnya penduduk Pendang, setelah 10 tahun projek yang memberi manfaat kepada penduduk luar bandar itu diumumkan.

Langkah mengurangkan kos dengan memotong perkara-perkara tertentu dari pelan asal merupakan tindakan tidak bertanggungjawab kerana kemudahan sebuah hospital wajar dilengkapkan demi memberi perkhidmatan kesihatan yang baik kepada rakyat, bukannya dikurangkan.

Di kala kerajaan memberi alasan bahawa projek tersebut ditangguhkan kerana kekangan kewangan, Perdana Menteri mengumumkan pelaksanaan projek Taman Tugu Negara bernilai RM650 juta. Di mana kewarasan kerajaan BN apabila projek yang tidak memberi manfaat kepada rakyat itu lebih diutamakan berbanding projek pembangunan kesihatan yang melibatkan nyawa rakyat?

Alasan "kekangan kewangan" tidak wajar digunakan kerana kerajaan pimpinan BN telah memeras rakyat bawahan; termasuk orang miskin dan penduduk luarbandar, melalui pelaksanaan cukai GST yang dikenakan terhadap semua. Maka inilah masanya untuk memulangkan kembali manfaat kepada rakyat bawahan, khususnya di Daerah Pendang.

Kerajaan hendaklah menyedari bahawa pembinaan Hospital Pendang merupakan satu keperluan terhadap rakyat yang mesti diteruskan. Manakala yang mesti dihentikan ialah tindakan mempermainkan rakyat, membazir serta memberi alasan tidak munasabah.

DATUK DR MOHD HAYATI OTHMAN
Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah
6 September 2016 - HARAKAHDAILY 6/9/2016

Pindaan Akta 355: Mohon undi sokongan MP Kedah



MENGAKUI kedudukan 15 Ahli Parlimen dalam negeri ini adalah individu penting kepada hasrat pindaan RUU355, maka kami mengambil tanggungjawab proaktif selaku agen yang akan memohon dan mengesahkan undi sokongan mereka pada Sidang Parlimen Oktober depan.

Walaupun undi menyokong atau menolak adalah hak dan kebijaksanaan legislatif mereka, namun kerencaman info berlegar ketika ini lebih mencetus sensasi dan kontroversi hingga mengheret salah faham. Segala prasangka dan kesamaran wajib dirungkai menerusi pertemuan serta penjelasan agar dapat diterangkan bahawa pindaan tersebut tidak sepatutnya 'panas' dan diisukan.

Hal ini kerana semua Ahli Parlimen telah pun melalui sekitar 12 RUU yang dipinda dalam tahun ini sahaja. Ia adalah rutin atau proses biasa yang berlangsung di Parlimen dan mereka seadilnya perlu berada dalam keadaan 'neutral' bahawa RUU355 tidak harus dimangsakan.

Usul pindaan RUU355 yang dibentangkan oleh Ahli Parlimen Marang pada 26 Mei lalu telah memberi ruang masa panjang kepada semua Ahli Parlimen untuk membuat kajian, mendapatkan pandangan dan melihat reaksi kecenderungan rakyat agar dibahaskan sebaiknya pada sidang nanti.

Pada pemahaman dan penglihatan kami, tidak sepatutnya timbul masalah untuk para Ahli Parlimen memberi undi sokongan. Kami akan mengajukan; pindaan ini hanya berkaitan hak dan ehwal semasa institusi serta umat Islam, sesuai keadaan, perubahan atau tuntutan ketika ini.

Oleh sebab tujuan pindaan ini jelas adalah ke arah memartabatkan Mahkamah Syariah supaya dinaiktaraf kedudukannya selaras peruntukan bahawa Islam adalah Agama Persekutuan sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Malaysia.

Malah, ia secara tidak langsung berkait kepentingan negara di mana 68 peratus penduduk Malaysia terdiri daripada orang Islam. Ia juga soal mentertib dan mewujudkan landskap sosial lebih baik, hasil daripada warga yang memenuhi Rukun Negara, khusus dari kalangan orang Islam. Pihak kami mahukan semua 15 Ahli Parlimen tersebut memahami bahawa rakyat sedar, faham serta mahu pindaan tersebut dijayakan.

Akhirnya, kami menyeru kepada setiap Ahli Parlimen Kedah khususnya memberikan undi menyokong terhadap pindaan RUU355 ini nanti. Kami percaya, Ahli Parlimen yang baik dan secara benar mewakili, sudah tentu seiring dengan hasrat penduduknya dan pasti menyedari rakyat juga mempunyai kuasa demokrasi.

USTAZ IDRUS AHMAD
Timbalan Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah 
– HARAKAHDAILY 7/9/2016




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...